Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 04 July 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 06 Episod 01
Malas nak update !

Diari Akademi Fantasia Minggu 06 Episod 02
Tipah Merajuk
Kuat makan juga mereka ini. Sambil-sambil makan, Tipah juga ingin makan. Ekin tidak melayani permintaan Tipah Tipah. Terus Tipah Tipah merajuk. Pandai juga Tipah Tipah ini berlakon. Untuk memujuk Tipah Tipah, Ekin meminta maaf kepadanya. Kalau dibuat pun, yang makannya Ekin juga.

Berat Badan
Perlu ulas juga ke adegan berat-berat badan ni ? Yang pastinya, penimbang berat badan sudah bertukar ke format digital. Manalah tahu jika masih guna versi penunjuk berat, tidak mampu menampung berat badan Yazer kelak di minggu-minggu akan datang.

Lagu Baru Konsert 06
Mawi - Memori Cinta Luka (Nassier Wahab)
Akma - Hati Keliru (Misha Omar)
Yazer - Cinta Kilat (Broery Marantika)
Ekin - Warna (Sheila Majid)
Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu (Tan Sri SM Salim)
Amylea - Hati Ini Telah Dilukai (Kris Dayanti)
Aidil - Matahari (Amuk)
Marsha - Destiny (Jim Brickman)
Felix - Smooth (Rob Thomas)

Pujian Untuk Pelajar
Kefli dan Ekin telah dipuji kerana menunjukkan peningkatan yang besar. Mereka ini ada peningkatan pada pandangan pengetua. Pada pandangan peminat, Mawi telah memberikan peningkatan yang amat besar juga. Pada pandangan saya ada pelajar yang menunjukkan peningkatan, walaupun kecil. Ada juga yang peningkatan mereka tidak konsisten. Pengetua M.Nasir sendiri berkata dalam bidang profesional kelak, harus diberikan peningkatan yang konsisten. Ada kemahuan untuk berubah.

Mesyuarat Tenaga Pengajar
Satu mesyuarat Tenaga Pengajar nampaknya menjadi rutin mingguan yang akan diadakan setiap hari Isnin. Dalam waktu yang sama, pelajar menghafal lirik lagu mereka. Bagus, satu perubahan yang positif yang telah dilakukan untuk kebaikan semua. Di waktu yang sama, penonton sendiri boleh menilai apa yang diperkatakan oleh para tenaga pengajar. Sekiranya mahu mengambil apa yang diperkatakan oleh Tenaga Pengajarlah. Jika tidak mahu pun tiada siapa yang memaksa.

Menurut Cikgu Adnan, rata-rata semua pelajar telah memberikan persembahan yang terbaik mereka. Kefli umpamanya telah memberikan persembahan yang buruk sewaktu rehearsal dan hampir-hampir menyerah kalah. Berbeza dengan Mawi yang telah memberikan persembahan yang baik sewaktu rehearsal. Ini berdasarkan komen-komen yang saya baca di ruangan Pendapat. Apa yang membezakan mereka ? Kalah dengan sorakan peminat ? Sehingga tumpuan terganggu ?

Kefli telah menghasilkan magik ! Bermula dengan lagu Mungkin dan minggu lepas dengan lagu Berhenti Berharap. Cikgu Marlia berpendapat, lagu-lagu sedemikian merupakan lagu yang amat bersesuaian dengan Kefli. Setengah orang boleh menyanyi dengan baik, suara mereka hebat, vokal mereka outstanding, tetapi tidak dapat menangkap perasaan penonton. Itu yang berlaku kepada Akma. Akma seorang penyanyi yang boleh menyanyi dengan baik. Pengalamannya mematangkan persembahannya. Dari situ beliau banyak mengikut acuan-acuan yang telah ada sejak mula-mula menyanyi.

Sesetengah vokal penyanyi mempunyai dinamik tetapi tidak mempunyai vocal colour. Apabila tiada vocal colour ia tidak akan membawa penyanyi tersebut ke mana-mana. Felix merupakan contoh seorang penyanyi yang tidak tahu menggunakan vocal colournya dengan sepenuhnya. Menurut Pengetua ini adalah kerana beliau telah dibesarkan dengan lagu-lagu pop yang tidak banyak ragam pada persembahan mereka. Mawi pula merupakan contoh pelajar yang mempunyai vocal colour yang baik tetapi mempunyai masalah besar pada bahagian tempo. Ini M.Nasir yang cakap. Sila kutuk M.Nasir.

Ada di antara pembaca-pembaca saya yang menggunakan alasan bahawa Mawi seorang yang masih baru dalam bidang nyanyian. Beliau tiada pengalaman dalam bidang ini. Sebelum ini beliau hanya seorang qari. Jadi, masalah temponya perlu saya maafkan. Dalam mengaji juga ada tempo. Harakat itu yang menentukan panjang atau pendek sesuatu bacaan. Ada yang dua, ada yang enam harakat. Kalau dah tertulis dua harakat, dibaca enam harakat, saya dulu kena rotan. Kalau dah perlu masuk nyanyian apabila lagu bermula, tapi nyanyian tidak bermula, mereka beri undi. Hahahhahahaha ! Dalam mengaji juga ada lagu, seperti Taranum Al-Quran. Ada lagu sikah, ada lagu rast. Berkonsepkan yang sama, cuma perlu disesuaikan dengan keadaan.

Berkenaan dengan diction yang sering menjadi topik hangat di dunia seni suara Malaysia. Diction kena betul, kena perfect, baru boleh menyanyi lagu Inggeris. Tetapi sekiranya ia dilakukan di Amerika Syarikat, mereka tidak hairan kerana di sana terlalu banyak versi Inggeris yang ada. Contohnya American English, British English, Jamaican English, Australian English dan bermacam-macam lagi.

Selamat Hari Lahir Pengetua
Belum pernah Pengetua Akademi Fantasia menyambut hari lahir di dalam Akademi. Musim ini M.Nasir menyambutnya di dalam Akademi. Menarik juga kejutan yang dibuat oleh mereka. Setiap pelajar menjadi patung dengan poster potret M.Nasir yang telah mereka lukis pada awalnya bersama-sama mereka. Selesai bermesyuarat, M.Nasir menuruni anak tangga untuk ke bawah dan kehairanan melihat Marsha duduk membisu di tepi tangga. Melihatkan poster potretnya, beliau terus ketawa dan perasan apa yang berlaku. Digegarkannya badan Kefli di tepi pagar tangga. Ditariknya poster di dada Yazer. Digomolnya muka Ekin dengan poster dan ditariknya hidung Felix. Semacam dilayannya mereka dengan penuh sifat kebapaan.

Mawi menyarungkan jaket keramatnya ke badan Pengetua M.Nasir. Manakala Cikgu Marlia menyuruh suaminya mengajuk cara Mawi berjalan. Memang menjadi. Ucapan Pengetua sangat ringkas. Mahu melihat semua mereka menjadi profesional.

Ramai-ramai mereka menyanyikan lagu Tanya Sama Itu Hud-Hud. Yazer bermain gitar mengiringi Pengetuanya. Dah lama tidak mendengar lagu tersebut. Sekali sekala sedap pula. Adakalanya Pengetua juga terlupa lirik sambil terpandang Yazer untuk memperbetulkan mainannya. Saya suka dengan cara nyanyiannya, setiap kali membuat persembahan pasti beliau akan memberikan lenggok yang berbeza untuk lagu-lagunya.

Persembahan Percubaan Pertama
Yazer saya melihat mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Kali ini sebuah lagu yang agak lama. Menurut M.Nasir macam-macam boleh dibuat untuk lagu tersebut.

Saya merasakan lagu ini amat bersesuaian dengan Aidil. Tone suaranya kena dengan lagu tersebut. Beliau seorang yang jarang mendengar lagu Melayu. Hanya sekadar mendengar Sudirman dan Jamal Abdillah. Pengetua menasihatkan beliau agar mendengar semua jenis lagu agar pengetahuannya tentang muzik boleh dikembangkan lagi.

Mawi mendapat lagu Memori Cinta Luka. Saya nampak lagu ini mudah tetapi agak pantas perubahan dari verse biasa ke korus. Kalau hilang fokus, temponya pasti ke laut. Sebuah lagu yang mementingkan teknik pernafasan yang betul. Jangan pula dicincang lirik-lirik lagu tersebut.

Kefli mendapat sebuah lagu irama Malaysia. Untuk seorang penyanyi yang biasa menyanyikan lagu rock dan balada tentunya agak sukar bagi beliau. Pengetua pula merasakan lagu tersebut terlalu standard biasa.

Tangan Akma diikat kerana sering membuka genggaman pada pembesar suara yang sekaligus mengganggu tumpuan penonton.

Persembahan Amylea untuk lagu Hati Ini Telah Dilukai agak menarik dan banyak teknikal vokal yang boleh dipraktikkan.

Ekin juga saya nampak mampu untuk membawakan lagu tersebut. Beliau perlu menggunakan tenaga luar biasa yang datang untuk lagu Let’s Get Loud pada lagu Warna. Bantuan dari kawan-kawan juga dapat menyemarakkan persembahannya.

Nyanyian Marsha tanpa minus one. Mungkinkah beliau akan bermain piano sambil menyanyi. Jika ini mampu dilakukan oleh Marsha, beliau menjadi pelajar yang mengikut jejak langkah Linda yang bermain alat muzik sendiri untuk lagunya sendiri. Hanya pelajar yang benar-benar berbakat yang mampu bermain sendiri sambil menyanyi.

Felix pula perlu menampilkan vokal macho untuk persembahannya. Minggu ini amat penting bagi Felix untuk membuktikan yang beliau mampu membawakan lagu Inggeris dengan baik.