Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 July 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 07
Sudah agak lama baru ada kelapangan untuk mengemaskinikan foto-foto di Dataran Putrajaya, sila ke Potluck Akademi Fantasia di Dataran Putrajaya.

Akademi Fantasia Masa Depan
Bayangkan bagaimana keadaan Akademi Fantasia di masa depan. Ia dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Tiada isu menarik agaknya. Yazer perlu melakonkan watak Encik Hasrul sebagai Pengurus Residen. Manakala Mawi sebagai Pengetua dan Amylea dan Felix sebagai Tetamu Undangan ke Akademi Fantasia.

Menariknya lakonan Yazer apabila beliau turut membetul-betulkan pembesar suara pelajar, tetamu undangan dan sesekali berbisik kepada tetamu undangan untuk berhenti. Yazer berminat agaknya dengan kerja itu. Tidak payahlah. Ada banyak kerja lain yang lebih berfaedah. Kerja tersebut sememangnya memerlukan daya ketahanan yang tinggi lebih-lebih lagi apabila perlu berdepan dengan para peminat yang kecewa dengan tindakan Pengurus Residen.

Apabila ada peluang untuk mengacau Mawi yang sedang tertidur keletihan di sofa, Marsha dan Akma tidak melepaskan peluang tersebut. Sambil-sambil berlatih lagu Anekaragam sempat juga mereka mengganggu Mawi konon-konon bidadari di dalam mimpi Mawi.

Kelas Vokal Cikgu Adnan
Saya merasakan lagu-lagu dari penyanyi wanita Indonesia sememangnya sesuai dengan vokal Ekin. Nampak begitu serasi dengan tonenya yang sedikit husky dan kedengaran lebih merdu. Ekin perlu melatihkan dirinya untuk falsetto, vibrato dan penggunaan real voice dengan lebih baik lagi. Ekin ini mempunyai satu tarikan untuk hanya memberikan yang terbaik apabila lagu yang diperolehi olehnya adalah lagu yang disukai oleh beliau. Asalkan beliau tidak terikat dengan Ruth Sahanaya sudah memadai.

Kefli masih belum menghafal liriknya dengan baik. Masalah utama Kefli ialah kurang memahami lirik lagunya maka di dalam kepalanya masih belum tergambar imej-imej cerita yang terkandung di dalam lirik lagu tersebut. Ini membuatkan beliau lebih sukar untuk menyanyikan lagu tersebut. Sekiranya dapat disampaikan dengan baik sekalipun, penghayatannya kurang. Cabaran utama Kefli ialah beliau harus memahami lagu tersebut. Lagu ini tiada range yang perlu membuatkan beliau terjerit-jerit. Melodi lagu ini agak sederhana. Saya menyukai lagu tersebut yang melodi agak indah. Beliau harus melafazkan lirik-liriknya agar mengalir ke dalam melodi lagu tersebut. Selain daripada itu beliau juga perlu menjaga tempo lagu tersebut.

Yaser dan Felix berehat di Bilik Aktifkan sambil Kefli membawakan lagu Fantasia Bulan Madu. Sememangnya Kefli seorang yang menyukai lagu-lagu yang menjerit. Seakan-akan beliau melepaskan geram dengan lagu tersebut. Sabar !

Umie Aida Singgah Ke Akademi Fantasia
Tidak banyak aktiviti bermanafaat yang diperolehi oleh para pelajar melainkan diminta untuk melakon babak dari filem Embun. Mulanya Ekin dan Yazer melakonkan watak-watak tersebut dan kemudian diikuti oleh Kefli dan Amylea. Mereka masih malu-malu dan segan dan tidak begitu serius.

Kemudian Kefli diminta untuk berlakon dengan Umie Aida. Masih belum mendapat mood yang betul untuk babak tersebut.

Antara nasihat dari Umie Aida adalah yang pelajar Akademi Fantasia mendapat populariti yang cepat. Mereka harus tidak merasa diri mereka bagus dan sentiasa memperbaiki diri mereka. Seboleh-bolehnya agar orang lain tidak mendahului diri mereka. Umie contohnya menceritakan pengalamannya yang pada mulanya agak susah untuk mendapat populariti dan perlu membuktikan yang beliau mampu untuk berlakon. Mereka harus memasukkan elemen terbaik ke dalam populariti mereka agar menjadi lebih bagus.

Anekaragam
Kefli dan Akma banyak membantu rakan-rakannya dalam koreograf tarian tersebut. Mereka banyak memberikan idea-idea mereka untuk mencantikkan lagi persembahan tersebut. Ia merupakan satu inisiatif yang bagus di kalangan pelajar Akademi Fantasia.

Makan Malam Bersama Bintang AF
Berita baik untuk anda peminat AF! 30 peminat Amy dan Idayu yang terlebih dahulu menghubungi saya di e-mel hakimamir@gmail.com akan dijemput ke satu Majlis Khas Sesi Bertemu Peminat AF pada 15hb Julai 2005 (malam esok!!) jam 7.30 malam di Menara Kuala Lumpur (KL Tower).

Peluang anda untuk bertemu Amy & Idayu dan bintang bintang AF3 yang lain (yang dah terkeluar dari Akademi). Nikmati makan malam bersama bintang2 AF serta persembahan eksklusif mereka untuk anda. Tenaga – tenaga pengajar AF juga akan hadir!

Jangan lupa! Hanya 30 peminat Amy & Idayu pertama yang menghantar e-mel kepada saya
dengan Nama Penuh, Nombor Kad Pengenalan dan Nombor Telefon dan akan dijemput ke majlis ini !

Tunggu apa lagi??

bagi pihak ASTRO,
Hakim Amir
hakimamir@gmail.com

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 08
Kefli Kecil Hati
Kefli merasa kecil hati dengan Cikgu Ee kerana menuduh Kefli tidak menyanyi sewaktu lagu Menuju Puncak. Seingat saya apa yang diperkatakan oleh Cikgu Ee adalah sewaktu persembahan di Konsert minggu lepas dan bukannya sewaktu latihan yang baru sebentar berlangsung. Setelah diulang kembali rakaman, suara Kefli adalah yang paling jelas kedengaran berbanding pelajar lain. Amylea pula yang curi tulang kerana tidak menyanyi. Beliau banyak melihat cermin dari menyanyi. Yazer pula kelihatan termengah-mengah.

Memang hampa Kefli nampaknya kerana benar-benar terasa dengan teguran tersebut kerana berkali-kali beliau menyatakan kepada Cikgu Ee yang beliau menyanyikan lagu tersebut.

Marsha Bantu Kefli
Marsha mengambil kesempatan untuk membantu Kefli berlatih lagunya. Memandangkan Kefli membawakan lagu Inggeris maka bantuan sememangnya diperlukan. Apabila terpandang Marsha melihat kamera nampak seperti bantuannya tidak ikhlas pula. Saya dapat melihat keintiman dan kemesraan mereka. Memang sepadan. In real life pun, memangnya teman wanita Kefli merupakan seorang yang berambut panjang.

Ekin Berlatih, Amylea Main Piano
Saya melihat Ekin sedang sibuk berlatih lagunya, dalam waktu yang sama Amylea pula bermain piano. Sekurang-kurangnya hormatilah Ekin yang sedang berlatih lagunya. Jika ingin bermain piano, bolehlah bermain di waktu yang kosong dan bukannya sewaktu pelajar lain sedang berlatih. Ini bukan kali pertama saya melihat Amylea banyak kali enterframe sewaktu rakan-rakannya sedang berlatih. Ada kalanya beliau sibuk berlatih menari lagu-lagu kawan-kawannya sehinggakan menganggu tumpuan Cikgu Siti Hajar. Ini berlaku semalam. Sememangnya Amylea seorang yang gilakan perhatian.

Beliau kena faham bahawa masa yang diperuntukkan untuk seseorang pelajar tidak banyak. Maka peluang tersebut perlu dipergunakan oleh setiap pelajar untuk memberikan fokus mereka kepada ajaran Tenaga Pengajar. Apabila ada pelajar lain yang menyibuk di dalam kelas tersebut, maka tumpuan mereka banyak terganggu.

Fantasia Bulan Madu
Dua rocker terkenal Malaysia iaitu Amy dan Awie telah dibawa untuk masuk ke dalam Akademi Fantasia untuk bertemu pelajar. Sesi nyanyian Fantasia Bulan madu oleh semua pelajar sedang diadakan sewaktu Awie masuk ke Akademi.

Awie bertanyakan kepada semua pelajar siapakah yang paling rock antara Amy dan Awie. Yazer mengatakan gerakan badan Amy lebih lembut walaupun menyanyikan lagu rock. Begitu juga dengan Ekin. Awie telah meminta agar Felix menyanyikan lagu tersebut untuk melihat gaya beliau dan melihat perubahan yang boleh dilakukan olehnya.

Amy pula muncul dari belakang sewaktu Felix sedang menyanyikan lagu tersebut.

Setiap kali Tetamu singgah ke Akademi, perkara pokok yang akan menjadi topik perbualan mereka tentunya tentang stage fright, stamina, hidup susah. Menurut Amy setiap pelajar terlalu beruntung kerana kini mereka dapat mengikuti kelas vokal. Pada zaman dahulu tiada kelas vokal. Setiap kali mesti para tetamu akan menceritakan bagaimana susahnya zaman dahulu. Vince dan Khai juga bercerita bagaimana susahnya mereka di dalam Akademi Fantasia walaupun peristiwa tersebut baru sahaja 3 tahun berlangsung. Esok-esok apabila Mawi dan lain-lain telah lulus dari Akademi Fantasia juga boleh bercerita tentang susahnya mereka hidup di dalam Akademi ataupun hidup secara peribadi di luar Akademi.

Stage fright itulah yang menjadi thrill kepada setiap persembahan. Memang sukar untuk menghilangkan stage fright. Ia perlu ada untuk setiap persembahan. Jika tidak, penyanyi akan menjadi seorang yang over confident. Sebagai seorang penyanyi, kita perlu mempunyai impian yang besar. Perkataan suka-suka, sambil lewa dan isi masa lapang tidak boleh digunakan jika ingin berjaya.

Setiap dari mereka mempunyai peluang untuk menjadi pop-icon kepada industri muzik Malaysia sekiranya berusaha dengan gigih. Mereka satu hari kelak akan menjadi trendsetter, dengan syarat kena berani. Yang bercakap itu, cukupkah atau layakkah untuk menjadi trendsetter ? Dengan subangnya, rambut tidak payah cakap lah. Ini secara tidak langsung bakal mengelirukan pelajar. Apakah ini trendsetter yang perlu mereka ikut ? Apakah keberanian berpakaian sedemikian atau berfesyen begitu yang menjadi ajaran mereka. Kita lupakan soal pakaian atau penampilan kerana mereka sudah memberikan tips-tips yang bagus untuk para pelajar tersebut.

Menurut mereka, untuk menjadi penghibur kita perlu mempunyai semangat juang yang tinggi. Akademi Fantasia merupakan tempat untuk mencari senjata sulit yang kita tidak tahu selama ini. Mereka perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkannya.

Menurut Awie pula, beliau melihat tiada pelajar perempuan yang mempunyai ciri-ciri untuk menjadi penghibur yang sebenar-benarnya. What ! Bagaimana dengan Marsha dan Amylea ? Apakah itu belum cukup untuk menjadi seorang penghibur yang mantap ? Kebolehan vokal mereka sukar untuk dinafikan. Bagaimana pula dengan pelajar lelaki ? Apakah mereka cukup sifat untuk menjadi penghibur ?