Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 15 July 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 09
Barisan bala tentera memperkenalkan diri mereka satu persatu sebelum memulakan penilaian persembahan. Mereka telah diberikan hadiah kerana telah berjaya menjalankan tugas mereka dengan baik.

Kritikan Satu Seni
Mengkritik juga merupakan satu seni. Ia dapat melihat bagaimana kita memahami sesuatu situasi dan juga menggambarkan mentaliti dan pengetahuan pengkritik. Gaya bahasa yang digunakan juga mencerminkan mentaliti seseorang pengkritik itu. Apabila diadakan segmen kritikan dari para pelajar terhadap pelajar lain sememangnya satu tanggungjawab yang berat kerana mereka perlu menyampaikannya dengan jujur.

Persembahan Marsha masih mendatar. Saya sedikit risau melihatkan persembahannya. Lirik yang berulang-ulang dan juga menggunakan bahasa Dusun tentunya akan membosankan. Marsha perlu melakukan sesuatu untuk memeriahkan lagu Jambatan Tamparuli. Lagu rakyat agak mudah untuk menambat hati penonton tetapi tidak semua lagu rakyat berjaya menambat hati penonton.

Sebuah lagu cinta dari Akma disampaikan dengan penuh emosi. Lagu ini sememangnya makanan Akma sayangnya lagunya tidak begitu popular dan penonton sukar untuk berhubung dengan lagu tersebut. Lagu ini memerlukan penghayatan yang besar untuk membuatkan penonton terpesona.

Kefli masih belum menghafal liriknya dengan baik. Tumpuannya masih belum tercapai dengan betul. Lagu ini sememangnya sedap dan mampu membuatkan penonton untuk sama menari dengan Kefli. Kefli telah mencipta gerak-gerak yang mempersonakan dan ia mampu untuk memikat penonton. Kefli perlu memperbaiki teknik nyanyiannya yang sengau itu. Sekiranya terlupa lirik beliau perlu belasah saja.

Lagu untuk Yazer merupakan sebuah lagu yang agak popular dan biasa didengar oleh penonton. Yazer perlu mengurangkan melompat-lompat sehingga menjejakan projection vokalnya. Yazer perlu lebih berkomunikasi dengan penonton. Gayanya sebagai penghibur dengan mengangkat tiang pembesar suara sememangnya menarik, tetapi perlu dilakukan dengan stail. Menurut M.Nasir ada pelbagai cara untuk menggayakannya dan bukan seperti mengangkat cangkul.

Untuk menjadikan persembahan Marsha lebih difahami, Cikgu Marlia, Pengetua M.Nasir dan Marsha telah menterjemah lirik-lirik lagu dalam bahasa Dusun kepada bahasa Melayu. Ini setidak-tidaknya dapat mengelakkan persembahan Marsha menjadi lebih mendatar dengan lirik berulang-ulang yang tidak difahami penonton.

Diari Akademi Fantasia Minggu 07 Episod 10
Mawi menyatakan yang lagunya agak mudah tetapi elemen tarian yang sedikit menyukarkannya. Tetapi sebagai penonton, itu yang mereka ingin lihat. Bukan selalu dapat melihat Mawi menari. Felix menyatakan yang range lagunya agak tinggi sehingga beliau kurang berkeyakinan untuk membawakan lagu tersebut pada bahagian tersebut. Yazer perlu memperbaiki teknik pernafasannya untuk lagu tersebut. Kefli seperti yang kita lihat agak tertekan pada minggu ini kerana membawakan lagu Inggeris. Saya dapat merasakan yang Akademi Fantasia 3 ini bahawa setiap pelajar mengalami kesukaran untuk menyampaikan lagu Inggeris terutamanya pelajar lelaki. Amylea menganggap lagunya agak mencabar kerana pertama kali membawakan lagu berirama Malaysia.

Amylea telah membantu Mawi untuk menari lagu Oh Fatimah. Satu initiatif yang seharusnya dipuji.

Pertemuan Kefli dengan Pengetua
Kefli merupakan seorang pelajar yang terlalu berhati-hati. Beliau terlalu beauty-conscious. Macam Adam pada Akademi Fantasia 2. Setiap lima minit beliau akan memandang cermin. Pengetua telah mengingatkan Kefli agar tidak menyimpan kekuatannya. Beliau lebih berkomunikasi dengan penonton. Apabila ditanya apakah beliau menghadapi masalah dyslexia. Kefli menjawab tidak. Imaginasi Kefli terlalu rendah. Beliau tidak mampu melihat dengan lebih jauh persembahannya. Beliau kena menterjemahkan persembahannya di dalam kepalanya.

Menilai Peningkatan Pelajar Sehingga Minggu 6 (Bahagian 2)
Mawi
Ada sesuatu pada Mawi yang menyebabkan beliau disukai. Saya tetap menganggap peningkatannya masih kurang konsisten, lebih-lebih lagi dari aspek teknikal vokal. Mawi mempunyai tone yang baik tetapi kurang menggunakan teknik yang telah diajar. Mawi masih terikat dengan bunyi-bunyi masyid tersebut. Jika dibandingkan dengan pelajar lain seperti Marsha, Amylea ataupun Idayu, teknik vokal Mawi masih lemah.

Amylea
Beliau merupakan pelajar yang telah menunjukkan peningkatan yang besar di dalam Akademi Fantasia 3. Peningkatan yang ditunjukkan oleh beliau tetap terjadi walaupun menghadapi masalah. Ini membuktikan yang beliau berkemampuan untuk melupakan persekitaran luar yang mengganggu apabila membuat persembahan. Amylea mampu untuk menjadi sesuatu di masa akan datang sekiranya masih mengekalkan sikap sebegini.

Akma
Akma sememangnya hebat dari aspek vokal tetapi tidak menunjukkan peningkatan dari aspek personaliti. Akma senang membawakan lagu-lagu balada dan telah menggunakan kemantapan vokal beliau dengan sebaiknya.

Kefli
Kefli masih perlu meningkatkan mutu vokalnya. Teknik nyanyiannya perlu dibaiki. Kefli perlu membuang sikap panas baran dan tidak mahu mengubah sikap sekarangnya. Kefli harus perlu berubah. Kefli agak selesa dengan dengan lagu balada dan pop-rock maka beliau perlu menvariasikan lagi genre yang beliau boleh bawa.

Ramalan Penyingkiran
Saya letak taruhan saya kepada Ekin, Akma atau Kefli. Mereka ini antara pelajar yang lemah dan tidak menunjukkan peningkatan yang besar. Akma bernasib baik pada minggu lepas kerana sikapnya. Mungkin juga pada minggu ini penonton telah memaafkannya. Melihat kepada hubungan baiknya di dalam Akademi, mungkin juga penonton sudah memaafkannya. Akma menduduki tangga kedua terakhir selepas Aidil. Ekin dikritik hebat oleh para Tenaga Pengajar pada awal minggu. Personaliti Ekin juga terserlah apabila beliau secara terbuka menyatakan ketidak-puashatiannya terhadap Mawi. Satu strategi yang bagus dari Ekin. Para pengundi yang anti-Mawi akan memberikan undiannya kepada Ekin. Berdasarkan peningkatan, Ekin menunjukkan peningkatan yang tidak begitu konsisten. Kefli pula masih tercari-cari identitinya, beliau masih tidak membesarkan citarasanya. Peningkatannya amat kecil. Persembahannya adakalanya bagus adakalanya hancur. Aspek nyanyiannya masih tiada peningkatan. Sikapnya perlu dibaiki. Saya hanya mahu melihat personalitinya sahaja sekiranya beliau terus kekal.