Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 01
Hari-hari di Akademi Fantasia tanpa Ekin. Rutin-rutin biasa di Akademi Fantasia bermula dengan pembacaan surat wasiat oleh Akma dan pelajar-pelajar lain.
Menarik sungguh lirik lagu yang dipadankan dengan lagu Besame Mucho. Sambil Amylea bermain gitar, Marsha dan Akma menyanyikan lagu tersebut bersama-sama. Lirik-lirik lagu tersebut kebanyakannya merupakan lawak-lawak jenaka dalaman yang jarang-jarang kita fahami.
Persepsi
Dr Azahari hari ini bercerita tentang persepsi. Beliau telah menanyakan beberapa soalan yang perlu dijawab oleh para pelajar. Apabila telah selesai semua jawapan disiapkan, pelajar dikehendaki untuk membacakan jawapannya satu-persatu setelah soalan ditanya oleh Dr. Azahari. Namun demikian, soalan dari Dr. Azahari bukan merupakan soalan yang asal tetapi jawapannya tetap memberikan signifikan kepada jawapan pelajar.
Di sini letaknya makna persepsi. Setiap apa yang dilakukan oleh pelajar, baik perbuatan atau pun perkataan akan ditafsirkan oleh penonton. Mawi tertampar Ekin, dikatakan ganas oleh setengah pihak dan ditafsirkan sebagai tidak sengaja oleh pihak yang lain. Itu namanya persepsi. Begitu juga dengan kenyataan Kudsia Kahar yang pernah juga diberikan persepsi yang berbeza oleh sesetengah pihak. Saya pernah memberikan persepsi positif tentang kenyataan Kudsia, tetapi ada juga yang memberikan persepsi negatif tentang kenyataan tersebut. Begitu juga dengan kenyataan Roslan Aziz yang telah diberikan pandangan baru oleh saya tentang kenyataan tersebut. Saya telah memberikan persepsi positif dan negatif kepada kenyataan tersebut tetapi ada juga yang melihatnya sebagai cubaan memberikan persepsi negatif ke atas kenyataan tersebut. Jika mereka bertanya apa hak saya untuk menilai maksud kenyataan Roslan Aziz, apa pula hak mereka untuk menilai maksud kenyataan Kudsia ? Persepsi dibenarkan, baik persepsi negatif atau persepsi positif kerana pandangan manusia adalah berbeza-beza. Pengalaman manusia juga membezakan taraf mentaliti seseorang.
Kreativiti Mr Bola Bola
Cukuplah dulu. Mari kita ringankan minda kita dari persoalan-persoalan berat yang sering melanda Akademi Fantasia sejak akhir-akhir ini. Setiap pelajar telah diberikan sebungkus tanah liat untuk dibentuk menjadi Mr. Bola Bola. Kesemua pelajar telah menghasilkan ciptaan yang menarik walaupun ada ciptaan yang tidak teguh.
Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 02
Belaian Jiwa Versi Langit Dan Bumi
Bayangkan sekiranya mereka ini terpilih menjadi anggota kumpulan Innuendo. Beza nyanyian mereka sungguh ketara. Bagai langit dengan bumi. Saya lebih senang mendengar vokal Felix berbanding Kefli walaupun tidak pernah mengundi Felix. Bila agaknya Kefli ingin menghilangkan bunyi sengaunya itu. Minggu kelapan ? Minggu kesembilan ? Minggu kesepuluh ? atau pun mungkin di Konsert Reunion ? Sakit telinga lah !
Ketua Baru
Yazer telah dilantik menjadi ketua baru Akademi Fantasia. Saya menganggapnya sebagai satu peluang kepada pelajar lain untuk menunjukkan bakat kepimpinannya dan bukannya satu konspirasi untuk menjatuhkan Mawi atau apa-apa alasan yang sewaktu dengannya. Semakin hari semakin muak saya membaca komen-komen tidak berasas di blog saya ini. Hidup mereka penuh dengan pelbagai konspirasi yang melibatkan diri Mawi. Saya melihat peluang ini harus diambil oleh Yazer kerana kita telah melihat bagaimana cara Yazer memujuk Ekin dengan penuh diplomasi serta tegurannya ke atas Amylea. Minggu ini mungkin merupakan minggu penuh cabaran kepada Yazer kerana mendapat lagu yang nyata bukan permainannya dan telah dibebani dengan satu tanggungjawab baru. Tentunya begitu berat untuk ditanggung.
Pada dua minggu yang lepas, Mawi telah menjalankan tugasnya dengan baik terutamanya dalam menyatukan pelajar-pelajar yang tinggal. Jelas kelihatan kemesraan di antara mereka. Kehilangan yang timbul setelah penyingkiran Aidil dapat dirasakan. Bermula dengan teguran ke atas Amylea, berlaku sedikit pergolakan tetapi semangat perkumpulan berjaya disatukan semula oleh mereka. Tahniah Mawi !
Lagu Baru Minggu 08
Kefli - Hati Emas oleh Kembara
Marsha - Cobalah Untuk Setia oleh Kris Dayanti
Mawi - Pupus oleh Dewa
Akma - Selamat Jalan Romeo oleh Ramlah Ram
Felix - Hukum Karma oleh Wings
Amylea - Dua Insan Bercinta oleh Ella
Yazer - Mengapa Harus Cinta oleh Vince
Lagu Bonus - Seri Langkat (Jamal Abdillah & Amelina) dan Ladki Badi Anjani Hai (OST Kuch Kuch Hota Hai)
Sembang Tenaga Pengajar
Masalah lagu bahasa Inggeris pernah saya suarakan pada minggu lepas. Rata-rata pelajar lelaki amat gerunkan lagu Inggeris. Berbeza dengan pelajar perempuan. Lebih memeranjatkan Cikgu Fatimah, apabila Kefli juga salah seorang daripada mereka. Melihatkan latarbelakangnya yang berasal dari Kuala Lumpur tentunya bahasa Inggeris tidak menjadi masalah besar kepadanya. Ia benar-benar mengejutkan kepada para tenaga pengajar. Masalah bahasa Inggeris ini boleh dikatakan sebagai masalah besar dalam Akademi Fantasia kerana taraf pendidikan mereka yang berbeza antara satu sama lain. Tidak cukup dengan itu, situasi persekitaran mereka juga turut memainkan peranan yang penting. Dibesarkan dari kelompok yang bukan berbahasa Inggeris tentunya sukar untuk menguasai bahasa tersebut.
Latihan Pertama Pelajar
Kefli membawakan lagu Hati Emas. Tolonglah hilangkan sengau itu. Sengau satu hal. Menjerit pun satu hal juga.
Yazer bakal menghadapi cabaran paling besar pada minggu ini. Silap langkah, lagu ini bakal menjadi persembahan paling buruk. Seorang penyanyi rock membawakan lagu yang penuh dengan teknik falsetto. Mampukah Yazer memikul cabaran ini ? Vokalnya yang kasar dan serak merupakan satu-satunya asset yang akan beliau pergunakan untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Saya risau dengan persembahan beliau.
Akma bakal menampilkan gelekan untuk lagu ini. Persembahan vokal Akma nampaknya bersesuaian dengan lagu ini. Cuma pada bahagian tinggi beliau menghadapi sedikit masalah. Range Ramlah Ram memang satu-satunya range penyanyi perempuan yang hebat. Silap langkah, tidak mampu dicapai oleh Akma.
Tone vokal yang dipunyai oleh Marsha agak bersesuaian dengan lagu Cobalah Untuk Setia. Marsha perlu memberikan ketelitian dari aspek tempo lagu ini. Adakalanya nyanyi beliau seakan tidak masuk dengan melodi lagu tersebut.
Menurut Pengetua M.Nasir, Akma antara pelajar yang boleh menghafal lirik lagu dengan baik. Pelajar-pelajar lain tidak mampu menghafal dengan baik sehinggakan ¾ daripada lirik lagu tersebut tidak berjaya dihafal oleh mereka.
Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Setelah lapan minggu berada di Akademi Fantasia, pelajaran yang diperolehi adalah agak banyak juga. Malangnya penggunaannya masih belum kelihatan terutama dari segi placement dan breathing.
Pelajar diminta untuk berlari setempat dan sambil melontarkan vokal mereka. Ada waktunya, vokal dilontarkan sewaktu sedang melonjak dan sewaktu menjejak ke lantai. Namun demikian, lontarannya masih betul dari segi placementnya. Ada juga yang masih tidak betul. Mereka harus mencari placement tersebut.
Bagaimana Peluang Pelajar ?
Kefli akan membawakan lagu Hati Emas oleh Kembara. Saya melihat lagu ini sebagai sebuah lagu yang tidak banyak bezanya dengan lagu Keindahan Pantai dari segi rentaknya. Dari segi penghayatan lirik lebih kurang menyamai lagu Berhenti Berharap. Agak puitis dan bukan sejenis lagu yang mudah untuk disampaikan maknanya. Kefli berpeluang untuk mengajak penonton menyanyi bersamanya sekiranya beliau berkemampuan.
Marsha bakal membawakan lagu Cobalah Untuk Setia oleh Kris Dayanti. Saya tidak nampak kesukaran Marsha kecuali pada bahagian tinggi. Lagu ini hebatnya sama seperti lagu Tunggu Sekejap dari segi pembawaan emosinya. Penonton harus dapat merasai permintaan Marsha melalui lagunya.
Mawi pula akan membawakan lagu Pupus oleh Dewa. Dewa. Dewa. Dewa. Sebuah kumpulan yang menjadi kegilaan ramai dan secara khusus, kegilaan saya. Peluang ini boleh digunakan oleh Mawi untuk menebus kekecewaan penonton setelah beliau gagal membawakan lagu Dari Kekasih Untuk Kekasih. Lagu Pupus sememangnya berhantu. Bukan calang-calang penyanyi mampu membawakan lagu ini.
Akma bakal bergelek dengan lagu Selamat Jalan Romeo oleh Ramlah Ram. Lagu ini boleh dijadikan landasan oleh Akma untuk melupakan sifat malunya. Peluang ini harus tidak dilepaskan oleh Akma setelah beliau melepaskan peluang keemasan sewaktu membawakan lagu LOVE. Lagu ini sekiranya dapat dibawakan dengan baik serta persembahan pentas yang cemerlang tentunya membolehkan beliau mengenepikan Yazer untuk Pilihan Lima Terbaik saya.
Felix bakal menjerit lagi dengan lagu Hukum Karma oleh Wings. Lirik lagu ini amat mudah. Terlalu pendek. Tidak sewajarnya dijadikan alasan. Felix telah melepaskan peluang untuk memukau pada Fantasia Bulan Madu. Lagu ini berpeluang untuk menyerlahkan lagi kredibiliti vokal beliau. Felix harus memberikan vokal yang terbaik untuk lagu ini seperti vokalnya untuk lagu Tiada Lagi Kidungmu.
Amylea gembira sekali kerana mendapat lagu Dua Insan Bercinta oleh Ella. Saya tabik kepada Amylea kerana menyahut apa sahaja cabaran tanpa mengeluh. Lagu jazz OK, lagu pop-rock OK, lagu balada OK, lagu irama Malaysia pun OK. Beliau selamba sahaja meragut peluang tersebut kerana beliau berfikiran positif mahu menyerlahkan lagi bakat beliau. Walaupun R&B merupakan permainan beliau, cabaran lagu rock ini tidak pun menggugat sedikit pun semangatnya malah terus memuncak untuk lagu ini.
Yazer menerima lagu Mengapa Harus Cinta oleh Vince dengan perasaan yang kurang ceria. Saya amat simpati kepada beliau. Lagu Mengapa Harus Cinta seakan-akan membunuh peluang beliau di Akademi Fantasia. Lagu membunuh ini sememangnya kaya dengan falsetto dan teknikal vokal. Apa yang telah diajar oleh Cikgu Adnan dan Cikgu Siti Hajar mesti dipraktikkan untuk lagu ini. Sekiranya tidak, lagu ini akan tebal bunyi kasarnya serta imej rock akan disuntik kepada lagu tersebut. Saya tidak begitu pasti dengan susunan muziknya yang terbaru sekiranya ditukar. Jika Yazer bijak, beliau boleh memberikan sentuhan rock kepada lagu ini bergantung kepada kreativitinya.
0 komen