Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 July 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 05
Kelas Bahasa Inggeris Cikgu Fatimah
Minggu ini mereka mendapat tugasa dan dibahagikan kepada tiga kumpulan. Tugasan mereka ialah mereka dikehendaki bertutur dalam bahasa Inggeris kepada sekelompok penonton yang agak elit. Ada kumpulan yang mendapat ahli perniagaan, tokoh politik dan para cendekiawan.

Komen saya adalah tentang gaya dan cara mereka bertutur. Ada di antara mereka yang masih mengekalkan imej kebudak-budakan sewaktu memperkenalkan diri. Felix umpamanya masih mengekalkan lawak jenakanya. Untuk audiens yang bersifat agak profesional tentunya kurang sesuai. Begitu juga dengan Mawi yang sama dengan Felix. Kefli nadanya agak bersesuaian sewaktu perkenalan tersebut. Marsha, Akma dan Amylea agak selesa dalam pertuturannya.

Secara keseluruhan, semuanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Mereka nampak berkeyakinan. Yang perlu dibaiki cuma cara dan gaya mereka bertutur. Mereka perlu nenampilkan imej yang lebih nampak profesional dan bukan kebudak-budakan.

Kelas Vokal Cikgu Adnan
Penyampai Yazer masih kasar untuk lagu ini. Imej-imej rock masih menebal dalam persembahannya. Nampak berlainan tetapi masih memadai. Yazer harus lebih berkeyakinan dan menghilangkan imej kerisauan dari dalam dirinya. Gayanya semakin menyerlah dari hari ke hari. Baiki dari aspek sebutan nyanyiannya.

Amylea nampaknya selesa dengan lagu ini kecuali perlu memperbaiki masalah tempo yang sering dihadapi olehnya. Teknik nyanyiannya menyerlah dalam lagu ini. Itu sebab saya tidak risau dengan kebolehan beliau apabila menerima genre lagu yang bukan pilihannya.

Felix pula amat merisaukan apabila tiba pada bahagian nada paling tinggi. Nampak begitu sengsara Felix untuk menyampaikannya. Latihan demi latihan dilakukan oleh Felix untuk mendapatkan note yang betul dalam lagunya. Beliau dinasihatkan agar mengurangkan latihan pada bahagian tinggi agar tidak hilang suara.

Kelas Tarian Cikgu Linda Jasmine
Hebat sekali koreograf tarian untuk lagu Hindustan kali ini. Pelajar lelaki perlu mengangkat pelajar perempuan dalam formasi bulatan.

Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Artikel di Harakah Daily : Mawi dan Akademi Fantasia: Fenomena baru?

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 06
Kefli buat muka comel melayan Tipah Tipah. Yazer pula siap sendawa di hadapan Tipah Tipah. Lebih malang apabila klip tersebut ditayangkan kepada umum. Memanglah mula-mula boleh mengawal pergerakan dan tingkah-laku mereka tetapi setelah lapan minggu berada di Akademi, tentunya mereka tidak dapat lagi mengawalnya.

Amylea pula didapati sakit tekak dan tidak dapat menyanyikan lagu yang ada falsetto. Lagu Dua Insan Bercinta boleh dinyanyikan tetapi tidak untuk lagu Hindustan. Tekaknya berdarah semalam katanya. Menurut Amylea sakit tersebut mungkin datang kerana tidak cukup tidur.

Kelas Tarian Koreografi Cikgu Ee
Mereka telah dilatih untuk menarikan tarian Melayu untuk lagu Seri Langkat. Pergerakan kefli agak lembut. Pergerakan pelajar perempuan juga agak menarik. Formasi yang diajar oleh Cikgu Ee juga boleh tahan. Nyanyian pelajar lelaki boleh dibaiki agar lebih jelas. Nyanyian pelajar perempuan sudah cukup baik walaupun mereka hanya tinggal 3 orang.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Kefli melakukannya dengan baik dengan sekali cubaan. Mawi melakukannya beberapa kali. Beliau masih belum dapat teknik yang diajar oleh Cikgu Siti Hajar.

Kefli perlu tahu apa itu forwardness dan apa itu intonasi. Lontaran vokalnya agak bagus tetapi bunyi yang dihasilkannya masih belum indah di telinga saya. Intonasi pula beliau perlu memahami makna-makna lirik lagu tersebut. Apabila beliau faham makna lirik tersebut maka lebih mudah untuk beliau menyanyikan lagu tersebut serta memberikan penghayatannya ke dalam lagu tersebut. Bagaimana hendak berjalan di tanah gersang. Perasaannya perlu dibawakan ke dalam lagu tersebut.

Marsha pula diajar tentang sebutan. Tidak ada sebutan yang tidak boleh keluar jika tekniknya betul. Bahagian rendah pada permulaan lagu tersebut perlu diberikan sedikit tumpuan. Biar bunyinya lebih jelas.

Mawi boleh menyanyikan lagu Pupus seselesa yang mungkin. Pada beberapa bahagian kedengaran agak sumbang. Cikgu Siti Hajar masih belum berpuas hati dengan latihannya. Beliau meminta agar dipasang semula lagu nyanyian asal Pupus. Beliau harus faham tentang teknik dan maka secara tidak langsung stail itu akan datang secara automatik. Teknik tersebut akan membuatkan mereka merasa senang pada tubuh mereka lagu stail itu akan datang secara semulajadi.

Jika pada minggu lepas ada yang marah kerana tidak dapat menonton sesi latihan Mawi, tentunya mereka berasa lega pada minggu ini kerana dapat melihat sesi latihan Mawi. Tetapi tentu juga ada yang merasa tidak berpuas hati kerana sesi latihan tersebut digambarkan dalam suasana Mawi yang masih belum dapat memahami teknik lagu tersebut. Tunjuk salah, tidak ditunjuk salah.

Mawi telah diajar oleh Marsha tentang lontaran pada tempat-tempat yang betul. Marsha memperbetulkan teknik nyanyian Mawi. Nampak peningkatan pada nyanyian Mawi. Namun demikian, saya masih belum berpuas hati dengan nyanyian Mawi untuk lagu tersebut. Saya suka lagu tersebut dan masih belum sedap di telinga saya.

Kejutan Afdlin Shauki
Semangat betul Amylea apabila mengetahui akan kehadiran Afdlin Shauki. Kejutan yang dirancang sebenarnya dikenakan kembali apabila Afdlin muncul dari belakang dan bukannya dari muka pintu. Jelas kelihatan Amylea termalu-malu apabila dapat bertemu dengan Afdlin. Rata-rata pelajar merasa gembira dengan kehadiran Afdlin kerana beliau agak terkenal sebagai seorang yang pelawak dan tidak begitu serius. Sekurang-kurangnya dapat meringankan ketegangan para pelajar setelah berada tujuh minggu di Akademi.

Afdlin menasihatkan pelajar agar mendapat rehat yang cukup. Pada waktu muda sememangnya kita boleh tahan, tetapi apabila semakin meningkat tua, belum tentu kita dapat tahan keadaan tersebut.

Yaer mendapatkan nasihat tentang cara-cara menguruskan badan. Pada awal kemunculannya di dalam arena muzik berat badannya adalah 100kg dan turun ke 76kg setelah berkahwin. Sewaktu penggambaran Buli beratnya meningkat ke 100kg semula. Tetapi ada doktor yang mengawal pemakanannya sewaktu proses penurunan berat badan tersebut.

Setiap pelajar mesti tahu kenapa mereka berada di dalam Akademi Fantasia. Apa motivasi kita melakukannya. Jangan sampai pada satu hari nanti setelah kita tiba-tiba teringat kenapa aku melakukannya di pertengahan jalan. Maknanya kita tidak tahu apa yang kita hendak buat. Jika kita tahu apa yang kita hendak, kita akan capai apa yang kita mahu. Jangan pijak kepala orang lain. Tetapi itulah Melayu.

Bekerja di dalam industri ini bukannya senang. Kita harus mencinta apa yang kita sukai. Begitu juga dengan Marsha dan Amylea. Tetapi harus terus belajar dan terus belajar. Sebelum berakhir, Afdlin sempat menyanyi lagu blues dengan para pelajar secara impromptu.

Kenapa saya tulis blog ?
Blog ini bermula dengan sebuah jurnal peribadi harian yang pembacanya sekitar 300 orang sehari. Saya belum berpuas hati. Saya mahu blog ini dibaca oleh ribuan pembaca. Kemunculan Akademi Fantasia merubah segala-galanya. Bermula dari komen-komen peribadi di Forum saya baiki dan saya susun agar lebih teratur tatabahasanya. Saya melakukannya untuk pembaca saya yang sebanyak 300 hits sehari itu. Tidak pernah saya terfikir hari ini saya memperolehi 11,000 hits sehari. Mulanya saya tidak minta mereka baca, saya tidak pelawa mereka datang membaca. Jangan salahkan saya sekiranya mereka membaca. Jangan saya jadi mangsa cemburu kerana blog ini dibaca. Saya menemui pelbagai macam manusia dari sini. Belajar bermacam-macam benda baru dari mereka yang ikhlas mahu membantu. Belajar bermacam-macam skil pelindung dari mereka yang berusaha mahu menjatuhkan. Malangnya, saya masih belum puas dengan apa yang saya ada sekarang. Saya tidak mahu berhenti lagi. Seboleh-bolehnya saya mahu hubungan saya dan pembaca saya berjalan dalam suasana yang penuh harmoni. Motivasi saya dengan terus mengemaskinikan blog ini adalah kerana pembaca saya ingin mendapatkan pandangan saya tentang Akademi Fantasia. Saya memberikan pandangan saya berdasarkan apa yang saya lihat, apa yang saya dengar dan apa yang saya rasa. Jika anda sudah berpuas hati, malangnya saya belum lagi mencapai apa yang saya inginkan. Moga hari ini ia tercapai.