Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 09
Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 10
Diari bermula dengan para pelajar menyanyikan lagu Negaraku. Kefli menjadi konduktornya. Hari Jumaat, Mawi, Yazer, Kefli berbaju Melayu. Kefli siap bersongkok putih. Tinggi benar. Mawi berbaju Melayu ungu muda dan Yazer berbaju Melayu hitam. Pelajar perempuan berpakaian Barat. :)
Jamal Abdillah ke Hostel Pelajar
Yazer dan Felix bercerita kepada pelajar perempuan yang Jamal Abdillah telah datang ke asrama lelaki semalam. Akma dan Amylea mati-mati tidak percaya. Berusaha Akma agar Yazer melafazkan sumpah untuk berkata benar. Walaupun Yazer telah melafazkan sumpah tersebut, Akma masih tidak mempercayainya. Menurut Akma, selalunya mereka akan mengambil autograph tetapi kali ini mereka tidak melakukannya. Amat sukar untuk mereka percaya tentang kehadiran Jamal Abdillah ke hostel lelaki. Kemunculan tidak adil oleh Jamal Abdillah agak sukar untuk dipercayai kerana ia diceritakan oleh Felix yang sememangnya terkenal dengan suka membuat lawak.
Jamal Abdillah dilihat memasuki hostel lelaki dan menunggu pelajar lelaki menghabiskan kelas mereka pada malam itu. Agak dramatik penggambaran yang dibuat. Lebih-lebih lagi menggunakan teknik gerak perlahan. Setelah selesai Kelas Tarian Cikgu Linda, pelajar lelaki pulang ke hostel mereka. Ini juga merupakan klip yang jarang-jarang kita lihat. Rutin harian mereka yang tidak dirakamkan untuk disiarkan. Namun demikian, kerana kejutan dari Jamal Abdillah, rutin harian tersebut dapat ditonton oleh para penonton. Terbuka sahaja pintu, Mawi benar-benar terkejut kerana Jamal ABdillah sudah menunggu mereka di asrama. Pertama kali dalam sejarah Akademi Fantasia, selebriti dibawa ke hostel pelajar.
Nasihat-nasihat umum telah diberikan oleh Jamal Abdillah kepada semua pelajar lelaki. Melalui program sebegini, bakat baru dicungkil dan peluang keemasan ini tidak harus dilepaskan. Apabila membawakan lagu penyanyi lain, adalah perlu untuk setiap pelajar agar tidak terlalu mengikut stail penyanyi asalnya. Mereka harus mencipta stail mereka yang tersendiri untuk lebih menyerlahkan bakat yang mereka ada. Mereka perlu menghafal lirik lagu tersebut dan memahami cerita dari lagu tersebut dan juga cuba mengaitkan diri mereka dengan lagu tersebut.
Jamal Abdillah kemudiannya menyanyikan lagu Seroja untuk semua pelajar. Jamal Abdillah antara penyanyi yang versatile di Malaysia ini. Berikan sahaja apa jenis lagu dan beliau mampu membawakannya dengan baik. Melihatkan Jamal membawakan lagu Seroja dengan penuh perasaan tentunya memberikan satu kekaguman kepada para pelajar termasuklah Mawi. Mawi nampak benar-benar terpegun dengan kehebatan Jamal.
Kelas Motivasi Dr. Azahari
Mawi telah ditanya tentang apa yang paling menarik baginya pada minggu ini. Mawi menjawab pertemuan dengan Pak Hamid Gurkha yang amat dikagumi oleh beliau sejak kecil. Selain daripada itu kemunculan Jamal Abdillah turut memberikannya sebuah kenangan manis. Secara tidak langsung, pelajar perempuan sukar untuk mempercayainya. Berkali-kali mereka menerangkan kepada Dr. Azahari yang Mawi berbohong. Pelajar-pelajar lelaki yang lain turut menyokong percakapan Mawi.
Helikopter
Mereka dipecahkan kepada empat kumpulan. Felix berseorangan, yazer berseorangan, Mawi dan Kefli dalam satu kumpulan dan pelajar perempuan dalam satu kumpulan. Mereka diarahkan untuk menyelesaikan masalah yang telah diberikan iaitu untuk merekabina sebuah helikopter. Pelajar perempuan dapat menyiapkannya dalam waktu yang singkat.
Moralnya mudah sahaja. Apabila berada di dalam kumpulan, setiap masalah dapat diselesaikan dalam semangat bermesyuarat. Mereka dapat berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah tersebut. Ini secara tidak langsung mereka dapat menyiapkan model tersebut dalam masa yang lebih singkat. Ini berbeza pada kumpulan-kumpulan yang lain yang menyiapkannya dalam tempoh yang lebih panjang.
Apabila satu komuniti telah dapat dibentuk seperti sebuah keluarga komuniti yang ada di blog ini, setiap perbincangan dapat dibuat dan dicapai melalui proses perbincangan secara sihat. Sekiranya ada masalah, ia dapat diselesaikan dengan segera melalui bantuan pembaca-pembaca yang lain. Keharmonian ini secara tidak langsung amat dicemburui oleh pembaca yang berasa iri hati dengan ketenangan yang ada di sini.
Mereka turut dihadiahkan dengan sebuah whiteboard yang memaparkan wajah-wajah karikatur mereka di masa akan datang. Apakah ia dijual ? Sekiranya ia dijual, saya ingin membelinya.
Komen Tenaga Pengajar
Tumpuan saya terganggu kerana melihatkan ekspresi lebih hebat Pengetua M.Nasir. Gaya beliau penuh bertenaga. Saya merasakan nyanyian Mawi pada hari ini lebih baik. Mawi perlu lebih memberikan ekspresi yang hebat kepada lagu ini. Temponya juga baik dan beliau perlu memberikan impak kepada attack-attack dalam lagu tersebut.
Nyanyian Yazer masih sumbang. Banyak note tidak disampaikan dengan baik. Saya melihat Cikgu Siti Hajar sehingga terduduk dibuatnya. Menurut Pengetua M.Nasir oleh kerana tidak push dengan baik menyebabkan nyanyiannya sumbang. Saya nampak Yazer boleh membawakan lagu ini dengan baik sekiranya tidak terlalu dibayangi dengan falsetto Vince. Itu kekuatan Vince dan jangan cuba untuk melakukan sesuatu yang di luar bidang kita. Yazer harus mencari identitinya sendiri kepada lagu tersebut.
Marsha masih kelihatan terlalu berhati-hati. Matanya liar memandang Tenaga Pengajar. Marsha harus lebih relaks untuk lagu tersebut. Pergerakannya nampak kaku. Nyanyian Marsha agak baik dan perlu dibaiki terutamanya pada bahagian korus.
Sewaktu sesi latihan Seri Langkat, pelajar membiasakan diri mereka dengan koreograf lagu tersebut. Masih tidak begitu baik formasi mereka. Nyanyian mereka juga masih biasa. Mawi turut menyarankan kepada mereka tentang sebutan salah satu lirik dalam lagu tersebut. Jamal Abdillah sendiri yang mengajar mereka bagaimana menyebutnya. Terus membangkitkan rasa cemburu dan tidak percaya di kalangan pelajar perempuan. Mereka mati-mati masih tidak percaya kemunculan Jamal Abdillah di hostel lelaki. Cikgu Ee juga tidak mempercayainya.
Cara mereka memperkenalkan diri mereka pada minggu ini berlatarkan lagu Hindustan. Masing-masing dengan nama-nama yang tersendiri untuk mengumpan undian penonton. Saksikan esok sahaja.
Ramalan Penyingkiran
Mawi dan Felix telah berada dalam senarai Pilihan Lima Terbaik saya sejak Konsert Prelude. Setelah berlangsungnya Konsert mingguan, peningkatan yang ditunjukkan oleh Amylea dan Marsha seakan-akan telah pun menempah tempat mereka untuk bersama-sama dengan Mawi dan Felix.Minggu ini merupakan minggu penentuan tempat terakhir ke Pilihan Lima Terbaik. Antara Akma dan Yazer. Semuanya berdasarkan persembahan malam konsert esok.
Kefli dan Yazer merupakan antara pelajar yang lemah pada minggu ini. Graf undian mereka juga tidak banyak berbeza dan tidak melepasi paras 10%. Saya meletakkan dua pelajar ini sebagai antara yang bakal tersingkir pada minggu ini. Sudah sampai masanya Kefli meninggalkan Akademi Fantasia. Yazer masih boleh diberikan peluang kepadanya untuk satu lagi minggu sebelum menjelang minggu terakhir ke Konsert Akhir.
Esok, saya menantikan persembahan dari Akma dengan lagu Selamat Jalan Romeo, Mawi dengan lagu Pupus, Felix dengan lagu Hukum Karma dan Amylea mecuba dengan lagu Dua Insan Bercinta.
0 komen