Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 09 July 2005

Konsert Akademi Fantasia 06 : Marsha Memukau Seluruh Malaysia, Aidil Heart Attack !

Konsert 06 AF3

Saya akan ingat Konsert ini bukan kerana persembahan cemerlang Marsha, Mawi atau Amylea. Juga bukan kerana persembahan buruk Felix. Saya ingat Konsert 06 ini kerana jenaka Aidil. Satu kejutan yang paling cemerlang dalam sejarah Akademi Fantasia. Saya dapat melihat bagaimana tertipunya rakan-rakannya yang lain. Kesedihan yang sepatutnya timbul di atas pentas kerana penyingkiran tersebut bertukar menjadi kemesraan yang tidak dapat kita saksikan lagi antara Aidil dan pelajar lain selepas ini. Saya tidak akan melupakan kemesraan tersebut yang jarang-jarang berlaku di Akademi Fantasia 3 sejak akhir-akhir ini.

Sekiranya dibaca secara keseluruhan, saya telah menyenaraikan pilihan saya untuk Lima Finalis Akademi Fantasia. Mereka terdiri daripada Marsha, Amylea, Felix dan Mawi. Satu lagi tempat kosong masih terbuka untuk rebutan antara Yazer dan Akma.

Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 24%
Felix 18%
Amylea 9%
Aidil 9%
Marsha 9%
Akma 9%
Yazer 8%
Ekin 8%
Kefli 7%

Pengkritik Profesional
Konsert 06 AF3

Iman Wan muncul sebagai pengkritik malam ini. Beliau merupakan antara panel yang terpilih untuk mencari ke serata Malaysia bakal bintang Akademi Fantasia. Komen-komen beliau saya suka kerana sedikit mengimbangi komen-komen dari Adlin Aman Ramlie. Adlin Aman Ramli muncul menggantikan Kudsia Kahar lagi pada minggu ini. Saya memang menantikan komen-komen beliau. Apakah beliau akan tone down pada minggu ini atau sebaliknya. Komen-komennya lebih bersesuaian dan agak bernas pada minggu ini. Siapa sangka Datuk Sharifah Aini akan keluar dari persembunyiannya. Beliau menggunakan Akademi Fantasia sebagai platform untuk kembali ke dalam senario industri hiburan Malaysia. Satu langkah yang bijak kerana setidak-tidaknya beliau boleh mengumpulkan semula kekuatan dan dengan bantuan dari kelompok peminat Akademi Fantasia untuk bangkit semula di masa akan datang. Lebih-lebih lagi menggunakan Mawi yang kini tarafnya hampir menyamai populariti Siti Nurhaliza. Populariti ini semasa beliau di Akademi Fantasia, selepas Akademi Fantasia kita belum tahu lagi. Saya ingin juga mendengar apa komen mereka tentang tindakan Datuk Sharifah Aini yang memakai tudung semata-mata ingin memberikan komen untuk Mawi.

Persembahan Pelajar
Konsert 06 AF3

Yazer - Cinta Kilat 7/10
Saya menyukai dengan tone vokal yang ada pada Yazer yang pada saya agak solid. Persembahannya bermula dengan agak bertenaga dan penuh dengan attitude untuk menyampaikan cerita di sebalik lagu tersebut. Satu kekurangan pada persembahan ini beliau hanyalah berinteraksi dengan kawan-kawannya sahaja dan tidak kepada penonton yang menonton. Saya suka dengan gerak-gerak spontan dan penampilan showmanship yang bagus. Beliau membawakan cabaran untuk lagu lama dan bukan sekadar lagu rock sahaja. Beliau telah berjaya melaksanakan dengan baik walaupun tidak begitu outstanding. Satu kaki beliau telah saya pilih untuk melangkah ke Konsert 10, beliau harus membuktikan kepada saya untuk tempoh tiga minggu akan datang.

Konsert 06 AF3

Marsha - Destiny 9.8/10
Marsha tampil dengan gaun serba merah yang benar-benar memukau hadirin. Marsha juga tampil untuk persembahan khas kepada Adlin dengan lagu “Pokok Kelapa”. Semua mata tertumpu ke arahnya. Personaliti beliau menjadikan beliau disayangi. Marsha mempunyai satu aura yang membolehkan penonton menyukainya. Persembahan vokal beliau amat cemerlang dan merupakan antara pelajar yang amat konsisten sekiranya dinilai dari aspek tersebut. Saya nampak beliau begitu berkeyakinan menyanyi sambil bermain piano. Marsha telah berjaya membawa saya terbuai dalan alunan permainan pianonya. Satu kekurangan Marsha beliau nampak agak keterlaluan untuk menumpukan terhadap permainannya sehingga perasaan lagu tersebut tidak disusuli dengan pergerakan badan yang lebih menarik. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Konsert 06 AF3

Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu 4/10
Sekali lagi Kefli dikejutkan dengan kehadiran suara Siti Nurhaliza. Mujur bukan Siti Nurhaliza. Pandai sungguh kejutan ini. Balas dendam agaknya, bukan untuk Kefli. Memang agak mirip-mirip suara Siti Nurhaliza penyanyi tersebut. Bagaimana agaknya sekiranya Siti Nurhaliza yang muncul malam itu. Satu perkara yang dapat saya simpulkan, Kefli masih tidak menggunakan teknik mengawal lontaran vokalnya. Bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh Kefli agak membingitkan. Sebuah lagu yang sedap seperti lagu tersebut menjadi begitu nyaring di telinga. Ekspresi wajahnya bagus dan agak konsisten sehingga lagu tersebut. Tetapi perasaan lagu tersebut tidak sampai kepada penonton. Beliau perlu melebihkan warna-warna pada teknik vokalnya. Banyak hujung-hujung note lagu tersebut sekadar mendatar tanpa warna-warna yang menarik. Membawakan lagu asli sememangnya bukan sesuatu yang mudah.

Konsert 06 AF3

Amylea - Hati Ini Telah Dilukai 9.7/10
Amylea membawakan lagu ini dengan baik sekali. Ada masalah tempo sedikit di bahagian awal tetapi beliau dapat catch up. Tidak besar cuma sedikit sahaja. Pergerakan-pergerakan Amylea penuh dengan stail yang menarik dan amat profesional. Beliau dapat menghayati lagu ini dengan baik mungkin kerana masalah-masalah yang melanda beliau minggu sudah. Kemunculan Felix sebagai penyanyi lelaki yang mengiringi persembahan Amylea telah sedikit mencuri tumpuan penonton terhadap Amylea walaupun Felix menyanyi di dalam gelap. Ia boleh saya anggap kekurangan Amylea. Tidak besar, tetapi tetap ada impaknya terhadap penilaian saya. Saya suka dengan persembahan vokal beliau yang amat mantap dan amat konsisten berbanding pelajar lain. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Konsert 06 AF3

Ekin - Warna 2/10
Persembahan Ekin penuh dengan kekurangan pada malam ini. Showmanshipnya tidak seiring dengan keistimewaan susunan muzik lagu tersebut. Lagu tersebut yang agak rancak tetapi pergerakan-pergerakan lemah Ekin merosakkan persembahannya. Ein tidak menghayati lagunya dengan baik dan tidak masuk ke dalam lagu tersebut untuk menampilkan keceriaan lagu tersebut. Ekin mampu menghasilkan gerakan seperti Lets Get Loud tetapi terlalu hambar dalam Warna. Satu lagi kekurangan Ekin adalah masalah wardrobe yang nyata tidak memihak kepadanya. Saya menyalahkan penyedia wardrobe. Sememangnya tiada siapa pun yang layak untuk membawakan lagu Sheila Majid kerana beliau hanya satu di dunia ini.

Konsert 06 AF3

Felix - Smooth 4.3/10
Sebelum persembahan, klip Mawi dan Felix sedang melihat koleksi gambar-gambar mereka dipaparkan. Sungguh terharu melihat kemesraan mereka yang seperti adik-beradik. Adakalanya mereka bergurau sesama sendiri. Ayat “cute kepala otak” itu saya anggap sebagai gurauan adik-beradik.

Sebuah persembahan yang lebih teruk berbanding Beautiful Maria. Saya tidak faham apa yang disampaikan. Bukan sahaja saya, Felix juga tidak faham apa yang beliau sampaikan. Temponya juga hancur. Kelebihan Felix di sini ialah showmanship beliau yang bersahaja. Pergerakan-pergerakan itulah yang telah memikat penonton. Beliau seakan-akan mengacah penonton dengan pergerakan-pergerakan seksi. Semua ini tidak dapat kita tonton sewaktu latihan. Keyakinan yang tinggi ini timbul secara spontan dan itulah yang telah menyelamatkan persembahannya. Selain daripada itu personalitinya yang bersahaja serta lawak-lawak spontannya turut menyelamatkannya. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Konsert 06 AF3

Aidil - Matahari 4.5/10
Saya suka dengan persembahan Aidil apabila beliau membawakan lagu ini jauh berbeza dengan gaya Bandi Amuk membawakan lagu ini. Aidil mencorakkan lagu ini mengikut stailnya yang tersendiri. Sebutan-sebutannya jelas. Namun begitu nyanyiannya nampak kosong. Kelemahan beliau yang paling ketara apabila tidak dapat sustain note pada hujung-hujung lirik lagu tersebut. Sayang sekali Aidil tidak menggunakan susunan muzik lagu tersebut dengan lebih menyerlahkan persembahannya. Persembahannya agak mendatar. Kemunculan Bandi Amuk menyebabkan Aidil menjadi penyanyi latar kepada Bandi. Aidil tidak menggunakan kejutannya dengan sebaik mungkin. Nampak benar beliau tidak tahu untuk buat apa di atas pentas melihatkan kemunculan Bandi.

Konsert 06 AF3

Mawi - Memori Cinta Luka 8/10
Saya kagum dengan kebolehan beliau untuk membuatkan saya terbuai dengan lagu Nassier Wahab. Penghayatan Mawi cukup untuk lagu ini. Amat sukar untuk mencari kesilapan beliau kali ini. Satu kekurangan yang beliau perlu baiki segera ialah masalah tempo. Saya tidak mahu masalah ini berlaku di Konsert 10 kelak. Apa gunanya sekiranya amanah dan peluang yang telah diberikan oleh penonton tidak berjaya dilaksanakan di Konsert 10. Saya sendiri terleka dalam lagu ini. Saya mahu melihat beliau di Konsert 10.

Komen dari Datuk Sharifah Aini dibuat dengan bertudung. Sekiranya komen yang diberikan oleh beliau bersifatkan negatif tentunya beliau akan dijadikan sasaran email layang dan dikatakan mempermainkan agama. Oleh kerana Datuk Sharifah Aini telah memuji Mawi, maka tindakannya semata-mata memakai tudung hanyalah gurauan sahaja sahaja. Asalkan idola mereka dipuji, mereka tentunya akan melupakan tentang isu ini. Saya menganggap tindakan Datuk Sharifah Aini bertudung hanyalah gurauan. Ini merupakan kes yang sama untuk Tanda-Tanda Anda Peminat Fanatik Mawi. Tepuk dada tanya selera.

Konsert 06 AF3

Akma - Hati Keliru 6/10
Saya akui Akma telah menampilkan persembahan vokal yang mantap dalam persembahannya. Tetapi saya mahu melihat beliau menyerlahkan lagi sesuatu yang masih tidak dapat kita lihat setelah enam minggu di dalam Akademi Fantasia. Iman Wan sendiri tidak tahu apa yang kurang dalam persembahannya tetapi jelas ada kekurangan. Saya suka dengan persembahan vokal beliau tetapi beliau masih belum dapat membuatkan telinga saya tertumpu kepada persembahan vokalnya berbeza dengan Amylea dan Marsha. Sebuah lagu rancak dari Akma tetapi pergerakannya jelas hilang tumpuan. Rap dari Aidil juga tidak mampu menyerlahkan lagi persembahannya. Saya mempunyai tiga minggu lagi untuk membuktikan kepada saya mengapa saya harus memilih beliau di Konsert 10.

Menuju Puncak : Aidil Heart Attack, Aznil Pun Heart Attack 10/10
Wow ! Bersusah payah Aznil Hj Nawawi cuba mencipta suasana sedih untuk Konsert minggu ini tetapi dirosakkan oleh Aidil dengan jenakanya yang spontan. Saya suka dengan lakonan Aidil. Saya bagi 10/10 ! Siapa yang tidak panik, di dalam stadium atau pun di rumah. Yang menyukainya, atau yang membencinya. Semuanya panik. Saya panik melihat beliau rebah di atas pentas. Ibu dan abangnya juga panik. Tenaga produksi juga panik walaupun patah balik separuh jalan. Kejutan yang paling baik di dalam Akademi Fantasia 3 yang turut mendebarkan Aznil Haji Nawawi. Bukan sesuatu yang selalu dapat kita lihat. Kita pernah melihat aksi Anding di Konsert 03 Akademi Fantasia 2 tetapi saya melihat ia begitu dibuat-buat dan keterlaluan sehingga penonton mengejeknya. Tetapi tidak pada minggu ini apabila Aidil bijak mencuri lebih tumpuan yang sememangnya kepada beliau dan disulami dengan jenaka yang memadai. Walaupun beliau baru mahu menyerlahkan personalitinya di dalam Akademi, tetapi beliau tersingkir dengan bermaruah pada minggu ini. Penonton sendiri tersenyap seketika dan tidak bertepuk tangan dengan kuat.

Ranking sultanmuzaffar
Kejutan - Adil Heart Attack 10/10
Marsha - Destiny 9.8/10
Amylea - Hati Ini Telah Dilukai 9.7/10
Mawi - Memori Cinta Luka 8/10
Yazer - Cinta Kilat 7/10
Akma - Hati Keliru 6/10
Aidil - Matahari 4.5/10
Felix - Smooth 4.3/10
Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu 4/10
Ekin - Warna 2/10

Imbasan 06 Akademi Fantasia
Satu artikel yang menarik untuk dibaca, bertajuk Mawi diancam populariti yang tersiar di dalam Mingguan Malaysia.

Adalah lebih baik jika istilah fanatik ini tidak dilihat dalam sudut yang sempit dan buruk semata-mata. Apa yang penting kita memikirkan bagaimana untuk memastikan sikap fanatik ini berterusan supaya apabila Mawi keluar dari AF sama ada beliau juara atau tidak, beliau tetap menjadi pujaan ramai berikutan karisma dan bakatnya.

Apa yang dibimbangi ialah sikap meminati yang ditafsirkan fanatik ini hanya bersifat sementara maknanya bermusim, ketika musim AF riuh-rendahlah menyokong Mawi, tetapi apabila musim itu berakhir maka sunyi sepilah sokongan kepada beliau.


Saya sudah menerangkan dengan jelas isu ini. Apakah peminat Akademi Fantasia fanatiknya bermusim ? Jika alang-alang mahu fanatik, biarlah sefanatik peminat Siti Nurhaliza. Mereka fanatik sampai bila-bila. Bukan sekadar ingatan untuk peminat Mawi sahaja, malah untuk para peminat Azza, Adi, Atie, Burn, Rosma, Nana, Sahri, Liza, Nija, Azizi, Khai, Vince, Edlin, Fitri, Anding, Zarina, Nurul, Linda, Mas, Kaer, Bob, Farah, Adam, Zahid, dan bintang Akademi Fantasia 3.

Adlin Aman Ramlie pula mempertahankan haknya sebagai seorang pengkritik. Hak pengundi perlu diperjelaskan dengan betul. Hak pengundi adalah untuk mengundi siapa yang mereka inginkan tanpa mempertikaikan komen-komen dari pengkritik. Hak pembaca blog juga harus diperincikan dengan jelas. Hak mereka ada untuk memberikan komen yang tidak berasaskan emosi dan tidak berkait langsung dengan tulisan sebaliknya menyerang penulis blog. Hak pensyarah dan juga hak pelajar. Semua ada hak mereka masing-masing.

Peminat harus memberikan ruang kepada pengkritik untuk melihat kesilapan Mawi dan memperbetulkan kesilapan tersebut. Tanpa niat serong, hanyalah untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut.

Lebih Serius Minggu Akan Datang
Saya mengambil langkah lebih serius pada minggu-minggu akan datang terhadap komen-komen yang tersiar di blog ini. Ia dengan niat semata-mata ingin menjaga keharmonian rumah saya sendiri. Tidak salah saya memasang pagar di rumah sendiri dan menghalang anasir-anasir jahat untuk memporak-perandakan suasana di sini.

Sebarang komen kutukan dan sindiran peribadi akan saya ban. Ini adalah peringatan untuk semua untuk sahabat yang saya kenal, kawan yang baru kenali atau sesiapa yang tidak saya kenali. Saya tidak merasa rugi sekiranya pembaca berkurangan di blog ini, asalkan pembaca yang tinggal adalah pembaca yang berkualiti.

AFLAGU BONUS
Pada minggu ketujuh, penonton berpeluang untuk mengundi dua lagu bonus pilihan mereka untuk dinyanyikan oleh pelajar secara berkumpulan. Sebuah lagi kejutan yang menguntungkan ASTRO.

1. Boogie Wonderland – Earth, Wind & Fire (AFLAGU Boogie)
2. Circle of life – Elton John (AFLAGU Circle)
3. Seri Langkat – Jamal Abdillah & Amelina (AFLAGU Seri)
4. Persamaan – Freedom (AFLAGU Persamaan)
5. Ladki Badi Anjani Hai – Kumar Sanu/Alka Yagnik (AFLAGU Ladki)

Saya memilih lagu Seri Langkat oleh Jamal Abdillah & Amelina serta lagu Boogie Wonderland oleh Earth, Wind & Fire. Lagu-lagu ini akan lebih menyerlah kredibiliti dan personaliti pelajar. Lagu Seri Langkat mengangkat lagu Melayu Asli ke satu tahap yang lebih tinggi dan amat bersesuaian untuk diketengahkan oleh pelajar Akademi Fantasia. Mereka harus didedahkan dengan lagu Melayu Asli dengan lebih banyak lagi dan setidak-tidaknya semua pelajar dapat merasa membawakan lagu tersebut. Lagu Boogie Wonderland merupakan sebuah lagu disko era 70an. Tentunya saya mahu melihat kredibiliti mereka mewarnakan lagu disko lama ini di atas pentas Akademi Fantasia.

Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 23%
Felix 17%
Amylea 12%
Marsha 10%
Yazer 8%
Kefli 8%
Ekin 8%
Akma 7%
Aidil 6%