Konsert Akademi Fantasia 08 : Teori Konspirasi
Kenapa Akma ? Pilihan saya bertukar lagi nampaknya sama seperti musim lepas apabila bertukar setelah penyingkiran Linda di Konsert 8. Terkejut saya dibuatnya tetapi kerana Akademi Fantasia, saya sudah biasa dengan kejutan-kejutan sebegini. Boleh saya simpulkan konsert pada minggu ini merupakan yang terbaik secara keseluruhannya. Persembahan pelajar agak baik. Kejutan-kejutan yang ditampilkan juga bersesuaian.
Pengkritik Profesional
Pilihan untuk Pengkritik Profesional pada minggu ini merupakan dari pakar yang ahli dalam bidang masing-masing. Yasmin Ahmad baru sahaja memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik dan Filem Terbaik melalui filem Sepet. Syafinaz dijemput lagi pada minggu ini. Komen-komen dari Syafinaz merupakan komen-komen yang jujur daripada beliau. Tindakan para peminat (saya tidak sebut peminat Mawi, Felix atau sesiapa sahaja secara spesifik) yang memboo beliau sewaktu mengkritik persembahan Felix amat tidak bersesuaian sekali.
Ladki Badhi Anjani Hai
Saya suka dan terhibur dengan persembahan lagu Hindustan ini. Nampak benar rutin tariannya agak sukar tetapi berjaya dilaksanakan dengan baik oleh para pelajar. Walaupun miming, ia tetap merupakan sebuah persembahan yang menarik. Jeritan penonton semakin kuat apabila Mawi turun ke bawah pentas untuk menari bersama Tenaga Pengajar.
Kedudukan Sebelum Persembahan Konsert
Mawi 27%
Felix 20%
Akma 13%
Marsha 12%
Amylea 12%
Yazer 10%
Kefli 7%
Persembahan Pelajar
Marsha - Cobalah Untuk Setia
Saya merasakan lagu ini merupakan sebuah persembahan yang biasa dari Marsha. Tiada apa yang menarik yang boleh diperkatakan dari persembahan tersebut. Persembahan vokal beliau agak tidak konsisten, pada beberapa bahagian agak tidak kemas. Terdapat sedikit masalah tempo di sana-sini dalam lagu tersebut. Marsha menyampaikan lagu tersebut dengan penghayatan yang sepenuhnya tetapi masih belum dapat menambat perhatian saya. Ini bermakna penghayatannya kosong dan makna-makna cerita dalam lagu tersebut tidak dapat disampaikan dengan baik.
Kejutan untuk beliau apabila berita kelahiran kucing kesayangannya disampaikan kepadanya. Dua keping gambar juga menjadi milik beliau. Aznil turut meminta beliau menamakan anak-anak kucingnya. Nah ! Giliran Aznil pula disamakan dengan kucing. Gurauan sahaja bukan !
Kefli - Hati Emas
Saya kagum dengan persembahan Kefli yang boleh saya anggap sebagai sebuah persembahan yang menghiburkan. Penguasaan pentas Kefli bagus sekali. Beliau all-out berinteraksi dengan penonton, penyanyi latar dan juga Aznil. Dalam satu bahagian lagu, Aznil telah mencuri sedikit tumpuan daripada Kefli. Di sini letaknya kelemahan Kefli yang secara tidak langsung telah dapat ditutup oleh Aznil. Sekiranya Aznil mampu melakukannya, Kefli sepatutnya lebih daripada itu. Saya suka dengan persembahan vokal Kefli dalam lagu ini. Ada sumbang pada beberapa bahagian lirik bilamana beliau tidak sustain note lagu tersebut dengan betul, ia tetap sebuah persembahan yang bagus. Saya nampak Kefli menyampai lagu tersebut secara bersahaja tetapi cerita dalam lagu tersebut sampai kepada saya. Kekurangan kefli cuma menggunakan gerak-gerak yang stereotype pada kakinya dan semacam kekurangan idea. Beliau tidak bijak bermain dengan kreativiti untuk mencantikkan lagi showmanshipnya.
Yazer - Mengapa Harus Cinta
Pertama sekali, pakaian yang diperagakan oleh Yazer amat menjelekkan. Dengan seluar koyak dan mensasarkan tumpuan penonton ke arah koyakan seluarnya itu. Ya benar, imej Yazer sebagai seorang yang rock. Rock pula tidak semestinya koyak. Pilihan pakaian yang ternyata tidak kena dengan persembahannya. Lebih malang, apabila persembahan vokalnya tidak mencapai standard yang saya kehendaki. Yazer telah menyampaikan lagu R&B secara yang selamat tetapi masih belum mendapat note-note yang betul. Nyanyian ternyata sumbang pada banyak tempat. Gaya persembahan yang ingin beliau bawa juga berpada tetapi belum dapat menutup kelemahan vokal beliau.
Mawi - Pupus
Sekali lagi, pakaian mencacatkan penampilan Mawi. Beliau nampak seperti tukang cat yang baru sahaja keletihan setelah selesai menyiapkan tugasan mengecat bangunan. Mujur persembahannya mantap ! Temponya juga bagus dan kelemahan tersebut telah berjaya dikuasai dengan bagus. Persembahannya sedikit cacat apabila menyelitkan ad-lib yang tidak perlu iaitu “Mengapa sayang”. Tanpa adlib tersebut, saya melihat persembahan Mawi amat bagus sekali. Kali ini beliau agak kreatif apabila menamatkan persembahannya sambil duduk di tepi pentas. Keseluruhan cerita dalam lagu tersebut disimpulkan pada penghujung persembahannya. Menurut Yasmin, Mawi telah menyampaikan lagu tersebut dengan jujur.
Akma - Selamat Jalan Romeo
Terus terang, saya kurang tertarik dengan persembahan Akma pada minggu ini. Lagu Selamat Jalan Romeo memang sukar disampaikan dengan baik oleh Akma. Percubaan menari geleknya boleh saya sifatkan berjaya tetapi pada beberapa bahagian agak keterlaluan. Gelekannya nampak begitu dibuat-buat. Saya sekali persembahan vokalnya sememangnya biasa sahaja pada minggu ini. Nyanyiannya agak mendatar dan lagu tersebut pula agak panjang sekaligus membosankan saya. Tumpuannya banyak terfokus kepada gerakan tariannya. Hasilnya bagus tetapi belum cukup memukau.
Ramlah Ram ditampilkan sebagai kejutan buat beliau apabila membawakan lagu Selamat Jalan Romeo di atas pentas setelah selesai kritikan kepada persembahan Akma.
Selesai persembahan Akma, ditampilkan sebuah lagi kejutan apabila pelajar perempuan dipanggil untuk menyerahkan jambangan bunga kepada orang yang tersayang. Akma menghadiahkan jambangan bunga tersebut kepada ibunya. Manakala Marsha menghadiahkannya kepada kakanya dan Amylea telah memberikan jambangan bunga tersebut kepada bapanya mewakili ibunya.
Amylea - Dua Insan Bercinta
Saya suka apabila tatacahaya minima digunakan untuk persembahan Amylea. Saya turut kagum dengan cara beliau menyampaikan lagu tersebut dengan stylenya yang tersendiri. Saya terpukau dengan persembahan vokal beliau. Pergerakan beliau di atas pentas juga telah dirancang dengan baik. Pergerakan-pergerakannya terkawal dan bersesuaian dengan mood lagu tersebut. Kelebihan Amylea terletak kepada tahap keyakinannya yang sememangnya terbaik. Persembahan vokal beliau mantap tetapi masih tidak cukup menampilkan elemen wow pada penghujung-penghujung note. Showmanship beliau agak kreatif.
Ibunya turut muncul sebagai kejutan apabila menyanyikan lagu tersebut pada bahagian penghujung. Amylea tidak menyangka yang ibunya akan sama-sama berada di atas pentas bersamanya. Kejutan yang tidak menjadi kerana nyanyian ibunya tidak berjaya menambat hati saya. Elemen kejutan itu tidak begitu efektif.
Felix - Hukum Karma
Saya tabik dengan cara Felix berhadapan dengan situasi jenaka yang berlaku pada minggu lepas. Beliau yang nyata tidak tahu menahu apa yang berlaku tetap menganggapnya sebagai satu gurauan sahaja, malah mengatakan ia sebagai satu sumber inspirasi. Aznil walaupun cuba untuk menyelitkan elemen kesedihan agak sukar meneruskan mood tersebut kerana berhadapan dengan jenaka Felix.
Saya bangun memberikan standing ovation kerana beliau telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Persembahan Felix amat menghiburkan. Persembahannya bertenaga sekali dan aura rocker ditampilkan oleh beliau secara bersahaja. Beliau benar-benar menghayati lagu tersebut. Walaupun ada kesilapan pada lirik lagu beliau menutup kelemahan tersebut dengan baik sekali. Persembahan vokalnya bertenaga walaupun kedengaran agak mendatar.
Amat mengejutkan apabila sewaktu Yasmin Ahmad memberikan komen beliau, jerita Felix Universe bergema. Pada mulanya saya ingatkan ia datang dari keluarga Felix. Ternyata tekaan saya itu meleset kerana ia datang dari kalangan bekas pelajar. Sekiranya benar dari mereka, ia adalah satu tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan di hadapan enam pelajar lain yang masih berada di Akademi Fantasia. Sekurang-kurangnya sebagai bekas pelajar, mereka harusnya berlaku lebih adil untuk semua pelajar. Felix Universe telah pun menjadi trademark baru Felix.
Seri Langkat
Sebuah persembahan biasa dari para pelajar. Tidak banyak yang boleh diperkatakan selain membosankan. Saya lebih suka sekiranya pasangan pelajar mendendangkan lagu tersebut secara berseorangan. Ia dapat menyerlahkan vokal masing-masing dan bukannya secara beramai-ramai. Nyanyian mereka juga tidak begitu harmoni.
Menuju Puncak
Apabila dipanggil sahaja pelajar lelaki ke hadapan saya sudah berasa lega. Saya terfikir hanya dua nama yang terlintas di fikiran saya ketika itu. Yazer dan Kefli. Sudah sampai masanya mereka ini meninggalkan Akademi Fantasia. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan. Akma sebaliknya menjadi mangsa undia penonton pada minggu ini. Setelah dua minggu terselamat, minggu ini Akma terkandas. Akma telah pun memasuki Pilihan Lima Terbaik saya untuk ke Konsert Akhir dua minggu akan datang, sebaliknya perlu digantikan dengan nama pelajar lain.
Jika beberapa minggu lepas, Akma menjadi pilihan saya untuk tersingkir, tetapi tidak pada minggu ini. Persembahan vokal Akma jauh lebih baik daripada Kefli. Apakah teori konspirasi memasangkan pelajar menjadi penyebab penyingkiran Akma ? Elliza tersingkir kerana dipasangkan dengan Kefli. Amy tersingkir kerana dipasangkan dengan Aidil. Ekin tersingkir kerana dipasangkan dengan Yazer dan kini giliran Akma apabila cuba dipasangkan dengan Felix.
Ranking sultanmuzaffar
Amylea - Dua Insan Bercinta 8/10
Mawi - Pupus 7/10
Felix - Hukum Karma 6.5/10
Ladki Badhi Anjani Hai 6.4/10
Kefli - Hati Emas 6.3/10
Marsha - Cobalah Untuk Setia 4.7/10
Akma - Selamat Jalan Romeo 4.5/10
Yazer - Mengapa Harus Cinta 3.5/10
Seri Langkat 3/10
Imbasan 07 Akademi Fantasia
Teori Konspirasi khabarnya menjadi perbualan hangat di kalangan peminat, pengundi, pemerhati dan penonton Akademi Fantasia. Seperti tahun-tahun yang lalu, pelbagai teori wujud untuk menghangatkan lagi suasana demam Akademi Fantasia. Apa jadi dengan teori-teori tahun lepas ? Senyap sahaja bukan. Kenapa perlu digembar-gemburkan cakap-cakap ini ?
Saya merasakan teori-teori konspirasi ini wujud sekadar sebagai alarm clock kepada para pengundi agar jangan terleka dan teruskan mengundi. Ada dua kemungkinan dari mana asalnya teori-teori tersebut. Sama ada dari peminat sendiri dan juga mungkin dari Astro sendiri. Di kalangan peminat, mesti wujudnya satu strategi untuk mengingatkan para pengundi agar jangan terleka. Maka dengan adanya email-email berunsurkan hasutan ini secara tidak langsung akan terus mengingatkan pengundi agar tidak terleka. Isu-isu kecil ini juga boleh dimulakan oleh Astro sendiri agar undian semakin bertambah masuk ke pihak mereka.
Saya turut ditanya tentang tanggungjawab saya terhadap laman web yang saya kendalikan. Artikel-artikel yang tersiar di laman web ini adalah berdasarkan pendapat peribadi yang berpandukan daripada Diari, Diari Extended, Konsert yang telah saya tonton di televisyen dan internet. Walaupun ada maklumat yang saya peroleh melalui teman-teman yang mengetahui lebih lanjut tentang Akademi Fantasia, ia tidak saya siarkan kerana maklumat-maklumat tersebut tidak dipaparkan di dalam Diari atau mana-mana rancangan Akademi Fantasia. Kemudahan berinteraksi dengan pembaca saya sendiri juga semacam satu kelebihan yang ada apabila masing-masing bertukar pendapat untuk mendapatkan penjelasan yang lebih berkenaan sesuatu isu.
Tentang wujudnya konspirasi ketidakadilan terhadap pemberian lagu kepada pelajar saya tidak pernah menganggap ianya sebagai satu isu besar. Pemberian lagu telah saya sifatkan sebagai adil antara semua pelajar. Ada juga di antara pelajar yang mendapat lagu mudah tetapi tidak dapat melaksanakannya dengan baik. Ada juga pelajar yang mendapat lagu sukar dan telah melaksanakannya dengan baik. Isu ini timbul semata-mata peminat merasa tidak yakin dengan kebolehan pelajar yang mereka puja. Peliknya isu tersebut senyap setelah pelajar mereka selesai melakukannya dengan baik tetapi terus digembar-gemburkan sekiranya pelajar mereka tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik.
Teori konspirasi biasanya wujud dari mereka yang tidak tahu cerita sebenar. Untuk mengetahui cerita sebenar, langganlah Akademi Fantasia Xtra. Keseluruhan cerita yang berlaku di dalam Akademi Fantasia boleh diperolehi di AFXtra.
Untuk pengetahuan semua, Imbasan dikendalikan oleh Aznil dan sebagai tetamu saya harus menjawab setiap persoalan yang ditanya oleh Aznil dan bukannya menjawab persoalan yang tiada kena mengena dengan soalan. Hanya ada tiga soalan yang ditanya kepada saya dan tentulah itu sahaja peluang yang saya ada. Sememangnya saya kurang berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya sendiri. Dalam waktu yang spontan saya perlu memikirkan jawapannya dan televisyen dan penonton secara langsung merupakan antara yang menggerunkan. Ia sebuah lagi pengalaman yang mana tidak semua orang dapat merasainya.
Untuk pengetahuan semua juga, saya hanya diberitahu secara tidak rasmi melalui seorang sahabat yang bekerja di Astro akan jemputan tersebut. Oleh kerana ia adalah tidak rasmi, maka adalah tidak sesuai untuk saya beritahu kepada semua. Setelah Jumaat dan Sabtu berlalu, maka saya anggap ia sebagai tidak jadi atau pun pada minggu depan. Pada jam 5 petang, saya mendapat panggilan dan dijemput secara rasmi untuk turut serta sebagai tetamu untuk malam tersebut. Ada sebab mengapa ia diberitahu agak lewat. Adalah tidak manis saya tulis di sini kerana akan wujud sebuah lagi teori konspirasi kelak. Seperti pada musim lepas, saya tidak tahu soalan-soalan yang akan ditanya oleh Aznil. Hanya pada ketika anda mendengar soalan tersebut, maka pada waktu yang sama juga saya mendengar soalan tersebut.
Terima kasih kepada semua yang membantu. Baik yang mendapatkan kakitangan untuk membawa saya masuk ke Stadium, yang mengiringi saya ke belakang pentas dan lain-lain lagi.
Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 23%
Felix 19%
Amylea 15%
Yazer 12%
Kefli 11%
Marsha 10%
Akma 10%
0 komen