Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 July 2005

Konsert 08 AF3

Konsert Akademi Fantasia 09 : Impian Menjadi Kenyataan !
Akhirnya, empat pelajar telah terpilih untuk menjejakkan kaki ke Konsert Final hujung minggu depan. Mereka terdiri daripada Felix, Marsha, Mawi dan Amylea. Ternyata pilihan penonton pada minggu ini amat tepat. Empat pelajar inilah yang telah menunjukkan peningkatan yang tinggi dan persembahan yang baik berbanding 10 pelajar yang lain.

Pengkritik Profesional
Kudsia Kahar, Suraya Al Attas dan Vince
Suraya merupakan penulis artikel bertajuk Akademi Fantasia: Get off Mawi’s back yang tersiar di New Straits Times hari ini. Vince seperti yang kita tahu merupakan Juara Akademi Fantasia 1 yang telah berjaya membolot Anugerah Artis Baru Terbaik di AIM baru-baru ini. Vince merupakan Juara Akademi Fantasia yang masih kekal popular sehingga kini dan bijak merancang perjalanan seninya dengan begitu baik.

Persembahan Pelajar
Konsert 09 AF3

Medley Tribute to M.Nasir 7/10
Memberikan penghormatan untuk Pengetua M.Nasir dalam Tribute to M.Nasir ini sama seperti menganugerahkan beliau Anugerah Sri Wirama tatkala beliau masih sibuk berkarya di dalam industri muzik tempatan. Semacam ada sesuatu yang tidak kena. Tribute harus diberikan kepada mereka yang telah pergi. Sebagai contohnya, Tan Sri P.Ramlee. Banyak lagu medley P.Ramlee yang sesuai, lebih-lebih lagi bilangan pelajar lelaki yang tinggal waktu itu ialah seramai empat orang. Agak janggal bilangan empat orang itu sekadar menyanyikan tiga lagu. Kecacatan paling nyata pada medley tersebut ialah vokal Kefli. Ada sumbang pada beberapa bahagian dan beliau banyak dibantu oleh Felix untuk latar. Keharmonian vokal mereka untuk lagu Ekspres Rakyat agak ketara apabila setiap pelajar menggunakan range vokal yang berbeza. Ini tidak berlaku pada lagu Apokalips. Showmanship mereka untuk lagu Apokalips juga menarik. Mereka bijak menguasai pentas dan berinteraksi dengan penonton. Lagu paling bagus sekali ialah Ghazal Untuk Rabiah. Mawi menggunakan segala kehebatan vokal beliau untuk lagu tersebut. Yazer turut mencuri tumpuan pada bahagian-bahagian tinggi. Titik kecemerlangan pada lagu tersebut dimiliki oleh Mawi dan Felix.

Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 36%
Felix 23%
Marsha 13%
Amylea 13%
Yazer 8%
Kefli 6%

Konsert 09 AF3

Yazer - This Love 6/10
Klip yang dipertontonkan sebelum Yazer membuat persembahan amat merisaukan kerana ia seperti salah satu taktik terakhir untuk meraih undian untuk Yazer. Yazer diperlihatkan keprihatinan beliau setelah mendapat peluang untuk melawat Rumah Sri Kenangan. Yazer tidak pernah mengecewakan apabila membawakan lagu rock atau pop-rock yang menjadi permainan jiwanya sejak awal kemunculannya di dalam Akademi Fantasia. Persembahan vokal yang ditampilkan oleh beliau dibuat dalam keadaan yang selesa dan penuh berkeyakinan. Saya menyukai gayanya yang menarik dalam corak persembahannya. Beliau ada identiti beliau yang tersendiri. Setiap pergerakannya sesuai dengan mood lagu tersebut. Ada stail yang seakan-akan menguja penonton untuk terus membuatkan penonton melihat persembahan beliau. Interaksi beliau dengan kamera dan penonton juga cukup. Sebuah persembahan yang bertenaga dan semakin menyukarkan untuk membuat pilihan ke Konsert Final.

Yazer - I’m Ready For Love (8/10 bintang)
Yazer - Sejati 5.5/10
Yazer - Suatu Masa 7.7/10
Yazer - Nyanyian Serambi 7/10
Yazer - Takdir Penentu Segala 5/10
Yazer - Cinta Kilat 7/10
Yazer - Nazraku 8.1/10
Yazer - Mengapa Harus Cinta 3.5/10

Persembahan Terbaik : Nazraku / I’m Ready For Love
Persembahan Terburuk : Mengapa Harus Cinta

Konsert 09 AF3

Marsha - Ku Pendam Sebuah Duka 5/10
Kejutan untuk Marsha apabila Fahrin Ahmad ditampilkan untuk menemaninya. Fahrin berpeluang untuk berinteraksi dengan Marsha dan kemudiannya Fahrin memperkenalkan Marsha untuk membuat persembahan. Aksi Aznil yang terpinggir agak melucukan. Marsha seperti biasa dengan imej manja dan geteknya pada waktu sebelum persembahan tetapi menjadi seorang penyanyi apabila membuat persembahan. Apabila Marsha memperoleh sedikit masa bersama Fahrin, maka ia membuatkan beliau agak hilang tumpuan pada permulaan persembahannya. Marsha terlupa lirik dan cuba menutup kesilapannya dengan melakukan improvisation tetapi disedari oleh penonton. Saya suka dengan gaya nyanyian yang ditampilkan olehnya. Ia nyata berbeza dengan penyanyi asalnya iaitu Khatijah Ibrahim. Memang nampak tumpuan beliau terganggu dalam persembahannya. Nyanyian tidak begitu konsisten dan berkeyakinan. Lontaran vokalnya mula memuncak pada pertengahan lagu tersebut. Keunikan persembahan beliau adalah cubaan beliau untuk memesongkan tumpuan penonton terhadap cara nyanyian Khatijah Ibrahim. Ia hanyalah sebuah persembahan yang biasa dari Marsha.

Marsha - Awan Yang Terpilu 4/10
Marsha - Ingin Bersamamu 6.8/10
Marsha - Lelaki Idaman 6/10
Marsha - Tunggu Sekejap 8/10
Marsha - Bossanova 7.9/10
Marsha - Destiny 9.8/10
Marsha - Jambatan Tamparuli 6/10
Marsha - Cobalah Untuk Setia 4.7/10

Persembahan Terbaik :Destiny
Persembahan Terburuk : Awan Yang Terpilu

Konsert 09 AF3

Felix - Anak 6.4/10
Klip untuk Felix juga terpapar segmen berkaitan Mawi sewaktu beliau menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali. Terlalu berlebihan. Persembahan Felix mendapat bantuan dari Sham Kamikaze, Yazer, Kefli dan Mawi. Kecuali Mawi yang bermain tamborin, mereka yang lain bermain gitar. Saya merasakan persembahan Felix diganggu oleh back-up tersebut. Lebih-lebih lagi sistem bunyi yang tidak seimbang. Gitar dari Yazer dan Sham Kamikaze terlalu kuat sehingga menenggelamkan persembahan Felix. Mawi, walaupun sekadar bermain tamborin, saya anggap sebagai satu usaha untuk merendah-rendahkan beliau. Adalah lebih baik sekiranya Mawi tidak bermain tamborin jika hanya untuk menjadi bahan kejian. Sekadar tamborin ? Namun demikian, semangat kerjasama antara Sham Kamikaze, Mawi, Kefli, Yazer dan Felix amat ketara. Oleh kerana susunan lagu tersebut adalah seperti itu, maka tidak banyak yang boleh dilakukan oleh Felix untuk mengeksploitasi lagu tersebut. Selain menggunakan lirik bahasa Melayu, lagu tersebut menggunakan lirik dari bahasa Tagalog. Ia seakan untuk menyerlahkan lagi bakat yang ada pada Felix. Saya suka dengan ekspresi wajah Felix yang cuba menghayati lagu tersebut dengan baik. Beliau memberikan persembahan penuh ekspresi selamba. Saya suka matanya yang redup lalu dapat menyampaikan mesej lagu tersebut dengan jelas. Jika diminta untuk saya pilih antara bahasa Melayu dan Tagalog, saya lebih suka bahagian Tagalog. Lebih terasa penghayatannya.

Felix - Tiada Lagi Kidungmu 8.3/10
Felix - Berjuta Batu 8.5/10
Felix - Memori Bahagia 7.3/10
Felix - Aku Semut Merah 8.8/10
Felix - Hari Ini Dan Semalam 7.4/10
Felix - Smooth 4.3/10
Felix - Fantasia Bulan Madu 6.7/10
Felix - Hukum Karma 6.5/10

Persembahan Terbaik : Aku Semut Merah
Persembahan Terburuk : Smooth

Konsert 09 AF3

Kefli - Tak Tahu 4/10
Klip untuk Kefli juga menampilkan Kefli meniru gaya jalan Mawi. Lagi sekali. Kata peminat Mawi, kejutan untuk Mawi di konsert tidak ada. Sekarang apa kata mereka ? Kejutan untuk pelajar lain juga menyebut tentang Mawi sehingga berlebihan pula. Puas hati semua ? Persembahan Kefli sekadar persembahan koreografi. Kefli nampak bersesuaian di atas pentas dengan imej tersebut. Memang nampak beliau agak comel berpakaian sedemikian. Saya melihat ada usaha dalam diri beliau untuk memberikan persembahan yang menghiburkan. Penguasaan pentasnya baik tetapi staminanya hancur dan pernafasannya terganggu. Masalah lupa lirik berlaku lagi dan ini antara masalah yang masih tidak dapat dibaiki oleh Kefli sejak minggu pertama. Memang sukar untuk menyanyi rap dan menari pada waktu yang sama. Kelemahan vokal beliau masih seperti di minggu-minggu awal dan tidak banyak perubahan yang beliau lakukan. Yazer dan Mawi telah berjaya mencuri sedikit tumpuan penonton daripadanya. Mawi memang telah membuktikan dapat melakukan kelainan yang tidak pernah beliau lakukan. Sifat agresif Kefli dalam persembahan rap dan hip-hop sebegini agak kurang dan tidak mencukupi. Saya melihat tekanan yang melanda pada minggu ini banyak merosakkan persembahan pelajar.

Kefli - Nur Kasih 5/10
Kefli - Mungkin 5/10
Kefli - Keindahan Pantai 4/10
Kefli - Seksa 3/10
Kefli - Berhenti Berharap 8/10
Kefli - Kenang Daku Dalam Doamu 4/10
Kefli - You To Me Are Everything 4/10
Kefli - Hati Emas 6.3/10

Persembahan Terbaik : Berhenti Berharap
Persembahan Terburuk : Seksa

Konsert 09 AF3

Amylea - Gemilang 8/10
Sebuah persembahan yang mengkagumkan ! Jaclyn Victor lebih hebat ! Kelainan pada persembahannya apabila beliau menyanyikan lagu tersebut mengikut gayanya yang tersendiri. Improvisasi yang dilakukannya amat memadai dan begitu kena dengan range vokal beliau. Maka tidak banyak kejutan vokal yang mampu dilakukan oleh Amylea, namun ia tetap sebuah persembahan yang hebat darinya. Melihatkan beliau memulakan persembahan secara duduk di atas bangku memang merisaukan. Mujur beliau bangun sewaktu bahagian korus lagu tersebut. Aura kekaguman melihat Amylea mencorakkan lagu tersebut dengan baik begitu hebat. Amylea seorang penyanyi yang hebat. Uniknya beliau sekadar berdiri dengan pergerakan minima tetapi tumpuan mata tidak pernah terarah ke pandangan yang lain.

Amylea - Inikah Cinta 4.5/10
Amylea - Asmara 8/10
Amylea - Anggapanmu 8.5/10
Amylea - Don’t Know Why 8.9/10
Amylea - Hak Milik Kekal 7/10
Amylea - Hati Ini Telah Dilukai 9.7/10
Amylea - Penawar Rindu 7.5/10
Amylea - Dua Insan Bercinta 8/10

Persembahan Terbaik : Hati Ini Telah Dilukai
Persembahan Terburuk : Inikah Cinta

Konsert 09 AF3

Mawi - Pergi Tak Kembali 6.5/10
Persembahan vokal yang bagus dari Mawi. Penghayatan Mawi masih kurang kerana rasa lagu tersebut tidak berjaya sampai kepada saya. Sebuah persembahan biasa dari Mawi walaupun lagu tersebut makanan hariannya. Berbeza dengan Yazer yang mampu memberikan persembahan yang lebih bertenaga untuk lagu rock atau pop-rock. Sekiranya makanan ini menjadi penilaian, saya suka untuk membandingkan persembahan ini dengan Intifada yang boleh saya sifatkan jauh lebih baik Pergi Tak Kembali. Semangat Intifada dapat dirasakan berbanding keinsafan dalam Pergi Tak Kembali. Kehadiran kejutan yang ditampilkan untuk Mawi iaitu kumpulan nasyid Wariqissalam yang terdiri daripada rakan-rakannya tidak banyak membantu menyerlahkan lagi keharmonian lagu nasyid. Sedar atau tidak, Mawi sekali lagi direndah-rendahkan dengan kejutan yang ditampilkan di atas pentas untuknya. Hanya sebuah kumpulan nasyid orang kampungnya yang ditampilkan dan bukan artis besar seperti yang diharapkan oleh sebilangan besar peminatnya.

Mawi - Kekasih Awal Dan Akhir 8.2/10
Mawi - Dari Kekasih Untuk Kekasih 3/10
Mawi - Gadis Melayu 8.1/10
Mawi - Nourel Ain 8.5/10
Mawi - Beautiful Maria 4.3/10
Mawi - Memori Cinta Luka 8/10
Mawi - Oh Fatimah 6.5/10
Mawi - Pupus 7/10

Persembahan Terbaik : Nourel Ain / Pupus
Persembahan Terburuk : Dari Kekasih Untuk Kekasih

Konsert 09 AF3

Medley Tribute to Adnan Abu Hassan 9/10
Bermula dengan Gubahan Rindu Puisi Syahdu oleh Amylea sememangnya bagus. Marsha mengambil gilirannya di bahagian korus. Lebih hebat. Mereka tidak cuba untuk overshadow persembahan masing-masing. Itu yang lebih baik. Jerat Percintaan kurang menyengat tetapi masih bagus. Memang sukar lagu tersebut kerana lagu Siti Nurhaliza. Lebih hebat apabila mereka membawakan lagu Bunga Bunga Cinta. Sememangnya kedua-dua orang pelajar perempuan ini merupakan bahan penting untuk Konsert Final. Sayang sekiranya mereka tersingkir di konsert paling kritikal ini. Tangisan Dalam Kerinduan (featuring Farah AF2) menjadi lebih baik dengan kemunculan Farah. Tidak banyak yang membantu kecuali range vokal Farah dan Amylea kedengaran agak sama rata. Amat mengkagumkan persembahan ini apabila masing-masing sedar ruang yang perlu mereka kuasai untuk memberikan sebuah persembahan yang mantap.

Konsert 09 AF3

Menuju Puncak
Bayangkan Menuju Puncak dengan hanya empat orang di atas pentas. Menuju Puncak bakal menjadi begitu hambar dengan koreograf yang masih sama tanpa banyak perubahan yang telah dilakukan. Nyata perlu dilakukan sesuatu terhadap koreograf lagu tersebut. Buat susunan lagu yang baru apa salahnya. Menuju Puncak Broadway pernah dibuat, bagaimana dengan Menuju Puncak Asli, Menuju Puncak Gamelan, Menuju Puncak Bali, Menuju Puncak Integrasi Muhibbah (Melayu, Cina, India, Sabah & Sarawak). Sebelum keputusan diumumkan, momen paling diingati tentulah apabila kesemua enam pelajar berdiri di atas pintu platform beg agar tidak dibuka. Namun demikian, realitinya harus diterima. Platform dibuka. Dua beg muncul di atas pentas. Felix pertama sekali diumumkan berjaya ke Konsert Final. Seketika kemudian nama Yazer diumumkan menjadi pelajar yang pertama tersingkir pada malam tersebut. Mawi kemudiannya diumumkan untuk terus mara ke Konsert Final dan fenomena Mawi sememangnya tidak dapat dinafikan. Marsha mengikut jejak langkah Mawi walaupun pernah tersingkir di Konsert Prelude. Hanya tinggal Kefli dan Amylea. Nama Kefli diumumkan sebagai pelajar kedua tersingkir pada malam tersebut dan menjadikan Amylea sebagai pelajar keempat terpilih ke Konsert Final.

Konsert 09 AF3

Didn’t We Almost Have It All - Bekas Pelajar Akademi Fantasia 2/10
Apa sudah jadi ? Sebuah lagu yang sedap akhirnya menjadi medan pertarungan syok sendiri untuk mempamerkan kehebatan vokal masing-masing lalu yang hanya didengar adalah jeritan-jeritan yang membingitkan. Setiap pelajar cuba mencanangkan “Lihatlah dunia ! Akulah yang paling layak untuk Anugerah Vokal Terbaik. AFVOKAL lah aku !” Lagu tersebut bermula dengan baik dan dimulakan oleh Aidil akhirnya menjadi hancur apabila bekas pelajar perempuan berusaha sedaya upaya mereka untuk menyerlahkan diri mereka berbanding bekas pelajar lain. Lagu tersebut sewajarnya menjadi antara kenangan paling manis setelah keputusan empat pelajar ke Konsert Final telah diumumkan. Dalam emosi yang berbaur-baur, setiap bekas pelajar harus menggunakan platform tersebut untuk mengingatkan pengundi mereka agar terus mengundi mereka bukannya membenci mereka.

Ranking sultanmuzaffar
Medley Tribute to Adnan Abu Hassan 9/10
Amylea - Gemilang 8/10
Medley Tribute to M.Nasir 7/10
Mawi - Pergi Tak Kembali 6.5/10
Felix - Anak 6.4/10
Yazer - This Love 6/10
Marsha - Ku Pendam Sebuah Duka 5/10
Kefli - Tak Tahu 4/10
Didn’t We Almost Have It All - Bekas Pelajar Akademi Fantasia 2/10

Imbasan 09 Akademi Fantasia
Tetamu : Madam Zora, Farah AF2, Suraya Al-Attas
Pelajar : Yazer, Kefli dan keluarga
Pesrsembahan : I’m Ready For Love & Berhenti Berharap

Kedudukan Selepas Konsert
Mawi 31%
Felix 22%
Amylea 15%
Marsha 13%
Yazer 11%
Kefli 8%

Ada usaha untuk menaikkan peratusan Kefli dan Yazer. Jika dilihat kepada usaha tersebut, ternyata ia merupakan satu usaha yang bersungguh-sungguh kerana mampu menjatuhkan peratusan undian Mawi sebanyak 5%, Felix sebanyak 1%. Ini menunjukkan para peminat Kefli dan Yazer mampu menaikkan peratus undian secara tiba-tiba dan mampu untuk merobohkan benteng peminat Mawi sebanyak 5%. Manakala Felix hanya dapat bertahan dengan sebanyak 1%. Jika mahu, kita mampu untuk merobohkan benteng tersebut dalam keadaan sekarang bila mana peratus undian tidak ditayangkan. Kini, semua peminat Akademi Fantasia ibarat orang buta yang mengundi tanpa tahu arah tujuan mereka. Mereka hanya perlu mengundi dan terus mengundi tanpa mengetahui peratusan undian. Satu taktik yang bagus dari Astro dan pernah dicadangkan sejak Akademi Fantasia 1 dan 2.

Ulasan Lain :
Javardkent
Klubbkidd
Elkapitan
Dah Demam