Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 August 2005

Selepas 16 Tahun...

Siapa yang maintain ?

Bagaimana rasanya apabila bertemu semula dengan rakan-rakan sekolah yang telah anda tinggalkan sejak 16 tahun dahulu ? Sebenarnya apabila menerima SMS dari Nizam pada 6 Ogos tentang Majlis Perkahwinan Lobo pada 20 Ogos saya telah mengira hari untuk menghadiri majlis tersebut. Pertamanya kerana setelah saya melangkah keluar dari sekolah tersebut, saya tidak pernah bertemu dengan mereka sejak hari tersebut. Masing-masing membawa haluan masing-masing.

Keduanya, Lobo memang saya kenal sejak umur 8 tahun. Rakan satu sekolah rendah dan terus membawa ke sekolah menengah. Gang BMX saya dulu. Kami duduk di asrama yang sama. Tidak lama. Sekejap sahaja. Bagaimana boleh dapat nama Lobo ? Nama Lobo yang sebenarnya ialah Mohamed Sirajuddean Mohd Sheriff. Saya rasa sekarang, tentu anda sudah tahu bagaimana nama Lobo itu lekat sampai sekarang. Zaman dulu memang kami suka main nama bapak. Elok-elok ada nama sendiri, tapi kita panggil dengan nama bapak.

Petang itu, Hakim, Nizam, Ardi, Amirul dan saya hadir ke majlis tersebut. Azam tidak dapat hadir kerana on call pada hari tersebut. Azam kini Dr. Azam. Nasir pula tidak dapat dihubungi. Ada yang jurutera, ada yang peniaga. Masing-masing ada kerjaya hebat. Badan masing-masing pun hebat juga sekarang. Yang dulu kembang, sekarang kurus. Yang dulu mantap, sekarang kembang. Dulu bercermin mata sekarang contact. Dulu celik, sekarang rabun. Ada yang tidak kenal. Memang banyak perbezaan. Tuhan Maha Adil !

Kami berbual panjang mengingati saat-saat bersama di sekolah tersebut. Lebih-lebih lagi mengulang-tayang peristiwa-peristiwa yang berlaku di asrama. Memang payah juga apabila sebut nama tetapi tidak ingat rupa. Penat juga otak cuba diperah untuk mengembalikan ingatan pada wajah-wajah yang nama mereka telah dilupakan.

Kadang-kadang bila dengar lagu rock kapak lama-lama dendangan Search tentu dapat membawa kembali kenangan-kenangan lama tersebut. Lagu Rozana contoh, terus membawa fikiran ke court badminton pada jam 3 pagi. Kami didenda kerana tidak "lights off" walaupun sudah melepasi jam untuk tutup lampu. Kami buat konsert, nyanyi lagu Rozana ramai-ramai. Terus kena panggil turun dengan warden. Setiap kali dengar lagu Rozana, mesti saya terbayang cerita-cerita lama itu.

1 April 1989 : Main mercun serang Asrama Putri. Denda lari 50 pusingan padang. BULAN PUASA !!!! Bayangkan. Untuk menjadikannya lebih dramatik, ia terjadi pada hari lahir saya sendiri. Hadiah hari lahir paling best saya pernah dapat dari sekolah tersebut.

(dari kiri) Muzaffar, Amirul, Ardi, Nizam, Hakim


Kita kena jumpa lagi dan berbual sampai pagi. Itupun kalau kawan-kawan saya dapat lesen dari Kementerian Dalam Negeri mereka.