Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 31 August 2005

Tujuh Tahun Tiga Bulan Berlalu
Tujuh tahun bukan satu jangkamasa yang singkat. Berada di satu tempat kerja tentunya menjanjikan terlalu banyak pengalaman untuk diceritakan dalam satu tempoh berucap yang sekejap. Ini tidak termasuk dengan ahhh, hmmm, gagap sana, gagap sini, tahan sebak dan lain-lain. Maka saya terpaksa menggunakan saluran ini untuk menyampaikan apa yang tidak terlintas semalam pada hari ini.

Saya masih ingat tujuh tahun lalu sewaktu hari saya melaporkan diri di UNITAR. Pada 2 Mei 1998 kerana tiada siapa yang bekerja pada 1 Mei. Masih lagi segar dalam ingatan saya dibawa dari Astana ke untuk bertemu dengan Dr. Tengku Shahrom. Hanya ada dua tempat pilihan saya ketika itu. Sama ada Multimedia Department Cosmopoint ataupun UNITAR. Saya akhirnya memilih UNITAR kerana pada waktu tersebut UNITAR masih merupakan sebuah padang yang kosong. Masih rata. Tiada besi cerucuk yang menegakkan UNITAR. Itulah cabaran yang sebenarnya. Menjadikan UNITAR dari kosong menjadi seperti sekarang. Tegak berdiri.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bos-bos yang terdahulu seperti Dr. Tengku Shahrom, Roslan Ramli, Fatimah Ahmad (saya tersebut Fatimah Abu Bakar), Shukri Mohamed, Hassan Mohamed (Al-Rad), Noor Maizatul Akmam Mohamed dan Hasnan Hakim. Mereka inilah yang sebenarnya telah membentuk saya menjadi apa yang ada sekarang. Melalui proses melaksanakan tugas ia telah sedikit sebanyak mematangkan saya juga menjadikan saya seorang yang kreatif dalam membuat keputusan.

Jika tidak kerana pertukaran saya dari Courseware Department ke Corporate Communication Department, tentunya keyakinan saya untuk berinteraksi dengan orang ramai tidak saya perolehi. Baru hari ini saya sedar bahawa pertukaran tersebut merupakan sebuah anjakan paradigma untuk membolehkan saya melihat dunia yang lebih luas lagi. Saya berterima kasih untuk itu.

Tembok yang besar sewaktu di Courseware Department terlalu tebal sehingga menyebabkan saya kurang berinteraksi dengan kakitangan yang lain. Apabila mendapat peluang untuk bertukar ke Corporate Communication Department, ia merupakan satu peluang yang saya terima agak was-was pada mulanya. Mahu atau tidak mahu, saya harus berinteraksi dengan setiap unit yang ada di UNITAR. Tembok yang tebal yang mengelilingi saya mula pecah sedikit demi sedikit. Saya tidak pernah berangan-angan untuk berinteraksi dengan setiap fakulti di UNITAR, Corporate General Administration, Marketing, Legal, Corporate Planning & Business Development, Finance, Human Resourse Development, President’s Office dan berbagai-bagai unit yang ada di UNITAR. Tetapi di Corporate Communication peluang itu datang dan horizon pandangan saya menjadi semakin luas. Dari seorang yang tidak tahu apa itu Purchase Order, Delivery Order, Pro-Forma Invoice, Quotation, Press Release, Event Management, kini tahu apakah semua itu.

Kekuatan dari ilmu-ilmu yang saya perolehi dari Courseware Department, Application Research Development dan Corporate Communication Department itulah yang saya gunakan untuk mula berinteraksi di dalam dunia siber dan menjadi seperti sekarang. Ilmu-ilmu itu saya gunakan untuk berhadapan dengan golongan pembaca blog, personaliti-personaliti, bintang-bintang Akademi Fantasia, tenaga belakang tabir Akademi Fantasia dan sebagainya. Ilmu IT dan ilmu interpersonal tersebut saya gabungkan untuk di bawa ke tempat baru kelak.

Perintis Multimedia Developer di Courseware Department,
Zulkifli, Noor Azah, Wan Shafiuddin, Zulhairi, Roseta, Azila, Aniza, Wan Suhaimi dan Suffi Syafinaz yang telah bersama-sama saya selama beberapa tahun menjadi perintis perisian kursus UNITAR dan menerima kehadiran saya sebagai ketua anda. Tentu kita masih ingat bagaimana sukarnya menjadi perintis. Bermula dari kosong tanpa apa-apa ilmu di dada dan kemudian menapak selangkah demi selangkah dan akhirnya CD pertama siap sepenuhnya. Kita telah melalui saat-saat itu yang tidak dapat diperolehi oleh orang lain. Hanya kita.

Multimedia Developer yang kemudiannya bersama-sama kita untuk meneruskan penguasaan Courseware muncul satu-persatu. Ada di antara nama mereka yang telah saya lupa. Mereka terdiri daripada Shahrulnizam, Roslyna, Suzilah, Wan Mazawati, Azrul Helmi, Mohamed Zahili dan beberapa lagi.

Juga tidak ketinggalan, Hasnan Hakim (juga seorang blogger), bos saya di Corporate Communication dan Rahayu Aziz yang tahan dengan karenah saya selama ini. Walaupun jangkamasa saya di Corporate Communication tidak lama tetapi hasilnya sedikit sebanyak boleh dilihat baik di dalam kerja-kerja saya untuk UNITAR, untuk blog, dan sebagainya.

Inilah orang-orang di sekeliling saya yang telah memberikan kesan mereka ke atas pembentukan peribadi saya sendiri mengharungi setiap cabaran yang ada di UNITAR. Mereka inilah orang yang kreatif yang mewarnai dunia saya selama 7 tahun di UNITAR.

Bercerita tentang cabaran, setelah tujuh tahun berada di UNITAR, cabaran yang saya perolehi semakin kurang mencabar. Entah di mana silapnya. Mungkin kerana laman web sesiapa sahaja boleh melakukannya. Mungkin juga kerana saya merasakan sudah terlalu selesa di UNITAR dan menyebabkan saya kurang initiatif untuk mencari cabaran baru. Ia juga mungkin kerana sifat persekitaran sekeliling yang tidak banyak berubah dan agak statik. Oleh yang demikian, saya harus mencari cabaran baru.

Saya merasa cukup terharu kerana tujuh tahun yang lalu saya diterima masuk ke UNITAR untuk bersama-sama dengan pasukan Courseware Department untuk membangunkan perisian kursus yang menjadi matlamat utama UNITAR, dan pada hari terakhir saya di UNITAR, Courseware Department ditutup dan kakitangan sedia adanya telah pun dipindahkan ke jabatan-jabatan yang lain. Ia cukup membuatkan saya begitu terharu. Ia semacam, saya turut membawa nama Courseware keluar dari UNITAR.

Terima kasih UNITAR kerana peluang yang diberikan tujuh tahun dahulu dan pengalaman-pengalaman berharga yang saya kutip sewaktu berada di UNITAR akan saya gunakan dalam proses melaksanakan tugas saya sebagai kakitangan di tempat yang baru juga saya sebagai manusia.

1 Responses to

  1. Unknown Says:
  2. Salam bro,

    Puan Maizatul Akmam yang dimention kat atas tu, bukan ke ex-student MRSM Kuantan? Kalau ye, definitely she was my long lost friend since primary school....