Konsert Reunion Akademi Fantasia 3 - Penawar Rindu
Stadium Malawati Shah Alam
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Konsert Reunion Akademi Fantasia sememangnya sebuah konsert yang dinanti-nantikan oleh sebilangan besar peminat Akademi Fantasia. Seperti sudah menjadi rutin apabila menjelangnya Hari Kemerdekaan Malaysia, pastinya malam 1 September ditunggu-tunggu untuk melepaskan rindu masing-masing terhadap bintang Akademi Fantasia. Tahun-tahun sebelumnya, ia dibuat di Taman KLCC, tetapi tidak pada musim ini. Di sebuah tempat yang lebih kecil yang tidak dapat memuatkan puluhan ribu penonton, Stadium Malawati menjadi medan pertarungan bintang Akademi Fantasia untuk mengekalkan populariti mereka.
Dengan rekaan pentas yang lebih cantik serta agak minima, serta tatacahaya yang bersesuaian, Konsert Reunion kali ini berlangsung dalam suasana yang agak meriah. Pentas kelihatan agak luas mungkin kerana tiada lagi tangga-tangga yang tidak digunakan.
Amy memulakan persembahan dengan lagu Akhirnya Kini Pasti oleh Anita Sarawak. Persembahannya nampak begitu menarik dan menyerlahkan lagi vokal yang ada pada beliau. Ini turut dibantu oleh sikap sporting penonton yang sama-sama menyanyikan lagu tersebut. Lagu-lagu sebegini memangnya sesuai dengannya cuma Amy harus menyerlahkan lagi stail showmanship agar nampak lebih bertenaga pergerakannya. Adakalanya pergerakannya nampak lesu. Sebagai sebuah lagu permulaan, ia telah memberikan impak positif kepada konsert tersebut.
Siapa menyangka Kefli mampu memberikan sebuah persembahan yang saya mahu untuk bangun memberikan standing ovation. Lagu Ratuku oleh Awie menjadi begitu baik. Saya kira pemilihan lagu juga memainkan peranan yang penting. Selain daripada itu, melodi lagu tersebut sememangnya telah lama meresap dalam jiwa penonton dan penonton nampaknya begitu terhibur dengan persembahannya. Cara Kefli menyampaikan lagu tersebut juga dapat menghubungkan dirinya dengan penonton dan ianya sampai kepada penonton. Aspek busana nampaknya tidak banyak pembaharuan yang dibawa oleh Kefli. Kefli masih ditampilkan dengan imej smart berkemeja serta blazer bercorak dengan seluar slack.
Bintang seterusnya yang ditampilkan ialah Akma dengan lagu Since You Been Gone dendangan asal Kelly Clarkson. Amat bertenaga persembahan Akma, cuma jika Akma diberikan sebuah lagu yang mesejnya lebih bersesuaian tentu memberikan lebih banyak impak kepada penonton. Sketsa pendek yang menampilkan Felix ditampar oleh Akma sememangnya ditunggu-tunggu oleh penonton. Siapa yang tidak mahu melihat mereka digandingkan lagi ? Jelas nampak aura bintang serta penghibur dalam diri Akma. Jika sebelum ini ramai yang berbincang tentang x-faktor Akma, kini jelas tanpa tekanan, Akma mampu melakukannya. Vokal Akma, tidak perlu dipertikaikan. Dengan selamba sahaja beliau membawakan lagu tersebut.
Meneruskan aura-aura penghibur yang dicanangkan oleh Pengetua M.Nasir pada awal kemunculannya sebagai Pengetua Akademi Fantasia ialah Reza dengan lagu Terbang oleh Gigi. Pada saya, inilah yang ingin dilihat oleh penonton. Sebuah persembahan yang berbeza dari persembahan konsert di Akademi Fantasia. Saya mahu melihat pembaharuan dan perkembangan yang mampu dibawakan oleh mereka. Itu saya. Dengan stail yang bersahaja dan penyampaian vokal yang bersesuaian, saya melihat persembahan Reza sebagai sebuah persembahan yang cemerlang. Kenapa saya kata cemerlang adalah kerana corak persembahannya pada malam itu tidak pernah saya tonton sebelum ini. Ini membuktikan ada perkembangan yang dibawa oleh beliau setelah meninggalkan Akademi Fantasia.
Empat bintang Akademi Fantasia telah selesai melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang. Inilah stail penghibur yang kita inginkan. Persembahannya ada stail. Geraknya persis diva. Nyanyiannya bertenaga. Interaksinya profesional.
Kejutan Konsert Reunion musim ini ialah penyampaian beberapa anugerah yang telah dirancang. Anugerah pertama ialah Anugerah Muzikal Terbaik yang disampaikan oleh Abang Asrul dan Kak Sheena. Calon-calonnya terdiri daripada :
Yazer - Blues Depan Sliding Door
Amylea - Tribute To Ekin
Marsha - Pokok Kelapak
Pemenangnya ialah Marsha dengan lagu Pokok Kelapak. Siapa boleh menafikan populariti lagu ini. Secara tiba-tiba lagu Pokok Kelapak menjadi siulan para peminat Akademi Fantasia.
Persembahan diteruskan oleh Ekin dengan lagu Hatinya Tak Tahan dendangan asal Noraniza Idris. Jika membawakan lagu Noraniza Idris, saya boleh meletakkan dua kategori penilaian untuk perbandingan. Satu adalah teknik vokal dan yang kedua adalah teknik persembahan. Jika dinilai dari aspek vokal, persembahan vokal Ekin jauh lebih baik daripada penyanyi asalnya iaitu Noraniza Idris. Sekiranya dinilai dari aspek teknik persembahan, gaya persembahan Ekin masih agak lemah berbanding Noraniza Idris. Nampak Ekin tenggelam di sebalik kipas-kipas penari latarnya. Ekin nampaknya cuba dipopularkan dengan genre sedemikian sama seperti Rosma dan Zarina. Namun demikian, saya tetap terhibur dengan persembahannya.
Saya pernah kempunan untuk mendengar lagu Colors Of The Wind (Vanessa Williams) dibawakan oleh Marsha sewaktu Konsert Prelude Akademi Fantasia. Lagu yang sepatutnya disampaikan oleh Marsha pada malam tersebut tidak menjadi kerana masalah kesihatan yang dihadapi oleh beliau. Akhirnya impian untuk mendengar Marsha membawakan lagu tersebut terlaksana apabila beliau menyampaikan lagu tersebut dengan baik. Saya perhatikan masalah utama Marsha ialah gemuruh sehingga tertukar lirik. Mujur ianya adalah sebuah lagu Inggeris dan tidak ramai yang menyedarinya. Marsha perlu memperbaiki dan mengatasi masalah tersebut.
Selalu kita lihat Aidil ditampilkan dengan imej smart tetapi tidak pada malam tadi. Penampilan Aidil terlalu simple dan tidak menyerlahkan lagi imej bintang yang sepatutnya ditampilkan. Muncul dengan baju checkers serta blazer, Aidil membawakan lagu Terpesona dendangan asal Gerhana Ska Cinta. Sayangnya lagu tersebut merupakan lagu yang agak asing pada telinga penonton. Maka persembahannya tidak dapat connect dengan penonton. Aidil menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menyerlahkan persembahannya tetapi tidak berjaya sampai kepada penonton.
Anugerah seterusnya ialah Anugerah Bintang Airmata Terbaik yang disampaikan oleh Cikgu Fatimah dan Dr. Love. Antara calon-calon yang terpilih ialah :
Marsha - Minggu Pertama di Akademi
Amylea - Tragedi Air Mata
Mawi - Saat Kemenangan
Agak terkejut juga Fuad tidak terpilih dalam senarai calon. Siapa yang boleh menyangkal kemenangan Amylea walaupun jeritan penonton sudah memenangkan Mawi. Anugerah suka-suka ini diberikan kepada Amylea kerana tragedi yang menimpakan sewaktu di Akademi yang lalu.
Pada saat ini, impak penghibur yang ditampilkan pada Konsert Reunion semakin malap sedikit demi sedikit. Kemeriahan semakin hilang dan tidak berpanjangan. Mungkin juga kerana pemilihan lagu yang semakin jauh dengan penonton. Untuk persembahan seterusnya, Aznil menyarankan agar dinyalakan lampu skrin handphone yang ada untuk menyerikan lagi persembahan Fuad dengan lagu I’ll Be Missing You oleh Puff Daddy. Semacam hilang taring, saranan tersebut tidak mendapat sambutan penonton. Apa ya tidak kena dengan persembahan Fuad ialah beliau semacam trying too hard untuk menjadi bintang Barat. Fuad masih jauh ketinggalan jika saya meletakkan Zahid dan Fuad bersebelahan antara satu sama lain. Stail interaksi dengan penonton juga tiada. Saat kemunculan Idayu yang membantu persembahan tersebut, Fuad terus tenggelam dalam angan-angannya. I should say, Fuad is living in his own world. Tidak semestinya yang datang dari Barat itu maju.
Perlu saya tegaskan di sini, saya bukan Anti-Felix. Saya kira, moderator yang terlibat dengan Felix Fan Club tahu saya bukan anti-Felix. Membawakan lagu recycle bukan merupakan jalan selamat untuk Felix yang telah membawakan lagu Teratai dendangan asal Ramli Sarip ataupun Zahid (jika sempadan Akademi Fantasia menjadi jawapannya). Sekali lagi pemilihan lagu menjadi penyebab. Sukar untuk saya connect dengan persembahan Felix berbanding persembahan Zahid di Akademi Fantasia 2. Emosi kurang.
Kemunculan Yazer dengan lagu Rock Steady menjadi penyelamat pada malam itu. Jika ada Anugerah Persembahan Terbaik bukan berdasarkan SMS, sudah pasti saya meletakkan Yazer sebagai pemenangnya. Yazer menghangatkan persembahan malam itu dengan sebuah persembahan yang maha bertenaga. Tidak ada seorang pun dari bintang Akademi Fantasia yang mampu melakukan apa yang telah Yazer lakukan. Yazer telah pukul habis setiap persembahan pada malam itu, satu persatu harus tunduk hormat kepada Yazer. Yazer telah menyelamatkan nama Akademi Fantasia 3. Saya melihat Yazer apabila menyanyi beliau membawakannya dengan penuh perasaan. Beliau bawa lagu tersebut dari hatinya terus kepada penonton. Setiap mata akan terpaku melihat setiap pergerakannya dan tertunggu-tunggu apakah gimik yang akan dilakukan oleh Yazer selepas itu. Itu ciri-ciri penghibur. Kita mahu melihat sesuatu yang lain dari satu hari ke satu hari yang lain. Sebuah persembahan yang cemerlang dan berlainan sekali.
Anugerah seterusnya ialah Anugerah Pasangan Paling Romantis yang telah disampaikan oleh Cikgu Ee dan Cikgu Linda Jasmine. Antara calon-calon yang hangat bercinta di Akademi Fantasia ialah :
Aidil dan Amy
Felix dan Akma
Yazer dan Ekin
Tentunya mengundang senyum hingga ke telinga kepada para peminat Felix dan Akma. Siapa boleh menafikan, sejak lagu Bertakhta Di Hati sehingga lagu Warkah Berlagu Pilu, nama mereka sering meniti di bibir para peminat yang ingin melihat perhubungan mereka berpanjangan.
Meneruskan mood romantis pada malam tersebut ialah Elliza dengan lagu Dedebu Cinta dendangan asal Misha Omar. Saya akui persembahan Elliza bermula dengan baik. Kawalan vokal beliau dibuat dengan begitu baik sehingga penonton memberikan tepukan sewaktu beliau membawakan lagu tersebut. Cara beliau menyampaikan lagu tersebut juga penuh perasaan cuma sedikit terganggu dengan penampilan pakaiannya yang tidak begitu sesuai. Aspek vokal beliau sudah bagus cuma beliau perlu memaku penonton dengan aura penghibur yang perlu lebih dicari dalam dirinya.
Penampilan seterusnya ialah Idayu dengan lagu Seindah Biasa oleh Siti Nurhaliza. Saya suka lagu ini. Saya suka penyanyinya. Maka tidak dapat tidak saya tertunggu-tunggu Siti Nurhaliza muncul sebagai kejutan. Tahun lepas boleh bawa Hattan, tahun ini mesti boleh bawa Siti Nurhaliza pula. Barulah kejutan. Idayu menyampaikan lagu ini dengan gayanya yang tersendiri berbekalkan asset vokal yang ada pada diri beliau. Aspek vokal sahaja belum mencukupi untuk menjadi penghibur, seseorang penyanyi mesti tahu untuk mendekatkan dirinya serta lagunya kepada penonton. Itulah yang menghidupkan sesebuah persembahan.
Anugerah seterusnya ialah Aksi Terbaik yang disampaikan oleh Cikgu Adnan dan Cikgu Shahrol. Antara aksi-aksi stunt yang mendapat perhatian sebagai calon akhir ialah :
Abang Api untuk Lagu Rindu (Akma)
Mawi Bersilat untuk Ala Emak Kahwinkan Aku (Reza)
Stunt Kefli untuk Keindahan Pantai (Kefli)
Saya agak kecewa kerana aksi Aidil pengsan tidak dimasukkan ke dalam kategori ini. Jika dimasukkan kemungkinan untuk menang adalah lebih besar. Penampilan Abang Api tidak banyak memberikan kesan kepada persembahan Akma, juga aksi-aksi yang lain. Kemenangan berpihak kepada Abang Api.
Amylea dengan fesyen rambut ala Mel B kemudiannya meneruskan persembahan dengan lagu Naughty Girl oleh Beyonce. Jenis-jenis lagu sebegini sememangnya tidak bersesuaian dengan konsep Akademi Fantasia. Lebih-lebih lagi ditampilkan penari latar yang pakaiannya memang agak seksi. Agak sukar untuk Amylea melaksanakan tugasnya untuk menghubungkan penonton dengan lagunya. Persembahan vokal serta showmanshipnya sudah cukup baik tetapi pemilihan lagu yang lebih sesuai akan lebih menyerlahkan namanya lagi di masa akan datang. Sebuah persembahan yang masih bercorak living in her own world. Open up ! Lakukan untuk penonton.
Persembahan ditutup dengan lagu Menuju Puncak. Sebuah gimik yang agak klise. Lebih-lebih lagi dengan genre Menuju Puncak yang tidak diubah sejak musim pertama. Kalau rasa mahu melihat stadium tersebut roboh, bolehlah ditutup persembahan pada malam itu tanpa Mawi membawakan apa-apa lagu. Kononnya kerana masalah kesihatan, Mawi tidak dapat memenuhi permintaan. Tapi penonton peduli apa, Mawi mesti juga menyanyi kerana permintaan sudah ada.
Mawi (featuring Reza & Fuad) meneruskan persembahan dengan lagu Mimpi Laila dendangan asal Yasin. Juga hasrat untuk melihat kemunculan Yasin tidak kesampaian. Gandingan trio ini agak menarik kerana dari genre yang pelbagai. Sayangnya persembahan tidak begitu menarik. Mawi bukan tidak boleh menyanyi, tetapi beliau sudah terlalu penat. Sesetengah peminat cuba mencari kesalahan antara satu sama lain. Peminat Mawi menantikan Reza atau Fuad membuat kesalahan. Peminat Reza atau Fuad, menantikan Mawi membuat kesalahan. Ironik bukan ? But it was a good show kecuali penampilan Fuad dalam lagu tersebut yang agak tidak kena. Apakah ini bermaksud saya peminat Mawi ? Lagu ini kalau saya produsernya, saya akan minta diulang lagi sekali kerana Reza ada tersilap lirik sedikit.
Di pertengahan persembahan, Mawi mengambil tugas sebagai hos dengan menjemput Cikgu Marlia dan Pengetua M.Nasir untuk menyampaikan Anugerah Aksi Terlampau Terbaik. Antara calon-calon yang terpilih ialah :
Aidil - Pengsan di Konsert 6
Marsha - Tidur di Tepi Kerusi
Aznil - Selamat Jalan Romeo bersama Ramlah Ram
Pemenangnya ialah Aznil dengan aksi Selamat Jalan Romeo bersama Ramlah Ram. Saya mahu Aidil menang kerana pengsan Aidil di Konsert 6 bukan sahaja menjadi kejutan terbaik sepanjang zaman Akademi Fantasia, tetapi juga para penonton dapat melihat bagaimana paniknya Aznil di atas pentas. Mereka boleh berkongsi anugerah tersebut kerana masing-masing telah memberikan aksi terlampau yang mengejutkan penonton. Oh ya ! Anugerah tersebut boleh juga dikongsi dengan ibu Aidil.
Mawi meneruskan persembahan untuk lagu Aduh Saliha. Empat Tiga kali lagu tersebut diulang. Kali pertama kerana kesilapan Mawi mengikut melodi lagu tersebut. Sudah nama pun persembahan konsert secara langsung, sebagai penyanyi kenalah mendengar melodi lagu tersebut dan mengikut band iringan. Kesilapan kedua adalah kerana kesilapan pemuzik. Kesilapan ketiga adalah kerana masalah tempo dan counting dan kesilapan keempat adalah kerana sumbang. Harap-harap sewaktu siarannya kelak tidak kedengaran suara Sham Kamikaze jerit 1,2,3,4. Letih juga menantikan persembahan Aduh Saliha ini selesai. Mawi juga letih. Tapi kerana ada permintaan, kena juga penuhi walaupun letih. Secara kesluruhan, saya kurang berpuas hati dengan persembahan Mawi kerana persembahan vokalnya tidak menepati tahap yang saya inginkan. Jika anda sudah puas, go ahead. Saya belum puas. Saya mahu dengar lebih lagi.
Selesai konsert, Mawi dibawa turun pula untuk menemui peminatnya yang berada di tepi pagar yang memisahkan antara penonton dengan tetamu khas. Memang macam nak runtuh saja pagar tersebut dirempuh oleh para peminat Akademi Fantasia. Mujur tidak lama Mawi dibawa ke situ, hanya sebentar sahaja.
Konsert Reunion bermula dengan cemerlang dan berakhir dengan baik. Konsert ini akan disiarkan pada musim Hari Raya Aidilfitri pada penghujung tahun ini.
Foto Konsert Reunion boleh dilayari di Klubbkidd Fotopages. Jangan lupa undilah beliau yang mengharapkan undian. Hahaha !
Perkembangan Terkini : Sempat chat sebentar dengan Afdlin Shauki tentang Plan F From Cyberspace. Beliau ingin membuat satu lagi kerja yang tidak pernah difikirkan orang Malaysia. Cara mudah untuk mendapatkan kewangan untuk menghasilkan sebuah filem. Ingin menjadi produser ? Ingin menjadi penulis skrip ? Ingin jadi pelakon ? Inilah filemnya. Saya akan cuba membantu dalam mewujudkan portal untuk projek ini agar semua maklumat dapat diselaraskan dengan lebih cekap. Jom Bikin Filem !
0 komen