Who Will Be The Next Malaysian Idol ?
Grand Finale Malaysian Idol 2
8.32 malam
Ketibaan Jaclyn Victor, Juara Malaysian Idol. Ketibaan Zaf, Damian dan Lah dari kumpulan V.E. Ini sahaja bintang yang mampu naik ke Genting Highland.
8.40 malam
Nora menyatakan untuk menjadi juara Malaysian Idol seseorang itu harus pertamanya mempunyai bakat, keduanya personaliti dan yang ketiga x-factor serta karisma.
8.45 malam
Pencipta lagu single Malaysian Idol 2 Mimpi iaitu Pot Amir dari kumpulan Innuendo tiba. Antara “bintang-bintang” lain yang hadir menyaksikan Grand Finale Malaysian Idol ialah kumpulan Flop Poppy, Juwita Suwito, Ezlynn, Pop Shuvit, Ahmad Izham Omar dan salah seorang Datuk yang juga Pengerusi 8TV.
9.02 malam
Pop Yeh Yeh
Sebuah persembahan yang tidak begitu memukau dari bekas bintang Malaysian Idol sebelum mereka memperkenalkan finalis Malaysian Idol musim kedua. Pilihan lagu yang tidak cukup untuk diingati.
9.21 malam
Mimpi oleh Daniel 5/10
Pertama kali saya mendengar single pemenang Malaysian Idol. Tiada yang menarik. Sebuah lagu yang melodinya agak biasa. Mungkin kerana nyanyian Daniel pada malam tersebut agak berterabur. Melodi lagu tersebut seperti sebuah pop Indonesia yang agak rancak dan ada pengaruh rock. Falsetto Daniel kurang kemas. Nyanyian Daniel kurang bertenaga dan tidak bermaya. Kedengaran agak sumbang pada beberapa bahagian. Pada pandangan saya, Daniel gagal membawakan perasaannya ke dalam lagu tersebut lalu menyebabkan hubungannya dengan penonton tidak dapat dirasai.
Saya terbaca di forum yang mengatakan Mimpi versi Daniel lebih menyerlah dari Nita. Agaknya semua telinga manusia di Malaysia ini sudah menjadi telinga Roslan Aziz ataupun Fauziah Latiff agaknya. Saya tidak faham apa yang menjadi ukuran penilaian mereka. Nyanyian Daniel untuk lagu Mimpi jelas hancur. Saya juga tidak menyalahkan susunan lagu lagu tersebut yang dikatakan tidak memihak kepada vokal Daniel. Cukup untuk saya katakan nyanyian Daniel ibarat finalis pertandingan talentime Bintang Kecil RTM.
9.34 malam
Berhenti Berharap oleh Nita 7.5/10
Bagus sekali persembahan Nita pada malam tersebut dengan lagu Berhenti Berharap. Lagu tersebut merupakan pilihan juri. Lagu tersebut dapat menyerlah kelebihan range vokal yang ada pada Nita. Lontaran vokal Nita agak kemas dan penghayatannya bagus. Nita menyampaikan lagu tersebut dari note rendah ke note tinggi dengan baik sekali. Saya nampak Nita begitu selesa di atas pentas dan nampak begitu berkeyakinan tinggi menyampaikan lagu tersebut. Lagu Berhenti Berharap memang sebuah lagu yang sukar kerana setiap fikiran akan terarah kepada Siti Nurhaliza, Sheila on 7 atau paling tidak kepada Kefli di Akademi Fantasia. Saya akui persembahan vokal Nita tidak sehebat Siti Nurhaliza untuk lagu ini, penghayatannya tidak sehebat Kefli dan karismanya belum cukup untuk menyaingi Sheila on 7. Dalam waktu yang singkat dan tempoh lagu yang pendek, Nita telah melakukan yang terbaik untuk lagu tersebut. Untuk pusingan yang pertama, Nita mendahului Daniel.
9.50 malam
Heaven Knows oleh Daniel 7.3/10
Sebuah persembahan yang bagus dari Daniel. Lagu Heaven Knows sememangnya lagu tema dari Daniel maka tidak hairanlah sekiranya beliau berjaya membawakan lagu ini dengan baik dan ia adalah lagu pilihan Daniel. Saya menyukai penyampaian beliau yang agak sederhana tetapi berjaya menghubungkan penonton dengan nyanyiannya. Persembahan vokal Daniel juga bagus. Falsettonya agak kemas dalam lagu ini berbanding lagu Mimpi. Kalau dengan lagu ini beliau digelar King of Falsetto saya boleh terima juga tetapi saingan Vince masih lagi di dalam industri hiburan. Ada perubahan besar tahap keyakinan beliau dalam lagu Mimpi dan Heaven Knows kerana keyakinan beliau untuk lagu ini lebih menyerlah. Keyakinannya menyebabkan lontaran vokal beliau lebih kemas. Kurangnya dalam persembahan ini ialah penguasaan pentasnya yang kurang. Daniel tidak cuba untuk memberikan keadilan kepada semua peminatnya.
10.02 malam
Big Spender oleh Nita 8/10
Nita mencipta kehangatan dengan lagu Big Spender yang mana lagu tersebut adalah pilihannya. Saya menyukai gaya Nita membawakan lagu tersebut. Keyakinannya tinggi dan showmanshipnya hebat. Nita menyampaikan lagu tersebut dengan perwatakan yang kena dengan tema lagu tersebut. Penguasaan pentasnya kemas dan beliau memberikan penghayatan yang terbaik untuk lagu tersebut. Kelebihan Nita ialah style Nita yang cemerlang. Kalau Daniel menggunakan lagu Heaven Knows yang memang menjadi lagu temanya, Nita juga telah menggunakan lagu Big Spender yang juga merupakan lagu temanya. Nita memang benar-benar selesa dengan lagu tersebut. Setiap pergerakan Nita di atas pentas mewakili perasaan dan penghayatannya. Itulah kelebihan yang menjadikan persembahan lagu itu nampak begitu menarik. Setelah pusingan kedua, Nita masih mendahului Daniel.
10.16 malam
Angin Malam oleh Daniel 7/10
Kelebihan Daniel untuk lagu ini ialah beliau menyampaikan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri. Sekali lagi penguasaan pentasnya tidak mencapai standard yang saya inginkan. Beliau tidak menyampaikan lagu tersebut kepada seluruh peminatnya. Nampak tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyerlahkan bakatnya. Persembahan vokalnya untuk lagu tersebut juga baik. Falsettonya juga agak kemas. Penghayatan Daniel untuk lagu ini adalah biasa sahaja. Paul Moss menyatakan terdapat masalah shot kamera yang agak berterabur. Memang saya akui perkara tersebut. Ia perlu dibuat penilaian kerana hanya melalui kamera, Daniel berinteraksi dengan penonton di rumah. Sekiranya arahan kamera kacau-bilau, tentunya nyanyian yang bagus tidak akan dapat dinikmati oleh penonton di rumah.
10.27 malam
Mimpi oleh Nita 9/10
Nita memukau penonton dengan lagu Mimpi. Tenaga yang diserlahkan dalam lagu ini begitu hebat. Lagu tersebut sememangnya dicipta untuk beliau. Persembahan vokal beliau cemerlang dan jelas hebat dan bertenaga. Kelebihan Nita apabila menguasai pentas dengan baik dan menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan. Walaupun tidak sehebat sewaktu Jac membawakan lagu Gemilang, ia tetap sebuah persembahan yang hebat. Walaupun forumer di Malaysian Idol bersifat in-denial dan tidak mahu menerima kehebatan Nita, saya tetap mengatakan bahawa persembahan Mimpi versi Nita jauh lebih hebat dari Daniel. Sata perkara yang saya sedar tentang Nita setelah menonton persembahannya ialah kedudukan pembesar suara yang sering benar menutup mulutnya dan juga sebahagian mukanya. Saya rasa Nita perlu belajar cara meletakkan pembesar suara dengan betul. Setelah pusingan ketiga, Nita bakal saya nobatkan sebagai Juara. Ia pilihan saya.
10.45 malam
Kau Di Hatiku / You’ll Be In My Heart oleh Daniel & Nita 5/10
Memang sukar untuk memilih lagu yang sesuai untuk dua finalis yang mempunyai range vokal yang berbeza. Maka tidak dapat tidak, salah seorang harus menjadi mangsanya. Tiada yang indahnya pada persembahan lagu ini. Sebuah persembahan yang tidak cukup untuk diingati.
Pilihan Saya
Saya meletakkan kejuaraan Malaysian Idol menjadi milik Nita sekiranya dinilai dari aspek persembahan. Namun demikian, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku kerana pilihan terletak di tangan penonton. Kes yang sama berlaku kepada Akademi Fantasia. Menurut Paul Moss, tugas beliau sebagai juri Malaysian Idol adalah untuk mencipta sebuah budaya pop dalam industri muzik tempatan. Maka ini secara tidak langsung seakan kenyataan yang Malaysian Idol juga merupakan sebuah rancangan realiti tv berkonsepkan populariti. Sebenarnya semua rancangan realiti tv yang ada di Malaysia ini berkonsepkan populariti. Saya mengharapkan segala yang terbaik untuk Nita !
Nota : Update terkini pada jam 11.00 pagi
Ulasan Lain :
Nickxandar
Editorial dari Official Website Malaysian Idol
Terkini : Sabtu, 9.50 malam Daniel dinobatkan sebagai Juara Malaysian Idol menerima 68% undian berjumlah 1.2 juta SMS. Tahniah !
0 komen