Buka Puasa Drop-Out dan Bakal Drop-Out UNITAR
Semalam saya telah keluar berbuka puasa bersama rakan-rakan UNITAR tempat kerja saya dahulu. Antara yang hadir pada petang itu ialah Hasnan, Ayu, Uda, Suhana, Javard, Rosaini, Fieziah dan keluarga, Wan dan saya sendiri.
Makanan Baru Tentu Lebih Mengenyangkan
Boss lama saya iaitu Hasnan akan memulakan tugas barunya bersama Intel pada 14 November ini. Setelah lebih tujuh tahun bersama UNITAR, beliau akhirnya mendapat peluang yang lebih besar bersama syarikat yang lebih besar dan tanggungjawab yang lebih besar tentunya. Ada semacam domino effect pula di UNITAR sejak akhir-akhir ini. Seorang demi seorang pergi meninggalkan UNITAR untuk mencari peluang lain di luar sana. Antara tugas baru beliau yang menarik perhatian saya ialah Science Fair. Saya memang jenis geek yang minat dengan teknologi-teknologi sains tersebut. Tentunya acara-acara sedemikian menarik minat saya. Mana tahu boleh dijadikan bahan blog di masa akan datang untuk mempelbagaikan lagi kandungan yang ada di dalam blog ini. Lagipun pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah. :)
Ayu, Uda, Rosnani dan Wan masih berada di UNITAR dan masing-masing bercerita tentang apa yang telah saya tinggalkan setelah dua bulan tidak menjejakkan kaki ke UNITAR. Kami gelak dengan jenaka-jenaka yang melucukan. Bagaimana agaknya persiapan Ayu untuk menerima boss barunya ? Wan pula nampaknya selesa di Center for Student Development.
Suhana telah pun bertukar ke sebuah firma guaman dan saya pula bekerja dari rumah menerima masalah yang sama. Menerima pesanan bantuan dari rakan-rakan yang masih tinggal di pejabat untuk menjalankan tugas mereka. Dalam usaha kami melaksanakan tugas kami di tempat baru, kami juga perlu memberikan bantuan teknikal/pengetahuan kepada kakitangan yang mengambilalih tugas-tugas kami. Tentunya lebih menyulitkan.
Jelingan Tajam Seorang Blogger
Pandangan Seorang Blogger
Saya lebih selesa berbual dengan Javard yang kini seorang pensyarah di sebuah universiti awam dalam bidang komunikasi. Kami juga merupakan seorang blogger. Maka, bahasa pertuturan kami amat selari. Petang itu kami berbual tentang sikap blogger yang menulis berlandaskan emosi yang keterlaluan. Tidak cukup dengan itu, penulisan sesetengah mereka lebih kepada persoalan peribadi dan mengenepikan norma-norma professionalisme yang dicanangkan. Saya turut mencadangkan kepada beliau agar dimasukkan topik “Blog Ethics” dalam forum-forum kelolaannya di masa akan datang. Saya merasakan etika blog perlu diajar kepada semua blogger agar mereka tahu lunas-lunas etika yang perlu diikuti sebelum berani menggelarkan diri mereka seorang blogger. Dalam waktu yang sama, beliau memohon kerjasama saya mendapatkan sekelompok blogger untuk sama-sama terlibat dalam focus group untuk tujuan kajian pihak universiti. Beberapa nama sudah tertera dalam kotak fikiran saya. Sekiranya tidak keberatan saya ingin mendapatkan juga bantuan dari pihak gengjurnal.net, petalingstreet.org dan blogger persendirian khasnya. Saya mahu mendapatkan bantuan dari blogger yang telah menggunakan blog sekurang-kurangnya setahun atau lebih. Dengan kepelbagaian kelompok blogger dari pelbagai golongan tentunya akan memberikan maklumbalas yang lebih menyeluruh kepada kajian tersebut. Antara nama-nama yang saya ingin cadangkan ialah Rudy Bluehikari, Mat Jan, Tok Rimau, Undergrounduate, Jeff Ooi, Mack Zulkifli, TV Smith, Klubbkidd, Buku Nota, Najah dan Mak Andeh. Ini sekadar cadangan awal sahaja.
Pendapat saya tentang isu Belia Benci Disko adalah jelas. Bukan hak saya untuk menghukum apa yang telah dilakukan oleh Mawi. Hak saya hanyalah sekadar untuk menyokong kerjaya beliau sebagai seorang penghibur di Malaysia. Tanggungjawab Mawi sebagai seorang Islam adalah antara beliau dan Tuhan. Siapa pun Mawi, saya tidak kisah. Yang penting, saya mahu melihat hasilnya pada album barunya kelak. Tegur atau tidak tegur, saya tahu dia ada tanggungjawab yang lebih besar lagi untuk dilaksanakan.
Wan turut beraksi dalam persembahan tarian Melayu
Buka Puasa di Restoran Seri Melayu agak menyelerakan. Hidangan makanannya agak pelbagai dan agak sedap. Persembahan tarian kebudayaan yang dipersembahkan tidak lebih sebagai hidangan tambahan terutamanya kepada penonton Melayu seperti saya. Apa yang saya lihat tentunya berbeza sekiranya ia ditonton oleh penonton dari kalangan pelawat antarabangsa.
Saya ucapkan tahniah kepada penganjur perjumpaan kecil pada kali ini iaitu Wan dan berharap akan lebih banyak perjumpaan sebegini diteruskan di masa akan datang.
0 komen