Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 October 2005

VCD Siti Nurhaliza In Concert, Royal Albert Hall, London
Rating : 5/5 bintang
Sudah agak lama tidak mengemaskinikan blog. Banyak perkara penting dalam hidup yang perlu diselesaikan. Urusan peribadi berkenaan karier nampaknya semakin selesai. Hanya tinggal beberapa minggu sahaja bulan madu ini akan berakhir. Semalam saya pergi menonton Pontianak Harum Sundal Malam 2 di TGV KLCC bersama Najmie, Nizam Zakaria dan Fadz. Saya bertemu dengan Encik Hisham Mohamed, guru Bahasa Inggeris saya di MRSM Perlis yang kali terakhir kami bertemu pada tahun 1991. Selepas 14 tahun berlalu, beliau tetap kelihatan sama seperti pada hari perpisahan apabila beliau meninggalkan MRSM tersebut. Beliau antara guru yang paling kami suka pada masa itu. Asal masuk kelas, mesti free time. Banyak kali sangat waktu bebas dia. Itu sebab kami suka dia. Bila tengok balik cikgu-cikgu English saya zaman MRSM, masing-masing sudah berjaya. Ada yang jadi CEO, ada yang jadi kolumnis Malaysiakini. Hebat cikgu-cikgu saya dulu. Saya tercari-cari Puan Hindon Osman, guru Homeroom 21 saya, yang juga seorang guru Bahasa Inggeris. Di mana beliau sekarang agaknya ?

Saya akan menulis tentang Pontianak Harum Sundal Malam 2 dalam utusan saya yang akan datang. Untuk hari ini biarlah saya letakkan gambar VCD Siti Nurhaliza In Concert di Royal Albert Hall, London dahulu. Ulasan akan saya kemaskinikan pada lewat tengahari atau petang. Ulasan hanya akan dikemaskinikan pada esok hari sebagai menghormati kembalinya ke Rahmatullah Isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Endon Mahmood pada jam 7.55 pagi tadi.

Pengenalan
Konsert ini hanya dirakamkan dalam bentuk VCD dan DVD. Tidak seperti kebiasaan persembahan konsert Siti Nurhaliza akan dirakamkan juga dalam bentuk kaset dan CD. Tetapi tidak kali ini. Ini secara tidak langsung album ini tidak berpeluang untuk dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik 2006. Perkara ini saya tidak pasti sama ada dibenarkan atau tidak, tetapi sekiranya ia tidak dipertandingkan, maka pada tahun ini tiada album Siti Nurhaliza untuk dicalonkan dalam anugerah tersebut. Maka secara tidak langsung peluangnya untuk mengekalkan anugerah Persembahan Vokal Terbaik Wanita tidak akan menjadi kenyataan. Saya perlu periksa semula sama ada kenyataan ini adalah benar.

Secara keseluruhan saya boleh katakan VCD ini sebagai sebuah VCD yang harus dijadikan koleksi oleh setiap peminat muzik tempatan. Ia adalah sebuah koleksi persembahan yang jarang-jarang dapat kita tonton. Sebagai seorang warganegara Malaysia yang meminati muzik, persembahan di sebuah tempat yang penuh berprestij sebegini merupakan satu sejarah yang telah tercipta dan dilakarkan oleh Siti Nurhaliza. Walaupun ada segmen persembahan Siti Nurhaliza yang sedikit membosankan kerana susunan lagu, namun ia adalah sebuah persembahan yang boleh dibanggakan. Kalau bukan kita yang bangga, siapa lagi.

Rombongan ke London
Nama-nama yang terlibat dalam Siti Nurhaliza In Concert di Royal Albert Hall, London sememangnya tidak asing pada saya. Mereka pernah bekerjasama dengan Siti Nurhaliza sebelum ini mahu pun dengan artis-artis tempatan yang lain. Roslan Aziz selaku Pengarah Persembahan/Muzik sememangnya pakar dalam bidang tersebut lebih-lebih lagi beliau pernah menaikkan nama-nama seperti Sheila Majid dan Zainal Abidin di peringkat antarabangsa. London bukanlah kota yang asing bagi beliau. Beliau pernah membawa Sheila Majid untuk beraksi di Ronnie Scotts serta beberapa bandar di Jepun. Beliau juga yang bertanggungjawab membawa Zainal Abidin ke Fukuoka, Jepun. Pak Ngah atau pun Suhaimi Mohd Zain begitu sinonim dengan Siti Nurhaliza dalam rangkaian lagu-lagu tradisional dendangannya. Beliau juga merupakan Pengarah Persembahan untuk Konsert Untukmu Sudir. Pemuzik yang terlibat juga merupakan nama-nama besar dalam bidang mereka. Greg Lyons, Steve Thornton, Jamie Wilson dan Zahid begitu sinonim dengan Roslan Aziz. Maka tidak hairanlah sekiranya mereka menjadi pilihan utama Roslan untuk menjadi tulang belakang pemuzik dalam persembahannya. Lebih mengkagumkan apabila penari Yayasan Warisan Johor turut berpeluang untuk mengiringi persembahan Siti Nurhaliza. Persembahan dari London Symphony Orchestra telah dipimpin oleh Erwin Gutawa.

Susunan Muzik
Rata-rata hampir kesemua lagu telah diberikan susunan muzik yang baru oleh Roslan Aziz selaku Pengarah Persembahan/Muzik. Itu antara kelebihan utama VCD Konsert ini. Kesegaran seni muziknya juga menjadi tunjang utama mengapa tidak rugi menonton persembahan konsert ini. Cuma saya agak terkilan dengan susunan lagu yang adakalanya boleh menyebabkan kebosanan apabila menonton persembahan konsert ini. Pemilihan lagu juga boleh saya sifatkan kurang tepat dan mampu memberikan kesan yang besar selepas tontonan. Memilih lagu-lagu dari album baru untuk persembahan kepada sebilangan besar rakyat yang berada di luar Malaysia adalah tidak begitu berkesan. Ini ternyata mereka tidak dapat memberikan reaksi-reaksi spontan terhadap lagu yang dipersembahkan.

Rekaan Tatacahaya dan Pentas
Saya kurang menyukai rekabentuk tatacahaya yang telah dibuat untuk konsert ini. Saya melihat ia agak tidak seimbang dan tidak begitu menyeluruh. Apa yang saya tonton di VCD adakalanya pencahayaan terlalu terang sehingga kelam apa yang terpapar di skrin televisyen ataupun monitor komputer.

Saya menyukai dengan skrin-skrin yang tergantung di atas pentas yang kemudiannya dipancarkan wajah-wajah Siti Nurhaliza serta rakaman langsung persembahan konsert tersebut. Nampak begitu unik dan tampak eksklusif. Kedudukan orkestra yang berada di bahagian atas pentas yang kelihatan seperti terapung juga amat menarik perhatian saya. Di sebalik kerlipan lampu persis bintang-bintang juga telah memberikan sentuhan emas pada rekaan pentas konsert ini.

Kulit Album
Sebuah rekabentuk yang eksklusif boleh saya sifatkan kulit album Siti Nurhaliza kali ini. Penggunaan font yang nampak lebih profesional dan lebih bernada serius. Foto-foto yang ditampilkan juga kena dengan konsep album. Saya suka dengan ketelitian pembaca pruf meneliti setiap patah perkataan yang ada di dalam album ini. Tiada kesilapan pada kulit album ini. Kulit album memainkan peranan yang penting untuk menarik perhatian pendengar untuk membeli album ini. Rekabentuk yang ditampilkan oleh Ad.Verse begitu eksklusif.

VCD 01
01 Dialah Di Hati
Pakaian Siti Nurhaliza pada saat semua mata tertumpu kepadanya tidak begitu menarik perhatian mata saya. Pakaian yang bermotifkan kebaya moden bewarna putih dengan labuci yang sarat tidak begitu sesuai dan mencerminkan bahawa seorang diva sedang beraksi di hadapan penonton. Siti Nurhaliza memulakan persembahannya secara solo tanpa iringan muzik. Iringan muzik hanya bermula pada bahagian korus dan kemudian Siti Nurhaliza menyambung nyanyiannya dengan penuh keyakinan. Sebuah lagu pembukaan yang benar-benar mengkagumkan. Gaya persembahannya dibawa dengan penuh profesional. Gerak-gerak tubuhnya benar memukau. Permainan tangannya digayakan mengikut lirik lagu yang disampaikan. Sesekali beliau melenggokkan tubuhnya mengikut ritma lagu serta tiupan clarinet yang sedang dimainkan. Lagu Dialah Di Hati disuntik irama Jawa melalui tiupan clarinet oleh Greg Lyons.

02 Ku Milikmu
Lagu rancak yang pertama disampaikan oleh Siti Nurhaliza walaupun tidak serancak muzik yang asal. Susunan muziknya telah diubah agar bersesuaian dengan pakaian Siti Nurhaliza pada ketika itu. Ia lebih kepada muzik groove dan sedikit jazz. Muzik asal lagu tersebut lebih rancak berbanding versi London. Siti Nurhaliza mempersembahkan mutu vokal yang mantap dalam lagu ini. Sekali lagi, pergerakan-pergerakan tubuh yang jarang benar dapat kita tonton di persembahan di Malaysia dapat kita saksikan.

03 Cinta Tak Berganti
Sebuah lagu yang agak perlahan temponya. Sememangnya sesuai membawakan lagu balada selepas sebuah lagu rancak tetapi lagu Cinta Tak Berganti bukanlah lagu yang begitu sering diperdengarkan kepada penonton. Maka penonton kurang menghayati lagu ini. Selesai lagu ini dipersembahkan, Siti Nurhaliza memulakan ucapan Selamat Datang kepada penonton yang hadir dalam bahasa Inggeris. Tidak begitu lama, hanya sebentar sebelum meneruskan ucapannya dalam bahasa Melayu.

04 Medley Rancak : Jalinan Cinta, Kini Kau Disisi & Pendirianku
Rangkaian lagu ini rasanya pernah dipersembahkan di Anugerah Industri Muzik. Siti Nurhaliza mendendangkan lagu rancak dengan bertenaga sekali. Memang saya menyukai gaya persembahannya yang lebih terbuka tanpa terikat dengan gaya-gaya sopan di Malaysia. Kalau sebelum ini beliau memukau dengan kehebatan vokal beliau, kini beliau boleh menggunakan konsep persembahan dan gaya showmanshipnya untuk memaku mata penonton untuk menonton persembahannya dari saat pertama sehingga saat terakhir. Membawakan lagu rancak sememangnya makanan untuk Siti Nurhaliza kerana dalam kelincahan beliau menguasai pentas, mutu vokal beliau tidak pernah terjejas.

05 Debaran Cinta
Saya paling menyukai persembahan lagu Debaran Cinta dan akan berada di pilihan paling utama saya. Pertamanya saya menyukai susunan muzik lagu ini yang dibuat dengan begitu baik dan amat menguja pendengaran saya. Persembahan Siti Nurhaliza begitu memukau dalam lagu ini. Dalam iringan seruling, beliau melenggokkan tubuhnya mengikut irama lagu. Langkah-langkah Siti Nurhaliza begitu menarik pandangan. Melodi lagu ini turut disuntik irama Jawa dan penuh keMelayuan. Perhatikan pergerakan tubuh Siti Nurhaliza mengikut irama lagu ini. Katakan kepada saya ianya adalah satu pergerakan yang terbaik pernah saya lihat Siti Nurhaliza lakukan.

06 Badarsila
Setelah teruja dengan persembahan Debaran Cinta, saya sedikit kecewa dengan Badarsila. Walaupun lagu ini semacam pembukaan untuk segmen lagu-lagu tradisional, namun ia gagal untuk menarik perhatian saya. Mungkin juga pilihan lagu yang boleh saya sifatkan kurang sesuai untuk menjadi pembukaan lagu tradisional. Namun demikian saya suka dengan susunan muzik yang dibuat untuk lagu ini. Ia kedengaran lebih segar dan lebih moden serta tidak terlalu berbunyi tradisional. Ia seakan peralihan dari irama moden ke irama tradisional.

07 Zapin Budi
Dalam iringan rebana oleh Ramli, penari Yayasan Warisan Johor masuk ke pentas untuk memulakan persembahan. Irama zapin bergema di Royal Albert Hall, London. Sementara menunggu Siti Nurhaliza menukar pakaian, penonton dihiburkan dengan persembahan tarian Zapin Budi oleh mereka. Pemuzik Swakarya mengambil tempat untuk menghiburkan penonton. Alunan akordian Pak Ngah bergema di pentas tersebut. Rupanya irama tradisional juga lah yang memukau hadirin dan mereka ternanti-nantikan persembahan tradisional mengambil tempat. Keceriaan para penari Yayasan Warisan Johor berjaya memikat penonton dengan persembahan mereka yang penuh dengan unsur tradisional. Siti Nurhaliza muncul di pertengahan lagu dengan pakaian bewarna merah jambu yang bermotifkan bunga-bungaan. Siti Nurhaliza nampak lebih menyerlah dalam pakaian konsep sebegini.

08 Medley Lagu Rakyat : Patendu Patende, Ayo Mama & Embun Sosek
Siapa pernah dengar lagu Patendu Patende. Saya sendiri tidak pernah mendengar lagu tersebut. Ia amat berbeza dengan lagu Ayo Mama dan Embun Sosek yang sering saya dengar. Rangkaian lagu-lagu rakyat telah dipersembahkan di sebalik gabungan penari yang lebih menceriakan persembahan Siti Nurhaliza. Kehebatan penari dipersembahkan kepada umum dan telah membuktikan penari Yayasan Warisan Johor bukan calang-calang penari. Formasi tarian antara Siti Nurhaliza dan penari juga amat cemerlang. Showmanship beliau berjaya digabung-jalin di dalam persembahan tarian yang memukau.

09 Medley Lagu Joget : Joget Pahang, Joget Berhibur dan Joget Kasih Tak Sudah
Rangkaian lagu-lagu joget juga berjaya memikat. Menggunakan lagu Joget Pahang sebagai pembukaan sememangnya memikat. Lagu-lagu lain juga tidak kurang hebatnya. Lagu joget mampu membangkitkan semangat penonton untuk sama-sama berinteraksi dan terhibur dalam kemeriahan irama tersebut. Persembahan tersebut tentunya lebih menarik sekiranya irama-irama Melayu Asli, keroncong, dondang sayang dapat diperdengarkan kepada penonton. Keunikan dan kehebatan vokal Siti Nurhaliza akan dapat diuji sepenuhnya sekiranya dapat membawakan pelbagai genre lagu dalam satu-satu persembahan. Keunikan tarian-tarian tradisional Malaysia juga dapat dipersembahkan. Gesekan biola oleh salah seorang pemuzik Swakarya juga berjaya memikat penonton.

10 Nirmala
Pembukaan solo lagu Nirmala mendapat gemuruh penonton. Dengan selamba sahaja, Siti Nurhaliza memukau hadirin dengan tarikan vokalnya yang mantap.Walaupun ada sedikit kesilapan pada bahagian “Aduhai” ia tetap tidak mencacatkan persembahannya dan tahap keyakinannya. Gaya persembahannya mantap dan telah dipersembahkan dengan cemerlang. Tariannya memukau walaupun tidak begitu sharp seperti yang telah dipersembahkan di Anugerah Juara Lagu beberapa tahun yang lalu. Sebuah persembahan yang bertenaga dari Siti Nurhaliza dan para penarinya. Persembahan vokal Siti juga berjaya memukau penonton.

11 Medley Zapin : Cindai, Mahligai Permata dan Ya Maulai
Sekali lagi medley lagu-lagu tradisional menutup persembahan segmen ini. Kali ini dipersembahkan rangkaian medley lagu-lagu zapin. Lagu yang menarik perhatian penonton dan tidak sah sekiranya tidak didendangkan ialah lagu Cindai. Tarian zapin dipertontonkan kepada penonton dalam genre yang pelbagai. Keunikan tarian zapin itu sendiri telah berjaya menarik minat penonton. Antara lagu lain yang memukau ialah Ya Maulai kerana Siti Nurhaliza sekali menyerlahkan kehebatan vokal beliau.

VCD 02
01 Janji Kasih
Persembahan Siti Nurhaliza bermula dengan iringan muzik orkestra oleh London Symphony Orchestra yang diketuai oleh Erwin Gutawa selaku konduktor pada malam tersebut. Lagu Bukan Cinta Biasa, Cindai, Percayalah dan Janji Kasih bergema dalam irama klasik. Setiap permulaan lagu pasti mendapat tepukan gemuruh penonton yang terpesona dengan kehebatan pemuzik-pemuzik dari London mengalunkan lagu-lagu Malaysia. Saya terpegun dengan irama klasik Cindai yang dibuat dengan baik sekali dan semangat semakin memuncak dengan lagu Percayalah.

02 Bukan Cinta Biasa
Entah kenapa saya merasakan yang lagu ini semacam dinyanyikan untuk tetamu yang berada di balkoni. Berkali-kali bahasa tubuhnya mengisyaratkan pandangan ke atas. Mungkin juga untuk Fazley. :) Saya perlu melakukan sesuatu agar ia menjadi kenyataan ataupun ia telah pun menjadi kenyataan. Penyampaian Siti Nurhaliza dalam lagu Bukan Cinta Biasa dibuat dengan begitu baik sekali dengan penuh penghayatan. Pakaian Siti Nurhaliza untuk segmen ini pula kelihatan terlalu ringkas. Warna kuning muda nampak begitu pudar untuk Siti Nurhaliza dan tidak begitu menyerlahkan kecantikannya.

03 Percayalah
Rata-rata susunan muzik untuk segmen ini tidak banyak bezanya kecuali diiringi oleh strings dari London Symphony Orchestra. Persembahan vokal Siti Nurhaliza diberi keutamaan dalam lagu ini. Irama-irama melodrama ini berterusan membangkitkan suasana romantis dalam persembahan Siti Nurhaliza. Keterlaluan dibuai irama romantis boleh membuatkan penonton tertidur.

04 Get Here
Sebelum penonton terlena dibuai lagu-lagu balada, Siti Nurhaliza meneruskan persembahannya dengan sebuah lagu Inggeris bertajuk Get Here yang pernah dipopularkan oleh Oleta Adams. Saya menyukai susunan lagu ini yang melodi lagunya telah diberikan sedikit sentuhan Melayu pada permulaannya. Persembahan vokal Siti Nurhaliza untuk lagu ini boleh saya sifatkan cemerlang. Sesekali Siti Nurhaliza melenggokkan tangannya seperti menarikan tarian Melayu.

05 Lagu Rindu
Lagu Rindu benar-benar mengejutkan penonton dari terus lena. Irama global ini bergema untuk menguja penonton. Para penonton juga amat sporting dan sama-sama bangun untuk menari bersama-sama. Lagu-lagu sebegini walaupun baru di telinga penonton tetapi berjaya membangkitkan suasana. Jelas Lagu Rindu sebuah lagu yang universal yang mampu membuatkan sesiapa sahaja menyukainya. Melodi lagu ini juga agak catchy untuk membuatkan penonton sama-sama menyanyi dalam iramanya.

06 Bisikan Asmara
Saya dapat melihat momentum persembahan semakin menyerlah selepas lagu Lagu Rindu. Beliau nampak sudah begitu selesa dengan pentas dan memberikan persembahan bertenaga. Lagu Bisikan Asmara disampaikan dengan baik sekali. Penguasaan pentasnya nampak begitu selesa dan hebat sekali. Secara jujur, lagu ini bukan pilihan saya tetapi melihatkan kelincahan Siti Nurhaliza di pentas ia benar-benar memberikan pesepsi yang berbeza terhadap lagu ini.

07 Sebenar Cinta
Lagu ini juga bukan yang biasa disukai penonton. Menyesuaikan momentum dari persembahan sebelum ini, Siti Nurhaliza meneruskan persembahan lincahnya untuk lagu tersebut dengan baik sekali. Siti nampaknya sudah berani untuk menggoyangkan tubuhnya pada persembahan tersebut.

08 Seindah Biasa
Sebelum menamatkan segmen ini beliau menyampaikan lagu Seindah Biasa dengan hebat sekali. Lagu berhantu itu disampaikan dengan bertenaga di MTV Asia Awards dan begitu juga dengan persembahan konsert di London. Satu yang kurang adalah dari segi showmanship beliau yang agak kurang pada pendapat saya. Dengan menggunakan gimik kononnya persembahannya telah tamat, beliau kembali setelah menukar pakaian untuk segmen yang terakhir.

09 Medley Lagu Cinta : Jerat Percintaan, Purnama Merindu, Aku Cinta Padamu, Diari Hatimu & Kau Kekasihku
Segmen Lagu Cinta adalah segmen yang paling ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar peminat Siti Nurhaliza. Tidak lengkap rasanya persembahan di London tanpa mendendangkan lagu Jerat Percintaan, Purnama Merindu, Aku Cinta Padamu, Diari Hatimu dan Kau Kekasihku. Saya agak terkilan kerana Siti Nurhaliza tidak membawakan lagu Nian Di Hati. Saya merasakan lagu Nian Di Hati adalah antara lagu yang sedap dibawakan oleh Siti Nurhaliza. Lagu Jerat Percintaan dibawakan dengan penuh penghayatan dan semangat oleh Siti Nurhaliza. Persembahan vokal beliau untuk lagu ini benar-benar memukau dan mengejutkan lebih-lebih lagu alunan suara soprano yang dibawakan oleh beliau sebelum membawakan lagu Purnama Merindu. Walaupun berlaku sedikit kesilapan dalam lirik lagu Purnama Merindu, Siti Nurhaliza bijak menutup kesilapan kecil tersebut. Lagu-lagu sebegini sebenarnya lebih sesuai dipersembahkan secara penuh dan bukannya secara medley. Dalam masa yang pendek, lagu-lagu tersebut benar-benar memukau penonton. Setelah membawakan lagu Aku Cinta Padamu, Siti Nurhaliza memukau kembali dengan lagu Diari Hatimu. Penonton dibawa untuk menyelami perasaannya dalam lagu tersebut. Sebelum mengakhiri persembahan beliau dengan lagu Kau Kekasihku secara penuh bertenaga dengan menyerlahkan keupayaan vokal beliau ke tahap paling maksima. Penghayatan Siti Nurhaliza benar-benar memukau dalam persembahan ini lebih-lebih lagi sebelum menamatkan lagu tersebut.

10 Encore : Cindai
Sebuah persembahan encore yang penuh bertenaga menjadi penutup kepada sebuah sejarah yang telah dilakarkan oleh penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza. Irama tradisional Melayu kembali bergema untuk menjadi penutup persembahan tersebut. Rata-rata penonton terpesona dengan persembahan bertenaga Siti Nurhaliza.

VCD 03
Di Belakang Tabir - Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall, London

Di sebalik kecekalan Siti Nurhaliza dan pasukannya untuk menjadikan persembahan konsert ini satu realiti, penonton dapat melihat apa yang berlaku di sebalik tabir persembahan tersebut. Penonton juga didedahkan kepada sesi wawancara bersama BBC Indonesia, sesi bertemu peminat di Oriental Mall dan juga bertemu pelajar Malaysia di Malaysia Hall.

Untuk melengkapkan portfolio Siti Nurhaliza, satu sesi fotografi juga telah diadakan dan penonton dapat melihat apa yang berlaku di sebalik sesi tersebut. Turut dipaparkan di dalam VCD ketiga ialah sesi latihan bersama penari untuk mengingati koreografi dan juga sesi bersama London Symphony Orchestra.

Pilihan sultanmuzaffar
VCD01
01 Debaran Cinta
02 Nirmala
03 Medley Zapin : Cindai, Mahligai Permata. Ya Maulai
04 Dialah Di Hati
05 Ku Milikmu
06 Zapin Budi
07 Medley Lagu Rakyat : Patendu Patende, Ayo Mama, Embun Sosek
08 Medley Lagu Joget : Joget Pahang, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah
09 Medley Rancak : Jalinan Cinta, Kini Kau Disisi, Pendirianku
10 Cinta Tak Berganti
11 Badarsila

VCD02
01 Medley Lagu Cinta : Jerat Percintaan, Purnama Merindu, Aku Cinta Padamu, Diari Hatimu, Kau Kekasihku
02 Encore : Cindai
03 Lagu Rindu
04 Seindah Biasa
05 Get Here
06 Percayalah
07 Medley London Symphony Orchestra dan Janji Kasih
08 Bukan Cinta Biasa
09 Bisikan Asmara
10 Sebenar Cinta

Senarai Rasmi Separuh Akhir Juara Lagu 2005
Dalam perkembangan lain, Anugerah Juara Lagu bakal kembali menemui peminat muzik tempatan. Senarai finalis untuk Separuh Akhir telah pun diumumkan. Antara lagu-lagu yang terpilih ialah lima buah lagu dari artis yang lahir dari program realiti tv pencarian bakat seperti Malaysian Idol dan Akademi Fantasia. Turut bertanding ialah Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik 12 iaitu Awan Yang Terpilu. Ini juga merupakan pertandingan Juara Lagu yang pertama yang menggabungkan bintang Akademi Fantasia dari tiga musim iaitu Farah AF2, Sahri AF1, Zahid AF2 dan Mawi AF3.

Balada (16 November 2005, 4.30 petang)
Gemilang - Jaclyn Victor
Awan Yang Terpilu - Ning Baizura
Dedebu Cinta - Misha Omar
Elegi Sepi - Azharina
Tiada Lagi Tangisan - Aishah
Tangisan Dalam Kerinduan - Farah AF2
Tangisan Marhanis - Dia Fadilla/Hattan
Bila Rindu - Ruffedge
Memori Bahagia - Sahri AF1
Langit Ke Tujuh - Syarifah Zarina

Pop Rock (17 November 2005, 4.30 petang)
Pop Ye Ye - VE
Milikku - Zahid
Kata - Hazami
Dayang Sayang Kamu - Dayang Nurfaizah
Cinta Dewa Dewi - Spider
Senyuman Ragamu -Gerhana Ska Cinta/Radhi OAG
Kasihnya Laila - Jinbara
Rahsia - Flop Poppy
Message Girl - VE
Gaia - Zainal Abidin

Irama Etnik (15 November 2005, 4.30 petang)
Aduh Saliha - Mawi AF3
Ayuh Juragan - Noraniza Idris
Binafsha - Waheeda
Goyang Habibi - Ruffedge
Senang Tari - Ning Baizura
Dendang Bersahut - Toki/Andy Flop Poppy
Gurindam Sang Puteri - Syazliana
Semalakama - Zehra Zamri
Nurul Ain - Raina Hairina
Benang Emas - Acik/Nana