Bersamamu TV3 - Rumah Seri Kenangan Cheng Melaka
Dalam Malaysia menuju kemajuan, tidak dapat tidak beberapa aspek dalam kehidupan terpaksa diabaikan. Lebih menyedihkan apabila terdapat segolongan manusia yang terus mengabaikan ibu-bapa mereka. Semacam sudah menjadi kebiasaan, berita-berita di akhbar memaparkan juga kisah penderaan kanak-kanak. Ia semacam satu putaran roda kehidupan. Kanak-kanak didera sekarang dan ibu-bapa diabaikan sewaktu umur tuanya. Apakah itu satu kebetulan atau semacam satu pembalasan ?
Menyaksikan kehidupan sekumpulan warga emas yang menetap di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka benar-benar membuka minda tentang bagaimana pentingnya ibu-bapa dalam kehidupan kita. Benar kata pepatah, ibu mampu untuk menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum mampu untuk menjaga seorang ibu.
Kisah yang dipaparkan minggu ini tidaklah begitu menyedihkan berbanding kisah sebuah rumah anak yatim pada minggu lepas. Mungkin kerana saya sudah terbiasa membaca kes-kes pengabaian ibu-bapa sebelum ini dan tidaklah begitu menghairankan saya. Sebelum ini, program ini pernah menyiarkan kisah sebuah keluarga yang makan nasi dengan siput babi.
"Di mana sistem kenegaraan, JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), penghulu, komuniti bestari, persatuan penduduk, jabatan kebajikan, Baitulmal dan badan zakat kita?.” pernah diutarakan oleh Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) dalam sidang parlimen. Saya tersenyum. Apakah benar penyaluran wang zakat dibuat dengan penuh sistematik ? Apakah benar tiadanya penyelewengan terhadap wang zakat tersebut ? Tidak salah sekiranya berasa sangsi dengan sistem yang ada.
Rata-rata apabila ditanya kepada penghuni rumah tersebut, mereka menyatakan tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dan pilihan mereka untuk tinggal di rumah tersebut. Kesibukan anak-anak mencari rezeki tentunya menambahkan lagi beban terhadap anak-anak mereka sekiranya mereka menumpang di rumah anak-anak mereka. Mempunyai adik-beradik yang ramai juga belum tentu menjamin kebahagiaan berkeluarga.
Melihat program ini saya berpendapat Rumah Seri Kenangan Cheng lebih memerlukan bantuan kasih sayang dan bukannya bantuan wang ringgit. Kehidupan mereka di sana boleh saya sifatkan agak mewah cuma bezanya dalam usia yang meniti penghujung mereka kurang kasih sayang yang amat mereka perlukan.
Ada banyak cara untuk membantu, sekiranya anda ingin membantu. Boleh melalui SMS tetapi saya nasihatkan tidak perlulah menderma dengan SMS. Lebih mudah sekiranya dimasukkan ke dalam akaun bank Maybank 564324129973 atau pun secara terus kepada mereka di alamat :
Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka
KM12, Jln Cheng, 75250 Melaka
Tel : 06-3121179
Fax : 06-3121402
Email:jkm077[delete]@tm.net.my
Kredit Foto : Department of Social Welfare, Melaka
Dalam perkembangan lain, saya dalam proses menyiapkan ulasan berkenaan filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 yang telah saya tonton baru-baru ini. Saya perlu menyiapkannya secepat mungkin sebelum filem tersebut ditayangkan kepada umum pada 24 November ini. Pengalaman beraya di bandar, jika ada kelapangan boleh juga saya kongsi bersama dengan anda semua. Malam Raya Pertama saya melepak di Planet Hollywood bersama beberapa sahabat. Selain Tengok ASTRO, Online, Tengok ASTRO, Online, Tidur, Makan Ketupat, Online, Tengok ASTRO, Tidur. Hahahaha !
0 komen