Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 03 November 2005

Reunion Buka Puasa
Sebelum pulang ke kampung, sempat saya bertemu rakan-rakan satu sekolah menengah sewaktu di Tingkatan Satu – Tiga. Bukan selalu dapat jumpa mereka, tetapi sejak initiatif yang dilakukan oleh Nizam, saya sering dapat bertemu mereka sejak akhir-akhir ini. Kali terakhir saya bertemu mereka adalah sewaktu Majlis Perkahwinan Mohd Sirajuddean iaitu dua bulan yang lalu. Ada di antara mereka yang tidak dapat hadir.

Dalam ramai-ramai, kebanyakan dari kami tinggal di asrama sekolah. Tentunya banyak cerita untuk diimbas kembali. Dalam ramai-ramai, tiga orang daripada kami telah mengenali antara satu sama lain sejak berada di sekolah rendah lagi. Berada di dalam kelas yang sama sejak sekolah rendah. Saya, Dean dan Aminurrashid merupakan rakan satu sekolah rendah sehinggalah ke Tingkatan Tiga.

Manakala Hakim, Ardi, Nasir, Saiful, Sam dan Nizam merupakan rakan sejak Tingkatan Satu. Saiful, Aminurrashid dan Shamsul tidak pernah saya temui sejak meninggalkan sekolah itu pada tahun 1989. Nasir pula saya berkesempatan untuk hadir ke majlis perkahwinannya pada tahun 1998.

Semuanya telah berjaya dalam hidup masing-masing. Kalau dulu sewaktu bersekolah, kita semacam tiada arah tujuan. Masing-masing tidak tahu apa yang akan dihadapi di masa hadapan. Masing-masing blur.

Kalau sudah bertemu, macam-macam cerita yang keluar. Dari kes terjun bangunan kerana dapat 4A1B sehinggalah kepada kes main mercun. Zaman sekolah memang satu zaman yang paling menyeronokan. Zaman untuk mencuba segala macam jenis cabaran. Zaman itu boleh saya sifatkan sebagai zaman untuk bereksperimen tentang kehidupan.

Pendek kata, apa yang ingin dirasai sewaktu zaman persekolahan sudah dirasai. Ada yang kekal sehingga sekarang.

Sepet – Best Asian Film Award di Tokyo International Film Festival
Kejayaan Sepet merangkul Anugerah Filem Terbaik Asia di Tokyo International Film Festival benar-benar suatu kejayaan yang sepatutnya dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia.

Tanpa promosi yang berdegar-degar, filem tersebut telah dihantar untuk menyertai festival filem tersebut.

Kejayaan yang dicipta oleh Yasmin Ahmad adalah kejayaan yang dilaksanakan mengikut caranya yang tersendiri. Kejayaan demi kejayaan yang dicipta tidaklah perlu digembar-gemburkan, cukup dengan sekadar hebahan kecil sahaja.

Saya yang baru mendapat tahu bahawa pada malam penganugerahan tersebut, Yasmin Ahmad tidak dapat hadir untuk menerima anugerah tersebut kerana sedang bercuti di Bali. Sebaliknya beliau telah diwakilkan oleh Eldeen Husaini salah seorang pegawai di Kedutaan Malaysia di Tokyo. Lebih manis, beliau merupakan kenalan saya sejak 1998 yang saya kenal melalui ICQ. Menurutnya lagi, Datuk Bandar Shibuya turut memuji filem tersebut yang disifatkan oleh beliau amat teliti hasilnya. Para juri festival tersebut juga begitu kagum dengan hasil filem tersebut.

Bersamamu TV3
Program Bersamamu TV3 ini jarang benar dapat saya tonton. Sama ada mengambil sikap sambil lewa atau pun tidak mengendahkan kewujudannya. Musim yang pertama saya tonton sekali sekala. Episod pada hari Isnin lepas saya tonton secara keseluruhannya.

Paparan tentang sebuah rumah anak yatim benar-benar menyentuh hati. Setiap dari mereka ada cerita mereka yang tersendiri mengapa mereka terpaksa tinggal di rumah tersebut. Jika kita menyangkakan hidup kita sudah cukup susah, kita harus menyedari bahawa ada insan lain yang lebih sukar hidupnya dalam menghadapi kenyataan hidup.
Lantas saya terfikir, apakah pula sumbangan saya untuk program sedemikian. Saya boleh menyediakan kad top-up RM30 setiap minggu untuk Akademi Fantasia, mengapa pula saya tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk Bersamamu TV3.

Saya sempat melayari laman web mereka, nampaknya tidak dikemaskinikan. Pihak TV3 seakan-akan mengabaikan golongan penonton dari kelas pertengahan yang berkemampuan untuk melayari internet untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana untuk menyumbang kepada rancangan tersebut.

Saya sempat berbincang dengan salah seorang sahabat saya tentang bagaimana untuk mendapatkan maklumat tentang rancangan tersebut. Seboleh-bolehnya saya hanya mahukan sinopsis mingguan serta foto-foto mingguan yang berkaitan dengan episod minggu tersebut untuk saya letakkan di dalam blog saya.

Maklumat-maklumat serta bahan-bahan tersebut akan saya gabungkan dengan penulisan saya sendiri yang merangkumi ulasan-ulasan peribadi tentang episod tersebut untuk menyedarkan masyarakat dalam konteks ini pembaca blog saya sendiri tentang rancangan tersebut. Saya berharap agar pihak Jabatan Komunikasi Korporat TV3 sedia membantu usaha yang tidak seberapa ini untuk mempromosikan rancangan tersebut.

Kepincangan masyarakat yang terpapar dalam rancangan tersebut bukanlah untuk dibangga-banggakan tetapi untuk golongan yang lebih bernasib baik untuk lebih mengerti tentang kehidupan secara keseluruhannya.