Nikki Secara Langsung dari Rumah Kaca
Nikki, artis baru Artistes United Records akan berkampung di The New Straits Times Kiosk, berhampiran Lot 10 Bukit Bintang selama 3 hari mulai hari Jumaat, 16 Disember sehingga hari Ahad, 18 Disember 2005. Sejurus selepas melangkah keluar dari NSTP Kiosk, beliau akan ke Majlis Pelancaran Album terbarunya yang bertajuk Maharani yang telah pun berada di pasaran sejak 28 November yang lalu.
Usaha mempromosikan album ini diharapkan dapat memberikan satu ruang untuknya menarik perhatian umum kerana menyedari kegilaan masyarakat terhadap realiti TV di Malaysia. Umum mengetahui bahawa program realiti TV yang menyiarkan kehidupan bakal bintang seperti Akademi Fantasia amat popular di kalangan peminat seni muzik tempatan.
Di dalam NSTP Kiosk tersebut yang akan diubahsuai kepada beberapa bahagian iaitu Ruang Tamu Studio dan Bilik Tidur, Nikki akan berada di dalamnya selama 24 jam sehari kecuali 2 jam rehat dan disiarkan untuk tontonan umum secara langsung. Sepanjang tiga hari tersebut, orang ramai bukan sahaja berpeluang untuk melihat aktiviti harian hidup Nikki tetapi juga bagaimana seorang artis berhadapan dengan persiapan sebelum mengadakan satu-satu persembahan. Para peminat boleh datang melawat dan juga berkampung di tepi kiosk tersebut untuk melihat sendiri bagaimana personaliti popular seperti Ning Baizura, Hazami, Linda Onn, koreografer memberikan latihan vokal, komunikasi dan tarian kepadanya. Senarai selebriti yang akan hadir bertemu Nikki akan diberitahu dari masa ke semasa.
Ruang Tamu merupakan bahagian di mana segala urusan seperti menerima tetamu akan dilakukan. Lintas langsung turut dilakukan di bahagian ini termasuk temuramah secara eksklusif dengan akhbar dan radio rasmi. Di bahagian ini juga peminat dapat menyaksikan secara langsung aktiviti Nikki seperti chat, membaca emel, melayari internet dari komputer peribadinya. Khabarnya krew Melodi juga bakal mengadakan lintas lansung untuk rancangan Melodi pada hari Ahad meninjau persiapan Nikki sebelum bersedia untuk melancarkan albumnya pada jam 3 petang hari Ahad.
Studio merupakan bahagian yang dikosongkan bagi membolehkan Nikki melakukan pelbagai aktiviti yang membabitkan kerjaya seninya seperti latihan vokal, tarian dan senaman. Ia juga boleh dijadikan ruang serba guna seperti bilik solek dan dandanan sebelum Nikki muncul di pentas pada majlis pelancaran albumnya. Bahagian ini membolehkan peminat melihat bagaimana persiapan dilakukan sebelum satu-satu persembahan bermula.
Bilik Tidur dianggap sebagai satu bahagian yang terlalu peribadi untuk ditayangkan kepada umum. Ruang ini akan ditutup supaya ia tidak menimbulkan sebarang perkara yang tidak manis pada pandangan peminat mahu pun umum.
Peminat yang bertuah akan berpeluang untuk makan malam bersama Nikki di The NSTP Kiosk pada satu malam yang akan ditetapkan kemudian. Beberapa CD dan kaset Maharani juga akan menjadi taruhan kepada peminat yang menyertai peraduan yang akan disiarkan di akhbar NST.
ERA selaku radio rasmi projek ini telah bersetuju untuk memberikan segala informasi secara eksklusif kepada pendengar setia di seluruh negara mengenai usaha murni Nikki ini. Skuad Avanza juga bakal mengadakan promosi di lokasi Kiosk tersebut. Sementara single pertama Nikki berjudul Pinta telah pun disiarkan di ERA secara eksklusif pada 3 Disember yang lalu.
Usaha menghubungi Malaysia Guinness Books of World Records juga sedang dilakukan untuk memastikan usaha ini bakal dimasukkan ke dalam buku rekod tersebut.
Malam sebelum acara tersebut saya tidur lewat menyiapkan siaran akhbar untuk majlis tersebut. Untuk pengetahuan semua, saya akan terlibat secara langsung dengan program ini akan memberikan informasi terkini tentang acara ini sekiranya ada yang terluang. Saya telah memilih untuk menyiapkan laporan terkini serta siaran akhbar untuk acara ini dari masa ke semasa. Mungkin juga webcast di Laman Web Rasmi Nikki akan disiarkan untuk tontonan umum. Lebih menarik sekiranya pengguna internet dapat melayari internet untuk menonton webcam 24 jam di Rumah Kaca tersebut. Tentunya bakal menarik penyertaan penonton.
Ulasan Album Nikki :
Laman Web Rasmi Nikki : www.nikkimusic.com.my
Beli Album Nikki Online : BadrulAfterSix
Metro Ahad : Maharani Cukup Selesa
Fiebie : PROMOSI TIME : PROJEK MAHARANI
SashiWeb : Nikki’s debut album ‘Maharani’
Raptor Clan : MAHARANI
Semangat 46 Birthday Gathering
Siang dengan aktiviti bersama Nikki, malam merupakan aktiviti bersama sahabat-sahabat Akademi Fantasia. Badrul mencadangkan agar kami bertemu untuk satu majlis makan malam. Memandangkan sambutan hari lahir Badrul belum dibuat, maka beberapa sahabat mencadangkan agar ia dilaksanakan pada malam tersebut.
Antara sahabat yang hadir pada malam tersebut tentulah the Birthday boy, Badrul, Wink, Izreen, Waiem, Leen, Meesua, Najmie dan saya sendiri. Judd menyertai kami untuk mengambil CD Nikki - Maharani. Najmie pun dijemput kerana majlis tersebut secara kebetulan dibuat di USJ.
Kalau saya beri satu buku tentang What I Love About You…, sekarang saya ingin menyenaraikan What I Hate About You… tentang Badrul...
What I Hate About You…
- Selalu buat lawak bodoh Disneyland depan orang ramai
- Suka menyalah-anggapkan sesuatu perkataan dan akan memutar-belitkan kenyataan tersebut.
- Suka buat kejutan yang bukan-bukan.
Aisehman…Saya hanya mampu menyenaraikan tiga sahaja dan saya kira ia lebih banyak yang saya tandakan untuk senarai What I Love About You... serta beberapa komen dari sahabat yang terkandung dalam buku tersebut. Kalau dibandingkan senarai What I Love About You...dan What I Hate About You..., tentulah senarai What I Love About You...lebih banyak daripada What I Hate About You... Oleh itu, fikir-fikirkan lah. :)
Saya bangun sekitar jam 6.45 pagi untuk sama-sama berhimpun di Dataran Merdeka untuk acara Human Rights Walk. Perhimpunan yang disertai oleh hampir 500 orang telah mula berjalan dari Dataran Merdeka hingga ke Bangunan Parlimen.
Jalan simbolik ini yang bermula dari Dataran Merdeka memberikan makna kepada kebebasan kerana di situlah setiap tahun laungan Merdeka kedengaran. Melintasi bangunan Mahkamah Tinggi di mana simbolik kepada keadilan dan terus ke Bangunan Parlimen sebagai simbolik kepada demokrasi.
Rata-rata gabungan yang hadir pada pagi tersebut ialah mereka yang terdiri dari pelbagai bangsa serta pelbagai pertubuhan yang mewakili hak kemanusiaan, hak wanita, hak kanak-kanak, anti penindasan, gangguan seksual dan jenayah rogol, ISA, Amnesty International serta White Ribbon Campaign.
Acara tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Peguam Malaysia dan National Human Rights Society (HAKAM). Acara ini telah mendapat permit dari polis yang merupakan pertama kali dalam sejarah Malaysia. Jelas nampak perubahan yang cuba dibawakan oleh pimpinan Pak Lah selaku Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dalam mewujudkan sedikit kebebasan kepada rakyat Malaysia untuk menyuarakan hasrat hati mereka melalui program-program sebegini.
Selesai berjalan ke Bangunan Parlimen, para hadirin kemudiannya berpatah balik ke Panggung Anniversary di Tasik Perdana untuk acara senaman, bacaan sajak dan nyanyian. Acara senaman mudah turut diadakan iaitu para tetamu dikehendaki melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali sebagai simbolik kepada apa yang berlaku ke atas seorang tahanan di dalam lokap bawah jagaan Polis Di Raja Malaysia. Selain daripada itu, calon untuk Anugerah Nobel Kesusasteraan iaitu Cecil Rajendra telah menyampaikan beberapa sajak untuk tatapan umum. Beliau merupakan seorang penyajak satira, jaguh hak kemanusiaan, peguam dan aktivis kemanusiaan. Turut membacakan beberapa rangkap sajak ialah Nizam Zakaria dan beberapa kanak-kanak turut mengiringi persembahan rap yang amat melucukan. Nyanyian dari Dr. Wan Zawawi bertajuk Mencari Amerika turut berkumandang.
Link Berguna :
HAKAM : http://www.hakam.org/
Human Rights Watch : http://www.hrw.org/
Wedding Trabye
Tidak cukup tidur, saya perlu hadir ke majlis yang dianjurkan oleh Trabye. Trabye ialah pencipta lagu Binafsha nyanyian Waheeda. Saya bertemu beberapa kawan lama di sana. Antaranya ialah Bolan dan keluarga, Hatta dan keluarga dan Hakim. Seperti biasa, soalan-soalan biasa yang diajukan adalah soalan-soalan lapuk yang amat malas untuk dijawab. Ada juga yang ingin mendapatkan cerita belakang tabir tentang Mawi. Lebih menarik apabila Bolan yang meminati Mawi hanya sekdar membeli album The Best of Mawi World dan tidak membeli album Yang Tercinta. Menurutnya, tiada yang menarik dalam album tersebut berbanding rakaman secara langsung persembahan Mawi. Eh ! Sudah jadi cerita Mawi pula yang sepatutnya cerita wedding Trabye.
Selamat Pengantin Baru Trabye !!
Penjurian Akhir Anugerah Geng Jurnal
Saya perlu menyiapkan penjurian peringkat akhir untuk Anugerah Geng Jurnal yang akan berlangsung pada 1 Januari depan selewat-lewatnya pada 12 Disember 2005. Segalanya telah pun saya siapkan dan hantar kepada Ketua Juri Yang Hensem.
Antara kategori yang perlu saya adili ialah Weblog Baru Terbaik, Catatan Merangsang Intelek, Catatan Menyentuh Emosi, Catatan Mencuit Hati, Weblog Bahasa Inggeris Terbaik, Fotoblog Terbaik, Rekabentuk Terbaik, Projek Terbaik (Dalam Web), Projek Terbaik (Luar Web), Anugerah Khas Juri dan Anugerah Weblog Terbaik 2005.
Satu nilai sentimental tentunya akan datang tiba-tiba kerana pada hari tersebut saya akan menyerahkan mahkota saya kepada blogger yang lain pula untuk sama-sama berada dalam kelompok pemenang Anugerah Weblog Terbaik. Setahun yang berlalu tentunya ada banyak cerita yang telah saya kongsi bersama-sama pembaca blog saya amnya.
Ada cerita tentang Akademi Fantasia amnya, Mawi khususnya, filem Rock yang sempoi dan kangkang, VCD Siti Nurhaliza In Concert di Royal Albert Hall, London, Kiriman Lukisan Tangan yang cun dari seorang pembaca, Bersamamu TV3 yang tidak mendapat sokongan TV3, Berhenti Berharap yang membawa kepada sedikit salah faham di kalangan blogger, menonton filem Gubra versi rough cut yang akan menemui penonton Singapura bulan Februari tahun depan, keunikan album EVO 05, bertamu di studio XFresh untuk satu wawancara, muncul dalam sisipan IKON di Berita Harian tentang blog dan imbauan kenangan saya beberapa tahun yang lampau dalam Reminiscence ! Juga akan disiarkan satu wawancara saya oleh Rudy Bluehikari tentang blog di Buku Cenderamata acara tersebut.
Siapa yang menang ? Jangan lupa untuk sama-sama memeriahkan lagi Gathering Geng Jurnal yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna, Precinct 8, Putrajaya pada 1 Januari 2006. Jom ramai-ramai !
Perdana Global Peace Forum - Blogger diberi pengiktirafan media
Perdana Global Peace Forum akan berlangsung pada 14-17 Disember 2005 di PWTC Kuala Lumpur. Forum ini akan dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana yang kini diketuai oleh bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Objektif utama forum ini adalah mewujudkan platform kepada input-input yang konstruktif untuk menghadapi cabaran-cabaran pada abad ke 21. Forum ini juga berusaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat ke atas kesan peperangan dan keutamaan kepada keamanan. Forum ini juga mampu untuk menyediakan sebuah dialog sosio-politik tentang isu-isu keamanan. Selain daripada usaha untuk mempromosikan budaya keamanan dengan menjadikan keamanan sebagai satu isu penting kepada semua serta banyak lagi.
Empat orang blogger akan diberi pengiktirafan media untuk hadir pada majlis tersebut. Ini merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada blogger untuk memberikan pandangan mereka tentang isu keamanan.
Ia merupakan satu langkah permulaan agar sumbangan blogger diberi perhatian oleh setiap pihak. Jika kerajaan mula untuk mengiktiraf sumbangan mereka, mengapa kepada pihak lain katakan tidak kepada sumbangan percuma tersebut ?
Berminat untuk Menyertai ? : Brand New Malaysian
Jangan lupa filem Rock masih mengangkang di pawagam-pawagam berhampiran anda. Bila lagi ingin bernostalgia bersama filem Rock. Inilah masanya.
0 komen