Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 19 December 2005

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Pertama

(soundtrack : Pinta - Nikki)
Projek Rumah Kaca Nikki telah pun selesai. Lega, sayu bercampur bangga adalah antara perasaan yang ada dalam hati saya. Entah mengapa saya merasakan sepanjang terlibat dengan projek ini ia semakin menyedarkan saya tentang banyak perkara. Untuk menjadi seorang manusia sememangnya sukar lebih-lebih lagi untuk mempunyai sifat seorang manusia. Adakalanya kita perlu bertolak ansur dengan kekurangan masing-masing dan menggunakan kelebihan masing-masing untuk menjayakan projek sebegini. Terima kasih Bad, Vernon, Ning, Joe, Ted, Najmie, Syed, Audi, Rudy Imran, Aylwin, Shah, Jinggo, Terry, dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam projek ini khasnya.

Banyak pengajaran yang saya perolehi melalui projek ini. Seperti kata Badrul, dia gembira kerana tukang-tukang yang rajin komen seperti saya dan Najmie terlibat dalam projek ini secara tidak langsung pengalaman ini membolehkan saya melihat dengan lebih jelas tentang persediaan satu-satu acara. Sebelum ini apabila saya menjadi begitu kritikal terhadap sesuatu projek, setelah merasai keperitan melaksanakan projek tersebut tentunya pandangan saya terhadap mereka di belakang tabir menjadi sedikit berubah. Itu sudah pasti. Adakalanya kita hanya pandai bercakap. Kini salah satu impian saya untuk terlibat bersama mereka yang satu ketika dahulu saya kritik telah pun menjadi kenyataan. I want to be part of the entertainment industry. Itu janji saya, boleh juga saya katakan azam tahun baru saya. Selangkah dari kaki saya sudah hampir pasti dan hanya satu lagi langkah untuk saya terus terlibat dengan mereka. InsyaAllah.

Satu lagi yang saya lihat apabila terlibat dalam projek-projek sebegini cakap-cakap belakang tentunya wujud hanya sebelum acara kemuncak tiba. Apabila selesai acara tersebut, cakap-cakap belakang tersebut akan terus lenyap kerana mentaliti kita yang mudah memaafkan. Memang ia sesuatu yang baik mempunyai sifat seorang pemaaf tetapi untuk jangka masa panjang ianya akan sedikit merugikan kerana kita perlu melalui kesilapan-kesilapan yang sama di masa akan datang. Tegur-menegur penting agar kita dapat mengenali antara satu sama lain. Apa yang kita suka tentunya belum pasti menjadi kesukaan orang lain. Begitu juga sebaliknya. Sekiranya ada di antara perlakuan saya yang tidak senang di mata anda, boleh ditegur. Cerita ini akan saya ulas lanjut pada hari kedua dan ketiga kerana ada cerita untuk dikongsi bersama.

Kerja kumpulan dalam projek ini boleh saya sifatkan belum cukup utuh kerana tempoh masa kami mula berkerjasama hanya pada awal minggu tersebut iaitu pada hari Isnin, 12 Dis 2005. Semangat kerja kumpulan tidak berada di tahap paling tertinggi untuk sampai ke kemuncaknya pada hari sebenar iaitu 16-18 Dis 2005. Saya pernah terlibat dengan kerja-kerja produksi teater yang memakan masa hampir 3 bulan. Saya melihat semangat kerjasama dalam teater yang saya serta lebih utuh berbanding projek ini. Masa yang singkat agak sukar untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat lebih-lebih lagi sifat semulajadi saya yang agak sukar untuk mendekati orang lain kecuali yang telah benar-benar saya kenali. Saya memerlukan tempoh yang agak lama. Mujur ia bukan halangan untuk saya meneruskan usaha saya untuk projek ini.





Koleksi Persiapan Rumah Kaca Nikki

(soundtrack : Pinta (Vintage Mix) - Nikki)
Pada hari Khamis 15 Dis 2005 merupakan hari kami menyiapkan rumah kaca tersebut. Pihak penaja dari IKEA telah mengubah NSTP Kiosk menjadi Nikki’s Home. Berkonsepkan warna merah terang iaitu warna korporat NSTP, idea rekaan dalaman rumah tersebut boleh saya sifatkan agak menarik. Satu lagi idea yang menarik saya rasa ialah dua almari yang digabungkan serta ruang kosong di tengah-tengahnya digantung bidai untuk menghalang penglihatan orang ramai sebagai tempat Nikki menyalin pakaiannya. Konsepnya ringkas tetapi kegunaannya amat besar sekali lebih-lebih lagi untuk menyesuaikan dengan ruang sempit yang ada di NSTP Kiosk tersebut. Seluruh rumah kaca tersebut siap dibahagikan kepada beberapa bahagian. Masalah pertama yang timbul apabila satu bahagian yang dirancangkan iaitu Ruang Studio tidak dapat dilaksanakan kerana komputer milik NSTP Kiosk tidak boleh dikeluarkan dari rumah kaca tersebut. Maka Nikki perlu menggunakan Ruang Tamu serta Ruang Tidurnya sebagai Ruang Tari dan juga Ruang Studio.









Koleksi Hari Pertama

(soundtrack : Malam Bulan Di Pagar Bintang - Dayang Nurfaizah)
Hari pertama, Jumaat 16 Dis 2005 bermula apabila pasukan kami mendaftar masuk ke Hotel JW Marriot Kuala Lumpur. Agak lewat kerana masalah tiada bilik kerana ASEAN Summit yang baru sahaja tamat. Kami sudah seperti cacing kepanasan apabila printer pula membuat hal. Hidangan makan tengahari bersama Badrul dan Najmie terpaksa saya tinggalkan kerana saya diminta untuk pulang ke hotel dengan segera. Beberapa dokumen perlu dicetak untuk diedarkan kepada para wartawan yang hadir sebentar lagi.

Acara bermula apabila Nikki melangkah masuk ke dalam Rumah Kaca yang akan menjadi rumahnya selama tiga hari dua malam. Saya sepatutnya berada di Planet Hollywood untuk satu lagi majlis berasingan iaitu Creatives Common Soft Launching. Hati saya nampaknya lebih selesa berada di NSTP Kiosk dan terus meninggalkan majlis tersebut. Sejurus selepas sidang media bersama media yang datang memberikan sokongan, beliau menyesuaikan dirinya dengan persekitaran rumah tersebut. Bintang pertama yang hadir melawat Nikki ialah Juara Akademi Fantasia II, Zahid AF2. Dalam waktu yang sama, Juara Malaysian Idol Jaclyn Victor turun padang untuk memberikan sokongannya kepada rakan seperjuangannya di Malaysian Idol musim pertama. Tentunya banyak nostalgia yang diimbas kembali antara mereka sewaktu berbual-bual sambil menghadapi hidangan minum petang yang ditaja oleh My Mom’s Chicken Rice.

Sejurus selepas itu merupakan Sessi Vokal bersama Hazami. Tanpa diduga Nikki menerima kunjungan mengejut dari Kaer AF2 yang kebetulan berada di Lot 10 untuk membeli-belah. Mereka sama-sama mengikuti kelas vokal yang dikendalikan oleh Hazami. Nikki kemudiannya terlibat dengan Kelas Vokal bersama Aylwin sebagai persiapan untuk vokal persembahan sebelum makan malam. Skuad Avanza ERA turut menghangatkan suasana apabila mereka tiba di perkarangan rumah kaca. Saya sudah agak kepenatan dan pulang ke hotel untuk berehat sebentar. Pada waktu tersebut Nikki berhadapan dengan Kelas Tarian bersama Koreografer dari Linda Jasmine Studio serta menerima kunjungan mengejut dari Marsha AF3. Ada juga yang kecewa kerana berada di hotel pada waktu kunjungan tersebut. Hari pertama tersebut berakhir agak lewat kerana banyak kekurangan pada hari tersebut yang perlu diatasi untuk menghadapi hari kedua dan ketiga. Setelah memastikan Nikki telah masuk tidur dan para sekuriti telah siap berkawal, kami beredar untuk satu mesyuarat bedah-siasat (post-mortem) untuk merancang untuk hari kedua dan ketiga.

Setiap dari kami diberikan tugas masing-masing dan perlu mengikut saluran yang betul untuk mendapatkan khidmat masing-masing. Contohnya sebarang perkara yang melibatkan artis perlu disalurkan kepada Joe. Khidmat sekuriti diperlukan apabila artis tiba dan pulang, maka Najmie diperlukan untuk memastikan sekuriti berada di tempatnya. Sebarang masalah tentang makanan dan minuman perlu disalurkan kepada Syed. Tugas Ted lebih menarik kerana hanya beliau sahaja yang diarahkan untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan Nikki dengan kata yang lebih manis, Ted merupakan penjaga Nikki selama tiga hari. Ada kata yang tidak manis tetapi tidak sesuai dikongsi di sini. Biarlah hanya kami sahaja yang tahu. Yang pasti perkataan tersebut sentiasa bermain-main di dalam minda saya. Manakala Jinggo pula ditugaskan menjadi jurugambar rasmi untuk acara tersebut.

Apa yang dirancangkan pada mesyuarat tersebut diharapkan dapat lebih melancarkan perjalanan hari kedua dan ketiga lebih-lebih lagi esok merupakan satu hari penuh kami berkampung di Rumah Kaca tersebut. Saya pulang ke rumah dan tidur sebelum bersiap-sedia untuk kembali semula ke Rumah Kaca jam 9.30 pagi keesokkannya.