Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 16 January 2006

Sidang Media Puteri Gunung Ledang The Musical : Saya Teruja !


Apa yang boleh anda harapkan apabila Puteri Gunung Ledang The Musical menemui khalayak teater Malaysia bermula 7 hingga 26 Februari ini ? Tentu ada sesuatu yang menarik yang akan dipersembahkan kepada penonton.

Dibarisi pelakon-pelakon ternama baik dari Malaysia mahupun antarabangsa, Puteri Gunung Ledang The Musical menjanjikan sebuah persembahan penuh spektakular kepada mereka yang ternanti-nantikan hasilnya.

Pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia untuk filem Ringgit Kasorgga dan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik untuk filem Puteri Gunung Ledang iaitu Tiara Jacquelina dan gandingannya Stephen Rahman-Hughes yang pernah berlakon dalam teater muzikal Bombay Dreams masing-masing memegang teraju utama teater muzikal ini.

Pelakon lain yang menerajui watak Sultan Mahmud Shah ialah Adlin Aman Ramlie yang turut memegang watak yang sama dalam filem tersebut. Nama baru dalam bidang teater iaitu AC Mizal sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat yang terpilih memegang watak tersebut untuk menggantikan Alex Komang yang mempunyai masalah penjadualan.

Nama besar dalam bidang teater iaitu Sukania Venugopal memegang peranan sebagai Bayan dan Yalal Chin yang muncul sebagai cameo dalam filem Puteri Gunung Ledang memegang watak sebagai Patih. Manakala pelakon cilik Mohd Afif Halim memegang peranan sebagai Raja Ahmad.

Antara tarikan utama teater muzikal ini adalah muzik ciptaan Dick Lee yang mendapat jolokan Andrew Lloyd Webber of The East. Satu karangan yang perlu saya dengar dan tidak sepatutnya saya lepaskan. Muzik yang terhasil telah diberikan sentuhan tempatan oleh Roslan Aziz, satu nama besar dalam industri muzik Malaysia.

Muzik yang terhasil telah menjalani pelbagai proses untuk mendapatkan hasil yang terbaik dengan melalui sebuah proses bengkel bersama Jabatan Muzik UITM. Sebanyak 14 komposisi melodi dan 35 musical sequences telah tercipta untuk persembahan yang memakan masa selama 2 jam 15 minit.

Mampukah Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman-Hughes menyampaikan lagu-lagu mereka secara langsung di atas pentas Istana Budaya. Setelah menonton untuk kali kedua nyanyian mereka, saya benar-benar mengharapkan latihan intensif dapat dilakukan ke atas Tiara Jacquelina agar nyanyian semakin mantap dari sehari ke sehari. Ada perubahan positif sejak menonton persembahannya untuk pertama kali sewaktu Majlis Pelancaran Produksi Musim 2006 dengan Sidang Media ini.

Khabarnya, sebuah CD Original Soundtrack akan diterbitkan dan dijual kepada khalayak teater yang ingin menyimpan koleksi muzik dari teater muzikal tersebut. Jarang benar produksi teater ingin menerbitkan koleksi muzik dari teater dan ini satu yang tidak harus dilepaskan.

Saya turut bertanyakan sama ada kemudahan teknologi canggih yang terdapat di Istana Budaya akan dipergunakan sepenuhnya untuk teater tersebut. Seringkali teater yang dipentaskan tidak menggunakan pentas hidraulik yang terdapat di Istana Budaya kerana kurangnya kepakaran tenaga produksi untuk mengendalikan pentas tersebut. Adlin Aman Ramlie selaku pengarah bersama teater muzikal tersebut dengan selamba menjawab yang selain pelakon, pentas juga akan memberikan persembahannya yang tersendiri untuk teater tersebut.

Kecanggihan rekaan set memerlukan pentas hidraulik dipergunakan sepenuhnya untuk menjayakan teater muzikal ini. Segmen pertama akan berkisar kepada kisah di Majapahit dan segmen kedua akan melibatkan Melaka dan Gunung Ledang. Tentunya penonton boleh mengharapkan sesuatu dari rekaan set yang akan dipertontonkan kepada umum kelak. Sejak Muzika Siti Zubaidah, Tun Perak dan Rubiah, jarang benar dapat saya menonton rekaan set yang benar-benar mengkagumkan dari Istana Budaya.

Teater muzikal arahan bersama Zahim Al Bakri dan Adlin Aman Ramlie ini akan memperdengarkan dua buah lagu iaitu Keranamu Kekasih dan Di Puncak Tertinggi sebagai dua single mereka. Keranamu Kekasih adalah lagu asal nyanyian Vince dan Di Puncak Tertinggi adalah ciptaan khas untuk teater muzikal ini.

Setelah mendengar dua lagu tersebut dalam dua majlis yang berbeza saya mula menyukai lagu-lagu tersebut. Saya boleh sifatkan sebagai karangan yang indah dan mampu memberikan kesan kepada kisah percintaan tersebut.

Roslan Aziz selaku pengarah muzik dan pasukannya yang terdiri daripada koir seramai 20 orang dan orkestra juga seramai 20 pemuzik yang terdiri daripada bakat-bakat muda yang mampu memberikan sinar kepada generasi muzik tempatan akan memberikan persembahan yang terbaik mereka untuk melengkapkan teater muzikal tersebut.

Apa yang membuatkan saya teruja dengan teater muzikal ini adalah untuk melihat sebuah persembahan yang spetakular di pentas utama Istana Budaya. Saya mahu menyaksikan sebuah persembahan yang gah dari aspek produksinya serta lakonannya. Jika boleh, saya mahu teater muzikal ini menjadi besar seperti The Sound Of Music, Les Misérables, Miss Saigon dan Cats. Biar kita bawa Puteri Gunung Ledang The Musical menjelajah seluruh pelusuk dunia dan kita persembahkan kepada dunia apa yang kita ada.

Apakah anda sudah bersedia untuk Puteri Gunung Ledang The Musical ? Saya sudah bersedia. Ada yang ingin pergi beramai-ramai ?

Tiket adalah berharga antara RM30 hingga RM150. Untuk menempah tiket, anda boleh menghubungi Ticket Sales Hotline di 03-40265558 dan 03-77262002 atau di laman web http://www.ticket2u.biz/. Laman web rasmi teater muzikal ini ialah http://www.pglthemusical.com.my/.

Ulasan Akan Datang :
Filem Buli Balik Ada Kelainan
Pengalaman di lokasi Sutun 2
Wawancara bersama Para Pelakon Sutun 2

1 Responses to

  1. xpenah g tgk cte ni...
    minat..
    tp xpnh smpat nk g..
    1 day I will
    hauuu~~;(

     
Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger