Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 07 March 2006

Ulasan Anugerah Akademi ke 78

Crash mengejutkan ramai pihak apabila terpilih sebagai pemenang Filem Terbaik di anugerah paling berprestij Anugerah Akademi ke 78 mengetepikan saingan paling dekatnya iaitu Brokeback Mountain. Terdahulu, Ang Lee pengarah filem Brokeback Mountain terpilih sebagai Pengarah Terbaik menjadi orang Asia pertama terpilih memenangi anugerah tersebut.

Ini menjadikan sasaran saya tersasar untuk Filem Terbaik. Walaupun ramai yang menjangkakan Brokeback Mountain bakal mengungguli kategori tersebut, ternyata kehangatan filem Crash pada masa kini turut menjadi faktor kemenangan filem tersebut. Kisah yang berlaku kepada pelbagai kaum, etnik dan latar belakang dalam tempoh 36 jam di sekitar Los Angeles turut dikaitkan sebagai salah satu faktor pemilihan juri. Jika di Barat masih belum bersedia untuk menerima Brokeback Mountain, apatah lagi Malaysia.

Dari 24 kategori, 16 kategori mengena pada sasarannya. Selebihnya, 8 kategori tidak saya meletakkan sebarang sasaran kerana kurang arif, tiada pilihan ataupun tidak sama dengan pilihan pakar. Ini menjadikan sasaran saya 67% tepat. Manakala pilihan pakar seperti yang tertera dalam Coverage of the 78th Annual Academy Awards akur dengan 75% tepat.

Kategori lain yang dimenangi oleh filem Crash ialah Lakon Layar Asal Terbaik serta Suntingan Terbaik. Dua kategori yang kuat untuk menobatkan filem tersebut sebagai Filem Terbaik. Manakala Brokeback Mountain unggul memenangi Lakon Layar Adaptasi Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Walaupun memenangi Pengarah Terbaik, belum pasti menjamin gelaran Filem Terbaik. Senario yang sama berlaku di Malaysia apabila Sepet terpilih sebagai Filem Terbaik dan Puteri Gunung Ledang terpilih memenangi Pengarah Terbaik.

King Kong dan Memoirs of A Geisha masing-masing cemerlang dalam aspek teknikal dan seni kosmetik filem tersebut. King Kong selesa dengan Suntingan Bunyi Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik. Tidak begitu mengejutkan. Manakala Memoirs of A Geisha memenangi kategori Sinematografi Terbaik, Arahan Seni Terbaik dan Rekaan Kostum. Kemenangan filem tersebut untuk kategori Sinematografi Terbaik agak mengejutkan kerana ramai yang menjangkakan filem Brokeback Mountain bakal membawa pulang anugerah untuk kategori tersebut.

Kemenangan senarai pelakon yang memenangi kategori lakonan tidak mengejutkan. Lagu Hard Out Here for a Pimp dari filem Hustle & Flow telah memberikan persembahan yang hebat di majlis tersebut berbanding persembahan yang lain. Itulah Oscar ! Apa persembahan yang boleh dijangkakan dipersembahkan di majlis tersebut melainkan persembahan calon kategori Lagu Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Majlis Oscar bukan majlis mempromosikan album.

Seperti yang dijangkakan walaupun diharapkan oleh saya filem dari Palestine iaitu Paradise Now gagal memintas Tsotsi sebuah filem dari Afrika Selatan. Seperti yang dijangkakan juga, sekumpulan pelobi Yahudi dengan lantang telah meminta tandatangan agar filem Paradise Now ditarik balik pencalonannya. Sentimen ini jelas satu sentimen yang tidak mungkin akan terpadam dari kamus penjurian filem di Amerika Syarikat.

Saya tertarik dengan penampilan pertama Jon Stewart selaku pengacara rancangan tersebut. Beliau telah melaksanakan tugas beliau dengan sederhana dan terkawal. Jenaka-jenaka spontan beliau menghiburkan walaupun ada yang kurang difahami. Seseorang penonton harus memahami situasi politik Amerika Syarikat untuk memahami jenaka-jenaka beliau. Bagaimana agaknya sekiranya Oprah Winfrey pula diberikan peluang untuk mengacarakan majlis tersebut. Tentunya akan menjadi lebih menarik dan isu-isu yang dipersembahkan akan menjadi lebih dekat dengan penonton.

Kesilapan teknikal yang disengajakan turut berlaku apabila Ben Stiller mengumumkan anugerah kategori Kesan Visual Terbaik. Di skrin televisyen, Ben Stiller sepatutnya tidak kelihatan kerana beliau memakai pakaian serba hijau untuk kesan “green-screen”. Malangnya, penyampaian anugerah tersebut yang sepatutnya menjadi bersejarah kerana buat pertama kalinya tiada penyampai yang akan menyerahkan anugerah tidak menjadi kenyataan. Kesan khas tidak menjadi sewaktu anugerah Kesan Visual Terbaik diserahkan.

Secara keseluruhan sebuah rancangan hiburan biasa yang ditonton. Kemuncak persembahan malam tersebut adalah sewaktu pengumuman kategori Filem Terbaik. Damn ! adalah perkataan yang terkeluar...

Senarai Lengkap Pemenang
Crash : Filem Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik, Suntingan Terbaik
Brokeback Mountain : Pengarah Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Skor Muzik Terbaik
King Kong : Suntingan Bunyi Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik
Memoirs of A Geisha : Sinematografi Terbaik, Arahan Seni Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik
Capote : Pelakon Lelaki Terbaik
Walk The Line : Pelakon Wanita Terbaik
Syriana : Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
The Constant Gardener : Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
The Chronicles of Narnia: The Lion, The Witch and The Wardrobe : Solekan Terbaik
Hustle & Flow : Lagu Tema Terbaik
Wallace & Gromit: The Curse of the Were-Rabbit : Filem Animasi Terbaik
The Moon and the Son: An Imagined Conversation : Filem Animasi Pendek Terbaik
Tsotsi (South Africa) : Filem Asing Terbaik
Six Shooter : Filem Pendek Aksi Terbaik
March of the Penguins : Dokumentari Terbaik
A Note of Triumph : The Golden Age of Norman Corwin : Dokumentari Pendek Terbaik

Kredit Foto : Yahoo !

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger