Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 19 April 2006

Tanya Linda : Pelakon Teater vs Pelakon Filem

Kata Aziz M.Osman, pelakon handalan beliau yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia seperti Amy Mastura melalui filem Puteri Impian dan Nasha Aziz menerusi filem Trauma bukan orang teater. Siapa kata ? Mereka memang bukan orang teater tetapi punya keinginan dan pernah berlakon teater. Amy Mastura menerusi teater Siti Di Alam Fantasi dan Nasha Aziz bakal berjoget di Lantai T.Pinkie penghujung bulan ini di Istana Budaya.

Azhar Sulaiman ditangkap mencuit Aziz M.Osman mengharapkan bantuan setelah gagal untuk menangkis hujah dari pensyarah teater di Akademi Seni Kebangsaan, Marlia Musa serta graduan Akademi Seni Kebangsaan, pelakon, pengarah teater yang disegani ramai iaitu Namron. "Tidak payah cuit-cuit, biar mereka cakap dulu." kata Aziz M.Osman.

Saya mengenali Azhar Sulaiman menerusi filem Abang 92. Sebuah filem yang menyuntik elemen artistik dan komersil yang boleh saya sifatkan berjaya di Malaysia. Beliau memberikan lakonan penuh berkesan dalam filem tersebut. Malangnya Linda Onn sekadar mengingati lakonannya bersama Maria Farida melalui sebuah filem yang saya sendiri tidak ingat tajuknya. Oh ya ! Bisikan Cinta.

Aziz M.Osman sememangnya ikon dalam filem-filem komersil yang berkualiti serta berjaya di Malaysia. Contohnya filem Fenomena, Fantasi, XXRay 1,2 dan 3, Femina dan Puteri Impian. Selepas Puteri Impian, Aziz M.Osman telah kehilangan taringnya dan beliau sekadar memenuhi tuntutan pasaran pada waktu tersebut untuk mendapatkan keuntungan.

Jika dibandingkan antara pelakon teater dan pelakon filem, kedua-duanya sama penting dalam medium masing-masing. Apabila saya pergi menonton filem, saya tetap mahukan sebuah lakonan yang mantap dari pelakonnya, begitu juga sebaliknya. Ada juga pelakon teater yang tidak cemerlang di pentas dan ada juga pelakon filem yang pudar di layar perak.

Kata Namron, pelakon filem belum tentu boleh berlakon teater, tetapi pelakon teater boleh berlakon filem. Bagaimana dengan Nasha Aziz, Tiara Jacquelina, Fauziah Ahmad Daud dan Erma Fatima yang semuanya bermula di layar perak ? Fauziah Ahmad Daud dan Erma Fatima boleh saya sifatkan jaguh teater dan juara di filem kedua-duanya.

Sudah sampai masanya Tanya Linda dipanjangkan masanya. Perdebatan berkenaan isu-isu semasa baik hiburan atau sosio-politik setidak-tidaknya telah berjaya menyuntik sedikit ilmu kepada penonton. Tidak puas rasanya apabila sewaktu perdebatan semakin hangat, rancangan terhenti kerana iklan dan tamat sebelum waktunya.

Banyak topik yang boleh diutarakan seperti contohnya isu jambatan baru Singapura, realiti filem Malaysia, pengaruh rancangan CSI kepada penjenayah dan polis, hala tuju industri muzik Malaysia, artis boros vs artis penyimpan dan pelbagai lagi. Kalau kena ahli panel untuk sesuatu topik, pasti hangat perbincangan yang akan berlangsung.

Nota : Sudah boleh ambil. Minggu depan saya ambil.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger