Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 April 2006

Ulasan Anugerah Industri Muzik 13


Saya ambil keputusan pada minit terakhir untuk hadir ke AIM 13 memandangkan ramai kawan-kawan saya yang tidak dapat hadir kerana pelbagai sebab dan akibat. Ada di antara mereka yang telah dihalang untuk hadir kerana penyiaran artikel yang kononnya bersifat mencemuh penganjuran AIM. Ada juga di antara mereka yang nama-nama mereka telah dibuang dari senarai jemputan kerana pelbagai sebab. Ada juga kerana tidak begitu sihat.

Mahu tidak mahu, saya harus pergi kerana telah berjanji untuk hadir dan mendapatkan album Transkripsi dari seseorang. Selain ingin menyaksikan Siti Nurhaliza menang anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) untuk kali kelapan, saya juga ingin melihat sejauh mana berjayanya penganjuran kali ini.

Sebelum majlis bermula, saya mendapatkan album terbaru Siti Nurhaliza berjudul Transkripsi dari salah seorang yang amat rapat dengan Siti Nurhaliza. Mana tahu jika tidak berpeluang untuk bertemu di Post Party selepas majlis AIM tamat. Selalunya seperti kebiasaan Siti Nurhaliza jarang sekali singgah ke Post Party. Tetapi tidak malam itu. Siti Nurhaliza pergi Post Party siot !!!!

Antara persembahan yang boleh saya sifatkan agak cemerlang pada edisi kali ini ialah Jason Lo diiringi oleh pelajar-pelajar Sekolah Sri Inai dengan lagu bertajuk Sleepy Head, Ridzuan dengan vokal matangnya untuk lagu Permata Kasih, Shanon sambil diiringi petikan piano untuk lagu Dilanda Cinta dan persembahan Jamal Abdillah dengan lagu-lagu nostalgianya yang telah disusun kembali oleh maestro Ramli MS sebelum digandingkan bersama M.Nasir untuk lagu Ghazal Untuk Rabiah. Itu sahaja persembahan yang boleh membuka mata saya dari terus tertidur. Kalau ikutkan hati selepas Siti Nurhaliza membuat persembahan dan menang anugerah, mahu sahaja saya pulang. Siksa duduk dalam dewan lama-lama menonton perjalanan majlis yang membosankan. Saya kurang pasti apa silapnya ? Keputusan ? Atau persembahan ? Atau hos rancangan ? Sudah sampai masanya AIM membuat perubahan pada hos rancangan dan memberikan sentuhan baru dan segar kepada majlis tersebut.

Walaupun ramai yang kurang menyukai medley spontan memperkenalkan barisan pemuzik oleh Afdlin Shauki dan Bob Lokman, tetapi saya menyukainya. Yang boleh diperbaiki ialah lirik-liriknya perlu dirancang terlebih dahulu. Bukan sekadar spontan caca marba. Konsepnya jelas iaitu ingin menghargai pemuzik yang mengiringi pada malam tersebut. Pemuzik juga yang menjadi pemenang Anugerah Wirama pada malam itu. S.Atan ialah seorang komposer yang disegani ramai. Jadi sememangnya tidak salah sekiranya pemuzik diberikan kelebihan pada malam tersebut. Afdlin Shauki sememangnya sudah biasa dengan konsep improvisasi teater tetapi tidak Bob Lokman. Habis semua jenaka-jenaka panahan petir yang keluar dari mulut Bob Lokman. Kena ingat ! Sekarang ini musim hujan. Sudah banyak kes panahan petir berlaku di sekitar negara.

Lagi satu yang mengecewakan saya adalah persembahan Siti Nurhaliza digandingkan bersama Hazami yang tidak cukup wow pada malam tersebut. Lagu Getaran seperti tiada signifikan apabila dipersembahkan oleh mereka. Semacam tiada tujuan dan konsep yang jelas. Nak kata Famieza (siapa dia ni ?) atau Anita Sarawak menang Anugerah Wirama tidak pula. Kenapa pula lagu tersebut dipilih ? Mungkin penciptanya. Persembahan Siti dan Hazami akan menjadi lebih menarik sekiranya masing-masing membawakan lagu-lagu baru masing-masing yang dapat menyerlahkan lagi kehebatan vokal mereka.

Bercerita tentang keputusan, adakah saya kecewa dengan keputusan ? Tidak sama sekali. Keputusan AIM13 kali ini telah membuka horizon pemikiran saya dengan lebih luas lagi untuk melihat sesuatu secara lebih menyeluruh skopnya tanpa terhad kepada pandangan peribadi tetapi lebih kepada melihat industri secara keseluruhannya. Inilah industri muzik yang kita ada. Tidak begitu besar tetapi penuh dengan pelbagai andaian dan misteri yang masih tersorok dari diketahui penonton, baik pendengar atau pun peminat muzik.

Seperti yang saya jangkakan Siti Nurhaliza buat kali kelapan menang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita). Memang sukar untuk dinafikan bahawa album Siti Nurhaliza In Concert Royal Albert Hall merupakan sebuah album yang begitu menyerlahkan kehebatan vokal Siti dengan lagu-lagu yang diberi nafas baru oleh Roslan Aziz dan pasukannya.

Saya suka apabila Too Phat melalui album Rebirth Into Reality menang Kulit Album Terbaik. Memang kulit album tersebut menarik sekali termasuklah konsep rekaan grafiknya. Ia dibuat penuh teliti.

Rakaman Album Terbaik dimenangi oleh Dayang menerusi album Kasih dan saya puas hati. Walaupun tercalon dalam Album Pop Terbaik, album tersebut tidak menang. Pelik bukan ? Jika keseluruhan produksi album tersebut telah menang anugerah, mengapa pula tidak berjaya untuk Album Pop Terbaik.

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu pula seperti jangkaan saya pasti akan dipilih juri untuk dimenangi oleh Ramli MS menerusi lagu Gemilang setelah menang untuk kategori yang sama menerusi lagu Merisik Khabar dan Seri Langkat. Ramli MS memang jaguh susunan muzik.

VE menang anugerah Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album dengan album For You. Sudah sampai masanya VE pula diiktiraf kerana persembahan vokal mereka yang mantap sejak beberapa tahun yang lalu. Namun demikian, persembahan pembukaan VE dengan lagu Rentak Disko tidak begitu memikat hati saya. Persembahan pembukaan mestilah sesuatu yang wow. Walaupun Tiara Jacquelina miming tahun lepas, tetapi aksi terbangnya orang ingat sampai sekarang. Begitu juga Sheila Majid dengan lagu Ku Mohon. Ini saya seorang saja yang ingat kot !

Artis Baru Terbaik dimenangi oleh Jaclyn Victor menerusi album keduanya Gemilang. Apa yang barunya kalau album Gemilang merupakan album kedua. Adibah Noor lebih layak untuk menang kategori ini. Saya bercakap berdasarkan teknikal bukan mempersoalkan kredibiliti nyanyian yang ada pada Jac, sebaliknya mempertikaikan peraturan yang telah dibuat yang boleh diubah sewenang-wenangnya. Lebih menarik untuk ditafsirkan apabila pakej trofi tersebut dihantar secara khas oleh FeDex dengan kurier berbeza dengan trofi-trofi yang lain. Dari manakah agaknya alamat yang telah menghantar pakej tersebut ? Sila buat tafsiran sendiri. Kalau ia sekadar product placement, pihak penganjur telah tersilap langkah kerana pelbagai tafsiran boleh dibuat melalui kurier khas tersebut.

Album Pop Rock Terbaik dimenangi oleh Awie melalui album Santai, sebuah album yang tidak begitu meluas promosinya. Album tersebut seakan tidak disedari oleh peminat muzik tempatan akan penjualannya.

Raihan kekal memenangi kategori Album Nasyid Terbaik dengan album Ameen. Ternyata promosi yang dilaksanakan oleh Raihan bukan sekadar rantau Asia Tenggara malah seluruh dunia telah membuahkan hasil terhadap penerimaan album ini untuk diiktiraf di AIM13.

Album Inggeris Tempatan Baru Terbaik dimenangi oleh Deja Voodoo Spells. Mengapa saya kata Deja Voodoo Spells pasti menang dalam kategori ini kerana penyanyi utamanya Rithan tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki). Jika persembahan vokal penyanyinya sudah cukup baik untuk tercalon, tentunya kumpulan ini pasti mendahului kedudukan untuk menang kategori ini.

Video Muzik Terbaik dimenangi oleh Henry Ooi dengan muzik video Sleepy Head oleh LO. Saingannya agak sengit terutamanya dari Terlalu Istimewa oleh Adibah Noor. Namun kedua-duanya merupakan calon terbaik untuk menang kategori tersebut.

Padi berjaya memenangi Album Terbaik Indonesia menerusi album Padi yang memuatkan lagu Menanti Sebuah Jawaban. Mereka tidak hadir dan diwakili oleh salah seorang wakil syarikat rakaman.

Artis Harapan. Tidak begitu mengejutkan. Benar, Ridzuan amat memerlukan anugerah ini untuk dikenali. Lihat bagaimana anugerah tersebut telah berjaya menaikkan nama Farah sekaligus menenggelamkan nama Zahid, Linda dan Adam yang muncul tiga tempat teratas di Akademi Fantasia. Mampukah Ridzuan menenggelamkan nama Felix, Marsha atau pun Amylea ? Yang pasti kesilapan besar yang telah dilakukan oleh Boon Tan hampir pasti menenggelamkan bintang harapan ciptaannya. Kenyataan pedasnya menempelak editor akhbar yang dikatakan tidak menyokong industri muzik dalam sebuah siaran langsung benar-benar telah mengguris hati sebahagian dari mereka. Jika benar sekalipun ingin menujukan kenyataan tersebut kepada akhbar The Malay Mail, biarlah ia dilakukan secara budiman dan tanpa memikirkan akibat yang bakal ditanggung. Apakah penggiat dan peneraju industri muzik tidak boleh ditegur di dalam akhbar ? Atau mereka sekadar mengharapkan pujian semata-mata ? Jika sudah terdesak, tidak mustahil nama Ridzuan akan diterima kembali dalam barisan peserta One In A Million tidak lama lagi.

Shanon akhirnya diiktiraf oleh penggiat seni muzik tempatan. Bermula secara indie, akhirnya bakat beliau disedari secara tidak langsung apabila menang anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki). Nasib Shanon sama dengan nasib yang menimpa Adibah Noor. Pakej fizikal tidak berjaya menutup kehebatan vokal yang dimiliki oleh mereka. Minggu hadapan, akan berlangsungnya BOH Cameronian Arts Awards, anugerah di mana buat pertama kalinya Shanon diiktiraf tahun lepas untuk Bakat Harapan. Saya mengharapkan agar Shanon akan menjual albumnya di sana untuk dimiliki oleh mereka yang belum memilikinya.

Too Phat kembali mengungguli kategori Album Inggeris Tempatan Terbaik menerusi album Rebirth Into Reality. Walaupun gagal dalam saingan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Album, nyata album ini merupakan sebuah album yang mantap dari sudut produksinya.

Apabila diumumkan pemenang Album Pop Terbaik, saya sudah menjangkakan yang album tersebut akan menang Album Terbaik tanpa perlu difikirkan apakah kriteria yang dilihat untuk menang kategori tersebut. Berbekalkan persembahan vokal Jaclyn yang gagal kepada Siti Nurhaliza, rakaman album yang gagal kepada Kasih oleh Dayang Nurfaizah, album ini muncul pemenang menewaskan Kasih yang boleh saya sifatkan sewajarnya menang kategori ini.

Warkah Buat Laila menang kategori Lagu Terbaik. Ini membuktikan bahawa lagu yang baik tidak semestinya lagu yang popular. Ayob Ibrahim dan Habsah Hassan tidak hadir di majlis tersebut. Begitu juga dengan Zahid. Aman yang ambil anugerah ini mewakili Zahid. Sejak bila pula anugerah Lagu Terbaik diberikan kepada penyanyi ? Ini bukan Juara Lagu. Ini antara kategori yang saya tunggu-tunggu untuk melihat sama ada Aduh Saliha atau pun Gemilang berjaya untuk memintas kualiti lagu Warkah Buat Laila. Ternyata Warkah Buat Laila unggul di Malaysia dan di Asia Pasifik.

Sebuah album yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, Gemilang akhirnya dinobatkan untuk muncul sebagai album Terbaik. Setelah gagal dalam kategori Rakaman Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dan juga Lagu Terbaik, apakah kekuatan album Gemilang hanya bersandarkan susunan lagu Gemilang dan barunya artis seperti Jaclyn Victor ? Sesuatu untuk ditafsirkan sendiri oleh akal manusia yang waras.

Lengkap sudah sebuah projek mega Media Prima yang berusaha untuk menaikkan rating bintang ciptaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi bukan bersandarkan kredibiliti artis dan produksinya tetapi bersandarkan politik media yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini.

Apa pula yang akan berlaku tahun hadapan ? Daniel menang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki). Kalau Daniel menang Anugerah Kembara saya bersetuju kerana muziknya telah diterima di Taiwan, Hong Kong dan Singapura.

Selain Album Mini Terbaik, kategori lain yang wajar dilihat keperluannya di dalam industri muzik tempatan ialah Album Cina Terbaik. Sekiranya Album Inggeris boleh diiktiraf oleh orang kita, sewajarnya Album Cina Terbaik juga diberikan pengiktirafan sewajarnya. Pengaruhnya semakin besar. Kita lihat ramai artis cina Malaysia yang berjaya bukan sekadar di Malaysia tetapi juga di Hong Kong, Taiwan dan Singapura. Penjualan album mereka juga melebihi penjualan keseluruhan album Melayu yang berada di pasaran kini.

Mahukah kita melihat perubahan drastik berlaku pada industri muzik Malaysia tahun hadapan ? Apalah ertinya trofi platinum tersebut jika album yang dipasarkan boleh dimuat-turun di internet dan dicetak rompak. Lebih baik menerima cakera platinum bukan satu bukan dua tetapi enam berkembar dari menerima trofi platinum AIM. Itu membuktikan yang muzik kita diterima masyarakat dan bukan syok sendiri.

Bertemu Siti Nurhaliza di Post Party, saya sempat berbual seketika berkenaan album beliau yang terbaru. Waktu itu suasana di Post Party masih lengang dan tidak ramai tetamu yang tiba. Tergamam adalah perkara biasa tetapi dapat juga meneruskan bicara walaupun sempat juga mata mengerling ke jari manis beliau. Berbeza kali pertama saya berbual dengannya sekitar tahun 1998 di persembahan Antara Dua Selat, Siti Nurhaliza nampak kelihatan begitu mesra dan lebih matang. Sempat juga beliau bertanya tentang ramalan AIM saya. Dalam hati terdetik, apakah beliau punya waktu yang lapang untuk membaca blog yang saya tulis. Dalam kegembiraan apabila dapat berbicara bersama Siti Nurhaliza, saya terlupa untuk merakamkan gambar bersamanya.

Nantikan sahaja ulasan tentang album Transkripsi yang akan saya cuba siapkan dalam sedikit waktu lagi. Rata-rata kawan media yang saya temu mengharapkan saya memberikan ulasan yang baik tentang album tersebut. Sempat juga saya berbual-bual dengan beberapa tunggak utama akhbar Kosmo dan Metro Ahad. Khabarnya Klubbkidd pun mahu mengulas tentang album tersebut tetapi bukan di akhbarnya, di blognya. Kita tunggu...

Ulasan Maut : Fiebie
Ulasan Maha Maut : Klubbkidd
Ulasan Separuh Maut : MamanView
Ulasan Antara Hidup dan Mati : Javardkent