Faizal : Satu Dalam Sejuta, Suki : Taiwan Menanti !
Secara jujur, saya tidaklah menonton rancangan One In A Million dari mula. Pertama kerana program tersebut disiarkan pada hari Jumaat. Waktu tersebut adalah waktu rehearsal Konsert Akademi Fantasia dan photoshoot pelajar Akademi Fantasia. Sewaktu musim AF, memang saya tidak berpeluang menontonnya. Walaupun mendapat banyak SMS yang suruh saya menonton program tersebut.
Sejak dari episod pertama, saya tidak pernah berpeluang dan peluang hanya muncul setelah musim AF tamat. Orang cakap Faizal bagus, ada yang cakap Suki bagus, ada juga yang cakap Lokman bagus, ada juga yang berbisik Dayang tidak patut masuk tidak kurang juga yang masih simpati kepada Farah. Saya cakap saya tidak tengok.
Semalam saya menonton One In A Million depan TV di rumah. Kejutan tidak dramatik pertama dilakukan apabila tiada penyingkiran pada malam kemuncak itu. Sangat tidak dramatik. Awal dan Marion harus menuntut ilmu dari Aznil Nawawi untuk menimbulkan kesan dramatik. Sepatutnya "kezutan" seperti yang ditiru oleh Ahmad Izham Omar menjadi lebih dramatik tetapi mood tersebut tidak sampai. Sayang betul. Kalau menjadi lebih dramatik semalam tentunya lebih hangat. Mahu juga saya melihat wajah lega Suki atau Alif setelah melihat penyingkiran Faizal.
Kalau dulu kemasukan semula Lotter ada sesetengah menganggap sebagai merompak tempat Farhan, apakah dengan tiadanya penyingkiran Faizal telah merompak tempat Alif. Mungkin juga Faizal juga boleh dianggap sebagai perompak undi Alif. Yang pasti hanya ada satu tempat untuk direbut, iaitu pulang dengan wang satu juta ringgit.
Berbaloi ? Apakah nilai satu juta ringgit pada seorang perempuan yang berumur 17 tahun ? Apakah nilai satu juta ringgit pada anda ? Apakah wang satu juta ringgit yang akan diberikan dalam bentuk pelaburan akan benar-benar diperolehi oleh Suki ? RM275,000 telah dibelanjakan oleh penonton untuk diberikan kepada 8TV demi menjadikan Suki seorang jutawan ! Bukan satu berita yang baik buat 8TV ya ! :)
Persembahan Suki biasa sahaja. Persembahan yang cukup makan. Saya lebih sukakan persembahan Alif tetapi persembahan Faizal lebih meyakinkan. Antara ketiga-tiga lagu baru peserta, saya lebih menyukai lagu Maha Karya Cinta dan lagu Khayalan. Apabila menyanyikan lagu pilihan masing-masing, Faizal yang menggabungkan tiga lagu dalam sebuah lagu We Will Rock You memukul habis kedua-dua rakannya yang lain. Suki membawakan lagu Everything dan Alif membawakan lagu Give Me Just One Night (Uno Noche). Walaupun berada di kedudukan terbawah sedikit pun tidak memberikannya tekanan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Akhirnya Faizal sekadar menang sorak dan Suki membawa pulang wang satu juta ringgit dan bergelar jutawan muda segera. Lebih baik digelar jutawan muda segera dari mee segera kan ?
Undian keseluruhan sepanjang musim One In A Million ialah 550,000 ! Untuk Grand Finale sahaja sebanyak 120,000 undi diperolehi. Undian dari sebuah program realiti paling popular dari satu nombor telefon sahaja sudah boleh mencecah 8000 undian. Bayangkan perbezaannya ! Sempat juga saya bersms dengan rakan sekerja di Astro tentang jumlah undian. :) Berbalik kepada OIAM, lagipun tempoh undian untuk program realiti ini tidak begitu panjang. Mungkin itu antara faktornya. Kalau bercakap tentang soal jumlah undian, lebih baik saya menutup mulut. Satu keputusan yang menarik bila jumlah undian MASUK (84%) melebihi undian KELUAR (16%). Tidak begitu besar jumlah kebencian yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sebenarnya. Tapi mungkin keputusannya berbeza untuk Akademi Fantasia jika kaedah ini digunakan. Mungkin !
Saya suka dengan konsep One In A Million. Satu ada MASUK dan KELUAR. Kedua, semasa tempoh ujibakat, sudah ada pertandingan KNOCK-OUT. Ketiga, ada BLIND TEST. Itu antara keunikan program ini yang menggabungkan beberapa elemen dari program realiti pencarian bakat dan kemudiannya diadun menjadi One In A Million. Penyingkiran yang dilakukan pada awal program juga antara keunikan program ini. Memanglah hancur harapan peserta yang telah membuat persediaan tetapi tidak dapat membuat persembahan.
Berdasarkan pemerhatian saya untuk beberapa minggu, saya lebih gemarkan Faizal muncul pemenang. Saya melihat persembahannya yang mampu untuk menambat hati penonton. Malam tadi sahaja beliau merupakan satu-satunya peserta yang berjaya membuatkan penonton berdiri memberikan tepukan dan gemuruh sekali Dewan Merdeka dengan sorakan untuknya. Secara keseluruhan, saya suka dengan perjalanan acara Grand Finale One In A Million semalam. Sungguh simple tetapi memberikan kesan yang hebat. Pemilihan lagu juga memainkan peranan yang penting untuk membuatkan program itu tidak terlalu meleret. Lagu-lagu baru Audi Mok memang gempak ! Good job dude ! Contoh-contoh lagu Audi seperti Drama (Ning Baizura feat. Nikki & Yanie) dan Caramu (Nikki feat. Zahid) dan...(tutup mulut). Red carpet ? Seperti standard Malaysian Idol musim 1 dan 2, tiada selebriti yang dapat memberikan gemerlap bintang. Saya sempat sms "Busuknya Red Carpet !!" ke Mr.Manager. Tiba-tiba Ning Baizura muncul di skrin tv dan sms kedua menyusul "Alamak ! hahaha".
Fantasinya sudah tamat dan kini realiti menanti di hadapan. Satu juta ringgit sudah berada di tangan dan kini perancangan yang teliti perlu dilakukan. Sudah pasti pasaran di Taiwan menanti beliau, sama seperti kemenangan Daniel dalam Malaysian Idol 2. Berbeza dengan Jac yang lebih diterima di Malaysia walaupun penjualan album tidaklah sebesar mana. Di sini saya lebih berbangga dengan Mawi bila berjaya menjual albumnya di Malaysia. Sekarang, nama Faizal lebih dikenali berbanding sewaktu beliau bersama Mirwana dulu. Dia boleh meneruskan usahanya dalam bidang muzik. Penerbit, penyanyi, pengacara dan macam-macam lagi. Suki mengekori jejak langkah Ahmad Samerin yang menjadi jutawan segera dari program More Jutaria satu ketika dahulu. Di mana ya Ahmad Samerin sekarang ?
Pilihan sultanmuzaffar
Faizal - We Will Rock You
Alif - Give Me One More Night (Uno Noche)
Faizal - Maha Karya Cinta
Alif - Khayalan
Suki - Everything
Suki - Berdiri
0 komen