Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 September 2006

Monolog Seorang Penagih

Aku bangun sekitar jam 9 pagi. Aku capai handphone dan terus online 3G. Itulah hidup aku seorang penagih 3G. Lewat malam aku tertidur kerana keletihan menonton drama bersiri The Triangle. Ada marathon semalam. Dari jam 7 petang sampai jam 11.30 malam. Sampai tertidur-tidur aku dibuatnya kerana drama tu memang boleh buat kepala pening.

3G telah pun aktif dan aku buka laman web Utusan. Entah mengapa. Laman web Utusan memang akan menjadi santapan harian utama aku. Aku lihat kalau-kalau ada mesej yang ditinggalkan untuk blog mahu pun email. Ada satu email penting tentang sinopsis episod dokumentari Ziarah yang dihantar oleh Wan Kamarudin dan produksinya. Perlu disiapkan menjelang hari Isnin petang sebelum Sidang Media yang akan diadakan pada hari Selasa.

Aku bangun dan terus menyiapkan diri untuk bersarapan pagi di Restoran Haslam. Singgah sebentar di Kedai Mamak sebelah Restoran Haslam untuk beli akhbar mingguan. Memang sudah menjadi kebiasaan aku untuk menyelak akhbar-akhbar mingguan. Aku beli empat akhbar. Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Kosmo Ahad dan Metro Ahad. Hanya itu saja yang aku beli dan baca.

Ada cerita tentang Dayang Nurfaizah yang tersingkir dari One In A Million. Ada cerita Puteri Gunung Ledang The Musical yang akan dipentaskan di Esplanade Singapore. InsyaAllah aku akan terbang ke Singapura 24-26 November ini. Sambil menunggu Roti Telur Bawang Cili, aku aktifkan 3G lagi. Bukannya apa sejak-sejak bil handphone dibayar syarikat, aku semakin menjadi penagih tegar 3G. Lagi pun projek baru yang diberikan kepada aku melibatkan 3G. Entah berapalah bil handphone aku bulan ini. Selalunya dalam RM150 sahaja. Tapi tak mengapa pasal ada company yang bayarkan.

Roti Telur Bawang Cili aku sampai tetapi yang tiba hanyalah Roti Telur. Aku makan saja. Tiada beza pun. Tapi kakitangan dekat restoran tu dah bising-bising dan kecoh pasal salah hantar. Yang tukang hantar kena marah dengan bos dia pasal hantar yang salah. Aku dah naik malu. Bukannya apa. Aku bukannya kisah pun kalau roti telur bawang cili dengan roti telur. Tiada beza pun bagi aku. Lainlah kalau diorang hantar durian atau tempoyak kat aku. Yang tu memang aku marah lah.

Masa nak buat pembayaran aku cakaplah aku makan roti telur. Tukang hantar makanan bagitau bos dia aku pesan roti telur bawang cili tapi yang sampai roti telur. Perbuatan dia semata-mata nak tunjukkan yang tukang buat roti dah buat silap. Aku cakap jangan panjang-panjang. Tiada beza pun. Aku dah habis makan pun.

Aku balik rumah dan baca akhbar hari ini. Aku teruja dengan Puteri Gunung Ledang The Musical : Singapore Tour yang akan dipentaskan di Singapura bulan November ini. Aku mahu bercuti. Lagipun sejak musim Akademi Fantasia 4 yang lepas dah 5 bulan aku tak ambil cuti. Patutnya lepas habis AF4, aku pun mahu berehat tetapi tidak dapat peluang juga. Lepas satu-satu projek yang datang. Lepas satu-satu majlis yang perlu diuruskan. Kalau ikutkan hati memang mahu saja aku bercuti dalam tengah-tengah kesibukan menguruskan majlis, tetapi tidak elok pula meninggalkan kerja pada orang lain.

Jumaat lepas aku baru hantar satu laporan tentang soal-selidik yang aku diminta siapkan dalam 3 hari. Tentang tabiat menonton isirumah yang mempunyai anak kumpulan 6-12 tahun dan 13-18 tahun. Aku diminta siapkan soal-selidik untuk 10 isirumah sebagai sampel tapi aku dapat 16 isirumah. Kebanyakannya datang dari pembaca blog ini sendiri. Apa yang anak-anak remaja ini tonton di TV ? Adakah rancangan yang sesuai untuk mereka ? Berapa lama mereka tonton TV di rumah ? Banyak juga persoalan yang terjawab. Terima kasih kepada yang sudi membantu.

Masa aku dapat kerja ini beberapa hari yang lalu dari bos aku, perbincangan banyak ditumpukan kepada kerja tersebut. Ada soal lain yang cuba mengubah perhatiannya. Dalam 30 minit kami berbincang, soal lain itu hanya mengambil kurang dari 3 minit untuk mengubah perhatian kami. Betapa tidak pentingnya persoalan tersebut di mata kami.

Hari Isnin akan menjadi hari yang agak sibuk mulai minggu hadapan. Pagi hari Isnin merupakan hari untuk saya mengumpul bahan dari setiap penerbit dan kemudiannya menghantar kepada penyunting video untuk bahan-bahan tersebut dijadikan kandungan 3G.

Minggu depan minggu yang agak sibuk. Pagi Isnin untuk 3G, petang Isnin untuk Seroja : A Ramadhan Showcase, Selasa untuk Ziarah, Khamis untuk Tagline Raya Astro RIA dan Jumaat adalah hari One In A Million !!! Hari seumur hidup dalam sejuta hari ! Ada plan baik hari itu ! :)

Menjelang petang, saya bersama beberapa orang kawan bertandang ke Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka untuk teater Gadis Jalan Burmah. Teater monolog yang diarahkan oleh David Lim dan dilakonkan oleh Soefira Jaafar. Teks teater tersebut merupakan nukilan Shahredza Minhat. Ceritanya tentang Kartini yang sudah berumur 42 tahun tetapi masih belum berkahwin. Konflik jiwa banyak terarah kepada Kartini dan persekitarannya. Bayangkan dalam umur 42 tahun sewaktu menghadiri majlis perkahwinan saudara-saudaranya, pasti ada saudara-saudara yang bertanya “Bila lagi ?”. Lain kali apabila menghadiri upacara pengebumian saudara-saudara terdekat, tanya kembali pada mereka yang bertanya kepada anda itu “Bila pula ?”.

Kembali dari Stor Teater, saya singgah untuk minum petang di restoran yang sama pagi tadi. Saya minta roti telur bawang cili. Belum apa-apa tukang hantar terangkan masalah pagi tadi. Aduh ! Tak habis lagi ke isu pagi tadi ??? Kali ini dibawakannya roti telur bawang cili yang betul. Saya makan sambil baca skrip teater Toast tulisan Rodek dan kemudian saya balik.

Eh ! Mula-mula guna aku. Tiba di penghujung jadi saya. Sukar untuk mengubah rupanya. Monolog tak jadi…

Aku kini merupakan seorang penagih. Penagih tegar 3G. Korang ada 3G ? Kalau ada 3G korang guna servis tu atau tak ? Berapa lama korang akan guna bila sekali aktifkan 3G ? Program apa yang akan ditonton dengan 3G ? Antara broadband dan 3G, yang mana korang lebih suka dan akan guna ? Adakah harga untuk menggunakan servis 3G masih mahal di Malaysia ?