Ziarah Menjelma, Puasa Kembali, Tiba Masa Untuk Hibernasi
Masa banyak dihabiskan bersendirian hari ini. Baik di pejabat, mahu pun di rumah. Geng ofis pun bercuti. Geng rumah pun bercuti. Masa juga dihabiskan dengan menyiapkan kerja-kerja yang ada. Orang ingat lepas habis Akademi Fantasia, saya pun kembali ke tempat asal. Tapi balik-balik muka ini ada lagi. Bersabar sajalah mengadap. Ada dua acara yang agak penting perlu diuruskan minggu hadapan. Satu hari Isnin, satu lagi hari Selasa. Back-to-back !
Acara pada hari Isnin melibatkan Astro selaku Penyiar Rasmi untuk Seroja : A Ramadhan Showcase yang akan menampilkan Mawi, Ramli Sarip dan ramai lagi sempena bulan Ramadhan kelak. Ada satu teks ucapan yang perlu disiapkan. Satu ? Memanglah tak banyak. Cuma satu. Cuma minda perlu dihalakan menjurus kepada jargon-jargon seperti muzik Islam, mesej ketuhanan, sentuhan kerohanian yang selama ini jarang benar saya gunakan untuk blog ini. Mahu tidak mahu saya harus memperbanyakkan perbendaharaan kata yang baru dalam otak saya. Satu pengalaman baru !
Acara pada hari Selasa pula merupakan Sidang Akhbar Ziarah, sebuah program pengembaraan ke negara Asia Barat yang akan disiarkan mulai 1 Ramadhan. Tempat acara perlu dipilih, teks ucapan perlu disiapkan, media Q&A juga dirangka. Banyak kerja tetapi rakan sekerja bercuti. Mahu merungut pun tiada gunanya kerana yang penting adalah hasilnya. Untuk memberikan satu kelainan, saya perlu menonton kesemua episod Ziarah yang telah disiapkan. Saya menyukainya dan nantikan saja menjelang bulan Ramadhan kelak kemunculannya.
Lupakan...
Setelah selesai Akademi Fantasia saya masih belum berpeluang untuk bercuti panjang. Ada lagi satu kerja baru yang diperolehi tetapi dalam keadaan sekarang ianya masih tidak sesuai untuk diceritakan di sini. Tunggu sahajalah. Tetapi kepada sesiapa yang tidak sabar-sabar menunggu tibanya tarikh 24 September 2006, silalah lupakan angan-angan itu.
Soal-Selidik
Terima kasih diucapkan kepada yang sudi turut serta dengan soal-selidik segera yang perlu saya lakukan. Sebanyak 10 isirumah perlu dikaji tetapi hasilnya sebanyak 16 isirumah yang diperolehi. Ada yang melalui soal-selidik bertulis, ada juga yang melalui telefon. Untuk apa semua ini ? Untuk mengetahui apa yang kanak-kanak 6-12 tahun dan remaja 13-18 tahun inginkan dengan menonton televisyen. Apa yang kurang dengan televisyen sekarang pada kanak-kanak dan golongan remaja ini sekarang ?
Dulu ada Cumi dan Ciki, sekarang mana ada. Dulu-dulu masa peringkat umur sekolah menengah ada Cyberwave yang amat sesuai dengan saya yang gilakan teknologi, sekarang mana ada rancangan macam tu untuk menyesuaikan dengan selera orang Melayu. Itulah kurangnya. Masa bila dua peringkat umur ini menonton TV ? Siang sekolah, petang sekolah agama, lewat petang sikit bermain, malam buat kerja rumah dan sebagainya. Ada peluang untuk menonton tv pun selepas waktu makan. Tapi yang ditonton bukannya rancangan yang dikhaskan untuk tontonan dua golongan ini tetapi untuk golongan keluarga. Jadi waktu mana yang sesuai untuk dislotkan kepada dua golongan ini ? Aduh ! Banyaknya kerja baru...
Lega
Untuk sedikit berita melegakan, ada seorang funder dari sebuah badan bukan kerajaan Jerman mahu memberikan dana untuk saya meneruskan hayat blog dan juga mahu menaja beberapa aktiviti yang melibatkan blogger di Malaysia. Buat masa ini saya telah berbincang dengan beberapa blogger-blogger yang akan menjadi key person yang akan turut terlibat dengan dana ini. Jika semuanya berjalan lancar, beberapa siri aktiviti ilmiah akan dilaksanakan. Saya sudah pun mendapat persetujuan untuk perbincangan dengan kawan-kawan di Geng Jurnal. Pemberi dana ini begitu cerewet dalam keputusannya dan saya perlu mendapatkan key person untuk terlibat menjayakannya.
0 komen