Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 November 2006

The Red Kebaya : F16 Bukan F8

Image Hosted by ImageShack.us

The Red Kebaya menjadi antara filem yang saya tunggu-tunggu setelah melihat poster dan laman webnya berada di maya dengan cepat. Pada mulanya saya ingatkan ianya merupakan sebuah persembahan teater. Saya tersilap dan anda juga mungkin tersilap. The Red Kebaya ialah sebuah filem. Sebuah filem Malaysia yang boleh dibanggakan.

Saya benar-benar tertarik dengan filem ini kerana ceritanya. Tentang Latiff, seorang jurugambar yang hebat melaksanakan satu projek baru, mengambil gambar rumah-rumah yang terbiar. Dalam pencarian tersebut, beliau telah melalui pelbagai pengalaman apabila dibayangi dengan imej-imej dan bunyi-bunyi yang mengingatkannya tentang sejarah silamnya.

Dalam sebuah rumah yang terbiar di Pulau Pinang, Latiff telah dibawa kembali ke zaman silam untuk melihat sendiri beberapa kejadian aneh dan mengejutkan yang telah berlaku di dalam rumah tersebut 50 tahun dahulu. Melalui pengalaman tersebut, satu-satu sejarah disingkap yang membawa kepada persoalan tentang bagaimana beliau menjadi seorang anak yatim piatu dan akhirnya bertemu dengan seorang kawan.

Saya tertarik dengan jalan ceritanya yang lain dari yang lain. Saya sudah hampir bosan dengan cerita-cerita yang ditampilkan oleh filem Malaysia. Tiada kelainan dan masih menampilkan cerita yang sama. Kalau ada pun cerita yang berbeza, hasilnya masih belum kuat untuk menarik saya ke pawagam. Menguatkan lagi filem ini apabila ia digambarkan dengan begitu baik di atas layar dalam visual-visual fotografi yang indah. Keindahan senimatografi filem ini agak menarik dan harus saya nyatakan saya terpukau dengan keindahannya.

Satu adegan yang amat menguja saya apabila berlakunya perubahan zaman dari zaman kini ke zaman silam pada rumah terbiar tersebut. Saya pernah tonton visual yang sama dalam filem Titanic apabila bermulanya ingatan Rose Dawson terhadap kapal agung tersebut. Dari imej kapal Titanic yang bersalut lumut kepada sebuah kapal yang gah dengan dekorasi yang cantik. Detik ingatan Latiff kembali kepada zaman silam rumah terbiar itu benar-benar menghantui minda saya.

Melihat kepada barisan pelakon yang membintangi filem ini, seperti Ramli Hassan, Vanidah Imran, Bob Mercer, Samantha Shubert, Zahim Al Bakri, Patrick Teoh, Sabera Shaik, Jo Kukathas, Fauziah Nawi dan ramai lagi kesemuanya mempunyai pengalaman beraksi di pentas teater. Mereka nama-nama besar dalam dunia teater Malaysia. Dari Rubiah ke Anugerah. Dari The Odd Couple ke The Smell Of Language. Dari Opera Ayu Chendana ke Puteri Gunung Ledang The Musical. Dari Antara ke Election. Semuanya jaguh dalam dunia teater. Saya tabik mereka. Sayangnya apabila di layar perak, jatidiri teater itu kurang menyerlah. Saya mengharapkan lakonan yang benar-benar mantap dari keseluruhan jaguh teater ini tetapi hanya Samantha Shubert dan Ramli Hassan yang berjaya memukau saya. Vanidah Imran juga tidak mengecewakan. Filem ini merupakan titik tolak kepada kerjayanya untuk mula dikenali dengan filem-filem yang sebegini.

Lakonan jahat Samantha Shubert sebagai isteri kepada Bob Mercer berjaya menimbulkan perasaan benci saya dan jelingannya benar-benar tajam menikam. Mungkin kerana saya mengenali sifat sebenarnya di luar lokasi dan apabila lakonannya berbeza di layar perak, pasti ia memberikan kesan yang lain. Lakonan Ramli Hassan berjaya menangkap perasaan sedih terutamanya di penghujung cerita. Namun demikian, lakonan Vanidah Imran masih belum cukup kuat untuk menjadi tunggak utama filem ini. Masih nampak bersahaja tetapi dialog-dialog yang dilafazkan serta mannerism seorang penari joget di zaman tersebut berjaya dibawakan dengan baik.

Secara keseluruhan, saya faham dengan jalan cerita filem ini dan membuktikan kerja-kerja penyuntingan dan pengarahan telah dilaksanakan dengan cemerlang. Saya puas melihat mereka dipertemukan semula. Walaupun watak Patrick Teoh di zaman silamnya tidak diperjelaskan dengan terperinci, semangat persahabatan itu timbul dan dapat saya rasakan. Kesan-kesan bunyi dan visual yang menghantui Latiff akhirnya terjawab satu-persatu. Saya puas. Unsur-unsur surreal berjaya diadun dengan baik dalam filem ini.

Lebih-lebih lagi pada adegan yang melibatkan F16 dan bukan F8. Itulah keunikan filem ini bila mana unsur-unsur mistik dan magik telah diadun dengan baik.

Saya tidak malu dengan filem ini, walaupun pada dasarnya medium filem ini menggunakan hampir keseluruhannya Bahasa Inggeris. Sebuah filem Melayu berbahasa Inggeris. Bahasa hanya medium penyampaian, yang lebih penting adalah ceritanya.

Namun saya agak skeptikal dengan reaksi penonton Malaysia. Apakah penerimaan rakyat Malaysia terhadap filem sebegini akan sama seperti mereka menerima filem-filem seperti Nana Tanjung atau pun Diva Popular ? Selera manusia berbeza-beza. Tahap penerimaan maklumat yang mampu dicernakan oleh otak masing-masing juga berbeza. Itu sahaja yang merisaukan saya. Apakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menonton satu cerita yang lain daripada yang lain ?

Satu soalan yang lucu telah saya utarakan sewaktu selesai menonton filem ini. Tanya saya :

"Do you have any plan to transfer this movie into a musical theater ?" Saya lihat di hadapan saya kesemuanya jaguh dalan teater. Zahim Al Bakri juga berada di hadapan saya. Beliau merupakan pengarah untuk PGLtM. Dunia joget kalau digambarkan di pentas teater pasti menarik. Seperti yang pernah dibawakan melalui Ronggeng Rokiah, Lantai T.Pinkie, Mencari Juita dan Salina. Kalau-kalau ia menjadi kenyataan, ianya sesuatu yang tidak mustahil.

Adegan Paling Menarik : Perubahan visual rumah terbiar dari zaman kini ke zaman 50an.
Dialog Paling Menikam : Dialog Samantha Shubert kepada suaminya. "I know what you want..." sambil membuka butang bajunya.
Visual Paling Menarik : Keindahan Pulau Pinang di layar amat menguja saya untuk pergi ke sana.
Adegan Paling Ajaib : Imej rumah terbiar pada PC Latiff berbeza dengan imej yang sama di PC pembantunya. Ia menguja saya untuk mengetahui kisah misteri seterusnya.

Jika anda punya kelapangan waktu, The Red Kebaya akan menemui anda di pawagam mulai 23 November ini. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan sebuah filem yang akan membawa anda kembali ke dunia Joget.

nota sultanmuzaffar : Saya sedang sibuk buat eksperimen. Sila lihat eksperimen saya di sini. :)