Tekanan di sini terlalu memuncak. Ada saja yang tidak kena. Saya jadi resah. Lalu saya perlu melarikan diri untuk ke satu dunia yang lebih tenang. Jika dulu di sini adalah dunia saya, tapi kini tidak lagi. Saya seperti kehilangan arah.
Masalah ada di depan mata dan cara paling sesuai dilakukan adalah lari.
Saya berlari, bukan di darat. Tetapi jauh ke dasar laut. Di situ ada dunia yang lebih tenang. Lebih aman.
Hobi baru ini nampaknya menarik minat saya. Saya pernah mencuba beberapa hobi, baik secara paksaan, mahu pun dengan rela hati.
Sewaktu kecil-kecil dahulu saya pernah belajar bermain beberapa alat muzik, antara keyboard dan organ. Saya teruskan sekadar untuk memenuhi kemahuan. Bila tiba waktu exam, saya lari.
Begitu juga dengan kelas tennis. Juga sekadar untuk memenuhi kemahuan. Jika ada peluang, saya ponteng.
Membina miniature juga saya pernah cuba dan agak menarik cuma terlalu memenatkan. Mengumpul setem dan sampul surat hari pertama sudah terlalu biasa. Saya sukakan sesuatu yang di luar dari kebiasaan.
Bila sudah besar, saya cuba sukan golf. Amat membosankan. Saya hanya pergi ke driving range beberapa kali. Set golf yang diberikan keluarga saya biarkan berhabuk sebelum saya pinjamkan kepada Sheriza. Entah apa jadi agaknya golf set tersebut.
Hobi yang masih kekal saya teruskan hingga kini cuma komputer yang kini sudah jadi mata pencarian.
Kembali ke cerita Pulau Tioman. Saya bersama Shonny dan William dengan kereta Audi A4 William bertolak dari Bukit Jalil jam 1 pagi. Sebuah lagi kereta dinaiki Richard & Jimmy. Hafiz & Jolyn terpaksa lewat satu hari kerana tidak dapat cuti.
Kami berhenti beberapa kali dan tiba di Mersing jam 6 pagi. Bot pertama bertolak jam 7.30 pagi ke Pulau Tioman. Kami tiba lebih kurang jam 10 pagi di Paya.
Lebih kurang pukul 11 pagi, kami sudah bersiap untuk melakukan aktiviti diving pertama. Memang hati saya berdebar-debar. Ini bukan kolam renang. Di depan saya ialah lautan yang saya tidak nampak dasarnya. Lebih-lebih lagi saya tidak tahu berenang.
Haluan kami yang pertama ialah Soyak.
Saya melangkah kali pertama ke laut dalam tepat pukul 12.44 tengahari dengan cara “giant stride”. Saya masih tidak tahu apakah saya telah membuat keputusan yang tepat. Dalam kepala saya terbayang bermacam-macam benda.
Diving pertama saya melakukan beberapa skil sebagai keperluan peperiksaan sebelum memperolehi lessen menyelam PADI. Diving pertama itu mempunyai kedalaman sedalam 11.8 meter dan saya berada di lautan selama 31 minit.
Sebelum naik ke permukaan, saya perlu melakukan “safety stop” selama 3 minit iaitu terapung di kedalaman 5 meter. Skil mengapungkan diri di dalam air perlu saya berikan perhatian. Saya masih mempunyai masalah untuk menyeimbangkan berat badan untuk biar terapung.
Saya kira tidak banyak yang saya perhatikan dalam selaman pertama kerana minda saya banyak tertumpu kepada “fining” dan “breathing”. Saya perlu melakukannya satu-persatu. Ada banyak masa lagi untuk melihat keindahan semulajadi yang sudah terhidang di depan mata. Sabar.
Haluan kami yang kedua ialah Renggis.
Saya suka dengan “diving” kedua yang saya lakukan tepat jam 3.38 petang. Pada kedalaman 10.9 meter, kami berada di dasar lebih kurang 51 minit. Jarak pandangan lebih jauh dan jelas iaitu 6 meter. Di sini saya mula mendapat keyakinan. Saya tahu saya telah membuat keputusan yang tepat.
Di sini keindahannya sungguh tidak tergambar, tetapi masih terlalu awal untuk saya rakamkan dalam foto. Cuma ia masih tersimpan di dalam minda. Dalam selaman kedua ini saya melakukan beberapa skil untuk peperiksaan.
Saya masih bermasalah untuk menyesuaikan dengan teknik “hovering”, saya tiba-tiba terlonjak ke permukaan sewaktu berhenti untuk “safety stop”. Saya sedar teknik hovering amat penting, bukan sahaja untuk hidupan laut di dasar tetapi juga untuk keselamatan. Saya mahu pastikan untuk mendapatkan skil ini secepat mungkin.
Haluan kami yang ketiga ialah Tomok.
Menariknya selaman ketiga ini ialah ianya merupakan “fun diving”. Saya lebih berkeyakinan untuk melakukan giant stride. Lebih menarik apabila di dasar kami berjaya menemui rangka kereta karam.
Diving ketiga ini kami turun ke laut pada pukul 5.23 petang dan berada di dasar selama 33 minit. Kami menyelam sedalam 9.4 meter. Namun demikian, jarak penglihatan tidak begitu jauh, hanya sejauh 2 meter.
Itu pengalaman hari pertama menyelam di dasar laut !
0 komen