Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Escapism di Sipadan Kapalai Dive Resort (Bhg.1)

Entri oleh sultanmuzaffar 22 June 2008

15 Jun 2008
Hari yang dinanti-nantikan tiba. Saya sememangnya tidak sabar untuk bercuti dan akhirnya hari tersebut berada di depan saya. Sudah agak lama saya tidak bercuti. Bagi saya, bercuti sebenarnya sesuatu yang merimaskan kerana saya terpinggir dari Internet. Tapi kali ini saya harus melupakannya kerana saya mahu lari dari kerja, dari blog, dari facebook, dari kesesakan Kuala Lumpur.

Bermula dari saat awal menyertai AWANI, hingga ke kesibukan Pilihan Raya Umum 12 dan musim Akademi Fantasia, saya kira tenaga saya sudah habis untuk terus diperah. Minda saya sudah terlalu kering untuk menjana idea. Fikiran saya sudah menerawang entah ke mana.

Saya pilih Sipadan lebih sebulan yang lepas. Lalu, saya mengambil lesen “diving” bersama F-tersix Dive di bawah kendalian Shonny Loh. Mujur berjaya mendapatkan lesen, kalau tidak saya hanya boleh snorkelling sahaja di Sipadan. Saya kemas barang saya dan terbang ke Tawau.

Satu beg “diving equipment”, satu beg pakaian dan satu beg sandang barangan keperluan harian. Sudah memadai. Beg notebook saya tinggalkan. Jarang sekali saya dapat peluang untuk tinggalkan beg notebook.

Penerbangan ke Tawau dengan Air Asia lewat dari seperti yang dijadualkan. Perjalanan hanya bermula tepat pukul 4.30 petang dari LCCT ke Tawau. Saya tiba di Tawau agak lewat iaitu pukul 7.10 petang. Itu sahaja penerbangan yang tinggal dan saya terpaksa bermalam di Hotel Heritage, Tawau. Malam itu saya menghadiri satu acara pelancaran buku di Tawau.

Saya perlu tidur awal kerana esok bas akan bertolak ke Semporna pada pukul 7 pagi. Bermulalah satu perjalanan ke Pulau Sipadan, sebuah pulau yang tidak pernah saya impikan untuk jejakkan kaki saya ke sana.

16 Jun 2008

Pagi itu, tepat jam 7 pagi saya bertolak ke Semporna. Bas tersebut singgah di Lapangan Terbang Tawau untuk mengambil dua orang pelancong dari Perancis dan seorang dari Jepun. Ketiga-tiga mereka merupakan “diver”. Saya lihat mereka tiada banyak barang seperti saya.

Perjalanan ke Semporna mengambil masa selama 2 jam. Saya tiba di sana tepat jam 9 pagi. Menyiapkan beberapa borang untuk diisi sebelum menjejakkan kaki ke Sipadan.

Perjalanan dengan bot laju ke Sipadan-Kapalai Dive Resort mengambil masa selama 1 jam. Saya tiba di sana lebih kurang pukul 10.30 pagi. Saya tergamam melihatkan keindahannya. Kami disambut oleh pekerja di sana dengan penuh mesra.



Selesai sesi penerangan untuk “diver”, kami menjalani “Orientation Dive” di house reef yang diberi nama Mandarin Valley. Kami bersiap sedia untuk aktiviti tersebut. Belum sempat saya check-in lagi ke bilik penginapan saya, terus saja ke Dive Centre. Prosedur di Dive Centre sangat teratur. Untuk diver, kami hanya perlu menyarung wet suit, mask, snorkel, fin dan weight belt sahaja. Kelengkapan lain semuanya disiapkan oleh Dive Crew yang bekerja dari pukul 5 pagi hingga 9 malam setiap hari. BCD, regulator dan tank disiapkan dan diletakkan di pakir khas sementara sebelum kami menyelam.

Amat mudah dan tersusun. Cuma perlu sarung dan terjun !

Orientation Dive : Kapalai - Mandarin Valley
Masa Mula – 12:17 pm
Masa Tamat – 12:53 pm
Kedalaman – 21.3 meter
Masa Berada Di Dasar – 36 minit
Jarak Penglihatan – 10 meter
Suhu – 31 darjah Celcius
Rating – 4 bintang
Pertama kali saya diving melebihi had 18 meter. Kali ini saya mencecah 21.3 meter. Dive Master ialah Michiyo, seorang perempuan berbangsa Jepun yang bekerja di resort tersebut. Dive tersebut saya bersama 2 orang dari Perancis dan seorang dari Jepun.

Pada mulanya saya agak cemas apabila terpisah dengan pasangan saya, lebih-lebih lagi saya tidak nampak dasar. Pengalaman pertama kali ini saya gunakan untuk mendapatkan kaedah buoyant dan fin yang betul.

Memang terlalu menarik untuk diceritakan. Terlalu banyak hidupan makro yang kelihatan. Kapalai memang terkenal dengan hidupan makro.

Selesai diving, saya berikan mask saya kepada Michiyo. Beliau menyalakan api untuk membakar lapisan yang menyebabkan “fogging”. Selepas daripada itu, mask saya lebih jelas dan terang. Saya tidak perlu melakukan mask clearing setiap 10 minit.

Saya berehat sebentar sebelum melakukan dive kedua di Restoran. Foto di bawah ini merupakan permandangan yang biasa di Restoran. Selain itu, saya sempat juga check-in ke chalet penginapan saya. Memang cantik biliknya.

Nama : Kapalai - Eel Garden
Masa Mula – 3:21pm
Masa Tamat – 4:06pm
Kedalaman – 22.7 meter
Masa Berada Di Dasar – 45 minit
Jarak Penglihatan – 9 meter
Suhu – 31 darjah Celcius
Rating – 4 bintang
Selepas berehat selama lebih 2 jam, saya memulakan boat dive saya yang pertama di Kapalai. Kali ini haluan kami ialah Eel Garden. Michiyo masih merupakan Dive Master untuk dive tersebut dan buddy untuk saya.

Malangnya saya kehilangan beliau beberapa ketika. Sewaktu cemas, wajah Shonny muncul di minda memberikan arahan “Sabar”, “Sabar”. Mujur saya tidak bertindak yang bukan-bukan. Saya ambil keputusan untuk mengekori Saburo, seorang Jepun yang sibuk merakamkan gambar-gambar makro.

Pertama kali juga saya berada di dasar laut lebih 30 minit, kali ini selama 45 minit. Saya perlu tahu menjimatkan penggunaan tangki udara. Oleh itu saya perlu belajar untuk tidak cepat cemas dan menggunakan tangki udara tanpa henti.

Saya belajar banyak perkara sewaktu diving. Otak kena bekerja secara multi-tasking. Kena jaga kaki, kena jaga breathing, kena jaga buoyancy. Banyak perkara perlu dilakukan serentak. Itulah yang best tentang diving kerana kita berada di persekitaran yang nyata berbeza dari persekitaran yang kita sudah biasa iaitu di darat.

Buat ketika, saya gembira dengan percutian saya di resort tersebut. Awal subuh, lebih kurang jam 5.30 pagi rebut melanda resort tersebut. Angin kuat disertakan dengan guruh dan petir. Memang rasa chalet tempat kami menginap macam mahu terbang. Lebih-lebih lagi chalet tersebut terletak di permukaan laut tanpa ada chalet yang menghadang di hadapan chalet kami.

Hari pertama yang puas ! Puas kerana berada 22.7 meter di bawah laut. Sesuatu yang tidak pernah saya fikir akan buat sebelum ini.


Esok…jerung dan penyu menanti kami di Sipadan…

1 Responses to Escapism di Sipadan Kapalai Dive Resort (Bhg.1)

  1. bro
    bajet bapow bro???