Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Surat Dari Pencinta Muzik

Entri oleh sultanmuzaffar 13 August 2008

Nota : Di laman web Murai.com.my ada menyenaraikan ketidak-puashatian yang melanda golongan artis Malaysia sekarang. Begitu juga pendapat yang diluahkan oleh KlubbKidd. Di bawah ini saya siarkan email dari seorang pembaca blog ini berkenaan isu 90:10 yang dibawa oleh Karyawan.

Berikut adalah antara isu yang telah dibangkitkan di dalam perhimpunan itu.

1. Mempersoalkan tindakan sebuah stesen radio swasta Melayu yang terlalu kerap memutarkan lagu dari seberang tanpa memberi ruang yang sama terhadap lagu anak seni tempatan.

2. Mempersoalkan tindakan beberapa deejay radio tempatan tersebut dilaporkan sanggup terbang ke Jakarta untuk membeli pelbagai lambakan cakera padat (CD) daripada penyanyi atau band muzik Indonesia.

3. Sebuah akta harus diwujudkan dengan menetapkan kuota 90% lagu tempatan serta 10% lagu asing bagi setiap stesen radio tempatan khususnya milik swasta.

4. Memberikan saranan supaya lagu seberang tidak dicampuradukkan dengan lagu tempatan ketika ia diputarkan di radio. Harus memiliki satu segmen yang khusus untuk memainkan lagu-lagu luar negara ini.

5. Mempersoalkan tindakan sebuah syarikat telekomunikasi yang sanggup menaja konsert dari seberang secara besar-besaran sedangkan peluang sukar untuk diberikan kepada anak tempatan.

6. Mempersoalkan tindakan pihak stesen televisyen seperti TV3 yang kerap menganjurkan konsert percuma menerusi acara Jomheboh. Kesannya, masyarakat lebih suka melihat konsert artis tempatan secara percuma.

7. Mempersoalkan tindakan pihak stesen televisyen yang terlalu kerap menayangkan bahan-bahan cerita dari negara luar tanpa mengutamakan produk tempatan sendiri.

8. Mempersoalkan tindakan beberapa produser filem yang gemar memuatkan lagu karya Indonesia dalam album runut bunyi (soundtrack) mereka. Sekalipun ia dibawakan semula penyanyi tempatan kita, apakah tindakan itu sebagai sesuatu yang perlu?

9. Meningkatkan tahap pendidikan masyarakat yang masih tidak dapat memahami kesan utama di sebalik terhadap isu serta permasalahan ini (kebanjiran lagu-lagu luar).

10. Memandangkan industri muzik tanah air terjejas dengan teruk, kebanyakan artis tempatan disaran supaya menggunakan kaedah format digital untuk meneruskan kegiatan seni mereka.

11. Mempersoalkan kredibiliti Senator Datuk Jins Shamsudin kerana gagal berupaya membantu penggiat seni muzik mendapatkan hak mereka serta menyelesaikan permasalahan ini.
Surat Dari Pencinta Muzik
Saya ingin luahkan rasa tak puas hati saya dengan Freddie Fernandez selaku Presiden Karyawan dan langkah regresif yang diambil oleh mereka dibawah naungannya semalam. Seperti yang diketahui, Karyawan menjemput ahli-ahli mereka untuk menandatangani petisyen di PWTC untuk memaksa kerajaan mengarahkan stesyen-stesyen radio Bahasa Malaysia untuk memutarkan 90% lagu-lagu tempatan dan 10% lagu-lagu asing, termasuklah lagu-lagu dari seberang.

Langkah ini dianggap "arbitrary" iaitu satu langkah yang melulu dan dibuat atas desakan yang tidak ada logik dan strategi yang berkesan. Untuk memancing undian para artis, Freddie menggunakan emosi, tak ubah dari taktik ahli politik yang sedar bahawa populariti mereka tergugat, lantas isu-isu yang boleh menaikkan rasa marah dibangkitkan, supaya isu-isu sebenar yang melanda ditolak ketepi dan tidak disedari oleh orang ramai.

Fikirkan, SM - Malaysia adalah satu negara yang mempraktikkan "free market" atau pasaran bebas. Kalau ingin disekat barangan luar, tak ubah dari negara komunis. Oleh itu, adakah Freddie ingin mengamalkan polisi-polisi berbau komunis untuk membantu para artis tanahair? Wajarkah taktik ini yang dipilih untuk kemajuan industri muzik kita?

Freddie juga sudah tahu bahawa Malaysia sebagai negara majmuk mempunyai artis berbilang bangsa yang menghasilkan muzik dalam pelbagai bahasa. Kenapa hanya artis Melayu sahaja yang diperjuangkan oleh Freddie? Kalau dikatakan artis Melayu yang perit kerana album tak laris, perit lagi artis-artis tempatan yang menghasilkan seni mereka dalam bahasa Inggeris, bahasa Tamil dan bahasa Cina.

Jikalau Freddie nak pertahankan langkah ini sebagai langkah awal dan kemudiannya baru nak membantu artis-artis bangsa lain, kenapa tak boleh dibuat sekaligus dalam masa yang sama?

Jawapannya ialah kerana Freddie memerlukan artis Melayu sebagai ahli majoriti Karyawan dan undian mereka supaya beliau boleh terus mempertahankan kedudukannya di industri muzik kita yang semakin tidak memerlukan ide-ide kolot yang ingin dipraktikkan olehnya.

Tanyalah Abang M.Nasir - apakah agaknya yang akan terjadi kepada dunia muzik Melayu di rantau ini jika langkah ini dilaksanakan? Setujukah Abang Nasir dengan laungan Freddie ini yang saya anggapi sebagai melepaskan batuk ditangga?

Apa gunanya kita mengambil langkah memaksa stesyen radio Bahasa Malaysia memutarkan lagu-lagu tempatan walhal syarikat-syarikat rakaman sendiri tidak menghasilkan lagu atau album yang mencukupi untuk memuaskan keperluan setiap satu stesyen yang mengamalkan format-format yang berbeza?

Bagaimana dengan Best 104 yang kini terpaksa memutarkan lagu-lagu keroncong dari seberang kerana TIADA LAGI artis Malaysia yang dapat merakamkan album atau lagu keroncong? Nak dipaksa ratio 90:10 konon - adakah Freddie akan memaksa pula bebudak AF untuk merakamkan lagu-lagu keroncong pula untuk memastikan Best 104 dapat memenuhi ratio yang tak masuk akal ini?

Agaknya kalau Freddie kembali menjadi Pengetua AF7 - banyaklah pulak lagu-lagu keroncong yang terpaksa pelajar AF persembahkan dalam setiap konsert, kan!

Bagaimana pula dengan radio Ikim? Cukupkah album-album nasyid tempatan untuk diputarkan selama 24 jam sehari?

Bagaimana pula dengan Sinar FM? Lagu-lagu 70-an dan 80-an yang dianggap retro dan popular banyak juga yang dihasilkan oleh artis-artis seperti Bob Tutupoli, Hetty Koes Endang, Emilia Contessa, D'Lloyds, Broery Marantika, Diana Nasution dan sebagainya - nak paksa Sinar FM tukar format ke untuk memastikan ratio ini dipatuhi?

Dan...soalan cepu emas bagi Encik Freddie yang walaupun dulu saya hormati kini saya ragui...setiap satu stesyen radio yang ingin dipaksa oleh beliau adalah stesyen swasta, yang memerlukan bilangan pendengar yang agak besar untuk menarik pengiklan, kerana itulah yang menjadi penentu wang rinngit yang diperolehi untuk "survival" mereka.

Jika stesyen-steyen tersebut tidak lagi mendapat sambutan dari pendengar kerana pendengar DIPAKSA untuk mendengar lagu-lagu tempatan 90% setiap jam - dan jumlah pendengar makin merosot bagi semua stesyen di Malaysia - adakah Freddie akan membantu stesyen-stesyen tersebut menanggung kerugian? Takkanlah saudara Freddie kita begitu ketinggalan zaman hinggakan beliau tidak sedar bahawa jika disekat muzik popular di corong radio, masih ada lagi MP3 dan iPod untuk memenuhi citarasa pendengar???

Atau adakah saudara Freddie kita masih lagi terfikirkan dekad-dekad sewaktu beliau manjadi ahli Revolvers, dimana hanya radio menjadi pemangkin industri muzik tanahair?

Sedihnya bila ada pemimpin yang ketinggalan zaman. Sedihnya bila ada pemimpin yang tidak tahu berfikiran secara strategik dan tidak membuat kajian terdahulu untuk membina langkah yang positif dan berkesan untuk semua pihak.

Wahai ahli-ahli Karyawan - jangan begitu konfiden bahawa langkah yang dicadangkan ini akan memastikan periuk nasi anda bertambah. Putaran yang dipaksa bukannya pemasti kelarisan sesebuah album. Rakyat Malaysia kini cerdik pandai dan mempunyai pelbagai pilihan - patriotik atau tidak bukanlah persoalannya - kualiti yang menjadi penentu, bukannya jenic IC yang dipegang oleh seseorang artis.

Ratio yang tidak rasional - itukah tindakan yang diilhami Freddie?

Pencinta Muzik

Pandangan sultanmuzaffar :