Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Teater Air Con Kembali Untuk Musim Kedua di KLPAC

Entri oleh sultanmuzaffar 13 April 2009


Teater "Air Con" yang menerima lapan pencalonan di 7th BOH Cameronian Arts Awards bakal dipentaskan kembali di Kuala Lumpur Performing Arts Centre tidak lama lagi.

Teater arahan aktivis teater Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi itu menerima pencalonan dalam kategori Pengarah Terbaik, Penataan Cahaya Terbaik (Loh Kok Man), Rekaan Set Terbaik (Melissa Teoh), Muzik dan Audio Terbaik (WASP Studios), Kostum Terbaik (Shegar), Pelakon Utama Terbaik (Amerul Affendi), Pelakon Pembantu Terbaik (Ryan Lee Bhaskaran) dan Skrip Asal Bahasa Malaysia Terbaik (Shanon Shah).

Teater itu mengisahkan tentang pelajar sebuah sekolah elit, Sekolah Menengah Sultan Ahmad Tajuddin Mukarran Shah iaitu Chep (Amerul Affendi) dan Burn (Zahiril Adzim) yang juga merupakan pelajar terbaik di sekolah tersebut. Burn, anak emas sekolah itu bersahabat baik dengan Chep seorang pelajar senior yang digeruni pelajar lain baik di sekolahnya mahu pun di padang hoki.

Sekolah itu yang dihormati kerana pencapaian akademik serta rekod sukan yang cemerlang digemparkan dengan penemuan mayat seorang pelacur di trek keretapi berdekatan sekolah itu sekaligus membongkar dunia buli, jenayah seks dan keganasan yang berlaku di sekolah tersebut.

Dua sahabat baik, William dan Asif berhadapan dengan pelbagai laluan sukar menempuh alam remaja dipaksa untuk berhadapan dengan kesan akibat pembunuhan tersebut. Namun siapakah yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu ?


Subteks teater itu sangat menarik untuk ditelah dan diterjemah. Dalam situasi politik yang semakin memuncak konfliknya, teater ini melihat kelompok kecil permasalahan remaja di sekolah dan mengingatkan kita agar tidak lupa apa yang berlaku di sekitar negara kita sendiri.

Air Con mencabar dan menyiasat budaya hipokrasi yang sering menjadikan remaja sebagai kambing hitam di waktu-waktu genting. Ditulis oleh Shanon Shah, juga pemenang anugerah Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Album AIM dan diarahkan oleh Jo Kukathas dan Zalfian Fuzi, teater ini menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Dara Othman, Firdaus Che Yahaya, Hazarul Hasnain, Nick Davis, Ryan Lee Baskaran dan Zahiril Adzim (Kami The Movie) serta dibantu oleh Nam Ron (aktivis teater terkenal), Chew Kin Wah dan Naa' Murad.

Saya berpeluang menyaksikan sesi latihan teater ini minggu lalu dan pastinya tidak sabar untuk menontonnya buat kali yang ke entah berapa kali. Ulasan {SPOILER ALERT} pementasan musim pertama {SPOILER ALERT} telah pun saya tulis di blog ini. Jika anda berhasrat untuk menonton teater ini, pastikan anda membeli tiket dengan segara.

Teater ini akan dipentaskan mulai 15 hingga 19 April 2009 pada pukul 8.30 malam (Khamis hingga Sabtu) dan persembahan petang pada pukul 3 petang (Sabtu dan Ahad).

Tiket berharga RM47 dan RM27 untuk pelajar dan warga emas dengan ID)

Namun demikian, persembahan pada 19 April merupakan Malam Persembahan Amal yang mana tiket menyaksikan pementasan itu boleh dibeli dengan derma minima RM100. Sila hubungi 017-871 6802 untuk maklumat lanjut.