Saya sebenarnya puas hati setelah pertama kali menonton filem ini sewaktu tayangan perdana filem ini di Festival Filem Malaysia ke 22 baru-baru ini. Saya harus membuat pilihan pada hari tersebut, antara Papadom atau pun Pisau Cukur. Oleh kerana Papadom bertanding di festival itu maka saya pilih filem tersebut.
Saya juga mahu melihat apakah filem itu benar-benar hebat untuk menjadi saingan filem arahan Yasmin Ahmad, Talentime. Setelah keluar dari pawagam, saya berpuas hati. Saya beritahu pada Afdlin sendiri yang filem itu merupakan saingan paling dekat untuk Talentime. Antara dua filem itu, siapa pun menang tidak kisah pada saya kerana kedua-dua filem itu ada kekuatan masing-masing.
Persaingan di Festival Filem Malaysia ke 22 telah pun berakhir dan Papadom muncul sebagai Filem Terbaik, Afdlin Shauki menang Pelakon Lelaki Terbaik, Liyana Jasmay menang Pelakon Wanita Terbaik dan Pacai menang Skor Muzik Asal Terbaik.
Saya suka dengan hasil arahan Afdlin kali ini. Nampak kematangannya berbanding filem-filemnya yang terdahulu seperti Buli, Buli Balik dan Baik Punya Cilok. Afdlin sangat unik kerana boleh buat penonton ketawa dan menangis dalam sekelip mata.
Saya saran anda untuk menonton filem Papadom yang akan mula ditayangkan mulai 8 Oktober ini di pawagam seluruh Malaysia.
apakata kau tengok untuk kali ke-5? huhu!