Saya menerima beberapa email dan komen tentang artikel yang tersiar di dalam weblog saya dua hari lepas. Artikel yang saya siarkan bukan tulisan saya. Ia ditulis oleh seorang warga asing yang menetap di Malaysia di dalam weblognya Malaysia Plain: A weblog about life / politics/ impressions of Malaysia through the eyes of a foreigner. Ada betulnya dan ada salahnya tentang tulisan tersebut. Saya sebagai pembaca artikel tersebut terpanggil untuk menyiarkannya di weblog saya agar dapat memberikan pilihan bacaan kepada pembaca saya. Kita sebagai pembaca sewajarnya menerima dengan fikiran yang terbuka dan tidak terus membuat tuduhan melulu tanpa usul periksa. Rasanya tidak salah jika kita memberikan pandangan kita sendiri melalui saluran yang betul kerana tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang tidak boleh dikritik.
Hari ini merupakan hari terakhir beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. 31 Oktober 2003 merupakan satu tarikh yang pasti tiba walaupun tidak ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Hari ini ia tiba. Rasanya masih terlalu baru saja berlalunya tarikh keramat 22 Jun 2003 sewaktu beliau membuat pengumuman yang menggemparkan seluruh negara tentang perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.
Beliau menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia pada Julai tahun 1981. Tatkala saya baru tujuh (7) bulan memasuki Darjah 1. Sehingga hari ini beliau masih lagi kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dua puluh dua tahun (22) bukan satu masa yang singkat. Terlalu panjang untuk seorang Perdana Menteri. Di Jepun, nama Perdana Menteri yang saya masih ingat hanyalah Yasuhiro Nakasone, yang terkemudian daripadanya saya gagal untuk mengingati nama-nama mereka kerana jawatan Perdana Menteri mereka silih berganti kerana terlalu banyak pilihanraya diadakan kerana undi tidak percaya. Keadaan di Malaysia jauh lebih stabil situasi politiknya. Ada geruh seketika tetapi berjaya ditatang dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Malaysia.
Saya amat mengkagumi kebijaksaan beliau mentadbir sebuah negara bernama Malaysia. Malaysia yang satu ketika dahulu tidak dikenali di dalam peta dunia, menjadi begitu terkenal. Semuanya kerana Dr. Mahathir. Suara lantang Malaysia kedengaran bukan sahaja di persidangan-persidangan besar bahkan di persidangan United Nation. “Orang Malaysia sudah sememangnya kecil, oleh itu kita kena bersuara lantang. Agar suara kita didengari dan orang sedar wujudnya satu bangsa bernama Malaysia”. Kewibawaan beliau terserlah lantas beliau digelar Wira Dunia Ketiga. Satu perkara yang paling saya tersentuh tentang Dr.M tentu sekali pesanannya kepada Pak Lah agar terus memberi bantuan mana yang terdaya oleh kita kepada negara-negara yang memerlukan bantuan. Kita mesti sentiasa ingat bahawa Malaysia dulu pernah mundur dan tidak mampu sama seperti mereka sekarang. Oleh itu kita jangan sombong.
Pengalaman bertentang mata dengan Dr.M
Saya pernah beberapa kali menemui beliau. Seingat saya sekitar tahun 1995. Kali pertama sewaktu beliau singgah sebentar di Universiti tempat saya belajar untuk berbuka puasa dan bersembahyang Mahgrib dan Isyak bersama beberapa pelajar Melayu yang ada. Saya mengambil kesempatan untuk bersalam dengan beliau dan isteri beliau setelah selesai majlis. Itulah pengalaman pertama saya bertemu dengan beliau. Datin Seri Dr Siti Hasmah sempat bertanya saya berasal dari mana. Dr.M sempat memberi nasihat “belajaq rajin-rajin”.
Itulah antara beberapa ketika yang dapat saya simpan dalam kenangan bertentang mata bersama Perdan Menteri Malaysia.
Pada pendapat saya, pengganti beliau iaitu Pak Lah mampu memikul beban yang ditinggalkan oleh Dr.M untuk beliau dengan baik. Apa yang perlu dilakukan oleh Pak Lah hanyalah mengekalkan apa yang ada sekarang untuk sementara waktu. Dasar-dasar luar negara perlu diperbaiki dan sebagai suara kepada negara dunia ketiga, Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih besar untuk manafaat bersama. Rasanya ini tidak menjadi masalah kerana Pak Lah ketika menjadi Menteri Luar merupakan seorang yang amat berkaliber. Nasihat Dr. Mahathir semalam “tiada ucapan terima kasih yang terbaik buatnya melainkan melihat Melayu berjaya di masa akan datang”. Saya mahu berjaya sebagai seorang penulis. Saya mahu berjaya sebagai seorang yang arif tentang dunia IT. Saya tidak mahu meletakkan diri saya sebagai Perdana Menteri walaupun ada cabaran yang datang kerana bidang politik bukan bidang saya. Saya hanya mahu menjadi seorang penulis dan pakar IT yang berjaya. Itu sudah cukup buat saya mengucapkan terima kasih saya kepada Dr. Mahathir.
Perjuangan Yang Belum Selesai
Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat,
dari melihat bangsaku dijajah.
Tidak ada yang lebih menyedihkan,
dari membiarkan bangsaku dihina.
Air mata tiada ertinya,
sejarah silam tiada maknanya,
sekiranya bangsa tercinta terpinggir,
dipersenda dan dilupakan.
Bukan kecil langkah wira bangsa,
para perjuang kemerdekaan,
bagi menegakkan kemulian,
dan darjat bangsa.
Selangkah beerti mara,
mengharungi sejuta dugaan.
Biarkan bertatih,
asalkan langkah itu yakin dan cermat,
bagi memastikan negara,
merdeka dan terpelihara.
Air mata sengsara,
mengiringi setiap langkah bapa-bapa kita.
Tugas kita bukan kecil,
kerana mengisi kemerdekaan,
rupanya lebih sukar,
dari bermandi keringat dan darah menuntutnya.
lagi pula apalah ertinya kemerdekaan,
kerana bangsaku asyik mengiya dan menidakkan,
mengganguk dan membenarkan,
kerana sekalipun bangganya negara,
kerana makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata,
dan meminta-minta di negaranya sendiri.
Bukan kecil tugas kita,
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita,
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya,
bukankah sejak zaman berzaman,
mereka menjadi pelaut, pengembara,
malah penakluk terkemuka.
Bukankah mereka sudah mengembangkan sayap,
menjadi pedangang dan peniaga,
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang.
Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera,
menjajah dunia yang tak dikenali.
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau,
yang tidak mengenal erti takut dan kematian.
Di manakah silap hingga bangsaku,
merasa begitu kecil dan merendah diri.
Apakah angkara penjajah,
lalu bangsaku mulai melupakan,
kegemilangan silam,
dan sejarah gemilang membina empayar.
Tugas kita belum selesai rupanya,
bagi memertabat dan memuliakan bangsa,
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati.
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita,
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya,
tetapi mengangkat darjat dan kemulian,
buat selama-lamanya.
Hari ini, jalan ini pasti berliku,
kerana masa depan belum menjanjikan surga,
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.
Perjuangan ini belum selesai,
kerana hanya yang cekal dan tabah,
dapat membina mercu tanda,
bangsanya yang berjaya.
Dr. Mahathir bin Mohamad
Malam Puisi Utusan, 14 Mei, 1996
Jika anda ingin menyampaikan ucapan untuk Dr. Mahathir Mohamed, sila isi komen anda.
0 komen