Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 March 2004

Bintang Hati : Filem Ringan untuk Penonton tetapi Berat untuk Artis

Syakila seorang penyanyi yang sedang meningkat naik dan mempunyai seorang pengurus peribadi bernama Tasha . Komitmet dan disiplin Syakila menimbulkan masalah terhadap Tasha dan menjadikan mereka tidak sefahaman . Kontroversi terjadi bila Syakila tampil dengan album terbarunya yang bertajuk 'Sesedang'dimana pihak media curiga dengan kelainan suara Syakila dalam album tersebut terutama Izad (lakonan Anuar Zain) iaitu wartawan majalah hiburan.

Percintaan tiga segi sekali lagi dihidangkan kepada penonton filem Malaysia. Yang menariknya, hanya dua pelakon sahaja yang menjadi fokus percintaan tersebut. Amy Mastura memegang dua watak, sebagai Syakila seorang penyanyi yang agak mengada-ada tetapi popularitinya semakin meningkat naik serta baru mengenal dunia glamor dan sebagai Tasha pengurus kepada Syakila yang lebih sopan dan keMelayuan sifatnya. Anuar Zain (Izad) yang berperanan sebagai seorang wartawan hiburan baru yang ditugaskan untuk mendapatkan informasi berkenaan Syakila.

Malangnya sikap besar kepala Syakila menyebabkan penerbitan album tertangguh dan syarikat rakaman terpaksa menghadapi masalah besar yang lain. Sebagai jalan penyelesaian, Jun (penerbit album Syakila) telah menggunakan suara Tasha menggantikan suara sebenar Syakila dalam lagu terbarunya yang bertajuk Sesedang untuk menyelamatkan keadaan.

Lagu Sesedang menjadi popular dan sering menduduki carta terbaik di radio. Syakila terus dibuai fantasi, namun tidak semuanya indah apabila syarikat rakaman meminta beliau dan pasukannya pergi menjelajah seluruh negara untuk tujuan promosi album tersebut. Lebih memburukkan keadaan Izad turut menyertai tour tersebut, menyebabkan Tasha dan Jun seboleh-bolehnya cuba untuk menyembunyikan rahsia tersebut daripada terbongkar.

Sebuah romantik komedi ringan ini hanya bercerita tentang dunia artis yang sering digembar-gemburkan sebagai terlalu indah tetapi sebenarnya terlalu palsu. Filem ini saya sifatkan lebih bersahaja dan sekadar menampilkan video muzik lagu-lagu yang enak dan menghiburkan. Imej pertama filem ini sahaja sudah menampilkan Amy Mastura menyanyikan lagu Bintang Hati serta sebuah lagu duet terbaru bersama Anuar Zain bertajuk Andai. Mungkin agak ringan kepada penonton tetapi sebenarnya persoalan yang berat untuk para artis. Sindiran-sindiran sinis disampaikan dengan jujur oleh Aziz M. Osman mungkin setelah melalui pelbagai pengalaman sebenar sepanjang bergelar artis.

Filem ini sebenarnya cuba untuk menyelongkar dunia artis yang penuh pura-pura. Dalam keadaan terdesak, penerbit album akan melakukan apa sahaja. Dengan menjadikan untung sebagai paksi, segala sumber yang mampu menjanakan keuntungan akan dikerah sepenuh tenaga. Turut disingkap ialah sikap artis itu sendiri terutamanya yang tiada disiplin, dengki-mendengki, perang sesama artis, penggunaan bahasa Inggeris yang tunggang-langgang, tenggelam populariti selepas muncul dengan satu album dan fenomena terbaru di mana penyanyi bertukar angin dengan terjun ke dunia lakonan telemovie VCD ketika populariti mula menjunam. Turut menjadi mangsa Aziz ialah disiplin penonton yang menggunakan handphone sewaktu tayangan.

Saya menonton filem ini kerana Amy Mastura dan Anuar Zain. Promosi yang dilakukan dengan menayangkan muzik video “Andai” saya kira telah berjaya menarik minat saya untuk menonton filem ini. Amy Mastura telah meletakkan “Trauma” sebagai benchmark lakonan beliau untuk tahun ini sekurang-kurangnya. Dua watak yang dibawakan oleh Amy Mastura banyak dibantu dengan teknik suntingan yang baik seolah-olah Amy menukar dua perwatakannya dalam sekelip mata. Amy saya kira telah berjaya menghidupkan watak Syakila sehingga menimbulkan mampu menimbulkan kebencian dan rasa meluat kepada penonton. Namun wataknya sebagai Tasha lebih biasa dan tidak banyak beza dengan perwatakannya yang sebenar.

Anuar Zain pula telah menonjolkan mutu lakonan yang agak baik sebagai seorang yang pertama kali diberikan watak utama. Ekspresi wajah beliau kena dengan watak tersebut yang agak naïve pada mulanya dan kemudian menjadi matang di penghujungnya.

Jika anda inginkan sebuah filem perlancongan, ini filemnya. Tour bergerak dari Kuala Lumpur ke Perak kemudian ke Pulau Pinang dan kemudian ke Kedah dan terus ke Kelantan serta Terengganu. Singgah sebentar di Kuantan dan terus ke Johor dan Melaka sebelum ke Negeri Sembilan dan balik semula ke Kuala Lumpur. Dapat juga melihat negara sendiri yang tidak kurang indahnya walaupun imej yang dipaparkan agak cliche. Tidak perlu buat penggambaran jauh-jauh sehingga New Zealand kalau hasilnya tidak seberapa.

Satu perkara yang menarik yang wajar saya sebutkan di sini ialah penggunaan peribahasa dalam imej-imej yang dilakarkan di atas layar. Beberapa adegan yang jelas dimetaforakan dengan peribahasa Melayu untuk menguatkan mesej yang ingin beliau sampaikan. Adegan sewaktu Syakila amat gembira apabila lagunya Sesedang mendapat tempat pertama dalam carta lagu dan imej terkemudian dipaparkan Tasha yang sedang melihat keseronokan tersebut dengan terdapat sebuah patung monyet bergantungan di cermin bas. Adegan yang berikutnya adalah sewaktu Izad diberi kata dua oleh Syakila sama ada mengikutnya atau menerima saman dari beliau. Imej yang muncul selepasnya adalah sekumpulan kerbau di dalam lumpur.

Persaingan Syakila dan Jelly di penghujung cerita jelas membangkitkan nostalgia Perang Ratu Filem sekitar awal 90an.

Jika filem ini mengeluarkan soundtracknya sendiri sudah pasti saya orang pertama yang akan membelinya. Lagu-lagu yang termuat dalam filem ini merupakan lagu-lagu yang agak popular. Bintang Hati, Keabadian Cinta (versi Anuar Zain dan Amy Mastura), Keabadian Cinta unplugged, Selintas Kesan (lagu dari filem Idola), Sesedang, Andai (lagu duet Anuar Zain dan Amy Mastura yang terbaru), Aladdin dan mungkin sebuah lagu baru kumpulan Spider yang tidak saya ketahui tajuknya. Jika kita amati lirik lagu Sesedang, mesej yang ingin disampaikan amat jelas. Kesederhanaan itu adalah yang paling penting.

Saya tidak kata filem ini terlalu bagus, ia hanya sebuah filem yang sekadar menghiburkan. Filem ini sekurang-kurangnya tidaklah ia menidakkan tahap intelek penonton. Saya senang menerima filem sebegini. Kadang-kadang bila terlampau banyak guna visual dan guna bahasa filem, penonton tidak faham pun tidak guna juga.

Rating: 3/5 bintang

Nota: Sahabat, terima kasih kerana ikut sama menonton.