Ulasan Album Vince oleh sultanmuzaffar
Vince Online
yahoogroups vincent_chong
Akhirnya, yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Setelah hampir enam bulan kita menunggu, akhirnya album sulung dari Juara sulung Akademi Fantasia kini berada di pasaran. Album ini menarik kerana dari dua belas lagu yang terdapat di dalam album ini, lapan lagu dicipta oleh Vince. Saya menyukai Tak Ingin Kehilanganmu. Kenapa saya suka lagu itu ? Pada saya lagu ini lebih outstanding berbanding lagu-lagu lain dalam album ini. Kehebatan beliau ada pada mutu vokal beliau dan pasangan duet beliau iaitu Ferhad dan Nur Fatima. Kepada peminat Vince, penantian ini sungguh berbaloi. Hasilnya boleh dibanggakan dan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki.
Track 1: Tak Ingin Kehilanganmu
Lagu ini merupakan lagu yang beliau nyanyikan sewaktu Kemuncak Konsert Akademi Fantasia. Susunan muzik yang jauh berbeza dengan susunan asal sewaktu persembahan Konsert tersebut. Susunan muziknya kali ini lebih segar. Saya menyukai echo yang terdapat pada lagu ini. Meletakkan lagu ini di Track 1 merupakan satu langkah yang bijak. Ingatan pendengar terus dibawa ke zaman kegemilangan Akademi Fantasia.
Track 2: Mimpi Yang Pasti
Kali pertama saya mendengar lagu ini saya seperti pernah mendengar lagu ini. Apabila mendengar Track 9 barulah saya sedar yang lagu ini merupakan lagu Hold On To Your Dreams dalam Bahasa Melayu. Saya lebih menggemari lagu ini dalam versi Bahasa Inggeris kerana liriknya lebih jujur. Ini berbeza dengan lirik Bahasa Melayu, lebih-lebih lagi apabila direct translation digunakan.
Track 3: Mengapa Harus Cinta ?
Kali pertama lagu ini diperdengarkan di ERA saya tidak berapa menggemarinya. Lagu ini mengambil masa yang agak lama untuk membuatkan pendengar menyukainya. Sebuah lagu balada yang simple, tidak banyak perubahan yang dibawa oleh lagu ini kecuali kehebatan penyanyinya tatkala beliau membawakan lagu ini. Saya harus akui Vince bijak memanipulasi kelebihan vokal beliau. Kekuatan utamanya ialah falsetto dan beliau telah menggunakannya dengan sebaik-baiknya.
Track 4: Dugaan Cinta (bersama Nur Fatima)
Petikan piana pembukaan lagu ini berirama mirip-mirip Fur Elise ciptaan Ludwig Van Beethoven. Lagu yang biasa saya dengar pada kotak muzikal. Pasangan duet beliau Nur Fatima telah melengkapkan keharmonian vokal pada lagu ini. Saya dapat merasakan ada keseimbangan vokal mereka berdua untuk lagu ini. Masing-masing saling melengkapi dan bukannya saling menunjukkan kehebatan sendiri. Saya berani menaruh keyakinan nama Nur Fatima akan lebih menyinar dengan lagu duet ini.
Track 5: Ku Kembali
Sebuah lagu yang agak senang telinga saya menerimanya. Sebuah lagu balada yang ringan. Beliau menyanyikan lagu ini dengan baik. Saya menyukai lirik lagu ini. Bila difikirkan kembali, hampir ke semua lagu yang ada di dalam album ini berentak agak perlahan dan lebih berjiwa balada.
Track 6: Andai Kau Mengerti
Saya memang menyukai bunyi Piano. Lagu seperti ini sudah biasa kita dengar. Sebuah lagu yang agak melankolik dan jiwa jiwangnya terlalu kuat. Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan ini saya kira lebih baik dari lagu Dambaan Pilu. Vokal Vince lebih dikawal dengan baik tanpa perlu menekan pada bahagian-bahagian tertentu. Seperti lagu Mengapa Harus Cinta ?, lagu ini juga akan mengambil masa yang agak lama untuk popular.
Track 7: Lepaskan
Saya kurang menggemari lagu ini. Mungkin kerana lagu Tak Ingin Kehilanganmu telah menggunakan konsep echo dan saya merasakan lagu ini sekadar mencukupkan kuota. Lagu ini pengaruh Innuendonya agak kuat. Satu percubaan yang baik oleh Vince selaku pencipta lagu ini dan M Zulkifli selaku penulis lirik.
Track 8: Pernah (bersama Ferhad)
Apakah hasil yang boleh diperoleh sekiranya digabungkan Vince dan Ferhad pada satu lagu ? Hasilnya lebih hebat dari apa yang telah dirakam oleh penyanyi asal lagu itu sendiri. Sekali lagi susunan vokal pasangan duet ini telah dirancang dengan teliti dan berhati-hati.
Track 9: Hold On To Your Dreams
Lagu penutup Diari Akademi 09-05 ini akan terus menjadi kenangan kepada semua penonton Akademi Fantasia. Lagu yang biasa kita dengar lebih bersifat akustik yang dimainkan dengan petikan gitar oleh Vince. Kali ini dengan susunan muzik yang lebih segar, lagu ini mampu menarik perhatian pendengar.
Track 10: Killer Smile (bersama Reefa)
Sebuah lagu yang agak funky. Satu kelebihan Vince adalah kebolehan mencipta lagu dan kelebihan itu membolehkan beliau mencipta mengikut seleranya. Beliau sebenarnya lebih selesa dengan lagu yang berentak lebih perlahan dan lagu Killer Smile hanya sebagai mempelbagaikan rentak lagu dalam album ini. Masih banyak yang boleh diperbaiki dalam lagu ini.
Track 11: Mengapa Harus Cinta ? (Akustik)
Best !
Track 12: Ku Kembali (Akustik)
Best sekiranya lagu Hold On To Your Dreams dibuat versi akustik.
Kulit Album
Saya kurang berpuas-hati dengan hasil pada kulit album sulung Vince. Rakaman foto yang diambil kurang menonjolkan profesionalisme. Pose yang dihasilkan tidak menarik. Selain daripada itu, keaslian wajah Vince sedikit sebanyak pudar kerana solekan yang berlebihan. Saya tentunya telah terbiasa melihat Vince tanpa solekan seperti di dalam Diari Akademi dan tentunya akan membuat perbandingan. Ketiadaan lirik lagu yang ada juga menyukarkan pendengar.
Mungkin terlalu awal untuk meneka tetapi saya dapat merasakan Vince bakal dicalonkan untuk Artis Baru Terbaik. Untuk Persembahan Vokal Lelaki Terbaik rasanya masih terlalu awal, sekiranya terpilih pun untuk penyertaan tahun 2004 setelah saingannya tidak sehebat mana. Sekiranya bintang Akademi Fantasia yang lain diberi peluang untuk merakamkan album dan diberikan team penerbitan album yang baik, setidak-tidaknya akan memperbanyakkan pilihan untuk calon-calon untuk Anugerah Industri Muzik yang akan datang.
Rating: 3.75/5 bintang
0 komen