Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 December 2004

weblog TerbaikGathering gengjurnal.net IV
Dewan Sri Pulasan, Kolej Keenam
Universiti Putra Malaysia

Ini merupakan gathering gengjurnal.net kali keempat. Kali pertama saya menyertainya adalah pada tahun lepas di Restoran Nelayan, Tasik Titiwangsa. Pengalaman pertama saya bertemu mereka sungguh membosankan walaupun saya memenangi Anugerah Khas Juri pada malam tersebut.

Majlis yang sepatutnya bermula jam 2.00 petang, hanya bermula pada jam 2.40 petang. Sekitar waktu tersebut, Malaysia dilanda tsunami yang menyerang sebahagian bumi Asia. Rata-rata tetamu yang hadir tidak sedar akan kejadian tersebut yang berlaku disebalik kemeriahan gathering kali keempat itu.

Saya suka dengan keserasian sepasang pengacara majlis yang digandingkan pada petang itu iaitu Attok dan Tipah. Saya lebih terpegun mendengar struktur bahasa yang digunakan. Penuh beradat dan disulami bunga-bunga bahasa untuk menyerlahkan lagi keindahan bahasa Melayu. Saya menjangkakan Fajar yang menulis skrip untuk mereka berdua. :) Rupa-rupanya skrip tersebut telah ditulis oleh Attok. Macam boleh leka mendengar satu-satu perkataan yang dilafazkan oleh mereka. Mereka pula siap turun mendekati tetamu di bawah lalu mendekatkan lagi tetamu dengan majlis tersebut. Sekiranya anda tidak merasainya tidak mengapa, kerana saya merasainya. Majlis itu menjadi begitu mesra tetamu, saya rasa.

Gathering tahun depan bolehlah dipanggil artis AF berganding dengan artis GJ. Tidak salah rasanya bergabung aktiviti dengan artis AF kerana pelbagai aktiviti boleh dibuat. Cadangan ini bukan dibuat kerana artis GJ nyanyi tidak sedap. Keberanian untuk naik ke pentas itu yang wajar dipuji. Jika boleh, gengjurnal tidak hanya merancang aktiviti yang hanya bercorak perkelahan, makan, bowling tetapi juga aktiviti yang boleh memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Kalau setakat nak berkelah saya agak segan sedikit. :)

Akhirnya video pendek yang menjadi perbualan ketua di pejabat saya dapat saya tonton. Ini rupanya video yang bercerita tentang promosi program MBA bertajuk "Nasi Lemak". Saya belum berpeluang untuk menonton CD yang dihadiahkan oleh Tok Rimau. Yang pastinya saya boleh tersenyum dengan video pendek bertajuk "Suatu Masa".

Anugerah Projek Terbaik – http://gangguan.blogspot.com
Kemenangan berpihak kepada Gangguan Tekstual 1,2 dan 3. Sebenarnya saya kagum dengan projek ini. Perancangan dan penghasilannya dibuat dengan bijak tetapi bersistem. Setiap penulis jurnal berpeluang untuk menerbitkan hasil tulisan mereka di dalam sebuah buku yang mereka sendiri cetak dan terbitkan. Kebijaksanaan Tok Rimau mengeksploitasi keringat penulis jurnal untuk sebenarnya sama-sama terlibat dalam penghasilan produk akhirnya telah membuahkan hasil yang bukan sahaja dapat dinikmati oleh kalangan pembaca jurnal yang boleh melayari internet tetapi juga mereka yang tidak mempunyai talian internet. Sekurang-kurangnya penulisan di blog dapat dinikmati oleh pelbagai latarbelakang masyarakat.

Anugerah Fotoblog Terbaik – http://galeri.airiz.net
Sebenarnya di dalam gengjurnal punya ramai jurufoto yang hebat-hebat. Kemampuan mereka berbicara melalui gambar adakalanya lebih menyampaikan makna foto yang telah diambil. Dulu-dulu saya suka fotoblog yang dibuat oleh Rudy. Sekarang saya suka fotoblog nizamzakaria, walaupun jarang dikemaskinikan dan fotopages shaliza yang kini berada di UK. Saya pernah melayari blog airiz tetapi tidak fotoblognya. Setelah mengetahui kemenangannya, saya melayarinya sebentar tadi. Banyak juga gambar yang menarik dan diambil dengan baik. Melihatkan gambar-gambar yang menarik ini sewajarnya gengjurnal merancang satu pameran fotoblog terpilih di Balai Seni Lukis Negara ataupun Istana Budaya. Untuk mencari koleksi rasanya tidak sukar kerana kita sendiri banyak koleksi dari pertandingan Lumba Foto yang dibuat setiap bulan. Satu kekurangan dalam fotoblog yang cantik-cantik ini ialah tidak disertakan sekali butiran setting yang digunakan untuk mengambil gambar tersebut. Ia amat berguna untuk jurufoto amatur yang lain mencubanya.

Contoh: Olympus C8080, ISO 50, f.2.8, 1/160 sec oleh TV Smith

Anugerah Catatan Terbaik - http://www.encikkhairul.cjb.net/
Saya suka blog ini. Rekabentuknya sungguh biasa. Tetapi isinya apabila dibaca mampu menyentap hati. Analogi yang digunakan merupakan apa sahaja yang berlaku di persekitaran kita. Kalau sudah semua catatannya baik, tahun depan boleh tercalon untuk anugerah yang lebih baik pula.

Anugerah Blog Inggeris Terbaik - http://donababygurl.blogdrive.com/
Bukan bidang saya untuk menilai Blog Inggeris Terbaik. Namun demikian, blog donababygurl ini boleh saya sifatkan jujur dalam menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran beliau. Mungkin di luar sana ada lebih banyak blog berbahasa Inggeris yang lebih baik, cuma mereka bukan gengjurnal sahaja. Antara blog berbahasa Inggeris yang saya suka baca ialah blog khalilur dan leen.

Anugerah Pakaian Berseri – Tipah dan Walids
Saya merupakan penaja bagi anugerah ini. Namun demikian, hadiah-hadiah pemenang semuanya ditaja juga oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan Akademi Fantasia. Sudah penajanya pun peminat fanatik Akademi Fantasia, maka hadiah-hadiah tajaannya pun berkait-rapat dengan Akademi Fantasia juga. Bagi pemenang perempuan yang dimenangi oleh Tipah beliau berjaya mendapat voucher RM50 di Butik Zar Jentayu kepunyaan bintang Akademi Fantasia iaitu Fitri. Selain daripada itu, saya turut menghadiahkannya sebuah sling bag Akademi Fantasia yang saya sendiri malu nak pakai. Sling bag tersebut amat besar ertinya kepada saya kerana ia merupakan cenderamata yang dihadiahkan kepada saya kerana kemunculan saya dalam rancangan Imbasan Akademi Fantasia episod IV. Sebelum terlupa beg kertas itu juga merupakan cenderamata yang diterima sewaktu Majlis Berbuka Puasa bersama Adam. Agar tidak beg kertas tersebut menjadi agen pengumpul habuk di dalam bilik saya, maka saya turut memasukkan beg kertas itu dalam senarai hadiah. Macam tajaan Adam lah kiranya.

Untuk pemenang lelaki pula beliau berjaya memenangi CD EVO 04 siri 01, 02 dan 03. Lengkap satu siri. Saya tidak membelinya, tetapi ia diberikan oleh Maestro. Jangan risau, CD tersebut tiada cop Promotional Copy. Ada satu CD yang berlainan terselit dalam pakej tersebut iaitu CD MAKNA yang saya dapat sewaktu Pelancaran album Erti Pertemuan Ning Baizura di Planet Hollywood. Balutnya belum lagi dibuka. Lagi satu yang unik, ada satu sarung kusyen bersulamkan tandatangan Kaer. Beg kertas Puteri Gunung Ledang tersebut merupakan cenderamata yang saya peroleh sewaktu Tayangan Perdana filem tersebut. Dari menjadi agen pengumpul habuk di rumah, adalah lebih baik saya berikan sebagai hadiah pemenang.

Saya juga perlu bertugas pada hari tersebut dengan memilih pemenang serta mengambil gambar pemenang untuk dimuatkan dalam persembahan pengumuman keputusan. Teruk juga memikirkan idea untuk mendapatkan gambar mereka secara solo. Tentu ada di antara mereka yang perasan kononnya saya mengambil gambar mereka untuk simpanan saya tetapi sebenarnya untuk persembahan multimedia tersebut.

Kepada tetamu lain yang terkilan kerana tidak berjaya memenangi hadiah pakaian berseri boleh mencubanya lagi di tahun hadapan. Terima kasih kepada para juri yang merupakan pemenang tahun lepas yang tidak dibenarkan untuk mengekalkan kemahkotaan mereka pada tahun ini iaitu khalilur dan mushroomcute.

Anugerah Weblog Tercanggih - http://www.kroni.biz/nordin/
Saya sebenarnya berangankan anugerah ini. Anugerah ini secara tidak langsung mampu menyerlahkan kebijaksanaan pemenangnya dalam ilmu teknologi maklumat, sekiranya menang lah. Orang macam Mie memang patut menang kerana beliau menggunakan teknologi php untuk merekabentuk weblog dia. Kelebihan Mie dalam bidang grafik dipergunakan sepenuhnya untuk blog beliau. Kadang-kadang saya merasa cemburu kepada penulis blog yang mempunyai kebijaksanaan dalam bidang grafik kerana mereka mampu menjadikan impian rekabentuk mereka sebagai satu realiti. Itu satu kelebihan gengjurnal, bila mana setiap cerdik pandai dalam sesuatu bidang berjaya dikumpulkan dalam satu tempat.

Anugerah Rekabentuk Weblog Terbaik - http://akungantaro.cjb.net
Maaf kerana kesilapan teknikal yang berlaku. Bila menulis dengan diganggu serbuan mesej peribadi di Yahoo Messenger sememangnya mengganggu sedikit tumpuan. sama juga seperti ulasan saya untuk Weblog Tercanggih, daya kreativiti pemenang dalam bidang grafik juga merupakan aset utama kepada beliau. Saya memang cemburukan orang yang bijak grafik seperti mereka.

Anugerah Blog Hikmah/Dakwah/Muslim Terbaik - http://dunk5.blogspot.com
Mewujudkan kategori ini merupakan satu langkah yang baik. Jika bersesuaian untuk masa akan datang, lebih banyak kategori boleh dicipta. Selain mencipta niche, penulis blog seharusnya boleh menvariasikan kaedah penulisan blog. Contoh blog yang boleh saya sifatkan berani ialah blog Anti AF. Menggunakan Akademi Fantasia sebagai pencetus idea kepada sebuah penulisan yang bercorak mendidik dan menyedarkan masyarakat. Hujah-hujah agama digunakan dalam landasan yang betul bertujuan untuk memberikan perspektif yang berbeza kepada sesuatu isu. Kewujudannya tidak sepatutnya dianggap sebagai penghalang kepada kemajuan tetapi lebih kepada penentu arah agar tidak jauh tersasar.

Anugerah Khas Juri - http://www.danchan.com/weblog/harimauj
Macam hari persaraan Tun Dr. Mahathir, Tok Rimau juga mendapat pengiktirafan di penghujung kariernya sebagai Presiden gengjurnal. Saya menyifatkan beliau sebagai seorang yang bijak menggunakan bahasa Melayu dengan perkataan-perkataan yang jarang-jarang kita dengar tetapi telah dipopularkan kembali olehnya terutamanya perkataan asalnya bahasa Inggeris yang telah diMelayukan.

Anugerah Geng Paling Aktif Semasa Gathering – http://afxzal.blogspot.com/


Anugerah Weblog Harapan - http://fikirandalamkembara.blogdrive.com
Pemenang tahun lepas, blognya macam senyap. Dalam Anugerah Industri Muzik pun bila menang Artis Harapan akan terus senyap kecuali beberapa nama. Sewajarnya anugerah sebegini menjadi satu kekuatan baru kepada penulis baru untuk terus menghasilkan kerja-kerja penulisan yang lebih bermutu.

Anugerah Weblog Wanita Terbaik - http://makandeh.blogspot.com
Saya diperkenalkan kepada blog ini oleh salah seorang rakan pejabat saya. Dia duduk sebelah saya. Dalam Favourites dia hanya ada blog saya dan blog makandeh. Katanya beliau menggemari hasil tulisan makandeh. Saya ada juga membacanya sekali-sekala. Saya kira makandeh telah pun berjaya mencuri perhatian ramai kaum wanita untuk sama-sama merasai pengalamannya.

Anugerah Weblog Lelaki Terbaik - http://darekampo.blogspot.com
Saya diperkenalkan kepada blog ini oleh http://yaabbna.blogspot.com. Saya baca sekali, baca dua kali semakin seronok. Saya suka bila beliau menggunakan ayat-ayat yang pendek menyampaikan maksud sesuatu isu. Ceritanya mudah, ayatnya ringkas tetapi isinya dalam.

Anugerah Weblog Terbaik - http://sultanmuzaffar.blogspot.com
Saya mengucapkan terima kasih kepada juri yang membuat pilihan. Saya terharu dan hilang kata-kata. Saya akhirnya diterima di sini. Gengjurnal akan saya kenang sebagai antara kelompok terawal yang saya berani jumpa. Lebih awal dari saya bertemu beberapa rakan setelah tamat Akademi Fantasia I. Uniknya gengjurnal terus berdiri walaupun setelah 3 tahun saya kenali. Berbeza dengan beberapa pertemuan perkumpulan yang lain. Panasnya tidak lama. Ini baru namanya sahabat. Ia kekal sampai bila-bila. Menariknya untuk tahun ini ada anugerah weblog terbaik lelaki dan weblog perempuan serta keseluruhan. Mungkin juga saya menang weblog terbaik keseluruhan kerana kesukaran untuk mengklasifikasikan saya untuk dua kategori tersebut.

Komen Juri
blog yg bagus, pada saya, terletak pada KUALITI PENULISAN. tak kisah topik apa yg dipaparkan. sm memilih cabang seni sebagai topik penulisan -- seni suara, seni layar, dan seni teater. hakikat bahawa ulasan konsert akhir Akademi Fantasia tulisannya pernah diciplak oleh wartawan majalah hiburan mainstream membuktikan yg tulisannya sangat berkualiti. penulis profesional menciplak tulisan penulis hobi!!! sm juga menyumbang ke arah memperbanyakkan kandungan bahasa melayu di internet -- bahasa melayu yg dgunakan dlm blognya adalah bm yg proper, bukan bahasa pasar. sm juga memiliki khalayak pembaca yg ramai. hits yg beribu-ribu dan comments yg beratus-ratus sehari. sm juga mendapat markah penuh untuk komitmen dan konsistensi meng-update blog. ulasan AF dari hari ke hari dan sungguh detail, lihatlah kesungguhan dan komitmennya. selain blognya sendiri, beliau juga terlibat dgn beberapa projek blog lain seperti blog Sivarasa Rasiah (calon Keadilan utk Petaling Jaya dlm pilihanraya umum) dan blog ophelia fashion opera (satu projek teater) -- ini menunjukkan sm memiliki minat yg mendalam terhadap seni blog. --- (Tulisan Mat Jan)

gengjurnal
Petang itu, saya berpeluang untuk bertemu ramai orang. Antaranya
http://w1r4.blogspot.com/, http://y4nti3.blogdrive.com/, http://www.dobot.com.my, http://kelambu.blogspot.com/, http://bukunota.blogspot.com/
Maaf kalau tidak ingat semua. Pertemuan tersebut diharapkan bukan yang terakhir. Paling tidak kita akan bertemu lagi di tahun hadapan. Jika ada yang kecewa dengan perjalanan majlis tersebut, janganlah menjadikan ini sebagai hukuman untuk tidak menyertai pertemuan yang akan datang. Sama-sama kita memberi peluang kepada setiap dari kita untuk berubah dan sama-sama bertolak-ansur. Pertemuan pertama selalunya membosankan tetapi percayalah pertemuan yang kedua akan menjadi lebih bererti. Berikan anda peluang yang kedua. Saya pernah memberikan diri saya peluang yang kedua. Hasilnya sungguh mengejutkan.

Tahniah kepada pihak penganjur yang telah menjadikan pertemuan ini lebih baik dari yang terdahulu dan menjadi tanda aras untuk penganjuran akan datang membuat yang lebih baik dari hari ini. Tahniah juga buat semua pemenang.

Ulasan lain:
http://www.basrie.tk
http://tipahvogue.blogspot.com
http://yaabbna.blogspot.com/

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger