Blog Sahabat Akademi Fantasia
Pada musim sulung Akademi Fantasia, saya merupakan blogger yang pertama menyediakan blog untuk peminat Akademi Fantasia mendapatkan persepsi yang berbeza tentang Akademi Fantasia.
Tetapi hari ini, telah berkembang blog-blog yang bercerita tentang Akademi Fantasia seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Mereka membawa pandangan yang berbeza tentang Akademi Fantasia untuk dikongsi bersama dengan jutaan peminat rancangan tersebut. Tidak semua blog bercerita tentang Akademi Fantasia secara seratus peratus. Blog Badrulaftersix contohnya, turut bercerita tentang hal-hal yang tidak berkaitan dengan Akademi Fantasia.
Badrulaftersix : http://badrulaftersix.blogspot.com/
Kali pertama saya bertemu Badrul adalah sewaktu Majlis Gathering bersama Adi, Sahri, Atie & Nija di Holiday Villa Subang. Ia berlaku setelah musim Akademi Fantasia 1 selesai. Mengikut senioriti, beliau antara personaliti berkaitan Akademi Fantasia yang terawal saya jumpa. Oleh itu, ulasan tentang blognya saya letak paling atas walaupun…Kami menjadi bertambah rapat sejak Akademi Fantasia 2 bila mana beliau sering memberikan komen-komennya sewaktu musim tersebut.
Selepas ini, blog beliau akan saya jadikan rujukan penting kepada saya untuk blog di masa akan datang.
Satu lagi perkara yang ingin saya kongsi dengan pembaca saya ialah satu kenyataan dari Badrul tentang saya waktu kali pertama kami bertemu di Subang. First impression terhadap saya menurutnya ialah beliau ingatkan saya bisu pada mulanya. Memang Gathering AF1 tersebut merupakan gathering pertama melibatkan bintang AF yang saya pergi. Memang agak culture shock ketika itu. Maka saya tidak banyak bercakap. Memang selalu pun tidak banyak bercakap. Saya selalu simpan quote tersebut sebagai perisai paling utama kepada mereka yang sering mengecap saya seorang yang sombong apabila pertama kali bertemu. Kiranya macam testimonial penting untuk saya.
Klubbkidd : http://klubbkidd.blogdrive.com/
Blog Klubbkidd ini memang agak daring gaya bahasanya. Cara beliau menyampaikan apa yang beliau rasa adalah secara tanpa berselindung. Kalau mahu dimaki atau dicerca, beliau akan melakukannya tanpa segan silu. Beliau menjadi dirinya tanpa perlu untuk bermuka-muka. Itulah Klubbkidd.
Pertama kali saya jumpa beliau adalah sewaktu Konsert Siti Fantasia Tour di belakang pentas. Dari tugas profesional beliau, kami banyak mendapat maklumat tentang Akademi Fantasia. Maka beliau merupakan antara salah seorang yang sering memberi maklumat tentang Akademi Fantasia. Sewaktu saya bercuti di Sydney dan Gold Coast, beliau sering berutus SMS dengan saya untuk menceritakan perkembangan terbaru Akademi Fantasia. Waktu tersebut merupakan hari pendaftaran pelajar di hotel serta majlis perkenalan dengan pihak media.
Membaca blog beliau semacam mendengar beliau bercakap secara berdepan. Sama saja tiada bezanya. Kali pertama dapat berbual dengannya apabila di Kenduri Roti Canai Zahid. Tidak banyak yang dapat dibualkan kerana beliau sedang sibuk dan saya pula sedang allergic crowd yang terlalu ramai. Saya dinner di Pizza Hut bersebelahan malam itu.
Juan Danza : http://juandanza.blogdrive.com/
Kali pertama saya bertemu Juan Danza adalah sewaktu Konsert Kemuncak Akademi Fantasia 2 di Stadium Putra Bukit Jalil. Kami banyak bercerita tentang Zahid dan dari situ saya mula mengenali Zahid. Oleh kerana banyak acara yang saya ikut saya telah bertemu dengannya, maka saya semakin mengenalinya dengan lebih rapat.
Untuk Akademi Fantasia 3, beliau merupakan penyokong kuat Mawi sejak dari awal sewaktu Majlis Perkenalan dengan Pihak Media lagi. Sehingga hari ini beliau masih setia menyokong Mawi dan usaha tersebut saya kagum. Menjadi Penasihat Mawi FC merupakan semacam satu dejavu yang datang kembali apabila pada musim lepas, Klubbkidd merupakan Penasihat untuk Za8 FC. Berbekalkan pengalaman yang dicurahkan oleh Klubbkidd, Juan Danza memikul amanah yang diberikan dengan berkesan walaupun adakalanya agak personal. Beliau seorang yang berpendirian teguh terutamanya terhadap komen-komen berkenaan Mawi. Ada juga kami bertikam lidah untuk mempertahankan pendapat masing-masing. Tetapi kami cukup matang untuk menerima komen-komen tersebut dan tidak menyimpan dalam hati.
Khabarnya beliau akan dijemput untuk menjadi salah seorang panel di Diablog 4. Saya menyokong cadangan tersebut kerana pandangan beliau akan dapat dikongsi para hadirin yang akan hadir kelak. Mesti penuh Diablog 4 nanti dengan penyokong Mawi dan juga penyokong Azhan Jusoh.
Elkapitan : http://fantasiaakademi.blogspot.com/ dan http://senikami.blogspot.com/
Saya bertemu kali pertama dengan beliau sewaktu Konsert 5 Akademi Fantasia di Dataran Putrajaya. Kami bergerak sekali ke sana. Maklumlah ada perkelahan terhebat yang diadakan sempena konsert tersebut. Ramai juga yang hadir dan rata-rata tidak ramai yang mengenalinya pada hari tersebut. Selepas beberapa kali pertemuan, nampaknya perhubungan Elkapitan dan juga kawan-kawan saya semakin rapat. Secara jujur, blog beliau merupakan rujukan saya apabila tidak berkesempatan menonton diari selain saya turut membuat pautan kepada blognya untuk entri-entri yang kosong. Pada peringkat permulaan kewujudan blog tersebut, Juan dan Klubbkidd menyangkakan ia merupakan blog samaran yang saya buat untuk lebih menyampaikan pendapat saya secara lebih terbuka tanpa dikenali pembaca. Motifnya kerana sultanmuzaffar sudah dikenali dan saya tidak begitu terbuka menyatakan pendapat saya, maka saya perlu membuka sebuah blog samaran. Dan blog tersebut merupakan jawapannya. Berkali-kali saya cuba meyakinkan Juan dan Klubbkidd yang Elkapitan dan sultanmuzaffar merupakan dua orang yang berbeza.
Selesai Akademi Fantasia, beliau bertukar ke blog Sekadar Media Picisan untuk bercerita tentang Post-Akademi Fantasia. Sebenarnya, beliau mempunyai sebuah blog berbahasa Inggeris yang bercerita tentang komen sosial yang meliputi pelbagai topik di Undergrounduate. Di blog Inggeris tidak banyak komen dari pembaca, tulis pasal Akademi Fantasia baru banyak komen, katanya.
Javard : http://javardkent.blog-city.com/
Kecil sungguh dunia ini. Bila kali pertama saya email beliau sewaktu musim Akademi Fantasia 2 selepas tertarik dengan ulasan-ulasan beliau, saya benar-benar terperanjat. Beliau membalas email saya dengan email pejabat beliau. Email pejabat beliau sama dengan email pejabat saya. xxxx@unitar.edu.my !!! Terus saya buka HRIS dan cari jabatan mana. Saya merasa sedikit selesa dan alang-alang sudah terlalu dekat, kami berjumpa. Banyak juga yang kami bualkan terutama tentang Akademi Fantasia. Apa lagi topik yang boleh membuatkan saya bercakap selain topik AF.
Ada sekali beliau menyiapkan soalan wawancara untuk saya jawab. Katanya mahu buat kajian tentang Akademi Fantasia. Topik meliputi tentang pengaruh blog dalam kehidupan sosial.
Salah seorang pelajar beliau ialah Tontonfilem ! Tak sangka UNITAR melahirkan banyak juga blogger yang terkenal dalam bidang masing-masing.
Maman : http://mamanview.blogspot.com/
Mula-mula membaca komen tentang Akademi Fantasia di blog Maman agak menyakitkan hati kerana apa yang diperkatakan oleh beliau ada benar belaka. Ada juga yang terasa. Komen-komen beliau agak berbau provokatif tetapi itulah kebenarannya. Sekurang-kurangnya membaca blog beliau dapat membuka satu lagi cabang pemikiran yang ada untuk lebih menerima pandangan orang lain seperti beliau. Ia secara tidak langsung dapat melatih pemikiran saya agar tidak terlalu terburu-buru mengatakan yang saya benar belaka. Di dalam bidang blog, komen sebegini amat penting untuk membuka pandangan seseorang agar tidak terlalu terkongkong dalam tempurung diri sendiri.
Tersebut adalah blog yang sering saya layari untuk ilmu-ilmu Akademi Fantasia sepanjang berlangsungnya Akademi Fantasia juga setelah selesainya musim Akademi Fantasia. Blog lain bukannya saya tidak baca tetapi tiada cerita yang boleh saya kaitkan dengan saya.
Sejak kebelakangan ini ada usaha-usaha cuba melaga-lagakan kami. Percayalah, usaha anda itu sia-sia kerana ia tidak akan merosakkan persahabatan kami walaupun kami mempunyai pandangan yang berbeza-beza antara satu sama lain.
Nota : Sewaktu bercuti, saya sempat menonton KL Menjerit 1 dan Gila Gila Pengantin Popular. Filem Malaysia. Saya menyukai kedua-duanya sebagai sokongan kepada industri perfileman Malaysia. KL Menjerit 1 terlalu perlahan dan lakonan yang kurang mantap. Gila GIla Pengantin Popular sebuah cerita yang menarik tetapi aspek suntingan menyebabkannya terlalu lama dan membosankan.
0 komen