Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 October 2005

Kiriman Lukisan Tangan
Saya menerima kiriman ini yang telah dihantar oleh Maslina Sumairi kepada saya melalui pos. Saya sepatutnya menerima kiriman ini melalui tangan pada satu hari di Shah Alam tetapi kerana kesuntukan masa saya tidak dapat menunggu sehingga beliau tiba. Saya hanya terima kiriman ini yang tiba pada hari Sabtu di hadapan muka pintu rumah saya tetapi memandangkan saya tiada di rumah untuk menerima kiriman melalui pos ini maka kiriman tersebut telah dihantar kembali ke Pejabat Pos Brickfields.

Pagi tadi saya ke Pejabat Pos Brickfields untuk mengambil kiriman tersebut. Saya buka kiriman tersebut di dalam kereta. Terperanjat benar saya melihat potret tersebut. Ada potret Mawi, Felix dan saya sendiri pada kertas lukisan tersebut. Ini kali ketiga saya menerima lukisan potret saya sendiri yang dihadiahkan kepada saya. Kali ini agak berbeza kerana ada juga Mawi dan Felix.
Juga dikepilkan beberapa helaian surat bertaip komputer yang agak panjang lebar bercerita tentang gaya penulisan saya yang tidak begitu memihak kepada Mawi. Pengirimnya seorang fanatik Mawi dan tentunya isi suratnya berkaitan dengan Mawi sahaja. Sebenarnya saya berbangga mempunyai pembaca yang bersifat begitu terbuka untuk menerima dan berfikir tentang apa yang saya tulis berkenaan Mawi, baik tulisan berunsurkan negatif mahu pun positif.
Saya hanya mengenali Maslina melalui SMS yang dikirimkan melalui nombor yang tertera di blog ini. Saya juga mengenali beliau berdasarkan komen-komen yang beliau tulis di ruangan Pendapat blog ini. Katanya, walaupun kita berbeza parti, kita tetap boleh berkawan. Parti ? Peminat Mawi parti apa ? Peminat Felix parti apa ? Memang tidak ada salahnya untuk berkawan, cuma saya agak skeptikal terhadap sesetengah jenis peminat Akademi Fantasia dan ia seakan semakin menjarakkan saya dengan mereka.
Kata pengirimnya lagi, blog saya selalu membuatnya merajuk dan terpujuk. Boleh buat tajuk lagu ni ! Katanya lagi, tulisan picisan saya ini berjaya mengumbang-ambingkan emosi beliau. Saya mengharapkan pembaca yang berfikiran terbuka sebegini akan untuk terus membaca dan memberikan maklumbalas berdasarkan fakta dan bukan berdasarkan emosi.

Ia benar-benar membuatkan saya terharu. Sifat yang dimiliki oleh pengirim ini sebenarnya dimiliki oleh beberapa teman rapat saya seperti yang saya ceritakan dalam utusan yang terdahulu. Saya sebenarnya tidak pernah menyangka wujudnya lagi kalangan pembaca yang sebegini dalam blog saya ini. Iaitu mereka yang tidak terlalu dibuai emosi kesan dari manipulasi emosi yang telah dijana oleh rancangan Akademi Fantasia. Setiap tahun Akademi Fantasia menghasilkan kelompok peminat yang pelbagai yang rata-rata saya temui kepelbagaian dalam sifat mereka. Setiap tahun ada keunikan masing-masing.

Dalam PFS atau Kebun rata-rata meminati rancangan Akademi Fantasia secara keseluruhannya. Tanpa perlu emosi terhadap pilihan masing-masing, kami dapat duduk semeja, makan sepinggan, tinggal serumah, tidur sekatil dan berkongsi masalah tanpa ada perasaan prejudis terhadap pilihan masing-masing. Kami semacam sebuah famili. Itu sebabnya sekiranya ada undangan dari mereka, akan saya lupakan jemputan dari mana-mana bintang Akademi Fantasia kecuali Adam lah. Hahaha

Saya cuma berharap segala urusan peribadi berkenaan karier akan selesai secepat mungkin dan mana tahu sambutan raya saya tahun ini akan lebih bermakna dengan PFS dan Kebun. Sempena menyambut ulangtahun saya keluar dari belakang blog untuk bertemu dengan pembaca-pembaca saya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberikan saya peluang mengenali anda dan berkongsi pengalaman baru dengan anda semua. Terima kasih.

Negaraku Tanah Tumpahnya Darahku

Saya terbaca artikel Aspirasi : Kisah Negaraku & Mamula Moon oleh Ramli MS di internet. Artikel tersebut tersiar dalam Berita Minggu dalam sisipan BiPop. Saya terfikir apakah identiti sebuah negara telah tercemar apabila lagu kebangsaannya merupakan lagu saduran dari sebuah lagu dari Barat. Maka, di mana jatidiri kecemerlangan sesebuah bangsa itu dapat dipertahankan dan diagung-agungkan sekiranya muzik lagu kebangsaan sendiri adalah lagu saduran. Apakah Malaysia tidak punya pencipta lagu yang hebat ? Atau pemuzik yang hebat ? Lirik Negaraku biarlah terus dikekalkan.

Anda semua pernah teringat sewaktu zaman persekolahan dahulu apabila kita seakan tidak mahu menyanyikan lagu Negaraku dalam tempo march dan lebih selesa menyanyikan lagu Setia oleh Fran yang setiap hari ke udara di RTM 1. Sewaktu saya bersekolah dahulu, selaku Jemaah Disiplin Pelajar yang bertugas, saya harus memilih dua lagu untuk dinyanyikan di dalam perhimpunan. Adakalanya memang sukar untuk menyanyikan lagu Negaraku versi march tanpa iringan muzik. Maka para pelajar akan menyanyikan secara berterabur.

Kita mampu menghasilkan lagu sehebat Keranamu Malaysia. Kita sendiri senang menyanyikan lagu Keranamu Malaysia berbanding lagu kebangsaan kita sendiri. Sudah beberapa tahun lagu Keranamu Malaysia berkumandang saban tahun, tetapi ia tetap menjadi pilihan kita.

Apa tindakan kita ? Apakah ingin terus menyanyikan lagu Negaraku versi saduran ?