Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 11 March 2007

Tirai Akademi Fantasia 5

Sebelum memulakan ulasan berkenaan program pembuka tirai Akademi Fantasia musim ke 5 ini, saya ingin bercerita tentang warna yang nampaknya akan menjadi warna yang sinonim dengan Akademi Fantasia sepanjang musim ini.

Kenapa merah?
Ada juga yang bertanya kepada saya, kenapa merah? Ada juga yang telah memberikan komennya tentang timbulnya idea menggunakan warna merah. Tidak kurang juga yang sakit mata melihatkan laman web rasmi AF musim ini yang menggunakan warna terang itu.

Saya terbaca satu komen blog yang mengatakan wujudnya nasihat dari feng shui, lalu warna merah dipilih. Memang agak melucukan, tapi mungkin ada benarnya. Merah memang ada ong. Jika ada yang sedar, pada tahun ini AF tiada tagline yang selalu digunakan sebelum-sebelum ini. Musim 1 kita gunakan Nak Cuba?, musim 2 kita tentu masih ingat aura Dah Demam?, musim 3 siapa yang tidak jatuh hati bila tagline Dah Jatuh Hati? digunakan, akhirnya pada musim 4 tagline keramat Bahana pula digunakan. Mungkin ada benarnya, untuk membuang bahana Akademi Fantasia musim 4, maka warna baru perlu diaplikasikan untuk musim ini.

Tahun ini apa pula taglinenya? Jawapan saya mudah. Tiada ! Arahan dari pihak atasan (takut benar dengan kenyataan-kenyataan sebegini sejak akhir-akhir ini), tanpa tagline kita perlu meneruskan Akademi Fantasia. AF boleh terus wujud tanpa tagline. Arahan pada musim ini lebih mudah. Jika ada yang beranggapan "Mungkinkah Ini Peluang Terakhir Anda" sebagai tagline, telahan anda silap. Penyataan tersebut hanya digunakan untuk sesi ujibakat. Musim ini arahan yang diberikan hanyalah API ! Itu sahaja. Dari situ kita olah untuk menghasilkan apa sahaja bentuk visual yang anda lihat. Baik di TV, komputer, broadband, telefon bimbit, @15, iklan atau di mana-mana sahaja.

Hasilnya, inilah wajah Laman Web Rasmi Akademi Fantasia musim ini.

Tirai Akademi Fantasia 5 (Bhg.1)
Dah 4 musim kita gunakan background yang statik, pada musim ini kita gunakan teknik chroma-key. Latarbelakang Aznil mampu untuk mencetuskan sedikit animasi yang diharapkan tidak mengganggu perhatian penonton. Cuma nampak terlalu merah. Silau mata ! Apa kata anda tentang warna merah tu ?

Jika kita ingat di musim-musim yang sudah ada di antara anda yang memberikan komen tentang latarbelakang yang telah digunakan. Lampu tak cukup teranglah. Latarbelakang suramlah. Kuasa elektrik di gudang tak cukup power lah. Bil elektrik tak bayarlah. Macam-macam. Nah ! Satu pembaharuan pada musim ini.

Mungkin akan ada suara-suara yang berbisik, Hotlink selaku penaja Akademi Fantasia untuk musim ini yang memberikan cadangan untuk warna merah tersebut. Nampak gayanya musim ini tidak perlulah wakil Hotlink datang ke Akademi kerana warna merah itu sudah cukup kuat sebagai product placement !

Api adalah konsep pada musim ini. Merah dan api begitu sinonim. Jadi tidak peliklah bila warna merah digunakan.

Kenapa perempuan sahaja?
Seperti yang anda telah tonton dalam Bahagian 1, hanya pelajar perempuan sahaja kelihatan sewaktu pendaftaran. Ini adalah kerana buat pertama kalinya, pendaftaran pelajar dibuat berasingan antara lelaki dan perempuan. Mereka sebenarnya tidak dipertemukan antara satu sama lain. Baik di penginapan sementara, sesi fotografi, rakaman audio, rakaman promo dan apa sahaja aktiviti yang berkenaan. Kenapa ?

Wartawan pun tidak diperkenalkan kepada pelajar. Ada sebabnya. Kita tidak mahu mereka merasa besar kepala kerana telah mendapat publisiti awal. Anda tentunya masih ingat bagaimana Salima telah diberikan muka hadapan bila khabarnya beliau bakal pengganti Mawi dan mempunyai aura seperti Mawi. Tetapi sebaliknya berlaku. Salima tersungkur juga dan tidak sempat ke Konsert Akhir.

Ada juga di antara pelajar yang belum apa-apa sudah ada kelab peminat kerana mereka telah dikenali sebelum mendaftar ke dalam Akademi. Pelik kan ? Maka itulah sebabnya, pada musim ini pelajar tidak diperkenalkan kepada pihak media.

Sesi bersama Laman Web dan Mobile juga telah dilakukan berasingan. Hasilnya sesi tersebut yang bermula dari jam 7 petang berakhir hingga jam 5 pagi. 5 pagi ??!! Jadi faham-fahamlah kalau melihatkan blog ini tidak dikemaskinikan. Kalau dah habis pukul 5 pagi, pukul berapa yang sempat untuk update blog. Bagi borang untuk diisi dan setelah siap diisi, diambil tanpa ada sebarang komunikasi.

Pelajar hanya dipertemukan bersama bila sesi fotografi bersama yang mengambil masa hanya 5 minit sahaja. Selepas itu mereka dipisahkan kembali. Semua ini niatnya hanya satu, untuk mengurangkan komunikasi di antara mereka sebelum mereka masuk ke dalam Akademi.

Bayangkan bila mereka telah dipertemukan sebelum menjejakkan kaki ke dalam Akademi, pelbagai cerita telah mereka kongsi bersama sewaktu berada di luar. Hasilnya, komunikasi di antara mereka di dalam Akademi hanyalah omong-omong kosong yang bersifat tidak telus. Nampak palsu. Harap-harap dengan mereka tidak dipertemukan mereka akan berkongsi cerita apabila berada bersama-sama di dalam Akademi mulai esok.

Vokal siapa?
Secara jujur, bila disiarkan Tirai itulah kali pertama saya mendengar vokal mereka. Pilihan saya lebih tertumpu kepada vokal Heliza dan Dekna. Masih terlalu awal untuk membuat pilihan sebenarnya. Kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku di dalam Diari Akademi Fantasia minggu depan.

Nikmat Akademi Fantasia
Memang benar nikmat Akademi Fantasia yang pernah saya nikmati sejak AF1 semakin hilang. Nikmat itu hilang kerana saya kini berada di sini. Jika dulu sebagai penonton saya tidak tahu banyak perkara, kini berbeza. Walaupun tidak banyak yang diketahui tetapi dalam minit terakhir saya akan tahu juga akhirnya. Itulah nikmat-nikmat dulu yang kini tidak dapat dirasai lagi. Tiada apa yang mengejutkan, tapi untuk anda pasti nikmat itu masih boleh dirasai. Nikmatilah selagi ada.

Tirai Akademi Fantasia 5 (Bhg.2)

Lelaki lebih ramai?
Tentu ada sebab kenapa lelaki lebih berminat untuk menyertai Akademi Fantasia. Inilah program yang saya pasti dapat memberikan kepuasan kepada mereka untuk menjadi juara. Bukan itu sahaja, peserta perempuan menjadi agak kurang yakin untuk mencuba kerana dominasi peserta lelaki.

Tiada Konsert Prelude
Berita baik untuk anda atau berita buruk untuk anda? Musim ini tiada Konsert Prelude seperti dua musim sebelum ini. Lebih bagus kerana semua terus masuk. Antara pembaharuan, Imbasan juga ditiadakan dan digantikan dengan Debat Akademi Fantasia. Debat saya boleh anggap sesuatu yang menarik walaupun ia sebenarnya menambahkan beban kerja saya. Antara isu-isu yang akan diperdebatkan sebenarnya datang dari pelbagai medium contohnya akhbar, blog, @15 dan forum. Oleh yang demikian terpaksalah medium-medium tersebut dipantau dari masa ke semasa untuk mendapatkan bahan. Jika anda mempunyai apa-apa persoalan dan berjaya mencetuskan kontroversi berkenaan AF, bolehlah menyatakannya di medium-medium yang telah disebutkan. Lebih mudah jika persoalan-persoalan tersebut diluahkan di sini sahaja. Senang sikit nak buat pemantauan.

Komen Pengetua
Amacam dengan Roslan Aziz ? Saya tertarik dengan komen beliau yang menyatakan, satu ketika dulu beliau bermain bola sepak dengan Liverpool dan sekarang bermain dengan Manchester United. Walau apa pun pasukan yang beliau wakili, beliau akan berikan yang terbaik untuk pasukan tersebut. Kalau dulu saya di luar dan kini saya di dalam, sudah pastinya akan ada perubahan persepsi yang akan berlaku. Harap-harapnya mendapat sokongan dari semua.

Notification
Dalam banyak-banyak surprise notification, saya hanya suka pada Ebi, Dafi, Shawal, Rizal, Farha, Dekna dan Fatin. Aisehmen. Belum apa-apa dah tunjuk rumah Dafi ada CCTV. Memang selamatlah. Rumah kampung Rizal di Sarawak pun telah ditayangkan. Ebi memang berani habis bila sanggup berhadapan dengan hantu pocong. Yang paling dramatik tentunya Dekna bila dapat notification dia menangis macam dah tiada hari esok. Farha dan Fatin punya notification memang boleh memberikan trauma kepada peserta-peserta tersebut. Mujur dibuat dalam waktu yang singkat. Jangan sampai jadi macam Ziana Zain dalam Wakenabeb yang sejurus selepas mengetahui semuanya adalah lakonan beliau pengsan. Farha pun nyaris-nyaris nak pengsan. Baru kena rompak, belum kena pukul dengan along.

Anda sudah boleh mengundi. Lakukan tanggungjawab anda seperti yang pernah anda galas empat musim yang lepas. Semuanya di tangan anda.

Anda masih belum berkesempatan untuk mendengar vokal pelajar lelaki dan pastikan anda menonton Diari Akademi Fantasia Ep.1, ada kejutan yang akan menanti anda. Satu pembaharuan yang mungkin akan mencetuskan debat di kalangan penggemar Akademi Fantasia. Dah sedia ?