Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 August 2007

Image Hosted by ImageShack.us

Madu II : Adaptasi Teknik Layar Ke Pentas Yang Bijak !

Hujung minggu lepas saya meluangkan masa untuk menonton teater setelah agak lama mendiamkan diri dari dunia teater. Sekali-sekala bertemu rakan-rakan teater di lokasi teater yang agak kurang popular di kota Kuala Lumpur tentulah banyak cerita yang boleh dikongsi bersama.

Bertempat di Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka, sebuah teater dari produksi Teater Ekamatra yang diterbangkan khas dari Singapura telah dipersembahkan dengan jayanya. Teater bertajuk Madu II arahan Rohaizad Suaidi telah ditulis oleh seorang penulis karya teater yang prolifik, Alfian Sa’at.

Serba sedikit latar belakang kedua-dua tulang belakang produksi teater tersebut bermula dengan Rohaizad Suaidi yang saya kutip dari buku cenderamata menyatakan Rohaizad menetap di Amerika Syarikat selama 8 tahun di mana beliau menuntut ilmu di Universiti Haiwaii dan kemudiannya mendapat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Teater dan Tarian. Kemudiannya beliau menetap di Baltimore, Maryland selama 4 tahun untuk memperoleh Ijazah MFA dalam bidang Teater. Turut mencurahkan jasanya dengan mengajar kursus lakonan dan teater di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Amerika Syarikat. Sekembalinya dari Singapura pada awal tahun 2007, Rohaizad kini bertugas sebagai pensyarah separuh masa di Institut Pendidikan Kebangsaan (NIE). Rohaizad pernah mengarahkan Teater OPS Ophelia : Sabuah Fesyen Opera.

Sementara Alfian pula merupakan salah seorang daripada Pengarah Artistik Teater Ekamatra. Karya Inggeris beliau yang telah dicetak termasuklah One Fierce Hour, Corridor, 12 Short Stories dan A History of Amnesia. Antara karya pentas beliau yang telah diterbitkan oleh Teater Ekamatra termasuk Anak Bulan di Kampung Wa’ Hassan, Madu II, Tapak 7 The Miseductation of Minah Bukit, Causeway dan Mengapa Isa. Pada tahun 2001, Alfian telah dianugerahkan Anugerah Seniman Muda oleh Persatuan Seni Kebangsaan.

Madu II mengisahkan pergelutan dua wanita yang bukan sahaja berkongsi suami, malahan terpaksa juga berkongsi rumah. Bila suami bekerja, kedua-dia wanita mula bertikam lidah dan mengutuk antara satu sama lain. Perbuatan rutin ini merupakan satu permainan yang tidak akan sudah dan tidak akan ada pemenang.

Dibarisi oleh pelakon televisyen yang tidak kurang hebatnya di Singapura iaitu Mastura Ahmad dan Seri Wahyuni Jaes, kedua-duanya merupakan pemenang Pelakon Terbaik Pesta Perdana. Mereka hanya bermain di atas pentas empat segi dan telah membawa penonton ke dalam dunia mereka untuk merasai warna-warna hidup bermadu yang berlatarkan set pelamin. Pelamin ! Satu beban berat yang pasti akan ditanggung oleh setiap masyarakat Melayu.

Isu yang dibawa oleh Madu II adalah isu biasa yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Hidup bermadu ! Manis tetapi pahit. Membawa isu tersebut ke pentas teater bukan satu tugas mudah. Silap langkah sesebuah persembahan teater itu akan menjadi satu syarahan panjang yang tiada penghujungnya. Isu sensitif seperti poligami dalam masyarakat Melayu hari ini telah diangkat oleh Rohaizad ke pentas teater dalam sebuah persembahan yang santai tetapi cerita utama yang ingin disampaikan oleh penulisnya terbenam dalam benak penonton.

Dibekalkan dengan dua pelakon yang kekal di atas pentas sepanjang masa persembahan teater, tanpa sedikit lelah dapat dilihat kredibiliti mereka yang sungguh mengagumkan. Lakonan mereka penuh bersahaja dengan membawa penonton menyusuri kehidupan bermadu mereka. Dalam tawa ada duka, dalam senyum ada sengsara, dalam cemburu ada simpati. Hebat benar lakonan mereka. Masa 75 minit terasa begitu singkat.

Saya benar-benar tertarik dengan gaya pengarah Rohaizad kali ini. Dengan tema yang sama dalam persembahan terdahulu iaitu wanita. Dalam Ops Ophelia, Rohaizad membawa penonton menyusuri rentetan kejadian wanita dari kecil sehingga dewasa tetapi dalam Madu II hanya berkisar kepada salah satu permasalahan wanita iaitu hidup bermadu.

Tentu anda semua masih ingat filem Madu Tiga karya dan arahan Tan Sri P.Ramlee. Naskhah layar perak itu sebenarnya telah menjadi inspirasi kepada penulis untuk menghasilkan Madu II. Segala elemen ada dalam Madu Tiga dan begitu juga kaedah arahan yang telah digunakan oleh Rohaizad untuk Madu II. P.Ramlee menjentik dalam jenaka, geraknya penuh sinis, tutur katanya penuh makna. Begitu juga Rohaizad yang membawa gaya tersendiri dalam mengadaptasi kesemua elemen yang telah dibawa oleh P.Ramlee ke dalam Madu II. Rohaizad turut menggunakan klip audio dari filem Madu Tiga. Babak perbualan Jamil dan bapa mertuanya turut diselitkan dalam lakonan kedua-dua pelakonnya.

Antara adegan yang paling saya ingati adalah adegan penamat teater ini. Buktinya boleh dilihat pada gambar yang sempat saya rakamkan. Satu adegan yang sungguh mengejutkan. Persembahan teater ini bermula dengan permainan lampu pada pelamin yang memberikan kesan filem hitam putih pada pelamin dan kemudian ditamatkan di atas pelamin dengan tertera perkataan TAMMAT. Kalau filem buat macam tu memang sudah meletup !

Tahniah kepada tenaga produksi Teater Ekamatra kerana telah memberi nyawa kepada teater Melayu yang sebenar-benarnya. Penataan cahayanya juga bagus. Penataan bunyinya juga hebat. Bukan mudah untuk menggabung-jalinkan antara lakonan teater di pentas dengan klip audio dari filem Madu Tiga jika tanpa latihan yang cukup.

Saya benar-benar terhibur menonton teater ini dan khalayak penggemar seni teater Melayu yang telah ketinggalan untuk menyaksikan teater ini adalah sesuatu yang amat merugikan.

Bila agaknya Rohaizad nak buat OPS Ophelia II : Sabuah Akademi Fesyen ?

Memori Foto Teater Madu II

Image Hosted by ImageShack.us

Perhatikan periuk nasi di tepi pelamin. Simbol kepada Nasi Kangkang !

Image Hosted by ImageShack.us

Madu II pun ada Oprah Show !

Image Hosted by ImageShack.us

Konfrontasi Dua Madu !

Image Hosted by ImageShack.us

Apakah pengakhir Teater Madu II ?

Image Hosted by ImageShack.us

Bermula dan Berakhir di Pelamin, TAMMAT !

Image Hosted by ImageShack.us

Rohaizad Suaidi, Pengarah Teater Madu II

Image Hosted by ImageShack.us

Pak Hassan Muthalib, Benjamin McKay & Rohaizad Suaidi berbincang
"So, what do we do with P. Ramlee's legacy in the 21st century?"