Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Bahang Kerusi Panas Hos Akademi Fantasia 6

Entri oleh sultanmuzaffar 19 February 2008

Rata-rata kini semua orang berbicara tentang Akademi Fantasia.

Pendek kata, penonton TV Astro sudah mula dijangkiti demam AF.

Antara yang hangat diperkatakan sekarang ialah kerusi hos program realiti paling popular di malaysia itu.

Antara nama-nama yang disebut ialah Zainal Alam Kadir, Fara Fauzana, Jimmy Shanley, Fauziah Ahmad Daud, Sarimah Ibrahim, AC Mizal, Awal Ashaari, Linda Onn, dan Azwan Ali.

Tanpa publisiti meluas, Zainal Alam Kadir yang sebelum ini merupakan hos Wayang Kita diterima menjadi keluarga Astro sebagai Ketua Unit Kajian Kreatif dan Penulisan.

Angin bertiup kencang yang beliau merupakan taruhan terbaik Astro untuk terpilih sebagai hos AF6 berdasarkan posisi yang dipegangnya sekarang.

Buat masa ini, bekas editor sebuah akhbar harian bahasa inggeris itu merupakan hos Sinema Kirana.

Pengalaman dan kematangan yang ada pada beliau, tidak mustahil alam bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan aznil.

Berbeza pula situasinya apabila nama Fara Fauzana turut dikaitkan dengan spekulasi ini.

Walaupun merupakan hos dari stesen tv percuma, hos program Astro Oh! Lelaki yang digandingkan bersama nana era ini turut disebut-sebut akan menggantikan tempat aznil.

Populariti yang diraihnya menerusi program hiburan mingguan terbitan sebuah stesen tv percuma dan sebagai penyampai radio turut mencerahkan lagi laluannya dalam menuju puncak kecemerlangan kariernya bersama AF6.

Bakat anak muda ini tidak boleh dipandang ringan setelah menempa pengalaman yang luas bersama program-program terbitan Astro.

Beliau yang dimaksudkan ialah Jimmy Shanley.

Setelah lima musim bersama Trek Selebriti, tidak mustahil hos remaja ini diberikan peluang untuk mengacarakan program yang lebih besar pula.

Sudah bersediakah penonton Astro untuk melihat aksi lucu Sarimah Ibrahim selaku hos Fail Sulit untuk mengacarakan program realiti paling popular itu pula ?

Penonton kini boleh melihat aksi Sarimah dalam Fail Sulit AF dan berkemungkinan besar akan kembali sebagai hos Ikon Malaysia yang bakal bermula bulan Jun depan.

Sekiranya Sarimah terpilih, beliau akan muncul di skrin Astro dari awal tahun ini hingga bulan Ogos depan.

Persoalannya, adakah penonton Astro telah bersedia untuk itu ?

Setelah kelibat Fauziah Ahmad Daud ditonton di AF5, tidak mustahil khidmatnya sebagai Pengkritik Tetap akan dinaikkan pangkat sebagai hos AF6 pula.

Digelar Singa AF musim lepas, beliau muncul di setiap lokasi ujibakat musim ini dan mengukukuhkan lagi spekulasi tersebut.

Pelakon versatil ini dilihat mampu untuk mencorakkan apa sahaja yang bakal berlaku di pentas AF6 kelak.

Dua kali memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik, anak seniman Ahmad Daud dan seniwati Saadiah ini berpotensi untuk mencipta kelainan.

Linda Onn, pemenang Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH selama 6 tahun berturut-turut ini turut disebut-sebut sebagai hos baru Akademi Fantasia.

Ketrampilannya mengacarakan rancangan bual bicara, Tanya Linda begitu diyakini.

Popularitinya di radio juga boleh memberikan nilai tambah kepada program tersebut.

Baru-baru ini, beliau kembali semula ke skrin Astro melalui program Sehati Berdansa dan dipasangkan bersama Fahrin Ahmad.

Bakat muda yang dicungkil melalui program terbitan Astro, Beat TV iaitu Awal Ashaari turut dikatakan mempunyai peluang untuk terlibat dengan AF6.

Awal yang bermula dengan beat tv kemudiannya terpilih untuk mengacarakan sebuah program realiti terbitan stesen tv lain.

Setelah beberapa tahun, beliau kembali semula ke skrin Astro apabila terpilih mengacarakan Di Sebalik Sehati Berdansa.

Bakat dan populariti yang ada pada beliau dalam bidang lakonan dan pengacaraan boleh dimanafaatkan sepenuhnya oleh produksi AF6.

Desas-desus AC Mizal terpilih sebagai hos Akademi Fantasia makin hebat kedengaran apabila beliau dikhabarkan telah menamatkan khidmatnya bersama segmen pagi di era.

Kesibukan tugas sebagai hos AF6 mungkin menjadi alasan kukuh untuk AC meninggalkan stesen radio paling popular itu.

Namun demikian, baru-baru ini AC menafikan akan meninggalkan era, sekaligus menutup mulut banyak pihak.

Penonton mula menerima kehadirannya setelah mengacarakan program bual bicara, AC Di Sini sehingga tercalon untuk tiga kategori dalam ABPBH 2007.

Persembahannya dalam program tersebut amat diyakini penonton termasuk menyuntik elemen humor dengan watak Cik Mat Poi.

Pengacara kontroversi, Azwan Ali pula ada kelainan yang ingin ditampilkan apabila setiap kali mengacarakan sesebuah program.

Kontroversi yang tidak pernah lekang darinya mampu menambah bahang kepada AF itu sendiri.

Walaupun dilihat sebagai calon yang kurang digemari penonton, tidak mustahil Azwan mampu mencelah untuk merebut peluang keemasan itu.

Sementara itu, Aznil Nawawi yang sudah cukup serasi dengan AF dan ramai yang beranggapan pemilihan semula beliau ke kerusi hos Akademi Fantasia 6 sebagai amat mustahil.

Dan jangan terkejut sekiranya sebaliknya berlaku.

Akademi Fantasia memang terkenal dengan kejutan dan atas sebab-sebab itu, tidak mustahil Aznil kembali ke medan AF6 meneruskan perjuangannya.

Jenama Akademi Fantasia yang sudah sinonim dengannya serta atas desakan penonton atau pihak-pihak lain, mungkin juga penaja mana tahu kita akan melihat semula Aznil bermain dengan emosi penonton setiap hari mulai bulan Mac depan.

Yang mana pula pilihan anda ?

Segalanya akan dibongkar... dalam sebuah episod khas, Fail Sulit AF Istimewa yang akan disiarkan secara langsung pada hari Selasa, 19 Februari ini jam 5.30 petang.

Debaran semakin terasa. Mungkinkah pilihan anda terpilih ?

Nota SM : Kalau bukan namanya Astro, bukanlah kejutan namanya. Itulah yang bakal berlaku petang ini. Di pihak saya, segala telahan awal saya nampaknya tidak menjadi kenyataan dan terpaksa membuat suntingan semula kepada beberapa visual. Mujur juga diberitahu awal, kalau tidak tak tahu lah apa yang akan jadi. Dalam kita mahu melupakannya, sebenarnya itulah yang masih kita ingati sampai bila-bila...

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger