Beberapa hari sebelum menjelang Aidil Fitri 2008, saya menerima pengesahan akan perlantikan saya selaku Duta Pelancongan All Malaysian Bloggers Project. All Malaysian Bloggers Project merupakan projek akhbar The Star.
Pemilihan sebagai duta dibuat selepas melalui beberapa proses penilaian. Salah satunya saya perlu menyenaraikan keunikan yang ada pada blog saya sendiri. Sudah tentunya minat saya dalam dunia “diving” menjadi salah satu keunikan untuk ia terpilih.
Sebagai duta kepada projek ini selama tiga tahun, saya akan dihantar bercuti ke beberapa destinasi dalam tempoh tiga tahun. Ia merupakan kontrak selama tiga tahun. Tentunya banyak destinasi yang boleh dilawati dalam tempoh tersebut.
Sekembalinya dari destinasi, saya diminta untuk menulis tentang perjalanan saya itu. Lebih menarik, kali ini saya perlu menulis dalam Bahasa Inggeris. Ia merupakan satu projek serampang dua mata, selain untuk memberikan peluang kepada blogger, saya berpeluang untuk mendedahkan destinasi pelancongan menarik di Malaysia kepada seluruh pelayar internet di dunia.
Itulah antara satu sebab mengapa saya harus menulis dalam Bahasa Inggeris. Saya melihatnya sebagai satu cabaran yang perlu saya tempuh tanpa perlu rasa gundah. Inilah masanya untuk saya mewar-warkan kepada dunia khazanah terbaik yang ada pada negara kita.
Mana tahu, sekiranya ia dibaca oleh bakal pelancong dari luar negara, mereka tertarik untuk singgah ke Malaysia.
Di majlis tersebut turut dilancarkan Travel Tool yang dibangunkan oleh Mayflower, penaja utama destinasi pelancongan yang akan dilawati oleh para blogger yang terpilih.
Banyak keistimewaan yang ada pada Travel Tool itu yang boleh anda gunakan. Antaranya membuat tempahan bilik hotel, tempat-tempat menarik di sekitar Malaysia, kereta sewa dan juga tiket kapal terbang.
Saya merasakan melancong kini sudah menjadi sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi bila tiba di destinasi menggunakan kapal terbang. Dengan adanya Travel Tool, pengguna boleh menyewa kereta. Ada pelbagai jenis kereta untuk disewa.
Berikut merupakan antara destinasi yang akan dilawati oleh blogger-blogger terpilih di seluruh Malaysia.
1) Wilayah Tengah : Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan
2) Wilayah Utara : Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak
3) Wilayah Selatan : Johor Baharu, Malacca
4) Wilayah Pantai Timur : Pahang, Kelantan, Terengganu
5) Sabah : Kota Kinabalu, Sandakan
6) Sarawak : Kuching, Mulu, Miri
Seboleh-bolehnya saya mahu ke setiap destinasi “diving” di seluruh Malaysia. Sememangnya ada banyak di Malaysia. Ada Pulau Tioman, Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Sipadan, Pulau Layang Layang, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah, Pulau Lankayan, Pulau Payar, Pulau Dayang, Pulau Tenggol dan macam-macam lagi.
Terima kasih diucapkan untuk The Star, All Malaysian Bloggers Project, Mayflower dan penaja projek ini. Terima kasih daun keladi.
Ke mana agaknya destinasi saya selepas ini ? Tunggu !!!
hi r u one of the travel ambassadors? nice to meet u i am tammy (also selected)
Hope u dun mind i'm linking u to my blog as i'm compiling the list of those selected :)