Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 07
Kelas Vokal Cikgu Adnan
Saya melihat persembahan Amy masih lagi biasa. Persembahan beliau masih belum dapat membuatkan saya terpesona. Nyanyian Amy memang bagus tetapi tiada originality pada persembahannya. Beliau kurang menyerlahkan lagi vocal colour yang ada pada dirinya. Beliau tidak menggunakannya dengan sebaik-baik mungkin.

Aidil nampak lebih menyerlah. Beliau tahu untuk mengumpan penonton dengan rap yang liriknya dicipta sendiri olehnya. Sebutan pada bahagian rap harus lebih jelas. Aidil perlu mengekalkan tenaga pada lagunya dan tenaga itu kemudiannya disalurkan kepada penonton. Sekiranya vokal Aidil menyerlah pada malam tersebut, lagu tersebut boleh dijadikan sandaran untuk mengukur keupayaan sebenar Aidil.

Mawi banyak menutup mata dalam latihannya untuk mendapatkan penghayatan pada lagu tersebut. Beliau harus lebih memperbaiki sebutan-sebutannya. Cikgu Adnan turut mengajar beberapa perkataan yang kritikal agar penonton lebih memahami persembahannya.

Lagu Hak Miik Kekal tidak menyerlahkan keupayaan sebenar vokal Amylea. Sememangnya lagu tersebut tidak menyerlahkan vokal sebenar penyanyi asalnya. Amylea harus melakukan sesuatu agar persembahannya tidak monotonous dan berulang-ulang. Belitu juga h arus menjaga tempo lagu tersebut. Amylea sememangnya ada masalah mendengar tempo yang betul dalam beberapa siri persembahannya yang lalu.

Ekin nampak selesa dengan lagu tersebut. Ada keseimbangan pada pergerakan dan vokalnya. Untuk lebih mencantikkan lagi lagu ini, Ekin harus mengasah persembahan vokalnya dalam lagu tersebut. Sekiranya tidak pancit, vokal Ekin akan lebih terserlah pada lagu ini. Ini kerana persembahannya di pentas sudah agak meyakinkan.

Felix perlu berani melontarkan vokalnya agar lebih jelas. Cikgu Adnan menyarankannya agar memperbaiki mutu tariannya berbanding mutu vokalnya.

Kelas Tarian Cikgu Linda Jasmine
Ekin belajar menari untuk lagu Lets Get Loud. Turut ditampilkan ialah tarian limbo untuk menarik perhatian penonton. Aznil juga antara nama yang telah dirancang untuk ditarik oleh Ekin. Pergerakannya lebih bertenaga. Beliau nampak bersungguh-sungguh pada minggu ini. Pergerakannya nampak hebat.

Hadiah Hari Lahir Aidil : Ziana Zain
Ziana Zain hadir ke dalam Akademi Fantasia untuk meraikan hari lahir Aidil. Ini merupakan permulaan karier Aidil dalam bidang seni. Pendedahan yang diperolehi oleh beliau dalam Akademi Fantasia merupakan satu peluang yang amat berharga. Beliau hanya perlu mengekalkan usahanya untuk lebih berjaya di masa akan datang. Menurut Ziana lagi, sifat terlalu berkeyakinan tiada dalam dirinya sebaliknya lebih fokus pada tugasnya. Saya lebih suka sekiranya Ziana Zain menggunakan Bahasa Melayu apabila berinteraksi dengan Aidil. Agak kelakar bunyinya apabila Ziana Zain berbahasa Inggeris. Perkataannya sepatah-sepatah dan tatabahasa yang tunggang langgang. Aidil telah dihadiahkan sebuah kapal terbang kaca sebagai tanda bermulanya karier Aidil dalam bidang seni.

Sebelum Ziana Zain beredar, pelajar-pelajar lain membawakan hadiah untuk Aidil dan menyanyi lagu Allah Selamatkan Kamu beramai-ramai.

Tips Tatarias oleh Zulfadli
Beliau telah dibawa masuk ke dalam Akademi untuk memberikan sedikit tips untuk para pelajar tentang tips tatarias. Turut hadir bersama beliau ialah Natasha Hudson, pengacara Fesyen TV. Mereka telah diajar tentang asas penjagaan muka dan juga solekan di bahagian muka. Peralatan seperti cleansing, pencuci foam, toner dan pelembab telah didedahkan kepada mereka dan diajar tentang fungsi peralatan tersebut.

Tips dari Natasha Hudson pula lebih kepada tips dari artis baru kepada artis baru. Keyakinan diri penting dalam pembawakan diri sebagai seorang artis. Penampilan diri juga penting. Setiap dari mereka perlu menjaga kecantikan diri kerana mereka semuanya adalah ikon kepada para peminat mereka.

Model 30 Dirham
Para pelajar perempuan telah diminta untuk memperagakan hasil solekan mereka. Mawi menjadi promoter kepada para model tersebut sambil dibantu oleh Felix. Memang melucukan aksi Mawi dan Felix. Mawi turut konon-kononnya menjual model-model tersebut seperti yang terdapat di dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Saya lebih gemarkan lawak-lawak sedemikian daripada lawak-lawak terencat akal yang ditampilkan pada minggu-minggu lepas. Kali ini mereka nampak lebih natural dan tidak terlalu dibuat-buat. Mereka nampaknya sudah selesa antara satu sama lain seperti sebuah keluarga. Yazer dan Kefli juga turut berseronok dengan aktiviti tersebut. Hanya Reza yang duduk jauh dari mereka.

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 08
Kefli dan Akma berada di dapur sedang makan. Kefli meminta Akma menyiapkan sekeping roti untuknya sambil bercerita tentang hal berumah tangga. Kefli yang menyedari percakapan mereka dirakamkan cepat-cepat memberitahu kepada kamera, aku bilang kalau sama macam apa yang selalu Mat Jan gunakan. Lawatlah blog Mat Jan, ada pertandingan Juring sekarang.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Kelas Tarian ini sekarang sudah menjadi kelas vokal pula. Saya pun jadi keliru. Tidak mengapa. Felix masih belum menghafal lirik lagunya. Lebih perit lagu tersebut agak rancak. Amat senang untuk hilang fokus dan lupa lirik. Sedang elok latihan persembahan Felix dikomen, tiba-tiba soal tidak mandi pagi yang dibangkitkan oleh Cikgu Ee. Kelas tarian yang sudah menjadi kelas vokal kini menjadi kelas penampilan diri pula. Lebih keliru saya dibuatnya. Sebentar lagi Cikgu Ee jadi guru pakar pemakanan pula. Tunggu.

Kefli masih belum mengingati liriknya, lebih memeritkan apabila beliau terlupa pada bahagian awal lagunya. Lagu Berhenti Berharap sememangnya sebuah lagu yang amat minimal penggunaaan alat muzik. Jadi, counting amat perlu agar beliau dapat masuk pada bahagian yang betul. Cikgu Ee nampak bengang dengan situasi tersebut.

Yazer menghayati lagu tersebut dengan baik. Tetapi saya merasakan vokal Yazer masih belum cukup solid untuk lagu tersebut. Semacam ada sesuatu yang kurang. Mungkin kerana penghayatannya hanya sekadar mimic muka tetapi mesej lagu tidak sampai kepada penonton.

Reza nampaknya menjadi sasaran. Kata Cikgu Ee, beliau tidak berbuat apa-apa untuk memperbaiki persembahan buruknya pada minggu lepas. Vokalnya masih biasa. Saya melihat persembahannya banyak dibantu oleh rakan-rakannya. Beliau sememangnya selesa berinteraksi dengan rakan-rakannya tetapi kreativiti vokalnya masih tiada peningkatan.

Saya suka dengan corak persembahan Amylea. Beliau nampak bertenaga dan berusaha untuk menghilangkan imej Linda dan Diana Rafar dalam lagu tersebut. Beliau menyelitkan rap dalam bahasa Inggeris untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Beliau juga amat selesa dengan bahasa Inggeris maka untuk lebih menaikkan semangat beliau, kreativiti itu dibuat. Pergerakan tariannya juga penuh bertenaga. Saya nampak beliau tiada masalah membawakan lagu tersebut. Cuma pada pendapat saya lagu ini tidak benar-benar menguji keupayaan sebenar vokal Amylea.

Ekin juga menampilkan pergerakan-pergerakan yang cantik dan penuh attitude. Saya suka dengan penampilannya membawakan lagu tersebut. Saya nampak ada keseimbangan dalam vokal dan persembahannya. Beliau harus menjaga staminanya. Untuk mendapatkan tenaga, beliau kena makan. Saya kurang pasti, kenapa mereka tidak dibenarkan makan. Adakah kerana untuk menjaga berat badan ataupun tenaga mereka sudah berlebihan.

Amy mungkin boleh menyanyi dengan baik. Lagu Antara Anyer dan Jakarta dendangannya juga agak baik. Tetapi sayangnya saya masih belum dapat connect dengan persembahannya. Amy sekadar menyanyi tanpa x-factor. Beliau harus tahu menggunakan segala kelebihannya untuk menambat hati penonton. Memang lagu tersebut agak membosankan jika tidak pandai dibawakan oleh penyanyinya.

Curi Makan
Amy dan Ekin tertangkap kerana mencuri makan. Pada minggu ini, mereka dilarang untuk bersarapan yang berat-berat. Akibatnya mereka berasa cepat lapar. Oleh itu, mereka mencuri makanan. Amy dan Ekin merupakan antara pelajar yang agak kuat makan. Kasihan juga apabila terlalu banyak tenaga yang diperlukan untuk latihan vokal, tarian dan seni persembahan, tetapi tenaga mereka tidak dibenarkan untuk ditambah. Apa salahnya mengalas perut dengan roti antara waktu pertengahan kelas.

Kelas Bahasa Inggeris Cikgu Fatimah
Kelas ini merupakan kelas yang amat berguna terutamanya kepada pelajar yang membawakan lagu bahasa Inggeris. Sebagai seorang pendidik, beliau seorang yang amat kena untuk membantu para pelajar dalam memperbaiki sebutan bahasa Inggeris mereka. Dalam sesi latihan bersama Mawi, CIkgu Fatimah banyak memperbetulkan sebutan-sebutan kritikal Mawi. Cikgu turut mengingatkan Mawi agar menyebut setiap perkataan dengan betul agar penonton merasai kesakitan yang dialami olehnya. Hasilnya penonton akan menyukai persembahannya dan tertunggu-tunggu mahukan lebih daripada itu.

Ekin juga diperbetulkan sebutan-sebutan kritikal yang melibatkan beberapa perkataan. Lebih menyulitkan Ekin apabila lagu tersebut merupakan sebuah lagu yang agak rancak. Sememangnya sewaktu latihan semuanya berjalan dengan baik tetapi apabila persembahan sebenar, semuanya hilang. Ekin harus lebih berlatih untuk memperbaiki sebutan-sebutannya.

Curi Makan Lagi
Sekali lagi Ekin dan Amy tertangkap kerana makan. Sudah dua kali mereka tertangkap. Lapar benar agaknya.

Di dapur semuanya senyap dan makan senyap-senyap. Marsha, Reza, Amy dan Kefli. Mereka curi-curi makan roti. Marsha senyap-senyap sambil menyanyi lagu comel itu. Cikgu Ee datang ke dapur dan memiat telinga Marsha.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Shahrul
Nyanyian Akma nampak jelas. Lagunya juga sedap. Saya merasakan lagu ini bukan merupakan masalah yang besar untuk Akma kecuali latihan lontaran vokal perlu dijalankan dengan lebih lagi untuk melatih lontaran vokalnya.

Sebuah lagu yang menyeronokan dendangan Aidil. Saya meletakkan lagu ini sebagai sandaran utama Aidil untuk menyerlahkan dirinya. Saya nampak Aidil agak berusaha lebih keras untuk lagu ini. Nampak kesungguhannya. Bahagian rap yang dicipta oleh Aidil juga agak menarik. Beliau harus membuatkan penonton turut bersama-sama dalam lagunya.

Amy masih menghadapi masalah tempo pada lagu tersebut. Bahagian perlahan lagu tersebut perlu diberikan perhatian agar temponya tidak lari. Saya nampak kesungguhan pada Cikgu Shahrul untuk mengajar Kefli. Kefli harus pandai mengawal kekuatan vokalnya. Beliau sekadar menjerit dan bukannya menyanyi. Contoh yang dibuatkan oleh Cikgu Shahrul juga lebih baik dan perlu dipraktikkan oleh Kefli. Beliau kena bermain dengan vokalnya dan bukan sekadar melontarkan vokalnya.

Yazer dan Felix telah menjumpai hadiah kad untuk Cikgu Linda. Mereka telah diamanahkan untuk merancang kejutan untuk Cikgu Linda sempena hari lahirnya. Pada musim pertama Cikgu Linda mendapat hadiah bunga yang disampaikan oleh Vince sebelum kelas tarian bermula. Selepas itu mereka telah ditegur kerana ada di antara mereka yang mula besar kepala dan tidak mengikut arahan. Pada musim kedua, Cikgu Linda dikejutkan dengan kemalangan yang melanda Farah. Sebaliknya ia merupakan kejutan untuk beliau. Apakah yang akan dilakukan oleh pelajar musim ketiga untuk menyambut hari lahir Cikgu Linda pada kali ini ? Best pula menjadi Cikgu Linda yang tiga tahun berturut-turut hari lahirnya di sambut di dalam Akademi.

Entri oleh sultanmuzaffar 29 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 05

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 06
Happy Birthday Aidil ! Hari ini hari lahir Aidil yang ke 21. Aidil mengucapkan kata-kata rindu kepada ibunya dan keluarganya melalui kamera. Semua orang tahu hari ini hari lahir Aidil tetapi semua orang buat-buat tidak tahu. Memang nampak suram juga wajah Aidil sambil-sambil beliau berbasikal sebelum waktu sarapan. Yang lain-lain selamba saja makan tanpa menghiraukannya.

Namun demikian, mereka kemudiannya dikejutkan dengan sekotak hadiah. Pelajar lain mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Aidil. Yang pelik apabila kotak hadiah tersebut adalah untuk Felix. Felix sendiri terkejut kerana hari lahirnya ialah pada 3 April. Felix membuka kota hadiah tersebut dan ada seekor semut merah. Memang nampak Aidil tersenyum pahit. Kasihan sungguh. Tidak cukup dengan itu, setiap pelajar lain diminta untuk mencari kotak hadiah yang lain yang ada di dalam rumah tersebut. Semua mendapat sebuah tetapi tiada untuk Aidil. Memang boleh terjejas emosi Aidil sekiranya mengambil serius tentang perkara tersebut.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Agak sukar juga koreograf yang direka untuk lagu Reza. Setiap pelajar diajar untuk sama-sama belajar sebuah tarian Melayu. Setiap pelajar memberikan kerjasama yang baik. Kalau dulu Felix dan Mawi sukar untuk menari. Kali ini mereka yang beria-ria. Semacam ada yang tidak kena dengan tarian Kefli. Tidak seperti yang diajar oleh Cikgu Ee pada beberapa hari lepas. Lagu untuk Marsha juga memerlukan mereka menari. Nampak ok juga tarian Marsha.

Selesai latihan, Cikgu Ee turut mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada Aidil. Sekali lagi semua pelajar buat-buat tidak tahu sahaja.

Kelas Seni Persembahan Cikgu Marlia
Saya suka dengan gaya Aidil membawakan lagunya. Saya rasa kalau Aidil lebih banyak bergerak dan berikan pergerakan-pergerakan reggae tentunya lebih menarik. Lagu Senyuman Ragamu juga merupakan sebuah lagu yang agak rancak dan memerlukan penyanyi bergerak dan menguasai pentas. Lebih-lebih lagi jika dapat menarik perhatian penonton untuk menari bersama-samanya.

Persembahan Amy masih biasa lagi kerana masih di peringkat awal. Persembahan vokalnya juga masih ada yang sumbang-sumbang. Amy harus merasai menggunakan pengalaman bercintanya untuk menghayati lagunya. Lagu tersebut lagu Sheila Majid dan tentunya merupakan cabaran yang besar untuk memuaskan hati saya sendiri. Seiingat saya Sheila Majid menyanyikan lagu ini dengan perasaan yang agak gembira kerana ia menceritakan pengalamannya bercinta yang melibatkan dua tempat.

Yazer masih belum merasai cinta untuk lagunya iaitu Takdir Penentu Segalanya. Cikgu Marlia menyepitkan rambutnya ke belakang. Sudah beberapa konsert, rambut Yazer adakalanya mengganggu persembahannya. Ekspresi wajahnya tidak jelas kelihatan.

Felix memerlukan lebih banyak bantuan pelajar perempuan dalam persembahannya. Terlalu banyak bantuan seakan-akan mengundang lebih banyak kesilapan dalam persembahannya dan mampu mengganggu persembahannya. Lagu tersebut agak rancak dan sekiranya tidak dikawal dengan baik, persembahan Felix akan menjadi sedikit serabut.

Sekiranya apa yang ditonton dalam persembahan latihan untuk Kefli berlaku dengan baik tentunya ia bakal menjadi sebuah persembahan yang amat baik. Penghayatannya perlu jitu untuk lagu ini.Aksi-aksi yang jarang-jarang kita lihat akan dapat ditonton. Tentunya aksi-aksi tersebut akan memberikan momen persembahan yang tidak akan dilupakan. Nyanyiannya masih jelas sumbang di beberapa bahagian. Kefli tidak sustain note tersebut dengan baik.

Marsha perlu mewujudkan suasana cabaret dalam persembahannya. Tanpa aksi-aksi eksi seperti yang dilakukan oleh Akma, tetapi sekadar aksi yang tidak keterlaluan untuk dipersembahkan. Kalau lebih menarik, sekiranya dijelmakan suasana penari joget zaman-zaman Lantai T.Pinkie di atas pentas. Tentu ia akan menimbulkan nostalgia kepada zaman tersebut.

Seksa juga apabila melihat Mawi dilibas-libas dengan shawl oleh Cikgu Marlia untuk memberikan mood sakit kepada Mawi. Tidak cukup dengan libas, Cikgu Marlia turut mencubit-cubit Mawi. Cikgu Marlia masih belum berpuas hati dengan kualiti persembahan dan penghayatannya. Menurut Mawi bukannya tidak boleh nampak penghayatan sakit, tetapi apabila sakit, liriknya hilang. Logik juga. Mawi mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Nampak kesungguhan beliau. Kali ini nampak Mawi serius untuk belajar mungkin juga kerana Felix tiada berdekatan untuk mengganggu konsentrasinya.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Shahrul
Entah. Tidak tahu pelajaran apa yang mereka pelajari. Apa motif mereka mempelajarinya juga tidak diberitahu.

Aidil tidak memberitahu tentang hari lahirnya kepada sesiapa. Tetapi mereka tahu juga. Aidil mengucapkan rasa rindunya dan turut mengucapkan I Love You kepada ibunya dan keluarganya. Beliau turut mengucapkan rasa rindunya kepada ayahnya sekiranya ayahnya menonton kerana ayahnya tiada Astro.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Sekadar Senyum
Semalam saya agak kehairanan mengapa satu link yang menggunakan Xanga begitu banyak memasuki blog saya. Selalunya Xanga hanya dari Leen yang menulis amat baik dalam Bahasa Inggeris. Tetapi hari ini ia datangnya dari Wong Jin Min.

Ia turut diulas di dalam Gambar – Nizam Zakaria dalam blognya sendiri berkenaan isu yang sama.

Kandungan komen tersebut boleh didapati di sini

Monday, June 27, 2005

WOAH

I was surfing around and i came across malaysia's number 1 blog. It was by this website called MalaysiaTopBlogs. The reliability of it, no comment from me. Moreover, the whole blog is written in Bahasa Melayu.

Im not woahing over the fact that it is DE number one blog (i dont give a rat's ass about blogs and their number of hits)

Neither am i in awe beause of the use of language (im not racist)

It's just that, reading it was like reading my high school's '300 contoh Karangan' book.SPM again. NOOOO!!!!

Freaky.


Komen
Apa salahnya menulis dalam Bahasa Melayu ? Kerana saya tahu pembaca saya dari kalangan komuniti yang mahu membaca dalam Bahasa Melayu. Blog dalam Bahasa Melayu tidak banyak, inikan pula blog yang ditulis dalam bahasa “karangan: seperti yang disebutkan itu. Saya mengambil inisiatif ini untuk menulis dalam Bahasa Melayu karangan agar pembaca berbangsa lain seperti Wong lebih faham apa yang ditulis dan mula meminati bidang seni yang saya cuba popularkan.

Jika hari ini beliau mengidamkan hits yang banyak, InsyaAllah, pada hari ini impian beliau akan menjadi kenyataan. Impian tersebut akan berlarutan selama mana artikel ini tersiar di muka hadapan blog ini. Setelah artikel ini tersimpan di bahagian arkib, beliau harus pula mencari taktik lain untuk mendapatkan hits yang baru. Ia akan berulang lagi sehingga beliau sendiri puas.

Ini bukannya cara untuk Wong mendapatkan publisiti dan hits yang datang secara tiba-tiba. Cara ini sangat MURAH. Agaknya, hari ini Wong turut tersenyum puas kerana hitsnya naik secara mendadak.

Blog saya yang sinonim dengan Akademi Fantasia, maka tidak hairanlah sekiranya blog ini juga boleh menjadikan impian satu realiti. Kecapi impian anda, Wong !

Entri oleh sultanmuzaffar 28 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 03
Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 04
Bukan niat tidak mahu menulis, pelawaan sahabat mengatasi segalanya. Filem War Of The Worlds karya Steven Spielberg tidak wajar saya lepaskan. Apabila fikiran telah tepu dengan Computer Generated Image (CGI), maka siaran Diari hanyalah sekadar seperti kembali ke zaman batu.

Ulasan selanjutnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata

Entri oleh sultanmuzaffar 27 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 01
Dalam suatu kelas mereka perlu melukis satu lukisan abstrak. Hasilnya masih biasa tetapi ada beberapa yang menarik. Lukisan Akma bertajuk Kehidupanku. Lukisan Felix bertajuk Peritnya Sebuah Kehidupan. Manakala Aidil bertajuk AF3.

Lukisan Reza bertajuk Cenderawasih. Sebuah lukisan yang paling menarik. Lukisannya indah dah kena dengan tajuk lukisan tersebut. Konsep yang dibawa oleh Amy dengan The Maze Cogniton juga agak menarik. Mawi agak klise dengan Menuju Puncak.

Saya paling suka dengan lukisan Kefli bertajuk Menuju Kejayaan dan Ketenangan. Sebuah lukisan yang simple tetapi kena dengan tona warnanya. marsha berkongsi pengalamannya dalam Losing A Best Friend. Yazer berkreatif dengan lukisan bertajuk Aku dan Ekin dengan lukisan Gelombang Diriku.

Selebihnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 02
Memang bila dapat duduk di Akademi Fantasia, berat badan akan meningkat dengan mendadak kalau tidak dikawal. Lihatlah apa jadi pada Zahid. Rata-rata pelajr telah meningkat berat badan mereka kecuali beberapa orang pelajar. Mawi meningkat sedikit, begitu juga dengan Yazer. Pelajar perempuan nampaknya mengekalkan berat badan mereka.

Satu Jam
Mereka diberi tempoh satu jam untuk menghafal lagu mereka. Dalam pada itu satu mesyuarat tergempar antara Tenaga Pengajar berlangsung. Ia boleh dilakukan pada tiap-tiap minggu sebagai drill untuk mereka lebih tekun untuk menghafal lagu. Biar sekali-sekala mereka belajar dalam ketakutan. Macam menghafal sifir masa sekolah rendah dulu.

Lagu Baru Minggu 05
Aidil - Senyuman Ragamu (Gerhana Ska Cinta)
Yazer - Takdir Penentu Segalanya (Jamal Abdillah)
Marsha - Bossanova (Pun Sri Saloma)
Felix - Hari Ini Dan Semalam (J.Mizan)
Akma - Camar Yang Pulang (Aishah)
Kefli - Berhenti Berharap (Sheila on 7)
Ekin - Let’s Get Loud (J Lo)
Reza - Ala Emak Kahwinkan Aku (Zainodin Mat Dom)
Amy - Antara Anyer Dan Jakarta (Sheila Majid)
Mawi - Beautiful Maria (Los Lobos)
Amylea - Hak Milik Kekal (Linda Diana Rafar)

Mesyuarat Tergempar
Pada amatan saya, inilah kali pertama saya melihat sebuah mesyuarat antara tenaga pengajar di dalam Akademi Fantasia. Mereka berbincang tentang bagaimana untuk meningkatkan kemampuan pelajar. Sebagai tenaga pengajar mereka mempunyai standard mereka sendiri. Apa yang mereka perhatikan sekarang, bukan standard mereka. Mereka tidak mahu apabila pelajar itu keluar kelak, tenaga pengajar akan dicemuh kerana standard pelajar tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

Masalah utama pelajar adalah sukar untuk menggunakan apa yang telah mereka pelajari selama beberapa minggu di atas pentas. Mereka kerap mengulangi kesilapan yang serupa. Saya akui memang sukar untuk membuang tabiat yang telah menjadi kebiasaan mereka sebelum ini dan diperbetulkan dalam jangka masa selama satu minggu. Dalam waktu yang singkat setiap pelajar harus mengaplikasikan apa yang mereka pelajari di atas pentas. Itulah yang tidak menjadi dan masalah utama mereka ialah masa. Mereka telah diberikan pengajaran yang secukupnya tetapi ia tidak berhasil. Antara cadangan-cadangan yang diberikan oleh Pengetua M.Nasir termasuklah latihan intensif atau membiarkan sahaja.

Satu perkara yang diutarakan oleh Cikgu Adnan benar-benar menjentik minda saya selaku penonton Akademi Fantasia. Menurut beliau budaya Fan Club merupakan budaya yang kurang sihat untuk Akademi Fantasia. Budaya Fan Clublah yang sebenarnya telah merosakkan nilai-nilai murni untuk Akademi Fantasia mendapatkan bakat-bakat yang bagus untuk masa hadapan. Saya akui ada benarnya perkara tersebut. Peminat jujur meminati pelajar yang mereka sukai. Tidak salah. Mereka mempunyai standard mereka sendiri tetapi tidak tinggi. Mereka boleh memaafkan pelajar sekiranya mereka membuat kesilapan. Tetapi standard yang diingini oleh para tenaga pengajar lebih tinggi daripada standard peminat. Jika peminat dari Mawi FC boleh memaafkan pelajar kesayangan iaitu Mawi bila beliau lupa lirik, tenaga pengajar tidak boleh memaafkannya kerana mereka harus mencapai standard yang lebih tinggi. Mungkin pada pendengaran tenaga pengajar nyanyian Aidil sumbang, tetapi pada pendengaran Aidil FC, Aidil tidak sumbang. Itu yang membezakan antara Tenaga Pengajar dan Peminat. Standard mereka berbeza.

Pada pendapat saya pula ada beza antara Peminat Fanatik dan FC. FC saya lihat mereka lebih terbuka dan sentiasa menerima pandangan pihak luar. FC kewujudannya dibuat secara teratur. Ini berbeza dengan peminat fanatik yang lebih kepada syok sendiri dan adakalanya meroyan berseorangan seperti contohnya Makcik Terlampau. FC yang wujud sejak zaman Akademi Fantasia 1 hingga 2 lebih profesional pengurusannya. Malangnya Peminat Fanatik yang tiada arah tujuan itulah yang sebenarnya telah merosakkan nilai-nilai murni yang dibawa oleh Akademi Fantasia. Peminat-peminat yang kononnya menggelarkan diri mereka FC cawangan Kulai, FC cawangan Bangsar, FC cawangan Kubang Pasu, FC cawangan Taman Medan ini sebenarnya tidak wujud dan hanya wujud secara syok sendiri. Mereka akan akhirnya terkubur tanpa nesan. Musim lepas, Mas mempunyai beribu FC, ke mana mereka sekarang ? Saya harus menegaskan di sini bahawa ada perbezaan yang nyata antara FC dan Peminat Fanatik.

Saya turut tertarik dengan kenyataan pesimis dari Cikgu Ee yang mana menurutnya tugas tenaga pengajar Akademi Fantasia bukan untuk mencari bintang, tetapi sekadar mengasah bakat pelajar sedia ada. Apa gunanya Akademi Fantasia jika bukan untuk mencari bintang. Bayar mahal-mahal, suruh buat kerja. Cari bintang, bukan sekadar asah.

Satu lagi masalah yang diketengahkan oleh Cikgu Adnan apabila pengkritik tidak menilai pelajar sebagai pelajar. Mereka menganggap pelajar perlu diberi layanan seperti artis. Disinilah pentingnya kehadiran Kudsia Kahar sebagai Pengkritik Tetap yang dapat menyeimbangkan komen-komen yang diberikan oleh pengkritik. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar amat besar. Menerima komen-komen yang tidak membina dari Pengkritik lebih membebankan pelajar.

Akademi Fantasia merupakan satu proses pembelajaran bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada penonton. Penonton didedahkan dengan persekitaran pelajar dan kesan-kesan kepada persekitaran tersebut. Penonton turut diajar tentang bagaimana menilai pelajar serta mengikuti perkembangan pelajar setiap hari. Sekiranya ada komen dari pengkritik yang tidak berasas, maka secara tidak langsung turut mengelirukan penonton.

Masa yang terlalu singkat iaitu dalam masa satu minggu mereka perlu melunaskan cabaran yang mereka hadapi. Setiap minggu masalah baru akan dihadapi kerana setiap minggu lagu akan berubah. Inilah yang dirasai oleh para penonton. Turut merasai cabaran yang digalas oleh para pelajar.

Selepas Satu Jam
Rata-rata kebanyakan pelajar lulus ujian teknik menghafal lirik lagu itu. Felix agak selesa dengan lagu tersebut maka tidak sukar untuk beliau menghafal lagu itu. Kefli menghadapi masalah yang besar dalam menghafal lirik lagu kerana tidak biasa dengan lagu tersebut. Jelas nampak kekecewaan pada wajah beliau apabila dikatakan tidak mampu menghafal lirik lagu oleh Pengetua M.Nasir. Yazer juga tidak menghadapi masalah yang menghafal lirik lagu. Saya menyukai dengan gaya Aidil membawakan lagu tersebut. Reza kena bergerak untuk lagu tersebut. Mawi menyanyi lagu apa ya ? Pelajar-pelajar lain juga mampu menghafal dengan baik. Pengetua M.Nasir mengingatkan pelajar agar menyukai pada muzik untuk lebih cepat menghafal lirik lagu.

Komen Lagu
Secara keseluruhan pelajar semakin diuji dengan lagu-lagu yang mencabar kecuali beberapa pelajar. Felix contohnya sekali lagi mendapat sebuah lagu lama iaitu Hari Ini Dan Semalam. Konsepnya lebih kurang dengan lagu Berjuta Baru. Yazer cuba diuji dengan sebuah lagu balada pada minggu ini. Marsha didedahkan kepada sebuah lagu lama dan perlu menari pada waktu yang sama. Cabaran untuk Reza ialah membawakan lagu ini sambil bercerita dan mempunyai showmanship yang lebih bertenaga. Pernah terfikir Aidil akan berpeluang untuk membawakan lagu Gerhana Ska Cinta ? Inilah masanya. Cabaran yang paling menjadi tumpuan pada minggu ini tentunya terarah kepada Mawi apabila mendapat sebuah lagu Inggeris iaitu Beautiful Maria. Gemuruh paling besar yang perlu mereka hadapi pada minggu ini apabila perlu melaksanakan cabaran mereka di hadapan lautan manusia di sebuah persembahan konsert secara terbuka. Mampukah mereka melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin ?

Spoiler
Sebenarnya sejak akhir-akhir ini, blog ini menjadi tumpuan pembaca untuk meletakkan komen-komen berunsur spoiler kepada umum. Saya sebenarnya kurang menyenanginya kerana ia seakan membunuh minat dan debaran saya. Bayangkan selama tiga musim, saya akan berdebar-debar menantikan hari Isnin untuk mengetahui tajuk lagu yang diperolehi oleh pelajar, tetapi hari ini sekitar jam 3 petang saya sudah mengetahui siapa yang menyanyikan lagu apa. Senarai lagu minggu 4 dan 5 juga telah disenaraikan oleh pembaca yang tidak saya ketahui identitinya pada minggu lepas. Apa pendapat anda berkenaan isu spoiler ?

Entri oleh sultanmuzaffar 25 June 2005 0 komen

Konsert Akademi Fantasia 04 : Felix Versatile, Atie, Anding, Idayu ? Bekas Pelajar UITM dan kini Bekas Pelajar Akademi Fantasia

Konsert 04 AF3

Akademi Fantasia, sebuah rancangan realiti membuat kejutan lagi apabila Idayu tersingkir pada minggu ini. Tidaklah terlalu mengejutkan kerana saya sudah biasa dikejutkan dengan penyingkiran Rosma, Sahri, Zarina, Linda suatu ketika dahulu. Maka, apabila Idayu tersingkir tidaklah terlalu mengejutkan. Ianya sudah dijangka akan berlaku. Persembahan Konsert 04 lebih menyerlahkan Felix sebagai seorang yang versatile. Beliau berbakat besar untuk menjadi seorang penghibur serba boleh. Gelombang Mawi terus-terusan melanda negara dan gegarannya begitu dirasai di Stadium Malawati Shah Alam. Adakalanya saya berharap benar agar Amylea terus menerus berada di bahagian bawah dalam carta sebelum konsert kerana berdasarkan undian simpati, beliau pasti naik selepas konsert. Ini pernah terjadi kepada Farah di Akademi Fantasia 2.

Pada minggu ini juga saya meletakkan Felix dan Mawi sebagai taruhan Pilihan 5 Terbaik saya untuk ke Konsert Kemuncak. Maka terdapat lagi tiga tempat kosong untuk diisi oleh pelajar yang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Seperti tahun-tahun terdahulu, ada juga kemungkinan pilihan yang telah masuk ke dalam senarai dikeluarkan kerana tidak mampu untuk menggalas cabaran yang diberikan. Yang nyata, ia adalah pilihan peribadi saya.

Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 24%
Felix 20%
Idayu 6%
Yazer 6%
Marsha 6%
Ekin 6%
Aidil 6%
Amy 6%
Akma 6%
Reza 6%
Amylea 6%
Kefli 6%

Konsert 04 AF3

Pengkritik pada minggu ini terdiri daripada Adlin Aman Ramlie yang kembali semula menggantikan Kudsia Kahar yang tidak dapat bersama-sama pada minggu ini. Komen-komen dari Adlin pada minggu agak kurang menyengat berbanding pada minggu kedua. Bahasa yang digunakan lebih melampau pada minggu ini sehingga boleh menyebabkan kemarahan peminat lalu membalas dengan undian mereka. Komen dari Fauzi Marzuki agak bersesuaian dengan pandangan beliau dari aspek seorang penerbit album. Saya menyukai komen dari Syafinaz yang banyak memberikan tip tentang vokal mereka. Seharusnya Adlin diletakkan sebagai pengkritik tetap pada minggu hadapan. Komen beliau jujur dan berani.

Persembahan konsert pada minggu ini tidak mengikut kedudukan tempat duduk pelajar. Oleh yang demikian, penonton tidak dapat meneka siapakah yang membuat persembahan dan tidak perlu menunggu hingga saat-saat akhir untuk membuat undian. Para peminat juga tidak dapat menunggu giliran pelajar yang mereka gemari untuk ditonton. Para wartawan pun tidak boleh keluar untuk merokok. Sabar ya ! Sesetengahnya penonton yang sudah mengetahui giliran tentunya akan menunggu pelajar kegemaran mereka sahaja.

Persembahan Pelajar
Konsert 04 AF3

Amy - Bilang Saja 5.5/10
Persembahan beliau bermula dengan agak baik. Persembahan vokal Amy juga agak bertenaga. Interaksi beliau dengan kamera juga memuaskan. Pergerakan beliau di atas pentas amat bertenaga tetapi sekadar menguasai pentas tanpa sebab-sebab yang memadai. Beliau turut menggunakan Aznil selaku penari latar dan bijak mengawal suasana. Keyakinan beliau juga tinggi pada minggu ini berbanding pada minggu lepas. Ada peningkatan dalam persembahan beliau. Beliau masih kurang dari aspek karisma sebagai penghibur apabila agak sukar untuk merasai persembahan beliau.

Konsert 04 AF3

Yazer - Nyanyian Serambi 7/10
Betul kata Syafinaz yang vokal Yazer agak kasar sehingga adakalanya kurang kedengaran apa yang beliau nyanyikan. Vokalnya masih biasa sahaja. Yang menyebabkan saya suka dengan persembahan beliau apabila Yazer bijak menguasai pentas dan berinteraksi dengan rakan-rakannya sekaligus menghidupkan persembahannya. Vokal beliau juga harmoni dengan penyanyi latar. Yazer lebih kelihatan menyanyi dan kurang menghayati mesej lagu tersebut. Yazer baru diuji dengan beberapa lagu rock, pop rock dan lagu berirama Malaysia. Kredibiliti beliau dalam Akademi Fantasia masih belum hebat diuji.

Konsert 04 AF3

Akma - L.O.V.E. 6/10
Persembahan yang sepatutnya menyerlahkan lagi x-factor dari Akma tetapi tidak menjadi pada minggu ini. Beberapa minggu yang lepas persembahan nyanyian Akma baik tetapi tiada sebab yang kuat untuk membolehkan saya menonton persembahannya. Beliau masih malu-malu. Saya nampak keyakinan dalam diri beliau akan persembahan vokalnya yang baik. Saya melihat sesi latihan beliau lebih baik daripada malam persembahan konsert. Satu yang kurang dalam sebuah lagu jazz sebegini apabila beliau tidak melakukan scat pada bahagian bridge lagu tersebut hingga nampak kosong. Beliau banyak membelakangkan penonton. Penghayatannya juga tidak begitu konsisten lalu membiarkan penonton tercari-cari apakah elemen persembahannya yang dapat menarik perhatian penonton. Akma harus menggali lagi ke dalam dirinya untuk lebih menyerlahkan lagi karisma penghibur yang ada dalam diri beliau.

Konsert 04 AF3

Kefli - Seksa 3/10
Seksa mendengar lagu ini disumbangkan oleh Kefli. Tiada peningkatan yang dibawa oleh beliau pada minggu ini. Baik sedikit pun dari aspek vokal. Saya cuba untuk menyukai note rendahnya dengan vibrato yang memuaskan. Kefli lebih berhati-hati sehingga mengehadkan penguasaan pentasnya. Pergerakannya juga tidak mengikut tempo lagu tersebut. Sayang sekali persembahan vokalnya kurang kemas. Tiada apa lagi yang mampu saya perkatakan tentang Kefli. Lagu jenis apa yang sesuai dengannya pun saya tidak tahu. Serba tidak kena.

Konsert 04 AF3

Marsha - Tunggu Sekejap 8/10
Saya kagum dengan persembahan vokal beliau. Tone vokalnya agak lancar dan dikawal dengan baik oleh Marsha. Teknik lampu menyerlahkan lagi mood persembahannya. Saya menyukai style yang diangkat oleh beliau dalam lagu ini walaupun dibayangi dengan imej Jaclyn Victor yang masih segar dalam ingatan saya. Saya kagum dengan karisma yang ada dalam diri beliau yang mampu membuatkan saya terpaku dan mengikuti persembahannya sehingga tamat. Marsha saya lihat mempunyai peluang untuk menonjol di minggu-minggu akan datang.

Konsert 04 AF3

Felix - Aku Semut Merah 8.8/10
Apa yang saya lihat dalam persembahannya adalah sebuah persembahan yang menghiburkan dengan mutu vokal yang baik. Sesetengah penghibur boleh menghibur tetapi mempunyai mutu vokal yang biasa. Ini selalunya ada kepada pelawak. Tetapi Felix boleh menyanyi dan menghibur dengan baik. Beliau mempunyai karisma yang tinggi untuk menghiburkan penonton. Ekspresi wajahnya konsisten dan kena untuk sebuah lagu dangdut. Pergerakan geleknya dikawal dengan baik dan tidak keterlaluan untuk mengumpan jeritan penonton. Amat memadai. Nyanyiannya disampaikan dengan baik dan beliau pandai menyesuaikan lagu tersebut dalam menyampaikan mesejnya. Nyanyian dangdut memerlukan teknikal yang tinggi kerana lenggoknya amat berbeza dengan lagu-lagu biasa. Itu kelebihan Felix apabila mampu menvariasikan bakatnya untuk menjadi lebih versatile. Felix berkelayakan untuk masuk sebagai salah seorang Top 5 pilihan saya.

Konsert 04 AF3

Reza - Senandung Semalam 4/10
Saya tertarik dengan cara beliau mencuba untuk membawakan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri. Beliau cuba mencipta identiti yang tersendiri dalam lenggok lagu tersebut. Beliau cuba mengawal vokalnya dan sedikit berjaya pada pandangan saya. Tetapi pada pertengahan lagu tersebut beliau seakan hilang arah dan menjadi tidak tentu arah. Gerak-gerak ballet yang beliau cuba lakukan menyakitkan mata tanpa ada makna yang boleh disampaikan. Lagu yang sedap seperti Senandung Semalam menjadi kucar kacir apabila bahagian tinggi. Vokal Reza tidak begitu kemas. Saya harus puji penghayatan beliau dan mimik muka beliau yang sedaya upaya menyampaikan mesej lagu tersebut. Sebenarnya Reza sudah pun mendapat lagu yang bersesuaian dengan keupayaan vokal beliau tetapi nyanyiannya hambar. Beliau terlalu banyak mencuba untuk melakukan perkara yang di luar lingkungan nyanyian. Beliau bukan taruhan yang terbaik untuk Pilihan 5 Terbaik saya.

Konsert 04 AF3

Ekin - Antara Dua 5/10
Saya akui lagu ini sebuah lagu yang sukar. Lebih sukar kerana saya menyukai Farah. Apa yang membuatkan saya menonton persembahan Ekin adalah kerana pergerakan badannya yang menarik. Penguasaan pentasnya baik dan beliau bijak berinteraksi dengan penonton dan kamera. Sayang sekali persembahan vokal beliau tidak cemerlang seperti yang saya harapkan. Stamina beliau masih belum cukup baik untuk membawakan sebuah lagu yang penuh bertenaga ini. Vokalnya tidak kemas dan tidak begitu jelas kerana teknik pernafasan yang hancur. Kejutan kemunculan Osman Kering dan Harun Salim Bachik sedikit menggugat tumpuannya. Memang sukar untuk menyanyi dan menari dalam satu masa dan tumpuan Ekin banyak terganggu dengan nyanyiannya. Persembahan Ekin masih biasa dan tidak dapat membuktikan apa-apa.

Konsert 04 AF3

Idayu - Tiada Lagi Tangisan 8.3/10
Saya tertarik dengan persembahan vokal beliau yang begitu konsisten sejak minggu pertama. Penghayatan beliau juga baik. Kelebihan Idayu adalah mutu dan teknik vokal beliau yang mantap dan bertenaga. Corak persembahannya juga agak minimal dan tidak mencuba untuk melakukan gerakan yang bukan-bukan. Kawalan vokal beliau juga bagus terutama pada bahagian tinggi. Emosi lagu tersebut sampai kepada saya. Saya mahu melihat identiti Idayu agar lebih menyerlah pada minggu hadapan tetapi sayangnya kemaraannya terhenti pada minggu ini. Identitnya masih belum diserlahkan lagi dan beliau masih tercari-cari identiti yang sesuai dengannya.

Konsert 04 AF3

Amylea - Don’t Know Why 8.9/10
Melihat beliau duduk bersimpuh, saya terbayang Fantasia Barrino untuk lagu Summertime dan dengan warna baju yang sama dengan Amylea. Keberanian membawakan lagu tersebut sambil duduk bersimpuh harus dipuji. Permulaan yang mengkagumkan. Beliau nampak selesa dengan lagu tersebut kerana lagu tersebut adalah forte beliau. Saya suka dengan aksi dan pergerakan beliau yang simple tetapi indah dipandang. Kekurangan utama pada persembahan Amylea ialah apabila emosi lagu tersebut tidak begitu sampai kepada penonton. Amylea pada saya telah memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu berdasarkan mutu vokal beliau. Beliau harus diberikan sedikit pendedahan untuk lebih menyerlahkan personaliti beliau di dalam Diari Akademi.

Konsert 04 AF3

Aidil - Suratan Atau Kebetulan 2/10
Nyanyian Aidil sumbang. Cubaan beliau untuk memberikan sedikit sentuhan tersendiri tidak menjadi. Penghayatannya tidak konsisten. Saya tidak pasti sama ada Aidil menyanyi atau bercakap. Saya akui lagu tersebut lebih kepada bercerita dan menjadi sedikit mendatar. Beberapa kali tempo lagu tersebut seakan tidak kena dengan nyanyiannya. Kedengaran Aidil terkejar-kejar mengejar ritma lagu tersebut. Corak persembahannya minimal dan tidak banyak pergerakan yang menyukarkan. Emosi lagu tersebut tidak sampai kepada saya. Sebuah persembahan yang mendatar. Aidil seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk mengasah vokalnya di masa akan datang. Sudah empat minggu dan persembahan yang ditampilkan amat membosankan.

Konsert 04 AF3

Mawi - Nourel Ain 8.5/10
Saya tertarik dengan sebutan beliau yang jelas untuk lagu tersebut. Bait-bait lirik lagu Arab tersebut disampaikan kepada penonton satu persatu. Mawi sendiri nampak selesa dengan nyanyiannya. Interaksinya dengan penari latar juga meyakinkan dan cuba mencipta jeritan penonton untuk terus mengikuti persembahannya. Saya nampak perubahan besar yang dibawa oleh mawi adalah gerak tariannya yang semakin meyakinkan. Gerakan tariannya sungguh sharp terutama pada penghujung lagu tersebut sebelum tamat lagu tersebut. Synchronization antara mawi dan penari latar amat bagus. Beliau perlu mengasah lagi vokal yang ada pada beliau agar dapat divariasikan lagu untuk pelbagai genre lagu. Karisma beliau baik di dalam Diari Akademi mahu pun Konsert Akademi adalah sebab mengapa pengundi setia bersamanya. Mawi turut mendapat sokongan padu dari Makcik Terlampau.

Menuju Puncak
Tiada apa yang kurang dalam lagu Menuju Puncak selain tariannya yang semakin hambar. Ini baru minggu keempat saya sudah dapat melihat yang tarian lagu menuju Puncak satu yang hambar. Memang geraknya mudah kerana banyak bahagian yang kosong dan pelajar hanya perlu berpusing tanpa gerak-gerak yang sukar. Lama-kelamaan geraknya menjadi sesuatu yang bosan untuk ditonton. Menonton dari Tingkat Satu, saya dapat melihat koreografi tarian tersebut secara keseluruhan dan berbeza apabila menonton di Arena kerana kepala perlu terdongak-dongak untuk menyaksikan mereka beraksi. Saya mengharapkan tarian Menuju Puncak perlu diubah memandangkan pelajar yang sedikit keras seperti Mawi dan Felix telah pun dapat menyesuaikan diri dengan gerakan tersebut. Maka inilah masanya yang paling sesuai untuk melihat sebuah lagi tarian Menuju Puncak yang lebih sukar dan tidak hanya pusingan 360 darjah tanpa makna.

Keputusan Penyingkiran
Terlalu banyak teori timbul menjelang penyingkiran malam itu. Kebanyakan teori-teori tersebut bermula dari blog ini dan ditinggalkan di bahagian komen pada sekitar minggu lepas. Bermula dengan Teori EFA iaitu nama awal untuk pelajar yang tersingkir iaitu Edlin, Fitri dan Anding. Maka untuk Akademi Fantasia 3, nama Elliza, Fuad dan pelajar yang mempunyai awalan A turut menjadi perhatian. Nama Amy, Amylea, Akma dan Aidil menjadi taruhan mereka. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya mereka terselamat dari teori-teori tersebut. Maka pelajar yang selainnya pula menjadi mangsa.

Nama-nama Marsha, Idayu, Ekin, Mawi, Felix, Reza, Kefli dan Yazer pula dijadikan sandaran mereka. Siapakah pula yang menjadi mangsa ? Ku sangkakan pelajar lelaki akan dipanggil ke hadapan, tetapi rupanya mereka terselamat. Reza dan Kefli terselamat pada minggu ini. Tinggal 3 pelajar perempuan iaitu Ekin, Idayu dan Marsha. Amat sukar untuk melepaskan Idayu kerana kehebatan vokal beliau. Amat sukar untuk melepaskan Marsha kerana kemanjaan yang dibawa olehnya di dalam Akademi dan amat sukar untuk melepaskan Ekin kerana personaliti senang yang dipancarkan oleh beliau. Tetapi itulah yang telah ditentukan oleh para pengundi. Kita sama-sama mengundi pelajar yang kita ingin lihat meneruskan penguasaan di peringkat seterusnya. Yang menjadi soal sekarang, hanyalah bilangan undi yang kita hantar untuk memberikan nadi kepada pelajar-pelajar tersebut. Jika diimbas kembali Akademi Fantasia 1, Atie telah tersingkir pada konsert ini dan Anding pada Akademi Fantasia 2. Mereka merupakan bekas pelajar UITM. Apakah Idayu ? Ya, akhirnya Idayu diumumkan sebagai pelajar ketiga yang tersingkir dari Akademi Fantasia.

Apakah persamaan yang dibawa oleh Burn dan Zarina ? :) Jom ramal !

Ranking sultanmuzaffar
Amylea - Don’t Know Why 8.9/10
Felix - Aku Semut Merah 8.8/10
Mawi - Nourel Ain 8.5/10
Idayu - Tiada Lagi Tangisan 8.3/10
Marsha - Tunggu Sekejap 8/10
Yazer - Nyanyian Serambi 7/10
Akma - L.O.V.E. 6/10
Amy - Bilang Saja 5.5/10
Ekin - Antara Dua 5/10
Reza - Senandung Semalam 4/10
Kefli - Seksa 3/10
Aidil - Suratan Atau Kebetulan 2/10

Imbasan 04 Akademi Fantasia
Tetamu : Adlin Aman Ramlie, Syafinaz dan Fauzi Marzuki
Tetamu Khas : Idayu, ibunya dan kakaknya
Persembahan : Percayalah

Konsert 05 Akademi Fantasia
Konsert 05 akan berlangsung secara terbuka di lokasi luar dan masuk adalah percuma kepada semua peminat Akademi Fantasia dan juga Ahli Parlimen. Konsert tersebut akan diadakan di Dataran Putrajaya, Boulevard, Precint 3, Putrajaya. Pengumuman tersebut sebenarnya telah disiarkan di blog ini sekitar minggu lepas dan tiada siapa yang mengambil endah kerana menyangkakan ia adalah suatu gossip. Semalam, ia menjadi kenyataan.

Kedudukan Undian Selepas Konsert
Mawi 24%
Felix 20%
Yazer 7%
Amylea 7%
Marsha 6%
Kefli 6%
Ekin 6%
Amy 5%
Akma 5%
Reza 5%
Aidil 5%
Idayu 5%

Kredit Foto : www.astro.com.my

Entri oleh sultanmuzaffar 24 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 09
Kad Wasiat diserahkan kepada pelajar yang diminta untuk membacanya. Kefli --> Reza, Felix --> Mawi, Mawi --> Felix dan Idayu --> Marsha.

Kelas Bahasa Inggeris Cikgu Fatimah
Sewaktu Kelas Bahasa Inggeris, Cikgu Fatimah telah meminta Amylea untuk menyatakan "The thing I like about you is..." Marsha menyatakan kepada Amy, "You are beautiful inside and outside and understanding”. Manakala Amy menyatakan kepada Marsha, "You are cute, cheeky in a good way, and you can get along with everyone". Aidil berkata kepada Yazer, "You are very straight forward and sincere". Manakala Yazer berkata kepada Aidil, "You arevery cautious, good personality".

Ekin menyatakan kepada Kefli, "You arecute and caring”. Mawi menyatakan kepada Felix, "Your face looks like Wahid Satay". Seluruh kelas ketawa. Manakala Felix menyatakan kepada Mawi "Your head is very bulat, your body is…." Semua gelak juga. Body ??

Latihan Cikgu Adnan
Nyanyian Yazer masih biasa dan tidak cukup kemas. Saya mengharapkan nyanyiannya lebih bertenaga dan sebutan yang lebih jelas daripada beliau. Cikgu Adnan menyarankan kepada Yazer agar memperbaiki vibratonya.

Nyanyian Marsha boleh saya sifatkan bagus dan saya menyukainya. Begitu juga dengan Akma yang saya lihat sebagai satu peningkatan yang memberangsangkan. Akma harus lebih agresif di atas pentas untuk menampilkan pergerakan yang lebih mempersonakan.

Nyanyian Reza nyata masih sumbang pada beberapa bahagian. Beliau harus menjaga pitching beliau dengan betul. Nyanyian Idayu amat baik dan penuh dengan penghayatan.

Kad Wasiat
Amy --> Akma, Marsha --> Idayu, Reza --> Kefli dan Akma --> Amy !

Kelas Tarian Cikgu Linda
Latihan untuk Mawi masih dibaiki mana yang patut. Cikgu tidak dapat untuk melakukan kreativiti beliau kerana pergerakan Mawi agak terhad. Ini secara tidak langsung membuatkan Cikgu Linda kurang berpuas hati dengan hasilnya. Gelekan Mawi juga masih keras dan Cikgu Linda telah menasihatkan beliau untuk melakukan gerakan silat. Kelonggaran yang diberikan oleh Cikgu Linda merupakan satu kemudahan kepada Mawi. Beliau boleh menggunakan peluang tersebut untuk mencipta kreativiti beliau sendiri tanpa terikat dengan ajaran Cikgu Linda.

Akma menjalani latihannya dengan menggunakan bulu-bulu dalam persembahannya. Beliau mencuba untuk menyesuaikan dirinya dengan kehadiran bulu-bulu tersebut. Akma saya lihat mampu untuk menampilkan sebuah persembahan yang jauh lebih hebat dari persembahan Amylea untuk lagu Asmara.

Kad Wasiat
Aidil --> Akma, Amylea --> Marsha, Yazer --> Ekin dan Ekin --> Kefli !

Ramli Sarip di Akademi Fantasia
Papa Rock muncul ke dalam Akademi Fantasia dengan diiringi oleh Pengetua M.Nasir untuk memberikan nasihat beliau kepada mereka. Menurut Ramli Sarip beliau banyak membaca tentang Akademi Fantasia serta menonton persembahan mereka. Fenomena ini merupakan satu pembaharuan kepada dunia persembahan di Malaysia.

Sebagai artis, mereka amat beruntung kerana populariti dari rancangan tersebut. Menurutnya lagi ada dua jenis penyanyi, iaitu penyanyi yang sememangnya ingin menjadi penyanyi dan juga penyanyi jadi jadian. Penyanyi yang jadi jadian inilah yang kita tidak mahu.

Menyanyi bukan sekadar untuk berseronok. Setiap dari kita harus serius di dalam bidang seni. Menyanyi perlukan pengorbanan. Di dalam 100 orang penyanyi, cuma 15 yang akan terus kekal. Maka tidak mustahil jika ada yang kalah dan jangan kecewa dengan kekalahan tersebut. Jika punya perasaan kecewa, ini bukan bidang anda. Setiap dari kita telah pun mendapat restu dari keluarga masing-masing.

Menyanyi sahaja tidak mencukupi, setiap dari kita harus membaca, menulis, berfikir, mendengar dan merasainya. Jika mahu menjadi artis perlu menjadi artis yang berilmu. Kita harus menggunakan pengaruh dan populariti untuk memajukan industri. Jangan takut untuk melakukan perubahan dan buat apa yang dirasakan terbaik untuk memberikan satu perspektif baru kepada industri seni tanahair.

Saya bangga dengan sikap rendah diri Ramli Sarip yang berbual dengan anak-anaknya dengan menggunakan kata ganti dirinya sebagai saya. Jarang benar artis yang menggunakan saya sebagai kata ganti diri. Antara artis yang pernah saya dengar menggunakannya ialah Sheila Majid. Menggunakan nama sendiri sebagai kata ganti diri nampak kurang sifat rendah diri.

Ramli Sarip menandatangani gitar milik Yazer. Kegembiraan Yazer tidak dapat disembunyikan oleh beliau. Gaya percakapan Yazer serupa dengan gaya percakapan Mas. Mereka datang dari bandar yang sama.

Ramli Sarip kemudiannya menyanyikan lagu Nyanyian Serambi secara unplugged. Pengetua M.Nasir meminta Yazer mengambil tempatnya untuk menyanyi bersama-sama Ramli Sarip secara harmoni. Memang sungguh sedap nyanyian tersebut walaupun vokal Yazer agak tenggelam berbanding vokal Ramli Sarip. Vokal Ramli Sarip lebih jelas dan bertenaga. Katanya menonton Akademi Fantasia, tetapi tidak mengetahui lagu pelajar adalah bukan pilihan pelajar tetapi pilihan pihak penerbitan.

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 10
Saya semakin menyukai kelas motivasi yang dikendalikan oleh Dr. Azahari. Saya akan menunggu setiap hari Jumaat dengan penuh sabar. Kelas beliau menampilkan kaedah yang berbeza-beza setiap minggu. Daya kreativiti beliau sebagai tenaga pengajar harus saya puji. Beliau bijak menggunakan aktiviti-aktiviti yang menarik untuk menarik perhatian pelajar dan meningkatkan motivasi pelajar di kala hari terakhir sebelum membuat persembahan di konsert mingguan. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar dapat diredakan dengan aktiviti-aktiviti kelolaan beliau serta dapat membuka pemikiran pelajar tentang aktiviti-aktiviti tersebut. Dr. Azahari perlu dikekalkan di Akademi Fantasia musim hadapan. Gandingan Dr. Azahari dan Cikgu Fatimah tentu akan menghasilkan sesuatu yang lebih sempurna kelak.

Hari Jumaat merupakan hari yang paling besar tekanan yang dihadapi oleh pelajar. Pelajar diminta untuk berkumpul di dalam satu bulatan. Kemudian mereka diminta untuk mendepangkan tangan kiri mereka dan memegang tangan kiri pelajar lain di hadapan mereka. Tangan kanan pula digunakan untuk memegang tangan kanan pelajar selain dari tangan kiri pelajar tadi. Hasilnya satu kekusutan yang dapat dilihat di hadapan mereka. Itulah contoh kepada masalah. Mereka harus menyelesaikan masalah tersebut. Meleraikan kekusutan di hadapan mereka. Mereka harus memikirkan bersama-sama kaedah penyelesaian kepada kekusutan tersebut. Aktiviti sebegini dapat menjana pemikiran pelajar. Sikap kerjasama juga dapat dipupuk. Akhirnya pelajar perempuan berjaya megusaikan kekusutan tersebut berbanding pelajar lelaki.

Satu lagi perumpamaan yang telah dijentik oleh Dr. Azahari adalah tentang pentingnya diri kita dicurah dengan sifat-sifat dan sikap-sikap yang positif. Diletakkan sebuah gelas di dalam sebuah balang. Di dalam gelas tersebut dituang cecair berwarna yang pekat tanda sifat-sifat negatif yang ada dalam diri kita. Ia perlu dilakukan sesuatu untuk meneutralkan sifat-sifat negatif tersebut. Caranya adalah dengan menyemai sifat-sifat positif dalam diri kita. Dituang air jernih tanda sifat-sifat positif ke dalam gelas tersebut. Cecair pekat berwarna tadi menjadi semakin cair kerana telah bercampur dengan cecair jernih. Ia semakin diseimbangkan. Lama-kelamaan, air berwarna (sifat negatif) tadi semakin mencurah keluar dan menjadi jernih setelah dibajai dengan sifat-sifat positif (air jernih). Sekali lagi pemikiran pelajar dijentik dengan perumpaan yang boleh membuatkan mereka berfikir. Dr. Azahari boleh dinobatkan sebagai seorang pendidik yang berjaya di dalam Akademi Fantasia musim ini.

Komen Pelajar
Reza berharap agar dapat melakukan yang terbaik esok. Yazer berdebar-debar untuk membuat persembahan di hadapan Tenaga Pengajar. Mawi berharap agar keluarganya dapat mendoakan kejayaannya. Begitu juga dengan Aidil yang mengharapkan restu keluarganya. Kefli merasa agak terseksa dengan lagu tersebut kerana nadanya yang agak tinggi. Felix berharap dapat membawakan lagu dangdut sedih itu dengan baik. Akma mengharapkan sokongan dari keluarganya. Amylea berasa agak risau dengan lagu tersebut tetapi berharap dapat melakukan yang terbaik.

Komen Tenaga Pengajar
Nyanyian Felix agak baik penghayatannya. Ekspresi mukanya kena dengan mood lagu tersebut. Beliau harus lebih berhati-hati dengan lenggok lagu dangdut tersebut agar dapat membawakannya dengan lebih baik. Beliau harus lebih berinteraksi dengan penonton.

Mawi nampak berkeyakinan besar dengan lagunya. Penyanyi latar perlu lebih serius membantu Mawi. Mawi juga perlu mengambil berat soal tempo lagu tersebut. Kedengaran agak rushing dengan lenggok-lenggok yang tidak perlu.

Bahagian korus pada nyanyian Aidil kedengaran sedikit sumbang. Beliau masih menyimpan vokalnya dan tidak melontarkan vokalnya seratus peratus. Interaksinya dengan penari juga perlu lebih natural dan tidak seperti melakukan mengikut skrip.

Persembahan vokal Reza masih biasa dan corak persembahannya tidak saya sukai sejak hari pertama beliau melakukan latihan. Penggunaan selendang seakan menghilangkan kemachoan lagu tersebut.

Nyanyian Kefli nampak perubahan. Beliau mempunyai lenggok-lenggok dalam style beliau yang tersendiri tanpa mengikut kepada penyanyi asal lagu tersebut. Kefli perlu lebih berkeyakinan dan tidak terlalu nampak berhati-hati di atas pentas.

Nyanyian Yazer juga masih tidak kemas. Lagu ini memang mencabar kerana bukan forte beliau. Yazer harus melontarkan vokalnya dengan lebih kemas serta menjaga sebutan-sebutannya agar lebih jelas.

Akma telah menampilkan mutu latihan yang paling cemerlang. Gayanya jelas nampak profesional. Pergerakannya menjadi dan persembahan vokal beliau juga kena dengan lagu tersebut. Lagu ini bakal membuka mata peminat yang beliau mampu pergi jauh. Inilah x-factor yang dicari-cari dari dalam diri Akma.

Amylea juga cemerlang dalam persembahannya. Vokalnya masih boleh diperbaiki terutama dari aspek sebutannya yang jelas masih disimpan dan tidak dilontarkan sepenuhnya. Lagu ini sebuah lagu yang simple dan jika silap langkah ia akan menjadi persembahan yang membosankan kerana tidak banyak muzik latar.

Amy ditegur kerana pergerakan bertenaganya tetapi tiada makna. Beliau bergerak pantas dan tangkas di atas pentas tetapi apa yang ingin disampaikan. Masih kosong. Nyanyiannya baik tetapi beliau perlu menampilkan aspek persembahan yang lebih meyakinkan.

Marsha bakal mempersembahkan sebuah persembahan vokal yang penuh dengan dinamik dan style yang baik. Saya menyukai style nyanyiannya yang cuba lari dari cara Jaclyn Victor. Saya melihat Marsha mampu membawakan lagu tersebut dengan lebih baik lagi.

Idayu tidak menghadapi masalah yang besar untuk lagu tersebut. Kawalan vokalnya terbaik untuk lagu-lagu sebegini. Beliau harus menampilkan corak persembahan sebuah lagu balada yang lebih meyakinkan.

Pergerakan Ekin nampak meyakinkan. Sayang sekiranya persembahan vokal beliau tidak dapat diberikan seratus peratus. Vokal beliau kedengaran agak shaky. Kawalan vokalnya masih tenggelam timbul.

Komen Pelajar
Amy merasa gembira dapat membawakan lagu bercorak pop-rock ini. Ekin merasa sedikit gusar dengan lagunya yang sememangnya sukar kerana note yang tinggi dan perlu menari dalam waktu yang sama. Marsha agak berkeyakinan dengan lagunya. Begitu juga dengan Idayu.

Ramalan Penyingkiran
Jika berdasarkan kepada sentimen penonton yang kurang berdasarkan personaliti, Idayu dan Reza merupakan pilihan utama untuk tersingkir. Bezanya Idayu mempunyai mutu vokal yang lebih baik berbanding Reza. Ditambah pula dengan sentimen simpati selepas terbaca berita yang bapa Idayu telah dilaporkan dirompak di Machang Kelantan. Ini mungkin akan menaikkan lagi undian untuknya ataupun juga menjatuhkan lagi undian untuk beliau kerana pada pemikiran sesetengah pengundi, anak orang kaya seharusnya tidak diberikan peluang untuk belajar di dalam Akademi Fantasia.

Pada pandangan saya, Aidil agak selamat pada minggu ini kerana personaliti beliau yang semakin boleh diterima oleh para pengundi. Kedudukan Kefli, Amylea agak goyah pada kedudukan terkini. Tetapi berdasarkan sentimen pengundi simpati, nama-nama pelajar paling bawah akan sentiasa naik selepas konsert. Jika melihatkan kedudukan paling rapuh pada minggu lepas, Amy juga berkemungkinan besar mempunyai peluang untuk tersingkir.

Faktor akhir penilaian penonton adalah berdasarkan persembahan konsert. Secara tidak langsung kedudukan giliran persembahan juga memainkan peranan yang penting. Bilangan undian untuk pelajar yang terakhir membuat persembahan tentunya terjejas. Ini adalah sentimen-sentimen wajib pada setiap minggu setelah 3 musim Akademi Fantasia berlangsung.

Pilihan saya untuk tersingkir ialah Reza kerana personaliti dan peningkatan yang beliau tunjukkan di dalam Akademi. Manakala Kefli dan Aidil adalah pilihan saya yang kedua dan ketiga berdasarkan kepada keupayaan persembahan vokal yang mereka punyai adalah agak rendah berbanding pelajar lain. Jika anda mahu membuktikan ramalan saya silap, sila jalankan tanggungjawab anda dengan mengundi !

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Petaling Street Birthday Bash : Jambatan Baru Terbina

Petaling Street Birthday Bash


Pada awalnya saya tidak merancang untuk hadir pada pertemuan ini. Memandangkan panggilan Diari Akademi Fantasia lebih kuat menarik saya. Menjelang petang saya menerima private message dari tvsmith bertanyakan sama ada saya hadir atau pun tidak. Sememangnya komuniti di Petaling Street terlalu asing bagi saya. Ini merupakan kali pertama saya akan bertemu dengan mereka sekiranya saya hadir pada pertemuan tersebut.

Saya akhirnya membuat keputusan untuk hadir. Saya membuat segala persiapan seperti menelefon Charlie’s Place untuk membuat tempahan makanan. Memandangkan hampir 70 orang akan hadir pada malam tersebut, tentunya pesanan akan sedikit sesak.

Setibanya di Charlie’s Place, blogger pertama yang saya jumpa ialah Aizuddin iaitu pengasas Petaling Street. Sebenarnya apabila berpeluang untuk hadir dalam majlis tersebut, saya melihat ia merupakan langkah pertama untuk menghubungkan blogger berbahasa Melayu dan berbahasa Inggeris. Banyak aktiviti yang boleh dirancang bersama untuk meningkatkan lagi pandangan masyarakat kepada dunia blogger Malaysia.

Saya berpeluang untuk bertemu mata dan berbual dengan Pak Adib, Y.L. Chong dan Moto Kecik. Duduk semeja dengan mereka dan berkongsi pengalaman. Saya tertarik dengan idea untuk menarik golongan muda agar bukar sekadar Akademi Fantasia tetapi juga membawa mereka untuk meminati bidang seni yang lain serta menghayatinya.

Saya melihat ia sebagai satu tanggungjawab yang besar tergalas di bahu saya. Sememangnya itu tujuan utama saya sejak mula lagi. Selain Akademi Fantasia, saya mahu bidang seni seperti teater dan filem turut diminati oleh golongan muda. Kiranya seperti serampang dua mata. Saya akan cuba untuk menarik golongan muda peminat Akademi Fantasia ini agar turut terpanggil untuk meminati cabang seni yang lain.

Majlis telah bermula. Saya tidak mengikuti secara terperinci perjalanan majlis kerana leka berbual dengan Elizabeth Wong, Setiausaha Agung, National Human Rights Society, Malaysia dan Zaitun (Toni) Kassim, aktivis wanita dan seorang aktivis dari SUARAM. Mengemaskinikan perkembangan terkini tentang diri masing-masing. Sehingga sekarang, saya masih berasa bangga apabila diperkenalkan oleh mereka saya sebagai salah seorang tenaga di belakang laman web Sivarasa.com. Sudah lebih setahun dan mereka masih mengingatinya. Saya masih mengingatinya.

Saya sempat bertemu dengan TVSmith dan berbual seketika dengan beliau. Bagaimana saya merasa rendah diri apabila bertemu dengan mentor-mentor blogger sepertinya. Saya benar-benar mengkaguminya terutama gambar-gambar yang telah beliau rakamkan di blog beliau. Daya kreativiti beliau yang agak sinis sememangnya melucukan. Saya tidak menyangka yang beliau sebenarnya sudah berumur. Oppps.

Saya juga sempat berbual seketika dengan Jeff Ooi, Bapa Blogger Malaysia. Tahniah kerana menang anugerah Ping Of The Year Award. Terpampangnya artikel berkenaan beliau di muka hadapan Berita Harian secara tidak langsung merupakan satu pengiktirafan kepada para blogger Malaysia. Ini membuktikan yang suara kita didengari dan diambil perhatian oleh beberapa pihak.

Siapa yang menang ?
Simon - Neophyte Blog Of The Year Award
Jeff Ooi - Ping Of The Year Award
Kenny Sia - Blog Of The Year Award

Akhirnya sebelum pulang, saya sempat bertemu dengan Mack Zulkifli dari Brand New Malaysian. Beliau pernah menulis tentang saya di dalam blognya

"It is from blogs like this, titled Sultan Muzzafar, that is the vein of youth readership in blogs. These are the guys that dictate youth mentality and they do it by networking with other sites, and eventually forming a pocket of popular culture, a conversation piece."


Pengalaman bertemu dengan beliau dan berkongsi sedikit pengetahuan dan nasihat tentunya amat berharga. This bugger boleh bercakap tanpa henti dan tidak memberikan peluang saya untuk mencelah. Kata beliau lagi, wartawan The Star ingin mewawancara saya. Hati saya sudah gelisah kerana jam sudah hampir 11 malam. Saya perlu pulang untuk Diari Akademi Fantasia.

Terima kasih Sharizal.net kerana menjadi F&B Manager yang paling bekerja keras memastikan semua cukup makan ! Saya hanya menerima makanan saya sekitar jam 9.30 malam. Hingga blank dibuatkan kerana kelaparan. Baca puisi di Y.L. Chong. No worries ! I'm enjoying myself there !

Entri oleh sultanmuzaffar 23 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 07
Setelah hari keempat, maka nama yang sesuai untuk dua kamera yang ada di dalam Akademi pun telah ditemui. Terlalu banyak cubaan yang telah diberikan oleh pelajar. Bayangkan sehingga hari keempat baru ditemui nama yang paling sesuai. Sebenarnya pada hari pertama telah pun ditetapkan nama yang paling sesuai, cuma ia perlu diteka oleh para pelajar. Akhirnya nama kamera tersebut ialah Tipah Tipah dan Tuan Besar. Apa jenis nama yang mengisi kekosongan nama dua kamera tersebut ? Nama yang tiada nilai komersial. Lebih banyak nama yang lebih sesuai. Tuan Besar masih boleh diterima tetapi Tipah Tipah seakan sudah basi nama tersebut. Tipah Tertipu ? Apa fungsinya ?

Kelas Cikgu Adnan Abu Hassan
Mawi masih mengekalkan alunan nasyidnya untuk lagu tersebut. Tiada salahnya kerana lagu tersebut berlenggok Arab. Tetapi vokalnya pada bahagian awal lagu tersebut agak tidak kedengaran. Tidak cukup bertenaga. Berbeza dengan sewaktu mencapai korus apabila vokalnya dapat didengari dengan lebih jelas. Teknik lontaran beliau harus lebih dibaiki. Beliau harus lebih yakin dengan lagu tersebut kerana genre lagu tersebut adalah pilihannya.

Nyanyian Aidil masih biasa. Vokalnya masih belum dilontarkan sepenuhnya. Kadang-kadang saya dengar melodi lagu tersebut lebih jelas dari mendengar vokal Aidil sendiri. Aidil harus lebih yakin untuk melontarkan vokalnya. Memberikan yang terbaik dalam persembahannya.

Begitu juga dengan Yazer yang nampak agak kekok dengan lenggok lagu Nyanyian Serambi. Lontaran vokalnya tidak kemas. Serak-seraknya seperti serak Ramli Sarip. Pergerakan Yazer banyak mengehadkan mutu vokalnya.

Ekin antara pelajar yang paling merisaukan saya pada minggu ini. Vokal beliau nyata tidak mampu untuk mengangkat lagu Antara Kita ke satu peringkat yang lebih tinggi. Ekin tidak mempergunakan kelebihan vokal beliau untuk lagu ini. Nyanyiannya nyata sumbang dan vokalnya banyak yang tidak kena. Ekin tampak tidak begitu yakin dengan kebolehannya sendiri.

Saya menyukai pergerakan Amy untuk lagu Bilang Saja. Beliau nampak bebas sewaktu membuat persembahan. Lontaran vokal beliau juga baik. Manakala nyanyian Marsha masih banyak yang boleh dibaiki. Beliau sedaya upaya untuk memberikan kelainan pada lagu tersebut setidak-tidaknya melarikan diri dari imej Jaclyn Victor. Marsha agak rushing dan tidak mengikuti tempo lagu tersebut.

Saya terpegun dengan pergerakan Akma sewaktu latihan. Gaya persembahannya nampak menarik. Beliau menampilkan attitude yang nyata berbeza daripada perwatakannya di dalam Akademi. Gaya beliau mula menyerlah. Persembahan vokal beliau juga baik.

Felix pada saya telah menampilkan penghayatan yang luar biasa. Beliau sedaya upaya cuba untuk memahami lirik lagu tersebut dan menghayatinya sebaik mungkin. Nyanyiannya yang mendayu-dayu mampu menarik perhatian penonton. Beliau harus lebih berani melontarkan vokalnya terutama dalam lenggok dangdut yang agak rendah.

Pada pandangan saya Kefli semacam selesa dengan lagu ini. Beliau nampaknya tiada masalah untuk melontarkan vokalnya untuk lagu Seksa. Tidak nampak beliau terseksa. Kefli cuma perlu lebih berkeyakinan tinggi untuk melontarkan vokalnya.

Idayu rasanya tiada masalah membawakan lagu Tiada Lagi Tangisan. Nampak persiapan beliau untuk lagu tersebut agak rapi. Teknik vokal dan nyanyiannya dipergunakan sepenuhnya untuk lagu tersebut.

Keras Kepala Ekin
Ekin seperti seorang yang tiada disiplin diri di dalam kelas tersebut. Beliau tidak cukup kuat untuk menghadapi cabaran. Beliau cepat merasa putus asa apabila tidak dapat melakukan apa yang telah disuruh kepada beliau. Di dalam fikirannya sudah tertanam sifat negatif tersebut lalu terbawa-bawa ke dalam kelas. Tampak jelas ketakutan menyelubungi wajahnya apabila berhadapan dengan Cikgu Siti Hajar dan Pengetua M.Nasir. Sesekali matanya mula merah.

Pengetua M.Nasir menyatakan tidak sukar untuk membawakan lagu pop. Tahap serius ekin boleh dipertikaikan. Bukan sahaja di dalam kelas vokal tetapi juga dalam kelas tarian. Ia pernah ditegur. Apabila ditanya oleh Pengetua M.Nasir tentang serius beliau menjawab “Semestinya serius.” Tetapi postur beliau yang bersandar di piano semacam seorang yang malas dan telah berputus asa. Dimarahi oleh M.Nasir lagi dengan kata-kata yang agak pedas iaitu “Awak belum cukup profesional untuk bersandar di piano.”

Menangis lagi Ekin. Menangis bukan cara penyelesaian yang baik. Sebaliknya bertindak untuk memperbaiki diri adalah jalan paling terbaik. Puas dipujuk Aidil, Idayu dan Yazer. Masih berdegil. Di situ tampak sifatnya yang keras kepala dan sukar dibentuk oleh rakan-rakannya. Ekin tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakannya. Jika itu yang dia mahu, itulah. Cara beliau bersalam dengan Pengetua M.Nasir juga seperti tanda protes yang jelas terpancar pada raut wajahnya. Sikap itu perlu dibuang dari dalam dirinya.

Jika kita dihiburkan dengan lawak bahasa Thai oleh Kaer di Akademi Fantasia 2, kini kita bakal dihiburkan dengan lawak bahasa Jawa oleh Mawi. Saya meletakkan mereka ini sebagai masih kebudak-budakan. Saya kurang menyukai gaya Kaer di dalam Akademi Fantasia 2. Lawak-lawaknya masih kebudak-budakan. Begitu juga dengan Mawi. AKsi-aksi slapstick tersebut perlu dikurangkan. Begitu juga dengan Yazer yang membuat muka di hadapan kamera.

Kemunculan Zainal Alam Kadir, Editor di The Malay Mail telah muncul di Akademi Fantasia untuk memberikan sedikit tips kepada para pelajar tentang bagaimana untuk berhadapan dengan wartawan. Beliau menasihat pelajar agar mengenali penulis dengan cara penulisannya. Beliau turut menekankan bagaimana pentingnya seseorang wartawan dalam hidup mati karier seorang artis. Ini merupakan satu pengajian penting untuk mereka di dalam Akademi. Ilmu ini hanya akan diperolehi setelah menghadapi situasi sebenar apa yang berlaku di luar. Perkara-perkara asas perlu disemai untuk para pelajar.

Soft Porn
Nampaknya Diari Akademi Fantasia semakin ketandusan idea sehinggakan aksi-aksi seperti tidak berbaju di dalam asrama juga disiarkan. Semalam Aidil ditampilkan di hadapan kamera tanpa berbaju dan hari ini Yazer muncul dengan bertuala mandi. Undian untuk Aidil naik satu anak tangga semalam. Hari ini jatuh kembali. Yazer terus mengekalkan undiannya. Untuk berlaku adil kepada semua peminat, setiap pelajar harus berpeluang ditampilkan tidak berbaju atau bertuala mandi untuk tatapan semua. Ini permintaan saya. Tentunya peminat Mawi, Felix, Kefli ingin melihat sesuatu yang jarang-jarang dilihat oleh mereka. Undian akan semakin tinggi. Itu trend.

Oh ya ! Sehingga terlupa saya dibuatnya. Felix berlatih dengan amat baik untuk lagunya. Beliau berusaha mendapatkan penghayatan yang betul untuk lagu tersebut serta cuba mencipta gerak-gerak yang minima dan sesuai dengan rentak lagu tersebut.

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 08
Cikgu Ee dan Idayu memohon agar dibenarkan untuk membuka selempangnya sewaktu kelas tarian.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Ada peningkatan yang ditunjukkan oleh pelajar tetapi sengaja beliau tidak memberitahu kepada para pelajarnya kerana bimbang pelajarnya akan mudah lupa diri.

Persembahan Idayu diselitkan dengan pergerakan yang saya kira nampak segar. Persembahan vokalnya baik dan ditambah lagi dengan pusingan-pusingan yang boleh menampilkan elemen mengkagumkan dalam persembahannya. Beliau akan tampak lebih profesional.

Reza menampilkan persembahan yang mana penghayatannya lebih jelas. Selendang yang beliau bawa seakan-akan memberikan bantuan kepadanya. Namun demikian, lontaran vokal beliau harus lebih lagi. Ada beberapa bahagian yang beliau masih belum berkeyakinan untuk melontarkan vokalnya.

Nyanyian Kefli masih kedengaran sumbang. Beliau tidak begitu pandai untuk mengekalkan note-notenya agar tidak tergelincir. Dari aspek persembahan, Kefli harus memberikan aksi kepada senikatanya. Ini membolehkan persembahannya tidak menjadi bosan.

Nampaknya penyengat yang menyengat Ekin telah pun berjaya dibunuh oleh Cikgu Siti Hajar.

Kelas Cikgu Siti Hajar
Reza masih bermasalah untuk melontarkan vokalnya. Beberapa kali juga beliau menarik vokalnya ke belakang dan tidak melontarkannya ke hadapan. Ini adalah tabiat Reza sejak minggu pertama lagi. Tidak banyak perubahan yang ditonjolkan oleh beliau.

Persembahan vokal Idayu agak baik. Cikgu Siti Hajar memberikan tips kepada beliau untuk menjaga lontaran vokalnya. Seorang penyanyi yang baik boleh mengawal vokalnya tampa perlu menarik pembesar suara.

Begitu juga dengan Akma yang telah cuba mewarnakan lagu tersebut mengikut gaya persembahannya yang lebih menyerlah. Kefli perlu memperbaiki bahagian-bahagian yang masih tidak kemas. Bahagian note rendah perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh Kefli. Masih kurang kedengaran.

Gembira sungguh pelajar-pelajar perempuan apabila mendapat barangan alat solek tajaan Loreal. Selepas pada ini, muka pucat Akma tidak seharusnya dijadikan tontonan lagi. Setidak-tidaknya gunakanlah peralatan tersebut untuk menyolek sedikit wajah mereka pada waktu pagi di dalam Akademi. Pelajar lelaki juga turut mendapat barangan tajaan. Marsha mencuba peralatan tersebut, manakala Idayu membantunya sambil diperhatikan oleh Amy dan Akma.

Kelas Cikgu Marlia
Kelasnya hanya sekadar memberikan lebih kekeliruan kepada pelajar akan ajaran Cikgu Ee, Cikgu Siti Hajar dan Cikgu Adnan. Cikgu Ee ajar tarian untuk persembahan, Cikgu Marlia memperbaiki pergerakan mereka dalam persembahan. Cikgu Ee suruh buat, Cikgu Marlia suruh buang. Lama-lama budak jadi keliru. Siapa yang salah ? Budak-budak atau cikgu ?

Akma menampilkan perwatakan yang jauh berbeza dari dirinya untuk lagu ini. Inilah yang cuba digali oleh Amy untuk menampilkan persembahan yang mampu menambat hati penonton. Memang sukar tetapi lagu LOVE merupakan sandaran yang terbaik buat Akma.

Amy harus menebuskan kesilapannya dalam lagu Sesalanku dengan lagu Bilang Saja. Lagu ini merupakan taruhan terbaik beliau untuk menampilkan persembahan yang lebih bertenaga. Pergerakannya harus lebih berkeyakinan.

Ekin sememangnya tidak selesa dengan lagu ini. Teknik pernafasannya perlu diperbaiki untuk lagu ini.

Berbeza dengan Marsha yang telah menampilkan persembahan yang berlainan dari yang biasa biasa kita lihat. Nyanyiannya juga menggunakan lenggoknya yang tersendiri tanpa meniru mana-mana pihak. Marsha cuba untuk melakukan kelainan dalam lagu tersebut. Beliau cuba untuk mencorakkan lagu tersebut mengikut acuannya.

Sembang Aidil & Cikgu Siti Hajar
Berbeza penerimaan Cikgu Siti Hajar apabila bersama Aidil berbanding penerimaannya sewaktu bersama Reza. Cikgu Siti Hajar lebih senang untuk mencurahkan segala ilmunya kepada Aidil daripada berkongsi cerita panas dengan Reza. Aidil mempunyai mata yang cantik, bakat dan muka yang boleh dijual tetapi sayangnya tidak dipergunakan oleh Aidil seratus peratus. Aidl masih menyimpan dan tidak mengeluarkannya. Aidil telah mencipta identitinya yang tersendiri. Beliau tidak mengikut gaya Rem, Jamal Abdillah atau P.Ramlee. Beliau membawakan lagu-lagu mereka dengan caranya yang tersendiri. Sayangnya beliau hanya memberikan sedikit sahaja kepada penonton dan mereka tidak puas dengan persembahan itu. Vokal yang menjadi elemen penting dalam persembahan adalah kelemahan utama Aidil dan perlu ditingkatkan dan dikeluarkan lagi. Aset utama itu perlu dieksploitasi untuk mendapat lebih undian dan bukannya imej tidak berbaju untuk tayangan umum. Ini bukan Mangga.TV.

Entri oleh sultanmuzaffar 22 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 05
Sila klik ke Akademi Fantasia - Coretan Seorang Rakyat Jelata : Gelek Mawi !

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 06
Nama yang sesuai untuk kamera masih belum diperolehi. Mereka harus memilih nama yang terbaik untuk dua kamera tersebut. Apakah kelainan yang ditunjukkan di dalam tarian Menuju Puncak ? Menari dengan kasut tumit tinggi ?

Di dalam Kelas Seni Persembahan, siapakah yang menjadi pilihan sebagai pelajar paling sopan santun pada satu tugasan yang telah diberikan ? Apakah Reza atau Idayu ? Manakala sebuah arca telah dibuat atas arahan Cikgu Marlia. Pelajar dikehendaki untuk memberikan intepretasi kepada maksud arca tersebut. Antara Reza, Yazer dan Kefli, siapa lebih kreatif ?

Satu pemeriksaan mengejut telah dilakukan oleh Pengetua ke atas pelajar. Beliau telah masuk ke Kelas Teknikal Vokal kelolaan Cikgu Siti Hajar. Saksikan latihan nyanyian yang telah dibuat oleh Felix dan Amy. Berjayakah mereka membawakan lagu Aku Semut Merah dan Bilang Saja ?

Ini tanda Diari malam ini membosankan. Ini bukan protes. Sekadar sentiasa bersedia.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Harian Metro Edisi Nasional: Lelaki biarlah macho...
Oleh Manan Samad
Harian Metro Versi Internet

Seperti isu berkemban dalam filem Sepet, kali ini air mata Akademi Fantasia pula dibawa ke dalam Dewan Rakyat. Satu yang sudah dijangkakan untuk sebuah rancangan yang popular sebegini. Nampaknya Ahli Parlimen bersuara lagi. Komen-komen yang diberikan oleh mereka nampaknya tidak berasas sama sekali.

Datuk Badrudin Amiruldin (BN-Jerai) berkata, beliau menganggap gaya pengacara itu mengendalikan rancangan terbabit boleh memberi contoh tidak elok kepada golongan remaja.

"Saya nampak ia keterlaluan, pengacara menjerit, melalak, adakah ia wajar hanya setakat untuk memperkenalkan penyanyi. Kalau buat persembahan biarlah sederhana dan tertib, (supaya tidak) bertentangan dengan kempen budi bahasa yang dilancarkan kerajaan.

"Anak muda boleh terbawa-bawa perangai itu, bukan lembut tak boleh, lemah lembut bagus, tetapi kadang kala `dressing’ keterlaluan, rambut yang elok jadi tercacak.

Lembut salah, kurang ajar ala2 Adlin Aman Ramlie pun salah. Keliru rakyat Malaysia dibuat dek ahli-ahli Parlimen yang menagih undi kita setiap 4 tahun sekali ini. Setahu saya sebagai seorang rakyat Malaysia, tidak pernah tertulis undang-undang yang menjadi seorang yang lemah lembut satu kesalahan. Aznil Nawawi, pengacara rancangan tersebut tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak pernah melanggar undang-undang Malaysia. Aznil hanya bertindak berdasarkan nalurinya sebagai seorang manusia yang mempunyai perasaan sedih, gembira dan sebagainya. Kita seharusnya menghormatinya sebagai seorang individu

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bebas, saya menonton rancangan ini sejak Akademi Fantasia musim pertama. Jika semua orang menyukainya, waima anak Ahli Parlimen sendiri menyukainya, kita tidak wajar mengutuk rancangan yang telah menghiburkan kita. Rancangan ini secara tidak langsung telah menghimpunkan ahli keluarga setiap hujung minggu. Apakah itu satu keburukan yang telah dibawa oleh rancangan ini ?

Apakah kerana sifat seorang pengacaranya yang lemah lembut telah memberikan kesan negatif kepada masyarakat ? Jika sedemikian rupa, perbanyakanlah rancangan yang menampilkan lelaki macho, perempuan yang bertudung di siaran televisyen kerana ini khabarnya dapat memberikan kesan positif kepada remaja. Ia adalah satu andaian yang nyata tidak berasas.

Satu perspektif yang harus diberikan perhatian, siapakah yang akan memenuhi kerusi-kerusi VVIP sewaktu Konsert Kemuncak kelak, jika bukan anak-anak kerabat diraja dan anak-anak Menteri.

Antara komen lain beliau ialah,
“Ini tengok Akademi Fantasia sampai menangis, terharu sungguh, kadang-kadang mak bapak mati tak nangis macam tu, kita terbawa-bawa terpengaruh, sedangkan depa (mereka) bersaing untuk nyanyi, bukan mempertahan tanah air.

Badruldin berkata, program realiti televisyen termasuk Akademi Fantasia juga mempengaruhi pembaziran di kalangan remaja.

“Kita tengok khidmat pesanan ringkas (SMS) sampai berjuta-juta ringgit, itu adalah pembaziran, kita bising barang naik, sedangkan pembaziran kita tak sedar, anak-anak belanja (bil) telefon (bimbit) sampai RM100 atau RM200 sebulan, itu pun termasuk perbelanjaan kita,” katanya.


Apa komen anda ? Susah apabila menjadi Jantan Terhangat Di Pasaran !

Entri oleh sultanmuzaffar 21 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 03
Minggu ini seperti minggu Ops Opocot. Reza menemui Encik Hasrul. Mengadu lagi. Mat Report lah dia ni. Entah siapa lah yang telah menyebabkan kemarahan Reza ini. Ada sahaja yang tidak puas hati pada pandangan beliau. Mungkin ada yang jenis belajar dalam happy, macam Elliza, Mawi dan Felix. Ada juga yang belajar dalam serius, macam Reza. Gaya setiap pelajar berbeza-beza.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Shahrul
Saya terfikir, kenapa pada tahun ini kelas teknikal vokal mempunyai dua orang tenaga pengajar. Mungkin perlu berkejar untuk kelas yang lagi satu iaitu untuk pelajar yang tersingkir dari Konsert Prelude. Itu andaian saya.

Oleh sebab itu, kita perlu mengadap Cikgu Shahrul. Saya tidak suka suara beliau. Nyaring sangat bunyinya. Kadangkala membingitkan terutama bila beliau menjerit dan over-excited. Beliau mengajar hissing dan bubbling kepada semua pelajar.

Sewaktu latihan dibuat ke atas Mawi, Felix tergelak-gelak menahan ketawa. Sampai tertunduk-tunduk dia dibuatnya. Apakah mereka yang dimaksudkan oleh Reza ? Kefli diajar tentang teknik pernafasan sehingga tunduk-tunduk untuk menghasilkan bunyi yang lebih baik.

Kelas Nada Suara Cikgu Adnan
Mereka diajar tentang improvisasi. Ada dua jenis iaitu melodic dan rhythmic improvisation. Nyanyian Kefli boleh tahan juga untuk lagu Seksa. Lagu tersebut membolehkan Kefli mengeluarkan lagi vokalnya. Lagu Suratan Atau Kebetulan juga agak sesuai dengan vokal Aidil. Lagu dendangan Mawi agak berulang-ulang. Beliau harus melakukan sesuatu agar persembahannya tidak monotonous. Lagu LOVE juga diharapkan dapat menyerlahkan personaiti diri Akma. Nyanyian Amylea agak baik dan sesuai dengan lagu Don’t Know Why. Begitu juga dengan Marsha yang mula menyerlahkan lagi keunikan tone vokal beliau.

Menuju Puncak
Beberapa step terbaru dicipta untuk menyesuaikan dengan bilangan pelajar yang terkini. Dengan mengekalkan asas Menuju Puncak pada minggu pertama, beberapa koreograf terbaru dimasukkan. Menarik ? Seperti biasa. Tiada unsur kekaguman.

Kelas Seni Persembahan
Dalam kelas ini kita dapat melihat setiap pelajar melakonkan watak masing-masing yang tergesa-gesa untuk ke bank mengeluarkan wang. Tiba di bank, ia telah pun ditutup. Pelajar dikehendaki untuk memujuk pegawai keselamatan untuk membuka pintu bank. Marsha menangis agar diminta membuka pintu bank. Cikgu Marlia membenarkannya.

Satu tugasan telah diberikan pada minggu ini kepada dua orang pelajar bermasalah iaitu Idayu dan Reza. Idayu dikehendaki berbuat baik dan membantu semua pelajar. Sekiranya ada pelajar yang tersinggung, beliau harus memujuk pelajar tersebut. Manakala Reza dikehendaki berlemah lembut dengan semua orang pelajar. Tidak perlu tunggu hari Rabu, keputusannya tentulah akan berpihak kepada Idayu. Ada ke yang akan undi Reza kelak ?

Selalunya Diari Tengahari akan lebih pendek dan lebih terseksa ulasannya kerana faktor mata yang telah memanggil-manggil katil. Harap maklum.

Untuk keselesaan anda, sila ke blog Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata untuk ulasan Diari Tengahari. Ulasan beliau lebih terperinci dan mudah dibaca.

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 04
Makin maju nampaknya Akademi Fantasia. Aidil sudah mula berani mendukung Ekin untuk persembahan mereka. Lagu siapa saya tidak pasti.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Sudah empat minggu Akademi Fantasia berlangsung, bibit-bibit kebencian terhadap Cikgu Ee mula timbul. Saya melihat beliau sebagai seorang guru yang tidak bertanggungjawab. Diajarnya budak-budak itu tarian yang sukar untuk persembahan mereka serta idea-idea lapuk yang diterapkan dalam persembahan itu. Apabila ditegur tentang persembahan, beliau seakan cuba melepaskan diri.

Felix perlu membawakan lagu dangdut pada minggu ini. Walaupun dangdut, mesejnya jelas berunsurkan kesedihan. Langkah-langkah tarian untuk Felix tidak menggambarkan sedemikian. Pergerakan gelek Felix harus diminimalkan. Ia sekadar mengundang sorakan penonton sedangkan lagunya adalah sedih.

Pergerakan Yazer juga belum menampakkan sebuah lagu berirama Malaysia. Masih terlalu awal untuk dinilai. Manakala untuk Aidil atau Ekin mereka perlu melakukan aksi-aksi yang agak daring tetapi biasa di Akademi Fantasia 1. Mungkin juga ia lagu untuk Ekin iaitu Antara Dua kerana ia lebih rancak.

Saya pernah menyaksikan adegan bermain seremban sebegini, tetapi di wad mental. Hahahhahaha. Memang lawak melihat aksi-aksi Mawi dan Felix bermain batu seremban. Sewaktu adegan tersebut, saya menerima SMS dari anti-Mawi & Felix yang mengatakan mereka seperti kanak-kanak terencat akal di dalam Akademi.

Kelas Nada Suara Cikgu Siti Hajar
Setiap pelajar harus mendengar melodi sesebuah lagu dahulu apabila mendapat lagu tersebut. Dalami melodi lagu tersebut, ikut melodi lagu tersebut. Menyanyi mengikut melodi lagu tersebut tanpa lirik. Sesudah itu, baru dimasukkan lirik lagu.

Di dalam proses inilah, setiap pelajar harus mengetahui tempat-tempat untuk mengambil nafas secara besar atau pun kecil. Untuk menjadi seorang penghibur, setiap pelajar harus tahu menyanyi dan menari. Kedua-duanya sama penting.

Marsha mengatakan yang beliau sering mendapat lagu yang bermotifkan gatal. Gatal ? Sejak bila lagu Tunggu Sekejap bermesejkan gatal ? Apakah kerana beliau telah menonton persembahan dari Jaclyn Victor yang meliuk-liuk sewaktu membawakan lagu tersebut, maka lagu tersebut boleh diiktiraf sebagai lagu gatal ? Lagu tersebut lebih kepada menanti, menyanyi di tepi tingkap sambil hujan renyai dan merayu.

Mawi telah diajar tentang teknik penghafalan. Beliau dikatakan bakal tidak menghadapi masalah besar oleh para peminatnya kerana lagu ini adalah lagu Arab. Mawi seorang Qari sudah tentu tidak menghadapi masalah besar. Tetapi yang sebaliknya berlaku. Mawi merasakan semacam susah untuk menghafal lirik lagu tersebut. Cikgu Siti Hajar mengajarnya blok-blok yang perlu dihafal dan mengenalpasti blok-blok yang diulang.

Cikgu Siti Hajar mengajar tentang teknik mendapatkan stamina dalam sesebuah persembahan. Setiap pelajar harus tahu breathing support dan juga cara membuka mulut untuk menghasilkan suara.

Sidang Meja Makan Akademi Fantasia 3
Dengan Cikgu yang sama dan di tempat yang sama, Sidang Meja Makan berlaku lagi di dalam Akademi Fantasia. Jika dahulu Rosma, kini Reza. Reza mengadu kepada Cikgu Siti Hajar tentang beberapa pelajar yang tidak serius sewaktu kelas sedang berlangsung. Jika Elliza masih ada, saya boleh menudingkan jari kepadanya. Tetapi kini Elliza telah tiada. Oleh kerana kemarahannya tidak dapat dikawal, maka beliau telah menengking beberapa orang pelajar tersebut. Cikgu Siti Hajar pun memainkan peranan yang penting juga untuk menyedapkan lagi drama ini sambil-sambil beliau menyuap makanan. Cikgu Siti Hajar layan tidak layan sahaja. Lebih baiklah makan dari melayan keluhan Reza. Beliau bertanyakan reaksi pelajar setelah ditengking. Masing-masing senyap dan sentap dan ada juga yang buat muka.

Sebagai seorang Ketua, beliau sewajarnya mencari ruang untuk menjelaskan kepada mereka yang terlupa. Itu tanggungjawab Ketua. Ketua seharusnya menjadi kepala dan sewajarnya sikap ketua yang positif akan dapat diterima oleh pelajar lain untuk menjadikan beliau sebagai contoh. Tetapi yang sebaliknya berlaku. Reza seakan-akan tidak dihormati oleh pelajar lain.

Di dalam satu kumpulan, jika kita tidak dapat sesuai dengan seorang pelajar tentu ada silap pada diri pelajar tersebut, tetapi bila kita tidak dapat menyesuaikan diri dengan semua pelajar, maknanya kita yang bermasalah. Dalam kes Akademi Fantasia, nampaknya Reza suka benar mencari fasal dan silap dengan Mawi, Felix, Idayu, Amylea, Elliza.

Tidak cukup dengan Sidang bersama Cikgu Siti Hajar, Cikgu Fatimah pula memanggil beliau untuk mengetahui sebarang masalah yang berlaku di dalam Akademi. Masalah utamanya ialah jarak umur antara Reza dan pelajar lain yang jauh berbeza. Ini secara tidak langsung mengehadkan pergaulan Reza dengan pelajar lain kerana tidak mahu dilihat seperti kebudak-budakkan.

Reza nampaknya seperti sudah tidak bersemangat lagi untuk mengetuai mereka. Beliau tetap hadir di dalam mesyuarat tetapi tidak mahu memberikan sebarang komen. Manakal nasihat dari Cikgu Fatimah, agar beliau bersabar sahaja dan terus melakukan apa yang patut pada dirinya.

Sesekali tidak menganggap yang menjadi Ketua sebagai satu beban. Reza tidak pernah mempunyai adik beradik perempuan, maka situasi ini semacam satu kejutan budaya kepadanya. Lebih-lebih lagi mendapat adik-adik perempuan yang merasakan diri mereka bintang-bintang di langit.

Tentu ada sebab mengapa agak sukar untuk pelajar-pelajar lain menerima Reza sebagai ketua. Tentu pernah berlaku salah faham atau yang sebagainya. Sebelum kita mahu diri ini dihormati, kita mesti menghormati orang lain.

Sewaktu adegan ini, saya menerima SMS dari anti-Reza yang mengatakan mulut Reza agak lantang bersuara. Perkataan yang dihantar lebih ganas bunyinya. Saya menurunkan perkataan tersebut beberapa octave. Tidak sesuai untuk tontonan umum. Elok sangatlah tu. Satu SMS dari anti MaLix, satu SMS dari anti-Reza. Boleh sakit jiwa melayan SMS-SMS tersebut. Hahahahahahha

Kawal Makan
Sewaktu mereka ingin mengambil tempat, Marsha mengeluh kerana diletakkan bersebelahan Felix. Marsha sebenarnya perasan yang beliau dipasangkan dengan Felix. Cepat-cepat Felix menafikannya. Felix sudah tertarik kepada pelajar lain mungkin. Siapa ya ?

Setiap pelajar telah diberikan satu bungkusan kecuali Reza dan Amylea. Bungkusan tersebut berisi ubat atau vitamin. Ia adalah ubat untuk mengawal berat badan mereka. Pelajar-pelajar selain Reza dan Amylea telah naik berat badan mereka dan ini perlu dikawal. Secara kebetulan mungkin, pelajar yang tidak naik berat badannya adalah pelajar yang kuat mengadu kepada cikgu dan mengumpat di dapur. Hahahahahaha. Oleh itu, jika ingin mengekalkan berat badan, eloklah mengumpat atau mengadu.

Cubaan Menjerat Idayu
Pada penghujungnya, ditayangkan cubaan Kefli untuk mengenen Mawi kepada Idayu. Kenapa mesti Idayu ? Bukankah peminat-peminat Mawi lebih merestui perhubungannya bersama Ekin. Mereka hendak yang cantik-cantik sahaja. Mana mahu pelajar seperti Idayu. Mungkin juga kerana Idayu pandai mengurut. Idayu mengambil jalan selamat dan tidak terus perasan. Boleh tahan nakal juga Kefli dalam cubaannya menjerat Idayu.

Entri oleh sultanmuzaffar 20 June 2005 0 komen

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 01
Bagaimana keadaan Akademi Fantasia setelah ketiadaan Fuad ?

Di dalam kad wasiat dari Fuad yang telah dibacakan oleh Yazer, beliau meminta maaf kepada Azlif & The Gang. Untuk apa ? Tidak perlulah diperjelaskan di sini. Saya anggap sudah tutup kes. Hadiah yang paling besar untuk Yazer ialah sebuah persahabatan.

Yang menarik apabila tiada komen untuk Mawi dan Akma. Kedua-duanya adalah antara pelajar yang mendapat perhatian lebih dari Pengetua M.Nasir. Akma pernah dipuji kerana memberikan persembahan yang membanggakan, manakala Mawi adalah saingannya yang paling sengit.

Ketiadaan Fuad memberikan sedikit kelainan dalam Akademi apabila Aidil menunjukkan wajah pemilik Tiger Balm yang ada di atas kotak tersebut. Bagaimana pula dengan persembahan lagu tema Menuju Puncak apabila tiada pelajar yang membuat ad-lib. Tentu ada sedikit perbezaan.

Kelas Motivasi Dr. Azahari
Nama adalah jenama. Nama yang dibawa oleh setiap pelajar merupakan simbol pengenalan untuk setiap penonton. Oleh yang demikian, setiap pelajar harus tahu untuk meletakkan nama tersebut di dalam peta pesada seni tanahair. Berdasarkan nama, secara tidak langsung seseorang penonton sudah boleh mengagak mereka jenis yang bagaimana.

Apa yang mereka boleh nilai sekarang hanyalah luaran. Maka menjadi tanggungjawab pelajar untuk menjaga keterampilan, sikap dan pemikiran mereka sendiri. Bagaimana cara mereka membawa diri mereka di khalayak ramai. Bagaimana mereka menjaga budi bahasa mereka serta cara mereka mengawal perasaan mereka.

Kemunculan seorang penyanyi antarabangsa ke dalam Akademi Fantasia. Mereka berpeluang untuk bertanyakan beberapa soalan-soalan FAQ tentang gemuruh dan tips sebelum mula membuat persembahan.

Tribute Untuk Fuad
Ketiadaan Fuad amat saya alu-alukan. Harus diingat, permainan ini namanya Akademi Fantasia. Dalam Akademi Fantasia, personaliti dan vokal merupakan faktor utama untuk terus kekal lama di sini. Fuad mempunyai mutu vokal yang bagus. Terbaik dan paling konsisten di antara semua pelajar lelaki. Sayangnya personaliti beliau kurang menyenangkan. Sikapnya yang agak over seperti apa yang telah dipertontonkan di dalam Diari dan Diari Xtended tidak mampu membiarkan beliau kekal lama. Apabila berucap di depan kamera macam over gila. Lagi satu perkara yang membuatkan saya tidak menyukainya ialah isyarat tangan yang telah digembar-gemburkan pada minggu lepas.

Fuad harus membuktikan yang vokal beliau mampu menapak lebih jauh daripada pelajar yang masih kekal. Itu aset yang beliau ada sekarang dan harus dipergunakan sebaik mungkin. Semoga beliau terus sukses.

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 02
BBQ yang sepatutnya diadakan di luar banglo telah ditukar ke dalam banglo kerana hujan. Lampu taman tajaan telah pun siap dipasang. Agak-agak menyesal tak penaja lampu taman tersebut. Tidak mengapalah. Ia tetap boleh digunakan oleh para pelajar yang balik lewat-lewat malam.

Segala persiapan perlu dilakukan oleh para pelajar. Dalam pada itu, berlaku satu kemalangan bila mana Amylea telah terpotong jarinya. Beliau telah dihantar ke klinik berdekatan dan telah mendapat 4 jahitan. Pada hari Selasa, luka tersebut akan dicuci dan pada hari Jumaat balutan tersebut akan dibuka. Jika tidak, pada hari Sabtu, beliau akan membuat persembahan dengan jari berbalut.

Seperti kebiasaan, pada hari Isnin adalah hari timbangan berat badan. Mawi 56kg, Reza 50kg, Kefli 52kg, Aidil 65kg, Felix 64kg, Yazer 73kg, Amylea 42kg, Akma 52kg, Amy 57kg, Ekin 43kg dan Marsha 50kg.

Penilaian Tenaga Pengajar
Menurut Cikgu Ee, alasan perlu menari dalam lagu bukanlah alasan yang terbaik untuk melepaskan diri sekiranya berlaku kesilapan pada lagu mereka. Begitu juga sebaliknya. Persembahan Marsha semacam tidak blend antara step dan movementnya.

Aidil ditegur kerana tidak menggunakan props yang telah disediakan. Beberapa masalah lain apabila lenggok dan tempo lagu tersebut yang tidak dibuat dengan betul. Beliau tidak memberikan tumpuan sepenuhnya dalam persembahannya.

Persembahan Amy tidak banyak membantu vokalnya. Teknik pernafasannya perlu dibaiki kerana banyak bahagian dalam lagu tersebut yang beliau kelihatan semput. Menurut Cikgu Linda, berdasarkan usaha yang telah dibuat untuk lagu tersebut, pujian harus diberikan kepadanya.

Yazer perlu memberikan tumpuan untuk memahirkan lagi teknikal pada nyanyiannya. Pada saya nasihat ini perlu juga diberikan kepada Mawi. Kebolehan pelajar untuk memberikan rasa kepada lagu yang telah diberikan perlu ditingkatkan.

Kefli telah mencipta satu teknik yang mana sumbang pada keseluruhan lagu. Lagu tersebut tidak sukar menurut M.Nasir tetapi tidak berjaya dilaksanakan olehnya. Amylea harus lebih menitik-beratkan soal tempo dalam persembahannya.

Akma harus menggali x-factor yang ada dalam diri beliau dan diketengahkan dalam persembahannya yang akan datang. Benar, x-factor yang kurang pada diri Akma. Persembahannya hambar dan tidak berjaya menarik perhatian penonton.

Felix mempunyai tone yang baik tetapi mendatar. Nyanyiannya sungguh jujur dan sedap tetapi penghayatannya kurang. Beliau tidak memberikan tekanan dalam lagu tersebut. Persembahannya sama sahaja dari awal sehingga akhir.

Masalah pitching pada Ekin agak ketara walaupun dinamik vokalnya agak baik. Beliau harus berjaga-jaga terutama apabila pada bahagian yang tinggi kerana adalakalanya menjadi sharp. Menurut Cikgu Marlia, Ekin harus mendisiplinkan dirinya dalam melakukan proses pembelajaran. Ekin nampaknya tidak begitu serius dan bersungguh-sungguh mempraktikkan apa yang diajar oleh tenaga pengajar.

Nyanyian Mawi agak baik cuma pada beberapa bahagian ada tempo yang tidak betul. Menyanyi menggunakan minus one, seseorang penyanyi harus mengikut CD yang dimainkan. Idayu masih malu-malu untuk menari. Beliau masih menahan-nahan dirinya dari terus membuat persembahan dan memberikan 100% kepada penonton. Persembahan nyanyian Reza agak tiada ekspresi. Lirik lagu tersebut agak tinggi maknanya tetapi tidak dimanafaatkan oleh Reza.

Lagu Baru
Idayu - Tiada Lagi Tangisan (Aishah)
Felix - Aku Semut Merah (Mercy's)
Amylea - Don’t Know Why (Norah Jones)
Reza - Senandung Semalam (Jamal Abdillah)
Marsha - Tunggu Sekejap (P.Ramlee)
Kefli - Seksa (Ukays)
Akma - L.O.V.E (Natalie Cole)
Aidil - Suratan Atau Kebetulan (Kenny Remmy Martin)
Ekin - Antara Dua (Farah AF2)
Mawi - Nour’el Ain (Amr Diab)
Yazer - Nyanyian Serambi (Ramli Sarip)
Amy - Bilang Saja (Agnes Monica)

Ulasan Lain :
AF3-Kambing Laut
AF3-sikapitan