Diari Akademi Fantasia 03 05 & 06
Bila fikiran kita lapang, tiada gangguang, tiada anasir luar, kita akan dapat melahirkan idea dengan lebih lancar lagi. Fikiran saya lapang sekali.
Akhirnya…Setelah 3 minggu diari berlangsung, barulah saya sedar kehadiran Diddy dalam Akademi Fantasia. Akhirnya terkeluar juga perangai dia dalam Akademi. Berbeza dengan Farhan. Walaupun dalam Diari Farhan tidak menyerlah, tetapi sewaktu Konsert, Farhan sangat menyerlah dan peminat masih menyedari kewujudannya.
Diddy sebagai perancang utama kepada plot pergaduhan Amirul dan Lotter nampak cuba menjadi penenang seperti seorang Superman yang cuba menyelamatkan dunia. Nampak perwatakan gagah beliau di situ untuk cuba mententeramkan kedua-dua belah pihak. Sebenarnya pihak kami pun tertipu. Kami sendiri menyangkakan pergaduhan tersebut benar-benar berlaku kerana ekspresi muka Lotter dan Amirul macam udang kena bakar. Memang menakutkan. Kamera juga terkejar-kejar mendapatkan shot yang paling menarik. Rasanya tidak ramai yang tahu. Pelajar perempuan juga tidak mengetahui plot berkenaan. Mungkin ini juga merupakan balasan mereka terhadap kami yang telah memberikan lagu-lagu tipu kepada mereka. Tidak mengapa. Baru sebentar tadi saya menyiapkan dua muka surat cadangan-cadangan kejutan yang boleh dibawa ke dalam Akademi dan juga Konsert. Tunggu sahajalah kalau-kalau ada yang mengena.
Berbalik kepada soal perwatakan di dalam Akademi. Saya melihat seorang yang mempunyai perwatakan yang menarik, personaliti yang menarik dan fizikal yang menarik seperti Diddy tetapi tidak berjaya menarik undian peminat hanya kerana mengambil langkah selamat pada minggu-minggu awal berada di Akademi. Kalau bercakap soal takut dengan kamera, saya juga takut dengan kamera, tetapi adakalanya saya juga gila kamera. Saya cuma fobia lampu spot. Mungkin kerana teringatkan treler panjang.
Tiada guna mengawal setiap pergerakan di dalam Diari kerana perwatakan itulah yang menyebabkan peminat merasa sayang dan dekat dengan pelajar. Melihat pergaduhan sebentar tadi, walaupun tertipu pada mulanya saya berharap lebih banyak perlakuan-perlakuan spontan yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk memberikan nafas kepada Diari. Adakalanya kejutan yang dilakukan oleh pelajar lebih menyerlah daripada kejutan yang dilakukan oleh tenaga produksi. Opps !
Ya benar. Diddy di dalam kawasan bahaya pada minggu ini. Kedudukan terkininya berada di nombor 8 sebelum Farhan dan Haziq. Diharapkan dengan plot pergaduhan tersebut dapat memberikan satu sinar baru kepada Diddy yang sebenarnya beliau seorang yang mempunyai perwatakan dan personaliti yang menarik untuk ditonton dalam Diari dan Konsert. Seperti kebiasaan, pelajar yang berada di tengah-tengah sering menjadi mangsa penyingkiran. Oleh yang demikian, sekiranya anda merasakan Diddy layak untuk meneruskan impiannya di dalam Akademi, bolehlah AFUNDI DIDDY.
Tapi harus diingat, setelah minggu ketiga setiap pelajar telah mula mengumpul peminat masing-masing kerana personaliti mereka dan trademark mereka sudah mula kelihatan. Baik Faizal, Lotter, Amirul atau pun Salima telah mempunyai asas yang agak kukuh di mata peminat mereka. Zila juga mula kelihatan personaliti serta kredibiliti beliau dalam nyanyian. Dan saya marah juga apabila adegan mengurut tersebut disiarkan. Sekurang-kurangnya pelajar seperti Velvet juga sudah ada pengikutnya kerana keletah lucunya. Rich saya tidak melihat sebagai satu ancaman kerana naiknya Rich pada minggu ini adalah kerana melepaskan rasa marah terhadap komen Bob Lokman minggu lepas. Apabila reda kemarahan tersebut dan persembahan Rich masih di takuk lama, maka akan pudarlah sokongan tersebut. Kalau saya ingin mengundi pelajar perempuan sekalipun yang menjadi pilihan saya ialah AFUNDI VELVET, walaupun sekali sekala tersilap juga kerana tertekan AFUNDI SYAFI.
Tiba juga beberapa SMS bertanyakan apakah punca pergaduhan tersebut. Saya sekadar menjawab Amirul mengamuk kerana Lotter mengejeknya tidak boleh menyebut huruf R. Selepas ini Lotter boleh pula bergaduh dengan Tenaga Pengajar yang tidak boleh menyebut huruf S. Barulah gempak Diari Akademi Fantasia.
Satu lagi perkara menarik yang ada dalam Diari hari ini ialah membawa wartawan masuk untuk bertemu pelajar dan memberikan nasihat kepada mereka. Mengajar mereka menjawab soalan daripada para wartawan yang selalunya cakap lepas apabila bertanya soalan dan juga langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjaga hati wartawan yang adakalanya mudah tersentuh. Menjadi artis bukan satu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi jika ingin menjadi star. Sebagai seorang star memang sukar untuk menjaga hati wartawan. Ada sahaja yang tidak kena di mata mereka.
Bercerita tentang pertemuan dengan wartawan, sudah tiga kali saya hadiri Sidang Akhbar bersama Pelajar Tersingkir, iaitu Prelude, Nora dan terkini Karen. Berada bersama mereka merupakan satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Bersama pelajar yang mempunyai harapan ingin meneruskan pengajian tetapi dipintas impian tersebut dan kini mereka perlu berhadapan dengan realiti. Dalam jiwa yang masih kacau, mereka harus berdepan dengan segala macam persoalan. Bukan niat untuk merendah-rendahkan mereka, ada juga di antara mereka yang seakan hilang punca untuk berdepan dengan para wartawan. Apa soalan yang perlu dijawab, apa soalan yang tidak perlu dijawab. Semuanya harus diteliti. Adakalanya kita lupa dengan taraf pekerjaan mereka sebelum ini, taraf pendidikan mereka sebelum ini. Mereka begitu naïf dan masih belum mengenal dunia ini yang di depannya penuh warna warni, kilau cahaya lampu serba warna tetapi di belakangnya penuh dengan pelbagai konflik. Apabila tidak berada di tempat saya, sukar untuk saya jelaskan segala macam warna yang telah saya lihat sepanjang 2 bulan berada di sini.
Warna-Warna Pemikiran Matang
SeniKami
BadrulAfterSix
Dalam perkembangan lain, saya menerima khabar lebih menggembirakan daripada khabar Akademi Fantasia. Khabar tersebut adalah berkenaan Puteri Gunung Ledang The Musical. Setakat itu sahaja yang boleh saya kongsi setakat ini. Tetapi percayalah, ia cukup menggembirakan saya.
Nota : Kata seseorang, "Sekali aku sebut "Mari...Mari...Mari...", 40,000 SMS masuk". 40,000??? Berangan sangat ! Dah keluar dalam Harian Metro. Kalau mahu cerita Faizal, jangan lupa beli Metro Ahad ini.
0 komen