Keputusan penjurian telah pun diketahui. Embun, favourite saya gagal untuk memahkotakan dirinya sebagai Filem Terbaik. Semalam saya menghabiskan dua jam untuk menonton VCD KL Menjerit. KL Menjerit hanya filem komersial yang ada mesej. Itu saya akui. Cuma mesejnya, mesej biasa. Lebih memelikkan, apabila ulasan penjurian dibacakan oleh Datuk Jins Shamsuddin, Ketua Juri festival kali ini menekankan bahawa ada kecenderungan di kalangan penerbit yang memaparkan mesej yang sama dalam filem-filem terdahulu.
``Masih banyak pengarah menghasilkan filem dengan isu yang sama dan terbatas dengan menganggap filem adalah hiburan semata-mata,'' kata Ketua Juri, Datuk Jins Shamsudin.
Beliau berkata pihak juri memutuskan filem Malaysia masih di tahap lama dan tidak ada penerapan intelektual walaupun ada karyawan terbabit adalah orang ilmuan. Adakah ini satu pujian atau satu sindiran ? Jika satu pujian makanya, sang penerbit boleh menerbitkan semula filem-filem dengan mesej yang pernah dipertontonkan dahulu. Jika satu sindiran, sepatutnya filem yang lari dari mesej-mesej terdahulu mendominasi anugerah. Ulasan penjurian tidak mencerminkan filem yang diangkat menjadi FIlem Terbaik.
Keputusan adalah muktamad, namun malam itu terus menjadi milik Bada dan Erma.
SENARAI PENUH PEMENANG
FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-16
FILEM
Filem Terbaik: KL Menjerit(Tayangan Unggul Sdn. Bhd)
Pengarah Terbaik: Badarudin Azmi (KL Menjerit)
Cerita Terbaik: Badarudin Azmi (KL Menjerit )
Lakon Layar Terbaik:Badarudin Azmi (KL Menjerit)
Pelakon Lelaki Terbaik: Rosyam Nor (KL Menjerit)
Pelakon Wanita Terbaik: Umie Aida (Embun)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Izi Yahya (Embun)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ellie Suriaty (Soalnya Siapa?)
Penyunting Filem Terbaik: Sallehan Shamsudin (Gerak Khas The Movie II)
Sinematografi Terbaik: Teoh Gay Hian (Embun)
Penataan Seni Terbaik: Yee I Lann (Embun)
Penataan Bunyi Terbaik: Azman Abu Hassan (KL Menjerit)
Skor Muzik Terbaik: Datuk Mokhzani Ismail (Embun)
Pelakon Komedi Terbaik: Kartina Aziz (Mami Jarum)
Pelakon Harapan Lelaki: Hasnul Rahmat (KL Menjerit)
Pelakon Harapan Wanita: Nisdawati (KL Menjerit)
Pengarah Harapan: Ahmad Idham (Mr. Cinderella)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Tiada pemenang
Karyawan Filem Veteran: Hamzah Hussein
Seniman Sepanjang Zaman: Aziz Jaafar
Seniwati Sepanjang Zaman: Datin Rosnani Jamil
ANUGERAH KHAS JURI:
1. Filem cereka animasi yang memaparkan kisah rakyat : Putih
2. Filem aksi yang berjaya membanteras jenayah: Gerak Khas The Movie II
3. Filem berunsur sejarah dan mengangkat nilai patriotik: Embun
4. Poster Terbaik : Embun
5. Filem Box-Office : Lagi-Lagi Senario
Aspek Teknikal
Top Five untuk Pengarah Terbaik besar kemungkinan Erma Fatima, Aziz M. Osman, Ahmad Idham, Othman Hafsham dan Badaruddin Hj Azmi. Kemenangan tentu menjadi milik Erma Fatima. Untuk Lakon Layar Terbaik juga sudah pasti menjadi milik Embun. Adaptasi dari skrip sudah menjadikan Embun suatu yang istimewa. Cerita Terbaik juga hampir pasti menjadi milik Embun. Embun menampilkan kelainan dari segi jalan ceritanya. Tidak hanya menampilkan unsur cinta juga menerapkan unsur patriotisme yang tinggi. Sinematografi Terbaik besar kemungkinan menjadi milik KL Menjerit. Penyunting Terbaik juga akan menjadi milik Embun. Skor Muzik Terbaik juga bakal menjadi milik Embun. Begitu juga untuk Anugerah Penataan Seni Terbaik dan Penataan Muzik Terbaik. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik besar kemungkinan tiada pemenang. Pelakon Komedi Terbaik akan dimenangi oleh Apek Senario. Pembahagian anugerah juri besar kemungkinan akan dimenangi oleh filem Embun kerana unsur patriotismenya, filem Anak Mami kerana penggunaan dialek utara sebagai medium perantara dan beberapa calon filem lain.
Tidak sukar untuk menjangkakan siapa pemenang mutlak festival kali ini tanpa penyertaan filem Spinning Gasing. Filem Embun bakal mendominasi hampir kesemua anugerah utama.
Tiada yang menarik untuk festival kali ini. Nantikan keputusannya.
Sajak Omar Khayyam
Kalam Loh Mahfuz mencatat
Dan sesudah mencatat
Lagi mencatat
Segala doa dan ikhtiar
Tidak dapat memadamkan catatan Ilahi
Biarpun hanya sekerat baris
Pun seberapa banyak air mata
Sepatah pun tidak akan terhakis
Catatan Tuhan Yang Maha Menyayangi
Surat Fatin
Kepada Tuan Perdana Menteri dan Presiden,
Saya bernama Fatin. Saya menjadi jururawat sejak 1990 selepas lulus daripada pusat latihan jururawat Rofaida di Baghdad tetapi saya bukan pakar melecur. Saya perlukan seorang doktor yang tahu mengenai rawatan melecur tetapi tiada seorang pun di sini. Saya melakukan yang terbaik tetapi tidak tahu bagaimana perlu merawat kanak-kanak ini atau ubat apa yang perlu diberi kepadanya. Tetapi tiada sesiapa lagi, jadi sayalah yang perlu merawatnya.
Ramai wartawan melawat Ali dan merakam gambarnya, tetapi dia masih di sini. Keadaan amat terdesak. Dia akan mati jika terus berada di sini.
Tolong hantar sebuah helikopter atau pesawat anda untuk membawanya keluar dari sini. Anda memiliki semua teknologi untuk mengebom kami, untuk membuat peluru berpandu yang menghanguskan rumah Ali. Tetapi anda tidak boleh menyediakan satu pesawat untuk sehari bagi menyelamatkan satu nyawa? Saya tidak tahu sama ada anda tahu mengenai Ali atau tidak, tetapi saya harap anda tahu.
Dia budak lelaki comel yang kehilangan semua keluarganya dan kedua-dua tangannya. Tahukah anda apa perasaan seorang jururawat melihat kanak-kanak mati di depannya ketika ada peluang mereka diselamatkan?”
Ketika saya menulis surat ini, Ali sedang tidur. Dia masih hidup tetapi setiap hari, keadaannya semakin teruk. Jika kami tidak membawanya keluar untuk mendapat rawatan, dia akan mati akibat keracunan darah. Lukanya akan semakin teruk. Kami tidak mempunyai kapal terbang atau helikopter, tetapi anda memiliknya.
Tolonglah, saya memohon dengan sepenuh hati saya supaya anda membantu kami.
Yang benar
Fatin Mhssin Sharhah
p/s:- JANGAN menitiskan air mata apabila membaca surat ini kerana air mata darah sudah tidak bererti lagi.....
Bulan ini akan berlangsung dua anugerah industri hiburan utama di Malaysia iaitu Festival Filem Malaysia dan Anugerah Industri Muzik. Hujung minggu ini akan berlangsung Festival Filem Malaysia ke 16 di Kuala Lumpur. Festival pasang siap ini dirancang lebih kurang 2 bulan yang lalu. Mungkin sebulan. Menakjubkan bukan ? Malaysia Boleh. Mujur Festival Filem di Malaysia tidak terjejas dek Perang di bumi Iraq, tidak seperti Anugerah Akademi yang berlangsung baru-baru ini. Yang pastinya saya besar kemungkinan tidak dapat menonton kerana terlibat dengan full dress rehearsal persembahan teater Rumah Kedai Di Jalan Seladang. Sesuatu yang menarik tentang festival kali ini ialah penyertaan filem antarabangsa iaitu The Bride of Fire (Iran), Never Mind The Wall (Jerman) dan Devil's On The Doors Step (China). Filem-filem tersebut pernah mendapat banyak pengiktirafan dari festival filem luar negara mahupun tempatan.
Antara filem yang bertanding ialah Lagi-Lagi Senario, KL Menjerit, Idola, Embun, Soalnya Siapa, Mami Jarum, Getaran, Anak Mami The Movie dan Mr. Cinderella. Turut layak ialah filem Gerak Khas The Movie 2, Gila-Gila Pengantin, Mendam Berahi, Deadly Diciple dan filem animasi Putih. Sementara itu Anugerah Perdana pula menyenaraikan anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik, Filem Iklan Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Animasi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik. Turut disampaikan anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik dan Skor Muzik Terbaik. Anugerah Cipta termasuk Telemovie Terbaik, Pengarah Telemovie Terbaik, Lakon TV Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Muzik Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Komedi Terbaik, Karyawan Filem Veteran, Seniman Sepanjang Zaman, Seniwati Sepanjang Zaman dan lima anugerah juri.
Bila berbicara tentang festival sudah pasti ramai yang ingin mengetahui filem mana yang akan dinobatkan sebagai Filem Terbaik. Maka akan wujud telahan demi telahan. Saya juga ingin menelah walaupun telahan saya pastinya tidak sepenuh jujur kerana tidak berpeluang untuk menonton kesemua filem yang dipertandingkan. Dengan jujur saya hanya menonton Lagi-Lagi Senario(wayang), KL Menjerit(wayang), Idola(wayang), Embun(wayang), Soalnya Siapa(wayang), Mami Jarum(vcd), Anak Mami The Movie(vcd), Mr Cinderella(vcd) dan Putih(wayang).
Namun begitu, antara filem yang akan terpilih sebagai Top Five pada telahan saya ialah Embun, KL Menjerit, Idola, Soalnya Siapa dan Mr Cinderella. Sama seperti telahan Erma Fatima. Secara kebetulan. Yang pastinya Embun akan mendominasi festival kali ini. Itu sudah pasti. Tiada filem yang benar-benar hebat yang mampu menggugat kedudukan Embun.
Aspek Lakonan
Pelakon Lelaki Terbaik yang akan terplih sebagai Top Five besar kemungkinan ialah Yusry, Rosyam Noor, Afdlin Shauki dan Aqasha. Saya gagal untuk menyenaraikan seorang lagi pelakon lelaki yang layak untuk berada di dalam list ini. Anugerah sudah pasti akan menjadi milik Rosyam Noor. Kemunculan pertama Aqasha sebagai pelakon tidak wajar diketepikan. Manakala untuk Pelakon Wanita Terbaik yang akan terpilih sebagai Top Five besar kemungkinan ialah Umie Aida, Erra (Soalnya Siapa), Kartina Aziz dan Erra (Mr. Cinderella). Saya juga gagal untuk mengenal-pasti calon-calon lain yang layak untuk berada di dalam senarai tersebut. Anugerah hampir pasti dimiliki oleh Umie Aida. Lakonan Erra dalam sambungan Soal Hati yang menobatkan beliau sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam festival yang lepas tidak mampu menggugat kekuatan watak Embun.
Top Five untuk Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik ialah Izi Yahya, Rahim Razali dan Pie. Saya juga gagal untuk menyenaraikan pelakon lain yang layak. Anugerah hampir pasti menjadi milik Izi Yahya bukan kerana kontroversi bogelnya tetapi kerana kekejamannya yang menyerlah dalam Embun. Aksinya benar-benar memualkan. Top Five untuk Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ialah Syarifah Aleya(Idola), Khatijah Tan dan Ellie Suryati. Jika difikirkan dari segi logik, anugerah sudah pasti menjadi milik Khatijah Tan kerana menerusi filem Embun beliau dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik tahun lepas.
Aspek Teknikal akan dibincangkan esok.
Latarnya di mana-mana. Zamannya mungkin masa lampau atau boleh jadi masa depan yang tidak terjangkau bayangannya. Evolusi hidup yang penuh mistikal terus bergerak dan mencetus bunyi-bunyian dari alam. Unggas, manusia dan alam menjadi pemain dan penafsir. Demikianlah bahasa bunyi yang memacu satu pusingan waktu yang boleh dirasa dengan minda, tetapi tidak tersentuh dek mata. Kembara Jiwa Mohram berkonsepkan evolusi kehidupan. Ia memanifestasikan mimpi sebagai perjalanan hidup yang abstrak. Dalam mimpi, evolusi masa bersandarkan alam serta kehidupan bergerak sebagai naratif. Muzik menjadi narator kepada evolusi hidup yang mengambil fragmentasi masa dalam sehari. Kembara Jiwa Mohram cuma melampaui makna tradisional dalam konteks Melayu di Malaysia. Persembahan ini menjadi jambatan tradisional Melayu, muzik baru Nusantara dan muzik dunia.
Dua maestro dalam dunia Muzik Melayu tradisional iaitu Mohar dan Ramli berpeluang untuk berperang di Istana Budaya. Tingkah-meningkah dua maestro ini benar-benar menjadi. Mohar atau Muhardiman Ismail lahir daripada keluarga pemuzik. Sejak berusi tiga tahun lagi Mohar sudah terdedah dengan alat muzik tradisional Melayu, seruling buluh. Mohar memulakan kerjaya muzik sebagai pemuzik latar untuk beberapa artis terkenal tempatan seperti sifu M. Nasir. Antara keunikan Mohar ialah beliau akan membawa 30 seruling dalam setiap persembahannya. Ramli atau Ramli Abd Hamid meminati muzik gendang tradisional Melayu. beliau mula mempelajari kaedah bermain gendang pada majlis kenduri kahwin ketika berusia belasan tahun. ramli mengganggotai kumpulan Unit Kebudayaan Negeri Selangor yang membawa beliau menjelajah beberapa negara antaranya Greece, United Kingdom, Jepun dan Indonesia. Kepakaran beliau memalu rebana membuatkan beliau digelar sebagai "Ramli Rebana". Persembahan itu turut diserikan lagi dengan kehadiran koreografer tersohor Malaysia iaitu Aida Redza dan Abdul Jalil Ngah sebagai Pengarah Artistik dan Kreatif.
Alunan dua alat muzik tradisional itu begitu meresap ke dalam jiwa dan begitu memikat hati. Tidak puas. Tidak terasa persembahan sudah selesai. Bagai mimpi. Begitu juga yang tertulis dalam sinopsis, persembahan ini akan membawa kita ke alam mimpi dan itulah yang telah berlaku secara zahirnya. Menonton persembahan muzik mereka bagaikan berada di satu alam yang kita sendiri tidak tahu di mana. Terasa begitu unik, eksotik dan klasik. Semangat artistiknya cukup tinggi, nilai estetikanya begitu kemas apabila gabungan alat muzik tradisional bertembung dengan alat muzik moden yang membuahkan rentak dan rasa harmoni yang mencengkam dan menusuk jiwa. Alunan tiupan seruling yang masuk dengan tingkah rebana mencetuskan keserasian yang dramatik. Susunan muzik yang segar gabungan dari muzik moden dan tradisional serta gerak tari yang indah berjaya menjadikan persembahan ini bertaraf antarabangsa yang boleh dibanggakan.
Nilai eksotik terserlah apabila keseimbangan dalam unsur muzik dan gerak tari yang cukup segar dan segerak berjaya disatukan dalam sebuah persembahan sambil unsur-unsur klasik tetap tidak dilupakan walaupun gerak tari bernada kontemporari. Teknik lampu yang mengkagumkan dan set yang ringkas sangat spektakular sifatnya. Istana Budaya mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan persembahan ini telah mempergunakan kesemua kemudahan yang ada. Masih terbayang di dalam minda lagu Sakti yang menggambarkan di sebalik gerhana, lahir satu kesan yang mistik. Tidak berwajah cuma bayang di sebalik cahaya. Kesan lampu sewaktu lagu ini begitu terlekat di dalam otak fikiran manusia. Bagaimana digambarkan berlakunya gerhana begitu mengkagumkan. Lagu lain yang menarik ialah Orkestra Rimba Malam, di suatu tempat, satu persembahan bunyi-bunyian dari rimba bermula. manusia, haiwan dan isi alam berpesta dengan bunyi-bunyian. Iramanya begitu catchy sekali.
Dua pemuzik ini sebenarnya telah meletakkan diri mereka sebaris dengan pemuzik tersohor antarabangsa. Dalam mengejar arus kemodenan, nilai-nilai estetika seni tradisional tidak ditinggalkan dalam dunia muzik yang didominasi oleh arus muzik moden.bersama-sama idea baru dalam menyegarkan arus muzik Malaysia.
Secara keseluruhan, persembahan ini nampak ringkas tetapi padat. Hanya standing ovation dan pujian melambung tinggi yang mampu diberikan oleh penonton cerdik yang boleh dikira di dalam Panggung Sari, Istana Budaya.
Technical crew meeting tengahari tadi. Menarik aku tengok model set yang dibuat oleh Artistic Director. Perbincangan dijalankan dengan Director, Asst. Director, Stage Manager, Technical Director, Lighting Designer, Make-Up Artist, Costume Designer dan Music Director. Sebut jargon ni, teater ini macam big budget ajer. Tapi mereka-mereka ini jugalah yang berlakon dan pegang beberapa watak.
Aku paling suka dengan set yang diilhamkan oleh Artistic Director. Dengan mainan lampu, aku pasti set akan nampak lebih gah. Yang paling aku lega, sudah pasti wujudnya tirai sewaktu adegan Babak 1 aku bersama Leha. Selamat......
Semalam run through satu persembahan sekaligus tanpa henti. Agak stress dan tidak flow. Banyak yang boleh diperbaiki. Pengarah memerhatikan flow tanpa menegur intonasi pelakon. Aku tidak berapa puas hati dengan apa yang dilakukan semalam. Skrip ada yang aku tidak hafal. Aku hafal skrip cuma bila berdialog aku jadi lupa. Itu menandakan aku tidak memahami jalan cerita. Ada beberapa Babak aku jadi kaku terutama Babak dengan Kalsum dan Babak 7 atau adegan Yamazaki mabuk. Yang lain rasanya aku tiada masalah memahami jalan cerita.
Kita kena jujur dengan diri kita sendiri untuk menjadi seorang pelakon yang baik. Kita kena kenal diri kita sendiri untuk menjadi seorang pelakon yang baik. Kerja seorang pelakon hanyalah menghafal skrip dan memahami jalan cerita. Improvisasi kerja Pengarah.
Idea pengarah untuk Babak 13 memang menarik. Pertama pasal aku dah seronok berlakon. Aku rasa dialog aku tak banyak. Bila Pengarah tambah dialog aku, aku jadi seronok. Dialog-dialog yang diberi merupakan dialog Leman 2. Secara tidak langsung Leman dan Leman 2 bertemu di atas satu ruang lakon. Mereka berinteraksi. Secara automatik, konsep realism yang dipertontonkan sejak mula teater ini menjadi kabur apabila dimasukkan unsur absurd. Dua watak ini tidak boleh berinteraksi sesama sendiri kerana itu konsep absurd. Babak ini aku berinteraksi dengan Tina yang sedang sakit menanti maut. Improvisasi dari Pengarah amat menarik dan akan aku praktikkan di atas pentas nanti.
Babak 14 tidak melibatkan watak aku.
Babak 15 juga sepatutnya tidak melibatkan watak aku. Idea dari Pengarah agar aku muncul di babak ini sebenarnya lari dari konsep reliasm yang ditonjolkan sejak awal teater ini. Walaupun aku hanya bermonolog barisan akhir skrip teater ini sebelum tirai dilabuhkan. Aku benar-benar kagum dengan pembawa watak Mak Nah Bee kerana dalam sessi latihan semalam beliau benar-benar menangis.
Mulai hari ini, masa akan dikira untuk tempoh pementasan tersebut. Untuk melihat flow teater tersebut. Aku memang seronok berlakon. Aku mengaku aku gian. Tambah-tambah dengan production team yang sudah bertungkus-lumus menyiapkan kostum dan props.
Semalam aku belajar satu benda baru dalam teater. Apa itu pelakon ? Akhirnya aku kenal diri aku dan mula membezakan diri aku dengan Leman. Itulah berlakon. Semasa berlakon, aku dan Leman menjadi dua entiti berbeza. Jika aku berjaya menjadi Leman, aku telah berjaya berlakon. Aku tak rasa aku berjaya kerana aku tidak dapat menjadi diri aku semasa menjadi Leman. tetapi penonton yang menonton nampak aku sedang berlakon kerana apa yang mereka nampak ialah Leman, bukannya aku. Mereka hanya nampak aku bila aku keluar dari set. Baru identiti aku kembali semula ke dalam diri aku. Di set, aku Leman.
Babak 8 tidak melibatkan watak aku. Juga Babak 10. Aku suka Babak 10 kerana situasinya agak sama dengan Babak 3. Babak ini agak tegang antara Juki dan Jubir.
Babak 11 merupakan babak yang paling aku suka iaitu babak antara aku dengan Kalsum. Ia bermula dengan Leman datang ke rumah Mak Nah Bee. Bertemu Kalsum, seorang gadis pemalu. Babak ini Leman perlu menjadi seorang yang pemujuk. Cuba memujuk Kalsum. Banyak dialog dalam babak ini. Aku perlu penghayatan watak dan memahami skrip agar dialog jawapan aku kena dengan soalan yang dilontarkan oleh Kalsum dan reaksi aku juga kena dengan perasaan Kalsum ketika itu.
Babak 12 tidak melibatkan watak aku.
Aku kena ingat, jangan terlalu stress dan tension. Leman seorang yang relax, cool dan observer. Badan tidak terlalu keras dan macam hendak gaduh. Banyak kali juga, Penolong Pengarah datang menghampiri aku apabila melihatkan badan aku yang stress dan keras seperti menunggu-nunggu untuk menghabiskan dialog aku. Dan waktu-waktu itulah dia tolong mengurutkan dan meregangkan tangan aku yang kaku. Aku masih terlalu menghafal skrip dan itulah yang menyebabkan aku jadi stress dan kaku. Yang paling penting, aku kena faham jalan cerita. Kenapa, mengapa, siapa ?
Positioning Babak 7 memang memeritkan. 2 jam waktu latihan habis untuk Babak ini sahaja. Aku jadi bosan. Babak ini dimulakan dengan monolog panjang yang memerlukan aku melakonkan aksi Leman 2. Aku perlu menaip, membaca catatan, menulis, berfikir, sedih, resah, takut. Banyak emosi perlu aku realisasikan di Babak ini. Memang sukar.
Babak ini babak konflik. Babak ini babak tegang. Sarjan Yamazaki yang mabuk datang ke rumah Mak Nah Bee mahukan Nani. Berlaku sedikit adegan tegang di sini. Leha cuba untuk menyelamatkan Nani dari menjadi mangsa Sarjan Yamazaki, Leman ditampar Sarjan Yamazaki kerana cuba menghalang tindakannya. Untuk melepaskan diri, Nani perlu mengaku Leman suaminya. Aku perlu membuka seluar dan masuk ke dalam bilik.
Babak 7 ini memang sukar kerana konfliknya.
Babak 9 juga merupakan babak yang sarat dengan monolog panjang antara Nani, Leha dan Leman. Oleh kerana monolog panjang ini aku perlu untuk menvariasikan lakonan aku. Aku perlu bangun dan berlakon bersama Nani walaupun aku tiada dialog kerana monolog Nani sebenarnya dialog yang harus dilontarkan kepada aku. Maklumat untuk wartawan macam aku. Aku kadang-kadang rasa resah dengan Nani, rasa kesal, sedih kerana nasibnya. Begitu juga kepada Leha.
Malam itu selepas latihan memang aku agak letih. Penat yang amat sangat. Baru aku tahu betapa peritnya menjadi seorang pelakon. Esok macam biasa aku perlu datang tepat pada jam 8.30 malam. Pengarah kata dia nak buat sessi latihan intensif untuk aku. Ya, aku amat memerlukannya.
Semalam bermulalah training position untuk Babak 1 hingga 6. Agak meletihkan. Bermula dengan teknik pernafasan, penghayatan watak, streching hinggalah position. Memang letih. Aku pakai baju kerja terus ke sessi latihan. Hujan lebat di Kuala Lumpur.
Babak 1 bermula dengan monolog Leman. Dari luar aku cuba memahami watak aku dengan menghayati setiap dialog yang dilontarkan oleh Leman Voice-Over. Aku perlu mendengar setiap apa yang diperkatakan olehnya agar aku dapat mood Leman. Leman jenis yang bercakap sepatah-sepatah. Jenis budak baru belajar erti kehidupan, baru belajar hidup senang di tengah-tengah keperitan hidup di zaman pendudukan Jepun. Itulah Leman. Seorang yang naive.
Babak 2 bermula dengan adegan di Happy Park. Pertama kali Leman berkenalan dengan Leha. Kemudian kami akan berjalan pulang. Adegan ini yang paling aku tak suka. Aku perlu bermesra dengan Leha. Aku malu-malu semasa pertama kali bertemu dengan keluarga Mak Nah Bee.
Babak 3 bermula dengan beberapa tentera Jepun masuk ke ruang pentas. Leman dalam perjalanan ke pejabatnya. Bawa buku di tangan kiri dan payung di tangan kanan. Leman kena acting dengan buku dan payung. Itu yang payah. Aku tak nak nampak kaku dan tidak menggunakan props yang ada di tangan. Babak ini agak tegang. Muka Leman kena selamba, tidak cemas dan berusaha tidak mahu melibatkan diri. Tonasi kena betul. Buat-buat tak tahu dan tidak mahu melibatkan diri.
Babak 4 bermula dengan adegan di Happy Park. Leha dan Datuk Maaruf. Leman hanya memerhatikannya dari jauh. Aku perlu polish scene ni lagi. Rasa macam kelakar pulak, aku masuk macam Superman tiba-tiba.
Babak 5 bermula dengan adegan Leman bersama Leha. Leha masih kesal dengan apa yang berlaku. Leman juga kesal kerana kerana dia Leha menerima cacian dari Datuk Maaruf. Leman perlu buat berlagak, cakap tidak pandang Leha.
Babak 6 aku tiada di dalam ruang lakon.
Hari Sabtu yang lepas aku dan beberapa rakan rapat aku meraikan aku sempena Hari Lahir aku yang ke 29. Ramai yang ada. Nizam Zakaria, Leez, Rizal, Takdekerje dan beberapa orang lagi. Aku dapat hadiah banyak. Dapat 2 pasang t-shirt dari Nizam Zakaria dan Dia. Satu t-shirt clubbing. Mana aku pergi clubbing lagi. Satu polo shirt. Dari Resh aku dapat set The Body Shop for Men, dari Rizal aku dapat sepasang t-shirt dan dari Marzuki aku dapat satu lukisan potret wajah aku sendiri. Terima kasih banyak-banyak.
Dengan pertolongan seorang kawan baik, aku berlatih dialog-dialog aku di rumah. Kawan baik aku beritahu juga yang kawan dia pun masuk bertanding. Maknanya aku ada pesaing yang agak kuat juga. Aku pernah menonton persembahan mereka dahulu. Aku kagumi produksi mereka. Cara mereka.
Sabtu lepas aku ke satu workshop teater. Belajar apa itu lakonan. Banyak yang aku tidak tahu. Aku perlu kenal watak. Kenal siapa Leman. Kenal setiap watak yang memerlukan aku berinteraksi dengan mereka. Siapa mereka ? Apa hubungan mereka dengan aku. Bagaimana reaksi aku dengan mereka. Seperti contohnya, Leman dan Leha. Pada mulanya aku malu-malu dengan Leha. Pertama kali berjumpa. Setelah beberapa babak, aku perlu mengubah sifat malu itu kepada yang lebih selesa bersama Leha kerana pertalian sudah dibentuk. Secara amnya, begitu juga hubungan aku dengan keluarga Mak Nah Bee, Tina, Nani dan Kalsum. Dengan Kalsum aku harus menjadi pemujuk. Dengan Nani aku harus menjadi pemberi semangat, begitu juga dengan Tina yang menjadi perantara antara aku dan Kalsum. Leman sukakan Leha dan bagaimana cemburunya Leman bila mengetahui Leha lebih menyukai Datuk Maaruf. Hubungan aku dengan tentera Jepun. Hubungan yang bagaimana ? Sebagai seorang wartawan Berita Malai, tentunya hubungan aku dengan Jepun adalah baik. Sehingga Mak Nah Bee meminta bantuan aku untuk melepaskan Gapar dari tangkapan tentera Jepun.
Secara keseluruhan aku sudah boleh menghafal dialog-dialog aku. Cuma aku perlukan pemahaman skrip dengan begitu mendalam dan memahami jalan cerita teater tersebut. Kupasan watak perlu aku lakukan segera. Malam ini aku tak nak bawa skrip aku. Aku mahu mencuba menghafal dialog aku dengan sungguh-sungguh.
Terima kasih kerana membantu saya semalam. Dan sejuta terima kasih kerana hadiah yang begitu bermakna. Terima kasih.
Semalam Hari Lahir aku yang ke 29. Hari Selasa dan Rabu tiada training teater kerana Pengarah dan Penolong Pengarah out-station. Oleh itu aku tukar plan malam itu. Ada masa kelapangan sedikit. Aku tea dan dinner dengan kawan baik aku. Lepas dinner, kami jalan-jalan untuk beli present anak saudaranya yang hari lahirnya jatuh pada hari yang sama dengan aku.
Sambil-sambil makan aku hanya banyak menghafal skrip di tangan. Dunia aku sekarang dunia lakon. Itu keutamaan aku sekarang. Sambil-sambil baca skrip dan sambil-sambil belajar bernafas. Bernafas dari perut rupanya senang sahaja. Nampakk sukar kerana sudah biasa bernafas di dada. Bernafas di perut hanya perlu mengisi udara di dalam perut. Yang kembang bukannya dada tetapi perut. Berbeza. Nafas lebih panjang bila bernafas melalui perut. Ini amalan penyanyi. Bila menarik suara bukan tunduk tetapi badan dilengkungkan ke belakang. Macam Ning Baizura. Penyanyi yang bila menarik suara dia tunduk ialah penyanyi yang tidak tahu apa erti teknik pernafasan yang baik. Macam seorang pemain teater, bernafas di perut adalah teknik yang utama perlu dipelajari.
Babak 7 sarat dengan monolog panjang yang membosan jika tidak diperhalusi dengan teliti. Leman Voice-Over akan beraksi di tengah pentas dan aku perlu bermain emosi di kiri pentas. Mengambil kertas, memasukkan kertas ke dalam mesin taip, memusing roda putaran mesin taip dan menaip, bangun berfikir, mengiakan kata-kata Leman Voice-Over, mengkeronyok kertas, membuang kertas, ambil kertas baru, resah, mendapat idea, menulis dan duduk semula menaip.
Babak ini banyak adegan cemas setelah disaratkan dengan monolog panjang sebelumnya. Amat penting untuk capture balik attention penonton. Konflik dalam Babak ini amat penting dan jika silap langkah akan menjadi bahan ketawa. Aku perlu berbahasa Jepun dan membuka seluar. Pasti menjadi bahan jenaka jika tidak diteliti.
Aku memang sudah menghafal dialog aku, tetapi menghafal dialog sendiri tidak cukup. Dalam teater sebenarnya kita perlu juga menghafal dialog orang lain terutamanya dialog dengan orang yang kita berinteraksi. Sebagai cue untuk kita. Pengarah menegur saya kerana masih tidak memahami keseluruhan skrip dan jalan cerita. Aku berjanji pada diri aku mahu membaca skrip 20 kali hari ini dan esok. Aku mahu baca sampai faham.
Semalam diadakan character building untuk babak 1,2 dan 7. Aku terlibat untuk Babak 2 dan 7. Babak 2 ada scene bercumbuan dengan Leha. Pengarah tanya sama Leha mempunyai masalah untuk memegang tangan lelaki. Aku tiada masalah. Banyak aksi lakonan yang boleh dibentuk dan diimprovisasikan untuk mencantikkan adegan ini. Antaranya:-
Sewaktu dialog "Awak masih budak lagi", Leman tersipu-sipu malu lalu memalingkan mukanya ke kiri. Leha memegang pipi Leman agar memandangnya. Tetapi Leman memalingkan mukanya ke kanan pula.
Setibanya di tingkat atas rumah,
1. Leha boleh cuba memeluk Leha.
2. Leha cuba untuk membuka tali pinggang seluar Leman.
3. Leman akan cepat-cepat menghalang tindakan Leha yang ingin meleraikan tali pinggang seluar Leman.
4. Leman resah dan agak panik.
5. Leha cuba menenangkan perasaan Leman dan merangkul leher Leman
6. Tangan Leha turun membuka butang baju Leman
7. Leha menarik baju Leman untuk membawa muka Leman ke mukanya.
8. Leha duduk perlahan-lahan sambil menarik Leman ke arahnya.
9. Leman baring di sisi Leha.
10. Lampu gelap.
Aku secara terus terang sukakan scene ni. Aku mahu jadikan scene ini cantik dan diingati sampai bila-bila.
Babak 7 memerlukan penghayatan yang kuat. Monolog panjang oleh Leman benar-benar menyiksakan. Aku perlu seakan-akan menaip, bangun berfikir, resah, gelabah, kelihatan happy dan duduk semula menaip. Memang sukar, aku akuinya. Di Babak ini jugalah aku perlu berhadapan dengan Sarjan Yamazaki dan berbahasa Jepun. Dan di Babak inilah aku perlu membuka seluar aku.
Fikir-fikir aku sudah menghafal lebih dari separuh skrip yang perlu aku hafal. Dialog yang aku kena hafal tak banyak. Monolog pula aku perlu hayati kerana aku perlu melakonkannya di atas pentas walaupun suara tersebut ialah suara Leman yang kedua. Malam ini character building untuk Babak 1,2 dan 7. Penolong Pengarah suruh aku pakai pakaian yang bebas untuk aku bergerak. Dia cakap dia nak dera aku. Suara aku terutamanya.
Apa yang aku faham tentang Babak 2 ?
Babak 2 secara teknikal akan dimulai dengan scene di kabaret. Ada adegan tari-menari. Kemudian diikuti dengan monolog oleh Leman. Sewaktu Leman sedang bermonolog, aku harus berjalan bersama-sama Leha. Sifat aku agak naive ketika ini, bagai seorang budak yang baru belajar. Tidak tahu apa erti dunia kabaret. Kami bercumbuan walaupun aku malu-malu. Siangnya, di rumah Mak Nah Bee aku berkenalan dengan Tina, Nani dan Kalsum.
Dialog aku untuk Babak 2:-
1. (tersipu-sipu) Nama sebenar Sulaiman, kawan-kawan panggil Leman
2. Ya ? kenapa pulak ?
3. (Bangun) Saya Leman
4. Ya, baru first time masuk Happy Park tu....er..kak
Itu sahaja dialog aku. Tak banyak. Tapi ekspresi wajah kena tepat. Itu yang payah.
Aku sudah dapat jadual untuk character building. Aku kena hadir 4 kali dari 5 hari seperti yang dirancangkan. Keempat-empat hari melibatkan watak aku. Aku mula mendekatkan diri dengan pelakon-pelakon yang lain. Kebanyakan mereka telah aku kenal tapi tidak rapat. Aku perlu mendekatkan diri aku dengan mereka terutamanya Leha kerana dalam teater tersebut aku dan Leha agak rapat dan juga Kalsum yang dalam cerita cuba-cuba dipasangkan dengan aku. Tapi ya lah aku, memang sudah sedia pemalu dengan mereka. memang agak sukar untuk dipercayai tetapi itulah character aku yang sebenarnya. Dan di dalam teater itu Leman seorang budak yang baru belajar. Masih teragak-agak dalam melakonkan wataknya.
Kawan aku cakap dia akan tolong aku, tetapi setakat di belakang pentas. Di atas pentas itu kerja Pengarah. Aku tak kisah janji dapat mencantikkan watak Leman sudah memadai.
Sewaktu latihan teater, kami duduk berbincang tentang flow cerita tersebut. Tuan Pengarah bercerita apa yang berlaku bermula dengan sinopsis hinggalah ke babak 6. Aku jadi takut kerana watak aku memerlukan permainan ekspresi wajah tanpa dialog. Aku bukan pelakon profesional. Aku pelakon amatur. Lebih tepat sekali, inilah kali pertama aku berlakon teater. Banyak perkara yang perlu tuan pengarah lakukan untuk menghidupkan aku di atas pentas teater. Aku yang buluh ini, perlu dilenturkan.
Script-reading malam itu pengarah lebihkan kepada watak Leman dan Leha. Scene Leman dengan Leha perlu dibuat dengan teliti. Kata Pengarah, mereka watak utama. Aku akui pemegang watak Leha sememangnya superb. Leha pernah berlakon dalam Mencari Juita satu ketika dahulu. Aku rasa kecil berlakon dengan dia. Leha banyak membantu aku merealisasikan watak Leman. Mengajar aku cara mengekspresikan watak Leman. Pengarah juga banyak membantu aku memperbetulkan intonasi dialog aku. Pengarah sudah mula mahu aku melepaskan skrip di tangan. Katanya, bila skrip tiada di tangan, ekspresi wajah akan lebih kelihatan. Aku faham dan mengerti. Kadang-kadang sahaja aku jeling pada skrip.
Mulai minggu depan, tuan penolong pengarah meminta aku berpakaian sempoi ke latihan. Katanya, latih tubi akan dijalankan. Aku mungkin berpeluh. Sesuatu perlu dilakukan pada suara aku. Suara orang teater bukan macam suara aku. Suara aku perlahan. Minuman ais perlu aku kurangkan dan belajar bernafas dari perut. Nafas kena panjang. Aku tercengang. Nanti aku cerita apa itu bernafas dari perut. Pasal sekarang aku pun tak tahu. Yang aku tahu, aku bernafas dari paru-paru. Cikgu Sains aku ajar dulu.
From: "faizah zakaria"
Date: Wed Mar 26, 2003 8:19 pm
Subject: JEMPUTAN KE MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB AKAR GITA ESTETIKA (AGE)
Kelab Akar Gita Estetika Kuala Lumpur (AGE)
AGE/MT/AGM 2002/001
Kepada : Sesiapa yang Berkenaan
Daripada : Setiausaha Agung, Kelab Akar Gita Estetika (AGE)
CC : Yang Dipertua AGE
Tarikh : 26 Mac 2003
JEMPUTAN KE MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB AKAR GITA ESTETIKA (AGE)
Kelab Akar Gita Estetika (AGE) adalah sebuah pertubuhan seni yang
berteraskan aktiviti tarian, muzik dan teater. Keahlian AGE adalah
terbuka kepada semua individu yang berumur 16 tahun ke atas. Kepada
sesiapa yang berminat, anda dijemput untuk menghadirkan diri di
Mesyuarat Agung Tahunan AGE yang pertama.
Butir-butir mesyuarat adalah seperti berikut:-
Tempat : Dewan Audio Video, Tingkat 1,
Pusat Pelancongan Malaysia (MTC),
109, Jalan Ampang, 50450, KL
Masa : 8.00 pm
Tarikh : 28 Mac 2003 (Jumaat)
Pakaian : Kasual (bertemakan warna hitam & merah)
Kedatangan para hadirin adalah dialu-alukan. Yuran pendaftaran
keahlian adalah sebanyak RM 20 setahun. Datanglah beramai-ramai.
Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut sila hubungi talian
012-3932147 (Khairul Faizi) atau email : faizio@petronas.com.my.
Sekian, terima kasih.
AGE; Apresiasi, Garapan & Ekspresi Seni......
Semalam aku diminta untuk hadir ke satu audtion teater. Untuk Pekan Teater. Aku kalau boleh mahu mengelak, tapi kawan-kawan. Aku turutkan juga. Sampai-sampai terus dapat skrip. "Baca !" Aku panik. "Terus dapat ke ?" Bermulalah satu episod baru dalam hidup aku, berperan di atas pentas teater. "Rumah Kedai Di Jalan Seladang" tajuk teater yang aku lakonkan. Leman nama watak yang aku bawa. Seorang wartawan Berita Malai di zaman Jepun sekitar tahun 40an. Seorang yang masih baru dalam dunia kejam, dunia hitam zaman Jepun. Lurus bendul, itulah Leman. Kata Pengarah, dia suka cara aku bacakan skrip tersebut sewaktu pertama kali di audition. Aku bukan cuba selami watak tersebut, aku hanya baca skrip tersebut. Tiada improvisasi. Dengan harapan aku akan gagal dalam audition itu. Tapi sebaliknya yang berlaku. Mereka suka dengan cara aku. Aku gigit jari. Bila aku panik aku akan gigit jari. "Hahhhhh....macam tu...Leman memang seorang yang cepat panik !" Pengarah telili apa yang aku lakukan. Teruskan gigit jari itu.
Aku ingat bila aku masuk, jadi senang, rupanya perlu rombakan. Watak Leman menjadi dua orang yang bawa. Untuk part monolog, mereka perlukan seorang pelakon berpengalaman. Kalau aku yang kena, mati. Aku tak sanggup nak hafal skrip panjang-panjang.

