Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 04 February 2005 1 komen

Projek 238Temuramah Email

Sekali lagi saya diberi peluang untuk menjanakan pendapat saya untuk melengkapkan lagi proses pendidikan dan penyelidikan yang dilakukan oleh seorang blogger kenalan saya iaitu Fadz. Beliau memiliki blog yang bergelar tontonfilem. Tentu ada di antara anda yang pernah melayari blog beliau. Saya gemar membaca blog beliau sejak dahulu sehingga kini. Walaupun adakalanya proses penyelidikan yang dibuat oleh beliau untuk sesebuah filem itu terlalu mendalam dan kita seakan didedahkan dengan sejarah perfileman akan menjadikannya sesuatu yang sukar untuk diterima. Saya akui blog beliau merupakan antara rujukan saya tentang filem.

Bahagian I

1. bagaimanakah SM kenal akan komuniti blog dan pada tahun apa?
Saya mula mengenali komuniti blog apabila saya dan sahabat baik saya iaitu Nizam Zakaria saling bertukar-tukar link satu blog iaitu bluehikari.com. Pandangan pertama saya hanya sekadar untuk melihat gambar-gambar pengalaman penulis (Rudy) yang sewaktu itu berada di Jepun. Dari situ, saya terdedah kepada beratus jenis blog yang ada di gengjurnal.net. Pelbagai macam jenis blog ada di situ. Dari situ timbul minat saya untuk memiliki blog saya sendiri. Entri pertama saya bertarikh 26 Februari 2002, itupun setelah saya sendiri tidak sabar untuk menulis. Sepatutnya saya telah berhasrat untuk memulakannya pada 1 April 2002. Tetapi kerana ketidaksabaran, saya telah mempercepatkannya.

2. Apabila mengenalinya, apakah yang membuat saudara ingin mencipta blog sendiri? dan waktu saudara mencipta blog saudara (yg kini tercipta) adakah saudara terfikir tentang misi/bentuk/strategi yang ingin saudara projektorkan terhadap khayalak?
Saya menulis untuk suka-suka. Apa yang saya tulis hanyalah pandangan saya, rasa saya dan rakaman saya tentang sesuatu isu. Sekiranya saudara mengikuti blog saya sejak awal, ia berkisar tentang kehidupan seharian saya yang agak membosankan untuk dibaca. Dulu saya pernah kutuk pengurusan di pejabat saya dalam blog saya. Masa dulu tidak ada siapa yang baca. Kutuklah sepuas hati. Sekarang, penulisan bercorak ulasan mula saya terapkan sejak Januari 2003. Saya kira ia lebih memberikan manafaat kepada pembaca. Lagipun artikel yang diulas adalah artikel yang dikongsi bersama.

Pada mula penulisan saya langsung tidak memikirkan tentang misi atau strategi penulisan saya. Tetapi lama kelamaan saya terfikir, apakah manafaat yang boleh pembaca saya dapat melalui blog saya sekiranya saya terus menulis tentang perjalanan hidup saya membosankan yang tiada kena mengena dengan mereka. Maka untuk itu saya mencuba untuk menulis tentang apa sahaja teater, konsert dan website yang saya tonton dan layari untuk manafaat mereka. Bermula dari Akademi Fantasia saya menulis tentang apa sahaja yang berlaku di dalam dan di luar Akademi Fantasia. Alhamdulillah, pembaca menerimanya. Kini saya melihat tanggungjawab saya semakin besar dalam penulisan terutamanya yang berkaitan Akademi Fantasia.

3. Siapakah 'target audience' saudara sebenarnya, atau memang, blog yg. saudara cipta dikhaskan untuk saudara sendiri menelitinya, seakan jurnal yg. mana orang ramai boleh 'take a peek'?
Saya tidak pernah meletakkan target audience saya. Sesiapa sahaja boleh membacanya. Artikel tentang teater boleh dibaca oleh sesiapa sahaja, begitu juga dengan artikel tentang Akademi Fantasia. Kesan pelbagai jenis topik yang ada dalam blog saya, ia telah membolehkan enjin carian Google menyenaraikannya apabila pelayar internet mencari maklumat tentangnya. Seboleh-bolehnya saya mahu mereka kekal membaca setiap entri yang ada tanpa memilih topik-topik yang hanya mereka gemari. Kerana dari situ pembaca saya boleh nenanam minat untuk meminati apa yang diminati oleh orang lain.

4. sehingga kini, sudah berapa 'hits' yg saudara kecapi, kalau tak pun sebulan/seminggu?
Sehingga kini hitsnya sudah mencecah angka 929,232. Ini bukan bermakna saya sudah mengumpul pembaca sebanyak 929,232 orang. Angka tersebut sekadar bilangan lawatan yang telah dibuat sejak Februari 2002 hingga sekarang.

Bilangan hits yang saya terima agak berbeza tatkala musim Akademi Fantasia sedang berlangsung bilamana ia boleh mencecah 6,500 hits sehari, 36,000 hits seminggu dan 128,000 hits sebulan.

Pada hari-hari setelah musim Akademi Fantasia bilangan hits hanya sekadar 1,000 hits sehari, 6,000 hits seminggu dan 26,000 hits sebulan.

5. saudara kelihatan menjurus kepada ulasan budaya pop, tetapi ada juga menggambarkan dalam blog saudara, menyentuh isu2 sastera dan berkecimpung dgn. 'fine arts', adakah ada makna disebalik ini untuk perhatian pembaca saudara?
Saya menulis apa sahaja yang saya minat tanpa ada batasan yang mengekang minat saya. Saya tulis tentang hiburan mainstream seperti Akademi Fantasia yang lebih berkonsepkan budaya pop. Saya sedikit berbangga apabila saudara berjaya juga mencungkil idea-idea ulasan saya untuk isu-isu sastera dan “fine arts”. Ya, saya mengaku ada agenda saya yang tersendiri. Sebolehnya saya mahu juga pembaca saya pergi menonton teater atau filem yang bagus-bagus. Saya mahu menyogokkan pembaca saya bukan sekadar dengan bacaan yang berbentuk hiburan tetapi juga bacaan yang berbentuk ilmiah. Sampai bila pembaca saya harus dibuai fantasi Akademi Fantasia dan Malaysian Idol, sekali sekala mereka harus juga didedahkan dengan teater-teater bagus seperti Ronggeng Rokiah dan matderihkolaperelih atau filem-filem hebat seperti Puteri Gunung Ledang, Sepet dan Gangster.

Nota tambahan: Dalam diam sebenarnya saya cuba mempromosikan Kelab Akar Gita Estetika yang bergiat aktif dalam bidang teater, muzik dan tarian. Saya mahu mereka menghargai kerja-kerja seni kreatif ini seperti mereka terlalu mengagungkan Akademi Fantasia.

6. saya fahami bahawa saudara terus terkenal selepas mengulas AF (mungkin saya salah, maknanya saudara mmg sudah dikenali lebih awal dari itu)...Apa sebenarnya yg. saudara ingin projektorkan di sini..adakah pengemblengan ini untuk suka2, atau ada matlamatnya yg. tersendiri?
Saya sebolehnya mahu membudayakan minat membaca di kalangan penggemar siaran televisyen. Saya melihat mereka begitu aktif di dalam forum gosip seperti cari.com dan artismelayu.net. tetapi bahasanya di situ adalah bahasa yang rojak yang tunggang-langgang struktur nahu nya. Blog ini saya buat sebagai platform untuk mereka berinteraksi secara lebih positif dan mereka bebas untuk mengutarakan pendapat masing-masing dengan batasan-batasan yang ada. Visi yang pada mulanya suka-suka kini menjadi satu tanggungjawab yang berat. Bukan sahaja untuk para pembaca saya tetapi juga untuk saya. Saya perlu memberikan komen yang jujur dan saya menganggapnya sebagai satu beban yang cukup berat untuk saya tanggung. Pengiktirafan di peringkat mainstream bukan matlamat utama saya, cukup sekadar apa yang saya peroleh sekarang.

7. Kini, dalam kaji selidik saudara sendiri, apakah lingkungan umur pembaca yg melawati blog saudara?
Dalam satu soalselidik yang pernah saya buat dalam blog saya mendapati pembaca saya berada dalam lingkungan umur 16-25 tahun. Kebanyakannya ialah remaja dan pelajar manakala golongan kedua terdiri dari kalangan yang berumur 26-30 tahun. Mereka ini boleh saya sifatkan golongan yang telah bekerja dan profesional. Ini boleh saya buktikan melalui taburan hits berdasarkan jam yang mana masa puncak blog saya adalah pada waktu bekerja sekitar jam 8 pagi - 5 petang.

Anda berada di dalam lingkungan umur [1767 votes total]

Bawah 15 tahun (238) 13%
16 - 25 tahun (903) 51%
26 - 30 tahun (308) 17%
31 - 35 tahun (140) 8%
36 - 40 tahun (83) 5%
Lebih 40 tahun (95) 5%

8. Saudara mempunyai niat yg murni mencipta PFS, apakah sebenarnya tujuan ciptaan PFS (cth., meruntumkan silratul rahim antara penulis blog?)...? Adakah PFS ada misi tersendiri mengatasi Penulis Islam baru (ahlinya Lutfi Ishak, Faizal Tehrani, Dr. Zaki, Raja Ahmad, SM Zakir..mereka ini setidak2nya menuruti atau terpengaruh dengan 'sastera islam' pembawaan Shanon Ahmad)? Adakah PFS sendiri ada matlamat 'alternatif' dalam persoalan ini?
Saya sedar akan wujudnya Penulis Islam baru. Mereka ada aliran mereka sendiri dan saya pasti pembaca mereka sendiri. Tetapi kalau itu sahaja aliran penulisan yang kita ada di Malaysia, semacam kita membataskan kerja-kerja kreatif kritis yang lain. Kelak, tidak ada kepelbagaian sastera di dalam negara kita sendiri. Kalau tidak ada kepelbagaian, sastera kita tidak akan ke mana. Tapi sayangnya itu yang saya lihat. Seperti ada motif untuk mempromosikan sastera aliran ini dan menidakkan aliran yang lain yang mungkin wujud. Keadaan dunia penulisan di Malaysia, seperti mana saya pasti saudara sudah sedia maklum, berpuak-puak. Mereka yang mengikut satu-satu aliran akan menidakkan aliran yang lain. Mana-mana yang tidak mengikut visi mereka akan dikatakan bukan sastera malah dilabel ‘bukan mainstream’. Lihat sahaja diskusi ‘Weblog: Ruang Ekspresi Idea & Sastera’ yang akan diadakan di Rumah Pena pada 29 Januari 2004. Mengapa Nizam Zakaria (saya rasa, penulis pertama di Malaysia yang menerbitkan novel dalam bentuk e-book dan kemudian di dalam novel bersiri di dalam blognya) tidak dijemput. Mengapa ‘Bapa Blogger Malaysia’ Jeff Ooi tidak diminta untuk menjadi ahli panel? Malah, saya akui, jika mereka dijemput, mereka juga akan datang dengan menyediakan kertas kerja. Tetapi mengapa beberapa nama ini ditidakkan dan dianggap seolah-olah mereka tidak wujud di dalam dunia mereka ini? Boleh saya dapatkan jawapan yang ikhlas?

Misi PFS ialah untuk mencorakkan satu fahaman yang lebih liberal dalam seni dan sastera. PFS ada golongan yang tahu menilai seni kreatif dari program televisyen yang telah mereka tonton dan menghargai perbincangan secara ilmiah. Saya fikir, sastera dan seni tidak perlu kaku dan mempunyai satu corak sahaja. Ia perlukan kepelbagaian. Saya tidak ada masa seperti segelintir penulis yang mahu menutup kelemahan mereka dengan menutup pintu kepada penulis-penulis yang lebih berbakat yang ada menulis di Internet. Saudara sendiri, mempunyai kebolehan luar biasa mengulas mengenai filem tetapi bakat saudara langsung tidak diiktiraf secara “mainstream”. Saya rasa masanya sudah tiba untuk kita meletakkan prejudis kita ke tepi dan kita perlu mengiktiraf penulis-penulis blog yang telah banyak mengubah cara kita berfikir (walaupun proses ini mengambil masa), dan melihat sesuatu perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai contoh, dengan adanya blog, wartawan-wartawan kini tidak boleh menulis sesuka hati mereka kerana terdapat penulis-penulis blog yang jauh lebih cerdik dan arif dari mereka ketika menulis dan mengulas sesuatu perkara. Dengan adanya blog yang lebih tertumpu pada penulisan novel pula (ada beberapa blog seperti ini selain dari blog Nizam Zakaria jika saudara selidiki sendiri), pembaca-pembaca akan sedar betapa berbakatnya penulis-penulis yang kita ada jika dibandingkan dengan karya-karya yang telah diterbitkan tetapi sayangnya karya mereka hanya wujud di atas talian. Mengapa perkara ini boleh berlaku atau kita akan terus menerus begini, sedangkan beberapa karya blog barat telah dijadikan novel. Persoalan-persoalan sihat seperti inilah yang diharapkan membawa kepada perbincangan dan akhirnya perubahan yang baik di dalam dunia sastera dan seni di negara kita.

Sejarah PFS
PFS ? Petrol Free Setahun ? Peminat Fanatik sultanmuzaffar ? Saya nampak saudara terkeliru dengan konsep PFS. PFS sekadar suka-suka untuk mengembalikan apa yang telah diambil oleh ASTRO. Sewaktu Akademi Fantasia I, pembaca saya mengumpulkan email mereka sesama sendiri. Lalu saling bertukar-tukar forward email maka email yang paling panjang ialah tentang Petrol Free Setahun. Disingkatkan cerita, dari situ wujud nama PFS. Apa yang telah diambil oleh ASTRO, kita kembalikan semula dengan membuat encoding lagu-lagu konsert dalam bentuk mp3, video konsert dalam format vcd. Saya tidak fikir mereka dari PFS ingin mengatasi penulis-penulis tersohor yang sudah ada nama seperti Penulis Islam Baru. Mereka sekadar berseronok ingin juga berblog setelah melihat saya berblog. Saya melihat mereka lebih suka berfotoblog. Berkongsi pengalaman dan pandangan mereka bersama yang lain.

9. Saya lihat, bukan sahaja penggarapan bahan blog, dengan cara persembahannya, isinya dan temanya yg. saudara pentingkan, tetapi juga 'perjumpaan-perjumpaan' yg. saudara 'unformally' lakukan (or was it someone else idea?)..saya faham kenapa perjumpaan2 ini dilakukan, tetapi apakah agenda lain kenapa saudara lakukan ini atau saudara tidak sedar terhadap ini? (as ive heard a lot of ur style when speaking...thus in a way, when people has seen and talk with u, physically, they see ur personality, hence ur charisma..in a sense, i see in them that they respect u..and in a way, conjure u as a leader amongst them...its ok, tell me in ur own words, coz we are trying to realize and understand the form of leadership, whether it is decide upon or aptly made or unconsciously determined)..
Saya mengambil masa yang lama untuk menerima pelawaan mereka. Berkali-kali mereka meminta saya hadir tetapi berkali-kali juga saya menolak pelawaan mereka dengan baik. Mereka saya anggap seperti sahabat saya sendiri. Tidak salah sekiranya saya bertemu dengan mereka. Hubungan kami agak rapat. Sebolehnya sebagai seorang blogger saya ingin kekal tidak dikenali. Tetapi kemunculan saya dalam Imbasan Akademi Fantasia seakan-akan satu signal yang saya telah bersedia untuk menerima pelbagai kelompok pembaca sebagai kawan-kawan saya sendiri. Saya sering dijadikan bahan rujukan untuk Akademi Fantasia. Sehingga masalah-masalah fanclub juga harus saya tanggung dan selesaikan. Saya mencuba sebaik yang mungkin untuk memuaskan hati semua pihak. Jika boleh saya tidak mahu peminat Akademi Fantasia ini jenis yang mudah untuk ditipu lagi. Mereka memerlukan seseorang sebagai rujukan. Berinteraksi dengan mereka juga seakan meluaskan lagi pandangan saya dan pengalaman saya. Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya tidak pernah mengharapkan mereka mendewa-dewakan saya kerana saya juga seperti mereka hanyalah salah seorang peminat Akademi Fantasia. Cuma saya mengharapkan mereka menerima saya seadanya.

Bahagian II

1. Apakah pendirian saudara terhadap media perdana kita dari segi penyampaiannya dan pengaruhnya?
Media arus perdana sememangnya mempunyai pengaruh yang besar, mungkin terlalu besar di Malaysia. Maka, sudah menjadi tanggungjawab kepada media arus perdana ini menyampaikan sesuatu dengan ikhlas dan tulus kepada rakyat Malaysia tanpa menjadi 'pak turut' dan bertuankan kepada mana-mana parti tertentu di negara ini. Akan tetapi inilah yang telah berlaku. Jika di barat, para jurno terdiri dari mereka yang benar-benar mempunyai kredibiliti menulis, hatta menulis warta hiburan sekalipun. Namun demikian, di Malaysia jarang kedapatan penulis yang betul-betul berbakat dan mempunyai kredibiliti. Ramai di antara mereka menulis sambil lewa tanpa “passion”. Penulis-penulis seperti Noor Azam Shaari, Ku Seman Ku Hussain dan Johan Jaafar sukar dicari. Bagi saya, penulis seperti merekalah yang perlu ada.

2. Apakah saudara fikir, dengan penguasaan 'skill' dalam mengetahui teknologi internet (dlm konteks penciptaan blog saudara), ia sedikit sebanyak (berkenaan ergonomics) membuat blog saudara jadi tumpuan? Apa pula kondisi ini dikaitkan dengan idea (bermakna dengan idea sahaja, sudah ada kekuatannya)?
Saya tidak rasa skill saya dalam teknologi internet mempengaruhi bilangan pembaca. Kini sesiapa sahaja boleh mempunyai blog dan mampu membina website sendiri. Adakalanya limpahan teknologi juga mampu membuatkan blog tersebut dibenci kerana terlalu berat dengan skrip-skrip yang tidak perlu. Saya rasa kandungan blog yang telah merangsang pembaca untuk melawatinya. Kandungannya terdiri dari bahan-bahan hiburan seperti muzik, teater, filem, drama dan tv realiti. Maka secara tidak langsung, ia membuatkan pembaca meminatinya. Bahan-bahan tersebut lebih ringan di mata pembaca tetapi seboleh-bolehnya saya mahu memberi satu nafas baru dalam artikel-artikel berkaitan industri hiburan. Saya mahu pembaca melihat dari perspektif yang berbeza dan jika boleh diberikan sedikit elemen yang berat agar dalam hiburan itu bukan sekadar gosip tetapi juga ilmu-ilmu dan mesej-mesej yang lebih bermanafaat untuk masa hadapan.

3. Siapakah idola saudara? atau apa yg mempengaruhi saudara dalam hidup, dalam penulis atau apa2 bidang yg saudara suka (tv, filem, muzik, sastera, teater, falsafah, idea)?
Dalam bidang penulisan blog, idola saya adalah Nizam Zakaria yang telah membuka jalan kepada penulisan ulasan blog kepada ramai penulis-penulis blog di Malaysia samada mereka sedar atau tidak. Minat saya untuk menulis secara serius juga mula dipupuk sejak mengenali beliau. Selain daripada itu beberapa penulis yang menulis menentang arus yang tidak saya sebutkan namanya di sini tetapi beliau tahu dialah yang dimaksudkan oleh saya. Saya juga menggemari idea Mat Jan dalam memberikan sebuah tulisan yang berunsur humor. Beliau bijak menggunakan satu-satu isu untuk diputar-belitkan menjadi satu bahan jenaka. Mereka bertiga adalah idola saya.

4. Apakah pekerjaan ibu dan bapa saudara?
Bapa saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pengurus Kanan di sebuah syarikat perladangan terbesar di Malaysia. Seharian menguruskan urusan keluar masuk kapal yang mengangkut minyak kelapa sawit dan getah ke Pelabuhan Klang. Manakala ibu saya pekerjaan terakhirnya adalah sebagai Pegawai Pembantu Tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja. Tiap-tiap musim perayaan, rumah kami seakan menyambut perayaan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor. Kalau setakat meriam buluh yang menjadi kebanggaan anak-anak muda kampung tidaklah saya hairan sangat jika dibandingkan dengan mercun-mercun rampasan kastam. Sekarang mereka sudah bersara. Saya sungguh bosan kerana tiada lagi pas masuk “ACCESS ALL AREA” ke Pelabuhan Klang untuk melihat kapal pengangkut USS Enterprise.

5. Saudara dibesarkan dalam bentuk keluarga yg. bagaimana?
Melihat kepada pekerjaan kedua ibubapa saya sepatutnya anda sudah boleh menelah kehidupan yang bagaimana saya lalui. Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak senang. Apa sahaja yang saya inginkan saya akan perolehi. Tetapi bukanlah semua benda akan dapat. Yang berpatutan sahaja. Mereka banyak menentukan hidup saya. Sejak lahir hinggalah berumur 12 tahun. Sewaktu kecil saya seakan dipaksa untuk mengikuti kelas organ dan kelas tenis. Saya mengikutinya kerana terpaksa. Belajar dalam kelas organ hanya separuh jalan kerana takutkan peperiksaan untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Belajar di kelas tenis juga separuh jalan kerana saya tidak tahu apa yang saya patut pukul. Saya lebih selesa memukul dinding dari bermain secara berpasangan. Saya jenis yang pendiam dan tidak banyak bersuara apabila bersama keluarga.

Selepas pada itu saya banyak menghabiskan masa tinggal di asrama sehingga tamat pengajian. Saya dilatih untuk belajar membuat keputusan sendiri dan saya memilih jalan yang saya fikir betul untuk hidup saya.

6. Waktu kecil lagi, saudara sudah gemar membaca buku? Buku jenis apa yg saudara selalu baca?
Jangan terkejut jika saya katakan saya suka membaca buku kisah-kisah penyiasatan dan misteri. Saya gemar membaca karya-karya Enid Blyton dan Nancy Drew. Ada juga versi penyiasatan dan misteri ini yang digarap agar bersesuaian dengan iklim Malaysia. Selain daripada itu saya juga gemar membaca fiksyen alam persekolahan. Saya tidak ingat tajuk buku tersebut tetapi masih berkisar kepada kisah penyiasatan dan misteri. Salah satu buku penyiasatan yang masih saya simpan sehingga sekarang ialah buku Projek 238 karya BH Amir. Sampai sekarang saya tidak mengenali siapa itu BH Amir. Buku tersebut saya baca sehingga lunyai. Saya berangan-angan ingin membawa Projek 238 menjadi sebuah filem besar satu hari nanti dan Ridzuan Hashim menjadi TPP Razif iaitu heronya. Itu angan-angan saya ketika itu, sekarang tidak relevan lagi.

Karya-karya Rahmat Haroun juga menjadi kegilaan saya. Salah satunya ialah Di Ar Ti dan Oedipus. Maaf jika tersilap. Mungkin dari sinilah jiwa penulisan saya yang kemudiannya disulami dengan ilmu sains menjadi satu. Saya melihat ilmu sains juga mampu menjadi fiksyen yang berjaya.

7. Apakah ijazah terakhir yg saudara perolehi?
Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Multimedia)

8. Saudara dahulu belajar di mana waktu sekolah rendah? pada waktu itu sendiri, adakah saudara sedar yg saudara akan jadi apa yg saudara sudah jadi kini?
Sewaktu di peringkat rendah, saya belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Methodist Pelabuhan Klang. Saya bukan pengawas sekolah kerana saya budak jahat. Zaman tersebut sedang heboh pasal siri kartun Thundercats. Semua budak-budak berangan hendak jadi binatang. Oleh kerana dalam kumpulan saya itu, saya yang paling laju berlumba lari (baca: sprinter), maka saya dipilih jadi Cheetara. Zaman tersebut zaman happy sahaja. Antara perubahan besar dalam hidup saya ketika itu adalah apabila berjaya mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Hadiah yang saya terima ialah sebuah komputer dan RM250 (1A=RM50). Bayangkan pada tahun 1986 saya sudah memiliki sebuah komputer sedangkan anak orang lain pada waktu tersebut sekadar memiliki basikal Chopper atau pun BMX. Dari situ semakin bercambah minat saya terhadap komputer. Zaman 1986 orang tidak sebut teknologi maklumat kerana zaman tersebut bukan zaman MSC. Komputer saya pada zaman tersebut boleh berbangga dengan Wordstar 4.0. Tetapi dari Wordstar 4.0 itulah saya menjadi apa yang saya inginkan sekarang. Tapi kini saya menggunakan Microsoft Office XP.

9. Adakah waktu di sekolah rendah/menengah, saudara pernah berkecimpung dalam AJK persatuan, menjadi pengawas/badan wakil pelajar, menjadi editor majalah?
Sewaktu di sekolah rendah, saya terpilih untuk menjadi Konduktor Angklung. Sejak dari darjah tiga lagi saya telah menjadi perintis kepada kelab ini. Oleh kerana saya boleh baca nota muzik, maka saya terpilih menjadi Konduktor untuk pasukan tersebut. Buat persembahan merata-rata daerah Selangor dan memasuki peringkat akhir Pesta Muzik Sekolah-Sekolah Selangor.

Saya berpeluang untuk menjadi Pengawas hanya sewaktu Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara. Di sana, mereka panggil Jemaah Disiplin Pelajar(JDP). Itupun kerana di MRSM tiada siapa yang berminat menjadi JDP. Siapa yang suka buat kerja panjat loteng nak tangkap pelajar hisap rokok.

Saya tidak berpeluang untuk menjadi sidang redaksi majalah sekolah kerana mereka yang terpilih ketika itu adalah mereka yang “English-speaking” sahaja. Saya lebih gemar berbahasa Melayu. Akhirnya majalah tersebut diharamkan pengedarannya kerana meletakkan foto muka seorang Ustaz pada kepala seekor kambing yang sedang dikorbankan.

Saya juga berpeluang menjawat jawatan Setiausaha Agung untuk Majlis Perwakilan Pelajar hanya sewaktu di peringkat persediaan sebelum ke Universiti. Jawatan tersebut dipilih melalui satu proses pilihanraya dan memerlukan kempen dijalankan. Kenapa Setiausaha Agung ? Mereka kata saya sesuai untuk jawatan tersebut kerana saya suka menulis minit mesyuarat.

Boleh saya simpulkan di sini, susur sejarah yang saya lalui sejak zaman persekolahan akhirnya mampu membentuk apa yang saya ada seperti sekarang. Kini, saya meminati muzik dan memiliki blog yang komennya perlu saya awasi setiap hari dari komen-komen “personal attack”. Jika dulu saya suka tulis minit mesyuarat, sekarang saya suka tulis laporan Akademi Fantasia.

10. Sewaktu saudara kecil, adakah saudara pernah atau memang mempunyai ciri2 melawan proses/aktiviti sistem yg diselar dalam satu2 institusi (sekolah, keluarga,
persatuan, kawan2) atau mempunyai semangat untuk merubahnya?

Untuk pengetahuan semua, saya telah dilahirkan secara abnormal iaitu dalam bahasa Melayunya ialah songsang. Bahasa kasar sedikit, kaki keluar dulu. Itu sudah cukup menjadi satu tanda bahawa saya sememangnya seorang yang “rebel”.

Memang dari kecil saya mahu menjadi agen kepada perubahan. Setiap dari kita walaupun kecil mampu untuk merubah situasi di sekelilingnya jika kita mahu. Sejak kecil saya mahu melihat Malaysia maju dan setaraf dengan negara-negara lain. Komputer yang saya ada di rumah waktu itu menjadi bahan tayangan kepada pelajar-pelajar seusia dengan saya. Saya mahu mereka menikmati kemudahan yang saya perolehi agar pemikiran masing-masing boleh berubah.

Kini saya mahu mengubah pandangan pembaca terhadap dunia hiburan. Hiburan bukan sekadar bahan gosip. Hiburan ada teater yang mampu memanusiakan manusia, hiburan ada muzik yang liriknya bukan sekadar kisah cinta tiga segi tetapi juga lirik berunsurkan ketuhanan, hiburan ada filem yang bukan sekadar filem Sembilu tetapi ada filem seperti filem Sepet. Saya mahu mengubahnya.

Selain daripada temuramah tersebut, pada hari ini tersiar dalam blog Brand New Malaysian sebuah artikel bertajuk "Reinventing The New News Media", sebuah topik bertajuk Reinventing The Print Media telah menyebut;

It is from these sources of popular media that print news must derive their new generation of readers. They must learn to converge with popular trends, like blogging for instance.While it can be said that I am biased because I myself blog, but this blog is not where the print news media are to derive their new readers.

It is from blogs like this, titled Sultan Muzzafar, that is the vein of youth readership in blogs. These are the guys that dictate youth mentality and they do it by networking with other sites, and eventually forming a pocket of popular culture, a conversation piece.


Saya terkejut. Besar rupanya tanggungjawab yang tertanggung di bahu saya. Para remaja yang rata-ratanya mengenal apa itu internet dari mengenal apa itu Utusan Melayu tentunya menggunakan kemudahan ini untuk mendapatkan maklumat yang mereka inginkan. Alternatif yang saya berikan ialah ia dalam Bahasa Melayu. Yang minat hiburan pun rata-ratanya adalah remaja Melayu. Inilah yang saya termampu. Saya mahu menukar corak pemikiran orang Melayu. Ia merupakan jawapan kepada Soalan 10 Bahagian II.

Foto RED104.9 Konsert Amal Tsunami Atas Nama Cinta

Entri oleh sultanmuzaffar 02 February 2005 0 komen

Sting Sacred Love TourSting Sacred Love Tour
Stadium Putra Bukit Jalil

Saya bukan peminat Sting. Tetapi setelah berpeluang untuk menonton persembahan hebatnya malam itu, saya menjadi suka dengan corak persembahan beliau. Terima kasih kepada pemberi tiket dan juga dua orang peminat fanatik Sting yang turut sama memperkenalkan saya kepada satu dunia yang baru.

Sebelum memasuki stadium, saya hanya berbekalkan dua lagu Sting yang saya tahu iaitu Desert Rose dan Every Breath You Take. Itu sahaja dua lagu yang saya tahu. Every Breath You Take tentunya akan menjadi salah satu lagu encore tetapi ini berbeza untuk lagu Desert Rose yang jarang sekali beliau nyanyikan dalam mana-mana tour. Impian saya untuk melihat beliau membawakan lagu Desert Rose akhirnya membuahkan hasil apabila beliau membawakan lagu tersebut dengan berjaya.

Senarai Lagu
Send Your Love dipilih sebagai lagu pembukaan merupakan lagu yang punya elemen Timur Tengah serta gabungan house music. Penonton seakan-akan diberikan gambaran akan konsep persembahan pada malam tersebut. Terus terang saya katakan saya menyukai teknik tatacahaya yang digunakan pada malam itu.

Message In The Bottle diteruskan untuk cuba membuka minda saya tentang Sting. Masih belum boleh menerima lagu-lagu baru ini. Saya masih tercari-cari mengapa saya berada di sini. Sekadar untuk menikmati muzik mungkin. Saya memang suka muzik dan tidak salah sekiranya saya berada di sini untuk mendengar muzik tetapi bukan menghayatinya.

If You Love Somebody Set Them Free merupakan antara lagu-lagu klasik Sting. Mood persembahan kembali bertenaga dengan irama-irama segar rock dan showmanship beliau. Saya masih terpinga-pinga. Komunikasi Sting dengan penonton sungguh bersahaja. Menggunakan sedikit bahasa Melayu untuk menarik perhatian penonton.

Dead Man’s Rope susunan muziknya agak perlahan. Boleh saya katakan inilah muzik pilihan saya. Ia bermula dengan petikan gitar secara solo oleh Sting. Di pertengahan lagu tersebut, bunyi perkusi, bass dan drum bersatu untuk mencipta satu mood pada lagu tersebut yang benar-benar memukau. Saya sudah dapat menyerapkan diri saya ke dalam konsert tersebut. Sudah mula merasaikan keseronokannya.

Brand New Day membuatkan saya teruja ! Dengan tatacahaya merah kuning dan biru bertukar-tukar arah, persembahan Sting menjadi begitu ekslusif. Elemen-elemen country pada lagu tersebut diselitkan elemen rock begitu segar.

Shape of My Heart sebuah ciptaan yang indah. Petikan gitar secara solo oleh Sting disusuli lontaran vokal yang mantap membuatkan lagu berirama rock ballad ini menjadi begitu menarik.

Englishman In New York membuatkan penonton berbangsa asing menjerit keriangan. Rata-rata penonton mula berdiri untuk menikmati muzik yang hebat itu. Saya akui persembahan vokal Sting begitu bertenaga. Saya harus akui Sting bijak memilih lagu untuk disesuaikan dengan persembahannya.

Fragile dinyanyikan dalam latar cahaya warna biru dan dihalakan cahaya merah ke arah Sting. Menurut salah seorang sahabat saya, lagu ini menjadi tema untuk tragedi 9/11 kerana liriknya amat sesuai dengan kejadian tersebut. Saya tidak menjangkakan yang lagu ini dinyanyikan pada pertengahan konsert tetapi aspek pemilihan lagu dibuat dengan baik untuk mengekang mood penonton.

If blood will flow when flesh and steel are one
Drying in the colour of the evening sun
Tomorrow's rain will wash the stains away
But something in our minds will always stay
Perhaps this final act was meant
To clinch a lifetime's argument
That nothing comes from violence and nothing ever could
For all those born beneath an angry star
Lest we forget how fragile we are
On and on the rain will fall
Like tears from a star, like tears from a star
On and on the rain will say
How fragile we are, how fragile we are
On and on the rain will fall
Like tears from a star, like tears from a star
On and on the rain will say
How fragile we are, how fragile we are
How fragile we are, how fragile we are


Sting Sacred Love TourFields of Gold adalah antara lagu yang pernah saya dengar sebelum ini. Pada saat ini adrenalin penonton telah pun memuncak dan mereka turut sama bertepuk tangan mengiringi persembahan Sting. Saya benar-benar terhibur tatkala Sting membawakan lagu ini tetapi masih kekal duduk di kerusi penonton.

Sacred Love sebuah lagu yang ada elemen etnik fusion. Saya menyukai susunan muziknya yang segar dan sedikit moden. Pengaruh rocknya juga kuat pada lagu ini dan vokal Sting seperti biasa hebat untuk lagu ini.

Whenever I Say Your Name boleh saya sifatkan sebagai pertarungan vokal antara Sting dan rakan duetnya malam itu iaitu Joy Rose. Lagu yang asalnya dinyanyikan bersama Mary J. Blige merupakan sebuah lagu romantic ballad yang mempunyai elemen-elemen seksual antara satu sama lain. Saya suka dengan showmanship yang dipersembahkan oleh mereka dan amat kena dengan lagu tersebut.

Every Little Thing She Does Is Magic begitu juga dengan Sting. Showmanshipnya satu magik. Kehebatan beliau mengawal penonton begitu terserlah. Sedikit pun persembahannya tidak membosankan. Walaupun susunan muzik lagu tersebut diubah mengikut kesesuaian, tetapi ia masih bersesuaian dengan corak persembahannya.

The Book of My Life berentak agak perlahan. Menariknya persembahan ini apabila bahagian-bahagian panjang lagu ini dibuat seperti jamming session antara pemuzik. Para pemuzik tentu seronok melihat setiap seorang daripada pemuzik iringan seakan berperang untuk menghasilkan yang terbaik antara mereka.

Roxanne merupakan sebuah lagu yang agak perlahan. Sebuah permulaan yang baik Lagu ini menceritakan tentang pelacur-pelacur jalanan telah diberikan nafas baru dengan menyelitkan elemen jazz dan fusion. Lagu ini agak panjang dan sedikit membosankan dengan jamming yang panjang. Kehebatan pemuzik-pemuzik iringan Sting diserlahkan lagi menerusi lagu ini.

Desert Rose adalah lagu yang saya tunggu-tunggu. Beliau kembali semula ke pentas atas permintaan penonton. Saya sendiri tahu yang beliau akan kembali kerana lagu-lagu evergreen beliau belum dinyanyikan lagi. Tentu itu satu gimik sahaja. Walaupun tanpa Cheb Mami beliau tetap membawakan lagu tersebut dengan hebat. Melodi lagu tersebut telah menyebabkan hampir semua penonton bangun untuk menari bersama-samanya. Saya harus puji Sting yang turut menyanyikan beberapa rangkap dalam bahasa Arab untuk penonton-penonton di Malaysia.

If I Ever Lose My Faith In You membawa mood penonton kembali tenang tetapi masih bertenaga. Rata-rata penonton girang dengan persembahan bertenaga Sting. Penguasaan pentasnya hebat dan permainan alat muzik sedikit pun tidak membataskan pergerakannya. Lagu ini tamat dan mendapat tepukan bergemuruh dari penonton dan terus bersambung untuk lagu seterusnya.

Every Breath You Take menyebabkan satu stadium bergema. Setiap seorang dari penonton akan cuba menyanyikan lagu evergreen itu yang dirakamkan bersama The Police. Saat ini saya sudah gilakan Sting. Saya rasa semua orang gilakan Sting.

Every breath you take
And every move you make
Every bond you break, every step you take
I'll be watching you

Every single day
And every word you say
Every game you play, every night you stay
I'll be watching you

Oh, can't you see
You belong to me?
How my poor heart aches
With every step you take
Every move you make
Every vow you break
Every smile you fake, every claim you stake
I'll be watching you

Since you've gone I've been lost without a trace
I dream at night, I can only see your face
I look around, but it's you I can't replace
I feel so cold, and I long for your embrace
I keep crying baby, baby please,
Oh, can't you see
You belong to me?
How my poor heart aches
With every step you take
Every move you make
Every vow you break
Every smile you fake, every claim you stake
I'll be watching you
Every move you make, every step you take
I'll be watching you
I'll be watching you


Penonton menjangkakan persembahan telah tamat. Jeritan penonton yang masih belum puas dengan persembahannya memecah kesunyian stadium. Penonton masih bersorak mengharapkan beliau kembali ke pentas. Lagu Thousand Years menjadi lagu penamat setelah beliau dipanggil semula. Elemen etnik dalam rentak yang perlahan serta diselitkan sedikit elemen muzik Timur Tengah merupakan lagu yang sesuai sebagai penamat.

Sting tetap menjadi man of the show pada malam itu. Usia bukan penghalang. Tidak salah sekiranya beliau menjadi idola kepada setiap lelaki yang ada di dunia ini. Beliau menjadi ikutan. Sekurang-kurangnya pada zaman sekitar 80an.

Para peminat Sting sanggup berhabis untuk menyaksikan persembahan eksklusif beliau. Konsert tersebut diiringi oleh lima pemuzik dan dua penyanyi latar. Mereka terdiri daripada Dominic Miller (gitar), Jason Rebello (piano & keyboard), Keith Carlock (drum), Kipper (keyboard) dan Rhani Krija bermain perkusi. Penyanyi latar terdiri daripada Joy Rose dan Donna Gardier.

Malam tersebut menjadi malam yang meninggalkan seribu kenangan kepada hampir 8000 penonton.

Ranking Lagu
Desert Rose
Every Breath You Take
Fragile
Brand New Day
Thousand Years
Shape of My Heart
Englishman In New York
Fields of Gold
Whenever I Say Your Name
Send Your Love
Dead Man’s Rope
If I Ever Lose My Faith In You
Sacred Love
The Book of My Life
Roxanne
Every Little Thing She Does Is Magic
If You Love Somebody Set Them Free
Message In The Bottle

Vokal : 9/10 bintang
Sistem Audio : 9/10 bintang
Muzik : 8/10 bintang
Tatacahaya : 8/10 bintang
Rating Keseluruhan : 9/10 bintang !


TQ Chail ! Worth It Gila ! TQ Hakim & Dream ! Kerana beri peluang duduk sebelah korang. Kalau tak sure aku boring gila tak tau nak sembang apa dengan non-fanatic Sting tu !

Kredit Foto Poster
Kredit Foto Blur

Entri oleh sultanmuzaffar 31 January 2005 0 komen

Ujibakat Teater

Berminat untuk berlakon ? Berminat untuk menjadi pereka kostum ? Berminat untuk menjadi pereka set ? Berminat untuk menjadi pemuzik ? Punya impian untuk menjadi pengurus promosi ? Kami ada cara...

Kelab Akar Gita Estetika Kuala Lumpur (AGE) mempelawa mereka yang berminat dalam bidang teater untuk menghadiri satu sesi ujibakat pelakon teater untuk Festival Teater Malaysia.

Tarikh : 5hb Februari 2005
Jam : 8 malam-11 malam
Tempat : Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan (laluan masuk ke Saloma Bistro)

Turut dicari ialah mereka yang berminat sebagai editor skrip, pemuzik dan tenaga belakang pentas.

Sila hubungi: ZP (0195481446), SM (0376277248) & Bozo (0126662254)

Entri oleh sultanmuzaffar 26 January 2005 0 komen

Damailah AchehDamailah Acheh

Salah satu daripada filem terkenal yang pernah ditayangkan oleh Indonesia, Tjoet Nja' Dhien menceritakan mengenai kisah epik serikandi bangsa, Tjoet Nja' Dhien, yang mengetuai kumpulan gerilla melawan Belanda di pergunungan Acheh di Sumatera pada awal abad ke 20.

Mengikut sejarah Belanda, peperangan di Acheh ialah terlama jika dibandingkan dengan beberapa cubaan untuk menakluki sesebuah jajahan.

Sungguhpun terdapat kumpulan-kumpulan yang telah menjadi tali barut Belanda, sehingga beliau diburu oleh tentera Belanda, namun semangat nasionalisme yang dipunyai oleh Tjoet Nja' Dhien tetap menebal dan menjadi pemangkin kepada rakyat Acheh membela negara mereka.

Tjoet Nja' Dhien arahan Eros Djarot merupakan filem pertama yang dipilih ke Cannes dan juga telah memenangi 9 anugerah di Festival Filem Indonesia 1998. Filem ini diterajui oleh Christine Hakim, yang kini menjadi duta kepada UNICEF. Christine Hakim dilaporkan oleh Metro TV melawat Acheh 28 Disember selepas kejadian tsunami dan menangis kerana mengenang tempat-tempat yang pernah dilawati semasa membuat penggambaran filem ini.

Tjoet Nja Dhien isteri kepada mentor politik dan ketua strategis, Teuku Umar. Selepas kamangkatan suaminya kerana diserang hendap oleh askar Belanda pada Februari 1899, Tjoet Nja' Dhien mengambilalih kepimpinan suaminya.

Perjuangan Tjoet Nja' Dhien lalu diwarisi anaknya lalu menjadi sebuah model perjuangan luhur di dunia.

Perjuangan menentang penjajah tidak sahaja didominasi oleh kaum lelaki bahkan kaum perempuan juga memain peranan utama dalam memerdekakan Acheh ketika itu.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun telah menghampiri Tjoet Nja' Dhien seraya bertanya "Tjoet Nja¹, kapan saya boleh ikut berperang?" tanya si gadis dengan logat Aceh.

"Subhanallah (Maha Suci Allah)," jawab Tjoet Nja¹ Dhien. "Jika kau dewasa kelak, tak akan ada lagi perang di Aceh," sambungnya.

Ketika itu sudah memasuki tahun-tahun pertama kemasukan Belanda ke Acheh. Pada ketika itu Acheh telah diamuk perang dahsyat selama hampir 30 tahun. Perang yang tidak hanya mengharu biru penduduk dan bumi Aceh saja, tetapi juga sangat melelahkan para jenderal Kerajaan Belanda.

Tjoet Nja' Dhien telah berjuang sehingga saat-saat akhirnya; dia buta, lumpuh kerana berada di pedalaman hutan Acheh beberapa tahun.

Perang Aceh yang berlangsung 40 tahun pada penghujung abad ke-19 dan ke-20 telah membunuh lebih daripada 10,000 rakyat pejuang Aceh, 100,000 rakyat kebanyakan, dan 8.000 tentera Kerajaan Belanda, termasuk pasukan elite marsose (marechaussee).

Selain akibat perang, kematian itu juga disebabkan serangan kuman kolera dan malaria. Seabad kemudian, seolah-olah masih tidak cukup penderitaan Acheh, perang terus berkecamuk di Aceh.

Presiden pemerintah ketika itu, Megawati Soekarnoputri dikatakan telah menyulitkan keadaan dengan menghantar pasukan TNI ke Aceh, sehingga dikatakan mencemari mahkamah pengadilan dan kemanusiaan di medan konflik
bersenjata.

Hakim perundangan antarabangsa Indonesia, Hikmahanto Juwono telah mengeluarkan pendapatnya mengenai isu Acheh. Beliau telah mengesyorkan agar aktivis-aktivis kemerdekaan Acheh dibawa kepada pengadilan PBB dan dilabelkan sebagai pengganas antarabangsa.

Katanya, "pemerintah bisa meningkatkan tekanan kepada GAM dan warga Swedia dengan memasukkannya (Hasan Tiro, seorang aktivis kemerdekaan Acheh) ke dalam UN Terrorist List (senarai pengganas PBB). Daftar ini bisa dibuat karena adanya Resolusi PBB Nomor 1373 (2001) yang memberi peluang kepada negara-negara terancam teroris internasional untuk saling bekerja sama menemukan tersangka teroris. Ini daftar yang menurut hukum kebiasaan internasional boleh begitu saja dibuat tanpa harus memerlukan putusan hukum lembaga pengadilan dulu."

Sweden sebuah negara yang sungguh bersimpati dengan isu Acheh yang sering menghulurkan dana bantuan ke negeri itu.

Hikmahanto lalu telah mencadangkan agar Sweden tidak lagi menjadikan negara mereka sebagai tempat perlindungan pejuang-pejuang Acheh .

"Jika tidak, Indonesia memiliki alasan yang cukup untuk memperkarakan Swedia ke Mahkamah Internasional di Den Haag, Belanda," tuturnya.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pula telah sempat mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan yang sama sebelum membuat keputusan menghantar tentera ke Acheh. Tetapi, beliau amat berhati-hati kerana mengikut pengalaman pahit berurusan dengan Mahkamah Antarabangsa, tindakan yang salah telah membawa Indonesia kehilangan wilayahnya, Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, setelah hakim Mahkamah Antarabangsa menyebelahi Malaysia.

Lantas, saya telah menjumpai sepotong sajak dan ingin mengongsikan dengan para pembaca:

Berkatalah Tjoet Nyak Dien
Selma W. Hayati

Berkatalah Tjoet Nyak Dien
Mestilah kita berteriak
Ketika bendera tak lagi berkibar
Layutertunduk, ragu

Bulan sabit enggan muncul
Digantikan kilatan desing peluru
Yang angkuh berbicara, menutup lubang jiwa

Kemana langkah hendak dituju?
Ketika hijau daun, birunya laut
Digantikan merah darah,
Kemana harapan hendak ditanam?
Ketika pekik ayam jago
Digantikan oleh pekik kesakitan
Perempuan malang korban perkosaan

Kabut cerobong asap minyak
Menghitamkan bendera dan bulan sabitku
Dimana tawa riang si buyung,
Dimana gelegar semangat perempuanku,
Dimana anak-anak angkatan mudaku,
Dimana keadilan,
Ketika tebasan senjata membabat habis pasukanku?
Dimana keadilan,
Ketika bom tanpa mata menghujam habis rumah papanku?
Dimana? Ke mana mereka semua?

Kapan kutersenyum,
Mendengarkan obrolan kopi pagi hari,
Wajah-wajah damai Acehku
Lunglai kuberkata:''teruskan langkah, kibarkan bendera sepenuhnya!''

London 120503

Entri oleh sultanmuzaffar 23 January 2005 0 komen

Malam Elit di Dewan Filhamonik Petronas
Malam Elit di Dewan Filhamonik Petronas

Malam itu teringin juga berada dalam satu kelompok elit yang hanya suka mendengar muzik klasik dari Barat. Pelawaan seorang kawan saya terima untuk sama-sama menyertai mereka dalam kelompok elit tersebut. Saya mengenakan sepasang kemeja biru lengkap bertali leher biru bintik kecil putih. Untuk lebih kelihatan elit, saya perlu melengkapkannya dengan suit warna biru tua stail “double breasted”. Memang zaman kini hanya golongan tua sahaja yang masih mengenakan suit “double breasted”. Suit tersebut saya tempah sempena konvokesyen pada tahun 1998. Masih muat untuk dipakai sehingga sekarang. Malam itu saya ke Dewan Filharmonik Petronas dengan Hakim, Marisa dan Nisa. Untuk lebih melengkapkan elit malam itu, kami diraikan di Corporate Suite ASTRO. Sebuah suite yang santai dan begitu eksklusif.

Kali terakhir saya ke Dewan Filharmonik Petronas adalah sewaktu menyaksikan persembahan Perjalanan Seni Dato’ SM Salim sekitar tahun 2001 iaitu pada 31 Mac 2004 sehari sebelum hari lahir saya. Ada sejarah utama yang berlaku pada malam itu.

Pada malam tersebut, Malaysian Philharmonic Orchestra diketuai oleh Tamás Vásáry yang bertindak sebagai konduktor dan pemain solo piano.

Set I
ROSSINI Overture To The Silken Ladder (6 mins)
MOZART Piano Concerto No. 21 in C, K.467 (27 mins)
Saya menyukai persembahan pada Set I ini. Ia lebih segar dan menghiburkan. Enam minit pertama, kita dihidangkan dengan tiupan oboe dan flute yang saling bertingkah sebelum gesekan biola memberikan satu alunan muzik yang lebih memukau. Persembahan solo piano oleh Tamás Vásáry memang menakjubkan. Beliau mendapat tepukan gemuruh serta standing ovation untuk persembahannya. Sambil bermain piano beliau mengemudi orkestranya. Terpegun saya dibuatnya. Saya terfikir, apa akan jadi sekiranya sesebuah orkestra tanpa seorang konduktor. Apakah satu persembahan orkestra akan menjadi sama atau sebaliknya. Soalan ini akan saya tanya dalam pertemuan saya dengan Ramli MS yang akan datang.

Set II
MOZART Adagio and Fugue in C minor, K.546 (8 mins)
SCHUBERT Symphony No. 6 in C Major, D.589 (32 mins)
Persembahan pada Set II agak panjang. Lapan minit pertama kita dihidangkan dengan cello dan bass saling melengkapi bunyi yang dihasilkan. Alunan tersebut kemudiannya diiringi dengan gesekan biola, pertama dan kedua dan saling bertukar ganti. Alunan tersebut menghasilkan satu gabungan yang unik dari kepelbagaian instrumen yang menjadi trend pada zaman tersebut. Pada persembahan yang seterusnya, saya lebih tertarik dengan stamina peniup flute yang banyak memonopoli persembahan pada set kedua. Pemain flute merupakan tunjang utama persembahan ini bila mana beliau berjaya mengekalkan staminanya untuk memberi jiwa kepada Symphony no. 6, D.589 “Little C Major” sebanyak empat movement yang berbeza. Ada yang tertidur ya, siapakah dia ?

Persembahan encore telah memilih salah satu movement yang paling pendek iaitu Scherzo untuk memenuhi permintaan penonton sebelum beliau menamatkan persembahannya.

Berada di kedudukan paling strategik, membolehkan saya menyaksikan persembahan tersebut secara lebih dekat. Saya berpeluang untuk melihat gaya tubuh seorang konduktor dan terpesona melihat perubahan pada alunan muzik apabila berlaku pergerakan pada anggota tubuh seseorang konduktor tersebut. Setiap pergerakan anggota tubuhnya ada makna yang perlu difahami oleh setiap anggota orkestra.

Menurut beliau setelah tamat persembahan, beliau kagum dengan anggota Malaysian Philharmonic Orchestra kerana apa yang telah dilatih sewaktu rehearsal telah diubah sedikit tanpa pengetahuan anggota orkestra tetapi mereka telah berjaya mengimbangi perubahan tersebut tanpa melakukan kesilapan. Tepukan semakin bergemuruh untuk mereka walaupun rata-rata mereka bukannya rakyat Malaysia.

Singgah sebentar di Dome KLCC untuk makan malam sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

Malaysian Philharmonic Orchestra

Entri oleh sultanmuzaffar 17 January 2005 0 komen

Anugerah Juara Lagu 19
Relaku Pujuk muncul Juara di Anugerah Juara Lagu 19
Stadium Putra, Bukit Jalil

Introduksi
Kemenangan Spider dengan lagu Relaku Pujuk menafikan ramalan banyak pihak yang Pulangkan bakal menggondol gelaran Juara di Anugerah Juara Lagu edisi ke 19 yang telah berlangsung semalam di Stadium Putra Bukit Jalil. Kemeriahan Juara Lagu kurang dirasakan kesan bencana tsunami yang berlaku penghujung tahun 2004. Berbekalkan umpan bahawa sebahagian dari jualan tiket akan didermakan kepada mangsa tsunami sedikit pun tidak berjaya memancing penonton untuk turut sama memenuhkan stadium. Harga tiket yang boleh dikatakan agak mahal berbanding edisi Juara Lagu yang terdahulu sedikit sebanyak memberikan kesan. Dalam ada insan lain ditimpa bencana dan mengalami kesusahan, ada juga insan-insan lain yang mengambil kesempatan. Tanpa disedari oleh pihak berkuasa, di luar terdapat beberapa insan yang mengutip derma untuk tabung tsunami. Sama ada mereka dari pihak yang benar masih diragui.

Saya tiba sekitar jam enam petang. Dibenarkan masuk untuk meninjau persiapan. Masih terdapat beberapa model sedang berlatih untuk satu segmen tajaan. Segmen tersebut tidak disiarkan di televisyen, hanya untuk penonton di stadium sewaktu berhenti untuk siaran iklan.

Rekaan Pentas
Saya suka dengan rekaan pentas kali ini tetapi lebih menyukai rekaan pentas untuk tahun lepas. Pentasnya kali ini agak besar berbanding tahun lepas. Warna putih menjadi asas yang terbaik untuk pencahayaan. Berkonsepkan api, angin dan tanah maka warna hijau, biru dan merah merupakan asa penting dalam rekaan pentas kali ini. Penggunaan warna-warna tersebut sahaja sudah cukup untuk menggambarkan konsep yang ingin dibawa pada malam tersebut. Kedudukan barisan orkestra juga tidak dipinggirkan sebaliknya diberikan tempat yang sewajarkan pada bahagian pentas. Penggunaan dua aras pada pentas membuatkan pentas kelihatan begitu besar untuk sebuah persembahan yang tanpa diiringi oleh penari latar. Saiz pentas seakan-akan membenarkan artis membawa segerombolan penari ke pentas. Ini kerana setiap artis perlu memanafaatkan pentas aras atas dengan baik.

Sistem Audio dan Orkestra
Orkestra pimpinan Ramli MS telah berjaya memberikan dendangan yang cemerlang pada malam tersebut. Setiap lagu telah diberikan susunan muzik yang sedikit berbeza bersesuaian dengan konsep lagu. Sayang sekali persembahan Spider tidak dibantu oleh iringan orkestra yang bagus ini. Juara Lagu telah dinilai melalui cakera padat dan sebarang perubahan pada susunan muzik pada malam persembahan hanya akan dinilai untuk persembahan terbaik.

Sistem audio pada malam itu agak tidak seimbang terutamanya pada pembesar suara artis. Ketidakseimbangan tersebut agak membingitkan terutamanya pada lagu-lagu kategori Pop Rock.

Pengacara
Ketiadaan Aznil Nawawi pada edisi Juara Lagu kali ini agak membosankan. Penggantinya Najip Ali yang diterbangkan dari Singapura untuk mengacarakan siaran langsung ini bersama Sarimah Ibrahim dan Cheryl Samad. Adakah Malaysia ketandusan pengacara-pengacara muda yang berbakat untuk mengisi kekosongan Aznil Nawawi ? Cheryl Samad, pengacara tetap siaran Muzik Muzik mingguan juga diletakkan di belakang pentas untuk menemuramah artis sebelum persembahan mereka. Gandingan Sarimah dan Najip seakan tidak menjadi kerana Najip agak kurang mesra dengan persekitaran sesebuah negara tersebut. Maka lawak-lawak kasar yang membabitkan sensitiviti kenegaraan wajar dikurangkan. Penggunaan simbolisme alam pada skrip pengacara juga tidak dibuat dengan kemas sehingga adakalanya meleret-leret tanpa tujuan. Pengacara di belakang pentas agak menarik kerana Cheryl berpeluang untuk menemuramah artis sebelum persembahan mereka dan berbicara tentang pelbagai aspek. Sayangnya temuramah tersebut semacam mengurangkan elemen kejutan pada persembahan artis tersebut terutamanya pada pakaian yang dipakai oleh artis tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Segmen Prelude
Bersesuaian dengan konsep Simfoni Alam Sejuta Ilham, maka tanah api dan angin merupakan elemen utama yang ditonjolkan pada segmen tersebut. Sebuah persembahan yang menarik ala Citrawarna Malaysia tetapi sekadar ada sahaja. Persembahan diberatkan dengan mesej-mesej tersirat yang perlu dicernakan oleh penonton yang datang untuk berhibur dan bukannya berfikir.

Sebelum memulakan malam anugerah, penonton telah diminta untuk berdiri bertafakur selama satu minit untuk mengingati mangsa-mangsa bencana tsunami. Satu usaha yang murni kerana dalam kita bersuka-ria tetapi tetap mengingati mereka yang ditimpa kesusahan.

Anugerah Juara Lagu 19Nazam Berkasih - Syura
Menggunakan konsep tarian Jikey dengan diiringi oleh penari Badan Kesenian Kedah, Syura telah berjaya membawakan lagunya dengan baik. Konsep persembahannya lebih kepada stail Pak Ngah yang bercorak Citrawarna. Beliau muncul dari dalam gendang merupakan elemen kejutan yang ditampilkan oleh Syura. Satu permulaan yang baik untuk menyelitkan elemen spektakular. Persembahan Syura kali ini juga ada unsur-unsur persembahan Nirmala oleh Siti Nurhaliza pada Juara Lagu yang terdahulu. Saya tertarik dengan synchronization beliau dengan para penari. Nampak kemas. Lontaran vokal beliau juga baik. Susunan muzik orkestra untuk lagu ini juga menarik.

Anugerah Juara Lagu 19Tipah Tertipu - Ruffedge
Persembahan Ruffedge bakal mengundang bencana apabila salah satu props yang dibuat untuk persembahannya patah sewaktu siaran iklan. Penggunaan elemen-elemen kartun semacam menunjukkan ketidakseriusan mereka dalam bekerja dan menampilkan wajah persembahan yang cemerlang. Persembahan Ruffedge bermula dengan klip audio dari filem Ali Setan yang dipopularkan oleh Sheila Majid. Lagu-lagu seperti Tipah Tertipu sekiranya tidak disampaikan dengan sebutan yang jelas hanya sekadar cakap-cakap tanpa tujuan. Itu yang berlaku kepada lagu tersebut. Pada bahagian nyanyian, mereka membawakan lagu tersebut dengan baik tetapi pada bahagian yang memerlukan mereka “rapping” agak tidak kemas dan tidak jelas sebutan mereka. Mungkin juga disebabkan oleh sistem audio yang tidak baik pada malam tersebut. Bagaimanapun saya terhibur dengan alunan muzik orkestra yang dipersembahkan. Secara keseluruhan persembahan Ruffedge seperti kehilangan idea dan tidak menonjolkan kreativiti mereka untuk mempelbagaikan corak lagu tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Semua Untukmu – Anuar Zain
Sebuah persembahan yang biasa dari Anuar Zain. Kehebatan vokalnya tidak diserlahkan dengan cemerlang melalui lagu ini. Lagu ini juga tidak sekuat lagu Keabadian Cinta. Persembahan Anuar Zain juga hanya diiringi oleh penyanyi latar yang tidak berjaya menampilkan elemen kekaguman yang besar. Pentas yang luas tidak dimanafaatkan dengan sebaiknya untuk memantapkan persembahan beliau. Beliau sewajarkan menampilkan segerombolan penyanyi koir ala gospel untuk memantapkan lagi bahagian permulaan lagu tersebut. Jika ini berlaku mungkin persembahan vokalnya lebih memukau. Kedengaran di telinga saya sedikit perubahan pada susunan muziknya kerana ia tidak sama dengan apa yang saya sering dengar melalui albumnya. Bagaimanapun Anuar Zain bijak untuk mengekang perhatian penonton untuk menonton persembahannya dari note pertama sehingga note akhir. Sokongan penonton terhadapnya begitu besar.

Anugerah Juara Lagu 19Syair Pesona - Sharifah Zarina
Selain Ruffedge, Sharifah Zarina merupakan artis kedua yang keluar dari balik layar. Bersesuaian dengan konsep lagunya iaitu syair, maka ia dimulakan dengan syair. Diarak dan dijulang seperti seorang puteri. Menariknya persembahan beliau adalah kerana susunan muzik yang dibuat dengan cemerlang untuk memikat pendengar. Elemen keroncong, Timur Tengah, qasidah dan muzik moden seakan menyegarkan lagi ciptaan lagu tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Hanya Di Mata – Erra Fazira
Sebuah persembahan yang ada konsep. Berkonsepkan ala gipsi, Erra telah berjaya memukau perhatian penonton dengan persembahannya. Sebuah persembahan yang menarik dari segi koreografinya. Persembahan vokal Erra masih seperti biasa dan tidak mampu menyengat dan menggugat mahkota Misha Omar dan Anuar Zain. Sebuah persembahan yang tidak cukup menyengat untuk meraih anugerah persembahan terbaik mahupun kategori pop rock.

Anugerah Juara Lagu 19Kala Hujan – Zamani
Sebuah persembahan berbajet rendah yang tiada usaha dan kesungguhan untuk menang. Tanpa diiringi dengan penari latar, pentas nampak kosong. Berbekalkan vokal yang tidak kemas, persembahan Zamani sememangnya hambar. Beliau seakan-akan sengaja melewatkan ½ not pada nyanyiannya. Beliau gagal pada bahagian korus tetapi saya harus memberikan pujian kepada not rendah beliau yang sememangnya mantap. Namun demikian lagu Kala Hujan bukan sandaran terbaik kepada Zamani untuk bergelar Juara. Cakap-cakap orang di sekeliling, lagu Kala Hujan tidak sewajarnya berjaya ke peringkat akhir Juara Lagu kerana telah mengenepikan lagu Lembah Asmara oleh Ziana Zain yang kekal selama 14 minggu dalam carta Muzik Muzik.

Anugerah Juara Lagu 19Hatinya Tak Tahan – Noraniza Idris
Noraniza Idris menggunakan konsep penari Jawa untuk lagu Hatinya Tak Tahan yang bersesuaian dengan elemen lagu tersebut. Menggunakan pendekatan yang lebih selamat apabila tidak membawa ramai penari di atas pentas. Kali ini, beliau bijak untuk menyesuaikan bilangan penari dengan persembahannya. Setiap seorang penari punya sebab untuk berada di atas pentas. Saya merasakan ia merupakan sebuah koreografi yang kemas dan dibuat dengan cemerlang. Elemen-elemen Jawanya jelas dan teliti. Persembahannya bermula dengan baik dan diakhiri dengan sedikit anti klimaks. Tiada kejutan penamat yang memukau penonton. Iringan rebana dan seruling oleh Mohram banyak membantu melodi lagu tersebut serta susunan muzik yang lebih segar dengan iringan orkestra.

Panel Juri Profesional
Panel Juri Profesional untuk Anugerah Juara Lagu 19 dibarisi dengan nama-nama agung dalam industri muzik dan bahasa di Malaysia. Mereka terdiri daripada Lukhman S iaitu penulis lirik terkenal, Ooi Eow Jin, pencipta lagu serta koordinator muzik TV3, Amran Omar, penulis lirik terkenal, Aubrey Suwito, pencipta lagu Menuju Puncak dan pemimpin orkestra terkenal, Sheila Majid, diva irama pop dan R&B terkenal, Suhaimi Jais, Lim Swee Tin, pendeklamator pusi serta penulis puisi terkenal, Dato Yusni Hamid penyanyi evergreen dan Ketua Panel Juri iaitu Farihin Abd Fatah.

Anugerah Juara Lagu 19Simbiosis – Ella
Saya suka dengan persembahan Ella. Ia merupakan sebuah persembahan yang bersahaja. Saya nampak ada kesungguhan dalam diri Ella untuk memberikan persembahan yang bersahaja tetapi memukau. Penampilan Ella begitu santai sekali dan beliau bijak memikat perhatian penonton. Kekuatan utama persembahan Ella ialah karisma beliau sebagai seorang penghibur yang berbakat. Cara beliau mengawal vokalnya juga baik. Lagu Simbiosis merupakan sebuah lagu yang mudah dan tidak memerlukan Ella memberikan sepenuh perhatian kepada teknik vokal. Persembahan santai Ella sudah cukup memberikan impak yang baik untuk lagu tersebut. Kemunculan Man Kidal sebagai pemain gitar undangan seakan-akan merangsangkan untuk memberikan sorakan yang padu untuk Ella. Sekali lagi saya terpukau dengan iringan muzik orkestra yang disusun dengan baik untuk menyedapkan lagu tersebut.

Baru teringat, sememangnya ada sedikit kesilapan masuk pada bahagian kedua lagu tersebut setelah selesai bridge dari Man Kidal. Terima kasih atas peringatan tersebut.

Anugerah Juara Lagu 19Mengapa Harus Cinta – Vince
Bersandarkan penghayatan vokal yang mantap dari Vince, sebuah lagu dari pencipta muda ini benar-benar berjaya memukau saya dengan sebuah persembahannya yang ringkas tetapi penuh bermakna. Imej-imej multimedia yang muncul sekejap-sekejap tidak banyak menggangu tumpuan saya terhadap nyanyian Vince. Saya mengharapkan beliau memenangi Vokal Terbaik tetapi sayangnya beliau gagal di tangan Misha Omar. Saya suka dengan penghayatannya membawakan lagu tersebut. Kawalan vokal beliau sejak di Akademi Fantasia sehingga ke Anugerah Juara Lagu semakin mantap. Tidak hairan beliau menggondol pelbagai anugerah sepanjang penglibatannya selepas Akademi Fantasia. Alunan muzik orkestra seakan melengkapkan lagi nyanyian Vince. Kekuatan lagu ini terletak pada susunan muzik serta kemantapkan vokalnya. Setiap satu not yang dibawakan oleh Vince merupakan muzik yang indah. Kawalan falsettonya mantap. Ekspresinya tidak keterlaluan. Penghayatannya sederhana dan memadai.

Anugerah Juara Lagu 19Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Sememangnya vokal Dayang begitu memukau. Inilah yang dikatakan kawalan vokal yang hebat. Beliau tahu jarak antara pembesar suara dengan vokalnya. Vokalnya amat mantap dan menjadi kekuatan lagu tersebut. Membawakan konsep penyanyi hindustan nampak seperti ketandusan idea dan tidak mampu menyerlahkan kreativiti berpakaian. Setelah memenangi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, tidak syak lagi lagu Erti Hidup merupakan sebuah lagu yang baik dari segi penciptaannya. Konsep persembahannya bertemakan alam dan segmen sayap menarik untuk ditonton tetapi agak pendek dan tidak puas. Saya berharap agar selepas ini lagu Erti Hidup menjadi lebih popular dan album “Dayang Sayang Kamu” semakin meledak di pasaran.

Anugerah Juara Lagu 19Relaku Pujuk – Spider
Sayang sekali lagu Relaku Pujuk hanya dapat didendangkan oleh Spider tanpa diiringi oleh orkestra. Sekiranya diiringi oleh orkestra tentunya susunan muziknya menjadi lebih baik dan kemas. Namun demikian, dengan berbekalkan nama Spider, kumpulan ini berjaya meraih gelaran Juara Lagu 19. Vokal Tam juga agak baik dalam sebuah persembahan secara langsung ini. Nampak ada kesungguhan beliau membawakan lagu ini dengan stailnya yang tersendiri. Keterbatasan ruang Tam dalam lingkungan lilin menyebabkan tiada kepelbagaian dalam showmanship beliau. Lebih-lebih lagi beliau bermain gitar sambil menyanyi. Lingkungan api lilin menampilkan elemen api dalam persembahannya. Sebuah persembahan yang biasa tetapi memadai untuk sebuah kumpulan yang bermain secara langsung tanpa iringan orkestra.

Anugerah Juara Lagu 19Pulangkan – Misha Omar
Persembahannya bermula dengan baik. Elemen seram ditampilkan untuk disesuaikan dengan konsep lagu yang diambil dari filem Pontianak Harum Sundal Malam. Sememangnya tidak dinafikan bahawa vokal Misha Omar sememangnya bagus. Konsep persembahannya biasa tetapi penghayatannya keterlaluan. Saya agak rimas melihatnya ke sana ke sini berlari-lari di atas pentas seperti orang meracau membawakan lagu tersebut. Namun demikian dalam keadaannya yang terkejar-kejar beliau masih mampu untuk menjaga lontaran vokalnya dengan baik. Nyanyiannya bagus tetapi persembahannya terlalu keterlaluan. Sayang sekali ia bermula dengan baik tetapi ditamatkan dalam kerimasan penonton melihat siksanya beliau membawakan lagu tersebut. Memperkenalkan Izzat Izzudin selaku penyanyi undangan buat pertama kali merupakan usaha yang bagus dalam menghargai insan-insan yang terlibat dalam menjayakan lagu tersebut. Sayangnya kemunculan Izzat Izzudin hanya di sebalik tabir. Ia seakan-akan tidak menghargai usaha Izzat Izzudin yang turut mempopularkan lagu tersebut. Setelah melihat persembahan Misha agak sukar untuk menjangkakan yang beliau bakal menggondol anugerah persembahan terbaik. Belajar dari kesilapan dahulu, penghayatan jangan over sangat. Sempat juga saya berdoa, manalah tahu sekiranya betul-betul Misha Omar dirasuk pontianak pada malam itu.

Anugerah Juara Lagu 19Segmen Interlude
Persembahan Interlude pada malam tersebut dijayakan oleh Ning Baizura yang pakaiannya amat sedih untuk dinilai. Kemunculan Amy Mastura mengejutkan ramai penonton dengan imej berambut pendek dalam keadaan sedang berbadan dua. Ejad Exist dan Rem melengkapkan lagi konsep pada malam tersebut. Manakala kemunculan Zainal Abidin membawakan lagu Gaia sememangnya dinanti-nantikan oleh penonton.

Saya kurang berpuas hati dengan persembahan segmen ini kerana impaknya tidak kuat untuk disimpan oleh penonton. Lebih-lebih lagi diakhir klip ditayangkan segmen Karam Singh Walia yang meloyakan dengan trademark tangan serta pantun dua keratnya.

Pemenang Malaysian Idol hanya datang sebagai penonton. Itu pun berapa kerat sahaja. Mungkin kerana mereka sedang sibuk dan banyak show yang perlu dihadiri oleh mereka. Khidmat mereka sepatutnya boleh digunakan untuk menarik penonton walaupun persembahan mereka sekadar pada segmen interlude. Mungkin juga pemilihan artis untuk segmen ini dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Sayang sekali pemenang Malaysian Idol tidak diundang untuk menyanyi di bahagian segmen ini.

Anugerah Juara Lagu 19
Keputusan
Vokal Terbaik – Pulangkan - Misha Omar
Persembahan Terbaik – Hatinya Tak Tahan - Noraniza Idris
Irama Malaysia Etnik Kreatif – Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Balada – Pulangkan – Misha Omar
Pop Rock – Relaku Pujuk – Spider
Anugerah Juara Lagu 19 – Relaku Pujuk - Spider

Sidang Akhbar
Rata-rata para wartawan berbicara tentang kejutan keputusan pada malam tersebut. Kemenangan Relaku Pujuk seakan sukar diterima. Saya juga sukar untuk menerimanya.
Berkait kepada satu soalan yang ditanya kepada Ajai tentang ramalan banyak pihak yang meramalkan Pulangkan bakal menang besar tetapi ia tidak menjadi, Ajai berkata memenangi Kategori Balada sahaja sudah cukup bagus. Adakalanya industri memerlukan kelainan dan ini mengingatkan saya kepada kemenangan lagu Keliru pada Juara Lagu yang terdahulu. Seperti lagu balada, tidak banyak yang boleh dipelbagaikan. Ini berbeza dengan sebuah lagu pop rock yang boleh dipelbagaikan dengan bermacam-macam cara. Lagu pop rock lebih bersifat expandable.

Menurut Ajai lagi, lagu Relaku Pujuk lebih catchy dari sudut vokal dan melodi. Sekiranya lagu tersebut boleh menjadi siulan ramai, maka ia sudah menjadi yang terbaik. Arrangement lagu tersebut juga bagus.

Menurut Misha Omar, memenangi sebanyak dua kali anugerah Vokal Terbaik merupakan pembakar semangat untuk menjadi yang lebih baik pada tahun ini. Ini secara tidak langsung sebagai pembukaan yang baik untuk tahun 2005.

Kemenangan Afdlin Shauki untuk lagu Erti Hidup membuktikan beliau serius dalam bekerja. Lagu yang pada mulanya hanya untuk Program Khidmat Masyarakat akhirnya telah membuahkan hasil yang besar. Menghasilkan lagu etnik secara tidak langsung dapat mengimbas kembali erti hidup kita.

Turut ditanya ialah tentang kriteria penilaian panel juri dalam memilih pemenang. Trend muzik sering berubah-ubah. Tentu adanya keistimewaan dalam lagu Relaku Pujuk sehingga berjaya meraih gelaran Juara Lagu 19.

Lepas selesai Sidang Akhbar, bersantai sebentar di Ruang Jamuan. Sempat bertemu dengan Ramli MS dan mengucapkan tahniah buat beliau atas orkestra pada malam tersebut yang menjadi penyelamat kemeriahan malam itu. Pulang sekitar jam 1.30 pagi sebelum singgah untuk mengemaskinikan gossip tentang Datuk Sharifah Aini yang berhajat untuk hadir ke Anugerah Juara Lagu malam tadi. Cukuplah saya sekadar berdoa dari jauh sahaja. :)

Ranking sultanmuzaffar
Mengapa Harus Cinta – Vince
Pulangkan – Misha Omar
Erti Hidup – Dayang Nurfaizah
Semua Untukmu – Anuar Zain
Relaku Pujuk – Spider
Simbiosis – Ella
Hatinya Tak Tahan – Noraniza Idris
Tipah Tertipu - Ruffedge
Nazam Berkasih - Syura
Hanya Di Mata – Erra Fazira
Kala Hujan – Zamani
Syair Pesona - Sharifah Zarina

http://ajl.tv3.com.my/
Foto Album Anugerah Juara Lagu 19
Ulasan Satira Anugerah Juara Lagu 19 oleh Buku Nota

Entri oleh sultanmuzaffar 14 January 2005 0 komen

Anugerah Juara Lagu 19Ramalan Anugerah Juara Lagu 19 : Pulangkah Anugerah Juara Lagu kepada Misha Omar ?

Setiap hujung tahun pasti kemeriahan Juara Lagu 19 yang akan dinanti-nantikan oleh para penggemar muzik tempatan. Namun demikian, bencana tsunami yang melanda pada 26 Disember 2005 telah sedikit sebanyak merosakkan kemeriahan tersebut. Hujung tahun 2004 ditutup dengan suasana yang amat suram dan muram. Tiada Juara yang dinobatkan pada penghujung tahun lepas dan pertandingan tersebut ditunda ke tahun 2005. Walaupun tsunami bukanlah penyebab kepada penundaan tersebut, ia tetap memberikan kesan kepada Juara Lagu. Saya secara jujur ingin sangat melihat bilangan penonton yang akan hadir di Stadium Putra Bukit Jalil untuk menyaksikan siaran langsung Anugerah Juara Lagu edisi 19.

Dengan tema Simfoni Alam Sejuta Ilham, tanah, angin dan api digambarkan sebagai sumber ilham kepada para komposer dan penulis lirik ciptaan-ciptaan tanahair. Ombak dan laut juga merupakan sumber ilham kepada para komposer dan penulis lirik tetapi tidak digambarkan sedemikian. Tanah mewakili kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, angin mewakili kategori Balada dan api mewakili irama Pop Rock. Satu persimbolan yang menepati ciri-ciri tersebut.

Kategori Balada
Pulangkan (Misha Omar / Ajai / Shuhaimi Baba & Habsah Hassan)
Mengapa Harus Cinta (Vince / Vince / M. Zulkifli)
Kala Hujan (Zamani / Aidit Alfian / Loloq)
Semua Untukmu (Anuar Zain / Shahrizan Mohd Salmi / Shahrizan Mohd Salmi)

Kategori Balada dibarisi nama-nama besar yang pernah meraih gelaran dan menjejakkan kaki di Anugerah Juara Lagu edisi yang terdahulu. Misha Omar pernah menang, Zamani juga pernah menang dan Anuar Zain juga pernah masuk ke peringkat akhir. Terselit satu nama iaitu Vince, seorang Juara Akademi Fantasia telah berjaya memboloskan dirinya untuk sebuah pertandingan yang paling berprestij di Malaysia.

Kategori ini agak menyengat juga. Sukar untuk saya membuat pilihan saya. Setiap lagu punya kekuatan masing-masing. Pulangkan misalnya merupakan sebuah lagu tema dari filem Pontianak Harum Sundal Malam. Lagu berhantu itu telah berjaya meremangkan bulu roma saya. Sebuah dendangan yang menakjubkan dari Misha Omar serta sebuah karangan yang hebat dari Ajai. Mungkin juga Misha memohon agar dipulangkan semua gelaran Juara yang telah beliau menangi tahun lepas.

Mengapa Harus Cinta tidak harus dipandang sepi oleh para finalis yang lain. Walaupun ia dicipta oleh budak mentah yang baru berjinak-jinak dengan Juara Lagu, tidak mustahil lagu ini mampu menempatkan diri untuk gelaran Juara. Kekuatan lagu ini ialah susunan muzik serta vokalnya yang baik. Saya suka cara Vince menyanyikan lagu tersebut. Sekiranya mampu membuat kejutan, saya pilih lagu ini untuk mengambil tempat Pulangkan.

Kala Hujan sekadar sebuah lagu yang bernasib baik telah berjaya memboloskan dirinya ke peringkat Juara Lagu. Tidak lebih daripada itu. Sekiranya menang, memang ia bernasib amat baik. Lagu Semua Untukmu mengambil masa terlalu lama untuk memenangi hati para pendengar muzik di Malaysia. Tempoh dua tahun adalah tempoh yang terlalu lama. Namun demikian, saya tetap menantikan persembahan vokal yang hebat dari Anuar Zain untuk lagu ini. Siapa tahu, dengan lagu ini Anuar Zain berjaya membawa pulang Anugerah Vokal Terbaik di malam tersebut.

Pilihan SM : Pulangkan (Misha Omar)
Underdog : Mengapa Harus Cinta (Vince)

Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Nazam Berkasih (Syura / Pak Ngah/ Siso)
Syair Pesona (Sharifah Zarina / Azmeer /Azira)
Erti Hidup (Dayang Nurfaizah / Afdlin Shauki & Aji / Afdlin Shauki)
Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris / Noraniza Idris / Siso)

Saya harus mengakuinya bahawa tanpa Siti Nurhaliza, kategori ini suram. Mujur ada Noraniza Idris satu-satunya yang mampu untuk menyelamatkan kategori ini dari terus terkubur. Kemunculan mengejut Dayang Nurfaizah dengan lagu Erti Hidup membawa satu perubahan baru dalam Irama Malaysia & Etnik Kreatif. Lagu Syair Pesona dan Nazam berkasih sekadar menjadi pelengkap kategori pada malam itu.

Hatinya Tak Tahan merupakan sebuah ciptaan yang baik. Noraniza Idris bereksperimentasi dengan genre dan elemen muzik Nusantara yang kaya dengan pelbagai rentak dan ritma. Sekiranya usaha ini dinilai, pasti lagu Hatinya Tak Tahan bakal menghadapi laluan yang mudah untuk bergelar Juara.

Erti Hidup sebuah lagi lagu yang bereksperimentasi dengan vokal penyanyinya. Ia merupakan sebuah ciptaan etnik kreatif yang moden dan menepati zaman. Keaslian Melayu pada lagu tersebut masih ada. Itu keunikan lagu tersebut.

Pilihan SM : Hatinya Tak Tahan (Noraniza Idris)
Underdog : Erti Hidup (Dayang Nurfaizah)

Kategori Pop Rock
Hanya Di Mata (Erra Fazira / Azlan Abu Hassan / Ucu)
Tipah Tertipu (Ruffedge / Cat, Mode & Zain/ Cat, Mode & Zain)
Simbiosis (Ella / Ajai / Ad Samad)
Relaku Pujuk (Spider / Tam / Keon)

Kategori Pop Rock yang digambarkan sebagai api, kurang marak apinya. Yang paling api pun hanya lagu Relaku Pujuk dan Tipah Tertipu. Itu pun sekadar suam-suam kuku. Lagu-lagu lain terlalu moderate untuk dikategorikan sebagai Pop Rock. Tetapi kategori inilah yang paling sukar ditelah siapa Juaranya.

Relaku Pujuk terlalu Melayu rocknya. Sebuah lagu rock yang biasa tetapi telah berjaya memikat hati pendengar. Begitu juga dengan lagu Hanya Di Mata yang merupakan sebuah lagu pop yang agak menarik tetapi masih belum dapat memikat hati saya.

Irama hip-hop untuk lagu Tipah Tertipu juga berjaya mencuri tumpuan. Kelebihan lagu ini ialah iramanya yang agak bersesuaian dengan genre kategori tersebut. Cuma saya kurang menyukai permainan bahasa atau dengan lebih jujur pencemaran bahasa yang dibawa oleh lagu ini. Sebagai hiburan, saya tetap menyukai lagu ini.

Simbiosis juga merupakan sebuah lagu pop yang subtle. Saya menyukai liriknya yang mudah tetapi membawa maksud yang mendalam. Susunan muziknya juga menarik dan catchy. Cuma kesilapan sedikit dari vokal Ella bakal mengurangkan peluangnya untuk bergelar Juara.

Pilihan SM : Simbiosis (Ella)
Underdog : Relaku Pujuk (Spider)

Anugerah Persembahan Terbaik
Jika dinilai daripada usaha-usaha yang telah dilangsungkan oleh penyanyi ini, tidak mustahil beliau bakal meraih semula Anugerah Persembahan Terbaik pada malam itu. Usaha beliau membawa taraf baru kepada Irama Malaysia & Etnik Kreatif memang sukar untuk dinafikan. Cuma biarlah konsep persembahannya kena dengan lagu tersebut tanpa perlu penggunaan pyrotechnic yang keterlaluan kerana lagu Hatinya Tak Tahan bukan dalam Kategori Pop Rock. Satu nama lain yang tidak seharusnya dipandang sepi ialah Misha Omar. Lebih-lebih lagi sekiranya beliau menyampaikan lagu Pulangkan sehingga berjaya menimbulkan kesan-kesan seram kepada penonton. Ekspresi muka memainkan peranan yang penting untuk lagu ini serta lontaran vokal berbisik sambil menyampaikan mesej lagu tersebut.

Anugerah Vokal Terbaik
Saingan pastinya sengit antara Misha Omar, Anuar Zain, Vince dan Dayang Nurfaizah. Sekiranya mereka mampu menyampaikan lagu-lagu mereka dengan baik dengan menggunakan segala kehebatan vokal mereka pasti gelaran juara kategori boleh mereka menangi. Pembahagian markah untuk vokal bakal menentukan siapa juara keseluruhan. Keempat-empat penyanyi yang disebutkan telah dinilai mutu vokal mereka secara langsung. Semuanya berpeluang untuk menang.

Satu kecacatan yang paling tidak dapat saya maafkan ialah ketiadaannya website Anugerah Juara Lagu 19 yang rasmi untuk dilayari oleh penggemar muzik tempatan. Mana mungkin muzik Malaysia ingin dibawa keluar sekiranya laman internet yang rasmi tidak mampu diwujudkan untuk tujuan promosi. Laman internet bukan sekadar untuk promosi tetapi sebagai arkib untuk tujuan rujukan di masa akan datang oleh peminat internet seperti saya. Saya benar-benar kecewa.

Masih belum terlewat untuk kita sama-sama merasakan kemeriahan Anugerah Juara Lagu edisi 19 di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Januari ini. Tiket beharga RM52 dan RM32 boleh didapati di http://www.axcess.com.my ataupun di kaunter Stadium Putra pada hari Ahad.

Nota:
Laman Internet Anugerah Juara Lagu 19 telah pun dikemaskinikan di http://ajl.tv3.com.my/. Terima kasih wizard !

Entri oleh sultanmuzaffar 11 January 2005 0 komen

Akademi : Jodoh

Sudah namanya drama Melayu, maka kisah dipaksa mengikut pilihan keluarga pasti ada. Ini yang terjadi kepada Nita. Beliau seakan mengikut kehendak keluarganya untuk bertunang dengan Ako. Ako semacam menyedari ketidaksenangan hati Nita sewaktu bersamanya. Nita banyak memberi alasan. Walaupun Ako kelihatan agak kaya, dengan BMWnya tidak sedikit pun menggugat perasaan Nita.

Menggunakan elemen wayang kulit untuk mengusik Kaer yang sedang kerisauan akan cintanya. Penampilan Anding dan Farid dalam adegan ini sememangnya mencuit hati. Kaer perlu lebih berani. Lakonan Kaer masih belum mencapai tahap seperti yang saya inginkan.

Oleh kerana masih belum berpuas hati, Ako bertemu lagi dengan Nita. Ako mendesaknya untuk bertunang. Alasan Nita, masih belajar. Alasan yang biasa kita dengar. Beliau meminta agar tunggu sehingga selesai belajar jika tidak beliau tidak fokus. Menurut Nita pada mulanya beliau hanya belajar secara suka-suka. Wujud ya belajar secara suka-suka ? Tetapi sekarang terasa macam hendak berjaya pula. Betapa ayat-ayat ini sungguh lawak sekali. Wujud belajar secara suka-suka ? Bukahkah belajar harus bersungguh-sungguh. Dan keinginan untuk berjaya perlu ada dalam diri setiap pelajar dan bukannya tiba-tiba terasa macam hendak berjaya.

Lisa yang melontarkan dialognya tanpa emosi bersemuka dengan Nita. Rupanya Nita ingin merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan semua orang termasuklah Lisa. Tetapi Lisa telah ternampak mereka sebelum ini. Lisa berkali-kali bertanya kepada Nita tentang perasaannya.

Muncul seorang lagi watak iaitu Lulu. Lulu seorang pelajar yang bekerja sambilan untuk menampung pengajiannya. Walaupun mendapat biasiswa beliau menggunakan wang biasiswa untuk menyara keluarganya dan bekerja sambilan untuk mendapat sedikit wang untuk menyara hidupnya. Ini baru nilai-nilai positif diterapkan kepada satu watak. Berkali-kali beliau meminta Farid agar tidak memecahkan rahsianya kepada orang lain.

Bob diberikan watak yang agak nakal. Bukan jahat tetapi nakal. Walaupun agak kaku, sedikit sebanyak beliau cuba untuk menyelitkan elemen humor dalam lakonannya. Memang tidak kena. Nampak lesu dan palsu. Bob cuba untuk menjadi nakal tetapi nampak bitchy. Kenakalan menyebabkan Lulu agak bengang dengan Farid kerana menyangkakan Farid telah membocorkan rahsianya. Fitnah memang pasti wujud dalam drama Melayu. Cerita yang mudah menjadi berbelit-belit hanya sekadar untuk memanjangkannya.

Yang lebih mengaibkan apabila Lisa bertemu Ako bersemuka tentang Nita. Apa kejadahnya yang Lisa menyibuk hal tunang orang lain. Kalau ya pun teringin kat Ako tak payah lah direct sangat. Episod II ini sememangnya keterlaluan dalam unsur ketidaklogikannya.

Di mana-mana pasti ada Bob. Lulu cuba untuk memohon maaf dengan Farid. Mereka nampak agak serasi dan boleh menjadi sahabat. Bob juga ingin menjadi kawan mereka.

Pandangan
Saya agak bosan untuk episod kedua ini. Banyak unsur-unsur yang tidak boleh diterima akal. Menyibuknya Lisa sememangnya menjelekkan. Lakonan Bob yang nakal tidak nakal. Pendek kata membosankan.

Entri oleh sultanmuzaffar 10 January 2005 0 komen

Akademi : Tangkap Cintan

Sinopsis
Drama ini diarahkan oleh Rashid Sibir, ia mengisahkan tentang persahabatan antara Anding dan Kaer yang menerima seorang teman serumah yang baru iaitu Farid. Beliau baru datang dari kampung untuk sama-sama menuntut bersama mereka di sebuah kolej seni persembahan. Turut sama menuntut di kolej yang sama ialah Lisa. Lisa menaruh hati terhadap Farid. Dalam waktu yang sama Kaer turut sama menaruh hati terhadap Lisa. Setelah mengetahui hasrat Kaer, Anding dan Farid mengatur rancangan untuk mempertemukan Kaer dengan Lisa.

Pandangan
Pembukaan drama ini dengan lagu No Woman No Cry sudah cukup menggambarkan bahawa isi drama ini berkisar tentang dunia percintaan antara mereka. Sebuah tema yang cukup sinonim dengan dunia remaja.

Begitu mudah cinta Lisa dipertaruhkan kepada Kaer oleh Farid. Dalam satu episod selama 30 minit, cinta Lisa telah pun diarahkan kepada Kaer demi persahabatan. Mudah sekali !

Pada episod pengenalan ini, saya masih belum dapat menerima watak Lisa yang nampak terlalu dibuat-buat. Watak Farid memberikan elemen positif

Saya menyukai lakonan Anding yang lebih bersifat natural. Dia menjadi dirinya sendiri dan itulah sifat sebenarnya dalam realiti. Cara beliau membawakan wataknya adalah dengan bersahaja.

Emosi Kaer juga nampak menyerlah terutamanya sewaktu dirundung masalah. Lakonan beliau masih biasa dan masih terlalu awal untuk saya nilaikan keberkesanannya.

Adegan yang paling tidak masuk akal untuk episod ini ialah sewaktu Kaer membaling buku untuk menghalang Lisa dari menghampiri Farid dan Anding. Nampak macam bodoh sangat. Lisa pula boleh ambil buku tersebut dan meletakkannya semula di rak tanpa sedar yang Kaer berada di belakang rak buku tersebut. Buku-buku yang memenuhi rak tersebut bukanlah penuh sangat pun. Mustahillah tidak nampak Kaer di belakang dan mana mungkin buku boleh terbang dari langit.

Adegan yang paling saya suka untuk episod ini ialah adegan yang melibatkan Siti Andalusia. Tentunya Azean Irdawaty seorang anak dara lanjut usia yang punya perwatakan yang menarik untuk terus dikekalkan sehingga episod akhir. Saya mengharapkan Azean Irdawaty akan muncul lagi dalam episod seterusnya kerana lakonan dan wataknya agak unik. Perwatakannya serta lakonannya punya rentak tersendiri untuk mencorakkan serta menggerakkan mood drama ini.

Seperti kebanyakan drama arahan Rashid Sibir beliau lebih gemar untuk bermain dengan warna merah pada kameranya. Suasana menjadi begitu eksklusif pada adegan di dalam rumah. Penggunaan fast cut pada watak Azean Irdawaty juga menarik.

Sudah tentu saya menantikan jawapan tentang watak Lisa yang mana perasaannya telah diarahkan kepada Kaer oleh rakan-rakannya. Tentu saya mahu melihat bagaimana Lisa menangani perasaan cintanya terhadap Farid. Itulah antara lain isu yang bakal menjadi konflik dalam drama ini.

Sunday Nite Live Ning Baizura Planet Hollywood
Pelancaran Album EVO Akademi Fantasia I

Entri oleh sultanmuzaffar 05 January 2005 0 komen

Gemilang Jaclyn VictorGemilang Jaclyn Victor belum cukup Fantastik ! (3/5 bintang)

Sudah agak lama tidak update blog. Adakalanya apabila idea datang, mencurah-curah umpama tsunami. Kadang-kadang kontang tidak datang-datang. Sibuk menyiapkan beberapa laman internet. Kerja freelance juga datang macam tsunami. Mencurah-curah.

Seorang untuk pelakon teater wanita iaitu Nell Ng di http://www.nellng.com/v1, sekadar permulaan dan proses mengubah rekabentuknya masih berjalan. Begitu juga untuk bintang Akademi Fantasia I iaitu Adifashla di http://www.adifashla.fanzclub.com/mosfan, masih dalam peringkat cuba-cuba. Lagi satu untuk seorang peminat jersi bola. Oleh kerana sedang gilakan Mambo, maka semua pembangunan lawan web tersebut menggunakan Content Management System tersebut.

Sebuah album yang menarik untuk dimiliki tetapi belum cukup fantastik ! Saya melihat peserta Malaysian Idol sebagai seorang yang telah lulus ujian pelbagai jenis rentak lagu. Beri apa sahaja lagu, sekadar petik jari dan siap ! Sekiranya sebuah album Juara Malaysian Idol diisi dengan lagu-lagu balada yang keterlaluan melankoliknya maka saya melihat usaha untuk meningkatkan keterampilan seseorang Juara itu tidak berjaya. Mungkin juga saya mahu mendengar sebuah penghasilan album dari Jac yang menampilkan pelbagai genre lagu.

Kulit albumnya menampilkan imej Jac yang agak eksklusif. Penggunaan warna gelap seakan terlalu suram tetapi beberapa elemen keceriaan pada penggunaan warna-warna cerah menampilkan sedikit keceriaan dan kesegaran. Elemen keMalaysiaan yang menerapkan imej-imej batik memberikan sedikit kelainan pada kulit album ini.

Gemilang (Aubrey Suwito/Asmin Mudin) Outstanding !
Lagu versi rakaman ini memang lebih ringkas. Saya lebih menggemari versi secara langsung. Namun demikian, saya rasa susunan muziknya agak menarik dan pukulan akhirnya berjaya menambat hati saya.

Cuma Setia (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup) Boring !
Adakalanya apabila terlalu banyak mencipta, ia akan menyebabkan berlakunya kekeringan idea. Saya semakin kurang menggemari gandingan mereka menghasilkan lagu. Tidak banyak perbezaan yang cuba dibawa.

Padamu Permataku (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup) Boring !
Seperti lagu Cuma Setia, masalah yang sama. Saya mahukan lagu yang lebih segar bukan sekadar lagu-lagu yang biasa di pasaran. Keunikan vokal yang dimiliki oleh Jac tidak mampu dieksploitasi oleh lagu sedemikian.

Di Bawah Pohon Asmara (Aidit Alfian) Superb !
Kata orang Aidit Alfian sering membawa perubahan baru dalam setiap lagunya. Dengan tajuk yang mampu mencuit rasa hati untuk mendengar apa isi lagu tersebut, saya cuba mendengar lagu ini dan merasai jiwanya. Yes ! Saya suka lagu ini. Saya setuju jika orang kata lagu Aidit Alfian ini adalah lagu penyelamat dalam album ini. Ada banyak perbezaan pada variasi vokal Jac yang dipelbagaikan mengikut rentak yang agak groovy dan dalam rancak yang agak moderate. Sesekali terdengar lagu ini, tiba-tiba teringatkan Nurul Akademi Fantasia yang menghadapi kesukaran menyebut kukukakikakakkukokkakukakukekkukukakikakakku…

Tiada Lagi Indah (Ajai/Abie) Not Bad !
Lagu ini juga lagu penyelamat dalam album ini. Lagu sebegini memang sesuai untuk Jac. Ia mampu menyerlahkan vokal Jac yang sudah hebat. Cuma kerana rakaman studio yang banyak membataskan warna vokal beliau. Lagu sebegini lebih sesuai dinyanyikan secara langsung.

Love (Johan Nawawi/Shah Shamshiri) Kira OK !
Jika lagu Love ini ditujukan buat ibunya yang banyak mencurahkan kasih sayang kepada beliau, bukankah lebih baik sekiranya muziknya disusun dalam rentak yang lebih perlahan. Mungkin juga lirik lagu ini yang bertemakan cinta mampu untuk mendekatkan lagi hubungan Jac dan ibunya dengan pendengar serta merasai kasih-sayangnya. Setelah album Erti Pertemuan Ning Baizura berjaya mendekatkan pendengar dengan kisah Ning, maka lagu ini jika dibuat dalam versi perlahan mungkin lebih baik.

Bring Out The Best In Me (Johan Aberg/Winston Sela/Paul Rein) OK lah !
Yes ! Inilah lagu untuk ibu Jac. Walaupun tidak ditulis tetapi saya dapat merasainya. Mungkin juga lagu Love untuk kekasihnya dan lagu Bring Out The Best In Me adalah untuk ibunya. Lagu ini juga biasa sahaja.

Impian (Hazami/CK Ismail) & When I Fall In Love (Victor Young/Edward Heyman) Not Worth It & OK lah !
Entah apa yang tidak kena, saya kurang menggemari lagu Impian. Semacam terlalu melankolik yang tidak masuk akal. Begitu juga untuk lagu When I Fall In Love. Lagu klasik ini tidak begitu diingati pendengar walaupun ia antara lagu yang dibawakan oleh Jac sewaktu Final Malaysian Idol.

Tunggu Sekejap (P.Ramlee) Outstanding !
Saya berpeluang untuk menyaksikan beliau membawakan lagu ini secara langsung buat pertama kalinya sewaktu The Legend Spectacular Week. Saya benar-benar terpukau dengan kehebatan beliau membawakan lagu ini seperti lagu ini kepunyaannya. Diiringi dengan susunan muzik yang indah oleh Ramli MS, lagu ini menjadi begitu indah dan begitu romantis.

Gemilang “Live” (Aubrey Suwito/Asmin Mudin) Amazing !!
Antara persembahan terhebat dalam edisi Malaysian Idol. Saya kira beliau berjaya membawakan lagu ini secara berhati-hati tetapi menyengat dengan penonjolan vokalnya yang memukau menerusi lagu ini. Para peminat yang hadir malam itu tentu tahu dan masih mengingati tindakbalas yang diberikan setelah selesai beliau mendendangkan lagu ini. Jac bebas untuk melontarkan kehebatan vokalnya sepenuh tenaga tanpa perlu dikongkong oleh rakaman studio.

Antara kelebihan yang berjaya diperolehi oleh para peserta pertandingan nyanyian realiti baik Malaysian Idol mahupun Akademi Fantasia ialah keterampilan mereka membawakan lagu mereka secara langsung. Penonton saban minggu telah terbiasa menyaksikan mereka beraksi secara langsung lalu nyanyian mereka secara rakaman menjadi seakan-akan janggal.

Mungkin juga untuk album ini, persembahan Jac secara langsung akan menutup segala kelemahan pada penghasilan rakaman studionya. Itu yang saya harapkan daripada Juara Malaysian Idol sulung ini. Saya mahu melihat persembahan yang bertenaga daripada beliau dalam mana-mana persembahan secara langsung.

Ranking sultanmuzaffar
Gemilang “Live”
Di Bawah Pohon Asmara (Aidit Alfian)
Tunggu Sekejap
Gemilang (Aubrey Suwito/Asmin Mudin)
Bring Out The Best In Me
Tiada Lagi Indah (Ajai/Abie)
Love
When I Fall In Love
Cuma Setia (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup)
Padamu Permataku (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup)
Impian

Entri oleh sultanmuzaffar 01 January 2005 0 komen

Ulasan Album Wo!!! Zahid Juara Akademi Fantasia II
Rating 3.5/5 bintang

Memang sukar untuk meletakkan sasaran pendengar untuk penyanyi yang begitu versatil di dalam Akademi Fantasia seperti Zahid. Beliau telah pun diuji dengan pelbagai genre lagu dalam Akademi Fantasia dan kini masanya untuk beliau sekali lagi diuji oleh pendengar dengan sebuah album yang lengkap untuk para peminatnya.

Jika kebanyakan dari ulasan yang saya baca menyukai album ini. Saya agak kurang menyukainya. Saya kira ia sebuah album yang memerlukan masa untuk saya menyukainya. Beberapa kali saya ulang dengar lagu-lagu dalam album ini.

Konsep Album
Saya akui ini antara album yang baik dihasilkan untuk bintang realiti tv seperti Akademi Fantasia dan Malaysian Idol. Pada pandangan saya, album Vince jauh lebih hebat dari album ini. Sememangnya ada pelbagai genre lagu dalam album ini. Boleh dikatakan pembaharuan besar dalam kepelbagaian irama dalam satu-satu album. Wo!!! boleh dianggap sebuah album pop yang berkualiti.

Kebanyakan lagu dalam album ini terlalu computerized sehingga menenggelamkan mutu sebenar vokal Zahid. Dari segi perkembangan teknologi untuk muzik tentunya bagus, tetapi perkembangan untuk seseorang penyanyi menjadi terhad kerana mutu vokalnya diambil alih oleh pakar komputer.

Track Lagu
Wo!!! Begitu besar pengaruh Justin Timberlake. Susunan muziknya dibuat dengan baik. Pendekatan moden merupakan antara kekuatan lagu tersebut. Wo!!! dibuat dalam dua versi iaitu Wo 2x dan Wo… Lagi??!!! Menariknya dalam lirik bahasa Inggeris.

Ku Keliru agak moderate rentaknya. Lama kelamaan saya semakin menyukai lagu itu. Pada bahagian antara korus, rangkap rap dibuat dengan baik. Pengaruh Michael Jackson agak besar pada lagu ini.

Dikau Teristimewa merupakan sebuah lagu balada yang baik. Saya paling menyukai lagu ini. Vokal Zahid agak menyerlah dalam lagu ini. Percubaan lagu balada yang dapat memberikan satu keistimewaan pada album ini.

Aleya kedengaran seperti irama dari bahagian Hawaii. Kedengaran agak catchy. Tetapi bukan kegemaran saya. Vokal Zahid juga agak biasa dalam lagu ini. Lagu ini agak unik tetapi agak meleret.

Milikku senang menerima pendengaran telinga saya. Lagu ini sememangnya sudah menjadi mainan bibir. Lagu ini sudah terlalu lama menjadi sinonim dengan diri Zahid. Ada beberapa lagu yang lebih baik dari Milikku dalam album ini.

Warkah Buat Laila merupakan lagu tema dari filem Qaisy dan Laila. Percubaan membawakan lagu dalam genre world music nampaknya berjaya dilunaskan oleh Zahid dengan baik sekali. Saya menyukai susunan muzik dalam lagu ini. Pemilihan alat muzik untuk lagu ini agak minimal tetapi bersesuaian.

Hanyamu juga antara lagu yang saya suka. Dalam rentak yang agak rancak, mesej cinta lagu tersebut tetap sampai kepada saya. Rentak lagu ini lebih segar dan tidak membosankan. Pengaruh moden yang kuat pada lagu ini secara khusus punya pengaruh Craig David yang besar.

1 Dlm 1000 (Miliknya?!)
Melihat tajuk lagu ini sungguh menyakitkan kerana penggunaan bahasa yang tidak teratur dan campur-aduk. Menggunakan konsep santai, maka inilah hasilnya. Saya kurang menggemari sambungan lagu Milikku ini.

Kulit Album
Setelah melihat beberapa produk yang dihasilkan oleh Maestro melalui album Khai, Azizi, EVO 01 dan EVO 02, Maestro mempunyai masalah yang besar dalam menghasilkan kulit album yang baik. Setelah EVO 04 menggunakan konsep oren, kini ia diteruskan untuk Zahid dengan tone yang lebih gelap. Imej-imej gelap agak tidak sesuai dengan Zahid. Saya lebih suka sekiranya warna-warna terang digunakan untuk Zahid. Mungkin juga ada rasionalnya menggunakan warna gelap untuk Zahid iaitu agar kelihatan sedikit kurus.

Ranking sultanmuzaffar
Dikau Teristimewa
Milikku
Wo!!!
Hanyamu
Ku Keliru
Warkah Buat Laila
Aleya
1 Dlm 1000 (Miliknya?!)