Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 August 2006 0 komen

Ramalan Anugerah ERA 06

Anugerah ERA bakal menjelma kembali dengan konsep kulit dan denim. Dah siap baju untuk malam anugerah itu nanti ? Para artis tentunya melaram dengan konsep kulit dan denim. Lagipun konsep tahun ini lebih mudah dan lebih fokus, maka tidak sukar untuk mendapatkan pakaian yang bersesuaian. Ramai juga artis yang akan menjadi penyampai dan yang akan membuat persembahan. Antaranya M.Nasir, Ning Baizura, Search, Spider, Pretty Ugly, Nikki, Yanie, Sixth Sense, Farahwahida, Elyana, Yazer, Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Sean Gazi, Pop Shuvit, Rabbani, Samir, Shazzy, Farah, Adam, Fazley, Sheila Majid, Fauziah Latiff, AC Mizal, Erra Fazira, Maya Karin, Sharifah Amani, Dato' Yusof Haslam, Mamat Khalid dan artis jemputan dari luar negara.

Saya teruja bila ada nama Sheila Majid dalam senarai. Nama Sharifah Amani juga mampu membuatkan saya menyebut ”hmmmmmm...” Ini sudah bagus ! Jangan Amani menggunakan platform Anugerah ERA untuk membalas balik sudahlah. Termasuk dalam senarai juga ialah Vince, Zahid, Mawi dan Faizal. Apakah akan ada kejutan dari kuartet Juara Akademi Fantasia ? Kalau mahukan sesuatu kelainan, gandingan mereka berempat mampu memberikan satu keunikan. Bukan menjadikan AE06 sebagai tempat beradu kekuatan baik dari aspek vokal ataupun gegak gempitanya sorakan peminat tetapi sekadar untuk mengembalikan nostalgia Akademi Fantasia.

Khabarnya Ning Baizura pula akan mempersembahkan lagu barunya iaitu Drama bersama-sama dengan Nikki dan Yanie. Setelah mendengar lagu tersebut, ingin pula mendengar dan menyaksikan persembahan mereka secara langsung. Apa pula kelainan yang akan ditampilkan oleh mereka bertiga.

Nah ! Ramalan saya. Bukan niat mahu menjadi Nostradamus, sekadar berkongsi pendapat dan jika anda masih belum mengundi, masih ada masa untuk anda berbuat demikian di Laman Web ERA. Sekadar memberitahu, mungkin ada mungkin tiada ulasan Anugerah ERA 06 kelak. Mungkin sibuk dan mungkin penat dan tidak akan dapat mengikuti persembahan secara lebih santai. Oleh itu dapatkan segera, sementara stok masih ada ! (subteks)

ARTIS HARAPAN PILIHAN

Adibah Noor
Felix
Idayu
Mawi
Nikki

Kalau sudah tersenarai bersama Mawi, peluang artis lain untuk menang kategori tersebut amat tipis. Sama kes sewaktu Siti Nurhaliza mendominasi setiap kategori pada zaman kegemilangannya dahulu. Kali ini nampaknya bertukar tangan. Mawi hampir pasti memenangi kategori ini. Saya sendiri memilih Mawi untuk menang kategori ini kerana nampak ada sinar harapan untuk beliau lebih bertapak dalam industri muzik serta sokongan padu yang diterimanya amat kukuh ketika ini.

Ramalan : Mawi
Pilihan SM : Mawi
Yang Tak Mungkin Menang : Adibah Noor, Felix, Idayu & Nikki
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Tiada

VOKAL WANITA PILIHAN

Adibah Noor
Dayang Nurfaizah
Farah
Jaclyn Victor
Siti Nurhaliza

Dulu-dulu kategori ini sering didominasi oleh Siti Nurhaliza. Nama seperti Misha Omar dan Ning Baizura nampaknya tidak kelihatan tahun ini. Ke mana menghilangnya mereka ? Jaclyn Victor dan Farah merupakan calon dari program realiti tv. Bagaimana agaknya peluang mereka ? Apakah sokongan yang mereka terima sewaktu di Malaysian Idol dan Akademi Fantasia sudah pudar ataupun mereka masih belum berkelayakan untuk menggantikan Siti Nurhaliza. Berdasarkan prestasi publisiti semasa, Dayang Nurfaizah bersandarkan populariti program One In A Million juga mampu membuatkan kejutan. Kategori ini juga merupakan taruhan utama Siti Nurhaliza untuk membuktikan yang kelibatnya masih diingingi dalam industri muzik Malaysia.

Ramalan : Siti Nurhaliza
Pilihan SM : Siti Nurhaliza
Yang Tak Mungkin Menang : Jaclyn Victor & Farah
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Adibah Noor & Dayang Nurfaizah

VOKAL LELAKI PILIHAN

Adam
Hazami
M.Nasir
Mawi
Zahid

Sekali lagi nama Mawi tersenarai dalam kategori yang boleh dikatakan utama pada malam tersebut. Beliau akan bersaing dengan bekas Juara Akademi Fantasia 2, Pengetua Akademi Fantasia 3, pemenang Persembahan Vokal Terbaik di AJL20 dan anak didik KRU yang tidak kurang popularnya. Masing-masing ada kekuatan yang tersendiri. Percaya atau tidak, saya sendiri memilih nama Mawi untuk menang kategori ini kerana saya melihat ada suara dan perasaan yang dipersembahkan melalui nyanyiannya. Lebih-lebih lagi sewaktu Festival Filem Malaysia yang baru sahaja berlangsung minggu lepas. Kalau peminat-peminat Mawi menghormati gurunya, pasti mereka akan mengundi M.Nasir dan sebab itulah saya meletakkan sedikit harapan untuk kemenangan M.Nasir. Calon-calon yang lain boleh pulang dengan tangan kosong kerana sukar untuk menongkah arus aura yang dibawa oleh Mawi.

Ramalan : Mawi
Pilihan SM : Mawi
Yang Tak Mungkin Menang : Adam, Hazami & Zahid
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : M.Nasir

VOKAL DUO/BERKUMPULAN PILIHAN

Mawi/M.Nasir
Nikki/Zahid
Ruffedge
Spider/Ella
Too Phat/Siti Nurhaliza

M.Nasir tidak akan pulang tangan kosong malam itu kerana akan menerima tempias gandingannya bersama Mawi. Itu sudah pasti. Namun demikian, saya memilih Nikki/Zahid untuk kategori ini. Bukan untuk menang tetapi sekadar untuk menambah undian mereka. Walaupun mereka saya berikan sedikit harapan untuk menang kategori ini berbanding calon-calon yang lain.

Ramalan : Mawi/M.Nasir
Pilihan SM : Nikki/Zahid
Yang Tak Mungkin Menang : Too Phat/Siti Nurhaliza, Spider/Ella, Ruffedge
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Nikki/Zahid

BAND PILIHAN

Dewa
Exists
Peterpan
Pretty Ugly
Radja

Setiap tahun band dari Indonesia tidak pernah ketinggalan tercalon dalam kategori ini. Cuma tahun ini agak sukar untuk mereka menang kerana pengaruh popularity lagu Diari Seorang Lelaki yang sedang kukuh kekal di tangga paling atas Carta ERA. Namun begitu, saya memilih Dewa untuk kategori ini untuk menambahkan jumlah undi mereka dan bukan untuk menang. Populariti Exists, Radja dan Peterpan agak seimbang dan masing-masing mempunyai sedikit harapan untuk menang juga.

Ramalan : Pretty Ugly
Pilihan SM : Dewa
Yang Tak Mungkin Menang : Dewa, Exists & Radja
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Peterpan

IRAMA GLOBAL PILIHAN

Aduh Saliha - Mawi
Dendang Sahutan - To'Ki/Andy Flop Poppy
Habib Ya Habib - Syura
Hantaran Hati - Bob/Rosiah Chik
Racau Sang Khalifah - Noraniza Idris/Liza Hanim

Kategori ini merupakan kategori hadiah khas untuk Mawi. Tiada satu pun calon yang layak untuk menang kategori ini melainkan Aduh Saliha. Populariti lagu Aduh Saliha dan fenomena Mawi terlalu kukuh untuk dirobohkan oleh sesiapa pun. Walaupun Aduh Saliha menang kategori ini, ia merupakan kemenangan yang bergaya kerana lagu Aduh Saliha memangnya kuat dalam kategori ini.

Ramalan : Aduh Saliha - Mawi
Pilihan SM : Aduh Saliha - Mawi
Yang Tak Mungkin Menang : Semua kecuali Aduh Saliha
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Tiada Harapan

LAGU NASYID PILIHAN

Kehidupan -In-Team/Nazrey (Raihan)
Nawaitu - Rabbani
Satu Misteri - Brothers feat. Waheeda & Yasin
Tanpamu - In -Team
Wahai Kawan - Raihan

Kalau Al-Jannah tercalon dalam kategori ini, pasti ia menjadi milik Mawi juga. Malangnya ia tidak tercalon. Siapa pun yang menang, saya tidak kisah untuk kategori ini kerana saya jarang benar mengambil kisah untuk kategori ini. Ramalan saya hanya untuk lagu Tanpamu – In Team.

Ramalan : Tanpamu – In-Team
Pilihan SM : Tanpamu – In-Team
Yang Tak Mungkin Menang : Al-Jannah - Mawi
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Tiada

ARTIS INGGERIS TEMPATAN PILIHAN

Doul/Adibah Noor
Estrange
Jaclyn Victor
Pop Shuvit
Too Phat

Kategori ini merupakan kategori menang paling mudah untuk Jaclyn Victor atau pun Too Phat. Pop Shuvit walaupun bagus tetapi kelompok pendengar muzik mereka bukannya kelompok pendengar ERA. Sebelum itu, ada berapa banyak lagu Inggeris Jaclyn Victor yang membolehkan beliau dikategorikan sebagai Artis Inggeris Tempatan Pilihan ? Entah kenapa saya pilih Estrange. Mungkin juga kasihan pada Rich yang teruk dilanyak Bob Lokman dan juga kerana beliau gagal di Konsert AFMASUK.

Ramalan : Jaclyn Victor
Pilihan SM : Estrange
Yang Tak Mungkin Menang : Doul/Adibah Noor & Pop Shuvit
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Too Phat

LAGU ROCK PILIHAN

Aduh Tsumawi - Amuk
Diari Seorang Lelaki - Pretty Ugly
Dunia Batinku - Ella/Spider
Iris - Awie
Jujur- Radja

Berdasarkan populariti semasa, lagu Diari Seorang Lelaki hamper pasti menang kategori ini. Lagu-lagu lain adalah sekadar pelengkap untuk kategori ini. Tapi belum tentu juga, kalau-kalau peminat-peminat Mawi bersepakat memilih Aduh Tsumawi kerana ada nama Mawi di dalam tajuk lagu tersebut. Itu sebabnya saya beri sedikit harapan kepada lagu Aduh Tsumawi untuk menang kategori ini.

Ramalan : Diari Seorang Lelaki – Pretty Ugly
Pilihan SM : Diari Seorang Lelaki – Pretty Ugly
Yang Tak Mungkin Menang : Dunia Batinku, Iris & Jujur
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Aduh Tsumawi - Amuk

LAGU POP PILIHAN

Biarlah Rahsia- Siti Nurhaliza
Caramu - Nikki/Zahid
Kasih - Dayang Nurfaizah
Kian - Mawi
Lagu Jiwa Lagu Cinta - Mawi/M.Nasir

Walaupun saya mahu Biarlah Rahsia menang, tapi populariti Mawi sukar untuk digugat. Maka, lagu Kianlah yang akan menang kategori ini. Mana tahu kalau-kalau pecah undi antara lagu Kian dan Lagu Jiwa Lagu Cinta, tentu sekali Biarlah Rahsia ada harapan untuk menang.

Ramalan : Kian – Mawi
Pilihan SM : Biarlah Rahsia – Siti Nurhaliza
Yang Tak Mungkin Menang : Kasih
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Caramu & Lagu Jiwa Lagu Cinta

PILIHAN KAKI WAYANG ERA

Baik Punya Cilok
Bujang Senang
Castello
Gol & Gincu
Pontianak Harum Sundal Malam II

Pemenang Filem Box-Office tahun ini ialah Bujang Senang. Pemenang Filem Pilihan tahun ini pula ialah Gol & Gincu. Saya memilih pemenang berdasarkan kualiti dan saya telah pilih Gol & Gincu. Peluang kedua-dua file mini agak seimbang. Dan saya sudah boleh mengagak selera rakyat Malaysia yang gemarkan filem-filem komedi ringan. Harus diingat, Pontianak Harum Sundal Malam pernah menang kategori ini dahulu dan sebab itulah saya meletakkan ada sedikit harapan untuk sekuelnya menang malam itu nanti.

Ramalan : Bujang Senang
Pilihan SM : Gol & Gincu
Yang Tak Mungkin Menang : Castello
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Baik Punya Cilok & Pontianak Harum Sundal Malam II

VIDEO MUZIK PILIHAN

Gemilang - Jaclyn Victor
Kasih Maafkan - Dayang Nurfaizah
Lagu Jiwa Lagu Cinta - Mawi/M.Nasir
Mungkir Bahagia - Hazami
Tak Tahu – Adam

Sudah pastilah video muzik yang berlatarkan kenduri kahwin akan menjadi pilihan penonton. Calon-calon lain boleh pulang dengan tangan kosong untuk kategori ini. Saya memilih Tak Tahu kerana kualitinya walaupun saya tahu agak sukar untuk menang ataupun merobohkan benteng kekuatan Mawi dan M.Nasir.

Ramalan : Lagu Jiwa Lagu Cinta – Mawi/M.Nasir
Pilihan SM : Tak Tahu - Adam
Yang Tak Mungkin Menang : Gemilang, Kasih Maafkan & Mungkir Bahagia
Yang Ada Sedikit Harapan Nak Menang : Tiada

KONSERT DARI STUDIO SATU : Bulan OGOS ini……Kembali lagi !!!

Bintang AF4 - 22 OGGOS 2006
Juara AF4 (Faizal)23 OGOS 2006
Kopratasa24 OGOS 2006
Pretty Ugly25 OGOS 2006

Sila hadirkan diri anda pada jam 0700 malam

Di STUDIO 1, ASTRO BUKIT JALIL

Anda semua dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan lagi kehangatan malam tersebut !

Penyertaan dibuka untuk 18 tahun ke atas sahaja.

Penonton lelaki TIDAK dibenarkan memakai selipar atau seluar pendek.

Anda boleh menghantar email sebelum 19 OGOS ke talent_audience@astro.com.my dengan menyertakan :

Nama, No Telefon serta Tarikh Rakaman untuk dihubungi bagi proses pendaftaran.

Cepat sebelum terlambat !!

Entri oleh sultanmuzaffar 16 August 2006 0 komen

Mukhsin : Kembara Waktu Yang Paling Indah
Pengarah : Yasmin Ahmad

Pelakon :
Mohd. Syafie Naswip (Mukhsin)
Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid (Orked)
Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid (Mak Inom)
Irwan Iskandar (Pak Atan)
Adibah Noor (Kak Yam)
Mislina Mustafa (Makcik Senah)

Sinematografi : Keong Low
Penyunting : Affandi Jamaludin

Seperti Sepet dan Gubra, sekali lagi saya dapat peluang menonton filem terkini kerja tangan Yasmin Ahmad iaitu Mukhsin. Mana mungkin saya lepaskan peluang itu walaupun terpaksa melepaskan siaran Diari Akademi Fantasia. Diari menjadi begitu tidak penting sekali apabila hidangan Mukhsin berada di depan mata. Biarlah ada makhluk lain yang lebih bersemangat untuk meneruskan ulasan hariannya tentang Diari Akademi Fantasia, dan saya lebih senang untuk pergi menonton Mukhsin.

Kalau dalam Sepet ceritanya lebih tertumpu kepada Orked dan Jason, Gubra menjalinkan dua cerita dalam sebuah filem dan kini Mukhsin kembali semula menjadi satu cerita yang lebih fokus. Kisahnya berkisar tentang cinta zaman kanak-kanak.

Sewaktu proses penggambaran dulu, Grand Brilliance ada mempelawa untuk sama-sama konvoi ke Kuala Selangor menyaksikan penggambaran filem tersebut. Malangnya saya tolak kerana ada janji saya bersama Konsert Akademi Fantasia pada hari Sabtu. Takut juga terlewat untuk konsert pada malam harinya. Janji saya bersama Akademi Fantasia, janji yang berbayar. Mahu tidak mahu terpaksa dipenuhi.

Kalau diberikan pilihan 1 hingga 4 untuk memilih antara Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin, sudah pasti kedudukan 2 hingga 4 akan saya biarkan kosong.

Mukhsin lebih hebat kerana saya dibawa ke dalam dunia kanak-kanak yang lebih telus dan jujur. Ada dunia berbasikal keliling kampung, ada dunia galah panjang, ada dunia main kahwin-kahwin, ada dunia panjat pokok dan macam-macam rencam dunia yang dibawa ke layar Mukhsin.

Dunia Mukhsin dan dunia Orked adalah dunia yang pernah kita lalui dan mengembara melaluinya sekali lagi merupakan satu pengalaman yang indah. Zaman cuti sekolah tatkala zaman kanak-kanak adalah kenangan yang paling meriangkan. Keriangan itu menjadi lebih indah apabila bertentang mata dengan Orked.

Satu macam perasaan wujud waktu saya menonton Mukhsin. Perasaan yang sama tiba-tiba datang sewaktu saya menonton Gubra. Ramai orang kata Gubra adalah sekuel kepada Sepet. Mungkin ya, mungkin tidak. Menyedari hakikat Mukhsin mengambil latar Orked sewaktu zaman kanak-kanaknya, maka orang akan mengatakan ia merupakan prekuel kepada Sepet. Mungkin ya, mungkin tidak.

Menonton Mukhsin menyingkap dan membuka banyak persoalan. Kenapa itu ? Kenapa ini ? Kenapa begitu ? Kenapa begini ? Yang pasti saya tersentuh menonton adegan Orked dan Mukhsin bermain layang-layang. Lalu membawa saya terbang ke dalam dunia selepas Mukhsin. Apakah dunia yang dimaksudkan ? Anda harus menontonnya untuk merasakan perasaan indah itu kembali menghampiri anda.

Cinta pasti datang kepada anda walaupun untuk sesaat sahaja dan kemudian akan pergi meninggalkan anda. Yang tinggal hanya melodi keroncong bertajuk "Hujan" dari soundtrack filem ini yang tetap terngiang-ngiang di telinga ini.

Walaupun puas dapat menonton Mukhsin, saya masih belum puas sekiranya belum dapat menontonnya di layar yang lebih besar. Begitu yang saya rasakan bila menonton Sepet dan Gubra di layar yang lebih besar.

Selamat mengembara melalui terowong waktu Mukhsin untuk sama-sama kita mengenali diri kita sendiri. InsyaAllah akan menemui anda di pawagam sekeliling anda pada tahun 2007.

Ulasan Mukhsin : Fadz DiaTulis

Sekadar Impian dan Harapan : Sepet menang di FFM18, Gubra menang di FFM19. Kalau Mukhsin menang di FFM20, lengkaplah hattrick kejayaan milik Yasmin Ahmad.

Sekadar Trivia : Di Festival Filem Malaysia minggu sudah, Dato' Rahim Razali ada menyebut "Setelah 25 tahun Abang pergi, boleh ke kalau saya hidupkan Abang kembali ?"

Abang dengan Rahim Razali, Abang '92 dengan Azhar Sulaiman....siapa calon Abang yang paling sesuai untuk tahun 2007 kalau benar-benar hasrat Dato’ Rahim Razali ingin menghidupkan semula Abang ?

Sedutan dari moNSTerblog : Setelah ucapan tersebut dilontarkan, umum terus melupakan yang Sharifah Amani merupakan pelakon paling muda pernah menang Pelakon Wanita Terbaik. Bakat dan segala usaha beliau seakan-akan tidak diendahkan. Tapi itu sememangnya lumrah manusia. Gubra sering dilihat sebagai pencemar budaya, manakala perkahwinan bertemakan Cinderella (Cinderella-themed wedding) diangkat setiap hari di muka depan akhbar, siaran berita utama tv sebagai penyubur tunjang budaya. Walaupun telah jelas yang Cinderella bukan budaya kita.

Semakin keliru saya dibuatnya...

Entri oleh sultanmuzaffar 15 August 2006 0 komen

Persembahan Akademi Fantasia 4 Pilihan sultanmuzaffar

Sudah hampir 2 minggu tirai Akademi Fantasia 4 dilabuhkan dan saya kini mengalami sindrom tiada kerja walaupun gaji masih jalan !!! Memang membosankan bila rutin harian yang biasa telah tamat dan perlu menjalani hari-hari mendatang dengan rasa bosan. Kalau disuruh pergi Terengganu pun best juga ! (hahahaha). Sambil duduk-duduk melepak, sempat juga melayari internet dan membaca komen-komen di Forum. Ada yang suam, ada yang panas, ada yang tidak cukup masak. Yang pasti komen-komen mereka adalah berdasarkan pemerhatian mereka melalui program-program yang telah disiarkan, baik menerusi Diari, Trek Selebriti, AC Di Sini dan lain-lain lagi. Apa yang sebenarnya terjadi, hanya orang-orang tertentu saja yang tahu. Macam gabungan tajuk lagu Faizal dan Farhan, Lihatlah !! Aku Saja Yang Tahu.

Dalam sesi membuang masa, sempat juga saya singgah melihat apa yang ada di laman web Mentor, One In A Million, American Idol, Survivor, The Amazing Race, Big Brother, La Academia, Academy Fantasia, Akademi Fantasi Indosiar, CSI, Rock Star:Supernova dan macam-macam lagi program realiti tv yang ada untuk mencari apa yang boleh digunakan untuk Akademi Fantasia 5. Huh ! Apakah ini satu petanda yang Akademi Fantasia 5 akan terus menemui anda ?

Berikut adalah persembahan pilihan saya sepanjang Akademi Fantasia 4 yang telah saya klasifikasikan kepada Gred A, Gred B dan Gred C, tanpa mengikut susunan pilihan. Malas nak rank ikut pilihan. Saya hanya masukkan lagu-lagu pilihan dari satu-satu konsert dalam gred yang berkenaan. Ia dimulakan dengan Konsert Prelude dan berakhir dengan Konsert Akhir.

Gred A
Farhan – Route 66
Haziq – Umpan Jinak di Air Tenang
Faizal – Pelangi Petang
Rich – I’ll Be
Faizal - Ingin Tahu
Farhan – Hujan Di Tengah Hari
Lotter - Azizah
Velvet – Langit Ke Tujuh
Farhan – Sayang Di Sayang
Farhan - Still Got The Blues
Faizal - Blues Terengganu Kita
Farhan - Tak Ingin Lagi
Haziq - Buat Sang Puteri
Velvet - Dikir Puteri
Faizal - Dealova
Lotter - Chow Kit Road
Faizal - Smells Like Teen Spirit
Velvet & Farhan - Cinta
Haziq - I Need To Know
Zila - Bisikan Hati
Rich - The Reason
Farhan - Spain
Faizal - Lihatlah
Velvet - Kini Detiknya
Faizal - Hujan

Gred B
Karen – Di Muara Sepi
Velvet - Naluri
Lotter – Sunday Morning
Diddy – Mimpi Yang Tak Sudah
Hazama - Zakia
Liya – One Thousand Million Smile
Zila - Rindu
Velvet – Darah Muda
Zila – Jangan Tinggal Daku
Diddy – Aduh Sayang
Karen – Malam Pesta Muda Mudi
Faizal – Semalam Yang Hangat
Lotter – Ibu Kota Cinta
Zila – Jika Kau Kekasih
Diddy – Lonely No More
Karen – Kerna Terpaksa
Diddy - Memori Luka
Amirul - Yesterday
Velvet - Teman Tapi Mesra
Rich - Mustika
Diddy - Nusantara
Faizal - Wo!
Diddy - Biar Betul
Farhan - Biarlah Rahsia
Faizal - Terharu
Velvet - Sangkar Cinta
Angguk Angguk Geleng Geleng
Faizal - Senandung Anak Laut
Diddy - Airmata Kasih
Velvet - Run Baby Run
Farhan - Kopi Dangdut
Amirul - Sedang Ingin Bercinta
Farhan - Meniti Titian Usang
Pelajar AF4 - Lemas
Leez - Ku Gembira Disampingmu
Velvet - Caramu
Pelajar AF4 - Hips Don't Lie
Haziq - Tak Seindah Wajah
Pelajar AF4 - Bila Rindu
Velvet - Penantian
Pelajar AF4 - Aku Sudah Jatuh Hati
Farhan - Emosi
Diddy - Diari Seorang Lelaki
Karen - Jejaka Idaman
Lotter - Pria Terhebat
Salima - Nour El Chams
Nora - Berpaut Di Dahan Cinta
Finalis AF4 - Medley Uji Rashid & Hail Amir
Lotter - In The End
Lotter - Yang Berlalu...Tak Berulang
Haziq - Cubit Cubit Sayang
Haziq - Gurindam Anak Muda
Velvet - Rembulan
Farhan - Aku Saja Yang Tahu
Hazama - Bukan Aku Tak Cinta
Shaz - You Raise Me Up
Tasha - Lagu Inul
Leez - Logika

Gred C
Nora – Kali Terakhir Ku Lihat Wajah Mu
Lynn – Kau Pergi Tanpa Pesan
Salima – Syurga Di Telapak kaki Ibu
Leez - Kasih
Shaz – Mungkir Bahagia
Jeff – Picture Of My Life
Tasha – Sangkar Emas
Haider – Untukmu Ibu
Amirul – Biru
Rich – Ai Ai Twist
Salima – Apa Guna Berjanji
Haziq – Tidurlah Permaisuri
Nora - Perwira
Amirul – Dengar Ini Cerita
Amirul - Fiona
Haziq - Kian
Salima – Kushiyon Aur Gham
Rich – Dendang Remaja
Zila - Tak Tercapai Akalmu
Salima - Obsesi
Haziq - Cinta Nusantara
Lotter - Iris
Amirul - Khatulistiwa
Salima - Senandung Hidup Berbudi
Zila - These Boots Are Made For Walking
Lotter - Bertemasya Desa Gemalai
Amirul - Lagu Zaman
Haziq - Juwita Citra Terindah
Salima - Because Of You
Lotter - Bila April
Lotter - Da'Bomb
Pelajar AF4 - To Sir With Love
Haziq - Seruan
Pelajar AF4 - Saya Anak Malaysia
Amirul - Oh No Kamu
Amirul - Jatuh
Amirul - Kurniaan Cinta
Haider - Final Countdown
Lynn - Teratai
Liya - Where Do I Begin
Jeff - Tentang Seseorang

Apa persepsi anda sekiranya saya berkata "Saya akan kelihatan bodoh apabila saya berucap dalam Bahasa Inggeris yang tunggang langgang, oleh itu saya akan berucap dalam Bahasa Melayu." Sekarang, tukar senarionya dan anda akan dapat jawapannya.

Nota : Sudah pasti saya akan mendapat pangkat Datuk walaupun tidak perlu berenang menyeberang Selat Inggeris. (hehehe)

Entri oleh sultanmuzaffar 11 August 2006 0 komen

Ramalan Festival Filem Malaysia 19

1.0 PENGARAH FILEM TERBAIK (Best Director)
Afdlin Shauki (Buli Balik)
Bade Azmi (Bilut)
Bernard Chauly (Gol & Gincu)
Shuhaimi Baba (Pontianak Harum Sundal Malam 2)
Yasmin Ahmad (Gubra)

Ramalan : Yasmin Ahmad (Gubra) (jalinan dua cerita dalam satu filem serta kerja penyuntingan yang teliti menjadikan kerja pengarahan filem ini lebih teratur)
Underdog : Afdlin Shauki (Buli Balik), Shuhaimi Baba (PHSM 2)
Keputusan Rasmi : Shuhaimi Baba (Pontianak HSM 2)

Dari lima filem yang tersenarai dalam kategori ini, saya hanya belum sempat menonton Bilut itu pun kerana filem tersebut belum ditayangkan lagi. Tetapi sudah ada di kalangan kawan-kawan media yang telah menonton filem ini. Dari komen mereka jelas sekali Bilut hanyalah sebuah propaganda Felda yang terlalu menjual Felda kepada penonton. Ia menjadi terlalu dokumentari berbanding Lelaki Komunis Terakhir. Itu kata orang. Kata saya pula, ialah saya belum menonton. Jadi saya komen hanya filem yang telah saya tonton. Saya lebih sukakan hasil kerja Yasmin Ahmad berbanding Shuhaimi Baba dan Afdlin Shauki. Kalau boleh saya letakkan ranking dalam senarai tersebut, saya letak Yasmin di tempat pertama dan diikuti oleh Afdlin Shauki, Bernard Chauly dan kemudian Shuhaimi Baba. Saya mahu sangat melihat Yasmin menang Pengarah Terbaik. Bernard Chauly merupakan pengarah yang pertama kali mengarahkan filem, maka sepatutnya beliau telah menang Pengarah Harapan sewaktu keputusan kategori ini diumumkan.

2.0 PELAKON LELAKI TERBAIK (Best Actor)
Afdlin Shauki (Buli Balik)
Hans Isaac (Persona Non Grata)
Que Haidar (KL Menjerit 1)
Rosyam Nor (Bilut)
Rusdi Ramli (PHSM2)

Ramalan : Afdlin Shauki (Buli Balik) (Afdlin berjaya membuatkan saya menangis dua kali menerusi filem ini)
Underdog : Rosyam Nor (Bilut)
Keputusan Rasmi : Afdlin Shauki (Buli Balik)

Hanya ada dua pilihan saya. Sama ada Afdlin Shauki atau Rosyam Noor. Saya harus akui Rosyam Noor memang hebat lakonannya. Walaupun belum menonton filem Bilut, saya sekadar membuat andaian yang mutu lakonannya masih tidak berubah. Mana tahu sebaliknya. Saya mengharapkan Afdlin Shauki menang kategori ini. Apabila Que Haidar terpilih dalam senarai lima terbaik ini memberikan petanda bahawa kategori Pelakon Harapan sewajarnya menjadi milik beliau. Adlin Aman Ramlie tidak tersenarai dalam kategori ini ? Beliau harus lebih belajar mengenai ruang ! (hahaha, sekadar berjenaka)

3.0 PELAKON WANITA TERBAIK (Best Actress)
Erra Fazira (PNG)
Maya Karin (PHSM2)
Nur Fazura (G&G)
Sharifah Amani (Gubra)
Siti Shahrizah 'Eja' (Bilut)

Ramalan : Sharifah Amani (Gubra)
Underdog : Maya Karin (PHSM2), Erra Fazira (PNG)
Keputusan Rasmi : Sharifah Amani (Gubra)

Dua nama pilihan saya sudah pasti menjadi milik Maya Karin dan Sharifah Amani. Maya Karin bawa banyak watak dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam dan alasan itu sahaja sudah cukup mengukuhkan kedudukannya. Tetapi saya masih mengharapkan kemenangan berpihak kepada Sharifah Amani kerana lakonannya serta mainan emosinya lebih mantap.

4.0 PELAKON LELAKI TERBAIK (Watak Pembantu) [Best Actor (Supporting Role)]
Hans Isaac (Buli Balik)
Harun Salim Bachik (Baik Punya Cilok @ BPC)
Que Haidar (Castello)
Rusdi Ramli (Bilut)
Zul Huzaimy (Remp-It)

Ramalan : Zul Huzaimy (Remp-It) (saya rasa nak baling kasut menonton lakonan Zul Huzaimy dalam filem ini)
Underdog : Hans Issac (Buli Balik) (watak kaki buli yang meyakinkan kecuali pada babak terakhir)
Keputusan Rasmi : Hans Issac (Buli Balik)

Persoalan pertama yang berlegar dalam kotak minda saya apabila hilangnya nama Namron dari senarai ini. Wataknya sebagai bilal amat kuat. Dua nama pilihan saya ialah Hans Issac dan Zul Huzaimy. Walaupun belum menonton Remp-It saya yakin dengan kredibiliti Zul Huzaimy dalam bidang lakonan. Lakonan Hans Issac dalam filem Buli Balik memang memberikan kesan yang kuat kepada Afdlin Shauki dan nampak keserasian mereka berdua. Kemaskini Sabtu : Saya baru selesai menonton Remp-It dan berasa agak yakin Zul Huzaimy mampu membuatkan Hans Issac (Buli Balik) pulang dengan tangan kosong.

5.0 PELAKON WANITA TERBAIK (Watak Pembantu) [Best Actress (Supporting Role)]
Chelsia Ng (Salon)
Ida Nerina (PHSM2)
Noor Khiriah (Gubra)
Sazzy Falak (G&G)
Sharifah Sofia (Gong)

Ramalan : Sazzy Falak (Gol & Gincu)
Underdog : Noor Khiriah (Gubra)
Keputusan Rasmi : Sazzy Falak (Gol & Gincu)

Persoalan pertama saya tertanya-tanya ke mana perginya nama Rozie Rashid ? Lakonan mantap beliau dalam Gubra seharusnya diberikan perhatian. Nampaknya ia tidak menjadi kenyataan. Saya menaruh harapan yang tinggi kepada Sazzy Falak untuk menang kategori ini.

6.0 PELAKON HARAPAN LELAKI (Most Promising Actor)
Cat Farish (Remp-It)
Nicholas Teo (The 3rd Generation)
Pierre Andre (Salon)
Que Haidar (Castello)
Que Haidar (KLM1)

Ramalan : Que Haidar (KL Menjerit 1)
Keputusan Rasmi : Que Haidar (Castello)

7.0 PELAKON HARAPAN WANITA (Most Promising Actress)
Carmen Soo (The 3rd Generation)
Juliana Ibrahim (Gubra)
Liyana Jasmay (Castello)
Raja Farah (Salon)
Sazzy Falak (G&G)

Ramalan : Sazzy Falak (Gol & Gincu)
Underdog : Liyana Jasmay (Castello)
Keputusan Rasmi : Carmen Soo (The 3rd Generation)

8.0 PELAKON KANAK-KANAK TERBAIK (Best Actor / Actress [Children])
Hafizu Din Hamza (Bilut)
Mohd Shahraen (Gubra)
N. Adruce N. Adelin (Tipah Tertipu The Movie)

Ramalan : Mohd Shahraen (Gubra)
Underdog : Tiada Pemenang (hahaha)
Keputusan Rasmi : Tiada Pemenang

9.0 LAKON LAYAR TERBAIK (Best Screenplay)
Buli Balik (Afdlin)
Gubra (Yasmin)
Gol & Gincu (Rafidah Abdullah)
Man Laksa (Mamat Khalid)
Pontianak HSM2 (Shuhaimi Baba & Haslina)

Ramalan : Gubra
Underdog : Gol & Gincu
Keputusan Rasmi : Gubra

10.0 CERITA ASAL TERBAIK (Best Story)
Baik Punya Cilok (Afdlin)
Bilut (Yusof Noor)
Gubra (Yasmin)
Man Laksa (Mamat Khalid)
Pontianak HSM2 (Shuhaimi Baba)

Ramalan : Gubra (jalinan dua cerita yang cukup berperisa)
Underdog : Man Laksa(subteks yang meletup), Bilut (sekadar propaganda kerajaan)
Keputusan Rasmi : Baik Punya Cilok

11.0 SINEMATOGRAFI TERBAIK (Best Cinematography)
Bilut (Raja Mukhriz)
Gong (D. Raghavan)
Gubra (Keong Low)
Pontianak HSM2 (M. Filus)
The 3rd Generation (Hor Chee Leong)

Ramalan : Pontianak Harum Sundal Malam 2
Keputusan Rasmi : The 3rd Generation

12.0 PENYUNTING TERBAIK (Best Editor)
Baik Punya Cilok (Sukhdev Singh)
Bilut (Bade Azmi)
Castello (Bade Azmi)
Gubra (R. Affandi)
Pontianak HSM2 (Kamaruddin Abu)

Ramalan : Gubra (berjaya menjalinkan dua cerita yang meyakinkan menjadi sebuah filem)
Keputusan Rasmi : Castello

13.0 SKOR MUZIK ASAL TERBAIK (Best Music Score)
Baik Punya Cilok (Afdlin & Ahmad F)
Bilut (Khoo Fok Sin)
Gubra (Hardesh Singh)
Persona Non Grata (Megat Azura)
Pontianak HSM2 (Shamsul Cairel)

Ramalan : Pontianak HSM2 (Shamsul Cairel)
Underdog : Gubra (juri diharapkan dapat memahami makna-makna lirik lagu-lagu asing dalam filem ini yang melengkapkan filem ini menjadi sebuah puisi indah)
Keputusan Rasmi : Bilut

14.0 PENATAAN SENI TERBAIK (Best Art Director)
Bilut (Azwan A)
Gong (Mazlan AL)
Gubra (Rosnah K)
Pontianak HSM2 (Kamarul Nizam)
The 3rd Generation (Hor Kam L)

Ramalan : Gubra
Underdog : Pontianak HSM2
Keputusan Rasmi : Pontianak HSM2

15.0 PENATAAN BUNYI TERBAIK (Best Sound)
Bilut (Azman A)
Castello (Azman AH)
KL Menjerit 1 (Azman Abu Hassan)
Pontianak HSM2 (Ashley Ibrahim)
Remp-It (Ng Kang Wei)

Ramalan : Pontianak Harum Sundal Malam 2 (bunyi pontianak kiri dan kanan serta rakaman bunyi secara langsung perlu diambilkira)
Underdog : Remp-It, Castello
Keputusan Rasmi : Castello

16.0 LAGU TEMA ASAL TERBAIK (Best Original Theme Song)
Baik Punya Cilok (filem BPC) - Afdlin & Pacai
Ku Seru (Pontianak HSM2) - Ajai
Semalam Hari Ini (Bilut) - LY & Baiduri
Sesat Dalam Gelita (Castello) - Zulkifli Mahat
Teruja (Gol & Gincu) - Anton Morgan

Ramalan : Ku Seru (PHSM2) (lagu ini lebih menusuk kalbu)
Underdog : Teruja (Gol & Gincu), Sesat Dalam Gelita (Castello)
Keputusan Rasmi : Ku Seru (PHSM2)

17.0 PEREKA KOSTUM / BUSANA (Best Costume Designer)
Bilut (Izzat Artistic Team)
Gol & Gincu (Izzat Artistic Team)
Pontianak HSM2 (Dee Hasnan)
Rock (Hatim Thai)
The 3rd Generation (Eric Cheong)

Ramalan : Rock (bawa penonton ke zaman 80an dengan berjaya dan tidak terlalu dibuat-buat)
Underdog : Pontianak HSM2
Keputusan Rasmi : The 3rd Generation

18.0 POSTER TERBAIK (Best Poster)
Gubra (Nusanbakti Corp.)
Gol & Gincu (Red Films)
Gong (Sendosh)
Pontianak HSM2 (Pesona Pictures)
The 3rd Generation (Blackbox Pic)

Ramalan : Gubra (mengungkap persoalan dan melengkapkan keseluruhan cerita filem ini)
Keputusan Rasmi : Gubra

19.0 FILEM TERBAIK (Best Film)

Ramalan : GUBRA
Underdog : Pontianak Harum Sundal Malam 2
Keputusan Rasmi : GUBRA

20.0 ANUGERAH KHAS JURI

Penonjolan Stunt Yang Menyerlah : Remp-It
Rekabentuk Idea Jujur dan Inovatif : Man Laksa
Memperkukuhkan Rasa Sayang, Bangga Pada Negara : Bilut
Pengarah Harapan : Syed Azidi (Pesona Non Grata)
Filem Box-Office : Bujang Senang

21.0 ANUGERAH FINAS

Dokumentari Terbaik : Profil Seni Pak Dolah Baju Merah
Filem Animasi Terbaik : Long Lost Love
Filem Pendek Terbaik : Marginal

22.0 ANUGERAH PILIHAN SMS

Filem Pilihan : Gol & Gincu
Pelakon Lelaki Pilihan : Adam AF2 (Main-Main Cinta)
Pelakon Wanita Pilihan : Eja (Bilut)
Lagu Tema Pilihan : Hanya Untukmu (Pesona Non Grata)

Pecahan Anugerah
Gubra : 4
Pontianak HSM2 : 3
Castello : 3
The 3rd Generation : 3
Bilut : 2
Buli Balik : 2
Gol & Gincu : 1
Baik Punya Cilok : 1
Man Laksa : 1
Pesona Non Grata : 1
Bujang Senang : 1
Remp-It : 1

Saya sekadar menjadi penonton Festival Filem Malaysia yang lalu. Cuma tahun ini nyata berbeza apabila saya akan terlibat secara langsung dengan festival ini. Tanggungjawab tidak besar pun, sekadar untuk post-party sahaja. :) Jom makan !

Keputusan Rasmi dikemaskinikan pada jam 2 pagi, 14 Ogos 2006.

Entri oleh sultanmuzaffar 09 August 2006 0 komen

Ejen016
Episod minggu lepas berakhir dengan sebuah kereta tersadai di tengah-tengah jalan. Kereta siapakah itu ? Saya sendiri tidak dapat menjangkakan kereta milik siapa yang tersadai itu. Drama bersiri ini perlu diikuti dari satu episod ke satu episod untuk mengetahui kesudahannya. Memang cliffhanger drama ini adakalanya membuatkan kita tertanya-tanya.

Dalam badan Dr.Mat sekarang sudah tertanam Dr.Erika. Secara tidak langsung, anasir jahat sudah dapat menjadi pengintip atas setiap perbuatan orang baik. Jangan lupa saksikan sambungan Ejen 016 malam ini jam 9.30 malam di TV3.

Puteri Gunung Ledang The Musical
Teater muzikal yang mencetuskan fenomena ini masih dipentaskan di Istana Budaya. Anda masih boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan teater muzikal ini sekali lagi di http://www.ticket2u.biz ! Saya berpeluang untuk menontonnya semalam dan saya terpesona. Ulasan lanjut akan menyusul esok atau lusa.

Entri oleh sultanmuzaffar 05 August 2006 0 komen

Konsert Akhir Akademi Fantasia 4 : Faizal Juara Baru AF4 !
Siapa bakal Juara Baru Akademi Fantasia 4 ? Mungkin Faizal, atau Velvet, boleh jadi Farhan, mana tahu Lotter dan tidak mustahil Haziq ! Semuanya di tangan anda. Di tangan saya, saya meletakkan Faizal sebagai Juara Baru, mungkin di tangan anda Velvet, atau Haziq, mungkin juga Lotter dan tidak mustahil Farhan.

Inilah harinya. Semalam saya tidak berpeluang untuk menonton rehearsal kerana terlalu sibuk menyiapkan Media Q&A yang perlu mendapatkan kelulusan peringkat atasan. Anda masih boleh terus mengundi, begitu juga saya. Persaingan antara Faizal, Lotter dan Farhan nampaknya semakin menjadi-jadi. Kata hati anda perlu membuat keputusan segera.

Malam ini bakal menjadi malam yang panjang buat saya. Hingga ke pagi saya akan terus memerah keringat bekerja. Ahad adalah hari untuk bersantai bersama Juara Baru Akademi Fantasia 4, finalis dan bekas pelajar AF4. Tak pergi Konsert Fantasia Mawi ? Apa tu ? (ketawa...)

Saya menonton konsert memang dalam keadaan keletihan. Memang dari jam 10 pagi bekerja. Pagi menguruskan persiapan gerai-gerai Kelab Peminat. Bermula petang, perlu menyelenggara persembahan Showcase. Perlu menculik Zila sekejap untuk ke gerai Kelab Peminatnya. Menjelang 6 petang, perlu menyelesaikan tiket-tiket untuk Pengundi Tertinggi dan dalam waktu yang sama tiket untuk kawan-kawan. Sekitar jam 8 malam, dah rasa macam nak cari katil. Itu sebabnya ada beberapa persembahan yang saya tertidur bersandar di dinding.

Tiada kejutan yang menjadi ingatan dalam konsert akhir kali ini. Tidak macam kejutan gambar Rosma sewaktu persembahan Khai atau kemunculan Johnny. Puas hati melihat Cikgu Corrie menari Menuju Puncak walaupun tersilap step tapi gerak-gerak beliau memang tajam betul. Jauh bezanya berbanding pelajar-pelajar lain.

Spain memang sebuah lagu yang sukar dan atas sebab itulah Farhan sewajarnya mendapat kredit tersebut. Bukan calang-calang penyanyi yang mampu membawakan lagu tersebut dengan baik tetapi Farhan berjaya membuktikannya.

Persembahan Faizal boleh saya sifatkan sebagai sederhana tetapi masih kukuh jiwanya. Lagu Lihatlah lebih menarik berbanding lagu Hujan kerana lagu Hujan tidak begitu asli nyanyian Faizal. Memang vokalnya cuba disadur dengan vokal Sudirman.

Lagu Kini Detiknya nyanyian Velvet memang best. Saya lihat Velvet berjaya mengalunkan lagu tersebut yang sememangnya indah melodinya serta liriknya.

Persembahan Lotter masih menghiburkan dan Haziq berjaya mencuri perhatian saya menerusi lagu Cubit Cubit Sayang.

Saya lebih puas dengan persembahan Hazama, Shaz, Tasha dan Leez. Bukan selalu dapat dengar mereka menyanyi dan mereka telah melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang.

Keputusan ? Tidak begitu mengejutkan. Mereka ada masa seminggu bersama saya untuk terus mengikuti program publisiti Astro sebelum berpindah tangan kepada Maestro.

Pilihan SM
Farhan - Spain
Faizal - Lihatlah
Velvet - Kini Detiknya
Faizal - Hujan
Lotter - In The End
Lotter - Yang Berlalu...Tak Berulang
Haziq - Cubit Cubit Sayang
Haziq - Gurindam Anak Muda
Velvet - Rembulan
Farhan - Aku Saja Yang Tahu

Nota : Kalau ikutkan hati, saya hanya pilih Top 5 sahaja. Persembahan lain boleh membuatkan saya tertidur sekejap-sekejap.

Pilihan Prelude
Hazama - Bukan Aku Tak Cinta
Shaz - You Raise Me Up
Tasha - Lagu Inul
Leez - Logika
Haider - Final Countdown
Lynn - Teratai
Liya - Where Do I Begin
Jeff - Tentang Seseorang

Nota : Kalau ikutkan kepuasan, persembahan Hazama, Shaz dan Tasha sudah mampu mengatasi persembahan Farhan dengan lagu Spain.

Saya pulang sekitar jam 5.30 pagi ! Hari Ahad jam 4 petang menghabiskan masa santai bersama bintang-bintang baru AF4. Saya lebih puas bermain watergun bersama Dr.Fazley, Cikgu Syafi, Cikgu Corrie, Cikgu Kevin, bintang-bintang AF4 serta mengikuti beberapa sesi lain. Tandatangan atau ucapan, semua orang boleh dapat. Dan saya pulang ke rumah sekitar jam 11 malam. Gambar ? Nanti-nantilah. Penat masih belum hilang lagi.

Puas apabila Akademi Fantasia telah selesai, tetapi saya masih belum puas hati. Ada banyak lagi yang boleh dibaiki tetapi banyak yang telah dipelajari. Ia merupakan satu proses pembelajaran. Nantilah saya bercerita tentang pengalaman-pengalaman itu. Banyak ! Macam-macam ! Yang datang dan yang pergi ! Itulah hidup.

Entri oleh sultanmuzaffar 04 August 2006 0 komen

Aduh Sibuknya !

Hari ini merupakan hari terakhir untuk menyiapkan segala persiapan. Esok sudah berkampung di Stadium Putra Bukit Jalil. Pagi ini harus menyiapkan segala urusan panggilan telefon kepada Pengundi Tertinggi dan segala urusan siaran akhbar/maklumat-maklumat terkini Akademi Fantasia. Saya tidak sabar-sabar untuk bertemu wakil kelab peminat Faizal, Farhan, Zila, Haziq dan Lotter petang ini. Malam ini pula Rehearsal Terakhir. Apalah yang boleh saya harapkan lagi.

Sempat juga melarikan diri semalam ke tayangan eksklusif Mukhsin, filem terbaru arahan Yasmin Ahmad. Segala imej masih di dalam kepala tetapi masih belum berkesempatan untuk dilahirkan menerusi tulisan. Mungkin Fadz punya kesempatan itu.

Entri oleh sultanmuzaffar 02 August 2006 0 komen

Kini Detiknya !

Tajuk: Kini Detiknya
Artis: Velvet
Pelajar: Velvet

Lagu : Sharon Paul
Lirik : Fedtri Yahya

Bintang di langit terindah
Melambai kau yang bersedihan
Tinggalkan saja sangkar lara
Pelangi di awan menanti kau dendangkan lagu cinta

Gemakan hati bergetaran
Hembuskan nafas sedamainya
Biar sang burung bersinggahan
Di halaman cinta
Sambil menyanyikan simfoni rindu

Chorus :
Kini detiknya..menjelma
Kita berdua berbicara
Dan menguntumlah setiap senyummu
Bersemi mesra kemanisan.janji

Buka rahsia hatimu
Kau luaskan kepercayaan
Tiada lagi sempadannya
Merenda asmara menyambut kau lafazkan kata cinta

Bridge :
Tak perlu kenang lagi derita lama
Tak perlu ada keraguan sewenang menghalang
Atas nama cinta tanpa curiga..berjanjilah

Lagu ini kalau disampaikan dengan penuh penghayatan dan semangat oleh Velvet pasti meletup. Lagu ini juga lebih mesra di telinga saya. Sekali dengar sudah boleh suka berbanding lagu-lagu baru yang lain. Kalau vokal Velvet lebih teratur dan jelas sebutannya malam Final nanti, pasti nyanyiannya akan menjadi ingatan sepanjang Akademi Fantasia. Setakat musim keempat ini, tiada satu pun finalis perempuan yang telah berjaya membawakan lagu baru mereka dengan baik. Nija bernasib baik kerana mendapat lagu baru berentak rock. Linda dan Farah gagal meyakinkan saya. Marsha terlupa lirik dan Amylea tidak mendapat lagu yang mesra di telinga saya. Maka, saya mengharapkan Velvet mampu melakukan kejutan malam Final nanti.

Entri oleh sultanmuzaffar 01 August 2006 0 komen

Diari Akademi Fantasia 10 03&04

Tepat jam 7.30 malam, saya menerima satu SMS. "Minta Astro check balik lirik lagu utk Faizal. Takut jadi isu." Dapat SMS waktu Maghrib ! Mula-mula saya macam malas nak ambil pusing dengan SMS tersebut pasal yang hantar boleh tahan antinya terhadap Faizal.

Saya pergi laman web AF. Memang ada lirik lagu di situ. Saya klik dan baca.

Tajuk: Lihatlah
Artis: Faizal
Pelajar: Faizal
Lagu : M.Nasir Lirik : Loloq

Kepadamu Tuhan aku berserah
Rinduku untuk kau terima
Kerana jiwa tulus bukan syarat bertakhta cinta

Biarpun seluruh nafasku
Menjunjung namamu selalu
Meskinya ruang hatiku hanya ada wajahmu

Bukan ku tak percaya
Kau kasihku
Bukan ku berputus asa
Pada kasihmu yang bisa merubah segalanya

Lihatlah hujan yang turun putih berkilau
Masih berdebu
Inikan lagi kejujuranku
Insan berpalu
Tangisan pilu

Lihatlah
Lihatlah di sebalik zahirku
Lihatlah
Lihatlah ke dalam batinku
Lihatlah
Lihatlah kebenaran tersirat
Lihatlah dengan mata halus, siapa diriku
Baca sekali lalu, fikiran saya terbayang kau yang kedua adalah merujuk kepada kekasih penyanyi lagu tersebut. Bila dua kali saya baca, subjek pada rangkap pertama ialah Tuhan dan kau pada baris kedua secara tidak langsung merujuk kepada Tuhan. Begitulah seterusnya pada rangkap kedua, dan seterusnya. Ia tetap merujuk kepada Tuhan. Mana mungkin seorang penyanyi boleh membayangkan tentang wajah Tuhannya. Ini merupakan satu isu yang agak serius.

Tanpa berlengah, saya terus bertemu dengan Penerbit memaklumkan tentang kepincangan lirik lagu tersebut. Tiga minit perbincangan berlangsung. Tidak lama. Memang lirik yang ada dalam laman web adalah lirik yang saya dapat dari produksi. Panggilan telefon dibuat terus kepada Loloq. Loloq tanya siapa yang buat aduan. Saya cakap saya tidak kenal pengirim SMS tersebut. Dibacakan lirik lagu yang tertaip di atas kertas satu-persatu. Dengan pantas, Loloq mengesan kesilapannya.

Rupanya tertinggal sukukata "ku" selepas perkataan Tuhan.

Lirik sebenarnya,
Kepada Tuhanku aku berserah
Rinduku untuk kau terima
Kerana jiwa tulus bukan syarat bertakhta cinta

Biarpun seluruh nafasku
Menjunjung namamu selalu
Meskinya ruang hatiku hanya ada wajahmu
Ini secara tidak langsung mengubah makna lirik lagu tersebut. Ia bermula dengan permohonan penyanyi kepada Tuhannya agar rindunya kepada kekasihnya diterima. Dan seterusnya ia merujuk kepada kekasih penyanyi tersebut sebagai subjek.

Lihatlah ! Chewah ! Macam tajuk lagu Faizal pulak. Bagaimana satu sukukata mampu untuk mengubah keseluruhan cerita dalam lagu tersebut. Bagaimana pula dengan satu tingkah laku yang tentunya boleh merungkai pelbagai persepsi untuk ditelah oleh kita selaku penonton. Makna zahir, makna batin hanya kita sendiri yang tahu. Lihatlah dengan mata halus bukan dengan pandangan rambang.

Juga, bagaimana saya mengambil serius satu komen yang membina agar perubahan kepada lirik tersebut dapat dilakukan. Saya anggap ia satu komen yang membina. Benar-benar membina. Kalau setakat komen yang menghancurkan serta bersifat mencerca, saya sekadar membakul-sampahkannya.

Terima kasih pengirim SMS kerana berjaya melakukan satu perubahan yang positif.

Entri oleh sultanmuzaffar 31 July 2006 0 komen

Diari Akademi Fantasia 10 01 & 02

Apa yang menarik ? Tiada yang menarik kecuali majlis sambutan Hari Lahir Rich yang dilangsungkan dalam Akademi. Rich duduk di Bilik Aktifkan. Lima finalis diletakkan dalam Bilik Vokal. Dinding kaca memisahkan mereka. Macam dalam Penjara Kajang. Kenapa saja sambut lambat Hari Lahir Rich dan tidak diumumkan sewaktu Konsert AFMASUK ? Apa beza Rich dengan Tasha ? Memang banyak bezanya. Rich masih pelajar AF walaupun pelajar AFMASUK dan Tasha hanya pelajar PRELUDE. Kalau dinilai berdasarkan darjat, lagi tinggi darjat Rich. Sambutan di Akademi pun sudah cukup baik sebenarnya.

Lagu Tugasan Konsert Akhir
Lotter
In The End - Linkin' Park
Belum diumumkan.
Dapat lagu rancak yang pasti menggamatkan. Macam lagu rock yang pernah Amylea bawa masa Konsert Akhir. Kalau kena gaya, kualiti vokal memang pengundi akan ketepikan dan terus mengundi. Silap-silap boleh jadi Juara.

Faizal
Hujan - Sudirman Hj Arshad
Lihatlah - M.Nasir/Loloq
Faizal dapat lagu berentak perlahan. Lagu Hujan kalau dapat dibawakan dengan penuh perasaan, pastinya makcik-makcik dan anak-anak makcik akan mengundinya.

Farhan
Spain - Al-Jarreau
Aku Sahaja Yang Tahu - Ajai/Ajai
Berapa ramai orang Malaysia yang boleh menghargai muzik Al-Jarreau ? Lebih-lebih lagi peminat Akademi Fantasia. Mereka belum didedahkan dengan muzik sebegitu.

Haziq
Cubit-Cubit Sayang - Datuk M.Daud Kilau
Gurindam Anak Muda - Ramli Sarip/Ramli Sarip
Lagu Gurindam Anak Muda terlalu berbunyi lagu Kawan oleh Ruhil Amani. Tidak dinafikan, melodinya agak sedap dan bersesuaian dengan Haziq.

Velvet
Rembulan - Kris Dayanti
Simfoni Janji - Sharon Paul/Fedtri Yahya
Saya menunggu persembahan lagu Sinfoni Janji. Sudah dengar sebahagian daripada lagu tersebut. Memang indah melodinya.

Puas ?
Best pulak bila dapat teguran ikhlas yang berani beri depan-depan macam tu. Ada pula yang suka beri teguran tidak ikhlas macam di sekeliling. Makin banyak berbual dengan kawan, makin banyak pula cerita-cerita mengarut yang didengar. Terpulang kepada kalian untuk menelannya bulat-bulat atau meludahkannya kembali kepada muka penglipurlara tersebut.

Kudaku lari gagah berahi. hahahaha. Macam boleh tahu saja apa yang ada dalam fikiran Faizal sekarang. Kawal sikit ! (hahahahahaha)

Entri oleh sultanmuzaffar 29 July 2006 0 komen

Konsert 09 Akademi Fantasia : Kuasa Rakyat Mengalahkan Kuasa Wang ?

Sudah dikatakan sebarang keputusan Akademi Fantasia ianya terletak di tangan anda. Jari anda yang menentukan. Kemahuan anda yang perlu diikut. Kata hati anda yang perlu menggerakkannya. Jika berlaku apa-apa kejutan, jangan salahkan sesiapa.

Sekadar melihat latihan yang diadakan, tidak banyak yang boleh dijangkakan melalui persembahan minggu ke sembilan ini. Ianya seakan-akan terowong masa yang membawa saya semula ke minggu pertama. Melihat semula persembahan-persembahan amatur yang agak biasa.

Minggu ini agak sibuk menyiapkan banyak perkara-perkara berbangkit sehingga tidak punya banyak masa untuk mengulas Diari yang telah disiarkan. Sesekali sempat juga saya tonton. Saya tersedar akan keceriaan pada Diari yang memaparkan pelajar AFMASUK berbanding pelajar FINALIS. Keceriaan yang saya maksudkan ialah dari aspek warna pakaian mereka. Pelajar AFMASUK bebas untuk menggayakan apa sahaja cara berpakaian dan tidak terlalu dikongkong dengan pakaian penaja. Itu yang saya nampak.

Minggu depan pasti kesibukannya lebih ketara. Minggu Akhir lah katakan. Telefon juga pasti tidak henti-henti berdering menerima panggilan atau SMS dari "kawan bermusim". Istilah "kawan bermusim" bermakna kawan yang hanya muncul pada musim Akademi Fantasia. Bersabar sahajalah yang termampu saya lakukan.

Lagu baru pelajar FINALIS juga telah mereka perolehi. Terus terang saya katakan berdasarkan tajuk lagu sahaja saya sudah dapat membayangkan betapa kekampungannya idea-idea pencipta lagu tersebut.

Lagu Baru Finalis
Faizal - Lihatlah (M.Nasir/Loloq)
Farhan - Aku Saja Yang Tahu (Ajai/Ajai & Fauziah Nawi)
Haziq - Gurindam Anak Muda (Ramli Sarip/Ramli Sarip)
Velvet - Simfoni Kasih (Sharon Paul/Fedtri Yahya)

Saya akan bercerita tentang lagu-lagu baru ini minggu hadapan, jika ada masa. Buat sementara itu, saya cadangkan kepada semua agar mendengar semula lagu Kawan oleh Ruhil Amani sebagai persediaan untuk membaca komen-komen dari saya pula.

Kedudukan AFUNDI pada minggu ini agak stabil dan tidak banyak berlaku perubahan kedudukan finalis. Faizal masih mendahului dengan 39% dan diikuti oleh Farhan dengan 25%. Velvet mengekori rapat dengan 22% dan Haziq mendapat 14%. Kedudukan peratusan nampak agak jauh, tetapi bilangan undi tidaklah begitu jauh. Peminat Farhan, Velvet dan Haziq masih boleh memintas kedudukan yang lebih selesa. Peminat Faizal tidak harus berasa selesa dan haruslah mengekalkan momentum seperti minggu ini untuk terus bergelar Juara.

Kedudukan AFMASUK pula sebelum kedudukan itu tidak disiarkan memihak kepada Rich dengan 39% dan Lotter mengekori rapat dengan 36%. Apa sahaja kemungkin boleh berlaku pada malam ini dan mungkin itu juga kejutannya. Siapa tahu !

Ada juga yang SMS saya bertanyakan tentang peratus undian AFUNDI minggu ini. Apa yang akan terjadi kepada undian tersebut. Undian AFUNDI minggu ini akan terus dibawa ke minggu akhir. Ini bermakna FINALIS paling baru (sesiapa sahaja) perlu mengejar undian AFUNDI seminggu yang telah diperolehi oleh empat FINALIS. Saya rasa ia adil untuk empat FINALIS yang telah berhempas pulas mengejar kedudukan tersebut. Jadinya sesiapa sahaja yang terpilih perlu mengejar kedudukan 14% milik Haziq sekurang-kurangnya jika mahu memintas kedudukan Haziq. Kalau peminat finalis tersebut ada kemahuan, tentulah di situ akan ada usaha dalam cubaan untuk memintasnya. Tentunya peminat Haziq tidak mahu melukakan hati Haziq dan akan terus menekan AFUNDI tidak henti-henti. Peminat Faizal jangan menganggap Faizal sudah selesa di situ, apa sahaja boleh berlaku.

Provoke jangan tak provoke. :)

Sistem website tu buat hal lagi tengah malam ni ! Yang peliknya, di bahagian Arkib keluar, kat bahagian Main Highlights yang tak keluar ! Lantak lah saya update kat blog dulu :)


Lotter kembali ke Akademi Fantasia setelah menduduki tangga teratas Carta
AFMASUK yang telah ditutup setelah berakhirnya Konsert 09 Akademi Fantasia.
Lotter yang membawakan lagu Pria Terhebat menerima saingan yang sengit dari Rich yang juga telah memberikan persembahan yang cemerlang dengan lagu The
Reason. Lotter akan bersama-sama Faizal, Velvet, Farhan dan Haziq untuk beraksi di Konsert Akhir Akademi Fantasia yang akan berlangsung pada 5 Ogos 2006 di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Persaingan sengit berlaku antara Lotter dan Rich dalam merebut tempat terakhir ke Konsert Akhir Akademi Fantasia. Sebelum persembahan bermula, Rich mendahului dengan 43% undian manakala Lotter dengan 35%. Lotter memintas di titik akhir dengan 46% undian meninggalkan Rich dengan 31%. Kini terjawab sudah, Lotter akan kembali ke Akademi Fantasia untuk meneruskan pengajiannya selama seminggu sebelum beraksi di Konsert Akhir, Sabtu depan.


Berada di kedudukan teratas sedikit pun tidak melekakan Rich. Beliau telah
memberikan sebuah persembahan yang mantap dengan penuh ekspresi menyampaikan lagu The Reason dengan baik sekali. Di penghujung persembahannya, Rich kelihatan menitiskan airmata. Rich nampak benar-benar selesa dan puas dengan lagu tersebut. Walaupun gagal di halangan terakhir sebelum dapat melangkah ke Konsert Akhir, setidak-tidaknya persembahan mantap itu ada hadiah hari lahir Rich untuk para peminatnya.

Zila tampil penuh bergaya dengan imej seorang wanita Melayu. Lengkap berbaju kurung dan bersampin, Zila menyampaikan lagu Bisikan Hati dengan penuh perasaan. Lagu dendangan asal Datin Rafeah Buang dipersembahkan dengan penuh penghayatan serta kawalan vokal yang meyakinkan. Menurut Adlin Aman Ramlie, Zila berkemampuan untuk menggantikan tempat Siti Nurhaliza satu hari nanti dan menjadi ikon irama tradisional yang disegani ramai.
Sejujurnya, saya tidak tengok kerana sibuk dengan hal lain yang lebih penting. Kalau ada pun tengok sambil lalu sahaja. Saya lebih banyak berseronok sahaja malam itu. Melayan karenah tenaga produksi yang semua mahu menghabiskan konsert ini dengan segera. Sekali-sekala mendapatkan kedudukan peratus undian terkini. Memang keramat perkataan AFMASUK ni ! Rakyat Malaysia sanggup berhabis untuk AFMASUK berbanding AFUNDI. Kalau undian AFMASUK dibenarkan untuk dibawa ke minggu akhir, pasti Juara AF4 milik Lotter, Naib Juara milik Rich, Tempat Ketiga milik Amirul, Tempat Keempat milik Faizal dan Tempat Kelima milik Diddy. Kalau saya kata, kalau ! Lepas sahaja Imbasan, semuanya sibuk berkemas untuk bertukar lokasi ke Stadium Putra Bukit Jalil pula.

Pilihan sultanmuzaffar
Zila - Bisikan Hati
Rich - The Reason
Diddy - Diari Seorang Lelaki
Karen - Jejaka Idaman
Lotter - Pria Terhebat
Salima - Nour El Chams
Nora - Berpaut Di Dahan Cinta
Amirul - Kurniaan Cinta

Budak ni ada Update. Budak yang selalu jadi penyebab. hahahaha

Entri oleh sultanmuzaffar 28 July 2006 0 komen

Diari Akademi Fantasia 09 07&08

Tidak sempat menonton minggu ini. Hanya sekejap-sekejap sahaja. Ada banyak panggilan telefon perlu dijawab. Sempat juga singgah menonton rakaman Diari Studio Satu Siti Nurhaliza. Orang kata sokongan untuk Siti semakin berkurangan, tetapi ramai juga yang hadir dalam rakaman tersebut.

Mungkin sedikit berbeza perasaannya. Jika dahulu saya masih boleh melayan perasaan perasan yang lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza adalah untuk diri sendiri. Lagu-lagu cintanya adakalanya mencipta fantasi sendiri. Tapi kini amat berbeza. Sudah tiada rahsia lagi yang lagu-lagu cinta itu ditujukan kepada Datuk K. Terbayang sahaja senyuman alim kucing Datuk K sudah cukup menghiris dada. (ketawa panjang)

Saya tabik dengan Siti Nurhaliza kerana menghabiskan rakamannya dengan satu take sahaja. Saya lebih suka kalau diulang seberapa banyak kali sekalipun.

Dalam Diari orang kata semua pelajar finalis telah mendapat lagu baru mereka kecuali Farhan. Velvet hanya dapat lirik. Satu permainan perang saraf yang bukan sahaja untuk mengumpan emosi Farhan yang masih menahan emosi marahnya, tetapi juga mampu mengumpan emosi penonton yang menyokongnya. Kalau penonton terpedaya, baguslah.

Bayangkan kalau kita berada di tempat Farhan, adakah kita masih boleh tersenyum ? Nampak benar Farhan masih menahan emosinya.

Dalam masa yang sama undian AFMASUK nampaknya menjadi. Persaingan antara Lotter dan Rich semakin ketara. Perubahan dua tempat teratas antara mereka amat mengejutkan. Rakan-rakan media juga tidak menyangka Rich akan cuba untuk memintas. Rata-rata mereka meramalkan Lotter mempunyai peluang yang cerah. Semuanya bergantung pada hari konsert.

Teruskan mengundi AFMASUK DIDDY. Kita kasi banyak pula undi untuk DIDDY ! Barulah $eronok $ikit ! Yang di ata$ pun ma$ih boleh diundi untuk kekalkan peratu$annya. Mungkin format tahun depan perlu diubah. Kalau ada. Kita perlu AFMASUKkan pelajar. Letak hadiah hebat-hebat untuk setiap minggu. Siapa yang dapat paling atas, dapat hadiah mingguan. Jadi persaingan untuk berada di atas lebih sengit dari persaingan untuk tidak berada di tempat paling bawah.

Tepat jam 12 tengahmalam 29 Julai, peratus undian AFMASUK tidak akan disiarkan. Peratus undian terkini untuk AFUNDI akan terus disiarkan seperti biasa. Kepada semua pengundi AFMASUK, sila pasang $trategi anda secepat mungkin. :)

Ejen016
Ada satu adegan dalam cerita ini yang saya nampak sebuah idea yang original. Bila Dr.Mat ditangkap, ada seekor monyet disebelah. Satu proses pemindahan minda telah dilakukan. Ternyata berjaya. Ada cerita yang lebih menarik berlaku selepas itu. Kalau sesiapa ada perasan yang suara dalam telefon bimbit macam berubah. Sebenarnya teknologi tersebut dinamakan Fun Voice dan ditawarkan oleh DiGi. Kita boleh tukar bunyi suara kita kepada yang menerima panggilan. Itulah cara iklan atau promosi produk yang betul. Dibuat dengan begitu subtle dan tidak terlalu pasar malam.

Ini juga bukan ulasan, sekadar cakap-cakap pendek. Ulasan hanya pada hari Ahad kerana saya perlu download untuk tonton cerita Ejen016 ini.

Teater Wangi Jadi Saksi
Sempat menonton semalam. Sempat juga bertemu dengan ramai kawan-kawan teater di sana. Abang Mamat Khalid tanya bila nak ulas Man Laksa. Tiap kali masuk blog, tak pernah ada pun review Man Laksa. Tak per, nanti saya beli VCD original dan ulas. Sibuk Akademi Fantasia ini memang semakin menyesakkan. Banyak perubahan saat akhir dan lebih-lebih lagi ada Konsert Fantasia Mawi secara langsung sehari selepas Konsert Akhir.

Antara pelakon yang terlibat ialah Vanidah Imran, Khalid Salleh, Dato' Rahim Razali, Khir Rahman, Sobri Anuar, Mohammad Shoffi Jikan dan Sabri Yunos.

Maklumat Teater Wangi Jadi Saksi
Tarikh Pementasan
27 Julai-6 Ogos 2006
Selasa-Ahad 8.30 pm
Sabtu-Ahad 3 pm

Tempat
Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka,
Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa,
Kuala Lumpur

Tiket
RM35, RM55, RM75, RM100

Ini bukan ulasan, sekadar promosi. Ulasan akan menyusul.

Entri oleh sultanmuzaffar 26 July 2006 0 komen

Maklumat Tiket Konsert Akhir Akademi Fantasia

Tarikh : 5 Ogos 2006/ Sabtu
Masa : 8.30PM (“Siaran Langsung” on Astro Ria and @15)
Tempat : Stadium Putra, Bukit Jalil

Harga Tiket :
Area Price Early Bird Specials
1) Arena seats $50 $35
2) Lower Tier $30 $20
3) Upper Tier $20 $10

Tiket akan mula dijual mulai 26 Julai 2006
Early Bird Specials adalah hanya UNTUK SATU HARI SAHAJA - 26 Julai 2006 (Rabu)

Tiket boleh didapati di :

1) Axcess Hotline : +603 7711 5000
2) Website : www.axcess.com.my
3) AXCESS Counter in KL, Penang, Johor Bahru and Ipoh.

Nota : Memang letih melayan panggilan telefon dan deringan SMS yang tidak henti-henti bertanyakan tentang tiket Konsert Akhir. Tidak kurang juga yang meminta tiket percuma. Anda semua harus ingat, kalau ada pun tiket percuma sudah pasti saya akan mendahulukan keluarga saya. Itu keutamaan saya sekarang.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Al-Fatihah

Semalam, seawal jam 11 pagi saya mendapat berita perginya hos rancangan Roda Impian, Hani Mohsin Hanafi. Benar-benar mengejutkan kerana rasanya baru minggu lepas berselisih dengannya sewaktu Sidang Akhbar Penyingkiran Lotter. Mungkin masanya untuk berehat sebentar sementara rakaman Roda Impian. Secara kebetulan, pada hari Isnin yang lalu saya mendapat semua indeks foto rakaman Roda Impian Raya Special yang dirakamkan pada 21 Julai. Semuanya berlaku secara kebetulan. Secara kebetulan juga, pada malam hari Isnin saya singgah ke Istana Budaya untuk latihan Puteri Gunung Ledang The Musical. Nampak tenang suasana malam tersebut walaupun suasana akan menjadi sedikit berbeza pada pagi hari Selasa. Yang membuatkan saya tersentuh apabila melihat akhbar-akhbar pagi ini bila masa bekas isteri arwah, Datin Seri Tiara Jacquelina bersama suaminya menguruskan segala urusan jenazah. Sungguh mulia hati mereka.

Roda Impian dihentikan buat sementara waktu sebagai menghormati pemergian Hani Mohsin Hanafi. Saya belum mendapat apa-apa perkhabaran berkenaan Puteri Gunung Ledang The Musical Encore Season setakat ini. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.

Entri oleh sultanmuzaffar 25 July 2006 0 komen

Diari Akademi Fantasia 09 01 & 02

Tanda-tanda blogger yang sibuk adalah apabila pembacanya mula bising tanya bila nak update ! Sorry lah. Memang sibuk sangat. Dah elok-elok pelajar ada empat orang, minggu ini bertambah semula menjadi 12. Dah elok-elok semua perancangan publisiti diatur untuk 8 orang pelajar, jadual mereka terpaksa diubah kerana pada jam 3 petang hingga 10 malam mereka perlu berada di Akademi. Dah elok-elok soalan hanya 50, bertambah menjadi 100. Mana ada kejutan yang tidak menyusahkan. Dan kejutan minggu lepas adalah salah satu daripadanya.

Lagu Tugasan Individu
Amirul - Kurniaan Cinta (Adifashla AF1)
Lotter - Pria Terhebat (Sheila On 7)
Diddy - Diari Seorang Lelaki (Pretty Ugly)
Salima - Nour El Chams (Pascale Machaalani)
Zila - Bisikan Hati (Siti Nurhaliza)
Rich - The Reason (Hoobastank)
Karen - Jejaka Idaman (Raja Ema)
Nora - Berpaut Di Dahan Cinta (Dayangku Intan)

Lagu Bonus (Finalis)
Hujan - Hail Amir & Uji Rashid
Tanda Kasih - Hail Amir & Uji Rashid
Hendak Ku Tanya Terasa Malu - Uji Rashid
Berilah Kasih Sayang - Uji Rashid

Sementara itu...


Ejen 016 : Sebuah Iklan Yang Panjang
Siapa yang ketinggalan episode pertama Ejen 016, jangan melepaskan peluang untuk menonton episode kedua dan seterusnya telemovie ini. Saya boleh sifatkan Ejen 016 sebagai sebuah iklan DiGi yang panjang. Macam kita pernah menonton filem Sepet yang orang kata iklan Petronas yang panjang.

Apa yang saya suka dengan telemovie ini ialah pertamanya kerana aspek fiksyen sain yang diserap dengan penggunaan teknologi terkini yang ditawarkan oleh DiGi. Keduanya adalah teknik fotografi yang agak kelam dan sedikit kabur. Kalau tersilap pandang, orang akan ingat ini adalah sebuah filem iklan. Kalau diperhatikan dari sudut-sudut rakamannya juga nampak tenaga produksi menggunakan sudut-sudut yang ternyata berbeza daripada telemovie sedia ada.

Saya nampak telemovie bersiri ini mula mencari identitinya dan ia perlu dikekalkan. Macam identiti telemovie Rashid Sibir yang mana warna merah dan jingga seakan menguasai sudut rakaman, telemovie ini mempunyai identitinya yang tersendiri.

Kalau pun Ejen 016 merupakan sebuah iklan DiGi yang panjang, ia dilakukan dengan baik. Penonton sekadar dihidangkan dengan konsep penggunaan teknologi yang ditawarkan oleh DiGi dan ia dilakukan secara subtle. Tidak terlalu pasar malam. Berbeza kalau kita menonton Diari Akademi Fantasia. Sudah macam pasaraya Giant kita tengok Akademi tempat budak-budak Akademi Fantasia belajar sekarang. Pusing situ ada roti Gardenia, pusing sini ada peralatan gimnasium Fitness First, pusing situ ada kerusi urut OSIM. Nak buat macam mana dah rancangan realiti tv pencarian bakat paling popular di Malaysia. Semua orang lah nak sponsor. Sama juga macam Wedding Of The Year yang akan berlangsung tidak lama lagi. Telah rasmi nampaknya hak penyiaran eksklusif menjadi milik TV3. Maka berduyun-duyunlah pengiklan akan masuk untuk memberi durian runtuh kepada TV3.

Ceritanya mudah sahaja. Ada gang baik dan ada gang jahat. Ada satu meteor terjatuh di Ulu Yam dan orang jahat mahu merebut batu tersebut untuk kuasa jahatnya. Gang baik pun ada tujuannya. Satu kelainan dalam aspek penceritaan yang saya tonton minggu lepas, saya paling suka dengan idea memindahkan pemikiran orang lain ke dalam tubuh orang lain.

Kalau siapa-siapa masih ingat lagi dengan XXRay, filem itu juga bercerita subjek yang sama. Kalau ada sesiapa yang membaca buku Projek 238 karya BH Amir juga bercerita di sekeliling topik tersebut. Tentu sahaja subjek fiksyen sain sememangnya menarik minat saya. Pengolahan cerita untuk Ejen 016 perlu dilakukan dengan lebih teliti agar ceritanya lebih padat dan bertepatan dengan konsepnya. Cepat dan pantas ! Dialog-dialog sinis banyak membantu penonton mendekati telemovie ini.Untuk mengetahui latar belakang watak dalam Ejen 016, anda boleh melayari Ejen016. Ejen 016 disiarkan pada hari Rabu jam 9.30 malam di TV3.

Entri oleh sultanmuzaffar 22 July 2006 0 komen

Konsert 08 Akademi Fantasia : One Shot ! Giliran Siapa Tersingkir Malam Ini ?

Aku dah start panas hati dekat budak-budak system yang jaga CMS website ! Kalau korang tengok kat Website Rasmi memang tiada update terbaru pasal sistem tu ada problem sejak semalam.

Hari ini aku tak dapat update Main Hightlight untuk beritahu penonton tentang Konsert malam ini. Dah pukul 3.30 petang dan bila aku klik Generate Page masih keluar perkataan keramat Page Not Found ! Dah beratus kali aku tekan refresh. Tak jugak keluar-keluar. Selalunya hari Sabtu aku akan update pukul 10 pagi-12 tengahari. Tapi bukan untuk hari ini. Lebih senang aku update blog guna Blogger dari aku guna system tu !!!!


Setelah lapan minggu mengharungi cabaran sebagai pelajar Akademi Fantasia dengan kesunyian melanda Akademi sejak ketiadaan Lotter, giliran siapa pula yang bakal tersingkir pada Konsert 08 Akademi Fantasia yang akan dipancarkan secara langsung dari Dewan Siviks MBPJ, Petaling Jaya malam ini jam 8.30 malam di Astro RIA.

Lima pelajar yang akan mempersembahkan tugasan mereka ialah Amirul
dengan lagu Jatuh (Adam AF2), Faizal - Smells Like Teen Spirit (Nirvana), Farhan - Emosi (Sheila Majid), Haziq - I Need To Know (Marc Anthony) dan Velvet - Penantian (Harmoni) serta tiga lagu bonus iaitu Aku Sudah Jatuh Hati (Norsheila Amin), Cinta (Melly Goeslow & Kris Dayanti) dan Bila Rindu (Ruffedge).

Debaran belum pernah terhenti dan jari anda akan digalas tanggungjawab untuk menjadi juri. Jalankan tanggungjawab anda mengundi pelajar kesayangan anda untuk meneruskan harapan dan impian mereka di Akademi Fantasia. Jangan ketinggalan untuk berhadapan dengan sebarang kejutan malam ini !
Kalau tanya budak-budak system ni, mereka tak boleh buat apa pasal hari Sabtu dan Ahad. Kononnya mereka tak kerja hari Sabtu dan Ahad. Habis tu, kalau orang macam aku yang kena kerja hari Sabtu dan Ahad tak pulak diorang pikir. Takkan lah update tentang Konsert nak update hanya pada hari Isnin. Memang saja nak bagi aku mati lah tu ! Pukul 6 petang masalah tak settle lagi, tahulah aku forward SMS tu ke serata pelusuk alam. Bab kerja jangan buat main dengan aku ! Terkini : Jam 4.30 petang : Masalah Generate Page dapat diselesaikan. Aku akan tengok apa pula yang akan jadi malam ini. Kalau masalah sama juga, tahu lah aku tembak email hari Isnin ni !

Ada sebab kenapa aku panas hati betul. Tak payah lah beritahu. Kalau nak jadi hari-hari biasa lain cerita, ini jadi masa hari Sabtu. Bukan Sabtu yang biasa pulak tu.

Semalam aku pergi tengok rehearsal pun dah penghujung. Memang stress gila semalam. Itu yang aku pergi lepak makan malam dulu sebelum pergi rehearsal. Aku dah malas nak tengok pun, tunggu saja malam ini.

Nota : Siapa yang dapat tiket konsert malam ni, baiklah korang datang awal atau tepat pada masanya. Hari ini aku bad mood !!!

Kemaskini Selepas Konsert
Yay ! Mood dah kembali OK bila Faizal buat persembahan paling meletup ! Tentu sekarang anda semua dah tahu kenapa saya agak bad mood hari ini. Pertamanya ialah pasal kejutan-kejutan yang memang akan dilakukan pada minit-minit terakhir. Bila ada kejutan yang melibatkan terma dan syarat, sumber rujukan penonton adalah di laman web. Sekiranya laman web tidak dikemaskinikan dengan maklumat-maklumat terkini, yang menjadi sasaran adalah saya. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar, walaupun dah sampai keluar kredit pada penghujung konsert namun AFMASUK masih tidak diumumkan lagi. Dalam kepala saya terfikir, mereka ni mainkan aku ke ?

Dalam masa-masa genting seperti hari Sabtu itu, saya perlu memastikan kedudukan peratus undian AFUNDI dan AFMASUK disiarkan mulai jam 12 tengahmalam. Dalam waktu-waktu genting itulah, sistem buat hal. Mana lah saya tak angin satu badan. Dalam waktu-waktu genting itulah, sistem tak boleh generate page Highlights. Kosong je. Takkan nak biarkan pada Diari 80 setelah Konsert 08 berakhir dan Amirul tersingkir ? Lebih-lebih lagi, ada pengumuman AFMASUK yang perlu diberikan tumpuan yang lebih. Macam sekarang, kedudukan peratus undian AFMASUK, hanya ada di website rasmi. Kat tempat lain tiada. Mahu tidak mahu, masalah tersebut perlu diselesaikan secepat mungkin.

Bila bercakap tentang kejutan, saya akui AFMASUK merupakan kitar semula dari musim kedua. Kaedah pelaksanaannya musim ini agak berbeza. Dan tidak ada satu mana-mana sumber sekali pun yang pernah mencadangkan Konsert 08 sebagai konsert penyingkiran terakhir. Jika ada mana-mana sumber yang mengakuinya, ia adalah sekadar angan-angan penuh berangan sumber tersebut. Sayang sekali cadangan atau ramalan mereka tidak menjadi kenyataan. Teruskanlah berangan ya.

Konsert 09 akan menjadi Konsert AFMASUK dan empat pelajar yang telah terpilih ke Konsert Akhir akan hanya membuat persembahan berkumpulan. Itu sahaja. Tempoh undian AFMASUK juga lebih panjang musim ini. Saya melihat trend pada musim penonton lebih suka untuk menonton persembahan pelajar dahulu dan kemudiannya mengundi. Mereka tidak mengundi berdasarkan prestasi pelajar dalam tempoh seminggu melalui Diari tetapi menunggu sehingga persembahan pelajar di Konsert. Pertamanya adalah kerana personaliti pelajar yang kosong dan tidak banyak yang dapat diberikan perhatian melalui Diari. Keduanya adalah kerana penonton mungkin sudah tahu menilai persembahan mana yang harus diberikan undian.

Dalam tempoh seminggu ini undian AFMASUK dan AFUNDI akan berjalan dengan serentak. Pemenang AFMASUK akan meneruskan pengajian mereka pada minggu ke-10 tanpa undian dan harus mengejar peratus AFUNDI yang telah masuk selama seminggu pada minggu 09. Secara tidak langsung dapat menyeimbangkan keadilan antara empat pelajar Konsert Akhir dan Pelajar AFMASUK.

Selagi namanya pelajar AFMASUK, saya lebih suka sekiranya beliau hanya mendapat tempat kelima kerana sekiranya beliau berjaya mendapat tempat yang lebih tinggi daripada itu, saya melihat ianya seakan-akan merompak peluang pelajar lain. Tetapi jika sudah dinamakan rezeki, tiada siapa yang mampu menghalangnya.

Pelajar AFMASUK akan menjejakkan kaki mereka semula ke Akademi Fantasia pada waktu yang berbeza dengan pelajar Konsert Akhir untuk mengelakkan sebarang komunikasi. Ini bermakna melalui Diari, penonton akan berpeluang untuk melihat kembali 12 orang pelajar dengan personaliti yang pelbagai (jika ada).

Katakanlah Diddy menang untuk AFMASUK, maka pada minggu ke 10, undiannya adalah 0%. Memang sukar untuk mengejar tetapi Linda dulu mampu mengejar dan meraih kedudukan tempat Kedua. Ajaib. Tapi kalau ada yang mahu mengundi, undi sajalah. Sudah namanya Akademi Fantasia. Penonton akan undi berdasarkan bakat dan personaliti. Walaupun ada yang masih kabur dengan konsep Akademi Fantasia, moga Tuhan akan membuka mata mereka. InsyaAllah.

Persembahan Pelajar
Pelajar AF4 - Aku Sudah Jatuh Hati

Sebuah persembahan yang biasa tetapi saya suka tengok mereka menari. Nampak ada keserasian antara mereka. Koreografi untuk lagu ini pun agak menarik.Lagu pun tidak begitu sukar dan lebih kepada happy mode, maka pelajar lebih tenang membuat persembahan.

Farhan - Emosi
Secara jujur saya sudah bosan dengan gaya persembahannya. Sama sahaja setiap minggu. Farhan mempunyai mutu vokal yang bagus tetapi masih malas untuk menyerlahkannya. Dia nak tunggu Konsert Akhir agaknya baru nak keluarkan semua. Emosi lagu tersebut kosong. Satu kelebihan Farhan, saya lebih menyukai gaya nyanyiannya berbanding Sheila Majid. Terkejut ? Nampak banyak benar bezanya. Itu sebab saya kata dia ada vokal tetapi emosi kosong. Lebih-lebih lagi dimulakan dengan aksi membuka kasut.

Haziq - I Need To Know
Siapa sangka kan ? Saya sendiri pun tidak sangka. Dalam perkiraan saya, saya menjangka persembahan Faizal dan Haziq boleh diletakkan paling bawah kerana sukar meyakini saya pada minggu-minggu di Diari untuk tertarik dengan penyampaiannya. Sudah saya katakan, ini Akademi Fantasia. Haziq memang arif bab irama tradisional dan jika dapat lagu tersebut, dia mesti hebat. Saya tidak terkejut kalau dia mampu menyampaikan lagu irama tradisional dengan baik sekali kerana itu makanan dia. Tetapi ini Akademi Fantasia, kelainan dan kematangan mengharungi cabaran membawakan lagu-lagu yang bukan pilihan mereka itulah yang ingin kita dengar dan lihat. Haziq telah berjaya dan Faizal harus belajar menari dari Haziq. Jika Haziq mampu melalukan sesuatu, Faizal juga harus boleh. Rasional diletakkan klip video kritikan dari Lotter ? Kalau ada yang mengatakan tidak perlu, lebih baik anda tengok sahaja Bintang RTM yang seratus peratus bersandarkan mutu vokal.

Velvet - Penantian
Lagu Penantian memang sedap di tangan Velvet. Saya akui kata Adlin yang Velvet agak terlebih dalam persembahannya. Lagu yang amat puitis ini sepatutnya disampaikan dengan bersahaja tanpa perlu cuba menyampaikan dengan nada-nada tinggi yang agak membingitkan. Kalau Velvet lebih relax dalam nyanyiannya pasti akan lebih menarik dan penghayatannya lebih sampai kepada penonton.

Amirul - Jatuh
Antara lagu Adam yang saya suka. Sayang sekali Amirul gagal melaksanakan tugasannya dengan baik. Terkejut juga apabila Amirul tersingkir kerana beliau merupakan antara penyumbang undian yang agak tinggi. Benarlah tekaan saya yang penonton musim ini lebih menilai persembahan pelajar. Amirul sememangnya tidak layak mendapat undian dengan persembahan seperti itu. Kefli dulu membawakan lagu Berhenti Berharap tidaklah sebagus mana, tetapi penghayatannya meletup. Itu sebab undiannya tinggi. Lagu Jatuh persembahan Amirul kosong penghayatan dan kosong vokal.

Faizal - Smells Like Teen Spirit
Saya bukan pakar vokal dan Akademi Fantasia sekali lagi diingatkan adalah seimbang antara vokal, personaliti dan bakat. Saya melihat persembahan Faizal antara persembahan yang penuh jiwa dan disampaikan dengan penuh perasaan. Kekuatan melodi lagu tersebut sudah cukup untuk menguja penonton, lebih-lebih lagi makcik bertudung kuning. Jangan ingat Mawi sahaja ada fanatik makcik bertudung, Faizal pun ada juga. Aksinya melompat dari pentas, tidak lah begitu mengejutkan. Saya paling suka apabila pada bahagian perlahan cara dia petik gitar pun perlahan sama. Bila bunyi rancak, dia pun rancak juga. Macam separuh sedar saja Faizal semalam. Aksi terhuyung-hayang Faizal antara yang unik dalam Akademi Fantasia. Memang meletup dewan dibuatnya walaupun ada yang buat muka blur tidak mahu menerima kenyataan.

Farhan & Velvet - Cinta
Peperangan vokal antara Velvet dan Farhan dan saya lebih tertarik dengan vokal Velvet. Saya melihat Velvet menang peperangan ini. Macam yang saya cakap, emosi Farhan kosong. Selagi dia tahan emosinya, selagi itulah persembahannya kosong. Farhan jaguh vokal tetapi cacat emosi. Sayang sekali. Gaya nyanyian Velvet lebih menyerlah berbanding Farhan. Lagu indah tersebut disampaikan dengan baik oleh mereka dan melengkapkan malam tersebut. Antara gandingan vokal yang serasi dan lagu tersebut menjadi lebih indah. Kalau mahu dibandingkan gandingan Jac dan Misha Omar, saya akan memilih gandingan Velvet dan Farhan.

Pelajar AF4 - Bila Rindu
Sedih kan ? Biasalah drama. Akademi Fantasia kalau tiada drama mana best. Yang selalu komen pun adakalanya lebih drama queen dari drama Akademi Fantasia. Lagi mahu komen. Sebelum persembahan ditayangkan klip paling menarik dalam sejarah Akademi Fantasia musim ini. Bukan untuk penonton sebenarnya, tetapi untuk pelajar. Selama hari ini pelajar lain menyangka Faizal bermimpi dan tidak mempercayai apa yang diperkatakan oleh Faizal dan semalam Haziq, Velvet, Farhan dan Amirul mendapat jawapannya. Tetapi ada juga penonton yang terlebih emosi walaupun klip tersebut bukan untuk mereka. Apa kita panggil tu ? Drama queen kan ? Sabar sajalah. Saya sudah jangka yang klip tersebut akan ditayangkan. Ianya amat penting untuk memaut sentimen perasaan kepada penonton. Elemen itu penting untuk Akademi Fantasia.

Amirul akhirnya tersingkir. Saya rasa Haziq tetapi persembahan Haziq hebat malam tadi. Jadi penyingkiran lebih terbuka. Memang sesuai pun Amirul tersingkir kerana persembahan dia malam tadi memang tidak bagus. Amirul ada kelebihan tetapi tidak dipergunakan dengan sebaiknya. Sayang sekali. Setelah Amirul meninggalkan Akademi Fantasia, program pun tamat. Ah ! Sudah ! Kata ada AFMASUK bila pula diorang nak umumkan ni ?? Mungkin diorang akan umumkan dalam Imbasan. Saya dah tak senang duduk dah. Ada lima minit lagi. Aznil kembali dan mengumumkan empat pelajar yang berjaya ke Konsert Akhir. Pheww ! Nasib baik ! Satu kejutan yang diumumkan pada saat-saat genting yang mampu membuatkan saya sendiri tidak senang duduk memikirkan bilakah pengumuman AFMASUK akan dibuat. Kejutan mengumumkan senarai empat pelajar ke Konsert Final juga tidak begitu mengejutkan cuma jika tidak kena gaya, Haziq pasti boleh jatuh pengsan. Mujur Aznil cepat memberikan jawapannya. Keempat-empat berjaya ke Konsert Akhir dan milik siapa bagasi misteri itu ? Saya lega kerana AFMASUK akhirnya diumumkan. Terus segera saya ke sistem untuk memasukkan nama Amirul dan nombor talian tetapnya ke dalam senarai AFMASUK. Mujur sistem berfungsi dengan baik dan mood kembali seperti sedia kala. Alhamdulillah.

Pilihan sultanmuzaffar
Smells Like Teen Spirit - Faizal
Cinta - Velvet & Farhan
I Need To Know - Haziq
Bila Rindu - Pelajar AF4
Penantian - Velvet
Aku Sudah Jatuh Hati - Pelajar AF4
Emosi - Farhan
Jatuh - Amirul

AFMASUK Terkini
Nama Peratus
Lotter 45%
Amirul 21%
Rich 13%
Diddy 11%
Zila 6%
Salima 2%
Karen 1%
Nora 1%

Hebat benar Lotter berada di atas dan terus kekal di atas. Amirul mengekori dengan 21% dan Rich sudah memintas Diddy dengan masing-masing 13% dan 11%. Saya menyarankan anda memilih dengan bijak. Jika anda memilih berdasarkan vokal, Diddy adalah pelajar yang paling layak untuk meneruskan cabaran di Konsert Akhir. Sekiranya anda memilih berdasarkan personaliti, Lotter adalah pelajar yang paling layak dipilih. Ini Akademi Fantasia, pilihan di tangan anda. Saya mengAFMASUK DIDDY dan LOTTER, tetapi DIDDY lebih sikit.

AFUNDI
Nama Peratus
Faizal 42%
Velvet 22%
Farhan 21%
Haziq 15%

Sementara itu carta AFUNDI, Faizal masih mendahului dengan 42% dan diikuti oleh Velvet dengan 22%. Agak jauh tetapi semuanya bergantung kepada persembahan konsert. Dan kini rata-rata para peminat sudah mula menyerang talian undian untuk memastikan pelajar kesayangan mereka menang. Kalau ada persembahan yang lebih meletup di Konsert Akhir, InsyaAllah kedudukan akan berubah. Mana tahu, ia akan berkekalan. Jika saya, saya mengAFUNDI FAIZAL dan VELVET !

Entri oleh sultanmuzaffar 19 July 2006 0 komen

Diari Akademi 08 05 & 06

Yang mahu tidur, biarkan mereka tidur. Tidak ada siapa pun yang melarang.

Saya dapat rasakan persahabatan yang terjalin antara Faizal dan Lotter. Dua hari yang lepas Lotter cuba untuk menyembunyikan perasaan sedihnya. Tetapi hari ini dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih itu. Kalau ikut rasa hati, memang saya mahu sahaja berada di Akademi pada waktu kunjungan Lotter tetapi memandangkan ia berlangsung pada waktu jalan tengah sesak, saya terpaksa melupakan hasrat tersebut.

Berbual dengan penulis sahaja sudah cukup membuatkan saya sedikit sebak dan menjadi lebih sebak apabila menontonnya tadi. Saya tersentuh apabila Faizal mengetuk speaker apabila suara Lotter terdiam. Butir-butir apa yang diperkatakan juga nampak begitu jujur. Lotter sudah berada di Akademi tetapi mengikut perjanjian yang telah dibuat, dia tidak dibenarkan masuk. Hanya sekadar berada di Bilik Audio. Sesekali terdengar suara sebak Lotter. Memang touching ! Memang nampak seakan Faizal dipermainkan dengan audio Lotter itu. Apabila Faizal memanggil rakan-rakannya yang lain tetapi Lotter tidak bersuara. Apabila diam yang panjang itu sebenarnya terjadi apabila Lotter tidak dapat meneruskan kata-katanya. Walaupun Haziq mengatakan ini semua sekadar membuang masa, sebenarnya tidur lagi membuang masa. Farhan nampak terpinga-pinga mungkin memikirkan apa pula yang telah merasuk Faizal. Velvet dan Amirul setia menanti. Walaupun sekejap peluang itu diberikan, hanya Faizal sahaja yang dapat mendengar suara tersebut.

Saya merasakan setelah 8 minggu, inilah episod Diari yang terbaik setakat ini. Di dalamnya ada cahaya persahabatan yang kukuh. Di dalamnya ada titik kebingungan. Di dalamnya ada sifat lurus. Di dalamnya ada senyum sindir. Di dalamnya ada yang setia menanti. Di dalamnya ada perkataan yang menghiris.

Penyokong Lotter boleh meneruskan sokongan mereka terhadap Faizal kerana di situ ada satu titik persahabatan yang penuh emosi.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Tanda-Tanda Anda Peminat Fanatik Siti Nurhaliza

Musim-musim yang lepas, saya akan menyenaraikan Tanda-Tanda ini khusus kepada topik Akademi Fantasia, Mawi atau yang berkaitan. Memandangkan musim ini tiada topik menarik berkenaan Akademi Fantasia, terpaksalah saya menggunakan topik Siti Nurhaliza sebagai bahan untuk entri ini.

1. Menghafal setiap lagunya termasuklah Cuti Cuti Malaysia dan Budi Bahasa Amalan Kita.
2. Sanggup mengaku andalah bapa/ibu sebenar Siti Nurhaliza itupun setelah Siti menjadi jutawan.
3. Sanggup terbang ke London untuk menjadi antara orang Melayu yang menonton Konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London.
4. Tiba-tiba anda menjadi peminat setia Dr.Fazley.
5. Tidak kisah jika Siti Nurhaliza memilih Mawi kerana dua-dua sama-sama jutawan.
6. Tidak pernah miss sebarang Konsert besar yang melibatkan Siti Nurhaliza. London, Bukit Jalil, Singapura, Indonesia...mana sahaja.
7. Membuat checklist perkara-perkara yang perlu diketahui sebelum perkahwinan Siti Nurhaliza.
8. Berkeras memastikan senarai tersebut bertanda 100%.
9. Masih dalam mode in-denial selagi anda tidak melihat dengan mata sendiri, Datuk K lah yang menjabat tangan Tok Kadi.
10. Anda masih ingin mengetahui tentangnya walaupun pilihannya bukan pilihan anda. Sheila Majid pernah melakukan yang sama bila memilih Roslan Aziz, tetapi sehingga kini saya masih meminatinya.
11. Termimpi-mimpi apakah gaun pengantin yang akan dipakai oleh Siti Nurhaliza nanti.
12. Currently listening to Transkripsi kekal selama 2 bulan lebih hingga menyebabkan artis-artis lain tidak boleh cari makan.
13. Poster Transkripsi dikekalkan walaupun ada desakan untuk menurunkan poster tersebut.
14. Tiada sebarang perubahan akan dilakukan pada animated banner. Hanya gambar Siti Nurhaliza akan terus dikekalkan, tidak akan ditambah foto Datuk K.
15. Teringin membeli Honda City model baru agar dapat merasa memandu City.

Ada lagi ?

Hari ini merupakan hari entri saya di moNSTerblog. Topik yang lebih kurang iaitu Siti Nurhaliza dan Puteri Gunung Ledang ! Seronok jadi moonlighting masa-masa begini. Penat tapi Puas ! Malam ini juga merupakan tayangan episod pertama Ejen016 di TV3 pada jam 9.30 malam. Nak juga tengok apa orang lain nak tulis tentang program ni. Apakah akan berubah angin atau berubah gaya ?

Entri oleh sultanmuzaffar 17 July 2006 0 komen

Diari Akademi Fantasia 08 01 & 02

Satu hari bersama Lotter memang melucukan. Dari Prelude saya sudah lihat kelucuan beliau. Hari ini sibuk menyemak komen-komen dari peminat Siti Nurhaliza dan tidak kurang yang anti Siti Nurhaliza. Bukan selalu dapat buat posting Scoop Of The Year. Itu yang menderu pembaca-pembaca baru yang datang berkunjung. Masalah Trojan yang ada di blog ini sedang cuba dikenalpasti. Saya pun beberapa kali terkena, tapi tidak tahu bagaimana untuk membuangnya. Jika ada cerdik-cerdik IT di sini yang tahu bagaimana untuk membuangnya, silalah beritahu.

Sunyi ?

Lagu Tugasan Minggu 8
Amirul
- Jatuh (Adam AF2)
Faizal - Smells Like Teen Spirit (Nirvana)
Farhan - Emosi (Sheila Majid)
Haziq - I Need To Know (Marc Anthony)
Velvet - Penantian (Harmoni)
Lagu Bonus
Aku Sudah Jatuh Cinta (Norsheila Amin)
Cinta (Melly Goeslow & Kris Dayanti)
Bila Rindu (Ruffedge)

Komen dan Perasaan atau lebih tepat perasan tentang pengumuman Siti Nurhaliza
Beberapa bulan yang dulu saya dalam mode in-denial. Kata saya selagi saya tak nampak Datuk K tu jabat tangan Tok Kadi, selagi itulah saya tak akan percaya. Dari situlah timbul fantasi-fantasi Cinderella dan Prince Charmingnya. Kalau dah Cinderella, mestilah kita mahukan seorang Prince Charming datang menjemput seorang puteri. Waktu kecil-kecil dahulu memang saya sudah disogokkan dengan cerita-cerita fantasi sebegitu. Dah tua-tua ni pun masih berfantasi tetapi dengan Akademi Fantasia lah. Lama-kelamaan, cerita sebenar semakin terbongkar kerana berkawan rapat dengan beberapa wartawan. Sukar untuk menerima, tetapi jika itu sudah pilihannya sebagai peminat saya kena terima walaupun pedih. Chewah ! Kalau ada yang nak bungkus semua album-album Siti dan mahu memulangkan semula (eh ! ini cerita lain) gambar-gambar Siti yang telah dibeli, ia adalah satu tindakan peminat yang tidak matang. Seingat saya setelah 11 tahun bersama Siti Nurhaliza, peminat sepatutnya sudah lama matang. Kalau masuk sekolah, dah boleh Darjah Lima dah. Dah boleh ambil Peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Kalau ada peminat yang tidak matang, apa boleh buat. Sudah tertulis begitu. Ya benar, Siti Nurhaliza hak masyarakat tetapi hal peribadinya masih di luar bidang kuasa kita. Saya mula tertarik padanya sejak album EMAS dan akan terus meminatinya sampai bila-bila kerana dia istimewa. Eh ! Macam komen Datuk K pulak !

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

MoNSTerblog Muncul !

Saya dan beberapa orang rakan-rakan baru saya terpampang di muka 16 NST Sabtu lepas. Projek usahasama antara NST dan Jaring ini sudah mula beroperasi dengan nama moNSTerblog dan boleh diakses di http://www.monsterblog.com.my !

NST merupakan akhbar berbahasa Inggeris yang utama di Malaysia dan bergabung dengan bantuan Jaring, perintis penyedia servis internet telah menghasilkan MONSTERBLOG yang mempunyai matlamat untuk melangkaui kaedah tradisional yang digunapakai sekarang kepada satu kaedah holistik kepada para pengguna internet.

Penggunaan akhbar kini boleh dilihat sebagai agak jauh ke belakang dan internet menjadi pelengkap untuk kedua-duanya. Maklumbalas terhadap satu-satu artikel agak lambat dan ini berbeza dengan penggunaan internet, lebih-lebih lagi penggunaan blog.

Projek ini disertai oleh kalangan penulis blog yang dikenali di kalangan kelompok pembaca mereka yang tersendiri. Sekiranya anda berminat untuk membaca tentang kereta, Paul Tan adalah blog yang perlu anda serang. Shaolin Tiger banyak berbicara tentang pelancongan, fotografi dan sebagainya. Namun demikian saya agak terkilan apabila perintis projek ini iaitu Mack Zulkifli tidak turut serta kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Tamatlah Segala Spekulasi

Berbicara tentang bagaimana internet mampu melangkaui kuasa akhbar. Hari ini merupakan hari yang penting buat industri hiburan Malaysia. Pada hari ini pada jam 12.00 tengahari akan berlangsung Sidang Media Khas Siti Nurhaliza. Ya ! Terimalah hakikat tersebut. Maka tamatlah sebarang gosip atau cakap-cakap yang melibatkan nama-nama yang berlegar dalam minda saya mahu pun para wartawan. Siapa lelaki pilihan Siti Nurhaliza akan terjawab tengahari ini. Orangnya tidak lain dan tidak bukan Datuk Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K.

Majlis Pernikahan akan berlangsung pada 21 Ogos 2006 bersempena dengan Hari Isra'Mikraj di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala Majlis Persandingan akan diadakan pada 28 Ogos berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre. Pada jam 5 hingga 6 petang hari yang sama merupakan sesi Siti Nurhaliza dan pasangan bersama peminat.

Majlis Resepsi di Kuala Lipis akan berlangsung pada 3 September 2006. Dato' Shah Reza merupakan Perancang Majlis tersebut yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman. Konsep hantaran pula menampilkan elemen-elemen tradisional dan sulaman tekad.

Pereka busana pengantin ialah Michael Ong, Radzuan Radzwil, Khoon Hooi dan Embun dari Malaysia. Manakala seorang pereka dari Indonesia turut terpilih. Namanya biarlah saya rahsiakan dahulu kerana berdasarkan laporan akhbar semua laporan adalah silap. Saya harus menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat pada jam 12 tengahari. Macam AF juga, kena tunggu kejutan dan disiarkan, baru boleh ditulis. Ok lah, namanya Anna Avanti.

Jurusolek yang akan ditugaskan untuk menata wajah Siti Nurhaliza ialah Nurul Shukur yang sememangnya amat sinonim dengan Siti Nurhaliza dan seorang jurusolek dari Indonesia yang sering menata ajah Kris Dayanti iaitu Mia.

Wang hantaran diberikan dalam bentuk barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000. Rasionalnya harga barang kemas tidak ditetapkan kerana harganya boleh berubah-ubah dan tidak diletakkan nilai sebenar pada barangan tersebut. Secara zahirnya, umum sebenarnya tidak mengetahui berapakah nilai hantaran yang sebenarnya, hanya anggaran berdasarkan nilai sebenar barang kemas.

Tamatlah segala spekulasi. Kini tiada rahsia lagi. Bagaimana saya boleh tahu tentang berita ini lebih cepat ? Biarlah Rahsia...