Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 15 (Kazakhstan: Syhmkent)

Image Hosted by ImageShack.us

Syhmkent, adalah ibu kota ketiga terbesar di Kazakhstan, selepas Almaty dan Astana. Dengan kepadatan penduduk melebihi satu juta orang, majoriti daripada mereka adalah beragama Islam.

Kesibukan suasana di Syhmkent dari pagi hingga ke lewat malam menghangatkan lagi suasana dengan gelagat anak-anak muda berpelesaran di pusat-pusat hiburan. Malah, ada di kalangan mereka menyambut kehadiran kami dengan ramah.

Di daerah Turkistan, terdapat sebuah makam dikenali sebagai Makam Khodja Ahmed Yassavi. Ia adalah sebuah makam seorang ahli Sufi, di mana dia menyebarkan karya-karya puisi berunsur kecintaan kepada ketuhanan, dan sesama manusia.

Tidak jauh dari makam tersebut, kami menziarahi sebuah rumah yang didiami oleh seorang warga emas.

nota sultanmuzaffar : Rasa diri terlalu kecil apabila berada di hadapan semua pencinta-pencinta filem dan drama tanahair. Mereka berbicara dari satu topik ke satu topik tentang drama dan filem tidak henti-henti. Rasanya lebih senang duduk semeja dengan khalayak filem atau drama yang masih belum mengecap apa erti populariti. Mereka lebih senang didekati. Mereka boleh dikategorikan sebagai berbakat tetapi belum popular atau pun berbakat tetapi tidak popular. Mujur lah bukannya popular tetapi tidak berbakat. Adakalanya menjadi lebih seronok apabila mengingati yang kita pernah berada di lokasi pengambaran untuk drama mereka yang pertama dan hari ini mereka bercerita tentang drama-drama yang telah mereka siapkan. Menjadi lebih manis bila kita menjadi saksi entri pertama blog yang pernah dibina dan hari ini kita menyaksikan kita sama-sama berbicara tentang projek skrip drama dan filem untuk masa akan datang. Inikah yang dimaksudkan kejayaan ? Belum. Ini baru sekadar mimpi. Walaupun dalam mimpi itu kita akan hanya menemui kebahagian.

Dapatkan Nada Dering Pemanggil! Hanya di METAMOBILE

Entri oleh sultanmuzaffar 13 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 14 (Uzbekistan: Bukhara)

Image Hosted by ImageShack.us

Di pertengahan Samarkand ke Bukhara, terdapat juga sebuah makam yang dipercayai Makam Nabi Daud, terletak sejauh 40 km dari Samarkand.

Kami terpaksa merentasi kawasan pergunungan untuk sampai ke puncak dengan menunggang kuda. Menurut maklumat dari penduduk, di situlah Nabi Daud disemadikan yang tertutup dengan celah batu di dalam sebuah gua.

Di Bukhara, kami berpeluang melihat seni bina Islam yang menempatkan empat Bakar, iaitu ‘Chor Bakr’. Ia adalah sebuah makam bagi empat Bakar, sekumpulan pendakwah dipercayai dari keturunan Nabi Muhammad s.a.w, yang menjadikan Bukhara sebagai tempat pendakwahan dan penyebaran agama Islam.

nota sultanmuzaffar : Sekali lagi saya keluar berbuka puasa di luar. Saya tidak sempat menonton Ziarah. Cuma sempat menonton Seputih Qaseh Ramadhan. Kali ini memenuhi undangan The Red Kebaya. Filem ini akan mula ditayangkan pada 23 November ini. Saya tergamam sebentar dengan reaksi yang ditunjukkan oleh para pelakon, tenaga produksi, pengarah filem itu sendiri terhadap bahan di blog saya. Saya kehilangan kata-kata. Lebih kelu bila duduk bersebelahan dan berbual bersama Samantha Shubert dan Kate James (penyunting untuk PGL versi filem)!! Apa yang berlaku di sana biarlah mereka yang hadir sahaja yang tahu. Ramai juga kawan-kawan saya yang ada sama dan duduk semeja bersama. Antaranya Isma Yusoff, Nizam Zakaria, Malique, Kash Ed, Muid Latif, TVSmith, Suanie dan beberapa rakan media yang saya kenali sebelum ini. Disambut oleh Sandra Sodhy yang bertindak sebagai publicist pada malam itu. Beliau saya kenali melalui Mat Gelap dan teater Hip Hopera. Saya beli soundtrack teater tersebut kerana saya amat suka dengan teater (lagunya juga) itu. Afdlin Shauki pun berlakon dalam teater tu. Zaman Afdlin kurus lagi. hahaha.

Malam tadi sahaja saya terima dua undangan. Saya harus buat keputusan. Antara The Red Kebaya dan Cicakman. Saya memilih The Red Kebaya. Sebuah filem Malaysia yang berbahasa Inggeris hampir keseluruhan perjalanan ceritanya dan diarahkan oleh seorang Mat Salleh. Tidak banyak yang boleh saya perkatakan. Tunggu saja pada 14 November ini bila tayangan media diadakan. Saya juga mahu ke Gala Premiere itu pun jika saya masih belum terbang ke Singapura untuk Puteri Gunung Ledang The Musical : Esplanade Experience. (YES !! Dah siap !)

Kenapa saya ternanti-nantikan filem ini ? Pertama Ramli Hassan. Kedua Vanida Imran. Kedua-duanya merupakan pelakon teater yang dikagumi. Ramli saya tonton dalam Rashomon dan Rubiah. Vanida Imran melalui filem Perempuan Melayu Terakhir, teater Anugerah, pelbagai versi teater Lantai T.Pinkie. Saya mahu melihat Vanida Imran kembali ke dunia lakonan filem yang benar-benar memukau. Selepas PMT, Vanida seakan hilang punca dalam lakonan filem. Saya berharap benar kalau-kalau TRK dapat menyinarkan kembali Vanida Imran.

Sebelum ke majlis tersebut, saya sempat singgah di KLCC. Buat pertama kalinya saya mahu menjadi BadrulAfterSix. Saya mahu merasai sendiri bagaimana nikmatnya membeli-belah di Raoul. Saya pernah menjejakkan kaki sekali ke Raoul, sekadar menjadi penonton. Tadi saya beli sehelai. Harganya memang menakutkan. Itulah sekali sahaja kerana saya singgah sebentar di Raoul hanya sekadar ingin merasa nikmatnya bukan untuk menjadikannya tabiat. Sehelai baju kalau harganya lebih dari RM199 memang saya dah rasa amat mahal. Saya memang berkira orangnya. Lebih-lebih lagi untuk diri sendiri. hahaha

Singgah pula di Outlet Nokia. Saya memang menghadapi masalah besar dengan memori telefon bimbit saya. Saya perlu menaiktarafkan memori telefon bimbit itu. Saya beli 1GB. Selesai majlis The Red Kebaya, saya hantar Nizam di KLCC. Singgap minum di KLCC. Aduuuh...cerita sama yang diulang lagi dan amat membosankan. Saya hanya mampu tersenyum kerana saya sendiri tidak pasti bilakah ia akan berakhir. Kalau tidak berakhir sekalipun, saya sudah melangkahkan dua-dua belah kaki saya di sini. Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan...biarkan...biarkan...

Sebelum terlupa, jangan betulkan monitor anda kerana memang ada masalah dengan domain name untuk hosting saya. Kerana kesibukan yang terlampau, saya terlupa untuk memperbaharui servis tersebut. Mujur sekadar digantung. Tadi sudah buat pembayaran melalui Maybank2U, InsyaAllah menjelang pagi pasti akan kembali normal. (Updated : Masalah domain belum diselesaikan)

Satu malam untuk meraikan diri sendiri. Alhamdulillah.

Entri oleh sultanmuzaffar 11 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 13 (Uzbekistan: Samarkand)

Image Hosted by ImageShack.us

Selain itu, kami tidak melepaskan peluang melawat ke tempat-tempat sejarah Islam, yang banyak terdapat di sini. Kesenian dan keaslian bangunan Islam di sini jelas menunjukkan mereka amat menghargai nilai-nilai sejarah seni bina Islam yang berabad lama.

Di Samarkand, kami berkunjung ‘Ulughbek and His Observatory’ di mana tersimpannya penemuan dan penciptaan sains dan astronomi Islam.

Makam Imam Al-Bukhari, tempat yang menyimpan kenangan manis buat kami kerana kami satu-satunya media Malaysia yang berjaya masuk ke makam itu yang sebelum ini menjadi larangan kepada semua pihak.

Makam Shahizinda, dikenali sebagai ‘A Living King’ menempatkan 11 makam termasuk makam Kussam ibn Abbas, yang dibina sejak kurun ke 14.

nota sultanmuzaffar : Akan dikemaskinikan. Aktiviti luar rumah kerana menonton Devil Wears Prada. Sebuah filem yang santai untuk saya melihat industri fesyen secara lebih dalam. Tidak banyak bezanya dengan industri hiburan. Sesiapa yang masuk dalam industri tersebut jika tidak kena gayanya, pasti hanyut dengan glamor. Jika tahu merancang diri sendiri serta tahu batas-batasnya pasti tidak sesat dalam kerlipan bintang. Bercakap tentang sesat, dua hari lepas hari sewaktu ruang udara Kuala Lumpur dilanda jerebu, bukan tersesat jalan cuma terlepas satu simpang yang terakhir untuk ke Astro. Akibatnya saya terpaksa membuat pusingan di UPM. Jauh benar tersasarnya. Mujur hari bercuti untuk Selangor maka jalan tidak sesak.

Sejak beberapa minggu yang lepas saya telah dilanda satu penyakit. Agak memudaratkan jika penyakit ini tidak dirawat segera. Saya suka berangan-angan. Tidak kira waktu. Masa memandu, sebelum tidur, semasa bekerja dan sekarang pun saya berangan. Orang kata angan-angan itu baik untuk meningkatkan motivasi. Angan-angan akan menyebabkan kita terus gigih berusaha untuk memastikan angan-angan itu menjadi kenyataan.

Apa yang ingin dibuat sekiranya saya dapat wang tunai RM20 juta ringgit. Pelbagai perancangan yang ada dalam kepala saya. Semuanya boleh diulang sekiranya saya menyambung angan-angan itu keesokkan harinya. Kalaulah ia menjadi kenyataan...

Entri oleh sultanmuzaffar 10 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 12 (Uzbekistan: Tashkent)

Image Hosted by ImageShack.us

Uzbekistan bebas daripada jajahan Rusia dan mendapat kemerdekaan pada 1 September 1991. Antara tumpuan ekonomi utama mereka adalah industri kapas dan petroleum.

Tashkent, sebuah ibu kota negara yang dikenali sebagai bandar pusat perniagaan utama di rantau Asia Tengah. Dengan kepadatan penduduk melebihi 27 juta orang, majoritinya beragama Islam.

Di Tashkent, kami berkunjung ke Muzium Amir Temur. Amir Temur adalah seorang negarawan dan pemimpin dalam ketenteraan, dalam meluaskan empayarnya dari Laut Mediterinan hingga ke Tembok Besar China.

Sepanjang pemerintahan Amir Temur, terdapat golongan pemikir yang hidup sebagai saintis dan pemerintah seperti Maverannankhr Mirzo Ulugbek, dan pemerintah Khorasan Hussein Baykara.

Kami juga sempat berkunjung ke Bazar Tashkent, sebuah pasar yang menjual barang-barang perniagaan seperti karpet, pakaian dan cenderamata.

nota sultanmuzaffar : Wow ! Google telah membeli YouTube dengan nilai US$1.65 billion. Perrghh ! Satu perkembangan menarik untuk teknologi "new media" dunia. Perkhidmatan video yang diberikan secara percuma seakan-akan saingan perkhidmatan berbayar teknologi "new media" yang berbayar seperti 3G. Ini menjadikan perancangan untuk "new media" yang saya sedang kemukakan boleh berubah dalam sekelip mata. Tidak pasti sama ada ianya akan diterima atau pun tidak. Agak sukar untuk menjana pendapatan sekiranya menggunakan perkhidmatan percuma seperti YouTube. Kemampuan menarik pengiklan juga masih boleh dipertikaikan memandangkan perkhidmatan seperti ini masih agak baru di Malaysia. Satu model baru perlu dirancang secepat mungkin. Sudah sampai masanya penonton di Malaysia menyediakan bahan untuk tontonan mereka sendiri. Apakah penonton Malaysia sudah bersedia ?

Satu perkara yang menarik minat saya tentang perkembangan menarik ini ialah umur YouTube yang baru setahun jagung. Bayangkan dalam usia yang masih mentah sejak ditubuhkan pada Februari 2005 ia kini sudah menjadi milik Google yang semakin gah berdiri setanding dengan Yahoo!. Bukankah itu menyuntik semangat juang saya untuk berusaha lebih gigih dalam usia yang masih tidak cukup bulan di sini ? Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku...

Eh ! Yahoo! nak beli apa pula ? Google ada Blogger, Picasa, GoogleEarth dan Gmail. Tiada siapa-siapa yang ingin beli Amazon atau Ebay ke ? Apa agaknya nama yang akan digunakan bila penggabungan ini berlaku ? GoogleTube ? YoogleGube ? :)

Entri oleh sultanmuzaffar 09 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 11 (Lebanon: Hamra)

Image Hosted by ImageShack.us

Peperangan bukan sekadar kemusnahan, kehancuran atau kematian. Perkara yang lebih manakutkan adalah trauma yang dihadapi oleh mangsa peperangan terutamanya bagi kanak–kanak yang bakal meneraju masa depan Lebanon.

Atas kesedaran yang timbul, Ziarah bergerak ke Hamra untuk melihat segala usaha yang dilakukan bagi menghadapi permasalahan ini. Nasma: Learning and Resource Centre menjadi persinggahan pertama Ziarah.

Berfungsi sebagai pusat penjagaan kabajikan kanak–kanak, Nasma yang dikendalikan oleh Dr Najla Bacchour, bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian memulihkan kanak–kanak Lebanon daripada trauma. Nasma juga turut menjadi pusat pengedaran bantuan untuk pelarian di sekitar Hamra.

Ziarah turut melawat Sekolah Al Huda, kem pelarian sementara yang menerima bantuan daripada Nasma. Di sini jelas kelihatan trauma yang menghantui kanak–kanak Lebanon di sini.

Dari pandangan mata kasar dapat dilihat wajah kanak–kanak di sini ceria belaka. Namun di sebaliknya, terselindung duka yang lara dan dendam yang membara. Perasaan mereka disalurkan melalui lukisan yang penuh dendam. Peperangan sudah mengubah keperibadian mereka. Pergaduhan boleh dilihat merata–rata.

Antara yang menjadi perhatian Ziarah adalah Ibrahim. Kanak–kanak yang berusia 11 tahun ini menyalurkan dendam di hatinya melalui beberapa lukisan. Antaranya lukisan Condolezza Rice berbadan ular yang hanya menanti diri untuk dibaham oleh roh-roh mangsa peperangan. Cita–citanya yang ingin menjadi tentera Hizbullah turut memperlihatkan kedasyatan dendam di lubuk hatinya.

nota sultanmuzaffar : Ziarah berubah waktu siaran ke jam 7.00 malam selepas Azan Maghrib setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai hari ini hingga tamat bulan Ramadhan. Akan dikemaskinikan menjelang pagi Selasa kerana masalah biasa bulan Ramadhan. Berjual-beli di pasar juadah tanpa hati-hati pasti menimbulkan mudarat pada sistem penghadaman.

Berbalik kepada Ziarah, episod yang melibatkan trauma kanak-kanak pula disiarkan. Kalau hati tidak teguh, memang boleh mengalir air mata melihatkan kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka. Berat bahu yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kanak-kanak Lebanon bertekad mahu mengangkat senjata untuk menentang rejim Zionis, kanak-kanak Malaysia berazam mahu mengangkat meriam untuk menyambut Hari Raya. Hanya itu bezanya. Kanak-kanak Lebanon sendiri sudah menyimpan dendam kesumat demi menentang penjajah yang menakluk negara mereka. Dalam umur sekecil Ibrahim Habri, beliau sudah mengenali siapa itu Condoleezza Rice. Bagaimana kezaliman Condoleezza Rice sentiasa tersimpan dalam hatinya agar bila besar kelak beliau dapat menentang kezaliman tersebut. Saya hanya mengenali siapa dia George Shultz, James Baker, Warren Christopher, Madeline Albright, Collin Power dan terkini Condoleezza Rice. Mereka inilah yang bertanggungjawab terhadap segala kezaliman dan keganasan yang berlaku di dunia ini. Kanak-kanak mangsa perang ditinggalkan oleh mereka untuk meneruskan ziarah ke Uzbekistan, Tashkent.

Entri oleh sultanmuzaffar 08 October 2006 0 komen

Robots : Star Movies (Ch 42, 29 Oktober, 10 malam)

Image Hosted by ImageShack.us

nota sultanmuzaffar : Sebagai teaser filem Robots yang akan ditayangkan di Star Movies (Ch 42) bukan sebarang filem. Buat pertama kalinya, Astro menyediakan sebuah filem untuk tontonan keluarga dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Antara pelakon yang terbabit dalam alihsuara ialah Aznil Hj Nawawi, AC Mizal, Sazzy Falak, Aziz Sattar, Rostam ERA, Elliza, S Azli dan ramai lagi bintang AF yang terlibat. Ada yang jadi peti surat, pembesar suara, pili bomba, tiang lampu dan juga tong sampah. Milik siapa suara-suara tersebut akan dikemaskinikan menjelang malam.

Image Hosted by ImageShack.us

Filem ini akan ditayangkan bersempena dengan musim raya tahun ini. Jadi tidak salah sekiranya filem yang menarik ini dialihsuara ke Bahasa Melayu bersesuaian dengan mood perayaan yang disambut pada waktu tersebut.

Image Hosted by ImageShack.us

Antara watak-watak lucu dan manja yang akan menghiburkan anda terdiri dari Rodney (Aznil Nawawi), Fender (AC Mizal), Cappy (Sazzy Falak), Bigweld (Aziz Sattar), Piper Pinwheeler (Elliza), Aunt Fanny (Shahila Harun Shah), Lug (Dean KOSMO) dan ramai lagi. Ada di antara bintang AF yang pegang banyak watak kecil.

Image Hosted by ImageShack.us

Hazama : Elevator Executive #2, Executives, Guy In Conga Line, Kitchen Worker 2, Male Executives, Outmode Crowd, Salesman, Several Ball Guests, Several Bots, Train Conductor, Vacuum Nosed Robot dan Water Cooler Executives.
Felix : Fire Hydrant
Lotter : Mailbox, Mr Nuts
Diddy : Male Bot, Male Executives, Man In Crowd, Executive, Outmode Crowd, Passing Businessman, dan Riot Bot
Faizal : Trash Can dan Truck Driver
Yazer : Wrestling Announcer

Itu antara watak-watak yang ada. Ada banyak lagi.

Image Hosted by ImageShack.us

Dalam perkembangan tugas, minggu lepas saya telah siapkan satu analisis tentang psikografik penduduk Malaysia berpandukan Media Atlas 2006 yang disiapkan oleh Synovate. Memang mencabar bila diberikan tugas untuk menganalisa data yang ada. Sebagai asas, saya mengkaji apa yang penonton Melayu baca, tonton, dengar dan buat sepanjang hari pada setiap jam. Semua data dah ada, cuma tinggal analisa sahaja. Jangan terkejut kalau majalah yang paling suka dibaca oleh orang Melayu ialah Mastika. Saya tidak terkejut sekiranya orang Melayu suka baca Harian Metro kerana pengedaran akhbar tersebut memang tinggi dan stesen radio yang paling suka didengar oleh orang Melayu ialah ERA. Ianya memang kenyataan.

Satu perkara yang paling menarik bila klasifikasi penduduk Malaysia dibahagikan kepada 8 kategori, seperti yang dikaji oleh Synovate. Kategorinya ialah The Achievers, The Me Generation, The Modern Aspirational, Mrs Bliss, Golden Oldies, Pakcik & Makcik, Grass Roots dan The Mawi's ! Saya tidak mahu cerita lebih lanjut tentang kategori lain, tapi saya akan cerita lebih lanjut apa yang telah diperolehi melalui kajian dan soalselidik Synovate untuk kategori The Mawi's. Tentu ada yang menarik.

Entri oleh sultanmuzaffar 07 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 10 (Lebanon: Beirut)

Image Hosted by ImageShack.us

Tarikh 12 Julai membuka lembaran baru dalam sejarah krisis Israel – Lebanon. Tarikh tersebut juga dimuatkan dalam jadual peperangan antara dua negara yang berlaku setiap dekad. Bermula pada 1978 hingga hari ini, krisis dua negara bagai tiada penghujungnya.

Ziarah bertekad serta memberanikan diri untuk memasuki Beirut, Lebanon melalui Homs bagi menyaksikan sendiri peperangan yang sedang meletus. Turut menjadi tarikan, keadaan rakyat Lebanon yang terperangkap dan menjadi pelarian di bumi sendiri.

Dalam keadaan yang kelam kabut di sini, Ziarah berjaya melepasi pemeriksaan Imigresen. Atas nama sesama Islam dan niat murni untuk melaporkan sendiri peperangan di Beirut, Ziarah diberi kebenaran melepasi sempadan.

Bersama Pengarah Besar Program Pendidikan dan Kebajikan Pelarian Palestin di Lebanon, Kassim Aina, Ziarah meneruskan perjalanan ke Sabra Shatila. Kem yang pernah menyaksikan tragedi pembunuhan lebih 3,000 umat Islam oleh Israel pada akhir 1980an.

Kem yang pada asalnya menempatkan pelarian Palestin kini turut diduduki oleh rakyat selatan Lebanon. Kebanyakannya wanita dan kanak–kanak, yang hanya mampu melihat bapa dan suami mereka kembali ke kampung halaman untuk berjuang.

Di sekitar kem ini, Ziarah sempat merakamkan beberapa kemusnahan yang kini menjadi hiasan di Beirut ini. Turut mencabar kewibawaan Ziarah, tiga letupan yang meletus sekitar 4 kilometer dari tempat Ziarah membuat rakaman.

nota sultanmuzaffar : Kisah Sabra Shatila pernah diabadikan dalam sebuah lagu puisi sekitar tahun 80an oleh pemuisi terkenal, Zubir Ali yang sewaktu itu menganggotai Kumpulan Harmoni. Bukan itu sahaja, lagu yang bertajuk Balada Seorang Gadis Kecil telah memenangi Lagu Terbaik di Pesta Lagu Malaysia 1983. Buat pertama kalinya dalam sejarah industri muzik Malaysia, saudara Zubir Ali merakamkan lagu tersebut dalam sebuah album yang bertajuk "Zubir Ali 06".

Balada Seorang Gadis Kecil

Gadis kecil itu telah bertahun, dikecam derita,
Di khemah pelarian, yang menjanjikan dukacita.

Munir tak mengenal erti cinta, telah kering airmata,
Menangisi kematian, ayah bonda dan saudara.

Pada suatu senja langit Shatila,
Menyaksikan pembunuhan, anak kecil dan wanita,

Munir ditembak penuh luka, tapi ajalnya belum tiba,
Kerana Tuhan mengasihi dia.

Peristiwa hitam 17 September, telah menjadi bukti,
Sempurnalah kekejaman suatu bangsa yang sombong dan hina.

Berapa banyak lagi, gadis kecil tak berdosa,
Akan menjadi mangsa, kekejaman manusia.

Berapa abad lagi gadis kecil seperti Munir,
Akan menjadi korban, peperangan.

Zubir Ali (17 Disember 1982)

Sebuah lagu yang amat tepat untuk menggambarkan kezaliman rejim Zionis yang berhati binatang berwajahkan syaitan tetapi bertopengkan manusia. Lengkap dengan paku di bahu dan di muka, syaitan ini masih dahagakan darah manusia lemah seperti Palestin. Lagu tersebut ditulis pada tahun 1982 dan masih relevan hingga kini. Dua puluh empat tahun dan dendam api kemarahan masih belum padam. Kerana apa ? Kezaliman rejim Israel belum pernah pudar. Dendamnya masih membara sehingga mahu melihat Palestin diusir dari tanahairnya. Namun demikian, semangat Palestin masih kental membina benteng di kubunya sendiri. InsyaAllah, satu hari nanti Palestin akan bermastautin di buminya sendiri. Alhamdulillah, saya sudah pun bermastautin di bumi saya sendiri setelah berjaya menentang rejim jahat ala Israel.

Dalam perkembangan yang kurang serius, Majlis Berbuka Puasa Seroja Muzikal Ramadhan Bersama Astro RIA telah pun selesai dengan selamat. Saya sendiri tidak menyangka ramai yang akan hadir. Di kesempatan itu juga saya sempat bertemu dengan Ajami Hashim pemilik blog Bicara Skrip yang saya kira sebuah blog yang bagus kerana membuka satu lagi ruang ilmu untuk mereka yang mahu berjinak-jinak dengan dunia penulisan skrip. Bertugas di bumbung yang sama, cuma baru sebentar tadi dapat berbicara dengannya. Pedulikan komen-komen anonymous ala "seni kaput" yang cuba mematahkan semangat anda untuk terus menulis blog kerana komen "seni kaput" bukanlah komen yang wajar untuk diberikan perhatian langsung. Recycle Bin adalah tempatnya. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi hadir, NZ, Fiebie, Mr.Manager, ZA, Raz, Hakim dan kawan-kawannya. Belakang bukan sebarang belakang, belakang dekat pintu untuk senang kami menyerang meja buffet.

Entri oleh sultanmuzaffar 05 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 9 ((Syria: Damsyik)

Image Hosted by ImageShack.us

Dari bandar Khalid Al-Walid, Homs, Ziarah meneruskan perjalanan ke Damsyik, kota yang pernah menerima nama jolokan, syurga dunia. Keindahannya pernah diabadikan seorang penyair Sepanyol, ibn Jarir pada kurun ke 12.

Damsyik, bukan sebarangan kota, bandar yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Islam di bawah Saidina Mu’awiyah Ibn Abi Sufyan pada 611 Masihi ini, mengandungi pelbagai sejarah peninggalan Islam.

Antara yang menjadi tarikan Ziarah di sini adalah Masjid Umayyad. Masjid yang dibina di atas tanah yang pernah didirikan tempat ibadah berbagai agama anutan manusia 3000 tahun dahulu, mempunyai keindahan dan keunikan seni bina yang bukan kepalang.

Selain daripada keunikan seni bina Rom dan budaya lain, masjid ini turut menyemadikan di dalamnya, makam Nabi Yahya serta di lamannya makam pahlawan Islam terbilang, Salahudin Al-Ayubi.

Ziarah turut menziarahi Bazaar Suk Al Hamidi, yang hanya satu jam perjalanan daripada masjid Umayyad. Bazaar yang dikatakan pernah menjadi tempat Rasullulah berniaga ini menjual pelbagai barangan dari tekstil, hiasan rumah hinggalah himpunan aksesori perhiasan kaum wanita.

Di bazaar ini, Ziarah turut menyaksikan meningkatnya kepopularitian Hizbollah serta pemimpinnya Hasan Nasrallah. Bendera Hizbullah berkibar di mana – mana, manakala bendera Israel dipijak – pijak sebagai satu simbol kebencian.

nota sultanmuzaffar : Tiada kesempatan untuk menonton Ziarah episod malam ini. Sibuk memasak di dapur. Kalau ada pun sekadar jeling sekejap-sekejap. Hari ini merupakan hari yang agak sibuk. Esok petang ada majlis berbuka yang dianjurkan oleh Astro RIA. Sibuk menyiapkan senarai akhir tetamu yang akan hadir dan membuat panggilan untuk tetamu utama yang masih tidak menghantar jawapan. Hari ini saya menurunkan tandatangan pada satu dokumen yang pernah saya isi lima bulan yang lepas. Saya teliti isi kandungannya. Saya baca satu persatu. Tiada perubahan langsung dari apa yang dijangkakan. Segalanya sudah berakhir. Penantian yang penuh dengan dugaan dan pelbagai cabaran kini menjadi satu kenyataan untuk satu masa depan yang gemilang. Cabaran pasti datang tetapi anggap sahaja cabaran itu sebagai rintangan kecil yang harus diharungi untuk berjaya. Ia akan menjadi langkah pertama dan langkah seterusnya ialah tidak lagi menoleh ke belakang. InsyaAllah, kita akan sama-sama meraikannya esok.

Entri oleh sultanmuzaffar 0 komen

Ziarah
Episod 8 (Syria: Homs)

Image Hosted by ImageShack.us

Sejak peperangan meletus antara Lebanon dan Israel pada 12 Julai lalu, bumi Lebanon kembali bermandikan darah. Belum terhindar bayang – bayang tragedi Sabra Shatila serta beberapa siri peperangan yang lain di fikiran rakyat Lebanon, bumi mereka terancam lagi.

Buat mereka yang tidak berdaya, hanya menjadi pelarian sahaja yang mampu menyelamatkan mereka. Lebih 200 ribu warga Lebanon menjadi pelarian di bandar sempadan Syria, Homs. Kebanyakkannya warga tua, kanak – kanak dan wanita.

Ziarah bergerak dari Amman ke Homs menerusi Damsyik bagi merasai penderitaan yang mereka alami. Tiga buah sekolah yang menjadi kem pelarian sementara menjadi persinggahan Ziarah – Al Nadzariah, Al Salsafah dan Al Masriah.

Bersama pasukan Mercy Malaysia yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Dr. Jemilah Mahmood, Ziarah turut memberikan bantuan dalam pengedaran barang–barang keperluan kepada pelarian serta cuba memulihkan kembali penderitaan dan trauma yang menghantui mereka.

Ziarah turut mendekati rakyat Syria di sini. Mendalami perasaan dan pendapat mereka mengenai peperangan dan kekejaman yang berlarutan di Lebanon serta tekanan yang diterima mereka dari barat.

Berada di Homs, yang turut dikenali sebagai bandar Khalid Al-Walid, Ziarah tidak melepaskan peluang untuk menziarahi makam sahabat Rasulullah ini. Turut bersemadi bersama ‘Pedang Allah’ ini adalah pedang yang membantunya memenangi lebih 50 peperangan di bawah pimpinannya.

nota sultanmuzaffar : ...mujur ada Srikandi Negara yang luhur menghulur bantuan demi agamanya, menyelamatkan maruah bangsanya dan menaikkan nama negaranya...semoga jasa yang disumbangkan oleh Datuk Dr. Jemilah Mahmood akan dinilai seadil-adilnya baik di dunia mahu pun di akhirat kelak. InsyaAllah...

Entri oleh sultanmuzaffar 03 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 6 (Jordan)

Image Hosted by ImageShack.us

Sejak berakhir era kolonialisme Barat sekitar 1940an, Asia Barat tidak pernah aman. Tangisan dan darah tidak pernah berhenti mengalir di bumi ini. Peluru dan roket kian menjadi permainan di setiap pelusuk permukaan dan mayat sering kelihatan bergelimpangan.

Hari ini, hanya satu kawasan yang terpinggir daripada segala kemusnahannya. Amman, bukan sembarangan bandar, kota yang pernah dikenali sebagai Philadelphia ketika zaman kegemilangan Rome merupakan kota paling selamat di Asia Barat. Perjanjian damai yang dimeterai bersama Israel menjauhkannya dari sebarang ancaman Tel Aviv.

Ziarah menjejaki kedamaian di sini yang sering menarik perhatian pelarian di bumi Asia Barat. Destinasi pertama, Muqayyam Baqaa, terletak 20 km dari bandar Amman, merupakan antara kem perlarian yang tertua di Amman.

Dibina pada tahun 1968, kem yang dikelolakan oleh agensi pekerjaan dan bantuan PBB, kini diduduki oleh 70,000 pelarian Palestin yang kebanyakannya berasal dari Tebing Barat setelah rampasan kawasan tersebut oleh Israel dalam peperangan 6 hari pada 1967.

Sejak 1974, selepas peristiwa September Hitam yang mencetuskan krisis bersenjata antara pejuang fedayeen Palestin dengan tentera Jordan, pelarian Palestin di sini dilarang membabitkan diri dengan pergerakan politik. Malah hari ini, pelarian turut mengalami kesulitan yang untuk mendapatkan kerja. Hanya pasar, Souq Al-Halal sahaja yang menjadi tumpuan mereka mencari rezeki.

Turut menarik perhatian Ziarah di bumi Jordan kisah pelarian Iraq di Shariq Talaq, Makam Nabi Syuib di Salt dan Gua Al-Raqim di Salt, yang merupakan makam bagi 7 sahabat gua, Ashabul Kahfi.

nota sultanmuzaffar : Jordan adalah antara bandar yang terselamat dari serangan rejim Zionis, Israel kerana perjanjian yang telah ditandatangani. Mudah sahaja. "If you can't beat them, join them". Bersekongkollah dengan Israel. Pastinya dilindungi. Walaupun pernah terluka, tapi luka itu dibalut dengan dakwat tandatangan. Begitu murah harga keamanan.

Luka perang memang sukar sembuh. Luka dihina Israel tidak akan sembuh. Sekiranya satu hari kelak Israel mula mengenal apa erti dosa ataupun Israel kembali mengadap Ilahi, luka tersebut tidak pasti akan kembali pulih. Api dendam Palestin terhadap Israel belum pasti suram. Dendamnya berpanjangan. Melihat wajah anak-anak Palestin mangsa perang yang kini menjadi pelarian di bumi orang pastinya sedikit tersentuh. Tidak banyak sedikit, hati seorang manusia pasti tercuit. Hati manusia lain-lain walaupun rambut mereka sama hitam.

Walaupun ada sedikit masa santai dihabiskan dengan membeli-belah, kita harus melihat dengan skop pandangan yang lebih luas. Meninjau aktiviti harian penduduk tempatan untuk mempelajari sosio budaya serta geopolitik yang berlaku di negara tersebut. Apakah budaya yang diamalkan oleh penduduk Amman.

Ketegangan 5 jam ditahan oleh pihak berkuasa Amman tidak dapat dirasai oleh penonton Ziarah kerana cukup sebentar sahaja yang ditayangkan. Pengalaman yang kena tahan tentunya lebih menarik untuk diselak. Mungkin sewajarnya Wan Kamarudin atau Dang Suria menceritakan lebih lanjut pengalaman tersebut.

Entri oleh sultanmuzaffar 02 October 2006 0 komen

Ziarah
Episod 6 (Pakistan: Peshawar)

Image Hosted by ImageShack.us

Penjelajahan Ziarah di Asia Selatan berakhir di Peshawar, Pakistan.

Sebuah wilayah sempadan yang terkenal dengan himpunan puak dari suku Poshtun.

Khyber Pass laluan lagenda yang berusia 2000 tahun dan pernah menjadi lokasi strategik perang satu ketika dulu terletak di wilayah ini.

Selain Khyber Pass, Ziarah turut menjejaki beberapa kawasan bersejarah di Peshawar. Antaranya adalah Masjid Mahabat Khan yang dibina ketika zaman pemerintahan Syah Jehan, Frontier Corp yang dibina di zaman pemerintahan Barbur Khan dan juga Qissa Khawani Bazaar atau Bazaar Panglipurlara yang dikatakan wujud beratus ratus tahun dahulu.

Sebagai penutup episod di Asia Selatan, Ziarah mengunjungi dan sempat makan malam bersama dengan sebuah keluarga Islam yang hidup sederhana – simbolik di sebalik persaudaraan Islam yang merentas bangsa dan negara – persaudaraan sejagat yang tidak mungkin dapat terhakis dek zaman.
Nota sultanmuzaffar : Setelah melihat apa yang dipertontonkan dalam Ziarah seminggu yang lalu, Afghanistan bukanlah negara yang tidak sesuai untuk dilawati. Dakyah songsang media Kafir yang telah memesongkan fikiran dunia tentang Afghanistan. Media Barat memomokkan penduduk dunia dengan cerita-cerita yang tidak benar tentang keamanan negara tersebut. Walaupun tidak banyak tinggalan sejarah yang dapat diperlihatkan, tetapi kesan-kesan budaya yang diamalkan oleh penduduk Afghanistan masih utuh. Krew Ziarah tinggalkan bumi Afghanistan dengan satu persoalan : Di Mana Kita ? Tiada papan tanda Projek Barisan Nasional Untuk Afghanistan atau Projek Rakyat Malaysia Untuk Rakyat Afghanistan kelihatan di bumi Afghanistan. Yang peliknya, Jepun dan Austria telah ringan tulang membantu menyelamatkan fizikal Afghanistan.

Perjalanan diteruskan ke bumi Pakistan. Saya lihat pergerakan kamera yang dirakamkan agak sedikit goyang. Sebenarnya pada beberapa lokasi, rakaman tidak dibenarkan dan rakaman tersebut merupakan rakaman yang curi-curi. Tunggu sahaja untuk satu episod yang akan datang apabila rakaman dibuat sewaktu ditahan pihak berkuasa selama 5 jam. Rakaman dilakukan dengan telefon bimbit video.

Entri oleh sultanmuzaffar 29 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 5 (Afghanistan)

Image Hosted by ImageShack.us

Episod ini memaparkan pengembaraan pulang ke Kabul.

Di sepanjang jalan, Ziarah mengumpul cerita untuk menjadi tatapan bersama.

Ketika berada di pinggiran bandar Kabul, hos Ziarah Dang Suria dan Wan Kamarudin sempat dipelawa untuk turut sama menuai gandum.

Ziarah turut menyelami nasib petani antara golongan terpinggir yang merasakan keperitan hidup di zaman pemerintahan Taliban.

Tinggalan kereta kebal era peperangan Russia dan juga bangunan runtuh di sepanjang jalan yang dibom turut menjadi perhatian Ziarah sepanjang perjalanan pulang.

Ziarah turut singgah makan tengahari bersama dengan penduduk kampung di Sheikh Khali yang majoritinya penduduk Hazara yang jarang menerima kunjungan dari orang luar apatah lagi orang asing.

Dan untuk minum petang, krew Ziarah sempat meluangkan sedikit waktu bersama sama dengan sekumpulan askar Afghanistan di pos tentera di Duwane Lulanj.

Perjalanan pulang ke Kabul diisi dengan perhentian demi perhentian yang ternyata memberi banyak ruang untuk kita mengenali saudara Islam di Afghanistan.

nota sultanmuzaffar : Benar, saya akui apa yang dipaparkan dalam Ziarah lebih bersifat catatan pengembaraan. Ianya berlaku secara spontan apabila terjumpa sesuatu yang menarik dan kemudiannya dirakamkan untuk penonton. Sebenarnya saya lebih tertarik dengan salah satu komen dalam entri sebelum ini yang menyatakan Ziarah hanyalah satu catatan cinta Wan Kamarudin dan Dang Suria. Ada juga rakyat Malaysia yang mahu menjalinkan cinta mereka dengan pergi menggadai nyawa ke Afghanistan. Saya ingatkan orang sekadar merealisasikan cinta mereka di Hawaii, dan Afghanistan merupakan destinasi cinta yang terbaru untuk pasangan yang sedang bercinta. Episod hari ini lebih bersifat santai dan merupakan jalan-jalan makan epal. Tapi pengalaman makan epal mana pernah anda lalui melainkan pergi ke negara-negara sepertinya. Jika minggu lepas hari Jumaat saya melakukan satu projek baik punya, esok pula saya ada satu lagi projek baik punya. Untuk kawan-kawan, apa salahnya...

Entri oleh sultanmuzaffar 28 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 4 (Afghanistan)

Image Hosted by ImageShack.us

Bamiyan, wilayah penuh kontroversi. Lima tahun lalu, Taliban telah memusnahkan 2 patung Buddha gergasi di wilayah yang majoritinya adalah penduduk Hazara.

Beribu ribu penduduk Bamiyan yang berasal dari etnik Hazara dibunuh tanpa belas kasihan oleh Taliban.

Akibatnya, lembah yang diiktiraf antara paling subur di dunia ini mengalami kemusnahan teruk dan kini sangat tersorok dari kemodenan.

Walaupun kurang serba serbinya, Bamiyan masih menjadi destinasi pelancongan yang sangat digemari terutamanya oleh pencinta sejarah.

Ketika berkunjung ke tapak patung Buddha gergasi kerja-kerja pemuliharaan semula sedang giat dijalankan dengan bantuan dari kerajaan Itali, Jepun dan Thailand.

Selain tapak Buddha, Bamiyan juga turut terkenal kerana keindahan alam semulajadinya yang tidak terusik.

Himpunan gunung ganang yang indah dan air sungai yang jernih membuatkan pengunjungnya terasa leka dalam dunia tersendiri.

Nota sultanmuzaffar : Akan dikemaskinikan setelah menonton siaran ulangan jam 12 tengah malam. Kita tidak perlu bercerita tentang Afghanistan hari ini. Kita bercerita tentang kanak-kanak Afghanistan yang tercengang-cengang apabila melihat ada orang asing yang menjejakkan kaki ke bumi mereka. Di Afghanistan, kanak-kanak berperang dengan trauma perang. Di Malaysia, kanak-kanak bersemangat besar mahu berperang. Perang gaya mereka ialah perang kreativiti mencipta meriam buluh. Lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadhan dan Syawal. Sudah ada kes kreativiti meriam buluh yang telah dilaporkan media. Itulah cara kanak-kanak Melayu melunaskan niat mereka untuk berperang. Biar nyawa terkorban, asalkan kreativiti mereka berjaya ditonjolkan. Lepas seorang demi seorang tumbang di medan kreativiti. Seperti tahun tahun yang sebelum ini, ada juga nyawa yang terkorban. Tetapi mereka puas kerana dapat juga pengalaman berperang. Itulah anak Melayu yang gemar menggunakan kreativiti mereka di jalan yang salah. Entah berapa banyak lagi nyawa yang akan melayang angkara perang berlumba kreativiti tahun ini. Ada lagi satu perang cara Melayu. Ia hanya akan berlaku menjelang malam-malam terakhir Ramadhan sebelum menyambut Syawal. Perang apa ? Esok-esok saya sambung.

Entri oleh sultanmuzaffar 27 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 3 (Afghanistan)

Image Hosted by ImageShack.us

Wanita Afghanistan bukanlah satu watak dominan. Adat dan tradisi adalah kekangan utama wanita Afghanistan untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Dalam episod ini, Ziarah melalui hos wanitanya, Dang Suria Zainurdin berkongsi cerita mengenai wanita Afghanistan.

Perkahwinan yang ditentukan keluarga masih merupakan tradisi yang diamalkan warga Afghanistan. Malah, jika anak gadis berkahwin berdasarkan cinta dan pilihan hati, ianya dianggap menjatuhkan maruah keluarga.

Wanita yang berkahwin turut dilarang untuk meneruskan pendidikan akhirnya ramai wanita yang berpendidikan hanya menjadi suri rumah menjaga suami dan anak anak.

Episod ini turut memaparkan kecekalan kanak kanak kecil yang terpaksa menjadi penjual air sebagai cara untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Nota sultanmuzaffar : Saya tidak sempat menonton episod malam ini. Kalau ada kesempatan saya akan tonton episod ulangan jam 12 tengahmalam ini. Satu perspektif baru tentang bumi Afghanistan disingkap dalam episod kali ini. Benar, kata anonymous apa yang telah disingkap oleh Ziarah merupakan bahan-bahan luaran yang tidak begitu digali dalam-dalam seperti yang pernah dilakukan oleh penyelidik dokumentari Barat. Sebagai tontonan awal untuk rakyat Malaysia rasanya sudah memadai. Saya juga sekadar mahu mengetahui latarbelakang negara tersebut secara luaran dan belum bersedia untuk mengorek lebih dalam rahsia Afghanistan. Dalam episod ini, saya telah didedahkan dengan pemasalahan yang ditanggung oleh kaum wanita negara tersebut. Kekangan budaya tidak memungkinkan seseorang wanita Afghanistan untuk meneruskan pengajian mereka. Selayaknya tempat mereka hanyalah di sebalik tembok-tembok rumah. Tidak lebih daripada itu. Lebih memilukan ada yang berkahwin pada usia yang terlalu muda. Bukan atas dasar cinta tetapi atas dasar pilihan keluarga. Kerana apa ? Kerana keluarga tiada pilihan lain. Mereka perlu mengahwinkan anak gadis mereka untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga. Mereka berkahwin kerana Afghanistan masih belum aman. Keluarga perlu melepaskan anak gadis mereka untuk dijaga oleh suami mereka. Itulah yang berlaku di Afghanistan. Ternyata sungguh berbeza dengan apa yang berlaku di sini. Gadis Afghanistan seperti Sweeta perlu diberikan suami yang dipilih keluarga walaupun masih dalam pengajian. Itulah antara bahasa sedih yang dipaparkan oleh Ziarah kepada penonton.

Tidak cukup dengan penderitaan yang bakal ditanggung oleh anak gadis Afghanistan kerana tahu yang mereka akan dikahwinkan dengan bakal suami yang sikapnya gemar memukul isteri, gelagat anak-anak kecil seusia 4 tahun sudah diajar untuk menyara hidup sendiri dengan menjual air sejuk. Hati mana yang tidak tersentuh. Mata mana yang tidak berkaca melihatkan semangat anak-anak kecil itu mahu mengubah nasib diri mereka. Tentulah tidak sampai hati melihatnya dan sekadar memberikannya wang 1 Rupee sebagai bayaran kepada segelas air sejuk. Apalah ertinya wang 50 Rupee untuk digantikan dengan kegigihan anak sekecil itu mencari sesuap nasi untuk menyara hidupnya sendiri. Bayangkan pula gaji yang kita terima setiap bulan. Tentulah jauh lagi besar dengan apa yang diterima oleh anak-anak kecil itu. Ini baru episod ketiga, dan apa pula lagi visual sedih yang akan dipaparkan oleh Ziarah. Kesan perang tidak mengenal bangsa, umur dan agama. Perang akan memusnahkan segala-galanya. Walaupun ianya hanyalah monumen memperingati tokoh-tokoh negara Afghanistan itu sendiri. Bagaimana pula rasanya jika peperangan itu berpindah ke Malaysia dan derita yang dipaparkan dalam ziarah adalah derita kita. Derita bangsa kita. Derita keluarga kita. Derita anak kita. Derita isteri kita. Derita ibu-bapa kita. Bagaimanakah rasanya ? Airmata kita hanya untuk Akademi Fantasia. Debat kita hanya untuk artis yang kita puja. Wang kita ke mana pula ?

Ejen 016

Image Hosted by ImageShack.us

Dalam bulan puasa pun mereka masih bekerja. Sempat pula mereka sms untuk mendapatkan fadilat ramadhan atau yang lebih betul ialah fadilat sembahyang terawih. Kalau nak tahu lebih lanjut tentang fadilat sembahyang terawih, bolehlah tekan Butang Merah di RIA. Penat saya cut & paste dari satu forum kalau ia tidak dibaca oleh pengguna Astro atau penonton RIA. Oh ya ! RIA sudah ada tagline baru untuk sambutan raya tahun ini. Jika sebelum ini kita pernah dihidangkan dengan Raikan Yang Lama, Riakan Yang Baru dan beberapa tahun yang lepas Ada RIA, Ada Raya. Tahun ini apa agaknya tagline baru tersebut. Tunggu saya dapat pelepasan untuk blog dulu ya untuk umumkan. Takut juga tersalah umum nanti.

Sementara menantikan Tore yang bermalam di sebuah hotel paling mahal, Ejen 016 dapat peluang untuk tidur dalam kereta dengan Ejen Alia. Kata Ejen 016 "nak adjust lah tuh". Kalau tak adjust pun, Ejen Alia memang dah suka dengan Ejen 016. Bila lah agaknya meteor tersebut akan dapat dijumpai oleh Ejen 016. Lama betul ejen 016 dan kuncu-kuncunya bertugas. Dari episod pertama tak jumpa-jumpa lagi. Episod malam tadi tiada cameo yang muncul macam episod-episod yang sebelumnya.

Apa yang saya perasan setelah beberapa episod, apabila setelah tamat setiap episod akan ada satu segmen mempromosikan produk DiGi. Satu usaha pengiklanan yang bagus, tapi sayangnya sarikata yang terpapar adalah sarikata awal siri tersebut. Yang ternyata salah dan tidak selari dengan apa yang diucapkan oleh para pelakonnya. Kesilapan sarikata ini perlu diperbaiki.

Entri oleh sultanmuzaffar 26 September 2006 0 komen

Ziarah
Episod 2 (Afghanistan: Kabul)

Image Hosted by ImageShack.us


Dalam episod ini Ziarah menjelajah Kabul, ibu negara Afghanistan.

Selain memaparkan senario alam yang memepesonakan di sepanjang perjalanan ke Kabul episod ini juga turut memaparkan aksi cemas krew Ziarah yang terpaksa melalui pelbagai pemeriksaan di pos tentera sebelum sampai ke destinasi.

Namun tuah mengembara sebagai saudara Islam, krew Ziarah selamat sampai tanpa banyak halangan.

Di sepanjang perjalanan, beberapa kali krew Ziarah turut berhenti, keindahan panorama Empangan Srobi dan Empangan Naglu sangat memukau pandangan.

Di Kabul, krew Ziarah menginap di sebuah rumah penduduk tempatan. Selain dapat menyelami budaya kehidupan seharian, ianya juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim sejagat.

Dalam episod ini, Ziarah memaparkan kesan perang yang memusnahkan Kabul. Tidak ada satu ruang pun di Kabul yang tidak tercalar dek peperangan.

Ziarah turut mendengar isi hati penduduk Kabul yang sudah jemu hidup dalam ketakutan perang.

Episod di Kabul turut menyingkap secara ringkas sejarah Perang di Afghanistan.

Nota sultanmuzaffar : Setelah menyaksikan episod ini, adakah pandangan anda berubah terhadap Afghanistan ? Ternyata dakyah media Barat berjaya memesongkan fikiran penduduk dunia yang Afghanistan merupakan sebuah negara yang tidak selamat untuk dikunjungi. Kalau selamat, adakah anda berani untuk menjejakkan kaki ke bumi Afghanistan ? Berhadapan dengan pengebom berani mati atau pun bom kereta yang bakal meletus bila-bila masa. Sasaran mereka adalah pusat penginapan bangsa-bangsa asing yang lebih tertumpu ke hotel-hotel yang ada di bandar-bandar utama Afghanistan. Menonton Ziarah sebenarnya sama seperti menonton Di Sebalik Tabir Ziarah. Dua pengantara seperti menceritakan semula pengembaraan mereka. Bandar-bandar di Afghanistan pernah menjadi padang jarak padang tekukur angkara peperangan dengan regim komunis Rusia sekitar tahun 1979. Bahana perang telah menyebabkan beribu-ribu rakyatnya menjadi pelarian perang ke Pakistan dan negara-negara sekitarnya. Kisah sedih dan trauma yang melanda mangsa-mangsa perang ini akan diperincikan dalam episod yang seterusnya. Pada tahun 1996, Kabul bergolak lagi angkara Taliban. Habis hancur musnah segala kemudahan-kemudahan dan harta benda. Itulah kesan fizikal peperangan. Apa pula kesan emosi dan mental ? Nantikan episod seterusnya...

Entri oleh sultanmuzaffar 25 September 2006 0 komen

Image Hosted by ImageShack.us



Ziarah
Episod 1 (Afghanistan: Jalalabad)

Ziarah memulakan siri pengembaraan pertamanya di Jalalabad, Afghanistan.

Cabaran pertama yang harus ditempuh ketika melakukan pengambaran di Afghanistan adalah cuaca panas mencecah 50 darjah celcius.

Dalam episod pengenalan ini, Ziarah banyak memaparkan tentang budaya hidup rakyat Afghanistan selepas era peperangan Russia, Mujahiddin dan Taliban.

Keindahan bumi Afghanistan dan keramahan penduduknya merupakan antara paparan yang ditonjolkan dalam episod pertama ini.

Walau hampir 3 dekad dimamah penderitaan perang, keindahan panorama semulajadi bumi Afghanistan khususnya Jalalabad bagai tidak terusik malah menggamit mata memandang.

Malah dibawah terik matahari 50 darjah celcius, krew Ziarah sempat meluangkan waktu mandi sungai di Sungai Barabad.

Dalam episod ini, Ziarah turut memberi gambaran betapa Afghanistan kini selamat untuk dikunjungi.

Nota : Episod ini masih merupakan episod pengenalan kepada penonton. Tidak banyak detik-detik yang mengharukan dipaparkan dalam episod pengenalan ini. Sempat juga perantara program ini iaitu Dang Suria dan Wan Kamarudin bergurau senda dengan penduduk tempatan untuk lebih mengenali hati budi mereka. Kalau selama hari ini kita sekadar mengetahui kewujudan kaum Sikh di negara kita tetapi tidak di negara Afghanistan. Di sana juga mempunyai penganut ajaran Sikh dan mereka hidup aman makmur di Afghanistan sama seperti mereka hidup aman di bumi Malaysia. Pertemuan dengan anak-anak masa depan yang mengharapkan ada sinar keamanan di negara mereka. Dalam pengembaraan tersebut, sempat juga mereka bertemu dengan seorang anak kecil yang berniaga manisan untuk menanggung ayahnya yang lumpuh. Sesekali kanak-kanak itu tetap tersenyum dan senyuman itu merupakan bahasa duka yang terindah di dunia. Malam itu mereka menumpang di rumah saudara Islam, berselimutkan bulan dan bintang di bumbung rumah tersebut. Esok mereka akan berpindah ke Kabul dalam kemelut keamanan yang masih belum padam.

Entri oleh sultanmuzaffar 23 September 2006 0 komen

Faizal : Satu Dalam Sejuta, Suki : Taiwan Menanti !

Secara jujur, saya tidaklah menonton rancangan One In A Million dari mula. Pertama kerana program tersebut disiarkan pada hari Jumaat. Waktu tersebut adalah waktu rehearsal Konsert Akademi Fantasia dan photoshoot pelajar Akademi Fantasia. Sewaktu musim AF, memang saya tidak berpeluang menontonnya. Walaupun mendapat banyak SMS yang suruh saya menonton program tersebut.

Sejak dari episod pertama, saya tidak pernah berpeluang dan peluang hanya muncul setelah musim AF tamat. Orang cakap Faizal bagus, ada yang cakap Suki bagus, ada juga yang cakap Lokman bagus, ada juga yang berbisik Dayang tidak patut masuk tidak kurang juga yang masih simpati kepada Farah. Saya cakap saya tidak tengok.

Semalam saya menonton One In A Million depan TV di rumah. Kejutan tidak dramatik pertama dilakukan apabila tiada penyingkiran pada malam kemuncak itu. Sangat tidak dramatik. Awal dan Marion harus menuntut ilmu dari Aznil Nawawi untuk menimbulkan kesan dramatik. Sepatutnya "kezutan" seperti yang ditiru oleh Ahmad Izham Omar menjadi lebih dramatik tetapi mood tersebut tidak sampai. Sayang betul. Kalau menjadi lebih dramatik semalam tentunya lebih hangat. Mahu juga saya melihat wajah lega Suki atau Alif setelah melihat penyingkiran Faizal.

Kalau dulu kemasukan semula Lotter ada sesetengah menganggap sebagai merompak tempat Farhan, apakah dengan tiadanya penyingkiran Faizal telah merompak tempat Alif. Mungkin juga Faizal juga boleh dianggap sebagai perompak undi Alif. Yang pasti hanya ada satu tempat untuk direbut, iaitu pulang dengan wang satu juta ringgit.

Berbaloi ? Apakah nilai satu juta ringgit pada seorang perempuan yang berumur 17 tahun ? Apakah nilai satu juta ringgit pada anda ? Apakah wang satu juta ringgit yang akan diberikan dalam bentuk pelaburan akan benar-benar diperolehi oleh Suki ? RM275,000 telah dibelanjakan oleh penonton untuk diberikan kepada 8TV demi menjadikan Suki seorang jutawan ! Bukan satu berita yang baik buat 8TV ya ! :)

Persembahan Suki biasa sahaja. Persembahan yang cukup makan. Saya lebih sukakan persembahan Alif tetapi persembahan Faizal lebih meyakinkan. Antara ketiga-tiga lagu baru peserta, saya lebih menyukai lagu Maha Karya Cinta dan lagu Khayalan. Apabila menyanyikan lagu pilihan masing-masing, Faizal yang menggabungkan tiga lagu dalam sebuah lagu We Will Rock You memukul habis kedua-dua rakannya yang lain. Suki membawakan lagu Everything dan Alif membawakan lagu Give Me Just One Night (Uno Noche). Walaupun berada di kedudukan terbawah sedikit pun tidak memberikannya tekanan untuk memberikan persembahan yang terbaik. Akhirnya Faizal sekadar menang sorak dan Suki membawa pulang wang satu juta ringgit dan bergelar jutawan muda segera. Lebih baik digelar jutawan muda segera dari mee segera kan ?

Undian keseluruhan sepanjang musim One In A Million ialah 550,000 ! Untuk Grand Finale sahaja sebanyak 120,000 undi diperolehi. Undian dari sebuah program realiti paling popular dari satu nombor telefon sahaja sudah boleh mencecah 8000 undian. Bayangkan perbezaannya ! Sempat juga saya bersms dengan rakan sekerja di Astro tentang jumlah undian. :) Berbalik kepada OIAM, lagipun tempoh undian untuk program realiti ini tidak begitu panjang. Mungkin itu antara faktornya. Kalau bercakap tentang soal jumlah undian, lebih baik saya menutup mulut. Satu keputusan yang menarik bila jumlah undian MASUK (84%) melebihi undian KELUAR (16%). Tidak begitu besar jumlah kebencian yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sebenarnya. Tapi mungkin keputusannya berbeza untuk Akademi Fantasia jika kaedah ini digunakan. Mungkin !

Saya suka dengan konsep One In A Million. Satu ada MASUK dan KELUAR. Kedua, semasa tempoh ujibakat, sudah ada pertandingan KNOCK-OUT. Ketiga, ada BLIND TEST. Itu antara keunikan program ini yang menggabungkan beberapa elemen dari program realiti pencarian bakat dan kemudiannya diadun menjadi One In A Million. Penyingkiran yang dilakukan pada awal program juga antara keunikan program ini. Memanglah hancur harapan peserta yang telah membuat persediaan tetapi tidak dapat membuat persembahan.

Berdasarkan pemerhatian saya untuk beberapa minggu, saya lebih gemarkan Faizal muncul pemenang. Saya melihat persembahannya yang mampu untuk menambat hati penonton. Malam tadi sahaja beliau merupakan satu-satunya peserta yang berjaya membuatkan penonton berdiri memberikan tepukan dan gemuruh sekali Dewan Merdeka dengan sorakan untuknya. Secara keseluruhan, saya suka dengan perjalanan acara Grand Finale One In A Million semalam. Sungguh simple tetapi memberikan kesan yang hebat. Pemilihan lagu juga memainkan peranan yang penting untuk membuatkan program itu tidak terlalu meleret. Lagu-lagu baru Audi Mok memang gempak ! Good job dude ! Contoh-contoh lagu Audi seperti Drama (Ning Baizura feat. Nikki & Yanie) dan Caramu (Nikki feat. Zahid) dan...(tutup mulut). Red carpet ? Seperti standard Malaysian Idol musim 1 dan 2, tiada selebriti yang dapat memberikan gemerlap bintang. Saya sempat sms "Busuknya Red Carpet !!" ke Mr.Manager. Tiba-tiba Ning Baizura muncul di skrin tv dan sms kedua menyusul "Alamak ! hahaha".

Fantasinya sudah tamat dan kini realiti menanti di hadapan. Satu juta ringgit sudah berada di tangan dan kini perancangan yang teliti perlu dilakukan. Sudah pasti pasaran di Taiwan menanti beliau, sama seperti kemenangan Daniel dalam Malaysian Idol 2. Berbeza dengan Jac yang lebih diterima di Malaysia walaupun penjualan album tidaklah sebesar mana. Di sini saya lebih berbangga dengan Mawi bila berjaya menjual albumnya di Malaysia. Sekarang, nama Faizal lebih dikenali berbanding sewaktu beliau bersama Mirwana dulu. Dia boleh meneruskan usahanya dalam bidang muzik. Penerbit, penyanyi, pengacara dan macam-macam lagi. Suki mengekori jejak langkah Ahmad Samerin yang menjadi jutawan segera dari program More Jutaria satu ketika dahulu. Di mana ya Ahmad Samerin sekarang ?

Pilihan sultanmuzaffar
Faizal - We Will Rock You
Alif - Give Me One More Night (Uno Noche)
Faizal - Maha Karya Cinta
Alif - Khayalan
Suki - Everything
Suki - Berdiri

Entri oleh sultanmuzaffar 20 September 2006 0 komen

Sidang Media Pelancaran Ziarah di Astro RIA

Image Hosted by ImageShack.us

Macam yang anda tahu, Isnin hingga Rabu merupakan hari yang agak sibuk. Memang terasa penat bila ada "staff" yang menghabiskan cuti mereka dalam minggu-minggu yang sibuk macam minggu ini. Apa pun halangan, kerja masih perlu aku teruskan. Macam tadi berlangsung Sidang Media Pelancaran Ziarah. Aku memang puas hati dengan perjalanan majlis. Kurang dari 12 jam sebelum majlis, aku perlu memikirkan hiasan meja yang sesuai untuk majlis tersebut. Memandangkan konsep rancangan ini berbentuk dokumentari pengembaraan ke negara-negara yang sedang berada di garisan krisis atau pun yang telah musnah angkara peperangan, maka satu idea timbul. Fikir punya fikir, saya terbayangkan permainan askar yang selalu digunakan kanak-kanak zaman 70an dan 80an. Macam main Combat.

Semalam, selepas kerja aku terus bergegas ke KLCC untuk mencari set permainan Combat. Satu KLCC aku pusing. Dari Toy City, kemudian Isetan dan masuk pula ke Parkson Grand semuanya TIADA ! Tamiya dah tutup pulak ! Kanak-kanak zaman sekarang dah tak main permainan kita dulu. Mereka main robot sekarang. Mahu tak mahu terpaksa saya bergegas ke Mid Valley. Mujur ada Toys 'R Us, Toy City, Miniature Shop dan Tamiya. Aku pun shopping sakan. Bukan aku yang bayar. Company yang bayar. Jadi aku beli saja apa yang terlintas. Habis RM250.00 malam tu dengan barang permainan Combat. Ada askar, kereta kebal, helikopter, pelancar roket dan kubu. Mujur pasir saja takde dijual di Mid Valley. Kalau ada dengan pasir-pasir pun aku beli untuk cipta persekitaran perang.

Image Hosted by ImageShack.us

Mula-mula memang rasa cuak juga nak letak permainan tu kat atas meja. Takut hilang. Aku letak permainan yang paling mahal sekali atas meja VIP. Yang biasa-biasa aku letak untuk meja Astro dan Press. Kalau hilang pun tak lah ralat sangat. Mujur tiada satu permainan pun yang hilang mungkin kerana tetamu yang datang pagi tadi semuanya baik-baik belaka.

Bagi ada yang masih tidak tahu, Ziarah akan mula disiarkan pada 1 Ramadhan ini. Catatan pengembaraan ini telah disorot oleh pengacara terkenal, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Dang Suria Zainuddin dan ia meliputi negara-negara seperti Afghanistan, Pakistan, Jordan, Syria, Lebanon, Uzbekistan, Kazakhstan, dan Yogyakarta. Bagaimanapun, pengambaran lebih tertumpu kepada bandar-bandar seperti Kabul, Beirut dan Yogyakarta yang telah yang musnah angkara peperangan dan gempa bumi. Macam Yogyakarta, pengambarannya masih belum dilakukan. Ia hanya akan dirakam sewaktu bulan puasa.

Image Hosted by ImageShack.us

Macam tadi, tetamu yang hadir sempat dihidangkan dengan Ziarah episod 8. Boleh dikatakan episod terbaik. Banyak juga tetamu berhati-perut yang mengalirkan airmata. Tak kurang juga yang tidak tahan dan cepat-cepat keluar dari dewan hanya kerana nak control macho macam Akmal. Khabarnya kat luar dewan dia call anak dia sekadar bertanya khabar selepas melihat episod penderitaan mangsa perang terutamanya kanak-kanak dan wanita. Sungguh berat trauma yang melanda mereka. Itulah penangan Ziarah. Macam kata Wan Kamarudin, kalau dulu orang menangis kerana Akademi Fantasia, kenapa tidak orang menangis kerana Ziarah pula ?

Peranan penerbit telah hampir selesai menerbitkan sebuah program dokumentari bermakna ini. Peranan Astro pula adalah untuk menayangkan program ini. Peranan aku pula ialah memberikan komen sejujur mungkin untuk program ini. Mungkin aku tipu, atau mungkin aku sekadar mahu mengampu Astro yang dah beri aku makan, kini apa pula peranan anda ? Peranan anda pula adalah untuk menyaksikannya sendiri dan memberikan komen anda pula. Anda boleh saksikan Ziarah mulai 1 Ramadhan ini pada jam 6.30 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat. Jom kita berperang !!!

Acara pagi tadi membuka ruang baru untuk aku menambah kawan. Mungkin dalam keadaan sekarang dah ramai kawan yang lari kerana takutkan bayang-bayang sendiri, tapi ruang masih terbuka untuk aku tambah kawan baru. Patah tumbuh hilang berganti. Sempat juga aku bersembang kosong dengan beberapa krew penerbitan yang hadir pagi tadi. Antaranya wajah-wajah baru yang sebelum ini hanya aku kenal di tv macam Wan Kamarudin dan Dang Suria. Tenaga penerbitan di belakang tabir Ziarah juga ada seperti Pauline, Muhaimi, Yaakob, Firdaus, Zainal dan beberapa lagi.

Image Hosted by ImageShack.us

Aku sebenarnya puas dengan majlis pagi tadi. Mungkin kerana aku telah berjaya siapkan banyak perkara. Dari siaran akhbar, teks ucapan dan hiasan meja. Itu yang buat aku benar-benar puas hati. Letih memanglah letih tapi aku puas. Puas kerana dapat puaskan tetamu yang hadir. Bila terlibat dengan majlis macam ini kadang-kadang buat aku keliru untuk pilih sama ada publisiti atau yang lagi satu ini.

Saya telah menonton semua episod Ziarah dari episod 1 hingga 11. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Ibrahim, kanak-kanak mangsa perang yang menjadi pelarian perang sejak kecil yang saya petik dalam salah satu episod Ziarah. ”I want to be the soldier of Hezbollah”.

Mungkin kerana keletihan, aku terus pulang ke kampung kerana ada hal penting yang perlu diuruskan. Aku terlupa yang aku perlu menghadiri satu lagi mesyuarat jam 2 petang. Mungkin kerana majlis tersebut pun habis agak lewat, jadi aku ada alasan untuk diberikan. Mesyuarat tu memang agak penting kerana melibatkan urusan freelance dengan MIT, bahagian yang menguruskan Astro Mobile. Ala, yang korang selalu download tu. Kalau korang nak tahu pasal aktiviti Mawi, tekan saja ON MAWI dan hantar ke 32999.

Esok pagi dan petang juga akan menjadi agak sibuk. Pagi perlu memberikan kata putus untuk kandungan Red Button dan petang menghakimi satu peraduan Raya Tagline. Hari yang sibuk sebelum bercuti pada hari Jumaat. Ada projek baik punya !!

Ziarah pun ada blognya sendiri. Perantaranya pun ada blog sendiri jugak.

Ejen 016

Image Hosted by ImageShack.us

Dah masuk episod ke sepuluh, wajah Mr.K masih tidak diketahui walaupun dari suaranya aku boleh tahu itu suara Gibran Agi. Yang menariknya, episod minggu ini ada Studio Radio ERA. Nampak cantik je lobi lif di Tingkat 2, walaupun sekitar punat lif boleh kelihatan kesan-kesan daki kakitangan Tingkat 2. Adegan Linda Onn diculik oleh Tore nampak macam adegan Farah Fauzana penyampai HotFM yang telah diganggu peminat fanatik dalam Wakenabeb seperti yang disiarkan di NTV7 serta dihoskan oleh Adlin Aman Ramlie, pengkritik tetap AF4.

Siapa yang perasan dengan nada suara Dr.Mat ? Nada suara dia agak ganjil. Sesekali aku terdengar gaya dia bercakap macam Surya dalam Hikmah 2 yang kini disiarkan di Astro Ria jam 6 petang setiap hari Isnin-Jumaat. Semua stesen TV dan stesen radio aku sebut dalam ulasan malam ini. Dr.Mat jadi hero malam ni bila dia padamkan bom yang telah dipasang oleh Ramon. Bolehkan bom tersebut dimatikan ? Jangan lupa untuk saksikan episod minggu hadapan pada hari Rabu, jam 9.30 malam.

Entri oleh sultanmuzaffar 17 September 2006 0 komen

Monolog Seorang Penagih

Aku bangun sekitar jam 9 pagi. Aku capai handphone dan terus online 3G. Itulah hidup aku seorang penagih 3G. Lewat malam aku tertidur kerana keletihan menonton drama bersiri The Triangle. Ada marathon semalam. Dari jam 7 petang sampai jam 11.30 malam. Sampai tertidur-tidur aku dibuatnya kerana drama tu memang boleh buat kepala pening.

3G telah pun aktif dan aku buka laman web Utusan. Entah mengapa. Laman web Utusan memang akan menjadi santapan harian utama aku. Aku lihat kalau-kalau ada mesej yang ditinggalkan untuk blog mahu pun email. Ada satu email penting tentang sinopsis episod dokumentari Ziarah yang dihantar oleh Wan Kamarudin dan produksinya. Perlu disiapkan menjelang hari Isnin petang sebelum Sidang Media yang akan diadakan pada hari Selasa.

Aku bangun dan terus menyiapkan diri untuk bersarapan pagi di Restoran Haslam. Singgah sebentar di Kedai Mamak sebelah Restoran Haslam untuk beli akhbar mingguan. Memang sudah menjadi kebiasaan aku untuk menyelak akhbar-akhbar mingguan. Aku beli empat akhbar. Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Kosmo Ahad dan Metro Ahad. Hanya itu saja yang aku beli dan baca.

Ada cerita tentang Dayang Nurfaizah yang tersingkir dari One In A Million. Ada cerita Puteri Gunung Ledang The Musical yang akan dipentaskan di Esplanade Singapore. InsyaAllah aku akan terbang ke Singapura 24-26 November ini. Sambil menunggu Roti Telur Bawang Cili, aku aktifkan 3G lagi. Bukannya apa sejak-sejak bil handphone dibayar syarikat, aku semakin menjadi penagih tegar 3G. Lagi pun projek baru yang diberikan kepada aku melibatkan 3G. Entah berapalah bil handphone aku bulan ini. Selalunya dalam RM150 sahaja. Tapi tak mengapa pasal ada company yang bayarkan.

Roti Telur Bawang Cili aku sampai tetapi yang tiba hanyalah Roti Telur. Aku makan saja. Tiada beza pun. Tapi kakitangan dekat restoran tu dah bising-bising dan kecoh pasal salah hantar. Yang tukang hantar kena marah dengan bos dia pasal hantar yang salah. Aku dah naik malu. Bukannya apa. Aku bukannya kisah pun kalau roti telur bawang cili dengan roti telur. Tiada beza pun bagi aku. Lainlah kalau diorang hantar durian atau tempoyak kat aku. Yang tu memang aku marah lah.

Masa nak buat pembayaran aku cakaplah aku makan roti telur. Tukang hantar makanan bagitau bos dia aku pesan roti telur bawang cili tapi yang sampai roti telur. Perbuatan dia semata-mata nak tunjukkan yang tukang buat roti dah buat silap. Aku cakap jangan panjang-panjang. Tiada beza pun. Aku dah habis makan pun.

Aku balik rumah dan baca akhbar hari ini. Aku teruja dengan Puteri Gunung Ledang The Musical : Singapore Tour yang akan dipentaskan di Singapura bulan November ini. Aku mahu bercuti. Lagipun sejak musim Akademi Fantasia 4 yang lepas dah 5 bulan aku tak ambil cuti. Patutnya lepas habis AF4, aku pun mahu berehat tetapi tidak dapat peluang juga. Lepas satu-satu projek yang datang. Lepas satu-satu majlis yang perlu diuruskan. Kalau ikutkan hati memang mahu saja aku bercuti dalam tengah-tengah kesibukan menguruskan majlis, tetapi tidak elok pula meninggalkan kerja pada orang lain.

Jumaat lepas aku baru hantar satu laporan tentang soal-selidik yang aku diminta siapkan dalam 3 hari. Tentang tabiat menonton isirumah yang mempunyai anak kumpulan 6-12 tahun dan 13-18 tahun. Aku diminta siapkan soal-selidik untuk 10 isirumah sebagai sampel tapi aku dapat 16 isirumah. Kebanyakannya datang dari pembaca blog ini sendiri. Apa yang anak-anak remaja ini tonton di TV ? Adakah rancangan yang sesuai untuk mereka ? Berapa lama mereka tonton TV di rumah ? Banyak juga persoalan yang terjawab. Terima kasih kepada yang sudi membantu.

Masa aku dapat kerja ini beberapa hari yang lalu dari bos aku, perbincangan banyak ditumpukan kepada kerja tersebut. Ada soal lain yang cuba mengubah perhatiannya. Dalam 30 minit kami berbincang, soal lain itu hanya mengambil kurang dari 3 minit untuk mengubah perhatian kami. Betapa tidak pentingnya persoalan tersebut di mata kami.

Hari Isnin akan menjadi hari yang agak sibuk mulai minggu hadapan. Pagi hari Isnin merupakan hari untuk saya mengumpul bahan dari setiap penerbit dan kemudiannya menghantar kepada penyunting video untuk bahan-bahan tersebut dijadikan kandungan 3G.

Minggu depan minggu yang agak sibuk. Pagi Isnin untuk 3G, petang Isnin untuk Seroja : A Ramadhan Showcase, Selasa untuk Ziarah, Khamis untuk Tagline Raya Astro RIA dan Jumaat adalah hari One In A Million !!! Hari seumur hidup dalam sejuta hari ! Ada plan baik hari itu ! :)

Menjelang petang, saya bersama beberapa orang kawan bertandang ke Stor Teater Dewan Bahasa Pustaka untuk teater Gadis Jalan Burmah. Teater monolog yang diarahkan oleh David Lim dan dilakonkan oleh Soefira Jaafar. Teks teater tersebut merupakan nukilan Shahredza Minhat. Ceritanya tentang Kartini yang sudah berumur 42 tahun tetapi masih belum berkahwin. Konflik jiwa banyak terarah kepada Kartini dan persekitarannya. Bayangkan dalam umur 42 tahun sewaktu menghadiri majlis perkahwinan saudara-saudaranya, pasti ada saudara-saudara yang bertanya “Bila lagi ?”. Lain kali apabila menghadiri upacara pengebumian saudara-saudara terdekat, tanya kembali pada mereka yang bertanya kepada anda itu “Bila pula ?”.

Kembali dari Stor Teater, saya singgah untuk minum petang di restoran yang sama pagi tadi. Saya minta roti telur bawang cili. Belum apa-apa tukang hantar terangkan masalah pagi tadi. Aduh ! Tak habis lagi ke isu pagi tadi ??? Kali ini dibawakannya roti telur bawang cili yang betul. Saya makan sambil baca skrip teater Toast tulisan Rodek dan kemudian saya balik.

Eh ! Mula-mula guna aku. Tiba di penghujung jadi saya. Sukar untuk mengubah rupanya. Monolog tak jadi…

Aku kini merupakan seorang penagih. Penagih tegar 3G. Korang ada 3G ? Kalau ada 3G korang guna servis tu atau tak ? Berapa lama korang akan guna bila sekali aktifkan 3G ? Program apa yang akan ditonton dengan 3G ? Antara broadband dan 3G, yang mana korang lebih suka dan akan guna ? Adakah harga untuk menggunakan servis 3G masih mahal di Malaysia ?

Entri oleh sultanmuzaffar 15 September 2006 0 komen

Ziarah Menjelma, Puasa Kembali, Tiba Masa Untuk Hibernasi

Masa banyak dihabiskan bersendirian hari ini. Baik di pejabat, mahu pun di rumah. Geng ofis pun bercuti. Geng rumah pun bercuti. Masa juga dihabiskan dengan menyiapkan kerja-kerja yang ada. Orang ingat lepas habis Akademi Fantasia, saya pun kembali ke tempat asal. Tapi balik-balik muka ini ada lagi. Bersabar sajalah mengadap. Ada dua acara yang agak penting perlu diuruskan minggu hadapan. Satu hari Isnin, satu lagi hari Selasa. Back-to-back !

Acara pada hari Isnin melibatkan Astro selaku Penyiar Rasmi untuk Seroja : A Ramadhan Showcase yang akan menampilkan Mawi, Ramli Sarip dan ramai lagi sempena bulan Ramadhan kelak. Ada satu teks ucapan yang perlu disiapkan. Satu ? Memanglah tak banyak. Cuma satu. Cuma minda perlu dihalakan menjurus kepada jargon-jargon seperti muzik Islam, mesej ketuhanan, sentuhan kerohanian yang selama ini jarang benar saya gunakan untuk blog ini. Mahu tidak mahu saya harus memperbanyakkan perbendaharaan kata yang baru dalam otak saya. Satu pengalaman baru !

Acara pada hari Selasa pula merupakan Sidang Akhbar Ziarah, sebuah program pengembaraan ke negara Asia Barat yang akan disiarkan mulai 1 Ramadhan. Tempat acara perlu dipilih, teks ucapan perlu disiapkan, media Q&A juga dirangka. Banyak kerja tetapi rakan sekerja bercuti. Mahu merungut pun tiada gunanya kerana yang penting adalah hasilnya. Untuk memberikan satu kelainan, saya perlu menonton kesemua episod Ziarah yang telah disiapkan. Saya menyukainya dan nantikan saja menjelang bulan Ramadhan kelak kemunculannya.

Lupakan...
Setelah selesai Akademi Fantasia saya masih belum berpeluang untuk bercuti panjang. Ada lagi satu kerja baru yang diperolehi tetapi dalam keadaan sekarang ianya masih tidak sesuai untuk diceritakan di sini. Tunggu sahajalah. Tetapi kepada sesiapa yang tidak sabar-sabar menunggu tibanya tarikh 24 September 2006, silalah lupakan angan-angan itu.

Soal-Selidik
Terima kasih diucapkan kepada yang sudi turut serta dengan soal-selidik segera yang perlu saya lakukan. Sebanyak 10 isirumah perlu dikaji tetapi hasilnya sebanyak 16 isirumah yang diperolehi. Ada yang melalui soal-selidik bertulis, ada juga yang melalui telefon. Untuk apa semua ini ? Untuk mengetahui apa yang kanak-kanak 6-12 tahun dan remaja 13-18 tahun inginkan dengan menonton televisyen. Apa yang kurang dengan televisyen sekarang pada kanak-kanak dan golongan remaja ini sekarang ?

Dulu ada Cumi dan Ciki, sekarang mana ada. Dulu-dulu masa peringkat umur sekolah menengah ada Cyberwave yang amat sesuai dengan saya yang gilakan teknologi, sekarang mana ada rancangan macam tu untuk menyesuaikan dengan selera orang Melayu. Itulah kurangnya. Masa bila dua peringkat umur ini menonton TV ? Siang sekolah, petang sekolah agama, lewat petang sikit bermain, malam buat kerja rumah dan sebagainya. Ada peluang untuk menonton tv pun selepas waktu makan. Tapi yang ditonton bukannya rancangan yang dikhaskan untuk tontonan dua golongan ini tetapi untuk golongan keluarga. Jadi waktu mana yang sesuai untuk dislotkan kepada dua golongan ini ? Aduh ! Banyaknya kerja baru...

Lega
Untuk sedikit berita melegakan, ada seorang funder dari sebuah badan bukan kerajaan Jerman mahu memberikan dana untuk saya meneruskan hayat blog dan juga mahu menaja beberapa aktiviti yang melibatkan blogger di Malaysia. Buat masa ini saya telah berbincang dengan beberapa blogger-blogger yang akan menjadi key person yang akan turut terlibat dengan dana ini. Jika semuanya berjalan lancar, beberapa siri aktiviti ilmiah akan dilaksanakan. Saya sudah pun mendapat persetujuan untuk perbincangan dengan kawan-kawan di Geng Jurnal. Pemberi dana ini begitu cerewet dalam keputusannya dan saya perlu mendapatkan key person untuk terlibat menjayakannya.