Ning Baizura yang merupakan antara pemenang pertama di Anugerah Industri Muzik hilang dari pandangan selepas memenangi anugerah berprestij itu. Pengurusnya silih berganti. Semuanya tidak menjadi. Ada orang kata kalau mahu berjaya kita kena kuat berangan. Maka Ning dipertemukan dengan seorang pengurus yang sememangnya kuat berangan iaitu Vernon.
Ada orang kata lagi, jangan terlalu kuat berangan nanti jadi macam Mat Jenin yang akhirnya mati jatuh pokok kelapa. Ning berjaya mencipta nama. Anugerah demi anugerah di AIM dimenanginya antaranya Video Muzik Terbaik, Lagu Terbaik, Album Pop Terbaik, Artis Baru Terbaik dan Album Terbaik. Bukan itu sahaja, Anugerah ERA, Anugerah Bintang Popular juga pernah dimenangi oleh beliau.
Hari ini mencatat satu lagi sejarah dalam hidup Ning Baizura apabila beliau membubarkan Ning & Associates. Sekaligus membuat keputusan untuk menguruskan dirinya sendiri tanpa Vernon. Artis di bawah naungan Artistes United Record (AUR) iaitu Nikki, Yanie & Nubhan kini akan terus berada di bawah naungan AUR. Ning menarik diri dari syarikat tersebut.
Spekulasi bertiup kencang mengaitkan punca "perpisahan" itu disebabkan oleh sikap pengurusnya yang dilihat lebih memihak kepada Nubhan. Turut dikaitkan juga dengan campurtangan suaminya. Yang mana satu betul, sukar untuk diluahkan oleh mereka. Peribadi katanya.
Harapan saya Ning Baizura akan terus berjaya menempuh haluan masing-masing. Ini bukan kes "mak buang anak", juga bukan kes "cerai talak tiga", juga bukan kes "cemburu buta". Hanya mereka yang tahu.
Teks Ucapan Ning
Salam..
Terlebih dahulu, saya minta maaf kalau saya kena refer pada nota saya, kerana ini bukan pekara yang mudah untuk saya lakukan.. Jadi dalam situasi ini saya nak pastikan yang saya tak merepek dan membuang masa semua orang hari ini.
Selama 16 tahun dalam bidang seni, saya telah lalui berbagai pengalaman, pahit manis, positive and negative. Alhamdullillah saya sentiasa bersyukur kerana dikurniai oleh Allah dengan bakat yang seadanya, kematangan, keyakinan, kekuatan dan keinginan untuk sentiasa menambahkan ilmu untuk terus berjaya dalam bidang yang sangat saya sayangi ini.
Saya amat berterima kasih kerana dapat melakukan semua itu dengan adanya seorang sahabat, abang, business partner dan pengurus seperti Vernon Kedit. Hasil dari segala tunjuk ajar, kasih sayang, semangat yang beliau berikan dan segala pengalaman yang kami timba bersama selama lapan tahun telah memberi saya kekuatan dan keyakinan untuk berdikari.
Dengan ini, saya dan Vernon telah bersepakat untuk membubarkan Ning & Assoc. yang kami sayangi demi memulakan episod baru dalam kerjaya kami masing-masing. Ning & Assoc. yang kami bina bersama akan sentiasa menjadi tanda kejayaan Vernon Kedit dan Ning Baizura.
Artiste United Records juga telah saya serahkan bulat-bulat kepada Vernon, dan sesungguhnya saya yakin artiste-artiste di bawah naungan label ini akan terus berjaya dengan segala bimbingan dan tunjuk ajar seorang yang berkaliber seperti Vernon. Tetunya mereka akan mendapat yang terbaik yang pernah saya sendiri peroleh bersama beliau dulu.
Saya percaya, di lubuk hati Vernon, beliau pasti berbangga dengan kekuatan, keberanian dan azam saya untuk menguruskan kerjaya saya sendiri mulai dari sekarang. Namun ini tidak bermakna kami tidak akan bekerjasama lagi kerana industri kita ini kecil and we will always support each other.
Dari itu, dengan secara rasmi, saya ingin mengumumkan bahawa mulai hari ini, saya mulakan tanggungjawab utama saya iaitu menguruskan dan mengendalikan show-show saya sendiri. Ini bererti, sesiapa yang ingin menjemput saya membuat persembahan, sila hubungi nombor; 012-**** *** atau email kepada ningbaizura@rocketmail.com.
Saya akhiri dengan ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada pihak media, teman-teman rapat, dan tentunya Vernon yang selama ini sentiasa memberi saya semangat dan sokongan yang tidak putus-putus. Saya harap anda semua akan terus menyokong dan berdoa untuk kejayaan kami masing-masing.
Ikhlas
NING BAIZURA HAMZAH DALTON



















































