StarMaker kembali untuk musim kedua selepas menyaksikan kejayaannya di musim pertama. Kejayaan itu dapat dilihat apabila pementasan P.Ramlee The Musical mendapat sambutan yang hangat dari penggemar teater dan juga pengulas persembahan.Sekali lagi, Enfiniti Productions...produksi yang membawa Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical menganjurkan bengkel teater muzikal yang bermula pada 15 hingga 30 November ini. Paling menarik bila Stephen Rahman "Hang Tuah Hughes bakal mengemudi bengkel itu.
Stephen Rahman-Hughes seperti yang diketahui umum merupakan pemeran watak Hang Tuah yang telah menggegarkan Panggung Sari Istana Budaya di Kuala Lumpur dan The Esplanade, Singapura. Kali ini Stephen bakal berkongsi ilmu pentasnya dengan rakyat Malaysia agar mereka lebih mendalami makna sebenar apakah itu pentas lakon.
Turut membantu Stephen ialah Matt Cross yang turut sama berkerjasama dengan beliau dalam beberapa pementasan di West End. Apabila digabungkan pengalaman mereka yang menjangkau lebih 30 tahun itu bukan sekadar di pentas lakon, malah mereka pernah membintangi filem di Hollywood dan juga popular di skrin televisyen. Tidak kurang juga, Stephen memiliki kumpulannya sendiri yang digelar Teatro. Mereka juga jaguh di lantai tari dan memiliki ilmu yang tidak kurang hebatnya.
Bengkel seni persembahan intensif itu diadakan selama dua minggu. Sepanjang dua minggu, fokus akan diberikan kepada seni lakon, seni nyanyian dan seni tari. Menariknya apabila hanya 20 tempat dibuka untuk bengkel tersebut. Ia merupakan langkah terbaik untuk mewujudkan hubungan rapat antara peserta sebagai mendapatkan kejujuran dan mendalami hubungan antara setiap peserta.Bukan senang untuk mendapat peluang mempelajari dengan seseorang yang sememangnya pakar seperti mereka. Jika saya bekerja waktu pejabat 9 pagi - 6 petang juga pastinya saya mahu turut serta. Bayaran penyertaan hanyalah RM300 seorang. Bukannya mahal.
Sebagai projek serampang dua mata, peserta yang bertuah dan menunjukkan mutu penerimaan pendidikan terbaik akan terpilih untuk turut serta dengan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical yang bakal berlangsung pada 4 hingga 22 Februari tahun hadapan. Peserta bertuah akan mendapat latihan dalam projek sebenar. Peluang itu bukannya datang selalu.
Dalam senario perkembangan teater muzikal di Malaysia, hampur seluruh Malaysia bercakap mengenainya. Apa sahaja persembahan pentas jika boleh diterjemah kepada muzikal akan diterjemah ke genre tersebut. Teater seperti Lantai T.Pinkie diubah ke bentuk muzikal, begitu juga dengan filem Impak Maksima yang diubah ke bentuk yang sama. Semuanya mahu dimuzikalkan. Oleh itu penggiat teater yang sebelum ini tidak mengenali apa itu teater muzikal perlu diperkenalkan dengan genre tersebut supaya mereka sentiasa bersedia untuk terlibat dengan mana-mana pementasan. Untuk itu, bengkel ini datang tepat pada waktunya.
Datin Seri Tiara yang baru kembali dari sekolah seni di Tasmania pastinya ada sesuatu yang berharga untuk dicurahkan kepada golongan muda yang mula menggemari untuk mendalami teater muzikal. Sesi latihan untuk Puteri Gunung Ledang The Musical yang kali ini menerapkan tema "Magical" bakal bermula pada 1 Disember ini.
Peserta bengkel ini akan turut didedahkan dengan latihan dalam elemen-elemen teater, muzik dan tari yang terdapat dalam teater tersebut. Pastinya peluang ini tidak dilepaskan oleh penggiat teater untuk mempelajari dari seseorang yang sememangnya profesional bukan saja di Malaysia malah di West End.
Seni teater bukan satu seni yang sekadar main-main. Ia perlu dilakukan dengan serius. Keseriusan Enfiniti Productions yang dikemudi oleh Tiara Jacquelina pastinya menyegarkan bidang teater di Malaysia. Mereka mahu melatih agar penggiat teater menjadi penggiat yang terlatih agar mereka tidak terus bertatih.
Kalau boleh saya mahu jadi pelakon PGLtM, ensemble pun jadilah, tetapi cukuplah sebagai penyedia kandungan laman web rasmi Puteri Gunung Ledang The Musical. Kini saya sedang memerah otak untuk mendapatkan idea untuk konsep interaktif laman web tersebut yang bakal bertemakan "Magical".
Minggu ini merupakan satu minggu yang paling sibuk untuk saya. Pagi tadi saya ke lokasi penggambaran telefilem "Rebab Tidak Bertali". Jika ada dari anda yang menonton Gala TV pukul 10 malam tadi tentu mengetahui tentang telefilem itu. Ia merupakan lakonan pertama Diddy. Walaupun telefilem itu untuk siaran RTM, saya pergi juga.
Saya masih tidak faham apabila bekerja dengan satu stesen televisyen secara eksklusif, maka laporan berita harus tidak boleh memberikan publisiti kepada produk stesen lain. Contoh yang paling dekat ialah sewaktu Anugerah Skrin. Saya berkatakan berkali-kali bahawa yang ingin diberikan publisiti ialah pemenangnya dan bukan penganjurnya. Tanpa saya berikan publisiti pun apabila disebut Anugerah Skrin, ianya sudah diberikan gambaran jelas kepada Media Prima.Katakan apabila Aznil Nawawi menang lagi dengan Macam Macam Aznil atau Mamat Khalid menang dengan Kala Malam Bulan Mengambang dan saya tidak berada di situ. Maksud saya bukan saya secara peribadi tetapi Astro AWANI.
Berbalik kepada cerita Diddy dan Rebab Tidak Bertali. Yang perlu diberikan publisiti ialah Diddy dan telefilem itu sekadar menjadi latarbelakang. Kalau kena cara cerita diolah, saya pasti yang diberikan publisiti ialah personaliti itu dan bukannya stesen televisyen yang menyiarkan telefilem itu.
Saya tetap merasakan kita perlu bersikap terbuka kerana dunia seni kita bukannya besar mana pun.
Seperti yang saya katakan tadi minggu ini minggu yang amat sibuk. Setiap hari ada saja acara atau majlis yang perlu dihadiri. Hari ini ada Astro Mega Drama Screening yang bakal menayangkan beberapa drama baru untuk bulan Disember. Esok pula seperti minggu lepas saya perlu menghadiri pertemuan mingguan untuk kononnya Wedding Of The Year.
Sebelah petang ada sessi wawancara bersama penyanyi legenda Ramli Sarip dan penyanyi malar segar Khatijah Ibrahim. Kedua-duanya penyanyi kegemaran bapa saya. Mereka akan mengadakan Konsert di Dewan Filharmonik Petronas 17 & 18 November ini. Bukan selalu dapat peluang bertemu dengan penyanyi bertaraf legenda seperti mereka.
Hari Jumaat pula sekali lagi hari filem. Kali ini pula filem Afdlin Shauki iaitu Los & Faun bakal ditayangkan kepada media. Sudah lama saya tunggu filem ini dan akhirnya ia ditayangkan. Saya difahamkan Stephen Rahman Hughes akan turun ke majlis tersebut. Lagipun pada hari Sabtu sebuah lagi acara iaitu StarMaker Boot Camp akan berlangsung. Program anjuran Enfiniti Productions itu akan turut dikendalikan oleh Hang Tuah.
Bercakap tentang Puteri Gunung Ledang The Musical, nampaknya untuk musim terbaru ini saya akan terlibat. Sebagai apa ? Tungggguuu...

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tayangan Unggul Sdn. Bhd. kerana berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik Anugerah Skrin 08 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang. Filem arahan Mamat Khalid itu juga berjaya menggondol anugerah Pengarah Terbaik.
Pertama kali filem itu menang di Festival Filem Malaysia ke 21 ramai yang mempertikaikan kemenangannya. Tidak kurang juga cakap cakap belakang yang memandang sinis kemenangan pengarah filem Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan Rock itu. Pedulikan cakap-cakap belakang itu.Mamat Khalid menang lagi ! Tidak lama lagi Mamat Khalid menerusi syarikat produksinya akan menayangkan filem Estet. Wow ! Saya tidak sempat lagi menonton filem terbaru Mamat itu. Tetapi saya telah menonton filem Talentime arahan terbaru Yasmin Ahmad yang ceritanya masih berlatarbelakangkan komuniti India.
Yasmin Ahmad pula menang Anugerah Khas Juri kerana memartabatkan filem Malaysia ke pesada antarabangsa. Seperti yang kita tahu filem Yasmin telah mengembara ke seluruh dunia demi mengangkat nama baik perfileman Malaysia.Bukan satu, malah semua filemnya hebat di luar negara. Walaupun usahanya dipandang sinis oleh sesetengah pihak, baik di kalangan penggiat filem sendiri mahu pun sebilangan wartawan.
Satu lagi yang agak mengecewakan ialah apabila Analisis AWANI kalah kepada Macam-Macam Aznil dalam kategori Rancangan Bual Bicara Terbaik. Walaupun program cetusan Aznil Hj Nawawi itu menang tetapi saya kecewa juga kerana program kendalian Suhaimi Sulaiman tewas.
Anugerah Skrin ini saya sudah boleh cap sebagai Asian Television Awards versi Malaysia. Penganjuran lebih professional dan berkredibiliti berbanding sebuah lagi penganjuran majlis anugerah yang melibatkan penerbitan televisyen di Malaysia. Walaupun ia sepatutnya sebaliknya.
Oleh itu lebih sesuai sekiranya kategori dipelbagaikan. Kalau tidak seperti Emmy Awards pun dapat jadi seperti Asian Television Awards pun sudah cukup baik. Kalau susah sangat jadikan Anugerah Skrin ini setaraf Anugerah Seri Angkasa.
Apabila meletakkan Analisis AWANI dengan Macam-Macam Aznil amat tidak sesuai. Apa tah lagi diletakkan sebaris dengan program seperti Al-Kuliyyah, dan Bersama Dr.Fadilah Kamsah. Program Blog boleh dikatakan sama kategori.
Penambahan kategori memang amat diperlukan untuk merancakkan lagi persaingan antara stesen televisyen. Menang kalah itu lain cerita. Telus atau tidak pun lain cerita. Bak kata Mamat Khalid kita perlu memberikan sokongan kepada industri kita sendiri tanpa mengira peluang untuk menang atau pun kalah.
Ada banyak kategori boleh diperkenalkan seperti Rancangan Berita Terbaik, Rancangan Hiburan Istimewa Terbaik, Rancangan Hiburan Terbaik, Rancangan Infotainmen Terbaik, Penyampai Berita Terbaik, Pengacara Hiburan Terbaik dan banyak lagi. Tapi kasihan pula kat penyampai radio yang tidak berpeluang dan hanya perlu menunggu Anugerah Seri Angkasa. Tapi mana ada yang kekal kan di dunia ni, semuanya boleh diubah.
Bukan saja Anugerah akan lebih gah malah akan lebih diterima baik oleh stesen televisyen di Malaysia dan penggiat-penggiatnya. Kan lebih bagus !
Cukup cerita tentang itu. Saya sebenarnya lebih tertarik untuk bercakap mengenai skrip Anugerah Skrin yang baru saja berlangsung. Lupakan cerita yang buruk, kita bercerita tentang yang baik-baik saja.Dalam banyak-banyak segmen yang ada, saya tertarik dengan segmen pengacara serba boleh Aznil Hj Nawawi dan pelakon Zul Huzaimy menyampaikan anugerah. Skrip yang mereka lontarkan sesuatu yang segar dan melucukan.
Di situlah miliknya kredibiliti seorang pengacara terbaik dan pelakon terbaik apabila berada di atas pentas. Spontan idea mereka melucukan dan menjadi antara segmen yang diingati penonton.
Sebagai buktinya anda boleh melihat sendiri skrip asal yang sepatutnya dilontarkan oleh mereka berdua.Aznil bakal muncul dengan sebuah filem baru Cicakman 2 – Planet Hitam dan Zul Huzaimy pula menerusi filem Wayang yang bakal ditayangkan mulai 13 November ini.
Reaksi penulis skrip Anugerah Skrin boleh dibaca di sini.
Sebelum ini saya telah memiliki sebuah sistem teater rumah dari jenama yang lain, maka saya perlu memikirkan sambungan wayar yang perlu dibuat tanpa perlu membuang sistem teater rumah yang lama. Lagi pun seluruh sistem bunyi berpunca dari jenama lama itu. Hendak tak hendak, saya perlu mengekalkannya.
Sambungan ke dekoder Astro juga perlu dijaga agar kesilapan pada sambungan tidak menyebabkan salah satu dari peralatan itu tidak berfungsi dengan baik. Mujur saya baca panduan yang diberikan dengan teliti dan setiap sambungan menjadi kenyataan.
Kini, setiap DVD yang saya beli saya gunakan dengan pemain DVD Samsung. Sistem bunyi dari sistem teater rumah banyak memberikan kelebihan kepada pemain DVD baru saya itu. Perbezaan ketara apabila pemain DVD itu boleh menghasilkan mode slow motion.
Selain itu, pemain DVD itu ada Progressive Scan yang membolehkan imej yang terhasil di televisyen lebih berkualiti dan jelas. Dengan televisyen yang saya ada sekarang, hasilnya tetap baik. Tetapi ia mungkin berbeza jika televisyennya dari jenama Samsung. Lebih-lebih lagi kalau televisyen yang ada sambungan kabel HDMI. Televisyen saya sekarang tidak punya sambungan kabel HDMI. Mungkin Samsung boleh taja televisyen yang baru. :)
Oleh kerana minat saya terhadap fotografi begitu menebal, maka satu lagi keunikan pemain DVD ini ialah terdapatnya USB port yang membolehkan saya menyambungnya dengan storan luar saya. Imej-imej yang saya rakamkan dengan kamera DSLR saya boleh ditonton di televisyen saya. Ia memudahkan saya untuk melihat versi yang lebih besar berbanding melihatnya di skrin komputer.
Bukan itu saja, segala drama bersiri dan filem yang saya muat turun di internet juga boleh saya tonton menggunakan pemain DVD itu. Pemain DVD itu boleh membaca format MPEG4. Selain itu, muzik dalam format MP3 dan WMA juga boleh dibaca oleh pemain DVD itu. Ia banyak memudahkan saya.
Pemain DVD itu juga boleh menghasilkan fail audio dalam format MP3 dari CD audio yang dimainkan oleh pemain DVD itu. Pemindahannya dibuat menerusi USB port yang ada. Senang sekali !
Fungsi HDMI atau High Definition Multimedia Interface membolehkan kualiti audio dan visual yang dihasilkan oleh DVD menjadi lebih berkualiti pada televisyen yang mempunyai kualiti HDMI. Itu pun jika ada televisyen HDMI. Tidak perlu berlapik-lapik, senang cakap seperti televisyen LCD jenama Samsung. :)
Bila dilayari laman web Samsung, nampak seperti mereka sudah mengeluarkan pemain Blu-ray. Perrghhh ! :)
http://www.samsung.com.my
Last-last Pierre Andre jugak. Dia hadir. Untuk wartawan media cetak memang peluang itu ditunggu-tunggu. Pasal dah lama Pierre menyepi. Aku pulak sebagai wartawan media elektronik yang tak ambik tau pasal isu tersebut hanya menjadi pendengar. Aku cuma minta cameraman ambik cutaways. Lagipun aku tak ikut isu tu dari awal.
Alih-alih niat awal untuk interview Pierre tentang filem lakonan dia terpaksa aku lupakan. Pierre dah blah dari majlis tu. Semuanya angkara kebencian dia terhadap seorang wartawan yang berada di situ. Aku lihat Pierre menjawab setiap soalan yang diajukan oleh wartawan kepadanya kecuali soalan dari seorang wartawan. Kalau ikutkan apa yang Pierre buat tu memangnya betul. Dah dia tak mahu jawab. Itu hak dia.
Kita pun kalau polis tahan kita di tengah jalan, kita ada hak untuk tidak jawab apa yang polis tanya. Kita ada hak untuk pastikan ada peguam bersama kita. Apakah kuasa wartawan lebih besar dari kuasa polis ? Tentu sekali tidak.








































